Wednesday, 11 February 2015

Oops! Suami Aku Bukan Duda - Bab 8

AKU mengintai di balik langsir. Hai, Danish ni dah sihat ke? Takkan dua hari saja rehat kat rumah? Mungkin Encik Luqman Hakimi dan isterinya tidak dapat bercuti lama untuk menjaga Danish. Sebab tu hari ni Encik Luqman Hakimi sudahdatang ke taska. Erm… Tapi aku tak nampak pula Si Danish. 

“Qis…” Aku berpaling. Kak Azmah rupa-rupanya. Alamak!

“Tak payah buat muka cicak tertelan kapurlah. Kau pi skodeng dia buat apa? Tuannya kan dah terpacak kat depan tu.” Segannya apabila gelagatku dilihat oleh Kak Azmah.

Sudahlah aku dilasernya. Harap-harap dia tak syak yang bukan-bukan.

“Qis tak intai dialah, Kak Azmah. Qis tengok sama ada Danish datang atau tidak hari ini.” Kak Azmah tersenyum senget. “Dia datang nak jumpa Qis, bukan nak hantar Danish.”

Nak jumpa aku? Mengigau lagi agaknya bapa Danish tu. Setakat hendak beritahu pasal Danish, boleh aje telefon taska bagi tahu. Ini sanggup pula dia ke mari. “Kenapa dia nak jumpa Qis?”

“Mana akak tahu. Pergilah tanya dia sendiri. Dia tunggu dekat kereta tu,” balas Kak Azmah yang macam tak ambil pusing saja. Terus saja dia meninggalkan aku untuk ke ruang kanak-kanak. Kurang asam betul bapa Danish ni. Karang kalau aku tak pergi, Kak Azmah marah. Pergi sajalah…

“Encik Luqman, kenapa nak jumpa saya? Danish belum sihat lagi ke?”

“Dia dah sihat. Cuma hari ini nenek dia yang mahu menjaganya. Tu yang saya tak bawa dia ke sini.” 

“Kalau setakat nak beritahu pasal tu, kenapa tak telefon taska sahaja?” tanya aku yang sedang berdiri berpeluk tubuh. 

“Kenapa? Qistina tak suka ke tengok saya datang?”

“Tiada sebab untuk saya suka Encik Luqman…” 

Dia diam tapi wajahku tidak segan dipandangnya. Tentu sukar untuk dia hadam kata-kata sinisku itu. Melihatkan dia tidak mengeluarkan sebarang kata, aku menyambung katakataku
semula. 

“Ibu bapa kepada pelajar taska ni datang jika mahu menghantar dan mengambil anak mereka sahaja. Kes encik pagi ni lain sikit sebab datang seorang diri tanpa membawa anak. Apa agenda encik sebenarnya?”

“Sebab saya nak bagi ni kepada Qistina,” jawabnya seraya menghulurkan beg kertas berwarna ungu kepada aku. Oh… Ini tujuan kau sebenarnya. “Apa ni? Untuk apa encik beri kepada saya? Sebarang unsur rasuah tidak diterima di sini.”

Dia menggeleng. Ada senyuman halus terbirat di balik mukanya. “Bukan rasuah. Saya tahu berdosa besar memberi rasuah ni. Janganlah main tembak saja, cik adik.”

Ceh! Cik adiklah pula panggil aku. Lempang baru tahu. “Habis tu untuk apa?” soal aku yang belum menyambut pemberiannya.

“Just untuk ucap terima kasih pasal hari tu. Saya rasa terhutang budi kepada Qistina. Dahlah jaga Danish di taska, lepas tu susah-susah temankan saya ke klinik pula.”

“Itu memang kerja saya jaga Danish. Pasal pergi klinik tu saya ikhlas. Encik tak perlu rasa terhutang budi ke apa... Jika encik rasa dah susahkan saya, anggap saja saya terpaksa tempoh hari.”

“Kalau macam tu, anggap saja saya memaksa Qis terima hadiah ni. Bila saya memaksa awak akan jadi terpaksa. Oleh yang demikian, sudikanlah diri untuk menerima,” pujuknya dengan menayang wajah mengharap.

Geramnya aku. Aku cakap terpaksa, dia pula yang memaksa. “Saya ikhlas hari tu,” balas aku, pendek. Beg kertas berwarna ungu itu tidak juga aku ambil. Tiada guna memanjangkan perbualan dengan isu paksa-memaksa ini. 

“Saya pun ikhlas. Ambillah...” pinta Luqman Hakimi lagi. Ada sedikit rayuan di situ.

Macam mana ni? Tak makan saman dia ni. Tak pasal-pasal masa kerja aku terbuang sebab dia. Mengalah sajalah. Aku sambut juga tetapi dengan riak tidak gembira. “Thanks,” ucapku
kurang ikhlas.

“Welcome,” balasnya dengan kuntuman senyum. Senyum macam bunga kekwa. Bunga kekwa pun reti senyum ke? Bunga kekwa tu bukan bunga kesukaan aku jadi aku cakaplah dia senyum macam bunga kekwa. Kalau aku cakap dia senyum macam bunga ros, alamat aku sukalah tu. 

“Saya masuk dulu.” Aku meminta diri. Dia menganggukkan kepalanya dan aku pun melangkah masuk ke taska.

“Amboi, bestnya dia dapat hadiah,” usik Kak Azmah. Tersengih-sengih Kak Azmah tengok aku. Sengih yang tersimpan seribu makna.

“Agaknya dia syok kat Qis,” sampuk Kak Isma pula.

“Hesy, apalah Kak Isma ni. Dia kan laki orang.” 

Kak Azmah mencebik. “Laaa… Tak tahu rupa-rupanya.” “Encik Luqman tu mana ada isteri, Cik Qistina oi,” balas Kak Isma pula sebagai sambungan kepada kata-kata Kak Azmah.

“Sebab tu dia nak mengurat kau. Takkan nak mengurat akak yang sudah bersuami ni,” tempelak Kak Azmah. 

Aku memandang wajah Kak Azmah dan Kak Isma dengan silih berganti. Rasa macam tak percaya pun ada. Tapi atas sebab apa untuk aku tidak percaya? Aku telah pun diberitahu. Mana mungkin mereka berdua sengaja menipu aku. Adakah ia hanya satu gurauan?

“Betul ke Kak Isma?” tanyaku yang masih kurang percaya.

“Betullah, cik adik manis oi. Tak ada sebab kami nak mereka cerita,” jawab Kak Isma sebelum berlalu mendapatkan Baby Eisha apabila terdengar tangisannya. Tadi elok saja dia tidur. 

Aku pandang Kak Azmah. “Yes. It’s correct.”

“Alright.” Aku percaya.

Ini bermakna Luqman Hakimi itu seorang duda beranak satu. Mungkin isterinya telah meninggal dunia atau pun mereka telah bercerai. Patutlah Danish suka sangat dengan kasih sayang yang aku curahkan. Rupa-rupanya dia tandus. Tandus dengan belaian seorang ibu. Aku membuat rumusan sendiri tanpa bertanyakan kepada Kak Azmah mahupun Kak Isma. Tak kuasa aku hendak selidik lebih-lebih pasal lelaki itu. 


USAI SOLAT maghrib, aku mengaji al-Quran sementara menanti waktu isyak masuk. Umi selalu mengingatkan jika tidak sempat membaca al-Quran pada waktu lain, seelok-eloknya baca selepas sembahyang maghrib. Sementara menunggu isyak lebih baik mengaji. Kata umi, rumah yang penghuninya membaca al-Quran, akan dikunjungi para malaikat dan dijauhkan dari iblis laknatullah. Hati kita yang berkarat boleh dibersihkan melalui amalan membaca al-Quran. Semasa hendak menyimpan kitab suci itu, aku terlihatkan beg kertas berwarna ungu di atas meja. Siang tadi semasa di taska, aku tidak sempat untuk melihat isi kandungannya. Lagipun aku malu jika diusik oleh Kak Azmah bahkan aku sibuk dengan budak-budak pada masa tu. Jadi, aku berniat untuk melihatnya di rumah sahaja.

Aku mencapai beg kertas berwarna ungu itu. Aku mengeluarkan isi di dalamnya. Sepasang baju kurung moden berwarna merah jambu. Tudung pun ada sekali. Wah, cantiknya! Kainnya lembut dan wangi. Sempat baju kurung itu aku bawa ke hidung. Ini semestinya keluaran butik yang terkemuka. Harga baju ini pasti mahal. Kain jenis krep ni. Aku gigit bibir. Kenapalah bapa Si Danish bersusah payah beli untuk aku? 

Dia kan nak mengurat kau. 

Siapa cakap?

Siang tadi kan Kak Azmah yang cakap. 

Sorry! Selera aku bukan duda. Aku tak berminat dengan duda lagipun aku masih muda. Aku tidak pernah berharap untuk berkahwin dalam usia yang masih muda. Sekalipun aku ingin bercinta aku tak akan cari orang tualah. Sementelah lagi berstatus duda.

Serta-merta baju kurung merah jambu itu aku campak ke bawah meja. Tak nak aku pakai. Kalau duda tu letak minyak pengasih, habis aku. Dibomoh dengan minyak dagu karang naya aku yang masih dara ni. 

Tipikal orang kampung kan fikiran aku? Macamlah orang bandar tak percaya benda tahyul. Lantaklah. Janji aku berhati-hati. Luaran nampak baik tak semestinya hati baik. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Lain ke? Bukan hati kau dengan dia sama merah ke? Huh! 

Luqman Hakimi kau jangan perasan, ya. Kau ingat kau handsome plus kaya, aku boleh cair? Nope! Ini Qistina Airisa. Aku seorang yang berpegang pada prinsip.

No comments:

Post a Comment