DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 23 February 2015

Dia Yang Terpilih - Bab 7

DENGAN bertemankan unggas yang menyanyi riang menyahut kegelapan malam, aku mula membuka kitab suci Al-Quran. Satu per satu ayat aku baca dengan tartil. 

Ketenangan mula meresap sehinggakan aku tidak sedar telah satu juzuk aku lewati. Baginda S.A.W. bersabda,

“Barangsiapa membaca satu huruf Al-Quran baginya satu pahala. Satu pahala itu juga dikira sepuluh kali ganda. Aku tidak katakan ‘Alif Lam Mim’ itu satu huruf, tetapi ‘Alif’ satu huruf, ‘Lam’ satu huruf dan ‘Mim’ satu huruf.”


Aku menyudahkan bacaan lalu kusimpan kitab suci Al-Quran di tempat yang tinggi. Telekung solat kusidai di ampaian kayu. Gemeresik sang cengkerik menyanyi mengindahkan malam. Mata yang masih segar mengingatkan aku pada tujuan petang tadi. Aku selongkar beg yang menyimpan segala khazanahku. Satu per satu buku simpanan diambil lalu dibawa ke katil.


Pintu bilikku diketuk perlahan. Aku tahu siapa gerangannya kali ini. Siapa lagi kalau bukan Imah. Berbeza benar dengan Acu. Kalau ikutkan perangai Acu, sudah tentu dia main redah sahaja.


“Masuklah Imah, pintu tu tak kunci.”


“Imah dah masuk ni kak. Amboi, mengelamun jauh nampak. Sampaikan orang masuk pun tak sedar langsung.” Imah memeluk belakangku, begitulah akrabnya kami dari kecil sehingga dewasa. Kehadiran Acu dalam hidup kami walaupun ketara sekali bezanya usianya tetap tidak mematahkan kemesraan kami.


“Mana ada akak mengelamun. Tengok ni, akak tengah kira duit ni hah.” Aku sengaja tayangkan buku simpananku kepadanya sebagai bukti.


“Kira duit? Banyaknya duit kak long, sampai empat buku bank sekali simpan. Tak sangka Imah punya kakak seorang jutawan.” Usiknya. Kata-kata Imah aku sambut dengan ketawa.


“Banyaklah kakak Imah ni jutawan, hutang banyak la... keliling pinggang tau.”


“Nak buat apa dengan buku-buku bank tu kak.”


“La... budak ni. Tadi kan akak dah beritahu.”


“Ya la, nak kira tu nak buat apa? Nak bayar deposit nak beli rumah ke, nak beli kereta ke, atau apa-apa lah.” 


“Hmm... kira duit nak buat majlis kahwin Imah,” ujarku bersahaja.


Imah diam.


“Kenapa senyap pulak ni. Tadi galak bertanya.” Aku berkalih menghadapnya. Wajahnya sedikit mendung. 


“Kenapa? Imah ada masalah dengan tunang Imah ke?” soalku sambil tangan mulai menyimpan buku-buku simpanan. 

Aku mahu memberi sepenuhnya tumpuan pada permasalahan Imah.

Sebelum ini aku tidak pernah bertanyakan tentang bakal adik iparku, siapa namanya, tinggal di mana atau kerja apa? Entah aku rasa berat untuk bertanya. Dulu masa opah bercerita panjang lebar, aku buat endah tak endah sahaja.


Sekarang takkan aku terhegeh-hegeh hendak bertanya itu ini, risau juga Imah cemburu. Bukan ke dulu aku yang menolak untuk dijodohkan dengannya. Sebab itulah aku tidak  ambil pusing siapa bakal adik iparku.


“Dia dah balik ke Malaysia kak,” beritahunya malu-malu.


“Bagus la tu. Orang lain kalau tunang dah balik, mesti mukanya manis. Awak ni kecut aje kenapa? Tak suka dia ada kat Malaysia ke?”


“Bukan macam tu kak.” 


Imah mendiamkan diri beberapa ketika, aku menunggu penuh sabar apa yang ingin diluahkannya. Pasti ada rasa berkecamuk dalam fikiran Imah waktu ini. Jarang sekali dia meluahkan perasaannya kepadaku walaupun kami akrab. 


“Hmm... Dia tak pernah hubungi Imah pun.” Aku terdiam. Pelik juga dengan kata-kata si Imah. Takkanlah tunangnya tidak pernah langsung menghubunginya? Aku raih tangannya itu lembut. Kulitku menyentuh kulitnya. Aku cemburu dengan kemulusan kulit Imah. Pandai sungguh dia menjaga diri.


“Imah ingat dia akan call Imah tapi dah dua bulan dia tak hubungi Imah langsung. Masa dia belajar luar negara dulu, sesekali ada juga dia hantarkan e-mel bertanyakan khabar. Tapi sekarang... hmmm.” Imah menarik nafas bagaikan sedang mengingati kembali perhubungan mereka. 



Aku merasa simpati. Mungkinkah disebabkan penolakan aku dulu menerima lelaki itu menyebabkan dia melayan Imah begini? Rasa bersalah terkurung dalam jiwa. Bertahun Imah menunggu dengan sabar dan aku tahu dia tentu tidak pernah putus memanjatkan doa agar jodohnya berkekalan. Wajah sugul itu aku tatap. Aku tidak mahu Imah terseret dalam kancah kemurungan.


“Kenapa Imah tak hubungi dia?”


“Imah takut la kak. Nanti dia cakap apa pulak. Imah yang terhegeh-hegehkan dia.”


Ada betul juga kata Imah itu. Aku mula memikirkan yang bukan-bukan. Entah-entah tunang Imah tidak bersetuju dengan cadangan kedua orang tuanya ataupun sudah jumpa dengan minah bermata biru kat sana. Langsung lupa tunang di sini.


Kurenung wajah Imah yang kembali mendung. Apa yang harus aku katakan lagi. Aku juga tidak memahami situasi mereka. Semasa pertunangan mereka dilangsungkan, aku berada di bumi kanggaru menyambung pelajaran di sana. Aku memang sengaja melarikan diri daripada menjadi bahan bebelan panjang mulut Opah.


“Sabarlah Imah. Dia sedang menguji Imah tu. Akak percaya pasti dia akan telefon Imah.” Aku hanya berupaya menyedapkan hati Imah. Kulihat dia tersenyum kelat. 


 “Imah nak tanya kak long boleh.” Dia memandang tepat ke wajahku seolah-olah apa yang ingin ditanyakan itu soalan yang boleh membuatkan aku meletup. Aku cuba berlagak biasa walaupun pernyataannya mengundang debar.

“Nak tanya apa? Tanyalah. Kak long tak makan Imah, kalau soalan Imah tu bakal menjerat leher kak long sekalipun.” Imah tergelak kecil. Baru senang hatiku apabila melihat dia tidak monyok seperti tadi.

“Kenapa kak long tak makan Imah kalau soalan Imah tak kena pada kak long?” Boleh dia tanya aku soalan macam tu? 


“La... budak ni, soalan tu yang Imah nak tanya? Macam mana la kak long nak makan Imah, badan Imah ni banyak isi. Tak lalu la nanti, tercekik kak long dengan isi Imah yang berlemak tu.” Sakatku.

“Hmmm... Acu beritahu Imah yang kak long dah ada pakwe. Betul ke?” soalnya takut-takut. Patutlah gelisah sahaja dari tadi. Ada udang si sebalik mi rupanya. 


“Hah! Acu cakap macam tu? Nak kenalah budak ni, pandai-pandai aje cakap macam tu.”  Dadaku mulai dihinggapi debar dengan soalan Imah. Wajahnya yang ceria tadi kembali muram. Kenapa dengan jawapan itu membuatkan dirinya berubah emosi? Aku bingung lagi. Susah sungguh untuk memahami sekeping hati Imah.


“Hmm... Kenapa Imah? Kalau kak long takde pakwe lagi kenapa?”


“Takde apa-apa kak.”


“Ha... ni mesti Imah dah tak sabar nak berumah tangga, kan. Baik Imah mengaku cepat.” Usikku lalu menggeletek pinggangnya. Wajahnya merona merah. Aku tahu perasaan Imah. Dia sudah bersedia menjadi seorang isteri kepada tunangnya yang hanya sekali bersua. Kesian Imah... kerana syarat opah, dia menjadi mangsa. Sudah banyak kali aku memberitahu emak, kahwinkan sahaja Imah. Jangan ditunggu jodohku yang entah bila sampainya. Tetapi opah berdegil, dia tidak mahu Imah melangkah bendul. Aku hanya mampu mendiamkan diri saat opah membebel sakan.


“Macam inilah Imah. Kak long rasa, tak payah la kita ikut sangat syarat opah tu. Tunang Imah pun dah balik ke Malaysia, kan. Takkan dia masih larat lagi nak tunggu. Dah empat tahun kamu bertunang, tak elok bertunang lama-lama.” 


“Kak long dah ada ke belum?” Lagi soalan itu yang diulangnya.

Aku merenung wajah putih bersih milik Imah. Aku sorot pandangan matanya yang bagaikan tersimpan seribu harapan agar aku mempunyai pilihan hati. 


“Susah kak long nak cakap dik.” Imah mengerutkan keningnya tanda tidak mengerti dengan apa yang aku tuturkan. 

“Sebenarnya kak long sendiri pun tak tahu nak kategorikan bagaimana perhubungan kami. Hendak dikatakan bercinta, dia tidak pernah mengungkap kata cinta atau sayang. Hendak dikatakan sebagai kawan, kami terlalu rapat sehinggakan kawan kak long cakap kami memang bercinta. Pening juga akak sebenarnya dik. Takkanlah kak long nak luahkan pada dia, nanti orang kata apa pulak. Perigi cari timba. Malulah akak.”

Imah memegang kedua-dua belah bahuku. Dia tersenyum lalu dibisikkan ke telingaku.


“Imah doakan akak berjaya menawan hati dia ya.” Pengakuan aku itu membuatkan Imah sedikit lapang. Ada garis-garis senyuman di bibirnya. Dia mengangguk kecil. 


“Imah jangan beritahu sesiapa dulu ek. Selagi kak long belum pasti lagi hubungan kami, Imah simpan dulu rahsia ni. Kalau opah risik khabar daripada Imah pun, Imah janji dengan kak long jangan beritahu opah.” Imah mengangguk menyetujui syarat-syarat yang aku berikan kepadanya walaupun riak-riak kebingungan ada di situ. Lambat-lambat Imah mengukir senyum.


“Hoit! Kat sini rupanya dua anak dara emak ya. Orang cari keliling kampung tadi, rupanya cucu Makde Esah ni melepak kat sini.”


Kami sama-sama terperanjat apabila Acu menyergah. Luruh jantungku ketika ini. Dadaku mulai berdebar apabila melihat Acu tersengih. Apakah perkara yang kami katakan tadi didengari oleh si mulut tempayan ini? Aku memandang Imah. Dia masih mengurut dadanya disusuli gelak tawa Acu yang menyakitkan telinga. Kurang sopan betul!






EMPAT HARI berada di sisi insan tersayang terasa cepatnya waktu berlalu, walaupun malam terakhirku sedikit tercalar dengan ketegasan opah. Kata-kata opah malam tadi  begitu menyentak hatiku dan aku juga dapat rasakan sebagai seorang ibu, emak juga turut merasa tempiasnya. Kebimbangannya semakin terserlah apabila aku mahu pulang semula untuk bekerja.


“Belum ada keturunan aku langkah bendul Maira. Selagi aku masih hidup, jangan sesekali kau cuba nak buat macam tu. Selagi kau belum kahwin, Imah juga takkan kahwin. Aku tak nak orang kampung mengata kau anak dara tua, anak dara tak laku. Apa nak jadi... jadilah. Kalau kau tak bawak juga lelaki untuk kau jadikan suami sampai hujung tahun ni, aku akan terima pinangan sesiapa aje yang masuk meminang kau asalkan Imah tak langkah bendul. Faham!” Kecut perutku apabila buat pertama kalinya melihat opah seserius begitu. 


Tegas kata-kata opah sebelum dia meninggalkan kami empat beranak terkulat-kulat di ruang tamu. Jarang sekali aku melihat opah bersikap seperti itu. Tentu ada yang mengusik hati tuanya. Aku akur kata-kata opah ada benarnya. Sesekali aku terdengar juga bisikan orang kampung mengenaiku tapi aku hanya memekakkan telinga. Tidak sangka pula kata-kata itu sampai juga ke telinga opah.


Aku memandang wajah sayu emak. Kasihan dia. Zaman moden sebegini pun orang kampungku masih lagi kuno. Kalau sudah jodoh adik aku sampai dulu, biarkanlah.  Kahwinkan aje daripada dibiarkan dia membuat maksiat. Suka sangat jaga tepi kain orang, tapi kain sendiri koyak-rabak. 


“Mengelamun pulak budak ni, kain baju dah kemas ke?”

Lamunanku tiba-tiba terpancung dengan suara emak secara tiba-tiba. Emak duduk di sisi lalu wajahnya memandang tepat ke dalam anak mataku. Melihat emak begitu, hatiku berdetik. Pasti ada sesuatu yang ingin dinyatakan. Dia berkalih pula kepada Acu. Melihat adikku turut serta, emak serba salah meluahkan apa yang ingin dikatakannya. Melihat emak tidak jadi membuka rahsia hatinya, akhirnya aku bersuara.


“Nak berkemas apanya mak, Maira bukan bawak baju pun. Duduk kat sini pun, Maira pakai baju Acu.” Jawabku sambil menjeling manja ke arah Acu yang mencebik.


“Senang je akak ni mak, ikut suka dia aje pakai baju orang.” Rungut Acu yang sememangnya cukup lokek untuk berkongsi barang miliknya.


“Dah baju Acu cantik-cantik, lawa-lawa. Ala... bukan luak pun akak pinjam. Nanti kalau dah berlubang, akak belikan yang baru.” Usikku.


Acu memuncungkan bibirnya. Aku tergelak melihat wajahnya yang masam mencuka.


“Mak nak masak dulu. Acu turun ke dapur, tolong mak pulak. Jangan ganggu kak long kau tu, nanti tak berkemas kain baju dia.” Emak bersuara lalu bingkas bangun diikuti Acu dengan wajah cemberutnya meninggalkan aku sendirian.


Mataku tetap mengekor pergerakan pantas emak dan Acu. Mata tua itu seakan menyembunyikan sesuatu. Sesak nafasku seketika. Penat memikirkan apa yang akan terjadi denganku. Hal Imah semakin membuatkan fikiranku kembali sesak. Begitu juga hubunganku dan Kamil Hakim yang belum bertemu noktah, sudah tentu ia makin menyukarkan. Aku melepaskan nafas mencari rentak irama ketenangan. Moga ada jalannya untuk aku. 



KU TINGGALKAN pekat malam yang mendamaikan lalu mendaki ke puncak malam yang membingitkan. Cahaya bulan berpadu dengan kemilau neon yang berwarna-warni menambahkan seri alam. Kesibukan kota mulai terasa. Nyawa-nyawa yang meminta untuk kelangsungan hidup berselerakan meminta simpati. Rasa sedih melihat bangsa sendiri mengemis di bumi tercinta membuatkan aku mengucap syukur kepada Allah. Limpah rezeki-Nya untuk kami sekeluarga masih cukup untuk kehidupan kami.

Aku menahan teksi. Hanya menyebut ke mana hala tuju, teksi menderum meninggalkan kesibukan yang tidak pernah lengang dengan lautan manusia yang tidak kenal erti kegelapan malam. Alhamdulillah selamat juga aku sampai ke rumah sewaanku walaupun sepanjang perjalanan tadi aku bagaikan tidak jejak ke bumi memikir perihal diriku yang masih membuat opah kembali dingin. Opah hanya menjenguk aku di muka pintu tidak seperti sebelum-sebelum ini. Apakah perlu aku mengalah demi impian opah? Melihat keruh air mukanya membuatkan aku sering dihimpit bersalah.


“Apa cerita kampung kita?” Naziah menghampiriku dengan senyuman.


“Takde apa, macam tu jugalah, tanam padi tumbuh lalang.” Naziah menjeling, nasib baiklah dia tidak perasan kekusutan fikiran yang melanda diriku. Di tangannya ada dua cawan kopi yang telah siap dibancuh. Satu dihulurkan kepadaku.


“Aku sempat singgah rumah mak kau kejap, dia asyik tanya aku bila kau nak ada pakwe. Umur dah meningkat, rambut makin banyak yang putih. Entah bila la dia dapat merasa nak timang cucu.” Sengaja aku mengusik Naziah. Matanya dibulatkan. Malu tapi mahu.


“Kau ni kan Maira, pandai aje karang cerita. Bukan aku tak kenal kau tu. Satu mak aku cakap, kau sampaikan pada aku sepuluh cerita.”


Aku mengekek ketawa melihat wajah Naziah berubah kelat. Geram mungkin dengan kata-kataku. 


“Ala kau ni pun… itu pun nak ambik hati, aku gurau ajalah.” Air di dalam cawan kuteguk perlahan-lahan. Kopi buatan Naziah memang sedap sekali.


“Mak kau kirim salam. Dia cakap tolong tengok-tengokkan kau.” Naziah tersenyum manis lalu menjawab kiriman salam ibu tercintanya itu.


“Aku tengok mak kau makin berseri-serilah sekarang ni. Ada apa-apa ke Zie?”


“Ada apa-apa? Maksud kau?”


“Manalah tahu mak kau dah terjatuh hati pada seseorang ke?” soalku bersahaja. Naziah memandang tepat pada wajahku.


“Kenapa kau tengok aku macam tu?” Aku membalas renungan Naziah. Mungkin dia kurang selesa dengan apa yang terkeluar dari mulutku itu.


“Kau ni kan...”


“Kenapa Zie? Kau tak suka mak kau kahwin lain ke? Aku bukan apa Zie, kesian juga tengok mak kau sorang-sorang kat kampung tu. Nak harap kau kahwin, tak tahu bilanya. Tapi kan Zie, kalau mak kau dah ada yang berkenan, baik restukan aje.” Aku sekadar memberi cadangan. Aku tahu Mak Cik Hanim mempunyai hubungan dengan seseorang pun dari mulut opah. Itu pun semasa dia menyindirku. Katanya, yang sudah lama menjanda pun hendak kahwin baharu, aku anak dara ini masih juga belum laku-laku.


Kupandang wajah Naziah sekilas. Dia diam membisu. Mungkin ada rahsia tersimpan kemas yang tidak mahu diceritakan kepadaku. Walaupun sepatutnya tiada rahsia di antara kami, namun aku tidak akan sesekali memaksa. Tidak semua hal boleh dikongsi.

“Kenapa kau diam ni? Kau tak suka aku cakap macam tu? Apalah kau ni Zie, aku bergurau pun kau ambil serius. Sensitif betullah sejak bercinta dengan Badli ni. Kalau kahwin nanti, tak tahulah macam mana. Mesti merajuk terus dengan aku, kan.”


Aku membaling bantal kecil ke arahnya mengembalikan keceriaan yang bagaikan hilang setelah aku berbicara soal nikah kahwin emaknya. Bukan sengaja aku membangkitkan soal  itu. Aku kasihan melihat emaknya kesunyian tinggal keseorangan. Roslan dan Roslin, adik kembarnya pula tinggal di asrama. Apakah Naziah tidak pernah memikirkan keadaan emaknya di kampung?


Telefon bimbitku berdering tiba-tiba membuatkan aku dan Naziah tersentak. Aku memandang skrin telefonku. Tertera nama Kamil Hakim.


“Ehem... ehem...” Naziah berdeham. Sengaja dia mengusikku. Dapat dia agak siapa pemanggilnya sekarang ini. Aku bingkas bangun dan berlalu ke bilik. Naziah hanya ketawa 

melihat reaksiku.

“Assalamualaikum...” Salam dihulurkan. Suara yang telah lama kurindui. Terasa bergetar jantungku saat mendengar suaranya di hujung talian.


“Waalaikumussalam,” jawabku sopan. Aku duduk di birai katil, senyuman masih melebar di segenap bibir. Berada di bilikku ibarat berada di taman bunga yang di kelilingi dengan kuntuman bunga-bunga yang sedang berkembang mekar.


“Awak apa kahabar? Lama tak dengar berita, maklumlah dah jumpa buah hati kat kampung, terus tak hirau panggilan kita.”


Aku hanya ketawa mendengar suara separuh merajuknya. Bukan aku melupakannya tapi keadaan yang memaksa. Aku tidak mahu keluargaku mengetahui siapa Kamil Hakim di hatiku saat Kamil Hakim masih lagi menganggap aku sebagai kawannya. Tidak mahu opah mengharap apa yang belum pasti.


“Bertambah baik... kan baru lepas jumpa buah hati.” Sengaja aku mengusiknya. Dia di hujung talian diam membisu. 


“Kamil...” panggilku setelah talian sepi. Sangkaku talian telah terputus tadi. Aku merenung skrin telefon, namanya masih tertera. Aku tersenyum. Apakah itu tandanya Kamil Hakim cemburu? Aku semakin melebarkan senyuman. 


“Kamil... awak masih ada lagi di alam nyata ni?” Aku ketawa kecil dengan soalan lucuku itu.


“Ada...” suaranya mendatar.


“Seronoknya orang tu dapat jumpa buah hati, kan. Tentu banyak perkara nak diceritakan.”


“Tentulah seronok. Awak takde buah hati ke? Takkan belajar kat luar negara takde buah hati. Entah-entah keliling pinggang.” Ujarku sengaja memancing supaya dia bercerita mengenai teman wanitanya jika ada. Aku ingin mencari kepastian sebelum kasihku semakin bersemi untuknya. 


“Saya ni tak hensem, tak berduit. Lainlah awak tu. Cantik, manis, comel...” pujinya. 

Aku hanya ketawa. Bukan termakan dengan pujiannya tapi ketawa mendengar suaranya yang semakin mengendur. 


“Orang lelaki ni mulut bukan main lagi manis, kan. Bila dah terkena baru tengadah.”

Dia hanya ketawa mendengar kata-kataku. “Macam mana tak cakap manis-manis. Dah di hujung sana memang manis orangnya.”


Aku hanya mencebik. Sudah tentu dia tidak nampak apa yang aku lakukan saat ini.


“Tak baik mencebik macam tu.”


Aku terdiam. Apakah dia nampak apa yang aku buat? Di mana dia sekarang ni? Aku bingkas bangun, menjenguk ke tingkap sambil langsir bilik aku tarik menutupi wajah. Manalah tahu dia sekarang ini tengah mengintai aku. Tapi mustahillah! Di depan bilikku bukannya ada rumah, tidak ada tempat yang sesuai untuk mengintai atau meneropong.


“Kenapa menggelabah aje?” Suaranya di hujung talian semakin mengejutkan aku. Baju kelawar yang menjadi baju tidur kuperhatikan. Aku memandang ke atas syiling bilik, mencari tempat-tempat yang dirasakan logik untuk dia menyembunyikan kamera.


“Awak cari saya ke tu? Diam aje dari tadi.” Dia masih ketawa.


“Takdelah.” Aku menutupi rasa gelabahku. 


“Err... awak kat mana ni?”


“Kenapa? Awak nak ajak saya keluar ke?”


“Jomlah.” Laju aku menjawab. Niatku hanya satu, untuk memastikan di mana dia berada ketika ini. 


“Okey. Lagi 30 minit saya datang ambik awak.” Katanya lalu talian dimatikan.

Aku tersenyum sendirian. Apa yang aku fikirkan tadi hanya perasaan takutku sahaja.



NAZIAH TERSENYUM memerli apabila aku memberitahu dia bahawa sebentar lagi aku mahu berjumpa dengan Kamil Hakim. Aku hanya berlagak selamba walaupun dalam hati mengutuk diri sendiri. Aku baru sahaja sampai tapi sudah mahu bertemu. Macam takde hari lain, kan. Namun tidak aku terangkan kepadanya kelancangan mulutku yang mengajak Kamil Hakim keluar.


Keletihan kusembunyikan. Setiap kali Naziah bertanyakan tentang hubunganku dengan Kamil Hakim, aku cuma memberi jawapan selamat. Tapi dia tetap mempertahankan pendapatnya bahawa aku dan Kamil Hakim mempunyai hubungan rahsia. Mendengar telahannya aku hanya ketawa sahaja. Tidak mahu menafikan dan juga mengiakan. Biarlah waktu yang menjawab segalanya. Dan perasaan itu terus mekar mewarnai di ruang hatiku yang telah lama menantikan jejaka misteri itu.


Pertemuan kali ini membuatkan aku sedikit resah. Kami berbalas pandangan, bagaikan melepas rindu yang barangkali telah lama tersimpan di lubuk hati masing-masing. Namun hatiku tiba-tiba menolak. Untuk apakah rindu itu jika perhubungan kami masih belum menuju ke arah dua hati menjadi satu? Aku menundukkan wajahku saat Kamil Hakim merenungku. Malu dan rasa bersalah pula membiarkan diri ini diperhatikan lelaki yang belum tentu lagi menjadi milikku. Mengapalah aku tidak terfikir mengajak Naziah bersama tadi.


“Cantik awak malam ni.” Kata-kata yang barangkali tidak aku sangka terlafaz di bibir Kamil Hakim. Aku hanya tersenyum kelat. Tidak tahu pujian itu ikhlas atau hanya sekadar mainan di bibirnya. Suasana yang sedikit sepi itu bagaikan membekukan segala saraf. Sesekali aku memandang wajah Kamil Hakim yang masih merenungku. Hati mula berdebar. Sungguh! Aku tidak selesa apabila direnung begitu.


“Awak dah berpunya?”


Soalan itu menambahkan lagi dahan-dahan kegugupan dalam kegelisahanku. Mengapa malam ini dia sering kali bertanyakan soal hati? Aku mula rasa tidak selesa tapi aku lihat dia semakin galak bertanya. Mungkinkah ini petanda awal musim penantianku akan berakhir? Aku cuma menggelengkan kepalaku.


“Mustahil orang cantik macam awak ni takde yang sudi, kan.”


Aku menghela nafas panjang. Mungkin inilah masanya Kamil Hakim meluahkan isi hatinya terhadapku. Debaran di dada terasa semakin kencang namun aku berusaha mengawalnya supaya resah itu tidak terpamer di wajah.


“Cantik bukan ukuran bertemu jodoh, Kamil. Awak tengok berapa ramai lagi model yang cantik-cantik macam Nasya Aziz tu tapi tak kahwin-kahwin juga.” 


“Dia tu memilih sangat. Sebab itulah tak kahwin-kahwin lagi.”

“Itulah namanya takde jodoh. So cantik bukan ukurannya bertemu jodoh. Ramai yang tak cantik tapi dah berderet anak, kan.”


“Cakap dengan awak saya memang kalah.” Aku hanya ketawa mendengarnya.


“So awak pula macam mana? Takkan tak bertemu lagi dengan wanita yang awak idamkan.” Soalku membalas kembali apa yang ditanyakannya. Cuba mencungkil dari segenap sisi hatinya.


“Ada...” jawabnya sepatah.


Terasa jantungku berdenyut tidak sekata. Wajahnya kurenung tanpa kata. Dia hanya tersenyum tawar, bagaikan jawapan itu telah lama dia simpan. Aku masih  memerhatikannya.


Boleh percaya atau tidak kata-katanya itu. Mungkin juga sekadar gurauan untuk menguji hatiku. 


“Kenapa? Awak kecewa ek bila saya cakap saya dah ada.” 


Ah! Dia kenakan aku pula. Aku pandang ke arah lain saat mata kami bertemu.

“Perasannya awak ni. Kalau dah ada, saya ucap tahniah la. Kalau belum tu, baik awak cari calonnya cepat-cepat.” Balasku bersahaja walaupun di hati ini bagaikan mahu pecah jantungku.


“Kalau saya takde calon, awak sudi jadi calonnya?” Rona wajahku mula bertukar warna. Sungguh! Apabila ditebak soal hati, perempuan mana yang tidak merasa seperti aku rasai ketika ini.


“Kalau saya cakap saya sukakan awak,” ucap Kamil Hakim tiba-tiba.


Jantungku yang tadi sedikit resah semakin mengganas resahnya. Dia terus memandangku, menanti jawapan agaknya. Aku tersenyum tapi entah apa bentuk senyumanku. Kata-kata itu betul-betul membuatkan aku tergamam, lidah menjadi kelu namun bukankah ini yang aku tunggu-tunggukan selama ini? Ucapan yang sekian lama dinanti keluar dari mulutnya. 


Panahan matanya membuatkan aku serba tidak kena. Hendak diminum air, hanya tinggal gelas kosong pula. Apakah malam ini menentukan hala tujuan perhubungan kami? Aku menjongketkan bahu lalu menunduk, kalbuku diselubungi malu. Ketawa kecil meletus dari bibirnya. Indahnya kurasakan tika dan saat itu mendengar tawanya. Segala keresahanku selama ini menghilang pergi. Imah... tak lama lagi pasti Imah akan dapat kahwin. Desisku ikhlas dalam hati kerana waktu ini Kamil Hakim sudah menyatakan rasa hatinya walaupun masih lagi kabur.

No comments:

Post a Comment