DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 15 February 2015

Something Stupid - Bab 3

ADIK, Iman nak pakai lappy boleh?” Aiman menelefon Zara untuk meminjam komputer riba adiknya. Dia benar-benar terdesak. Banyak assignment yang perlu dibuat. Banyak kerja yang tergendala. Laptopnya pula bermasalah. Zara mencebik. Bila nak minta pertolongan, baru nak panggil dia adik. Bila di hadapan kawan-kawan pula, Zara-Iman. Manalah orang tak fikir bukan-bukan? Jatuh market aku. Zara mendengus.

“Laa... nak buat apa dengan laptop Zara?” Soal Zara menggumam geram. Mana boleh? Dia mana pernah berpisah dengan komputer ribanya selama ini. Buat apa dia berpenat lelah bekerja di kedai makan di kawasan perumahannya selama beberapa bulan semata-mata untuk membeli komputer riba itu jika akhirnya jatuh ke tangan Aiman? Bagaimana dia hendak menonton drama Hawai Five O selepas ini? Bagaimana dengan cerita-cerita hindustan yang masih belum ditonton itu?

“Iman nak buat kerjalah. Assignment berlambak. Nanti kena buat report lagi. Minggu depan dah nak kena hantar assignment tu semua. Slide show untuk presentation pun belum buat satu ‘habuk’ lagi ni. Bolehlah dik? Boleh la... Boleh eh?” Soal Aiman memujuk. Zara berfikir-fikir sebelum memberi jawapan. Ah! Aiman ingat dia biol ke? Bukankah Aiman sudah ada komputer riba sendiri?

“Jangan nak mengada ek. Mana lappy Iman?” Soal Zara merengus.

“Lappy Iman dah kena ‘histeria’ baru-baru ni. Iman hantar kat ‘ustaz’ suruh buang ‘hantu-hantu’ tu.” Aiman menjawab selamba. Zara menahan senyum. Perumpamaan yang dahsyat.
 
“Histerialah sangat! Hantar kedailah tu! Masuk virus?” Soal Zara.

“Hmm...” Aiman menyahut.

“Hesy! Lappy Iman tu kan baru lagi beli? Takkanlah dah masuk virus. Iman masukkan apa dalam lappy tu? Sampai ‘histeria’ dia. Kasihan betul kat lappy dapat tuan yang ‘bela hantu’ macam Iman ni.” Bebel Zara geram. 

“Lelaki kan... masuk apa lagi... agak-agak Zara?” Soal Aiman selamba. Zara menjelirkan lidahnya. Geli sungguh! Adalah ‘bendanya’ tu. Hesy! Tak senonoh punya abang. 

“Euww!” Zara menggeliat kegelian. Aiman tergelak kuat.

“Yang fikir benda bukan-bukan tu pasal apa? Iman masukkan macam-macam softwarelah. Video editor, photoshop segala benda. Berat lappy Iman. Semua kena format semula. Sedih tau tak!” Aiman membebel. Zara ketap bibir. Mana dia tahu. Dah Aiman kata, lelaki kan! Jadi dia boleh fikir apa?

“Nanti eloklah tu.” Zara masih berat hati hendak melepaskan komputer ribanya ke tangan Aiman. Entah Aiman boleh jaga entahkan tidak. Jangan-jangan komputer ribanya bakal ‘histeria’ sama!

“Alaa... bagilah Iman. Please... Iman perlukan laptop tu lebih daripada Zara perlukannya. Percayalah cakap Iman ni, dik. Nanti dah siap buang ‘histeria’ tu, Iman bagi adik guna seminggu. Lepas tu, Iman download cerita-cerita kartun semua untuk Zara. Cerita Usop Sontorian dengan Totally Spies eh!” Aiman mengumpan si adik. Zara seperti tertarik dengan
tawaran Aiman itu. Lama dia terdiam. Seperti termakan dengan umpan Aiman.

“Erm... okey! Janji tau?” Soal Zara pula. Memang dia sudah termakan dengan kata-kata manis si abang.

“Yalah-yalah. Iman janji!” Aiman berkata riang. Menang juga dia dalam sesi debat dengan adik kesayangan.

“Okey, bila nak ambil ni?” Soal Zara.

“Iman dah tunggu dekat depan kompleks dah ni.” Ujar Aiman selamba. Zara terbelalak. Amboi! Advance betul. Yakin sangat Aiman bahawa dia bakal menyerahkan komputer ribanya kepada si abang. Tentu dia dah tunggu sebelum meminta izin dari tadi lagi. Teka Zara.

“Kejaplah. Tunggu. Zara turun. Tunggu ya.” Kata Zara kelam-kabut. Dia menutup dan mengemas komputer riba yang terpasang di meja study lalu dimasukkan ke dalam beg komputer riba. Entah ke mana perginya rasa malu Aiman. Sudahlah komputer riba Zara berwarna pink! Tak malu ke nak pakai komputer riba warna pink susu seperti ini di hadapan kawan-kawannya yang lain?

Zara terkocoh-kocoh turun dari tingkat dua Blok H ke bawah. Dia berjalan 200 meter ke pintu pagar kompleks siswi itu. Sebaik sahaja sampai ke pondok polis bantuan, Zara tertilik-tilik mencari abangnya. Matanya tertancap pada sekujur tubuh tegap yang sedang bersandar pada kereta Kelisa yang sudah diubahsuai lebih kelihatan seperti sebuah Gino. Aiman! Segaknya...

“Ni...” Zara menyerahkan komputer ribanya kepada Aiman. Aiman mengambil dengan tangan kirinya kerana tangan kanannya yang patah itu masih belum sembuh. Komputer itu
dimasukkan ke dalam kereta. 

Zara mengerling ke arah padang ragbi. Sudah menjadi rutinnya mengerling ke sana. Mencari satu kelibat. Irsyad! Dia ternampak Irsyad. Lelaki itu sedang bermain ragbi. Tetapi,
fokus lelaki itu seperti hilang. Irsyad memandangnya. Mata bersabung seketika. Zara mengalihkan pandangannya secepat mungkin. Detak jantung tak menentu. Sesak nafas...

“Cepat Iman sampai.” Ujar Zara sambil matanya cuba fokus kepada abang di hadapannya.

“Iman tengok orang main ragbi ni.” Aiman beralasan. 

Huh! Ada hati lagi nak melihat orang bermain ragbi. Kecewalah agaknya kerana tidak dapat turut serta. Akal jahat tiba-tiba muncul. Dicuit sedikit tangan kanan abangnya. Aiman mengelak. Hesy! Tangan dia sedang sakit, boleh adik dia cuit. Nak kena budak ni!

“Tak nak main ragbi ke?” Leret Zara dengan suara menyindir nakal. Aiman mendengus. Geram disindir begitu.

“Biasanya setiap petang ada muka dia kat situ...” Ejek Zara lagi bila aiman sekadar mendengus geram dan tidak menjawab soalannya.

“Hesy! Sibuklah!” Aiman mendengus lagi. Lebih kuat dari tadi. Muncung itik mula kelihatan. 

“Eh! Ya Allah! Lupalah yang Iman dah tak boleh main ragbi! Tangan dah ‘bertapau’! Hahahahahaa!” Zara gelak jahat. Aiman apa lagi. Bengang diejek. Tangan kiri masih ada. Dirunyai-runyaikan rambut adiknya dengan geram. Nakal benar! Zara terjerit. Zara berlari mengelak. Aiman mengejar. Zara lari sebatu.

“Hah! Kenapa lari? Meh nak debik.” Aiman menaikkan tangannya dan mengejar si adik. Zara berlari lintang-pukang memasuki pagar kompleks siswi. Kawasan larangan bagi lelaki.
Mujur!

“Tak dapat! Tak dapat! Wek Wek!” Ejek Zara sambil meletakkan ibu jari ke hidung dan menggoyangkan jemarinya yang lain. Mata dijulingkan dan lidah dijelir mengejek. Aiman terkekeh-kekeh gelak. Buruk benar wajah adiknya! 

“Tak apa. Selamatlah kononnya. Kalau keluar, memang kena!” Aiman bercekak pinggang. 

Zara menari-nari mengejek si abang. Kaki mula mengatur langkah untuk ke bilik semula. Dia berlari anak secara terbalik lantas melambai ke arah abangnya. Sudah lama mereka tidak bersenda begitu. Semenjak dia menduduki SPM dan Aiman melanjutkan pelajaran di Jengka itu, mereka kurang meluangkan masa bersama. 


IRSYAD MELUDAH bengang di padang ragbi. Dia menyumpah seranah di dalam hati melihat adegan sebabak yang penuh mesra antara Aiman dengan Zara itu tadi. Sakit di hati usah katalah! Macam kena tinju berjuta kali. Bengkak, luka! Bernanah! Geram!

Sakit hati melihat Zara yang menyerahkan komputer ribanya kepada Aiman. Tentu dia ada menyuruh Aiman untuk membantunya melakukan sesuatu perubahan dalam laptop itu. Tak pun, tentu dia ingin meminta tolong Aiman dalam pelajarannya. Aiman itu kan budak dekan! Sakit matanya melihat Zara berlari tergedik-gedik dikejar Aiman.

Tak padan dengan perempuan, buat perangai macam tu depan orang ramai. Ramai yang tengok. Tak malu langsung. Bernanah biji mata dia melihatnya. Irsyad berjalan ke tepi padang. Selipar yang terletak di tepi susur gajah disarung sekali lalu. Baju yang sudah lencun dengan peluh, ditanggal lalu disidai ke bahu. Dia tidak punya mood untuk bermain ragbi lagi. Beg di atas tanah diambil dengan kasar dan disandang ke bahu. Dengan hanya berseluar pendek, dia melangkah melewati susur gajah. Pedulikan peraturan universiti!

“Woi Ichat, takkanlah nak berhenti dah?” Soal Jamal. Tangannya menumpang ke bahu Irsyad. Irsyad menepis kasar tangan Jamal yang diletakkan di bahunya. Dia tidak punya mood untuk bergurau senda dan sebagainya.

“Wowowow! Rileks sudah, bro. Apa pasal ni? Marahmarah? Mood ceria tadi mana pergi?” Soal Jamal pelik. 

Terkejut bila tangannya ditepis kuat. Mood Irsyad tadi elok sangat. Ceria lagi. Tak sampai lima belas minit mereka bermain ragbi, terus Irsyad bertukar jadi singa!

“Argh! Tepilah!” Tengking Irsyad tiba-tiba. Dia berjalan menuruni tangga lalu menuju ke kolej kediamannya. 

“Marah-marah jugak. Tapi ingat malam ni. Datang bilik aku. Ada discussion nak kena buat.” Jamal mengingatkan. Irsyad berlalu tanpa memandang mahupun menjawab soalan Jamal. Dia sedang marah. Moodnya benar-benar mati sesaat menyaksikan drama sebabak Aiman dan Zara sebentar tadi.

“Kenapa dengan dia tu?” Soal Bahari pelik. Jamal angkat bahu sambil mencebikkan bibir. Mukanya penuh dengan tanda tanya. Semua pelik melihat perubahan sikap Irsyad yang mendadak itu.

“Entah! Datang bulan dan bintang serentak agaknya.” Jamal berkata selamba menyebabkan Bahari terkekeh-kekeh ketawa. Mereka kembali menyambung permainan tanpa menghiraukan ketiadaan Irsyad.

“MAN, MANA Jamal ek?” Soal Irsyad apabila melihat hanya ada Aiman di dalam bilik itu. Aiman dan Jamal merupakan teman sebilik.

“Entah... Tadi dia kata nak keluar sekejap. Cari barang. Dia dengan Bahari. Ke J-Town agaknya. Kau dah try call dia?” Soal Aiman sambil tekun menaip sesuatu di dalam komputer
riba adiknya.

Irsyad menggeleng-geleng. Buat apa nak call bila dah berjanji. Bukannya jauh mana pun bilik mereka. J-Town merupakan singkatan bagi Pusat Bandar Jengka. Irsyad tertilik-tilik Aiman yang sedang sibuk membuat kerja itu. Baru lagi dapat laptop petang tadi, terus dia buka? Huh! Warna pink pula tu. Tak malu ke nak bawak laptop warna pink? Pink susu lagi!
Kutuk Irsyad di dalam hati. 

“Aduh... Sakit pulak perut ni!” Aiman memegang perutnya yang tiba-tiba memulas sakit dengan kening yang berkerut-kerut. Dia berdiri tegak. Kemudian, berlari mencapai barang mandian di dalam baldi di sisi katilnya. 

“Kau duduklah dulu. Tunggu si Jamal tu. Aku nak ‘melabur saham’ kejap.” Aiman berlari anak ke tandas. Irsyad tertilik-tilik keluar. Pintu yang tidak sempat Aiman tutup itu tadi ditutup rapat. Tak tahan sangat dah nampaknya si Aiman. Bagus juga. Dia segera menghadap komputer riba Zara. Dilihat pada wallpaper Zara. Gambar gadis itu sedang memuncungkan mulut ke arah kamera dengan mata yang dikenyitkan. Gambar menggoda betul! Dengus hati Irsyad geram. Dia melihat kerja yang dibuat Aiman sebentar tadi. Eh? Ini report Aiman. So, dia pinjam laptop Zara untuk buat reportlah ni? Huh! teruk, teruk! Macam dah tak ada laptop sendiri pula nak buat kerja-kerja begini. Dia memadam beberapa
perkataan yang ditulis Aiman lantas ditukar pada perkataan yang entah-apa-apa-maksudnya. Biar tunggang-langgang ayat Aiman. Rasakan kau, siapa suruh tergedik-gedik dengan buah hati aku! Hatinya berkata penuh dendam. Selepas itu, Irsyad menjelajah pula ke gambar-gambar gadis itu. Bukan main rapat lagi Aiman dengan Zara rupa-rupanya. 

Kalau nak kata adik-beradik, gaya mereka tak macam adik-beradik langsung. Bahasa mereka juga aneh. Muka jauh beza. Aiman gelap, Zara kulit cerah. Mata Aiman agak sepet manakala mata Zara agak bulat. Hidung Aiman mancung dan agak besar manakala hidung Zara kecil dan comel. Tang mana yang sama? Memang tak ada yang sama langsung! Sudahlah Zara siap membuat satu folder dia dengan Aiman. Tertulis di situ ‘Zara dan Iman’. ‘Berbulu’ matanya menengok gambargambar mesra Aiman dan Zara. Argh! Cemburunya.

Sudah tidak tertahan lagi melihat gambar-gambar itu, Irsyad membiarkan ia dalam keadaan asal. Dia berbaring ke atas katil Jamal dan berpura-pura membaca buku. Aiman, entah bila-bila sahaja akan pulang dari ‘melabur sahamnya’. Dia perlu beriak seperti tiada apa yang berlaku. Entah buku apa yang dirembatnya, dia pun tak tahu. Sebaik sahaja menyelak muka depan buku itu, tertulis, 

‘Zara yang punya’ di ruangan kosong itu. Cis! Zara lagi, Zara lagi! Memang Aiman ini suka mengambil barang Zara atau apa? Sebuah novel berbahasa inggeris yang bertajuk Dear  John itu dibelek-belek. Aiman pun layan novel ke? Wah! Macam tak percaya! Tentu Zara yang menyuruhnya baca atau Aiman yang tunjuk macho hendak membacanya. Hmm... sweetlah sangat! Hati Irsyad berterusan mengutuk Aiman dan Zara.

“Baca ajelah dah alang-alang buka.” Komen Irsyad sendirian. Dia membuka helaian demi helaian. Tekun dia membaca novel itu. Tidak lama kemudian, muncul kelibat Aiman dengan wajah leganya. Sudah selesai ‘melabur saham’. Irsyad menahan senyuman syaitannya. Padan muka kau Aiman! Aku dah ubah report kau. Bisik hatinya jahat.

“Mana Jamal? Tak balik lagi ke? Beli barang ke buat barang orang tua tu?” Bebel Aiman. Irsyad angkat bahu. 

“Entah. Tak ada pun.” Balas Irsyad tanpa riak bersalah.

“Aku sebenarnya dah salah buat report ni.” Ujar Aiman dengan muka cuak dia. Dia berjalan menuju ke meja study. Irsyad berkerut. Salah? Kenapa?

“Salah buat apa?” Soalnya tidak senang duduk. Jadi, Aiman akan betulkan semulalah laporan itu? 

“Report ni aku kena buat semula tau tak! Dari A sampai Z. Aku lalu kat bilik Hazim tadi, dia kata report kita orang bukannya kena buat berdasarkan benda-benda ni. Report berdasarkan produk syarikat. Apa jadah semua tu! Cis! Mujurlah baru tiga muka surat aku taip. Kalau tak, penat aje aku.” Aiman berkata sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Dia melangkah ke meja studynya lalu dipadam dokumen yang dibuat tadi begitu sahaja. Hati Irsyad sudah geram. Cis! Baru nak failkan dia! Bentak hati Irsyad geram.

“Mana perginya budak kamal ni? Pergi J-Town macam ke Kelantan. Lama sungguh.” Bebel Aiman geram. Dia tidak suka tetamu menunggu lama. Kasihan kepada Irsyad. Tentu Irsyad kepenatan setelah bermain ragbi di padang petang tadi. Jamal masih tidak munculkan diri. Sepatutnya, bila dah berjanji dengan orang, perlulah tepati.

Irsyad mengeluh perlahan. Memanglah Aiman sentiasa bersangka baik dengannya, tapi dia tidak suka bila Aiman berbaik dengan Zara. Zara buah hatinya. Bukan buah hati Aiman! 

“EH TAK tengok cerita Hindustan pulak orang tu hari ni.” Sindir Nurul Ain Fatin lantas duduk di sisi Zara yang bermonyok muka. Memang pecah rekodlah kalau hari ini Zara tidak menonton sebarang movie. Sudah lebih dua bulan Zara setia menonton cerita kartun mahupun hindustan pada setiap hari dan pada setiap pukul sembilan malam.

“Aiman pinjam lappy aku.” Zara mengeluh memandang Nurul Ain. Rakan sebiliknya ini agak baik dan pendiam. Dia bercakap pun jarang-jarang. Tentu hari ini dia pelik dengan Zara kerana Zara tidak menonton filem seperti biasa.

“Oh! Kekasih gelap pinjam laptop dia. Patutlah bermuram durja mukanya.” Nurul Ain tersenyum nakal. Mengusik. Nurul Ain pun bukan kenal siapa Aiman sebenarnya. Zara hanya mengeluh. Buat masa ini tidak ada seorang pun yang tahu hubungan dia dengan Aiman melainkan sahabat satu sekolah dia dengan Aiman dulu yang belajar sekali di sini. Itu pun mereka buat tidak tahu saja.

Dah biasa agaknya. Zara dengan Aiman memang dari kecil lagi sentiasa berkepit ke mana-mana. Sukar benar untuk melihat mereka berdua berpisah. Di mana ada Aiman, di situ ada Zara.

“Dia boleh pakai lappy kau yang striking gila tu? Tak nampak girlish ke kalau dia pakai?” Soal Nurul Ain. Zara tergelak membayangkan abangnya yang berbadan tegap itu tiba-tiba bertukar girlish. Geli! 

“Eee... entah. Aku tak terfikir pulak pasal tu tadi. Hahaha! Mesti kelakar gila!” Zara gelak kuat. kemudian dia menekup mulutnya. Cuba menahan suara yang keluar tanpa kawalan itu.

No comments:

Post a Comment