“BETUL ke ni Pudji...”
“Betul...”
“Kau tak nyesal nanti?”
“La... kenapa pulak aku nak nyesal?”
“Seingat aku, dari hari tu lagi kau asyik cerita pasal dia pada mama... mama pun selalu cakap yang kau suka kat dia. Habis tu, takkanlah senang-senang je kau nak bagi aku?” Mata Fauzi galak melatari wajah abangnya. Kalaulah diikutkan hatinya mahu sahaja dia menampar pipi abangnya itu. Sudah beberapa kali dia mengulangi perkataan itu sehinggakan Fauzi merasakan yang egonya tercalar.
“Berapa kali aku nak cakap ni... sudahlah... kalau kau tak nak, tak payah... cakap je terus-terang. Senang aku nak beritahu dia semula yang kau tak nak...” Ugut Fauzi pada Faris. Kelihatan wajah Faris berkerut mendengarkan ugutan itu.
“Isy... teruk betul engkau ni... takkanlah tadi mama dah cakap nak... lepas tu sekarang ni nak suruh mama cakap tak nak pulak... yang engkau memandai-mandai pergi cakap mama
nak datang merisik tu kenapa? Langsung tak tunggu aku bagi jawapan,” rungut Faris dengan kerut yang masih di dahi.
“Hah... tunggu jawapan daripada engkau, alamatnya tahun depan pun tak tau lagi ada jawapannya ke tidak. Dah berapa lama mama tanya engkau soalan tu... sama je... tak ada jawapan... sebab tu mama tolong buatkan keputusan...”
Faris terdiam. Betul kata Fauzi itu dan dia sedikit pun tidak mampu untuk menafikan semuanya. Kalaulah jawapan yang ditunggu pastinya dia akan diam lagi sampai mama mebebel lagi. Wajah Fauzi yang sembilan tahun lebih muda daripada dirinya di pandang sinis. Terlihat di matanya seraut wajah yang menunjukkan kematangan dalam usia semuda itu.
Dia sendiri terlalu sibuk untuk memikirkan tentang sebuah perkahwinan. Atau mungkin sengaja mengelakkan diri daripada membincangkan tentang perkara itu supaya topik itu akhirnya dilupakan begitu sahaja.
“Betul, kan cakap aku ni?” Sindir Fauzi.
Ada rasa geram singgah di hati. Sikap acuh tidak acuh Faris dengan keinginan mama dalam hal ini membuatkan dia merasakan abangnya ini cukup tidak menghormati perasaan mama mereka. Sudah berapa kali mama menyatakan hasratnya untuk menerima menantu, malah untuk mendapat cucu, tapi Faris buat tak endah saja. Terlalu sibuk mengejar kerjayanya.
Sedangkan usianya makin bertambah. Teman-teman seusia dengannya sudah pun ada yang beranak dua dan tiga. Namun dia masih sendirian mengusung kenangan.
“Tapi... tidak ke kita terburu-buru sangat ni... aku belum kenal dia... dia pun belum kenal aku...”
“Masa bertunang inilah kena berkenal-kenalan... apa susahnya...” Sambut Fauzi.
“Pudji... ini zaman milenium la... mana ada match making lagi dah...”
“Jangan nak mengarut okey... kalau tunggu kau cari sendiri match engkau... alamat kempunan la mama nak timang cucu. Jadi, sebelum itu yang jadi... biarlah aku yang carikan
untuk engkau...”
“Suka hati engkaulah...” Akhirnya Faris berkata setelah agak lama diam menyerap kata-kata Fauzi itu. Dia tidak mampu untuk nafikan kebenarannya.
Matanya melirik kepada mama yang sedang duduk di ruang tamu bersama Farisya yang sedang menulis sesuatu di atas kertas putih. Mesti mereka sedang menyediakan senarai panjang barang-barang yang akan dibeli sebentar nanti untuk majlis merisik esok. Itu keputusan mama dan dia tidak mampu berkata apa-apa. Malah dia langsung tidak dibenarkan untuk menghubungi Fazila bagi membincangkan hal ini.
Mama bimbang nanti keluar patah-patah kata yang akan membuat Fazila menolak hasratnya itu. Sebentar tadi bukan main panjang lebar lagi mama dan emak Fazila berbincang dalam telefon tentang majlis yang ringkas esok. Dan jika kedua-dua pihak bersetuju, pertunangan akan terus dilangsungkan. Dan kini mama mendesaknya untuk pergi mendapatkan cincin untuk merisik dan juga untuk peminangan sekaligus. Jam baru menunjukkan ke pukul 8:00 malam, maka sempat lagi ke Poh Kong, kata mama. Faris pun tak pasti entah dari mana mama tahu akan adanya Kedai Emas Poh Kong di KB Mall, salah satu pusat membeli-belah di Kota Bharu ini.
Mama memang begitu, kalau itu yang dia inginkan, maka akan diusahakannya hingga dia berjaya mendapatkannya. Sikap yang tertanam kemas dalam diri mama sejak menjadi ibu tunggal selepas ditinggalkan tanpa pesan oleh ayah mereka lebih dua puluh tahun yang lalu.
KETIBAAN ROMBONGAN daripada pihak Faris disambut mesra oleh seluruh ahli keluarga Fazila. Emak dan abah telah menjemput semua emak saudaranya di kedua-dua belah pihak. Selain daripada itu, imam masjid berdekatan dengan kawasan perumahan itu yang juga merupakan kawan rapat ayah turut hadir sama.
Di pihak lelaki pula, selain daripada Fauzi sekeluarga, turut hadir adalah ahli keluarga suami kepada sepupu Mak Cik Hasmah yang tinggal di Pasir Putih. Rupa-rupanya mereka mempunyai saudara-mara di sini. Memang benarlah rupa-rupanya pelawaan untuk Fazila menjadi tourist guide mereka itu hanya satu alasan sahaja untuk mempertemukan Fazila dengan Faris. Pandai sungguh Fauzi membuat cerita.
Upacara merisik berlangsung dengan pantas sekali. Fazila yang berada di dapur, bersama menyediakan juadah untuk hidangan para tetamu tidak sudah-sudah diusik Mak Su Milah. Bila ada yang bertanya sejak bila dan bagaimana hubungan mereka terjalin, Fazila jadi buntu. Apa yang mampu dia katakan? Sedangkan dia sendiri tidak pasti bila hubungan ini mula terjalin. Malah mereka juga tidak pernah berbicara secara berhadapan. Suara Faris pun dia sudah lupa bagaimana bunyinya. Terlalu sibuk melayan debar di hati waktu bersama menemani Mak Cik Hasmah membeli-belah semalam. Usikan Kak Rini pula buat wajah Fazila makin merona kerana malu.
“Itulah Mak Su... semalam bukan main lagi masing-masing buat hal sendiri. Langsung tak bercakap, kita langsung tak sangka rupanya dah nak bertunang... pandai betul simpan rahsia,” usik Kak Rini sambil mencubit lengan Fazila yang sedang duduk bersimpuh di sebelahnya. Sempat dia meletakkan seketika pisau yang sedang dia gunakan untuk memotong mentimun untuk dijadikan ulam bagi nasi kerabu sebentar nanti hanya kerana mau mencubit Fazila.
“Adoi... sakitlah kak...” Rengek Fazila sambil menggosok bekas cubitan kakak sepupunya itu.
“Itulah... bukan main lagi ajak kita pergi... langsung tak cakap dia dah nak bertunang...”
“Manalah Ila tau kak...”
“Isyyy... tak kan la tak tau. Ni bukan benda main-main...” Terasa tersirap darah Fazila mendengarkan kata-kata Kak Rini itu. Secara spontan hatinya terjerut hingga seketika terasa sesak nafasnya. Memang dia tahu ini semua bukannya main-main. Jodoh memang ketentuan tuhan, tapi bukankah dia sebagai seorang hamba boleh memilih untuk membuat
keputusan? Atau, mungkin pilihan sudah tidak ada baginya?
“Alah... sebab bukan nak main-main la dia datang nak meminang tu. Dah dia masuk meminang... mestilah sebab dia suka. Kalau tak, tak kan la dia masuk meminang, kan?” Kata Mak Su Milah.
Fazila hanya diam. Hatinya masih lagi terasa bimbang meskipun kata-kata Mak Su Milah itu menjentik logik ke dalam fikirannya.
“Taklah Mak Su... kita ni kan perempuan, naklah juga kenal orang yang nak kita jadikan suami. Biar kenal dulu, kalau rasa okey, barulah teruskan...”
“La Rini... kenal-kenal la masa tempoh bertunang tu...”
“Kalau masa tu nampak tak serasi macam mana?”
“Serasikan la...”
“Isyyyy Mak Su ni... kalau tak suka dengan dia... macam mana nak serasikan...”
“Habis... kalau yang dah bercinta bertahun-tahun tu kita yakin ke boleh serasi? Kalau macam tu, tak adalah orang yang bercinta sebelum kahwin tu bercerai-berai...” Kak Rini terdiam. Yang nyatanya kata-kata Mak Su itu tidak mampu untuk dia sangkal.
“Kita selalu kata nak kenal, nak serasi baru nak kahwin. Tapi kita lupa, kita ni manusia... Kita ni pun bukannya baik sangat. Kita pun ada jugak lemahnya kat sana sini... bila dah macam tu, kenalah belajar serasikan diri. Cuba ubah mana yang tak sesuai. Cuba terima kelemahan orang kalau kita nak orang terima kelemahan diri kita. Itu sebenarnya maksud serasi dalam hubungan suami isteri...” Panjang lebar Mak Su Milah menasihati dua gadis yang berbeza umurnya itu. Yang seorang, terlalu memilih kerana mahukan yang serasi hingga di lewat usianya masih lagi belum bertemu jodoh. Yang satu lagi, masih lagi mentah untuk menilai diri sendiri tentang sebuah hubungan dalam perkahwinan.
Kak Rini mengambil keputusan untuk diam, meskipun dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Mak Su Milah. Dia kelihatan sedang memikirkan sesuatu untuk diperkatakan demi untuk menegakkan pandangannya. Semua yang ada di dapur rumah teres yang sempit itu hanya diam memerhatikan mereka. Tidak mahu menimbulkan
suasana bising yang mungkin menganggu acara merisik di ruang tamu rumah.
Akhirnya semua mengalihkan perhatian mereka apabila emak masuk ke dapur. Masing-masing teruja dengan apa yang akan diperkatakan olehnya. Soalan yang ditanyakan membuatkan Fazila jadi bingung lagi.
“Macam mana ni Ila... setuju ke tak...” Tanya Puan Norhayati sekali lagi bila Fazila masih tak mampu memberikan jawapannya.
“Eh... orang tu dah nak masuk meminang, Ila masih belum setuju lagi ke?” Tanya Mak Su Milah. Ada nada gurauan di situ sedangkan Mak Su Milah sebenarnya sudah tahu duduk perkara sebenarnya tentang perhubungan yang baru saja akan terjalin ini.
“Itulah Milah... Sejak semalam, tiada satu jawapan yang dia bagi. Asal tanya je, dia diam... itu yang abah dia suruh tanya balik ni... diaorang nak terus masuk meminang ni...”
“Alah... terima je Ila... nampak keluarganya macam orang baik-baik. Lagipun, kan abah Ila dah kenal lama. Takkanlah abah Ila nak bagi anak dia pada orang yang tak baik...”
“Tapi mak su... mak dia mungkin baik, anaknya tak tentu lagi...” Jawab Fazila setelah lama berdiam diri.
“Ila... mak tak suka Ila cakap gitu... jangan duk fikir perkara macam tu. Kalau nak, cakap nak. Kalau tak nak, cakap tak nak...” Kata emak dengan nada yang lebih tegas.
Fazila mengeluh perlahan. Semua mata memandangke wajahnya menunggu jawapan. Hatinya kembali keliru. Untuk berkata tak mahu, hatinya bagaikan mahu. Untuk berkata mahu, ah... dia malu sekali. Sungguh... dia masih lagi ragu-ragu.
Terasa seperti terlalu awal untuk menjalinkan hubungan sebegini. Baru sahaja semalam bertemu, hari ini sudah datang merisik dan seterusnya akan bertunang. Tak masuk dek akal
betul rasanya.
“Ila... macam mana?”
“Ila tak tau mak...”
“La... apa pulak tak tau. Jawab aje nak ke tak, senang cerita.”
“Tapi Ila tak kenal dia.”
“Dia kenal Ila. Mak dia kata Fauzi yang kenalkan Ila pada dia. Dia memang nak bertunang dengan Ila. Lagipun ayah kan kenal mak dia,” kata Puan Norhayati. Sedayanya cuba untuk membuatkan Fazila sedar tentang keinginannya untuk bermenantukan anak kawan lamanya itu.
“Tapi... Ila, tak sempat nak fikir mak...”
“Apa lagi yang difikir... Mak berkenan dengan dia. Baik orangnya, baik keluarganya. Kalau Ila setuju mereka nak terus meminang ni. Cepatlah bagi keputusan. Kesian mereka duk tunggu tu. Mereka pun nak balik lepas majlis ni. Janganlah nanti dia tertunggu-tunggu pulak. Kalau tak nak, cakap aje tak nak.”
“Ila... tak taulah mak...” Kata Fazila, masih dalam keadaan ragu-ragu.
“Kenapa ni Ila?” Suara abah menyampuk perbualan dua beranak itu. Mungkin lama menunggu emak keluar dengan keputusannya menyebabkan abah turut sama hadir ke dapur.
“Ila ni bang... tak tahu nak bagi keputusan. Sebenarnya suka agaknya. Itu yang tak tahu nak cakap apa tu. Kalau tak, dah tentu dari semalam lagi dia cakap tak nak...” Kata emak.
“Hah... macam mana Ila, kalau tak tahu apa nak cakap, biar abah ajelah yang cakap ye?”
Fazila hanya mampu memandang ke wajah abah. Memang abah banyak mengambil peranan dalam membuat keputusan untuk dirinya terutamanya bila dia berada dalamkebuntuan. Ketika menerima tawaran menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan dulu pun, abah yang buat keputusan supaya dia menerima.
Dia memang tidak meminati jurusan itu dan tidak pernah berangan-angan untuk menjadi seorang jurutera. Tapi, apa pilihan yang dia ada? Abah mengatakan, jika dia menolak, berkemungkinan dia tidak akan ada peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang lain. Mungkin ini yang Allah tentukan untuknya. Atas dasar itulah maka Fazila menerima tawaran pengajian itu walaupun tidak meminatinya.
“Biar abah bagi keputusannya ye Ila?” Kata abah lembut.
Dalam serba salah Fazila hanya mampu mengangguk perlahan sambil menundukkan muka. Namun dalam hatinya doa kepada yang Maha Kuasa dipanjatkan demi meraih restu dari Ilahi.
“Ya Allah, aku bermohon pada-Mu, biarlah keputusan yang abah berikan ini baik untukku. Aku bermohon pada-Mu, jika dia yang menjadi jodohku, biarlah segalanya berlandaskan ketetapan-Mu. Biarlah hubungan ini mendapat keredhaan-Mu. Selama ini aku cukup menjaga maruah diriku seperti yang sering dipesan oleh emak dan abah. Cuba untuk tidak begitu mudah didekati oleh lelaki-lelaki yang entah apa tanggapan mereka terhadapku. Cuba menjaga maruah diri, tidak mudah menerima apa-apa hubungan yang memungkinkan aku melanggar batasan adat dan agama-Mu. Ya Allah, jadikan keputusan abah ini sebagai titik mula untuk cintaku yang berlandaskan ketaatanku kepada-Mu. Jika ini takdir-Mu, jadikanlah dia lelaki soleh yang akan membawaku ke jalan yangkau redhai. Amin, Ya Rabul Alamin...”
No comments:
Post a Comment