DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 23 February 2015

Dia Yang Terpilih - Bab 8

PAGI yang suram bertukar menjadi indah apabila aku melangkah masuk ke pejabat. Terkejut, teruja bersatu dalam satu rasa gembira. Di atas meja sejambak mawar merah sedang menghiasi ruang bilikku. Terasa segar apabila disapa bau yang cukup harum waktu pagi begini. Kiriman bunga itu pasti datangnya daripada Kamil Hakim. Aku tersenyum  puas, tidak sabar pula menatap jambangan bunga itu dari dekat. Sejak akhir-akhir ini siang kurasakan terlalu indah untuk dinikmati. 

“Wah! Pagi dah dapat bunga, senyum meleret pulak tu.” Naziah muncul sebelum sempat aku mencium kelopak bunga kiriman Kamil Hakim. Macam lalat pula dirinya, cepat sahaja mencium bau. 

“Kau pun sama. Awal pagi dah bertenggek masuk bilik aku. Aku tak sempat duduk lagi tau.” Gumamku geram. 

“Ala... macam tak biasa pulak.” Jawab Naziah selamba. 

“Yang dah biasa tu la kena ubah. Ini tidak... langsung takde perubahan. Tahun pun bertukar ganti tau” 

“Dah... dah... aku bukan nak dengar ceramah kau pagi-pagi ni. Bunga tu siapa yang bagi?” Naziah mula menyiasat.

Dia menghampiriku. Bunga di genggamanku diciumnya. Aku melarikan sedikit kuntuman mawar itu dari terus menjadi gomolannya. Dia mencebik.

“Kalau dah kemaruk sangat nak cium bunga, suruhlah Badli tu belikan. Tak pun kau petik aje kat tepi jalan.”

“Amboi! Tak sayang sungguh mulut kau ya. Mentang-mentanglah cik abang kasi bunga, eksyen lebih na...” Aku ketawa kecil. Bunga kiriman Kamil Hakim itu aku letakkan di atas meja. Aku ke almari mencari pasu bunga yang telah lama tidak terisi.

“Betul ke Kamil yang kasi pada kau? Takde kad pun. Entah-entah orang lain kasi tak.” Aku terdiam saat Naziah meluahkan rasa hatinya. Dia masih merenung mawar merah yang telah aku hias cantik di atas meja. Cuak juga aku dengan apa yang diperkatakan Naziah itu. Macam betul. Kad nama tiada di situ. Malahan panggilan telefon daripada Kamil Hakim juga tidak aku terima.

“Kau ni kuat betul jeles. Dah orang nak kasi, aku ambik ajalah.” Sengaja aku menyedapkan hati.

“Aku nak sambung kerja ni. Sekejap lagi ada meeting pulak dengan bos kesayangan kau tu.” Sambungku lagi. 

“Halau aku cara baik ya. Takpe... takpe… halauan kau, aku terima.” Usik Naziah mengundang tawaku yang berpanjangan.


KERJA SEMAKIN berlambak di atas meja. Proposal untuk dihantar kepada wakil syarikat Barakah Sdn.Bhd. perlu disiapkan sebelum hujang bulan ini yang tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi. Ternyata aku tidak menang tangan menyudahkannya.


Kamil Hakim pula sering menghubungiku waktu aku sedang sibuk dengan kerja-kerja pejabatku. Sering kali aku tidak sempat menyambut panggilannya. Oleh itu waktu terluang digunakan sepenuhnya oleh kami. Hanya hujung minggu sahaja kami dapat bertemu. Naziah bagaikan dapat menghidu bahawa aku dan Kamil Hakim memang mempunyai hubungan istimewa. Sering kali juga dia bertanya tapi aku bijak mengelak. Bukan apa, aku malu untuk mengatakan kami bercinta sedangkan aku sendiri keliru dengan perasaan Kamil
Hakim. Sikapnya itu membuatkan aku tidak yakin bahawa kami sememangnya sedang menyemai benih cinta. 

“Kau tak nak mengaku ek. Takpe... aku boleh tanya si Badli.” Naziah tersengih apabila melihat tingkahku serba tidak kena. Badli? Ada baiknya juga jika dia menelefon Badli. Sekurang-kurangnya boleh juga aku tahu dengan lebih jelas isi hati Kamil Hakim terhadapku. 

“Yang kau gelabah sangat ni kenapa? Ala... kalau betul pun bukannya aku nak telan atau rampas Kamil Hakim daripada kau.” Sanggah Naziah. Aku cuma tersengih.

“Mana ada aku gelabah. Kalau kau nak tahu, kau pergilah tanya Kamil sendiri. Kau dengar dari mulut dia.” Aku sengaja mencabarnya. Dia hanya ketawa.


KAMIL HAKIM datang menjemput aku di rumah sewa kami. Dia hanya menunggu di luar. Sebaik sahaja aku berada di muka pintu, Naziah terus menyoal Kamil Hakim.

“You all ni I tengok selalu keluar berdua. Kalau masing-masing dah suka sama suka, baik you masuk meminang Maira ni Kamil. Nanti melopong pulak you tu.” Merah muka aku tatkala Kamil Hakim memandang tepat ke wajahku. Sungguh! Aku sendiri tidak menyangka apa yang baru sahaja diperkatakan Naziah itu. Aku menundukkan wajah. Malu bertentang mata dengan Kamil Hakim saat mata beradu. Mengapa celopar benar Naziah kali ni? Tidak bolehkah dia menyimpan sahaja soalannya itu?

“Maira suruh I tanya you. You all berdua ni bercinta ke?”

Belum lagi padam rona merah di wajahku dengan soalan sebentar tadi, kini bukan sahaja merah malahan aku rasakan keseluruhan tubuhku turut bertukar warna. Satu soalan yang bagaikan menghempuk kepalaku. Aduh! Malunya. Mana hendak diletakkan muka aku kali ni? Yang si Naziah ni pun satu. Kalau hendak menyoal sekalipun, tunggulah time aku takde depan dia. Silap aku juga. Mencabar pada orang yang salah tempoh hari. Tiba-tiba Kamil Hakim tergelak besar. Aku memandang wajahnya. Mengapa dia gelak? Soalan Zie itu terlalu lucukah? Atau muka aku yang kemerahan ini dirasakan lucu?

“I dengan dia kawan ajalah.” Ayat itu yang terpacul dari mulut Kamil Hakim. Aku memandang Naziah. Ternyata dia bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapan Kamil Hakim. 

“Kawan atau kekasih?” tekan Naziah mencari kecurigaan pada kata-kata Kamil Hakim agaknya. Sungguh! Waktu ini terasa hilang segala deria rasa aku.

“Kawan la... belum berkasih lagi.” Jawapan Kamil Hakim semakin mengelirukan aku.

Kalau benar aku ini masih belum dianggap kekasih, mengapa dia sering menelefon dan sanggup berhabis duit bergayut denganku selama ini? Hatiku bagaikan tersiat. Bukan itu jawapan yang mahu kudengari dari mulutnya. Apa yang aku fikirkan tidak sama apa yang dia luahkan. Atau mungkin dia hanya sekadar menutupi mulut Naziah yang semakin galak bertanya.

“Kan aku dah cakap, aku dengan dia kawan. Kau tak nak percaya.” Aku bersuara untuk mengelakkan Naziah daripada terus bertanya kepada Kamil Hakim dan jawapan yang kuterima nanti lebih menyakitkan hati. Daripada luka terus parah, lebih baik kubiarkan tanpa jawapan.

“Takdelah Maira, aku cuma nak pastikan aje kalau kau bukan kekasih dia. Bermakna... lelaki lain masih lagi ada peluang la nak tackle kau.” Berubah wajah Kamil Hakim saat Naziah berkata begitu. Aku pula terpinga-pinga. Kalau benar kami kawan, kenapa wajahnya berubah? Aku juga inginkan kepastian kalau benar dia menyayangiku sebagai kekasih. Aku ingin segera menamatkan perhubungan ini ke jinjang pelamin. Jika sebaliknya, aku tidak mahu terus makan hati dan tidak mahu juga mengharapkan hubungan ini bernoktah hingga ke sebuah ikatan perkahwinan.

“Er... kami pergi dulu Zie, baik-baik duduk rumah. Kau tu, aku ajak liat nak ikut.” Naziah cuma mengangguk, dapat kudengar dia melepaskan keluhan. Aku tahu dia juga kecewa seperti kecewanya aku ketika mendengar jawapan Kamil Hakim. 

KAMIL HAKIM meninggalkan aku sendirian setelah menerima panggilan telefon daripada seseorang. Hatiku mula dilanda gundah. Siapa pemanggil itu sehinggakan dia tidak berani  bercakap di hadapanku? Aku hanya membiarkan soalan itu terus berlegar di kepala. Malas untuk memikirkan jawapan yang sesekali tidak kuharapkan daripadanya. Aku tidak perlu mengetahui sejauh itu, kerana aku tahu siapa aku di sisinya. 

“Awak dah oder?” sapa Kamil Hakim apabila dia sudah duduk bertentangan denganku. Aku cuma tersenyum kecil. 

“Belum.” 

“La... kenapa tak oder?” 

“Tak tahu nak oder apa. Lagipun saya tak pernah makan kat sini.” Aku memberi alasan. 

“Tak pernah? Dengan pakwe pun tak pernah?” soalan menjerat nampaknya. Aku cuma gelengkan kepala. Senyum yang kuukir terasa tawar. Tipu kalau aku katakan apa yang terkeluar dari mulutnya sebelum ini tidak memberi kesan. Sepanjang perjalanan kami, aku dan dia lebih banyak berdiam. 

“Kalau saya ada pakwe, takdenya saya nak buang masa keluar dengan awak, Kamil.” Tanpa sedar terkeluar kata-kata itu dari mulutku. Wajahnya sedikit berubah. Memang aku akui, aku rasa buang masa sahaja keluar dengannya jika hubungan kami ini masih dianggap sebagai kawan. Aku jadi malu kepada Naziah. Badli yang memang pakwenya itu pun tidak sekerap itu mengajak Naziah keluar. Aku... Kamil Hakim anggap aku sebagai teman saja, tapi ke hulu ke hilir kami bersama. Aku tidak mahu terserempak dengan teman-teman sekerja dan mungkin akan menjadi satu gosip nanti. Sungguh! Aku tidak suka dikhabarkan dengan berita-berita yang tidak benar, menjadi tumpuan hanya kerana kisah cinta. Apakah hubungan ini tidak akan ada noktahnya?

“Ooo... keluar dengan saya buang masa. Maafkan saya Maira.” Wajahnya sedikit mendung, mungkin terkena atas batang hidungnya kali ini.

“Errr... saya gurau ajalah,” balasku serba salah. Dia tersenyum tawar.

Kamil Hakim melambai tangan kepada pelayan wanita yang sedang berdiri di suatu sudut. Dengan segera pelayan itu menuju ke arahnya. Aku menyerahkan segalanya kepada Kamil Hakim. Apa yang dipesannya, aku makan sahaja. Daripada pesanan yang dimintanya, aku dapat rasakan bahawa dia memang sering ke sini. Pelayan perempuan tadi pun siap memanggilnya Encik Hakim. Agaknya berapa ramaikah perempuan yang diajaknya ke mari? Dua puluh minit kemudian hidangan yang begitu lazat terbuntang di depan mata. Aku memandang wajah Kamil Hakim. Dia cuma tersenyum.

“Jangan risau, hari ni saya belanja awak.”

“Banyaknya awak pesan. Larat ke nak habiskan?” Aku memandang lauk-pauk yang terhidang. Kecur liurku tapi aku masih mampu kontrol. Mood yang hilang sebentar tadi  bagaikan pulih melihat hidangan di depan mata.

“Apa susah... kita duduk la sini sampai kita habis makan.”

Aku cuma ketawa mendengar usikannya.

“Kenapa awak oder banyak sangat. Kan kita berdua aje.” Bantahku. Sebentar tadi aku cuma dengar dia membuat pesanan macam biasa, tapi yang sampainya luar biasa bagi aku. 

“Tak banyak pun Maira. Cuma rojak buah, ikan bakar, nasi putih, kailan ikan masin, telur bungkus, tomyam, tauhu bakar... itu aje.” Katanya selamba.

“Itu awak kata tak banyak? Awak ni memang perut tong dram ek...”

“Hahaha...” Kamil Hakim ketawa mendengar sindiranku.

“Awak nak tahu kenapa saya oder banyak sangat hari ni?” soalnya membuatkan aku semakin teruja untuk tahu. Dia mahu melamar akukah? Tapi tidak mungkin Kamil Hakim akan melakukan itu.

“Kalau saya tak nak tahu macam mana?” Acahku sengaja. Mukanya berkerut sedikit. Aku ketawa kecil. 

“Saya tahu... tentu hari ni hari istimewa awak, kan. Cakaplah.”

“Cuba teka,” katanya sambil melirik senyum kepadaku.

Terpanar juga aku dengan panahan matanya yang menusuk kalbu. Astaghfirullah... aku  beristighfar mengingatkan dirikusendiri. Syaitan baru sahaja berjaya memanahku.

“Ermm… orang kalau naik gaji tentu makan besar. Awak naik pangkat ek?”

“Hahaha... Jauh tersasar Maira. Teka lagi.” Sanggahnya riang.

“Ermm… awak saja nak belanja saya.”

“Dah nak betul tu tapi sikit lagi...”

“Cakap la. Malas saya nak teka.”

“Hmm... awak ni cepat sangat putus asa Maira.” Katanya sambil tangannya lincah menyenduk nasi ke pingganku. Aku cuma memerhati. Belum pernah aku dilayan begitu oleh
seorang lelaki. 

“Bukan saya putus asa. Ni ha... lauk-pauk kat depan mata saya ni sedang menggoda saya, awak tahu.” Aku memberi alasan tapi yang sebenarnya aku malas mahu berteka-teki. Sudah banyak dia bermain teka-teki denganku. Ini lagilah. Depan makanan pulak tu.

“Hahaha... ada-ada ajalah awak ni.”

“Betul apa. Perut saya pun dah berbunyi ni. Nak teka lagi ke?”

“Yalah... yalah... saya beritahu awak sekarang juga. Hari ni hari lahir saya.”

“Oooo...” Aku menutup mulutku. Tidak menyangka Kamil Hakim meraikan hari jadinya yang ke-27 bersamaku. 

“Saya tak bawak hadiah. Kenapa tak cakap?”

“Tak perlu hadiah Maira. Awak ada temankan saya ni pun dah cukup. Makin berseri majlis sambutan hari jadi saya.” Kata-kata Kamil Hakim mengundang satu rasa yang aneh. Penting sangatkah aku kepadanya? Bukankah kami hanya teman biasa? Tiada hubungan istimewa seperti katanya sebelum ini.

“Sila la Maira. Tunggu apa lagi, nanti awak kata saya dera awak pulak tak kasi makan.” Seloroh Kamil Hakim. Aku hanya tersengih. Aku makan bersama Kamil Hakim. Aku tinggalkan apa yang masih menjadi persoalan dalam perhubungan kami. Biarlah aku menikmati makanan yang cukup menambat hati ini daripada memikirkan perhubungan
yang tidak pasti ke mana hala tujunya.

“Okey, dah kenyang kan. Jom saya hantarkan awak pulang. Saya rasa awak pun dah tak larat nak jalan tu.” Ajak Kamil Hakim. Aku hanya menurut tapi sebelum itu aku segera melangkah ke kaunter bayaran. Sebagai menyambut hari lahirnya, biarlah aku belanjanya kali ini. 

“Eh nak ke mana tu Maira?” soal Kamil Hakim, mematikan pergerakanku.

“Nak bayarlah. Hari ni biar saya yang belanja awak. Lagipun hari ni kan hari lahir awak.” Kamil Hakim tersenyum aku pula yang terpinga-pinga.

“Tak payah susah-susah Maira. Lain kali aje awak belanja saya. Kalau awak nak belanja saya, kita makan kat tempat lain. Takkanlah saya nak suruh awak belanja di restoran sendiri.”

“Hah! Restoran ni awak punya?” separuh terkejut aku bertanya.

Kamil Hakim cuma mengangguk mengiakan. Patut la perempuan tadi kenal Kamil Hakim. Rupanya dialah pemilik restoran tu. Akhirnya kami meninggalkan restoran milik Kamil Hakim dengan kekenyangan. 

 
HARI-HARI SETERUSNYA aku lalui dengan senyuman  walaupun timbunan kerja kadang-kadang terasa begitu membebankan. Hubunganku dengan Kamil Hakim masih berjalan seperti biasa, dia sering menelefonku sebagaimana dahulu malah aku rasakan semakin kerap pula sejak akhir-akhir ini. Pucuk-pucuk cinta dan sayang yang ada di dadaku kini mulai tumbuh, pun begitu aku harus berhati-hati membajainya. Bimbang apa yang aku rasakan ini akan menjadi racun dalam hidupku suatu ketika nanti.

Aku masih keliru dengan perasaan Kamil Hakim terhadapku. Mengapa sukar untuk dia meluahkan cintanya? Atau mungkinkah ada penghalang untuk dia meluahkan rasa cintanya itu? Berserabut pula otak yang segar tadi memikirkannya. Aku tersentak tatkala telefon di mejaku berdering. Lamunanku menghilang pergi.

“Maira, masuk ke bilik saya sekejap.” Suara Encik Syukor, bosku kedengaran jelas di cuping telinga. Aku dapat mengagak, tentu ada perkara penting yang ingin disampaikan kepadaku. Jarang sekali aku dipanggil ke biliknya melainkan jika ada urusan penting.

“Baik bos,” balasku.

Aku segera bangkit lalu ke biliknya. Pintu biliknya kuketuk perlahan. Encik Syukor tersenyum menyambut kedatanganku. Rupanya dia sudah menanti bersama seorang tetamu. Aku sekadar menunduk sebagai tanda hormat dan membalas senyuman mereka.

“Siddiq, kenalkan ini Maira, orang yang diberi tanggungjawab untuk kendalikan projek kita tu.” Encik Syukor memperkenalkan aku kepada Encik Siddiq hanya dengan panggilan Maira. Alahai... tidakkah ia nampak mesra sangat? 

"Muda lagi. Tak sangka kau punya pekerja berkebolehan, perempuan pulak tu. Cantik manis.” Puji lelaki itu lalu pandangannya menikam ke dalam anak mataku.

Aku melarikan pandangan. Nampak semacam aje dia ni. Takkanlah dia ni yang akan bersama-sama aku sepanjang masa aku mengendalikan projeknya nanti?

“Kau jangan pandang rendah pada kaum hawa ni Siddiq. Jangan disangka tangan yang mengayun buaian tak boleh gegar dunia. Sentuhan diaorang lagi hebat daripada lelaki-lelaki macam kita ni.” Ucap Encik Syukor disambut ketawa besar Encik Siddiq.

“Saya masih perlu banyak lagi belajar Encik Siddiq. Belum sepenuhnya saya mencedok ilmu dari Encik Syukor kita ni. Encik Syukor ni terlalu memuji saya.” Aku mengendurkan pujian majikanku. Encik Syukor dan Encik Siddiq ketawa kecil sambil terangguk-angguk. Aku pula merasa segan apabila Encik Siddiq terus-terusan memandangku. Naik seram juga. Lirikan
matanya bagaikan mengundang sesuatu.

“Selamat bekerjasama miss or mrs…” bijak dia menyoal.

“Miss…” Lambat aku memberi jawapan. 

Encik Syukor tersenyum tawar, mungkin dia juga rasa apa yang aku rasakan sekarang ini. Tidak senang barangkali dengan gerakan dan lirikan mata temannya itu. Encik Siddiq nampak sebaya dengan Encik Syukor. Tapi kalau tengok dari segi pakaiannya, aku rasa Encik Siddiq berjiwa muda. Tengok sahajalah dari segi percakapannya, jelingannya, buat aku semakin sesak nafas. Jika hari-hari aku kena menghadap Encik Siddiq, rasanya selepas projek kami selesai, aku akan mendapat penyakit semput.

“Oooo… I see.” Ucapnya perlahan bersama lirikan yang tidak dapat aku tafsirkan. Encik Syukor dan Encik Siddiq lebih banyak bersembang tentang kisah silam mereka. Aku serba salah hendak menyampuk. Bukankah aku dipanggil untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan projek mereka? Akhirnya mata aku yang terkebil-kebil, ternanti-nanti butir bicara mereka mengenai projek baharu itu. Aku masih tercari-cari apa relevannya aku duduk di situ. Kalau macam inilah berada di bilik bos, lebih baik aku siapkan kerja yang semakin menimbun menunggu sentuhanku.

Aku mendengar Encik Syukor dan Encik Siddiq kembali ketawa. Aku terasa rimas apabila Encik Siddiq memandangku semacam.

Ya Allah, selamatkanlah aku daripada fitnah mata. Aku berdoa dalam hati, tidak mahu renungan mata Encik Siddiq menjadi panahan dosa keringku. Aku memaniskan muka sesaat dua apabila Encik Syukor memandangku. Entah apa yang dimaksudkan dengan renungan bosku itu. Aku semakin rimas. Rimas sangat-sangat. Encik Siddiq dan Encik Syukor berdiri. Aku rasa perbincangan mereka semakin ke akhir garisan penamat. Lega rasanya jika betul apa yang aku teka.

“So, Cik Anis Humairah Najla... nice to meet you. Saya harap kita dapat bekerjasama dengan baik nanti. Saya kagum dengan bakat awak. Muda-muda lagi dah handle projek besar.” Tidak menyangka Encik Siddiq telah mengetahui nama panjangku. Tentu sudah lama mereka membicarakan tentang aku. Pujian ikhlas atau pujian ada maksud, aku tidak dapat
menekanya kali ini.

“Terima kasih Encik Siddiq.” Aku sekadar mengangguk kecil tatkala tangannya dihulurkan. Dia menarik tangannya setelah memahami aku tidak menghalalkan tanganku disentuh oleh lelaki bukan muhrim. Biarlah Encik Syukor dan Encik Siddiq menganggap aku apa pun, yang penting aku tidak menggadaikan hukum agama semata-mata untuk menghalalkan yang sudah ternyata hukumnya haram.

Encik Shukor dan aku menghantar Encik Siddiq sehingga ke muka pintu. Selama aku bekerja dengan Encik Syukor, jarang sekali dia menemukan aku dengan rakan niaga yang lain kecuali dia rasakan istimewa. Biarlah. Sekarang aku sudah mengenali dengan siapa aku akan bekerjasama nanti. 

“Saya minta diri dulu Encik Syukor,” pintaku setelah merasakan antara aku dan Encik Syukor tidak ada apa apa lagi yang ingin dibincangkan. 

“Err... nanti dulu Maira. Saya ada hal nak bincangkan dengan awak. Duduk dulu,” pintanya. Aku hanya menurut. 

“Macam ni Maira, Encik Siddiq tu kenalan saya. Dah lama kami kenal. Sejak kecil lagi. Dia tu duda, anak 3 tapi itulah seperti yang awak nampak, perangai dia memang macam tu. Saya tak nak awak rasa tak selesa apabila bekerjasama dengan  dia nanti. Jadi rasanya saya perlulah beritahu awak serba sedikit tentang dia. Saya tak nak burukkan dia dan saya juga tak nak awak pandang buruk pada dia. Tapi kalau awak rasa tak selesa bekerjasama dengan dia nanti, saya tukarkan awak dengan orang lain.”

“Err… Saya boleh handle projek tu Encik Syukor. Saya tak suka hal peribadi dicampur adukkan dengan hal kerja. Kalau apa yang saya fikirkan tentang dia tu memang benar, saya  rasa saya kena lebih berhati-hati. Lagipun saya rasa tak selalu Encik Siddiq ada ditapak projek kita, kan.” Kataku penuh yakin. Encik Syukor hanya tersenyum. Kalaulah projek ini bukan projek aku, sudah lama aku suruh orang lain gantikan tapi projek ini aku yang mula dari awal. Takkanlah aku mahu mengalah sebelum berjuang habis-habisan.

“Baguslah macam tu Maira. Saya senang hati dengar  dari mulut awak. Cuma saya nak ingatkan awak, kalau ada apa-apa yang mengganggu sepanjang kerjasama kita dan Encik  Siddiq, awak jangan segan-segan beritahu saya. Selain daripada jaga periuk nasi kita, saya juga bertanggungjawab menjaga keselamatan pekerja bawahan saya.”

Aku hanya mengangguk mengiakan. Rasa lega hatiku mendengar kata-kata Encik Syukor, sekurang-kurangnya dia telah memperingati aku tentang Encik Siddiq. Aku beruntung kerana mendapat majikan yang begitu mengambil berat.“Terima kasih Encik Syukor, ermm... kalau takdeapa-apa lagi saya minta diri dulu.”
 
 
AKU MULA menyemak fail-fail yang tidak sempat disemak sebelum aku dipanggil ke bilik Encik Syukor sebentar tadi. Pening kepala melihat begitu banyak fail yang perlu aku semak. Dah naik semak pulak kepala aku ni. Pintu bilik diketuk perlahan. Belum pun sempat aku menyuruh si pengetuk pintu itu masuk, Naziah sudah tersengih-sengih melangkah. Aku menarik nafas panjang. Time-time macam nilah dia nak singgah. Kalau aku halau, nanti dia cakap aku halau dia. Tapi tengoklah, tak kira masa dia muncul depan aku. Betul-betul macam belangkas, kata Kak Muna setiap kali terserempak dengan aku dan Naziah.

“Kau buat apa dalam bilik aku ni, takde kerja ek?” Jelas nada suaraku menahan geram.

“Ada kerjalah ni aku singgah masuk ke bilik kau sekejap.” Naziah masih menayangkan wajah selambanya. 

“Apa hal? Badli tinggalkan kau ke?” Tidak tahu apa tujuannya ke mari, aku main serkap jarang aje meneka. 

“Ke situ pulak kau. Pagi-pagi dah merepek macam tu. Apa kau ingat Badli tu tak setia ke? Aku ni kekasih awal dan akhir dia tau.” Balas Naziah bangga. Aku cuma geleng kepala. Yakin benar temanku itu.

“Dah... dah... apakah gerangan hajat tuan hamba datang ke mari?” soalku, malas berbasa-basi lagi.

“Aku nak minta pendapat kau ni tentang annual dinner syarikat kita.”

“Pendapat aku? Hai... selama ni kau buat kerja takde la pulak minta pendapat aku. Apa penting sangat pendapat aku untuk annual dinner kau tu?”

“Sebelum ni bukan aku yang buat. Itu kerja Kak Zah, tapi dia kan dah berhenti. Jadi bos suruh aku handle. Aku manalah tahu benda-benda macam ni. Lecehlah macam ni.” Keluh Naziah. Aku geleng kepala. Tak tahulah Naziah ni, apa yang leceh sangat pada dia tu.

“Kalau macam tu, kau handle la. Apa nak tanya  pendapat aku pulak? Aku setuju aje apa yang kau buat nanti, yang penting berjalan dengan lancar. Kau ambik aje AJK majlis yang sama tahun lepas, habis cerita.” 

“Kau bagi aku list orang-orang penting yang nak kena aku ajak. Aku dah godek dalam komputer Kak Zah, tapi takde.” 

“Kalau kau nak list tu, kau kena minta dengan Faizal, dia ada.”

“Okey thanks...” Balasnya bersama sengihan. 

“Welcome, nanti kalau tak tahu apa-apa lagi kau datang tanya aku ya. Aku ni semua benda aku tahu. Bilik aku ni bilik serba guna. Kaunseling boleh, pertanyaan boleh, temu ramah pun boleh, perkhidmatannya 24 jam sehari semalam. Kalau tak segan, datanglah lagi.” 

Ucapku selamba. Naziah cuma mencebik. Langsung tak makan saman dengan sindiranku.

“Maira…” Naziah berpaling dan terhenti melangkah. Aku dongakkan kepala memandang wajahnya. Apa lagi yang dimahukannya? 

“Kamil kirim salam.” Ujarnya lalu berlalu pergi sebelum sempat aku bertanya lebih lanjut.

Dia tinggalkan aku dengan satu soalan. Kenapa salam itu disampaikan oleh Naziah? Kamil Hakim datang ke mari ke??? Menyesal pula aku tidak melayan Naziah dengan baik tadi. 

Zie... Zie... selalu begini. Tinggalkan aku deng

No comments:

Post a Comment