ARLYSSA terasa tak selesa. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa ruang katilnya menjadi sempit. Dia hanya tidur seorang diri tapi kenapa pula pergerakkannya terasa amat terbatas. Tangannya meraba-raba ruang sebelah dengan mata yang masih tertutup. Malas sangat nak buka mata.
Tangannya terpegang sesuatu. Benda apa ni keras sangat? Nak kata bantal, kenapa bila ditolak langsung tak berganjak? Pantas dia membuka mata dan kepala dipusing ke kanan, mahu melihat benda apa yang menghalang pergerakan bebasnya. Membulat matanya memandang batang tubuh lelaki di sebelahnya. Laju dia bangun dari perbaringan. Bantal yang tadinya digunakan untuk melapik kepala dicapai.
“Hoi! Perogol! Perogol! Mama tolong, tolong! Ada perogol!” jerit Arlyssa sambil tangannya laju menghentak tubuh lelaki asing itu bertalu-talu.
Harith yang terkejut kerana terdengar suara orang menjerit kebingungan. Kepalanya terasa berpusing-pusing. Tambah lagi dengan pukulan bertalu-talu bantal ke tubuhnya.
“Perogol! Perogol! Hoi perogol! Mama, tolong mama!” jerit perempuan itu lagi.
Perogol?! Siapa perogol? Dia panggil aku perogol ke? Soal Harith dengan rasa kantuk yang masih menguasai diri. Bagai mendapat semangat tiba-tiba, Harith pantas menepis pukulan yang semakin bertalu-talu itu. Rimas betul! Kalau sakit tak apalah juga. Rungut Harith.
“Hei, apa ni? Siapa perogol?!” keras suara Harith menyoal.
“Siapa lagi, kaulah!” laju mulut kecil Arlyssa membalas.
“Heh, sejak bila pula saya jadi perogol. Sentuh awak pun tak!”
“Kalau bukan perogol, kenapa kau baring atas katil aku?! Cakap, kenapa?!” ton suara Arlyssa bertambah tinggi. Jawapan lelaki di sebelahnya ini membuatkan hatinya makin membara.
“Manalah saya tahu ada orang. Semalam tak ada orang pun atas katil ni!”
Serentak dengan itu, bunyi ketukan di pintu bilik yang semakin bertalu-talu mengejutkan mereka. Membantutkan soalan Arlyssa seterusnya. Dia masih belum puas menyoal lelaki ini. Mereka berdua memandang pintu.
“Lys, ada apa bising-bising ni?” tanya Puan Aini. Terkejut dia sebentar tadi apabila mendengar jeritan anak bongsunya. Sebab itu dia meluru ke arah bilik Arlyssa ini. Tanpa menunggu sesaat dua, Arlyssa laju melompat turun dari katil. Pintu bilik dia tarik kasar.
“Ma, ada perogol dalam bilik adik. Mama kena tolong adik halau perogol ni!” laju Arlyssa mengadu kepada mamanya.
Sepanjang dia hidup, dia tak pernah dan tak akan menyerahkan mahkotanya kepada mana-mana lelaki kerana bagi dia, mahkotanya amat berharga sekali. Ya, dia memang seorang yang suka bersosial. Sebut saja semua nama kelab malam di Kuala Lumpur ni, semuanya sudah dia masuk. Tapi jika melibatkan tentang mahkota dan harga diri, tidak akan sesekali dia menggadai maruah diri hanya kerana perkara bodoh begini.
Terkejut Puan Aini dengan tuduhan Arlyssa. Wajah kepenatan Harith tambah buat dia terkejut. Macam mana Harith boleh sampai di rumahnya ini? Bila dia sampai? Itulah soalan-soalan yang berlegar di ruang fikirannya.
“Harith, bila sampai? Macam mana tahu ni rumah mama?” tangan tua Puan Aini Harith salami. Arlyssa sudah memandang pelik. Namun, rasa hati semakin terbakar. Macam mana mama boleh kenal lelaki ni? Mama bukannya nak marah, tapi makin suka pula. Siap bersalam lagi. Protes Arlyssa.
“Awal pagi tadi, ma. Along yang ambil kat lapangan terbang,” jawab Harith lembut.
“Chop, chop! Macam mana mama boleh kenal dengan mamat ni? Siapa dia ni sampai mama bahasakan diri dengan panggilan mama jugak. Mama jangan cakap mama ada anak lain selain kami, anak-anak mama ni.” Arlyssa sengaja mahu menduga hati mamanya walaupun dalam masa yang sama hatinya sudah berdetak tidak enak.
“Apa bising-bising ni?!” Syed Yusri muncul mendadak kerana mendengar jeritan dan kecoh-kecoh didalam rumah pusaka itu. Tika itu dia sedang menyiapkan kerja-kerjanya yang dibawa balik semalam. Nasib baik juga shiftnya bermula sedikit lewat hari ni.
“Along tanyalah kat Lys ni. Pagi-pagi dah buat kecoh. Perkara kecil pun diperbesarkan,” ujar Puan Aini.Soalan Arlyssa dia biar sepi tanpa jawapan.
Mata Syed Yusri terarah pada Arlyssa. Wajahnya sememangnya masam mencuka. Sejak dari minggu lepas lagi dia sudah tidak bercakap dengan adik bongsunya itu. Tindakan Arlyssa terhadap Haji Jamal baginya terlampau kurang ajar. Walau dengan apa cara sekali pun, adiknya perludiajar.
“Ni, ada perogol masuk dalam bilik adik. Bangun aje dari tidur adik tengok dia dah ada kat atas katil. Bila adik bagi tahu mama, mama pula buat dek aje. Siap salam lagi dengan mamat ni. Along, halaulah dia. Tak pun kita buat report polis.” Arlyssa tak perlu menunggu abangnya menyoal kerana dari riak wajah itu dia sudah tahu maksudnya.
“Apa yang dia buat kat Lys sampai kena report polis? Adik pasti ke dia ni perogol? Adik ada bukti ke?” Soalan demi soalan terungkap untuk Arlyssa. Syed Yusri menyindir sebenarnya.
“Habis kalau tiba-tiba ada dalam bilik adik, kan perogol dan penceroboh tu? Along, cepatlah halau dia,” rayu Arlyssa pada Syed Yusri. Tapi alongnya masih begitu. Tiada tanda-tanda mahu menolong.
“Sharifah Arlyssa Waheeda! Cepat salam dengan suami kamu. Bukan begini cara penerimaan kamu sebagai seorang isteri. Cepat salam!” arah Syed Yusri. Terkeluar sudah nama penuh Arlyssa. Arlyssa tergamam dan terpegun. Suami? Rasanya telinga dia masih lagi belum ada masalah pendengaran. Dan setiap kata-kata Syed Yusri jelas dipendengarannya. Wajah abangnya dia pandang tajam. Dia berharap alongnya cuma bergurau tapi dia tak suka dengan gurauan begini!
“Suami? Suami siapa? Adik mana kahwin lagi!” lantang Arlyssa menjawab.
“Bukan suami ya. Tak pernah kahwin? Kamu tunggu di sini,” Syed Yusri terus berlalu ke bilik Puan Aini. Harith hanya menjadi pemerhati kepada pertelingkahan dua beradik itu. Tak tahu nak menyampuk di mana sebab takut nanti kalau tersalah sampuk, dia yang kena marah balik. Dahlah dua-dua tengah angin tak elok. Dua-dua keras kepala!
Tak sampai lima minit, Syed Yusri muncul kembali dengan sekeping kertas yang telah dilaminate dengan plastik di tangan kanannya.
“Kalau bukan suami, ini apa? Cuba kamu ceritakan apa maksud kertas ini?!” Syed Yusri menyoal keras. Nada suaranya masih tinggi. Kertas di tangan dia lempar ke arah Arlyssa. Penafian Arlyssa buat hatinya panas.
Terketar-ketar tangan Arlyssa menyambil kertas itu. Satu persatu perkataan yang tertulis di atas kertas itu dia baca. Paling penting nama pasangan dan tarikh yang tercatat di atas kertas itu yang paling dia mahu lihat. 12 Mac 2005.
Dia tergamam. Peristiwa enam tahun lalu kembali terlayar di ruang mata. Semerta dengan itu, tubuhnya melurut jatuh ke lantai. Kertas di tangan dia cuba renyukkkan tapi tak berjaya.
“Lys, kenapa ni Lys? Jangan buat mama risau. Lys!” panggil Puan Aini. Hatinya sayu melihatkan tingkah Arlyssa.
Syed Yusri mengambil kertas akuan nikah dari tangan Arlyssa. Takut nanti kertas itu berubah rupa jika terusan berada di dalam genggaman Arlyssa.
Tiba-tiba Arlyssa berdiri. Dia bagai punya semangat baru. Kakinya laju diatur ke arah pintu bilik. Pintu bilik dia tutup kuat dan dikunci dari dalam. Harith, Syed Yusri dan Puan Aini yang memandang tingkah Arlyssa, tercengang.
Syed Yusri jadi berang. Arlyssa tak habis-habis buat perangai. Baru aje dia nak ke bilik Arlyssa, terasa tangannya ditarik dan langkahnya mati.
“Jangan, long. Biarlah dia reda dulu. Dia masih tak dapat terima kenyataan tu,” ujar Harith.
Dia faham perasaan Arlyssa. Dari cara Arlyssa menyambutnya tadi pun dia sudah agak keadaan akan jadi begini.
“Betul tu, long. Kita biar Lys sejuk dulu. Kalau along pergi jumpa dia sekarang, takut keadaan akan jadi bertambah haru-biru. Bukan along tak kenal perangai Lys tu. Angin dia tu tak boleh orang potong langsung,” sampuk Puan Aini pula. Dia setuju sangat dengan kata-kata Harith. Lagi pun dia kenal sangat dengan perangai Arlyssa. Angin ribut taufannya boleh tahan juga.
Syed Yusri kembali semula ke biliknya dan Puan Aini turun ke tingkat bawah. Tinggallah Harith keseorangan termanggu di luar bilik Arlyssa. Nak masuk tak boleh sebab tuan punya bilik dah kunci dari dalam. Dia pula dah rasa berlengas semacam sebab tak mandi lagi. Harith mendapatkan Puan Aini di dapur. Dia dah tak tahan sangat dengan peluh yang makin memercik membasahi tubuh.
“Kenapa Harith? Nak air ke?” soal Puan Aini apabila melihat Harith mengekorinya ke dapur. Muka Harith tu menggambarkan yang dia sedang gelisah sebab tu Puan Aini tanya, takut-takut jika Harith mahu minum..
“Eh, taklah ma. Err.. ma, saya nak mandi dan nak solat sebenarnya tapi beg saya masih ada kat dalam bilik Lys,” ujar Harith satu persatu.
“La, macam tu rupanya. Mari sini,” Puan Aini menyuruh Harith mengekorinya.
Pintu bilik Syed Yusri dia ketuk perlahan. Untuk masa sekarang, janganlah nak gatal tangan ketuk pintu bilik Arlyssa. Hanya membuang masa saja sebab takkan dilayan.
“Along.”
“Ada apa ma?” terjengul muka Syed Yusri di sebalik pintu. Dia sudah segak mengenakan kemeja dan slack di tubuh.
“Kamu bagi Harith pinjam baju dan seluar boleh tak? Beg dia masih kat dalam bilik Lys tapi Lys pula kunci bilik tu,” beritahu Puan Aini.
“Oh, bolehlah. Kenapa tak cakap awal-awal. Masuklah,” pelawa Syed Yusri. Puan Aini sudah turun kembali ke dapur.
Syed Yusri membuka almari bajunya dan membawa keluar sehelai baju dan seluar yang dirasakan agak sesuai. Tuala juga dikeluarkan sama. Badan Harith sedikit tegap berotot. Dia pula kurus aje.
“Nah, tengoklah macam mana. Along takut tak muat aje sebab saiz kita tak sama.” Syed Yusri menghulurkan pakaian di tangannya.
“Tak apa, nak pakai untuk duduk kat rumah aje. Bukannya nak jalan-jalan. Terima kasih, long,” dah dapat baju dan seluar sementara ni dah kira bersyukur sangat bagi Harith.
“Sama-sama. Kalau nak mandi ke nak apa ke, boleh pakai bilik sebelah ni. Along nak pergi kerja dulu,” kata Syed Yusri sebelum berlalu keluar dari biliknya. Jam di tangan dia pandang sebelum bergegas masuk ke bilik air. Selesai mengambil wuduk, Harith ingin membentangkan sejadah tapi dia tak pasti arah mana yang perlu dia ikut. Lantas, dia melangkah keluar dari bilik itu.
“Err.. arah kiblat arah mana ya, ma?” teragak-agak Harith menyoal emak mertuanya.
“Oh, arah kiblat rupanya. Mari sini,” ajak Puan Aini.
Selepas menunjukkan arah kiblat, Syed Yusri kembali semula ke biliknya. Harith pula terus merebahkan badan di atas tilam empuk di dalam bilik tetamu sebaik saja selesai menunaikan solat. Badan yang terasa letih terus hilang sebaik berbaring di atas tilam itu.
Kerusi di meja makan Syed Yusri tarik perlahan. Secawan air teh kosong sudah tersedia di situ.
“Along nak makan tak?” soal Puan Aini.
“Tak naklah, ma. Nanti berat pula perut ni,” balas Syed Yusri berseloroh.
“Along, kenapa along suruh Harith datang ke sini?” soalan yang berlegar di benak Puan Aini sejak melihat Harith ada di rumah ini terluah juga akhirnya.
“Along cerita malam ni ya, ma. Semua ni untuk kebaikan Lys juga. Dia dah tak makan ajar, ma. Malam nantilah along cerita semuanya. Along pergi dulu, ma.” Pinta Syed Yusri dan menyalami tangan mamanya.
SUAMI?! Mana along jumpa lelaki tu? Dengus Arlyssa. Semua barang di dalam bilik dia selerakkan. Begitulah cara dia melepaskan amarah dan tanda protes kepada Syed Yusri dan lelaki itu. Rupa biliknya sudah serupa dengan kapal kargo pecah! Ah, tak kiralah rupa kapal kargo pecah ke macam kontena terbalik ke. Ini gunanya ada pembantu rumah. Akan dia gunakan betul-betul keringat pembantu rumah Puan Aini.
Dia perasankan satu perkara. Sejak akhir-akhir ni, Syed Yusri sekan sengaja mahu mencari salahnya. Setiap perkara yang dia buat menjadi salah di mata Syed Yusri. Dia tak tahu nak buat macam mana lagi. Hubungan yang sangat rapat sebelum ini menjadi renggang. Adakah sebab lelaki itu, along tiba-tiba berubah sikap? Arlyssa menyoal diri sendiri.
Telefon Iphone 4S milik Arlyssa berdering nyaring minta diangkat. Laju tangannya mencari harta berharganya itu. Puas dia menyelongkar isi bilik tapi masih tak jumpa. Inilah akibatnya kalau suka sepahkan barang. Akhirnya tak jumpa barang yang dicari. Huh! Keluh Arlyssa. Deringan berhenti.
“Kat mana kau ni?” soal Arlyssa sambil bercekak pinggang. Matanya meliar memerhatikan setiap pelusuk bilik. Macamlah alat komunikasi itu punya mulut yang akan menjawab pertanyaan tuannya itu.
Rasanya telefon tu ada dalam beg tangan. Sebab semalam dia tak keluarkan pun telefon dari dalam beg. Lantas Arlyssa mendapatkan beg tangan yang diletak di penjuru bilik. Semua isi dalam beg dia keluarkan sebelum menjumpai telefonnya. Skrin telefon dia pandang. Huh! Izzati! Mesti nak ajak keluar ni. Malaslah! Dengus Arlyssa sambil merebahkan kembali badan di atas katil. Dia mahu melelapkan mata, mahu menyambung kembali lena yang terbantut tadi tapi tak boleh! Kepalanya masih memikirkan tentang lelaki yang along perkenalkan sebagai suaminya itu.
Ah, dia tak bersedia lagi untuk bergelar seorang isteri. Tugas itu berat dan membebankan. Juga membataskan pergerakkannya. Tapi dia tak sedar, dia sudah enam tahun menyandang gelaran isteri orang! Dia sengaja menafikan dan membuang perkara itu dari hidupnya. Bersuka ria dengan kawan-kawan lagi penting dari semua tu.
Kerana kebosanan, Arlyssa bangun dari katilnya. Langsir dan pintu gelungsur yang menjadi pemisah antara biliknya dan balkoni dia tolak ke tepi. Sudah lama rasanya dia tidak mengambil bayu petang dari balkoni biliknya ini. Jika orang lain suka pandang sunset atau sunrise untuk memberikan ketenangan. Arlyssa suka juga melihat sunset atau sunrise, tapi dia lagi suka merasai ketenangan ombak dan pantai. Namun, di kota besar Kuala Lumpur manalah ada laut. Yang paling dekat pun di Port Dickson, Negeri Sembilan. Jadi, layan matahari pun okey dari tak ada langsung. Spontan bibirnya mengukirkan senyuman pada sinar matahari.
No comments:
Post a Comment