Thursday, 5 March 2015

Di Penghujung Cintaku... Adelia - Bab 7

KARINA yang terlupa mengambil pasport dari Kota, ingin kembali semula mendapatkan buah hatinya tetapi terpempan apabila melihat Chempaka Rania dicempung oleh Haris sekutu Kota sehingga ke bilik Kota. Kemudian, rakan Haris bernama Radhi pula menyusul membawa Nik Pasha ke bilik Adelia berada. Rancangan untuk memerangkap Nik Pasha telah lama dia ketahui tetapi rancangan lain selain itu dia tidak tahu. Kenapa Chempaka Rania dibawa ke bilik Kota? Ada agenda lainkah? Tapi, takkan sampai ke bilik Kota? Tidak boleh jadi ni! Karina mahukan penjelasan.

Karina menapak ke bilik Adelia berada dan cuba menguping perbualan Kota dari luar. Serentak itu, Karina pantas menutup mulut. Air mata bertakung. Jadi selama ini, layanan Kota cuma pura-pura. Dalam hatinya, tidak pernah ada namanya. Karina geram dan marah. Kerana cinta dia sanggup korbankan BFFnya untuk meraih cinta Kota tetapi malangnya Kota cuma mempermainkannya. Sudahlah kerana cinta segalanya tergadai. Karina kecewa. 

Adelia! Karina baru tersedar. Dia harus selamatkan Adelia daripada perangkap Kota. Pantas tangan mendail rumah Adelia dan Nik Pasha berharap ada orang menjawab dengan cepat. Sekarang, adalah saat genting sebelum terlambat. Untuk menahan hasrat jahat Kota seorang diri Karina tahu dia tidak berdaya. Jadi, satu harapannya supaya orang tua Nik Pasha datang dengan segera untuk memberhentikan semua kerja gila Kota.

“Hello, uncle..”

NIK Pasha tersengih melihat Adelia di atas katil siap berselubung sampai ke dada tetapi tangan Adelia tergawanggawang siap tergelak-gelak entah apa yang lucu pun tidak tahu. Entah siapa yang membawanya sehingga ke bilik ini pun dia juga tidak tahu. Nik Pasha menapak ke arah Adelia. Badannya panas dan hangat semacam. Serentak itu dia membuka jaket kulit hitam lalu dicampak sesuka hati ke lantai. Kepalanya rasa berpusing-pusing. Hendak kata pening pun tidak tetapi entahlah hanyut saja dia rasakan. Pandangan sekejap menjadi dua dan satu. Hm.. apa pasal ni? Dia duduk di tepi katil sambil memandang Adelia. Tangannya ringan menarik comforter yang menyelubungi Adelia. Tersingkap gaun labuh yang dipakai oleh Adelia. Menampakkan betis Adelia yang putih bersih. Nik Pasha menelan liur. Rasa nak berdarah hidungnya melihat kaki Adelia yang putih melepak ditambah rupa Adelia yang kelihatan amat cantik pula dilihatnya malam ini. Hati Nik Pasha tertawan dengan kejelitaan Adelia. Sungguh..

“Adelia..” Sedap pula memanggil nama budak yang selalu dia sakiti itu.

Adelia buka mata dan lantas tersenyum manis apabila melihat Nik Pasha. Tangan Adelia dengan beraninya menyentuh pipi lelaki di sisinya. Nik Pasha terpesona. Tanpa mereka sedari ada kamera video tersembunyi di sebalik almari berdekatan. Itulah rancangan jahat Kota.

Kota yang berada di biliknya sendiri tersengih sampai ke telinga melihat Chempaka Rania yang sedang terbaring di atas katil. Tidak sedarkan diri. Akhirnya Chempaka Rania jatuh juga ke tangannya. Itulah jual mahal sangat dengan aku! Kalau kau terima aku, tak adalah aku buat kau macam ni. Pipi Chempaka Rania dielus lembut. Bisikan syaitan begitu galak memujuk dan menghasut supaya Kota memuaskan nafsu serakahnya. Kemeja di badan dibuka butang satu persatu. Tiba-tiba perbuatannya terhenti. Pintu bilik disergah dengan tiba-tiba. Kota hampir melenting jika rakan subahatnya yang mengganggu. Tetapi tidak menjadi apabila melihat Karina tercegat di depan muka pintu dengan wajah yang amat sedih. Kota terpaku. Mereka bertatapan seketika sehingga...

“I hate you! I really... really.. hate you!” Lemah suara Karina menghamburkan kebenciannya. Di belakang Karina ada beberapa budak sekolah mereka. Saling berbisik-bisik dan memandangnya dengan tatapan marah. Tidak menyangka Kota sanggup berkelakuan sebegitu. Kota pula sekadar terpaku. 


MARIA pandang kedua-dua budak remaja yang sedang berpelukan di atas katil dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Nik Nazrin juga turut sama memandang ke arah yang sama. Maria tarik suaminya rapat, ingin disuarakan hasrat hati yang agak tidak masuk akal. Berharap sangat suaminya bersetuju.

“Eh, mana boleh, Mar! Dia orangkan masih muda takkan nak dikahwinkan mereka pula?” Nik Nazrin tidak bersetuju.

“Lagipun, mereka berdua tak sempat nak buat apa-apa pun ni,” sambung Nik Nazrin. Kamera video di tangan dilihatnya sekali lagi mencari kepastian. Ha.. betullah ni! Lepas aje Adelia mengusap pipi anak terunanya terus Nik Pasha tumbang di sebelah Adelia dan tidak bergerak-gerak lagi sampailah kedatangan mereka berdua. Budak berdua itu bukan main pulas tidur siap berpeluk sakan tetapi tiada apa-apa yang berlaku. Dah sahlah ni!

Nik Nazrin tidak faham kenapa nak dikahwinkan budak berdua itu pula. Lagipun yang tahu keadaan budak berdua itu cuma mereka sahaja. Budak-budak yang datang ke parti dah dihalau awal-awal tadi. Yang tinggal, hanya budakbudak yang bikin masalah. Itupun ada di bawah. Sedang menunggu hukuman yang setimpal.

“Abang! Inilah peluang kita nak menyatukan mereka. Kita gunakan kesempatan ini supaya mereka berdua berkahwin. Tak salah, kan? Lagipun abangkan tahu Mar sayang sangat dekat Yaya. Mar nak Yaya jadi menantu kita. Please, abang..” lembut Maria memujuk.

Nik Nazrin terdiam. Keinginan Maria terlalu tinggi. Tidak sampai hati pula hendak membantah. Dipandang budak bertuah dua orang itu dengan pandangan yang sukar. Berat hendak menyetujui rancangan gila isterinya tetapi mungkin ada hikmah-Nya di sebalik kejadian yang berlaku. 

“Okey. Apa plan jahat, Mar? Cakap kat abang.” Nik Nazrin sengih. Ini perbuatan tidak masuk dek akal. 

Maria senyum mendengar kata-kata suaminya. Yes! Akhirnya Yaya jadi menantunya. Sukanya! Haha.. gelak jahat seorang ibu.



ISK! Isk! Tak guna kau, Pasha! Adelia menangis dengan geram di dalam comforternya. Marah. Sakit hati. Terluka. Semua bercampur gaul menjadi satu. Adelia bingung bagaimana
Nik Pasha boleh berpeluk sakan dengan dirinya di atas katil siap tidak berbaju lagi. Dia pula nasib baik masih lengkap berpakaian tetapi memakai gaun sebegitu, nak kena singkap bila-bila masa pun boleh. Musykil, tetapi benarkah kata-kata auntie yang mereka berdua sudah terlanjur? Adelia cuba tilik keadaan dirinya ketika ini. Ada merasa kelainan atau tidak? Adelia cuba mencari kelainan. Apa ya? Rasa macam sama saja tetapi auntie siap tunjuk video panas mereka tetapi separuh saja sebab auntie kata dia dah padam. Yang paling memalukan apabila dia dengan senyuman manis meletakkan tangan di pipi Nik Pasha siap merenung lelaki itu dengan romantis sekali. Macam dia pula yang terhegeh-hegeh menggoda jantan tak guna tu. Kenapa jadi begini? Bukankah tadi dia berbaring bersama Karina?

Karina yang dihubunginya menyatakan dia terpaksa pulang awal kerana ibunya menyuruhnya pulang dengan segera. Karina cakap, dia sudah beberapa kali mengejutkan dirinya supaya bangun tetapi tidak diendahkan. Sedap tidur kata Karina. Adelia cuba mengingati tetapi langsung tiada apa dalam fikirannya. Kosong! Karina telah meninggalkan
pesan kepada Nik Pasha supaya mengejutkan Adelia bangun. Mungkin kerana itu mereka berdua boleh berada di dalam bilik yang sama.

Daripada kata auntie, Nik Pasha pula diperangkap oleh Kota dengan pil ekstasi sehingga anak muda itu hilang pedoman sehingga mereka berdua terlanjur. Tetapi, macam mana dia boleh tak sedar langsung? Dia tidur matikah? Takkanlah sampai kronik sangat sampai ada orang menyentuh pun langsung dia tidak terkejut. Adakah dia juga terkena bahana ekstasi? Adelia sukar nak mengingati balik apa yang telah terjadi.

Apa pun nasi sudah menjadi bubur. Dia dah tak dara lagi. Isk! Isk! Bengang betul dengan Nik Pasha yang telah mengambil sesuatu berharga daripadanya. Jahanam! Jantan miang! Adelia melalak lagi. 


SAMBIL berbaring di atas katil, Nik Pasha meraup wajahnya bersama desahan nafas gelisah. Raut wajah Adelia begitu kuat melekat dalam fikiran. Mama dan papa telah  menjatuhkan hukuman mandatori terhadapnya. Hukuman yang teramat berat sekali untuknya. Berkahwin dengan Adelia. Umur baru nak menjejak kelapan belas tahun sudah dikerah berkahwin. Dia muda lagi kut! Takkan nak kahwin awal macam ni? Kahwin dengan Hippo pula tu. Tak tercapai oleh akalnya. Aku dan Hippo? Kahwin? Anak? Lapan belas tahun? Oh.. ini Kota punya angkara! Sial betul! Tak dapat Chempaka Rania secara baik-baik, dia gunakan helah pula. Kalau nakkan sangat Chempaka Rania tu, ambillah. Ada dia kisah?! Dia bukannya suka sangat pun dengan budak tu. Cantik memang cantik tetapi hatinya tidak terpaut pun. Dia hanyalah kawan dengan Chempaka Rania tidak lebih daripada itu. Kenapa nak dengkikan dengannya pula? Salahkah dia kalau ramai perempuan tergila-gilakannya? Salahkah dia mempunyai wajah yang menarik dan kacak? Salahkah dia dianugerahkan oleh Allah mempunyai IQ yang tinggi, kacak dan pintar? Salahkah? Dia tak mintalah.. 

Kenapa nak benci? Nak dengki? Geram dengan perbuatan Kota yang telah menggelapkan masa depannya. Muda-muda lagi dah kena berkahwin dan berkemungkinan besar akan menimang anak. Kalaulah kerana keterlanjuran itu, Adelia disahkan mengandung, maka dia jadi daddy mudalah jawabnya. Nik Pasha juga buntu dan mendesah lagi. Kali ini lagi berat desahannya.

KATA sepakat telah dibuat. Helmi, ayah Adelia bersetuju dengan cadangan teman baiknya, Maria dan Nik Nazrin supaya menyatukan budak berdua itu. Apa yang telah terjadi tidak dapat diputarkan kembali. Biarlah, mungkin ada hikmah Allah di sebaliknya. Adelia sebak. Matanya merah dan wajahnya sembap kerana menangis terlalu lama. Kepala pun sakit dan berat. Adelia cuma mampu menahan sendu apabila keputusan telah rasmi dibuat. Nik Pasha pun sama. Mereka tiada pilihan. Dalam masa sebulan mereka akan dinikahkan secara sederhana memandangkan mereka masih belum mencapai usia lapan belas tahun maka banyak prosedur nikah kahwin  yang perlu dilakukan. Jika tidak, mereka telah dinikahkan awal-awal lagi.

Nik Pasha pandang Adelia dengan renungan tajam. Kalau bukan kerana Adelia, tidaklah dia dipaksa berkahwin terlalu awal begini. Teringat video yang ditunjukkan kepada mereka berdua, Adelia bukan main romantis lagi membelai pipinya mungkin kerana itu dia tersalah langkah. Maknanya, Adelia la yang bersalah menggodanya. Dia berada dalam khayal ketika itu dengan bahana ekstasi dan Adelia berkemungkinan besar berada dalam keadaan sedar diri. Kenapa tidak menolak malah menggodanya pula? Kata mama, Adelia juga tidak sedar diri mungkin sama terkena bahana ekstasi. Tapi, siapa yang nak dengkikan budak Hippo itu? Sudahlah gemuk, tidak popular malah bodoh pula tu. Siapa? Ahh.. mesti Adelia dan Kota yang merancang perangkap itu. Ya, pasti Adelia juga terlibat sama. Nik Pasha nekad dalam hati, setelah Adelia rasmi menjadi isterinya, dia akan pergi jauh.

Nik Pasha yakin permohonannya ke universiti di luar negara dalam jurusan perubatan akan diperolehi dengan mudah kerana pencapaian SPMnya yang dia terlalu yakin akan cemerlang. Dia akan terbang jauh. Tempoh belajar di bidang perubatan lama, makan tahun. Biar Adelia sengsara. Biar Adelia terkontang-kanting dengan gelaran isteri. Biar! Dia akan biarkan Adelia digantung tak bertali. Biar Adelia terseksa menjadi isterinya sekadar di atas kertas sahaja. Dia akan tinggalkan Adelia di bumi Malaysia dengan tanda tanya. Diawang-awangan.

Idea menakutkan itu dijelaskan dengan penuh perasaan benci menerusi riak wajah yang menggerunkan ke arah Adelia. Kecil saja Adelia rasakan apabila direnung tajam oleh Nik Pasha. Pandangan yang menggerunkan. Adelia takut. Tidak tahu apa nasibnya sebagai isteri Nik Pasha nanti?

No comments:

Post a Comment