Monday, 23 February 2015

Dia Yang Terpilih - Bab 9

TAHNIAH! Tahniah Maira, akhirnya kau dilamar juga.” Jerit Naziah sambil terlompat-lompat kegembiraan. Aku tersenyum lebar, kulit wajahku merona merah. Malu tapi gembira itulah yang aku rasai saat ini. Bunga-bunga cinta mulai menari-nari di depan mata. Tiada kata mampu aku ucapkan melainkan memanjat syukur kepada Yang Esa. Wajah kegembiraan Naziah aku tatap sekian kalinya. Dia masih lagi  melebarkan senyum. Saat ini Naziah dan aku berkongsi rasa.

“Zie... aku masih tak percaya dia luahkan perasaannya pada aku Zie. Aku benar-benar tak sangka, rasa seperti mimpi aje. Betul ke ni Zie.” Hampir menangis tatkala aku meluahkan rasa gembiraku kepada Naziah, dan ternyata Naziah dua kali ganda lebih gembira daripadaku. Pelik aku dengan perubahan sikapnya.

“Eh, apa pulak tak betulnya Maira. Kau nak aku tampar muka kau ke baru kau nak kata itu bukan khayalan.”

“Aik... ambik kesempatan nampak…” Aku melarikan wajahku apabila tangan Naziah sudah berada di atas. Naziah ketawa besar. Aku turut sama-sama ketawa. Dia memelukku erat. Pelukan gembira barangkali.

“Kau tu yang tak percaya sangat. Aku dulu, masa dilamar Badli pun takdelah macam kau ni. Biasa aje.” 

“Itulah kau... kau bercinta tak thrill langsung. Jumpa aje terus cakap jatuh cinta. Kalau aku ni lain la. Thrill je memanjang.” 

“Hmm... itu nasib baik dia luahkan pada kau. Kalau dia tak luah macam mana? Bertambah thrill lagi kisah cinta kau tu, kan.” Naziah mencebik.

“Hahaha... kau ni ada-ada ajalah Zie.”

“So sekarang impian kau dah tercapailah ni.”

“Hmm… no, no... belum lagi... ini baru hampir-hampir Zie. Selagi aku belum sah jadi hak dia, selagi itulah kebarangkalian untuk membina impian aku itu tidak tercapai tetap ada.”

“Chewah... main kebarangkalian bagai. Kalau dah suka sama suka tu, dah cintan-cintun tu, takkan la tak tercapai lagi. Kau tak suruh dia masuk meminang ke?”

“Hmm... takkan aku nak suruh. Tapi aku ada bagi hint, kalau dia betul-betul nakkan aku, dia kena jumpa opah dan mak aku dulu.”

“Ada pulak macam tu. Kau ni serius ke tak dengan Kamil? Habis tu dia cakap apa?” Naziah mengerutkan keningnya. Masih keliru agaknya. 

“Dia kata insya-Allah. Dalam sebulan dua ni.”

“Mak aii lamanya. Kenapa sebulan dua? Kenapa tak suruh aje minggu depan?”

“Eh! Kau ke aku yang dilamar ni? Biarlah. Takkan aku nak gesa dia pulak. Dia cakap macam tu pun aku dah rasa lega sangat, gembira sangat-sangat.” Ucapku bersama senyuman panjang.

“Lepas ni Imah dapat la bersanding atas pelamin dengan tunangannya tu. Dua kalilah aku dapat makan nasi minyak free. Untungnya. Bila pulak turn aku ek.” Naziah memeluk bantal. Dah mula berangan la tu. Aku bangun, ingin beredar menuju ke kamarku. Aku lihat Naziah masih terkebil-kebil. 

“Kau tu jual mahal sangat. Kan Bad dah lamar kau. Tunggu apa lagi? Jangan tunggu lama-lama nanti dikebas orang Zie.” Aku cuma mengingatkannya yang sering mengambil mudah akan hal itu. Bimbang pula dia merana nanti. Entah apa lagi yang ditunggu. Badli tidak kurang hensemnya, tapi liat pula temanku itu hendak menamatkan zaman bujangnya.

“Banyaklah kau punya kebas. Badli tu, aku sorang aje yang boleh tahan dengan perangai dia. Dah la wei senyum tu, jeles pulak aku tengok.” Marah Zie apabila senyumanku masih lagi belum pudar. Aku mula membina angan-angan. Bagaimana nanti aku nak membuka mulut di depan opah dan emak. Aduhhh... malunya nanti. Apakah ayat yang sesuai untuk aku khabarkan kepada emak dan opah ek? Segannya aku. Sebelum ni aku tak pernah ceritakan kepada emak aku berkawan dengan sesiapa pun. Tentu terkejut sakan emak dan opah nanti. Tapi aku pasti opah antara orang yang paling gembira mendengar khabar ini. Sungguh! Siang tadi begitu bermakna dalam hidupku. Aku langsung tidak menyangka Kamil Hakim akhirnya meluahkan juga rasa hatinya kepadaku. Aku ingatkan aku sudah tidak ada harapan lagi untuk hidup bersama dengannya, maklumlah dia masih belum bersedia menyatakan isi hatinya. Sedangkan hatiku telah lama menunggu kalimah itu.

“MAIRA...”

Aku mengangkat wajah lalu memandang seketika Kamil Hakim yang bagaikan ingin berkata sesuatu. Sesaat pandangan kami bertemu dan dia hanya tersenyum tapi senyumannya nampak sukar. Aku mengerutkan kening. 

“Maira... ada sesuatu Mil nak cakapkan pada Maira.” Tuturnya tenang.

“Hmm...” bagaikan payah untuk aku luahkan. Aku jadi kalut semacam. Jantungku bagaikan kena palu. Bergetar hebat. Tanganku mula terasa sejuk. Dia tersenyum. Sengaja mendera hati dan perasaanku ketika ini.

“Mil nak lamar Maira. Sudikah Maira menjadi isteri Mil?” lancar sebaris ayat itu terpacul dari ulas bibirnya. Aku menunduk malu. Merona merah wajahku ketika itu. Ayat keramat yang telah lama aku tunggu akhirnya terluah juga. Apakah Kamil Hakim mahu menunaikan janjinya? Ya... aku teringatkan sekeping nota yang pernah sampai ke tanganku melaluinya. Tulisan tangan yang cukup indah aku kira daripada seorang lelaki sepertinya.

“Insya-Allah suatu hari nanti bersaksikan bulan dan bintang akan kulamar dirimu menjadi permaisuriku.”  

Ringkas sahaja ayatnya tapi mengundang debar dan pertanyaan silih berganti. Aku terkaku. Betulkah apa yang aku baca ketika itu ditujukan buatku. Aku langsung tidak menyangka Kamil Hakim menyampaikan sendiri secebis nota itu kepadaku, walaupun antara aku dan Kamil Hakim tidak pernah bersembang. Mengapa tidak mulutnya sendiri mengatakannya? Bukankah itu lebih senang? 

Aku jadi hairan setelah dia berlalu. Nota itu masih tersimpan kukuh di dalam diari hatiku. Malah ke mana sahaja akan kuselitkan di dalam purse kecilku itu. Aku hanya mampu melihatnya meninggalkan aku tanpa sepatah kata. Pelik bukan? 

Saat nota itu berganti tangan, dia bagaikan tidak berperasaan. Itu enam tahun dahulu. Luahan itu benar,  cuma waktu sahaja yang tidak menepatinya. Bukankah dia mahu melamarku bersaksikan bulan dan bintang. Tapi yang terjadinya kini, kami bersaksikan matahari yang memancar terang. Ah! Bagaimanapun keadaan lamaran itu, aku telah bersedia melengkapkan sekeping hatiku ini untuknya. Moga perhubungan kami mendapat keberkatan. 


 AKU INGIN mengecap bahagia seperti mereka yang aku kenali. Merasai nikmat kasih sayang di antara suami isteri seperti emak dan abah sehingga abah menghembuskan nafas terakhirnya. Sungguh ketulusan cinta mereka begitu menyentuh perasaanku. Aku juga ingin dikurniakan seorang suami yang penyayang seperti abah.

Kamil Hakim... sebaris nama yang tersemat di hati sanubariku semakin menampakkan kekukuhannya berada di takhta hati. Aku tersenyum lagi tatkala ungkapan lamarannya mengulang tayang di pendengaranku. Manis sungguh saat dilamar seseorang yang pernah mengetuk pintu hati. Bunga-bunga cinta mula berkembang mekar. Ulas bibirku kini tidak pernah kering dengan senyuman. 

Beginikah nikmat bahagia orang berkasih? Saat Kamil Hakim menetapkan tarikh untuk datang bertandang ke kampung, Naziah tidak henti-henti mengusik. Kegembiraanku menjadi kegembiraannya. Tidak dapat aku bayangkan hari-hari bahagia kami nanti. Terlayar wajah-wajah yang aku sayang. Tentu wajah Imah bertambah seri. Pernikahanku nanti bakal menoktahi penantiannya selama ini. 

Aku harap Imah akan bahagia dengan pasangan pilihan keluarga kami. Opah… Aku pasti opah la orang yang paling gembira di antara kami. Hajatnya dan hajat abah akan  termakbul. Hujung minggu nanti aku akan perkenalkan Kamil Hakim kepada mereka. Tidak sabar rasanya melihat wajah emak tersenyum manis menerima kunjungan lelaki pertama yang akan kubawa pulang untuk diperkenalkan kepada mereka. Semoga Allah permudahkan apa yang kami hajati dan kami rancang ini.

“Awak dah bersedia hujung minggu nanti?” soalku tatkala kami mula mengambil tempat di hujung sudut restoran makanan segera itu. Menu malam kami cuma ayam goreng
KFC.

“Bersedia? Hujung minggu? Maksud awak?” Pertanyaan Kamil Hakim mengundang debar di hatiku. Masakan dia tidak ingat hari yang kami janjikan itu. 

“Betul awak tak ingat ni?” soalku mencari kepastian. Kamil Hakim kurenung penuh mengharap. Aku tidak suka  ia permainkan perasaanku seperti ini. Wajahnya serius memandangku. Aku jadi tidak menentu. Apakah aku tersilap cakap? Serba salah pula aku dibuatnya. 

“Hahaha... bila awak gelabah, awak nampak sweet sangat. Saya suka.”

Bagai mahu luruh jantungku saat mendengar pernyataan nakalnya. Pandai dia permainkan perasaanku. Rasanya mahu saja aku hempuk kepalanya dengan handbag di tangan. Kamil Hakim masih ketawa dengan usikannya. Ketawa yang mendamaikan jiwa. Aku suka melihat dia ketawa. Bila dia ketawa, matanya akan mengecil, pipinya akan menggelembung.

“Sukanya hati awak. Perkara macam ni pun awak boleh bergurau lagi.” Marahku apabila tidak dapat menahan diri melihat dia semakin nakal. Geram pula dibuatnya. Sudahlah aku segan hendak perkenalkan dia kepada isi rumah, boleh pula dia buat lawak. Malu aku kalau tak jadi. Kesian emak di kampung tu.

Dia mengangkat tangan sambil mulutnya menahan tawa. Elok juga aku belum khabarkan lagi kedatangan kami. Aku harus berhati-hati, tidak mengharapkan seratus peratus kedatangan Kamil Hakim ke kampungku.

“Okey... sorry... sorry… Mil gurau aje.” Katanya sambil menutup sisa-sisa tawanya yang menyakitkan hati. 

“Insya-Allah buat masa sekarang ni dalam jadual kerja saya.” Katanya bersahaja.

“What??? Jadual kerja?” marahku. Dia ketawa lagi.

“Makin manis pulak bila awak marah Maira. Bertambah jatuh hati saya ni. Okey, okey... Insya-Allah, hujung minggu ni saya akan temankan awak balik kampung. Puas hati?” soalnya mengundang malu aku.

“Sabar ya Maira. Saya berharap sangat jodoh kita bersatu.” Ucapnya lembut membuai perasaanku. Hilang rasa geram berganti pula rasa gembira. Akulah wanita yang rasanya dicintai sepenuh hatinya.

“Mil harap keluarga Maira boleh terima Mil.” Matanya merenungku. Ah! Janganlah digodanya aku dengan pandangan begitu.

Aku cuma tersenyum dengan kata-katanya. Begitu juga harapanku terhadapnya. Aku juga berharap aku dapat diterima oleh keluarga Kamil Hakim seadanya. Harapan itu aku sandarkan kepada yang Maha Esa. Kami hanya merancang dan kami berharap apa yang dirancang terjadi dengan izin-Nya. Wajah Kamil Hakim tersenyum manis tatkala mata kami
bertentang. Aku menundukkan wajah. Malu menjadi tatapannya sekali lagi.

“Lepas Mil jumpa mak dengan ayah Maira, Mil bawak Maira jumpa mak ayah Mil pula.” Ujarnya. Kami sama-sama melangkah berjalan beriringan melewati deretan kedai yang masih lagi beroperasi. Makin rancak pula kesibukannya. Aku tersenyum memandang gelagat anak-anak kecil yang merengek meminta ibu bapa mereka belikan barang mainan. Entah bagaimana pula anak-anakku nanti.

“Maira nak bawak Mil jumpa mak dengan opah. Abah Maira dah lama meninggal.” Riak pada wajah Kamil Hakim sedikit berubah. Aku tahu dari reaksinya tadi jelas dia masih belum tahu lagi aku sudah tidak mempunyai bapa.

“Ooo... Maafkan Mil. Jadi Maira ni anak yatimlah.”

“Taklah. Maira anak Abdul Hamid,” kataku bersahaja. Kamil Hakim tertawa lepas selepas dapat menangkap apa yang aku katakan. Aku turut sama ketawa bersamanya. 

“Nakal juga Maira ya. Pandai kenakan Mil.” Kamil

Hakim hampir-hampir mencuit hidungku namun pantas aku mengelak. Menyedari kesilapannya Kamil Hakim tersenyum malu.

“Dah tu, asyik Mil aje kenakan Maira. Sesekali nak juga test power, kan.” Kataku berani, menghalau jauh-jauh rasa bersalahnya itu. Kamil Hakim cuma gelengkan kepalanya beberapa kali. Aku bahagia saat ini.

“Mak!” Perlahan sahaja dia menyebut namun amat jelas di pendengaranku. Waktu kami hendak pulang tanpa disangka, Kamil Hakim terserempak dengan ibunya. Menggelabah juga aku lihat Kamil Hakim waktu itu. Apakah dia belum bersedia lagi untuk memperkenalkan aku kepada emaknya? Mungkin juga terlalu awal kerana dia merancang pertemuan kami setelah dia bertemu keluargaku. Aku melihat wajah emaknya berkerut, ada riak-riak tidak senang pada wajah itu. Aku lemparkan senyuman semanis mungkin kepada emak Kamil Hakim walaupun aku sendiri merasakan senyumanku sedikit tawar dan terasa kegugupannya. 

Senyumanku bersambut namun aku tidak dapat mentafsirkan bentuk senyuman itu. Apakah emaknya tidak menyenangiku, atau pertemuan kami yang tidak dirancang ini membuatkan emak Kamil Hakim terkedu?

Aku ketawa dalam hati. Jika aku berada di tempat emaknya, sudah tentu aku pun begitu. Pastilah Kamil Hakim tidak pernah menceritakan siapa aku kepada emaknya. Kubuang jauh-jauh rasa sangsi di hati. Agaknya mungkin Kamil Hakim mahu mencipta pertemuan yang lebih indah lagi untuk memperkenalkan aku kepada kedua orang tuanya. Sebab itulah
dia kelihatan gelabah.

“Mil…” sapa wanita separuh umur itu. Aku berkalih memandang wajah Kamil Hakim.

Wajahnya keresahan. Mungkin terasa  segan apabila emaknya bertembung dengan kami.

“Mak... apa mak buat kat sini? Mana ayah?” soal Kamil Hakim sambil terteleng-teleng mencari kelibat ayahnya. Ada getar di hujung suaranya.

Aku turut mencari bayang orang tua Kamil Hakim. Hendak juga mengenali ayahnya. Alang-alang sudah terserempak di sini, apalah salahnya jika kami berkenalan seketika walaupun ada debar di hati. 

“Ayah kat rumah. Mak datang dengan Mak Usu kamu, temankan dia beli barangan bayi tu ha.” Muncung mulut emaknya menghala ke dalam kedai menjual peralatan bayi. 

“Ooo... mana Mak Usu? Tak nampak pun,” nadanya sedikit lega.

“Ada tu ha... tengah pilih baju baby. Mak penat sangat berdiri. Itu yang ke sini nak duduk rehat sekejap. Siapa tu Mil? Tak nak kenalkan pada mak ke?” Sesekali mata tua itu mencuri pandang ke arahku. Aku masih memerhatikan wanita yang dipanggil emak oleh Kamil Hakim itu. Riak-riak terkejutnya menghilang. Bibir tua itu mengukir senyum. Paras rupanya begitu tenang untuk ditatap.

“Err… Maira, kenalkan ni mak Mil. Wanita yang Mil paling sayang dalam dunia ni.” Ujar Kamil Hakim mengundang gelak emaknya. Bahu wanita itu didakapnya mesra. Sempat pula emak Kamil Hakim menampar lembut lengan anaknya. Malu mungkin dengan apa yang baru diluahkan oleh anaknya itu. 

“Mak, kawan Mil... Maira.” 

Aku menghulurkan tangan. Menyalami tangan tua itu. Sejuk membeku tanganku ketika itu. Lembut tautan tangan kami bersatu. Aku cuba beriak tenang walaupun di dalam dada hanya Tuhan yang tahu. Jantungku dipalu begitu hebat. 

“Kenapa tak datang rumah. Boleh la kita sembang panjang.”

Aku pandang Kamil Hakim. Rasanya eloklah soalan itu dia yang jawab. Bagaimana aku dapat memberikan jawapan sedangkan anaknya tidak pernah menyuarakan untuk mempertemukan aku dengan orang tuanya. Sudahnya aku cuma tersenyum malu sendiri.

“Senang-senang datang la ke rumah mak cik. Tak payah tunggu Kamil ni ajak. Mak cik ni kalau ada yang sudi datang nak bersembang, mak cik lagi suka. Maklumlah Kamil ni takde adik-beradik. Nak harapkan dia kahwin, entah bila la  dia tu.” Ramah emak Kamil Hakim mengajak aku ke rumahnya walaupun kami baru pertama kali bertemu.

Aku pandang wajah Kamil Hakim, terfikir-fikir apa yang dikatakan emaknya. Dia tiada adik-beradik? Sedangkan Kamil Hakim pernah bercerita yang dia pernah berebut buku adiknya waktu kecil dahulu.

“Mak... malulah cakap macam tu.”

“Nak malukan apa? Bukan mak burukkan kamu pun.” Jeling emaknya sambil tersenyum nipis. 

“Mak… Mil minta diri dululah. Nak hantar Maira balik.”

“Haah... elok-elok bawak anak dara orang tu Mil. Hantar sampai depan rumah, jangan nak melencong ke tempat lain pulak. Tak manis orang nampak.” Pesan emaknya kedengaran ikhlas.

“Baiklah mak, Mil pergi dulu.”

“Maira pergi dulu mak cik,” aku menyalami sekali lagi tangan tua itu. Senyumannya nampak tulus.

“Yalah... senang-senang datang la rumah.” Aku hanya mengangguk. Dia melemparkan senyuman bagaikan merestui perhubungan kami. Nampaknya pertemuan secara tidak sengaja dengan emak Kamil Hakim benar-benar mempermudahkan hasrat kami.

“Mak awak nampak muda la Mil. Saya ingatkan kakak awak tadi. Kalau awak tak perkenalkan dia sebagai mak awak, sampai ke sudah saya sangka kakak awak.” Ujarku memancing perbualan. Sejak kereta berlalu, dia hanya diam bagaikan memendam sesuatu.

“Hahaha…yalah tu... ni nak bodek ke apa?” Lega hatiku tatkala Kamil Hakim ketawa.

“Isy... awak ni ke situ pulak. Saya nak bodek apa. Kalau kita takde jodoh, menangis air mata darah sekalipun takkan berjodoh juga, kan. Jadi tak perlulah nak bodek bagai.” Tanpa sengaja aku terlontar kata-kata itu. Wajahnya berubah habis. Aku jadi tidak menentu.

“Mil tak suka Maira cakap macam tu.” Ujar Kamil Hakim. Aku memandang wajahnya yang masih tegang. Dia meneruskan pemanduannya.

“Cakap apa? Betullah kan apa Maira cakap. Kita tak boleh nak lawan takdir.”

“Dahlah Maira, jangan cakap pasal takde jodoh lagi. Mil tak suka.” Tegas kata itu mematikan apa yang ingin aku luahkan lagi.

Aku tersalah cakapkah hingga membuatkan dia terus diam sepanjang perjalanan kami? Kamil… Kamil... itu pun nak merajuk. Aku cuma mampu ketawa dalam hati. Terus membiarkan dia dengan perasaannya sehinggalah kami sampai di depan pagar rumahku.

“Mil... maafkan Maira kalau kata-kata Maira tadi menyakiti hati Mil. Maira tak bermaksud…” belum pun sempat aku habiskan sebaris kata-kata itu dia sudah memotong. 

“Takde apa-apalah Maira. Mil tak ambil hati pun pasal tadi. Dahlah... Zie dah intai tu.” Katanya sambil mengangkat tangan kepada Naziah.

“Okeylah Mil, Maira masuk dulu. Terima kasih untuk hari ni.”

“Mil pun sama Maira. Insya-Allah kita jumpa hujung minggu ya.”

Aku cuma mengangguk kecil lalu menghadiahkannya sebuah senyuman. Belum sempat aku menutup pintu utama, Naziah sudah menyerbuku dengan pelbagai soalan.

“Kau ke mana? Aku call tak jawab. Amboi, dating sakan dengan mata air sampai lupa aku kat rumah ni.” Sembur Naziah membuatkan aku hampir tergelak. Baru setengah hari aku keluar rumah, dia sudah seperti cacing kepanasan. 

“Aku tak sedar handphone aku berbunyilah. Apa hal kau telefon aku? Tak boleh tengok orang senang sikit.” Aku sengaja buat-buat marah. Dia mencebik.

“Kau ke mana hilang setengah hari? Bulan dah timbul baru nampak muka kau ni.”

Letih dan penat... dua perkataan yang membawa maksud yang sama sedang bersarang dalam benakku ketika ini. Malas aku layan bebelan Naziah. Aku melangkah menuju ke bilikku. Ingin mandi dan menyegarkan badan yang kepenatan. Sampai di muka pintu, aku berpaling.

“Zie... minggu ni aku nak balik kampung. Kau nak ikut?” Aku bertanya kepadanya. 

“Balik kampung? Ada apa? Imah nak kahwin ke?”

“Bukan Imah tapi aku...” kataku bersahaja membuatkan Naziah langsung menjerit dan terus bangun bergerak ke arahku dengan wajah yang masih terkejut.

“Main-main ya kau Maira.”

“Takdelah… betul apa aku cakap ni. Kamil nak datang kampung hujung minggu ni. Nak kenal dengan bakal mentuanya.” Jawabku malu-malu.

“Wahhh!!! Bestnya Maira. Aku nak ikut. Aku nak ikut. Lagipun aku dah lama tak balik kampung.” Sepantas kilat dia membuat keputusan. Bukan main lagi dia ni. Dulu ajak balik
bukan main liat lagi. Ada-ada sahaja alasannya.

“Okey set. Jangan tak jadi pulak.” Pesanku riang.

“Jadilah. Confirm aku ikut kau balik. Eee seronoknya member aku bakal naik pelamin.”

“Baru dalam proses mengenali lagi ni. Nanti bila mak dan opah aku dah setuju, barulah dia nak suruh mak dan ayah dia masuk meminang. Tapi dia cakap pada aku, dia tak nak bertunang tau. Terus nak nikah dalam masa tiga bulan selepas mak ayah dia datang merisik dan tetapkan tarikh nanti.” Kataku teruja. Naziah sudah melopong. Aku ketawa kecil melihat wajah terkejutnya itu.

“Dah jauh korang merancang rupanya. Aku tumpang gembira Maira. Tahniah!” Naziah memeluk bahuku erat. Sekukuh kasih sayangnya terhadapku.

No comments:

Post a Comment