“AMBOI, khusyuknya tengok TV.” Aku ditegur oleh kakak aku.
“Mestilah khusyuk. Tengok hero kegemaran,” balas aku yang belum mengalihkan mata dari TV LED 42 inci itu.
“Azfan dah tidur, kak?”
“Dah. Macam mana Qis kerja kat taska hari ni?” soal Kak Ina yang sudah menghenyakkan punggungnya di atas sofa.
“Biasa je, kak. Hari-hari kena layan kerenah budak-budak,” jawab aku mengenai rutin harian aku. Tiada yang menarik pun.
“Eloklah tu belajar dari sekarang. Nanti dah ada anak sendiri senang.”
Anak sendiri? Apalah kakak aku ni, aku yang masih muda belia ni dikaitkan pasal anak pula. Mentang-mentanglah aku ini jadi pengasuh budak.
“Hesy! Kak Ina ni ke situ pula. Qis tak fikir sampai ke situlah. Umur Qis ni baru tujuh belas tahun. Dalam otak ni tak fikir bab kahwin ke, bab anak ke, tau tak?” Sedikit tegas suara aku. Maklumlah, isu sensitif bagi remaja seperti aku ni.
“Hek eleh... Perasan tujuh belas tahun lagi. Kamu tahun ni dah meningkat satu tahunlah,” tempelak Kak Ina. Sajalah tu nak suruh aku rasa tua.
“Ops, pembetulan. Bulan November ni baru cukup lapan belas tahun okey,” balas aku.
“Ah, samalah tu. Kira tahunlah senang, dik. Nanti tak payah kamu tu perasan muda sangat.”
“Apa pula perasan muda? Memang orang ni muda apa?”
“Ikut kamulah, Qis. Kamu ni nak kerja sampai bulan berapa? Hujung tahun ni dah nak daftar ke UiTM.”
“Alah kak, relakslah. Ni baru bulan Julai. Qis pelan nak berhenti bulan sebelas. Lepas tu bolehlah buat persiapan apa yang patut sebelum pergi belajar.”
“Sukalah tu agaknya kerja kat situ.”
“Hendak kata suka sangat-sangat tu taklah tapi bolehlah. Daripada Qis goyang kaki kat rumah, lebih baik kerja. Dapat duit dan pengalaman.”
“Ini yang paling bagus pasal adik akak ni. Rajin dan berdikari.” Kak Ina ni buat hidung aku kembang saja.
“Hari tu lepas SPM, Qis dah tolong umi kat warung. Lepas keluar result, Qis ikut akak datang KL cari kerja. Kenapa Qis tak ambil form six saja?” soal Kak Ina apabila mengenangkan aku yang masih berpeluang untuk belajar di tingkatan enam.
“Qis tak minatlah form six,” jawab aku dengan jujur. Aku sebenarnya memang tak minat untuk ambil STPM. Bagi aku, lebih baik aku ambil diploma daripada ambil STPM. Cuma bezanya, ambil diploma belajar di institut pengajian tinggi selama tiga tahun manakala STPM dua tahun sahaja dan perlu belajar di sekolah.
“Belajar ni mana boleh minat tak minat, dik. Nasib baik surat tawaran second intake dah dapat. Kalau tak, terpaksa kamu masuk tingkatan enam juga.” Kak Ina memberikan nasihat buat aku, adik yang disayanginya ini.
“Qis ni bukan apa, kak. Dah jemu pakai baju putih dengan skirt blue black tu. Kalau pergi IPT, bebas berpakaian.”
Dengan bersahaja aku memberi alasan. Alasan mengalahkan budak darjah satu.
Kak Ina mengerling tajam. Aku tersengih macam kerang busuk. Mungkin baginya tak masuk akal langsung alasan aku. Apa punya alasanlah...
“Huh! Tak relevannya alasan kamu. Form six kan pakai baju biru bukan baju putih lagi.”
“Samalah tu, kak. Baju sekolah juga,” balas aku selamba.
“Banyak songehnya dia ni,” omel Kak Ina.
“Tak kenal Qistina Airisa lagi ke, kak?” tanya aku sambil buat kening terangkat macam Ziana Zain menyanyi lagu Anggapanmu. Aku memang suka buat gaya begitu dengan Kak Ina.
“Kenal. Kenal sangat-sangat,” perli Kak Ina apabila melihat keningku sudah terangkat. Mana mungkin seorang kakak tidak kenal adiknya. Dia tahu sangat perangai aku. Kalau aku dah kata nak kerja, bagilah apa-apa helah pun aku tetap tak makan saman. Kalau dia paksa aku ambil tingkatan enam sekalipun, tak ada maknanya. Pasti STPM aku jatuh merudum.
Buat sesuatu dengan terpaksa faham-faham sajalah. Mata Kak Ina turut fokus ke kaca TV tetapi tidak lama. Mungkin dia tidak berminat dengan siaran yang aku tonton.
“Akak masuk tidur dulu, ya. Lepas tengok TV jangan lupa padamkan lampu.” Kak Ina mengingatkan aku sebelum dia masuk ke bilik.
“Baik, madam,” balas aku gaya seorang bibik yang mematuhi arahan.
Kak Ina bingkas dari sofa untuk menuju ke biliknya. Aku masih lagi setia menatap hero drama kesukaan aku. Siapa lagi kalau bukan Fahrin Ahmad. Hehehe…Qistina Airisa si peminat tegar pelakon yang masih bujang itu.
LUQMAN HAKIMI mengusap pipi comel Danish yang sedang menghisap susu botol. Meskipun umur Danish sudah hampir empat tahun, dia masih gemar menghisap susu botol. Namun tidaklah kerap sangat kerana Luqman Hakimi sudah mengajarnya untuk minum susu dengan gelas. Kalau masa dia merengek barulah susu Anmum Essential itu dibuat di dalam botol. Begitu juga semasa Danish berada di taska.
“Danish dah tidur ke, Luq?” tanya Datin Rohani kepada anak lelakinya.
“Belum lagi, mummy. On the way,” jawab Luqman Hakimi sambil menepuk-nepuk lembut belakang anaknya.
“Mummy nak tanya Luq ni,” kata Datin Rohani seraya duduk di sisi Luqman Hakimi.
“Ya, mummy. Tanyalah,” balas Luqman Hakimi, mesra.
“Kamu ni bila nak carikan ibu buat Danish? Kamu pun bukannya muda lagi.”
Luqman Hakimi sebenarnya sudah mengagak ibunya akan melontarkan lagi soalan itu buatnya. Sebelum ini pun, soalan itu sudah kerap singgah ke gegendang telinganya. Soalan itu sudah kalis diutarakan buatnya. Bukan ibunya sahaja, saudara-mara dan kawan-kawannya juga ada bertanya.
Lumrah manusia apabila kita belum kahwin akan ditanya bila nak kahwin? Apabila dah kahwin akan tanya pula bila nak ada anak? Memang begitulah, takkan pernah habis. Kesimpulannya, kita tidak perlulah ikut kata orang. Jodoh itu kan rahsia Allah... Bukannya rahsia manusia.
“Mummy, nak cari seorang ibu tidak semudah mencari isteri. Luq tak nak Danish disia-siakan,” tutur Luqman Hakimi dengan telus. Pandangannya jatuh kepada anaknya yang tercinta.
“Isteri dengan ibu tu sama aje untuk kamu, Luq. Mummy nak tolong carikan, Luq tak nak.”
“Mummy tak faham. Luq perlu cari seorang isteri yang boleh terus jadi seorang ibu. Luq tak nak bakal isteri Luq nanti tidak dapat menerima kewujudan Danish.”
“Kalau dia tak boleh terima, mummy boleh jaga Danish.”
“Mummy… Mummy pun tahu sedalam mana sayang Luq kepada Danish. Luq tak boleh berenggang mahu pun berpisah dengan Danish. Danish adalah segala-galanya dalam hidup Luq.”
Datin Rohani menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tahu anak lelakinya itu amat menyayangi Danish. Semenjak Danish lahir, hidup Luqman Hakimi banyak dihabiskan untuk Danish. Danish menjadi penghibur buatnya. Danishlah penawar jiwa dan lara. Tiada siapa yang dapat menyangkal kasih Luqman Hakimi terhadap Danish.
Dia selaku seorang nenek pun tidak seprihatin menjaga Danish seperti Luqman Hakimi menjaganya. Maklum sajalah, pangkat Datin yang ada padanya membuatkan dia agak sibuk.
Dia sibuk terlibat dalam persatuan sana sini. Meskipun dia tidak sentuh lagi hal syarikat kerana Luqman Hakimi sudah turun padang, namun dia sibuk dengan geng Datinnya. Bukan dia tidak mahu menjaga cucunya itu tetapi sejak dari muda lagi dia jenis yang ligat. Tidak betah duduk diam di rumah sahaja tanpa terlibat dengan aktiviti luar.
Memandangkan hal itulah dia mahu Luqman Hakimi mencari isteri. Sekurang-kurangnya Danish dapat merasa kasih seorang ibu. Danish pula semakin membesar. Sudah pasti budak itu lebih sukar untuk menerima orang baru. Sekarang dia masih kecil dan belum mengerti apa-apa.
Masalahnya, Luqman Hakimi pula tidak mempunyai calon isteri. Dia kenal sangat dengan anak lelakinya itu. Terlampau memilih. Cari miss perfect agaknya. Dia pun sudah cuak untuk terus bertanya. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia jodohkan Luqman Hakimi dengan anak-anak Datin yang dikenalinya.
Namun mustahil baginya kerana Luqman Hakimi pasti tidak akan bersetuju. Luqman Hakimi bukan sahaja mencari seorang isteri tetapi juga ibu untuk Danish. Kalau anak-anak Datin yang dia kenal, pasti tidak layak untuk menjadi ibu bidan terjun kepada Danish.
Anak gadis zaman moden sekarang ni hanya suka bersosial. Bukannya seperti anak gadis pada zaman dahulu yang pandai membuat kerja rumah. Segalanya jauh berbeza. Baginya, sebab itu sukar untuk Luqman Hakimi mendapatkan isteri dua dalam satu itu. Boleh menjadi isteri sekaligus menjadi ibu. Jika gadis-gadis muda di kota ni memang taklah. Jauh panggang dari api.
No comments:
Post a Comment