Thursday, 12 February 2015

Episod Cinta Harlys - Bab 3

KAU kenapa beb? Monyok semacam aje muka tu,” tegur Izzati. Bahu Arlyssa ditepuk perlahan. 

“Bapak saudara aku tulah. Membebel 24 jam! Sama aje macam mama aku. Boringlah!” rungut Arlyssa. Gelas berisi air roselle diteguk rakus. Hatinya memang tengah panas dengan bebelan Haji Jamal. Buat tu tak kena, buat ni tak kena!

“Kau nak minum apa?” soal Didi tiba-tiba. Entah bila duk terpacak sebelah Izzati pun dia tak sedar. Didi juga salah seorang kawan baik Arlyssa. Cuma Didi tidak dilahirkan dalam keluarga berada. Emaknya cuma pembuat kuih dan ayahnya pula seorang pemandu van kilang. Sebab itulah dia bekerja di Restoran Killiney ini walaupun mempunyai ijazah. 

Fikirnya, pada zaman sekarang, dia tak boleh memilih kerja. Terima aje apa yang ada di hadapan mata. Asalkan dia tak membebankan emak dan ayahnya kerana dia punya duit
belanja sendiri. 

“Macam biasalah,” ujar Izzati dan Didi terus melangkah masuk ke ruang dapur restoran. Sekarang waktu kerjanya jadi dia tak boleh sertai teman-temannya bersembang. Nanti tak pasal-pasal kena potong gaji. 

“Dia tak akan membebel kalau kau tak buat salah. Apa salah kau pula kali ni?” soal Izzati lagi. 

“Along aku suruh masuk pejabat. Aku masuklah tadi tapi Pak Cu aku bising-bising. Komen pasal pakaian akulah apalah. Huh! Bosan!” luah Arlyssa agak beremosi. 

“Kau masuk pejabat pakai apa? Macam ni ke?” sengaja Izzati menyoal Arlyssa sedangkan dia memang tahu memang beginilah cara Arlyssa berpakaian. Tak tahu nak pakai baju yang tutup-tutup sikit.

“Haah la. Dah memang baju-baju macam ni aje yang ada dalam almari aku. Dia nak aku berpakaian macam pekerja-pekerja tu sedangkan aku tak ada baju-baju kelambu tu semua!” bentak Arlyssa. Bukan dia tak ada tapi dia tak mahu pakai. Bila tak nak tu, macam-macamlah alasan yang direkanya.

“Eleh, kalau ada pun belum tentu kau pakai. Aku kenallah kau ni macam mana,” bidas Izzati perlahan. 

“Apa kau kata?” tanya Arlyssa. Dia dah dengar apa yang Izzati katakan walaupun perlahan. Sengaja dia bertanya. Soalan dari Arlyssa Izzati biarkan begitu sahaja kerana Didi datang ke meja mereka menghantar pesanan Izzati tadi.

“Apa yang kau orang duk borak? Rancak sangat aku tengok,” tegur Didi sambil meletak gelas berisi air Cappucino di hadapan Izzati.

“Tak ada apalah. Tak penting pun,” balas Izzati sebelum meneguk air di hadapannya. Terasa dahaga pula. Didi terus berlalu kerana terpandangkan jelingan tajam pengurusnya. Huh, tak boleh tengok orang senang! Dengus Didi di dalam hati. Cepat-cepat dia melangkah masukke bahagian dapur.

Tiba-tiba telefon bimbit Blackberry milik Arlyssa menjerit minta diangkat. Skrin telefon Arlyssa pandang seketika sebelum ditolak ke tepi. Nombor along yang naik buat dia rasa menyampah. Pasti Pak Cu dah beritahu alonglah tu. Teka hatinya.

“Hoi, jawablah telefon tu. Bingit aje duk berbunyi dari tadi,” suruh Izzati. Telinga dia dah sakit bila mendengar bunyi telefon yang tak henti-henti dari tadi.

“Huh!” dengus Arlyssa.

Lambat-lambat dia mencapai telefon itu. Selepas berbual seketika, Arlyssa menjerit mendadak hingga mengejutkan Izzati. Nasib baik tak ada orang di sebelah meja mereka. Kalau tak, dah lama mereka malu sebab menjadi perhatian orang. Kemudian Arlyssa mencampak telefon masuk ke dalam beg tangannya dan memeluk tubuh.

“Kau kenapa? Tak ada angin, tiba-tiba menjerit. Siapa yang call kau?” tanya Izzati.

“Along aku. Menyemak betullah. Semua benda nak kena ikut telunjuk dia. Ingat aku ni apa? Budak kecil yang tak tahu apa-apa ke?!” Arlyssa melepaskan rasa geram yang terbuku di dalam hati.

“La, aku ingatkan apalah tadi.” Hal kecik pun nak kecoh minah ni, sambung Izzati tapi hanya di dalam hati. Tak berani dia nak cakap depan-depan, nanti ada jugak yang meletup. Muka Arlyssa pun dah semacam aje tu. “Kes apa pula kali ni?” soal Izzati, sekadar menunjukkan yang dia sangat prihatin.

“Pasal aku masuk pejabat pakai macam nilah. Tak habis-habis. Si Pak Cu ni pun satu hal, semua benda nak mengadu kat along aku,” luah Arlyssa. 

“Habis, yang kau menjerit tu kenapa?”

“Along aku suruh balik. Heh, tak nak aku! Nanti bengkak telinga aku asyik dengar ceramah dia. Along aku tu kalau aku cakap tak nak, tak faham-faham!” dengus Arlyssa. 

“Dah tu kau buat apa lagi kat sini? Pergilah balik. Nanti tak pasal-pasal along kau datang serang kat sini. Bising tau,” rungut Izzati. Bukannya dia tak pernah tengok Arlyssa kena heret keluar dari sebuah restoran kat Mid Valley. Habis kecoh dan tak pasal-pasal meja yang mereka duduki menjadi perhatian umum. Luarannya memang along Arlyssa tu nampak pendiam sangat. Tapi bila sekali naik angin, memang kecoh!

“Heh, aku cakap tak nak maknanya tak naklah! Kau ni kenapa? Dah macam along aku pula!” protes Arlyssa. 

“Kau nak jadi macam kat Mid Valley dulu tu ke? Tak pasal-pasal kau kena heret depan orang ramai. Malu kau tau tak. Kalau kau sorang yang malu aku tak kisah, tapi kalau dengan aku pun terbabit sama, kat mana nak sorok muka ni?” bidas Izzati. Arlyssa ni memang, hanya fikirkan perasaan sendiri saja. Perasaan orang lain dia tak ambil kisah!

“Huh!” dengus Arlyssa keras. 

Beg tangan dia sambar kasar dan bangun. Dia berkira-kira mahu berlalu dari situ. Nama saja kawan baik tapi bila kawan ada masalah, sikit pun tak nak tolong! Makin menghalau pula!

“Hoi! Air kau ni siapa nak bayar?” laung Izzati. Lain kali, kalau nak pergi macam tu aje bagi tahulah awal-awal. Rungut Izzati di dalam hati. Langkah Arlyssa mati. Dia pusing sedikit tubuhnya menghadap Izzati. “Kaulah bayar,” selamba Arlyssa menjawab sebelum menyambung langkah yang terbantut seketika tadi.

“Asyik aku aje yang belanja kau. Sekarang giliran kau pula belanja aku,” dengus Arlyssa sendirian.

“Aku jugak yang kena bayar. Huh! Nama saja anak orang kaya!” Sempat lagi Izzati mengutuk Arlyssa secara belakang. Kalau depan-depan, dia memang tak berani punya! Sebab Arlyssa yang selalu belanja, dia cuma bawa tubuh aje. 


SYED Yusri memandu masuk keretanya ke dalam garaj. Rasa marahnya masih belum surut. Langkah adiknya tak dapat dijejaki. Huh! Pintu kereta dia hempas kasar. Kemarahan yang berdongkol di dalam hati dilepaskan dengan cara begitu.

“Jumpa Lys along?” soal Puan Aini yang setia menanti di ruang tamu sebaik ternampak kelibat Syed Yusri. Hatinya tidak sabar dan sudah bertukar rentak tidak enak. Anak bongsunya masih tidak balik walau hari sudah menginjak ke malam hari.

“Tak jumpa, ma. Semua tempat along pergi tapi batang hidung dia pun tak nampak. Bila along tanya kawan dia, mereka jawab Lys dah balik. Kalau dah balik mesti dah ada kat rumah. Tapi dia masih tak balik jugak.” Daripada soalan mamanya dia sudah dapat mengagak yang Arlyssa memang tak balik lagi. Dia ni memang nak kena ni!

Puan Aini mengeluh. Dia mengatur langkah perlahan naik ke bilik. Badannya sudah terasa lesu kerana perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur sangat memenatkan walaupun bukan dia yang memandu. Yusri juga naik ke atas. Badan yang letih perlu direhatkan tapi sebelum tu dia mahu ajar adiknya sikit. Pintu utama dia selak dari dalam. Biar adiknya rasa bagaimana tidur di luar rumah. Kemudian dia mendapatkan Bibik Nor dan berpesan agar tidak membuka pintu itu jika terdengar Arlyssa memanggil dari luar. Selepas itu barulah dia naik ke biliknya. Mandi dan solat sebelum tidur. Badan yang sangat letih perlukan rehat yang panjang. Harap-harap dia tak terbabas pagi esok sebab banyak kerja menanti di hospital.

SIAP mengunci kereta Honda CR-V miliknya di dalam garaj, Arlyssa melangkah lemah merapati pintu rumah. Badannya terasa sangat letih tika itu. Hanya katil dan bantal saja yang terbayang di ruang matanya. Nak angkat kaki dah rasa tak larat ni. Anak kunci dia cucuk pada tombol pintu dan perlahan-lahan dia memulas tombol pintu. Tapi apabila dia tolak pintu, pintu tak bergerak. Kaku begitu. Dia cuba lagi, dan hasilnya masih sama. Tetap gagal. 

Hatinya dipagut rasa geram. Rasa mengantuk yang tadinya menguasai diri tiba-tiba lenyap dan diganti dengan rasa marah yang meluap. Kerana tak dapat mengawal emosi sendiri, dia menepuk-nepuk kuat pintu itu agar seluruh isi rumah bangun. Dia tak peduli pada jiran-jiran yang mungkin akan turut terjaga dengan tindakan bodohnya itu.

“Bibik! Bibik Nor! Hoi, bibik!” keras dan kuat Arlyssa melaung memanggil nama pembantu rumah mamanya. Tangannya tak lepas-lepas menepuk kuat pintu hingga bergegar pintu itu.
Diam. Tiada tanda-tanda Bibik Nor akan membuka pintu itu. Kebisuan itu tambah menyakitkan hati Arlyssa. Pintu rumah dia tepuk lagi. “Bibik Nor! Bibik! Hoi, pekak ke?!” jerit Arlyssa lagi.

“Hoi! Apa bising-bising ni?! Tak sedar ke dah malam buta ni?! Kalau nak menjerit pergilah ke zoo. Sekarang orang nak tidur! Memekak aje!” Entah dari mana datangnya suara itu. Terperanjat Arlyssa. Matanya meliar memandang sekeliling tapi tak nampak bayang orang pun. Matanya menangkap cahaya lampu yang dipadamkan dari rumah sebelah kanan. Rumah Che Ibrahim. Dengan hati yang masih berdongkol geram, Arlyssa melangkah merapati keretanya. Penggera kereta dia tekan dan dia melangkah masuk ke dalam perut kereta. Tidur dalam keretalah malam ni. Pertama kali dia diperlakukan sebegitu. Dia pasti ini semua kerja alongnya. Dia pasti sangat. Ni mesti kes dia tak balik awal tadi. Ah, dia hairan pun tak!

No comments:

Post a Comment