Tuesday, 10 February 2015

Titik Mula Cinta - Bab 9

AKU TERIMA nikahnya Nurul Auni Binti Amin.” Dengan sekali lafaz, kedengaran pihak saksi dan pihak jurunikah bersetuju bahawa pernikahan itu telah sah dilangsungkan. Di saat itu, bagaikan ada taman yang penuh dengan bunga-bunga yang sedang mekar berkembang di hati kedua-dua pengantinnya. Setelah sekian lama mereka memendam rasa dalam cinta, kini kasih mereka berpadu dalam sebuah perkahwinan.

Bagaikan satu kemenangan dirasakan di pihak pengantin lelaki kerana akhirnya dia berjaya memiliki Auni, gadis yang memikat hatinya sejak pertama kali dia merenung ke dalam mata bundar itu. Perkenalan yang membawa rasa cinta di hati si jejaka sejak di tahun satu pengajian lagi menyaksikan pujukan demi pujukan yang terpaksa dilakukannya demi untuk
meyakinkan gadis itu tentang cintanya.

“Kenapa Auni... kenapa tak nak mengaku yang you cintakan I? Padahal itu yang I nampak dalam mata you... ”

“You... please... I...”

“Auni... rasanya macam I dah sejuta kali ulang semua ni... you masih tak percaya lagi? Apa yang berlaku pada mak you tak boleh you jadikan sebab you tolak cinta I.”

“I bukan nak jadikan semua tu sebab untuk tolak cinta you... I masih tak yakin dengan perasaan you Faris...” 

“Macam-macam la alasan you...” Si jejaka mula merajuk.

Gadis yang muda setahun daripadanya itu mula dapat merasakan rajuk yang terlahir daripada sikapnya yang terus sangsi dengan lelaki ini. Bagaimana dia mampu untuk jelaskan perasaannya? Sememangnya cinta sudah mekar indah di taman hati, namun untuk percaya, terasa amat susah sekali. Auni tidak pasti mengapa dia tidak mampu untuk percaya sedangkan ada ketikanya dia dapat merasakan kejujuran pada kata-kata Faris.

“Faris, I tak tahu macam mana I nak cakap pada you apa yang I rasa... tapi apa yang my mom pernah alami lama dulu buat I rasa takut nak bercinta...” Faris bangun dan berdiri di tepi tasik yang kelihatan tenang airnya itu mengeluh perlahan.

“I sendiri pernah tengok macam mana menderitanya mama I bila ayah tinggalkan kami tanpa khabar berita. Dua puluh tahun I membesar tanpa seorang ayah. I tak berani nak percaya pada lelaki lagi... not at this moment,” kata Auni lagi. Kata-kata itu buat Faris berpaling kepada Auni.

“I’ve told you a thousand times already... I also have been in that situation... I dah tau betapa deritanya seorang isteri bila kena tinggal dek suami tanpa khabar berita, tanpa nafkah, terpaksa besarkan anak-anak sendirian. Semua tu buat I sedar betapa pentingnya tanggungjawab seorang ayah Auni... I also came from a broken family... Please... believe me... I tak akan siasiakan you...” 

Auni memandang ke wajah lelaki yang berdiri gagah di hadapannya itu. Ingin sekali dia percaya, namun dia tidak mampu berbuat begitu. Masih lagi dia tidak mampu hingga ke saat ini.

“I really wish that I can trust you Faris...”

Faris mengeluh lagi. Matanya terus menatap jauh ke dalam mata Auni yang cukup indah itu. Lentik alis matanya bagaikan menggamit hatinya untuk menyentuh pemiliknya. Namun dia menahan perasaan yang telah sekian lama disimpan di dalam hatinya. Dia inginkan cinta berlandaskan keimanan dengan gadis ini. Bukannya cinta berlandaskan nafsu semata-mata.

“Apa yang I kena buat lagi untuk buat you percaya pada kata-kata I?” Kerut di wajah Faris membuatkan hati Auni merasa sayu.

“Entahlah... I pun tak tau...” 

Lalu kata-kata yang diucapkan itulah yang menjadikan semangat anak muda itu terus kuat. Kalaulah Auni tidak mampu untuk percayakan dirinya, dia akan cari cara lain untuk buat Auni menerimanya. Itulah tekad hatinya dulu, sehingga akhirnya dia berjaya memiliki. Usah ditanya lagi bagaimana akhirnya dia mampu meyakinkan isterinya itu kerana setiap apa yang terdaya sudah dia lakukan. Dan akhirnya, Allah memakbul tiap doa yang dipintanya.

FAZILA, YANG mana satu lorong masuk ke hostel awak ni...” Eh, tau juga dia nama aku... bisik Ila dalam hati.

Sungguh dia tak sangka. Baru sahaja lima jam mereka berkenalan, atau dengan kata lain setengah jam di titik mula pertemuan dan kini setengah jam di titik akhirnya. Dan di sepanjang tempoh itu tak pernah sekalipun lelaki itu bertanyakan namanya. Sombong betul... Tapi... oh ya... hampir dia lupa, tentunya Professor Ruquiyah yang memberitahu namanya kepada si Amir Hamzah ni. Dan dia sendiri pun sebenarnya sama juga. Sombong. Masih sehingga kini dia juga belum lagi bertanyakan nama lelaki yang dikatakan bernama Amir Hamzah ini.

“Berangan?”

“Hah?” Dengan terkejut Fazila berpaling menatap wajah Amir Hamzah. Lasernya mulut...

“Berangan ke?”

“Taklah...”

“Habis tu diam je... tak jawab pun apa yang orang tanya...”

Kalaulah Amir boleh nampak rona di wajahnya, pasti... Fazila pasti dia akan diketawakan oleh pemuda yang sering saja sinis senyumannya ini.

“Hmm... diam lagi... sah.. memang kuat berangan...” Komen Si Amir Hamzah ini buat dahi Fazila berkerut seribu.

“Suka hati sayalah...”

“Hei... awak nak saya hantarkan ke tak ni... ? Kalau tak nak, balik la sendiri,” kedengaran marah sekali suara itu kali ini.

“Saya tak minta awak hantarkan pun...” Sahut Fazila. Ingat dia saja ke yang boleh marah?

“Amboi... sombongnya... habis awak nak kakak saya marahkan saya?”

Fazila diam lagi. Akhirnya kereta Amir Hamzah mula menghampiri lorong untuk masuk ke pejabat asrama. 

“Masuk lorong kiri kat depan tu... kat pejabat asrama tu... berhenti kat situ je...” Bagaikan memberi arahan saja kedengarannya. Sekilas mata Amir Hamzah menjeling ke wajah Fazila. Terasa jengkel dengan kesombongan yang dipamerkan.

“Berhenti kat depan tu ajelah... nanti saya jalan...”

“Hoi... kalau jadi apa-apa pada awak, kakak saya marahkan saya tau tak... ini dah pukul 11:00 malam ni... yang mana satu hostelnya ni?” Kali ini suara itu kedengaran tegas pula.

“Berhenti kat situ je...” Kata Fazila dengan nada yang agak keras.

Amir Hamzah memberhentikan keretanya berhampiran pejabat asrama Kolej Kediaman Tun Fatimah seperti yang diminta oleh Fazila. Gadis itu terus membuka pintu kereta sambil melangkah keluar dari perut kereta. 

“So...” Lambat-lambat Fazila bersuara.

“So what?” Tanya Amir Hamzah apabila hatinya tidak dapat menahan kesabaran menunggu Fazila meneruskan kata. 

“Kalau tak ikhlas nak hantar saya, lain kali tak payah hantar atau ambil... saya boleh pergi sendiri... teksi banyak...” Terasa panas sekali hati Amir Hamzah dengan bahasa sinis Fazila.

“Sombong nak mampus...” Kutuk pemuda itu. Fazila menghempaskan pintu kereta. Tanpa berlengah lagi Amir Hamzah menggerakkan keretanya meninggalkan gadis yang dia anggap sombong itu. Dia nampak dari cermin sisi keretanya Fazila menjelirkan lidahnya. Sombong... bisik hatinya. Namun wajah itu ditatapnya lagi seperti yang dilakukannya setiap kali Fazila tidak menyedarinya. 

“Eleh.. siapa yang sombong dulu...” Sambil menjelirkan lidahnya, Fazila berlalu dengan hati yang cukup geram. Cepat-cepat Fazila berjalan ke arah bangunan hostelnya yang terletak bersebelahan dengan bangunan pejabat asrama yang bersekali dengan kafe serta dewan makan.

“Cakap orang sombong... dia tu lebih lagi...” Dia merungut sendiri sambil melangkah masuk ke dalam bangunan hostel yang kebetulan pintunya masih terbuka luas. Beberapa orang penghuni hostel yang sedang duduk di ruang lobi hostel berhampiran pintu masuk itu berpaling ke arah senior mereka yang kelihatan cemberut sekali wajahnya.  Terasa takut untuk menegur kakak senior mereka ini, lantas mereka hanya diam tanpa sepatah kata. Namun mata masing-masing berpandangan dan dalam hati masing-masing berbisik... mesti bergaduh dengan boyfriend ni... 

Fazila terus melangkah ke biliknya di tingkat tiga bangunan tersebut. Selepas mencampakkan beg sandangnya di meja, dia terus menghempaskan dirinya di katil. Terasa begitu penat sekali. Bukan penat kerana melayan kerenah anak-anak Professor Ruquiyah, tetapi penat sekali menahan debaran di hati yang singgah tanpa diundang setiap kali dia bersama lelaki itu.

Penat sekali menjawab dan melayan tiap kerenah dan kata-kata sinis yang keluar dari bibir lelaki itu. Baru sahaja dua pertemuan, dia sudah merasakan sebegini. Dia tidak pasti, entah bila dia akan bertemu lagi dengan lelaki itu. Namun di saat ini hatinya terasa begitu teruja, seakan-akan tidak sabar-sabar  lagi menanti petang esok. Mungkinkah... hatinya berkira-kira sendiri. Dan akhirnya dia terlena dalam debaran yang mengasyikkan itu.

WEI... ENGKAU ni... mengelamun pulak bila aku tanya pasal tunang kau tu...” Fazila menarik nafas panjang sekali lagi. 

“Engkau dengan dia masih tak berhubung ke?” Fazila terus diam. Sayu terasa di dalam hatinya. 

Sejak dia kembali ke kampus Skudai ini, mereka tidak pernah sekalipun berhubung. Dia sendiri tidak mengerti mengapa dan apa yang menyebabkan dia tidak kisah tentang semua itu. Atau mungkinkah sememangnya dia tidak kisah? Namun ada ketikanya ingatannya berbelah bagi... antara yang jauh dengan yang dekat. Kedua-duanya seakan-akan mengambil ruang di dalam hatinya sejak kebelakangan ini. Patutkah itu berlaku?

“Dia tak contact engkau?” Fazila menggeleng-gelengkan kepalanya. 

“Engkau pun tak contact dia?” Fazila menggeleng lagi.

“Hesy... pelik betullah korang berdua ni...”

“Kan?”

“Hmmm...”

Mereka diam seketika. Masing-masing larut dengan perasaan masing-masing.

“Aku pelik la Ila... kenapa ye?” Fazila mengeluh lagi.

“Aku pun pelik juga Nad. Kenapa dia diam aje? Tak ada perasan ke dia ? Tak ada rasa nak tegur aku pun...” Keluh Fazila. 

“Kau pun... kenapa kau tak tegur dia. Call la... Ehh... aku lupa, kau mana ada telefon. Dia tak ada facebook ke? Tak ada alamat email ke? Cubalah contact dia kat situ...”

“Ada juga aku cari kat facebook... berlambak nama tu... tapi aku tak jumpa pun dia...”

“Habis? Twitter? Email ?”

“Twitter... aku pun tak ada... Email... Entah... aku tak tau...”

“La... takkanlah tak tau... Tanyalah Fauzi...” Berkerut wajah Nadia

“Malulah aku nak tanya...”

“Isyy... engkau? Malu? Hmmm...” Kata Nadia sambil tergelak. Langsung dia tidak menyembunyikan nyaring bunyi gelak tawanya itu.

Fazila diam. Malas melayan ketawa yang berbaur dengan kutukan daripada sahabatnya itu.

“Kau rasa dia tak tercari-cari kau ke?” Tanya Nadia lagi.

“Entahlah...” Dalam keluh Ila menjawab pertanyaan itu.

“Tapi pelik, kan... dia tak kenal engkau... takkanlah dalam masa bertunang ni tak ada sikit pun keinginan dia untuk kenal engkau...”

“Aku dah lama fikir pasal itu. Mungkin... mungkin dia bukannya nakkan aku... mama dia je yang bersungguh-sungguh...” Akhirnya keluar kata-kata itu dari bibir Fazila. Sesuatu yang sering bermain di mindanya.

“Hei... kalau bertunang sekadar nak ikutkan cakap mama dia... teruk la...”

“Kadang-kadang aku terfikir... mungkin dia dah ada pilihan hati sendiri... Orang macam dia... takkanlah tak ada sesiapa yang suka kat dia...” Fazila menelah sendirian. 

“Hmmm... betul cakap kau tu... rupa... hmmm...” Kata Nadia sambil mengangkat ibu jarinya. 

“Kerja... hmmmm...” Sekali lagi dia mengangkat ibu jarinya.

“Apa lagi orang perempuan nak, kan?” Fazila senyum sinis. Ya... apa lagi? Tapi... apakah semua itu yang dia perlukan? 

“Kau tanyalah Fauzi...” Nadia memberikan cadangan. 

Dia membetulkan duduknya dan menyandarkan tubuhnya ke dinding. Mereka duduk bersebelahan di atas katil Fazila. Kaki mereka berlunjur dan berjuntaian ke birai katil. Keadaan wajah Fazila yang bagaikan tidak punya apa-apa reaksi itu membuatkan dia tidak pasti apa yang ada di dalam hati Fazila yang tertunduk saat itu.

“Malulah Nad... nanti Fauzi cakap aku ni beria-ia pulak... tak mahulah...”

“Ehhh.. dia tu tunang kau... mestilah kau kena beria-ia... kenalah jaga... takkan nak biarkan dia terlepas ke tangan orang lain...”

“Nad... kalaulah aku bercinta sakan dengan dia, mestilah aku tak nak lepaskan dia... ini tidak, kenal pun tak. Kalau tak ada gambar masa kami bertunang hari tu, muka dia pun aku boleh lupa kau tahu tak...” Herdik Fazila pada Nadia. 

“Isyyy... mesti hari-hari kau belek gambar dia tu, kan?” 

Nadia tergelak lagi memandang wajah Fazila yang selama ini sering menyembunyikan perasaannya terhadap mana-mana lelaki. Kata-katanya itu membuatkan muncung di bibir Fazila semakin panjang.

“Nad, kalau kau datang ni cuma nak kutuk-kutuk aku... baik tak usah la datang... menyakitkan hati je...” Fazila merungut. Mukanya dipalingkan ke arah lain menunjukkanrajuk yang menyelubungi hatinya saat itu. 

“Ehhh... tak... tak... tak... aku tak kutuk... aku cuma cakap yang betul aje, kan?”

Fazila diam kembali. Dia sudah lama tidak menatap gambar wajah bakal suaminya itu. Kalau dulu, saban malam dia pasti menatapnya. Terutamanya selepas hampa mencari wajah itu dalam laman facebook. Tapi sejak dua minggu lalu, dia bagaikan sudah malas untuk terus mencari. Ternyata bakal suaminya itu tidak bersosial melalui laman sebegitu. Ah... biarkanlah... biarkan saja... mungkin lebih baik dia buat tidak tahu sahaja. Jika terlalu memikirkannya, pasti dia yang akan kecewa, seperti hari-hari yang lalu. Biarlah kali ini dia  buat-buat tidak endah kepada tunangannya itu, seperti yang Faris lakukan kepadanya selama ini.

‘Abang Faris...’ bisiknya penuh dengan rasa kecewa dalam hati.

“Ila... jangan la marah... kita kan dah lama tak jumpa... kau tak suka ke aku datang ni?” Nadia mula dapat menghidu bau-bau kecewa di hati kawan baiknya itu. 

Fazila diam sambil menatap wajah Nadia. Tiba-tiba dia berpaling semula kepada Nadia dan memeluk tubuh yang kini sedikit gempal berbanding waktu mereka sama-sama belajar dulu. Sudah bekerja temannya ini, sudah punya kerjaya dan sudah mampu membina masa depan sendiri. Tentu hati Nadia selalu gembira, sedangkan dia pula masih begini. Masih sering sahaja ada rasa resah dan gelisah yang membelenggu hatinya. Masih tidak bisa meluahkan semua yang terbungkam di dalam hatinya. Tiba-tiba pecah tangisnya di bahu Nadia.

“Eh... kenapa kau ni Ila...”

Fazila terus menangis. Dia ingin sekali bercerita tentang perasaannya yang kini sudah disentuh lelaki lain selain daripada tunangannya. Dia ingin sekali menceritakan betapa kini dia sentiasa teringatkan Amir Hamzah... yang sudah dua minggu tidak ditemuinya sejak kali pertama lelaki itu membawa dia ke rumah Professor Ruquiyah. Dia ingin sekali berkongsi perasaannya ini dengan Nadia, tetapi seakan-akan tidak mampu untuk dia menyebutnya. Tidak mampu untuk dia menceritakan tentang hatinya yang kini terpanggil untuk mengenang lelaki lain selain daripada tunangannya.

“Kau rindukan dia ye Ila?” Nadia bertanya dengan penuh simpati. Dia tidak tahu Fazila akan jadi begini lemah kerana cinta. Setahu dia Fazila tidak selemah ini selama ini. 

Fazila hanya terus menangis tanpa suara. Tidak mampu untuk meluahkan apa yang sebenarnya ada dalam hatinya. Kalaulah dia luahkan, apa nanti kata Nadia? Tentunya akan kelihatan buruk dirinya itu di mata temannya ini. Pasti Nadia akan mengatakan dia tidak setia. Sedangkan saat ini dia sendiri tidak mampu untuk mengerti apa yang dimaksudkan dengan perkataan setia.

“Ila... kau nak aku beritahu Fauzi ke?”

“Jangan... jangan beritahu dia... Nanti apa pulak kata dia...” Pantas sekali dia bersuara untuk meminta supaya Nadia tidak menyebut perkara ini pada Fauzi.

“Tapi, kalau tak beritahu, engkau yang merana... sakit menanggung rindu...” Usik Nadia.

Meleret senyumannya mengusik Fazila. Merah padam muka Fazila dan riak spontan itu ternyata disalah ertikan oleh Nadia. Fazila sedar akan perkara itu. Namun bibirnya masih bungkam untuk menjelaskan semua yang dia rasakan saat ini. Bukan pada Faris tempat hinggapnya rindu yang terbina diam di hatinya. Ya, ternyata bukan pada tunangannya itu. Lalu bagaimana harus dia jelaskan kepada Nadia?

No comments:

Post a Comment