Sunday, 8 February 2015

Kurelakan Kasihmu - Bab 1



ARISSA terpempan seketika. Dia memandang skrin telefon bimbitnya berkali-kali. Biar betul mamat ni?? Arissa terasa sebak. Dengan tiba-tiba air matanya mengalir deras ke pipi. Sampai hati Irfan menghantar mesej begini kepadanya...

I warn you. Don’t stick to my business... Just
stick to yours...
Mesej itu berupa duri yang sungguh berbisa. Aku ni siapa pada dia, sampaikan aku tak boleh mengambil tahu tentang kehidupan sosialnya? Arissa ingat lagi, dia hanya bertanya di
mana Irfan berada. Tetapi pertanyaannya itu dibalas dengan mesej kejam tersebut. Bukan sekali itu Irfan melayaninya begitu, sudah berkali-kali malah beratus kali.  
Arissa meneruskan langkah untuk ke keretanya yang berada tidak jauh dari situ. Dia baru saja  keluar dari sebuah pusat membeli-belah di kawasan Bangi itu sebelum mendapat mesej daripada Irfan. Mujurlah lelaki itu lambat membalas mesejnya. Jika tidak, dah tentu dia malu jika air matanyatumpah di depan khalayak ramai di dalam pusat membeli-belah
berkenaan. 
Dalam kekalutannya untuk memasuki kereta kerana tidak mahu air matanya disaksikan oleh orang, dirinya terlanggar seseorang yang melalui lorong tempatnya berdiri. Habis terjatuh kunci keretanya daripada pegangan. Arissa cuba bersikap tenang sambil mengelap air matanya cepat-cepat. 
“Sorry, maafkan saya cik! Saya tak sengaja...” ujar orang yang dilanggar oleh Arissa itu dengan nada penuh rasa bersalah.

Arissa tunduk untuk mengambil kunci keretanya di atas tanah. Tangannya tersentuh dengan tangan orang itu yang juga turut menunduk untuk mengambil kunci keretanya. Arissa segera melarikan tangannya tanpa sempat mencapai kunci kereta. Dia berdiri tegak semula. Matanya menangkap wajah seorang lelaki yang sungguh segak dan bergaya. Lelaki itu memberikan kunci kereta Arissa sambil tersenyum mesra. Tiba-tiba dahi lelaki itu berkerut-kerut bagai sedang memikirkan sesuatu. Arissa yang tergamam melihat kekacakan lelaki itu terus menelan liur. Agaknya hati Arissa sudah cair? 
“It’s okay... Bukan salah awak. Saya yang langgar awak tadi...” balas Arissa lambat-lambat. Air liur ditelan lagi apabila lelaki itu tertawa kecil. Amat memikat sekali! 
“No, no... Salah kita berdua... Masing-masing nak cepat kut? Emm... Saya macam pernah nampak awaklah. Kat mana ek? Let me think...” lelaki itu kembali mengerutkan dahi. Lembut sungguh dan serak-serak basah suara lelaki itu, sikit-sikit macam perempuan. 
Ah! Lelaki semuanya sama kalau nak mengayat perempuan. Mesti akan cakap macam pernah nampak perempuan tu. “Emm... Awak salah orang kut? By the way, I’m so sorry, I have to go...” 
“Wait, wait, wait! I remember now! Arissa Maisarah, right? From Sekolah Menengah Teknik Kangar. Form 4 and 5 in PKEA classes. Right? If I’m not mistaken...” potong lelaki itu cepat-cepat sebelum Arissa sempat membuka pintu keretanya. 

Mata Arissa terbuka luas. Siapa pulak mamat ni? Tak pernah pulak aku nampak dia kat sekolah tu? Macam mana dia kenal aku ni? Arissa sudah pelik. Pelik yang teramat-amat.

“Betul tu. Hmm... Maaflah, saya tak berapa cam awaklah. Boleh kenalkan diri?”

“Err... Kita kan satu kelas. Takkanlah kau tak kenal aku?” sahut lelaki itu. 
Giliran Arissa pula yang berkerut dahi, cuba mengingati semula zaman sekolah yang sudah hampir 8 tahun  ditinggalkan. Mustahil aku tak kenal kawan-kawan sekelas aku! Mungkin nama dah banyak yang lupa, tapi kalau tengok muka ni mana mungkin aku failed! Arissa sudah naik pening kepala memikirkan tentang lelaki itu.

“Sorry, tak ingatlah. Serius. Boleh awak cakap aje siapa awak?”

“Ni akulah. Kau takkan tak kenal kawan baik kau sendiri? Aku ni, Wawa. Adnin Najwa... Hesy, Najwa laa...” balas lelaki yang baru sahaja memberitahu bahawa namanya adalah Najwa.

Najwa itu nama perempuan. Takkanlah lelaki ni nak jadi perempuan kut? Muka dah kacak yang amat, tapi sayang nak jadi perempuan. Eh, tapi... Najwa? Najwa memanglah kawan baik aku. Tapi, takkanlah dia ni Najwa kut? Najwa tu perempuan! Arissa sudah terbeliak biji mata. 
Dipandang wajah ‘Najwa’ yang segak bergaya dengan baju kemeja biru lembut dipadankan dengan seluar slack hitam. Rambutnya yang pendek itu dipakaikan gel rambut dan digayakan mengikut trend masa kini. Kaca mata hitam kelihatan terselit kemas di rambutnya. Kasut kulit hitam yang dipakai ‘Najwa’ kelihatan berkilat-kilat, mungkin baru lepas digilap.

“Wa... Wawa? But...”

“It’s really me. Cuba kau perhatikan betul-betul muka aku ni!” Arissa cuba mengamati wajah ‘lelaki’ itu dengan teliti. 

Daripada alis mata yang cukup menawan kepada hidung yang mancung terletak serta bibir yang memang semulajadi merah menyala. Arissa sudah yakin kini setelah lama dia meneliti wajah Najwa.
“Laa... Wawa?!”

Arissa betul-betul teruja apabila berkali-kali Najwa mengangguk kepala. Patutlah gaya tak berapa kasar macam lelaki pun. Masih lembut seperti perempuan, cuma gaya saja yang benar-benar berubah menyerupai lelaki. Tubuh sahabatnya itu dipeluk erat. Bau minyak wangi lelaki yang dipakai Najwa sedikit sebanyak membuatkan Arissa resah entah mengapa. Bau itu sungguh memikat.

“Tapi sekarang, nama manja aku, Ad. From now on, please call me Ad instead of Wawa, that girly name...” ujar Najwa sambil tergelak kecil. 
“Ad? Oh... Manja betul tu. Tapi, kan... Macam mana kau boleh berubah macam ni? Emm... Sorry kalau kau tersinggung dengan pertanyaan aku tapi aku memang ingat kau tu lelaki tadi, tau...” soal Arissa tiba-tiba. 
Najwa berdehem kecil. Wajahnya bertukar serba-salah sama ada ingin menceritakan kisah transformasinya ini atau tidak. Baik tidak kerana Arissa takkan faham. 
“Hmm... Boleh tak kita cakap pasal perkara lain? Apa kata kita cakap pasal diri kau. Kau apa khabar sekarang? Dah makin lawa aku tengok... Dah kahwin atau belum ni? Agak-agak, dah 7 tahun kita lost contact, rindu aku dekat kau tau tak?”

Najwa menyentuh bahu Arissa seraya berkata-kata. Pipi sahabatnya itu dielus lembut. Memang dia rindukan Arissa kawan baiknya itu. Mereka terlalu rapat sewaktu di sekolah dulu. Macam adik-beradik kembar yang memang serasi dan tidak boleh dipisahkan.

Berderau darah Arissa, jantungnya sudah berdegup tidak normal apabila Najwa mengusap bahu dan pipinya. Alahaiii... Najwa memang kacak. Dulu, sahabatnya itu memang perempuan yang asli seaslinya. Tetapi sekarang, Najwa terlalu berbeza, sangat berbeza. Penampilannya yang seperti lelaki itu memang boleh mencairkan hati mana-mana perempuan yang melihatnya. Arissa pun tidak tahu mengapa hatinya berasa lain macam melihat senyuman menawan Najwa. Mungkin kerana Najwa berpenampilan lelaki dan bukan calang-calang lelaki tau. Lelaki yang sangat kacak!

“Kau okey ke?” soalan Najwa mengembalikan Arissa daripada lamunannya yang entah apa-apa. Arissa cuba tersenyum dengan wajah merona merah.

“Okey aje... Terpikat je kejap dengan handsome guy kat depan aku ni. Kacak giler weh!” pujian Arissa itu membuatkan Najwa berasa segan. Mukanya mulai menampakkan warna merah padam.

“Aku pun rindukan kau jugak... Tapi nak buat macam mana, lepas seluruh keluarga kau meninggal dunia dalam kemalangan tu, kau pindah tanpa pengetahuan semua orang kampung. Sedih aku bila dapat tahu kau dah tak ada kat  kampung kita tu tau...” sambung Arissa. Lirih bunyi nada suara Arissa. Memang dia sedih ketika Najwa berpindah dulu. 
Najwa kelihatan sedang menahan rasa. Wajahnya berubah suram. Peristiwa kemalangan yang meragut nyawa emak, ayah dan adik-beradiknya yang lain kembali bergentayangan. Dalam suatu nahas jalan raya, nyawa seluruh ahli keluarganya melayang dan dalam sekelip mata sahaja dia sudah menjadi sebatang kara. Wajah emak, ayah, kakak dan dua adik lelakinya kini bermain-main di ruangan mata. Tanpa sedar, air matanya bergenang. Hatinya sungguh sayu mengenangkan kembali peristiwa itu.

“Ya Allah, sorry Wawa... Aku tak sengaja bangkitkan soal tu... Aku minta maaf buat kau sedih...” Arissa pantas meminta maaf dan dia berasa sungguh bersalah kerana baru sahaja menyedihkan hati Najwa dengan menyebut tentang kemalangan ngeri yang meragut nyawa ahli keluarga Najwa 7 tahun lepas.

“Tak apa, it’s okay... Aku okey aje... Lagipun peristiwa tu dah lama sangat berlalu. Aku redha dengan ketentuan Allah... And it’s Ad, not Wawa anymore, okay?” balas Najwa lirih bersama sebuah senyuman pahit.

“Kau pulak, macam mana dengan life kau sekarang? Okey tak? Kau dah ada buah hati ke?” Najwa cuba menukar suasana dengan usikan itu. Keningnya terangkat-angkat. Wajah Arissa terus berubah sugul apabila terkenangkan Irfan yang melayaninya dengan buruk. Tunangnya itu memang selalu sangat menyakitkan hatinya. Arissa tiba-tiba sebak. Dia mengalirkan air mata dengan esakan kecil. Najwa sudah kalut melihat sahabatnya itu yang tiba-tiba sahaja menangis. Aku dah tersalah cakap ke? Ya Allah... Najwa terus mengusap bahu Arissa.

“Kau kenapa ni, Rissa? Aku ada tersalah cakap? Sorrylah... Sorry...”

“Hmm... Aku... Emm, tak ada apa-apalah Wawa, eh Ad... Aku okey...” Arissa cuba berdalih sambil mengelap air matanya yang tumpah tanpa henti-henti itu.

“Hesy, kalau kau okey, kau takkan menangis sampai macam ni. Aku baru tanya sikit aje... Kau ada masalah dengan boyfriend ke? Baik kau beritahu aku...” Najwa mendesak. 
Sekurang-kurangnya jika Arissa menceritakan masalahnya, beban hati gadis itu akan sedikit ringan. Walaupun Najwa tidak dapat membantu sekalipun, dia berharap dapat meringankan beban sahabatnya itu.  
“Betul, aku okey. Kau janganlah risau...”

“Kau cakaplah, Rissa. At least, hati kau rasa lega sikit lepas dah luahkan. Aku kan kawan baik kau?” pujuk Najwa lagi. 
Arissa menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba melepaskan rasa sayu yang terbuku di hatinya selama ini. Betul tu, Najwa memang sahabat baiknya yang selalu dia percayai. 
‘Agaknya, pertemuan semulaku dengan dia mempunyai hikmah? Supaya aku dapat meringankan beban hatiku yang sudah terlalu sarat dan berat ini?’ Fikirnya. 
Arissa memandang wajah Najwa. Sahabatnya itu tersenyum pahit, penuh simpati sambil mengelap air mata di pipinya. Kalau ada orang ternampak perlakuan mereka ni, tentu orang itu akan menganggap Najwa itu sebagai teman lelaki atau suaminya? Arissa rasa berdebar tiba-tiba apabila tubuhnya ditarik ke dalam pelukan Najwa. Dia berasa sungguh resah selepas dipeluk gadis itu yang berpenampilan seperti lelaki. 
Ah, sudah! Takkan aku tertarik dekat Wawa ni kut? Oh, please, I am normal... Tapi, mana-mana gadis pun mesti akan cair dengan ‘kekacakan’ Wawa sekarang ni. Kenapa agaknya Wawa berubah? Arissa ingin bertanya namun lidahnya kelu. Dia tidak mahu Najwa berasa tidak selesa jika dia bertanya soalan begitu. Sudahnya Arissa mematikan niatnya untuk bertanya. Pelukan Najwa dibalasnya dengan lebih erat, entah mengapa. 
Dua minggu berlalu... 
IRFAN MENDENGUS kasar. Dari jauh dia ternampak Arissa berpelukan dengan seorang lelaki. Irfan berasa sakit hati dan tercabar kerana lelaki itu sangat kacak dan bergaya. Patutlah sudah berhari-hari Arissa berkelakuan pelik terhadapnya. Rupa-rupanya Arissa ada lelaki lain. Arissa seolah-olah tidak mahu peduli lagi tentangnya, malah sudah jarang sangat menelefonnya. Kalau telefon pun, gadis itu akan banyak mendiamkan diri. 
Irfan bertambah berang apabila lelaki itu mengusap pipi Arissa pula. Dengan penuh perasaan geram, dia berjalan menghampiri Arissa dan juga lelaki terbabit. 
“Woi, betina! Ini kerja kau, ya? Ini kerja kau selama ni? Di depan aku bukan main baik, setia... Tapi kat belakang aku? Kau curang? Kau memang betina jalang!” bentak Irfan dengan wajah merah menyala. 
Tersentak Arissa mendengar caci maki tunangnya yang tiba-tiba muncul entah dari mana itu. Berdetak-detak rasanya jantung Arissa ketika ini, hampir meletup dan terburai keluar daripada tubuhnya. Wajah merah menyinga Irfan itu ditatapnya dengan penuh risau dan takut. 
“Awak, jangan salah faham. Dia ni kawan baik saya  waktu sekolah dulu!” 

“Kawan baik? Kawan baik dengan lelaki sampai berpeluk-peluk macam ni? Kau ingat aku ni apa? Ingat aku lelaki bodoh? Macam tu?!” bentak Irfan lagi. Memang hatinya terbakar melihat gadis kesayangannya di dalam pelukan lelaki lain.

Bukannya dia tidak sayangkan Arissa selama ini, dia cuma tak mahu terlalu menunjukkan sayangnya itu. Lagipun, dia yakin yang hati Arissa hanyalah miliknya. Tidak mungkin gadis itu akan curang. Tetapi kini? Di depan matanya sendiri Arissa curang! Dan kepercayaannya kini hancur punah. Arissa telah mengkhianatinya dalam diam.

“Awak, tolong dengar penjelasan saya... Please, don’t just jump into conclusion before you listen to me...” rayu Arissa sayu.
“Encik, tolong dengar penjelasan kami... Kami tak ada apa-apa hubungan... Jangan salah faham...” Najwa pula yang bersuara. 
“What? Listen to both of you? Siapa yang dah buang air kat tengah-tengah jalan pun takkan mengaku dia yang buang air tu, tau? Kau orang ni ibarat orang yang macam tulah. Dah buat
perkara tak senonoh macam tadi kat depan mata aku, malah depan khalayak ramai, kau nak cakap yang semua tu nothing?” 
Arissa tergamam dan terus diam. Hatinya tersayat pedih mendengar kata-kata tunangnya. Sampai begini sekali layanan lelaki itu terhadapnya? Arissa sungguh kecewa apabila Irfan tidak mahu mempercayai kata-katanya.

“Kau ni apahal? Kau nak buat dia menangis tiap-tiap hari macam tu? Kau sedar tak yang kau dah banyak abaikan perasaan dia? Kau sedar tak yang dia dah banyak terseksa kerana kau? Kalau ada lagi ramai lelaki macam kau ni, alamatnya ramai perempuan akan hidup merana. Ini baru tunang, kalau dah kahwin nanti, agaknya hari-hari kau maki hamun dia? Mungkin kau pukul dia pulak...” Najwa sudah naik angin.
Dia memang geram dengan Irfan. Hampir setiap hari dia berjumpa dengan Arissa, sahabatnya itu menangis. Selalu sahaja kisah caci maki Irfan yang dia dengar dari mulut Arissa. Kini, dia menyaksikan pula secara live. Najwa merengus sambil mengurut dahinya. Wajahnya yang putih melepak itu beransur kemerahan. 
Arissa yang mendengar kata-kata pembelaan Najwa itu terus berhenti menangis. Tidak pernah lagi ada lelaki yang mengambil berat tentang perasaannya sebagaimana ‘lelaki’ seperti Najwa. Agaknya, sebab inilah tomboy selalu disenangi oleh kebanyakan perempuan kerana mereka juga perempuan, yang memang memahami perasaan seorang perempuan. Malah, ada perempuan yang berpasangan dengan tomboy semata-mata kerana inginkan pasangan yang memahami diri mereka. 
Irfan yang mendengar kata-kata Najwa tadi, terus tertawa sinis. Dengan wajah menyinga marah, dia memandang tepat ke halaman wajah Najwa. 

“Hebat! Kau memang hebat... Tak hairanlah si Rissa ni tergila-gilakan kau. Cakap memanglah senang... Kau tu berlakon bagus aje kan? Untuk tarik perhatian Rissa? Macam tu? Nak rampas dia daripada aku? Kau cubalah... kalau kau nak rasa penumbuk sulung aku kat muka kau tu!” cabar Irfan dengan perasaan geram yang teramat sangat.

“Lantak kaulah nak cakap apa pun. Aku tak kisahlah... Aku bukan berlakon, tapi aku nak kau tu sedar diri sikit. Sedar apa salah kau pada Rissa. Kau dah selalu sangat buatkan dia menangis... Kau langsung tak fikir dan selami perasaan dia ke?” bidas Najwa dengan sesungguh hati. Irfan tergelak sinis lagi. Egonya rasa tercabar.

“Okay, fine! Kalau kau nak sangat si Rissa ni, kau ambiklah. Aku pun tak ingin perempuan macam ni untuk dibuat bini. Masa belum kahwin pun dia berani curang. Entah-entah lepas kahwin nanti, dia buat hal yang lebih besar pulak. Buat malu family aku aje...” cemuh Irfan lagi dengan selamba. Memang dia langsung tidak terfikir akan berkata begitu namun dia dah terlepas cakap. Dan kerana ego, dia tidak mahu menarik balik kata-katanya tadi.

Arissa terus terpempan mendengar bait ayat yang baru sahaja Irfan tuturkan. Dia hampir terduduk ke atas tanah namun tubuhnya sempat dipaut oleh Najwa yang berada di sebelahnya.

“Sampai hati awak buat saya macam ni...” hanya itu perkataan yang terkeluar dari bibir Arissa yang terketar-ketar. 
“Woi! Sampai bila baru hati kau tu puas, hah? Sampai bila kau nak sakitkan hati Rissa?” marah Najwa dengan lantang. Beberapa orang awam yang melalui kawasan taman permainan berkenaan terus berkalih pandang ke arah mereka bertiga. Mereka sudah berbisik-bisik sesama mereka, tentu tertanya-tanya tentang apa yang sedang terjadi.

“What ever! You can take her as you may... Mulai hari ni, aku dah tak ada apa-apa hubungan lagi dengan Arissa Maisarah...” ujar Irfan lagi dengan penuh ego. Namun jauh di sudut hatinya, dia berharap Arissa akan merayu-rayu supaya dia menarik semula kata-kata perpisahan tadi. Dia tahu gadis itu takkan mampu hidup tanpanya. 

“Okey, kalau itu yang awak mahukan. Saya redha dengan keputusan awak... Saya pun dah penat sangat nak menangis. Dah banyak betul air mata saya tumpah disebabkan oleh awak... Terima kasih kerana meletakkan noktah pada hubungan kita yang dah memang tak pasti ni...” balas Arissa lemah. Air matanya mengalir deras ke pipi. Dalam tidak relanya, dia terpaksa juga melepaskan Irfan. Lelaki yang teramat dia cintai.

Irfan terasa jantungnya seperti ingin luruh selepas mendengar kata-kata pasrah Arissa itu. Nampaknya benarlah dia bukan lagi lelaki yang Arissa cintai. Arissa memang betul-betul curang terhadapnya. Arissa sudah berubah hati. Kalaulah benar Arissa adalah Arissa yang dulu, tentu gadis itu akan merayu dan takkan pasrah menerima perpisahan yang dia ungkapkan. 

“Okey! Aku balik dulu...” sahut Irfan perlahan, cuba beriak selamba walaupun hatinya berasa sungguh kecewa. 
Dia terlalu sayangkan Arissa. Tidak tahukah gadis itu bahawa cintanya memang tulus? Ah, biarlah! Aku takkan tarik balik kata-kata aku. Bukan salah aku! Irfan terus berlalu. Daripada ekor matanya, dia ternampak tubuh Arissa dipeluk lagi oleh lelaki keparat itu. Memang dasar lelaki yang mengambil kesempatan! Aku takkan lepaskan lelaki itu. Tunggulah...

No comments:

Post a Comment