SAYANG DAMIA mengitari kamar tidur yang sudah lama tidak dihuninya. Dia memang jarang pulang ke rumah mamanya. Apabila dipaksa oleh neneknya barulah dia merajinkan diri berkunjung ke rumah mamanya itu. Lagi pula dia memang tidak betah berada di situ. Rumah itu bagaikan tidak serasi dengan dirinya. Terasa rimas pun ada. Pelik bukan? Bunyi ketukan pintu membuatkan Damia menoleh. Terjengul wajah mamanya di muka pintu.
“Boleh mama masuk?” tanya Dr. Karina.
“Emmm... masuklah mama.” Damia mempersilakan mamanya masuk.
“Sayang tengah buat apa?”
“Tak ada buat apa-apa, mama. Saja baring-baring sambil baca novel,” balas Damia sambil tersenyum.
“Mama ada hal nak cakap dengan Sayang,” ujar Dr. Karina.
“Hal apa, mama?” Hati Damia sudah bergendang hebat. Perkara apakah yang hendak mamanya sampaikan?
“Ini gambar-gambar calon bakal suami Sayang. Mama nak Sayang kenal hati budi mereka. Mama dah aturkan pertemuan Sayang dengan mereka esok memandangkan mereka semua bercuti hujung minggu. Ingat... jangan cuba malukan mama.” Usai mengeluarkan arahan, Dr. Karina keluar meninggalkan Damia keseorangan. Memori semalam menerjah kembali lorong ingatan Damia. Ingat lagi dia akan permintaan mamanya supaya pulang ke rumah. Rupa-rupanya mama bukannya rindu akan dirinya tetapi punya agenda tersendiri. Sakit hatinya mengenangkan sikap mamanya itu.
“Kenapa mama buat Sayang begini?” ujar Damia lirih.
Pada zaman serba canggih dan berteknologi tinggi ini masih ada lagi ibu bapa yang mengongkong hidup anakanak mereka. Kenapalah mama aku menjadi salah seorang daripada segelintir ibu bapa yang sibuk hendak memilih pasangan hidup untuk anak-anak mereka? Tak layak ke aku mencari pasangan sendiri? Damia benar-benar lelah meniti hari-hari yang mendatang.
Damia meneliti tiga keping gambar yang berada di tangannya. Menurut mama, mereka ini ialah anak kawankawannya atau dengan kata lain pesakit yang sering mendapatkan rawatan di hospital mamanya bertugas. Siapa yang tidak kenal dengan Dato’ Dr. Karina Raj Abdullah. Mamanya mendapat pangkat Dato’ pada tahun lepas. Mamanya juga merupakan doktor pakar di salah sebuah hospital swasta bertaraf lima bintang di ibu negara.
Damia meneliti satu persatu nama yang tertulis disetiap keping gambar tersebut. Benjamin Asyraf bin Dato’ Brahim. Emmm... berkulit sawo matang. Anak tunggal. General manager di
Berjaya Teguh Sdn. Bhd. Hobi melancong. Damia mencebik melihat gambar tersebut. Melancong ke melencong, desis hatinya.
Berjaya Teguh Sdn. Bhd. Hobi melancong. Damia mencebik melihat gambar tersebut. Melancong ke melencong, desis hatinya.
Dia meneliti gambar yang kedua pula. Fauzan Taufiq bin Dato’ Faizal. Hai... mama... mama...!!! Semua pilihan calon menantunya anak-anak Dato’ belaka. Berkelulusan dari Universiti Ohio. Berkulit hitam manis. Hobi... suka aktiviti lasak. Oooo... aktiviti macam mana tu?
Dari gambar kedua, Damia meneliti gambar yang ketiga.
Emmm... yang ni lain sikit, kerabat raja! Damia mencampak gambar-gambar tersebut ke sisi. Tiada satu pun yang menarik minatnya. Serabut kepalanya melihat gambar yang ketiga itu. Langsung tiada ciri-ciri lelaki idamannya. Berambut panjang. Pakai seluar koyak-rabak. Baju pula... masya-Allah! Memang menakutkan! Puan-puan faham-faham sendiri ajelah ya... gaya pakaian anak muda zaman sekarang. Apalah yang mama fikirkan dalam hidupnya? Adakah mama bimbang anak gadisnya ini akan hidup merempat jika berkahwin dengan orang biasa-biasa sahaja?
Esok dia akan bertemu empat mata dengan ketiga-tiga jejaka yang tidak hangat di pasaran itu. Adoi... macam mana aku nak buat ni?
Reqza! Mengingati rakannya yan bernama Reqza, Damia terasa seperti mendapat nyawa setelah lemas di dasar lautan. Segera dia menghubungi teman baiknya itu.
“Helo... Req! Esok kau free tak?” soal Damia.
“Hah... kau nak apa kalau aku tak sibuk esok?” balas Reqza kembali. “Kau kat mana ni?”
“Aku kat KL sekarang ni. Esok kau tolong aku boleh? Aku ada masalah negara sikitlah! Kau tolong aku ya! Nanti aku belanja kau makan kat Alan Thai Seafood. Tapi jangan lupa bawa peralatan mak saudara kau yang canggih manggih tu. Aku ada kerja untuk kau. Esok aku tunggu kau kat rumah Jes pukul tujuh pagi, okey!” jelas Damia senafas.
“Oii... Mak cik! Kau nak jumpa aku pagi-pagi buta apa kejadahnya? Kau bagilah aku berehat lama-lama sikit time cuti ni! Dahlah aku setahun sekali balik ke Malaysia. Bukannya macam kau, pantang ada cuti aje balik...” omel Reqza di talian. “Kau nak aku buat apa sebenarnya Cik Mia oii...?” tanya Reqza dengan geram. Sekiranya berbual dengan Damia, tiada langsung ayat-ayat manja dan menggoda. Tidak seperti ketika di alam maya.
“Adalah! Esok aku akan bagi tahu. Jangan lupa datang! Kalau kau buat-buat lupa... siap kau, aku kerjakan! Tahulah macam mana aku nak ajar kau!” ugut Damia. Damia tahu Reqza tidak akan berani membangkang arahannya kerana rahsia Reqza tersimpan kemas di sakunya.
“Yalah! Yalah! Kau ni suka main ugut-ugut. Kalau aku tahu kau suka main-main ugut, tak ingin aku minta pendapat kau dulu!” bebel Reqza dengan nada tidak puas hatinya. Menyesal pula aku cerita masalah aku kat minah ni! bisik hati Reqza.
“Inilah yang buat aku makin sayang kat kau,” usik Damia sambil tergelak.
“Huh! Tak ada maknanya kasih sayang kau tu. Kau bukannya ikhlas sayangkan aku,” tempelak Reqza.
“Hahaha... no komen!” balas Damia pula. “Tentang setahun sekali kau balik ke Malaysia tu bukannya kau tak mampu, tetapi kau tak habis-habis nak tunjukkan skil buaya tembaga kau...! Tapi satu pun tak mengena!” tempelak Damia.
“Habis tu kau sombong sangat tak nak kat aku. Aku carilah yang mata biru atau mata kelabu.” Reqza mengusik. “Tapi mereka semua tak sesuailah dengan jiwa aku yang suka makan petai dan budu!!!” balas Reqza selamba sambil ketawa kelucuan.
“Aku bukannya tak nak kat kau. Kau tu yang terlebih kacak! Tak sesuai dengan aku yang tak berapa nak jelita ni! Bercinta dengan orang kacak macam kau, banyak risikonya. Nanti merana aku bila kau sibuk nak cari yang lain. Lagipun you’re not my type!”
“Eleh... aku terlebih kacak atau kau yang terlebih jelita? Entah-entah kau tu yang nak cari yang lebih kacak dan kaya daripada aku tak? Sebab itu kau sengaja buat alasan supaya aku menjauhkan diri. Aku sedar siapa aku!” rajuk Reqza.
“Dah... dah... tak payah nak buka cerita sedih dekat aku. Awek kau yang bernama ‘tut’... tu kau nak campak kat mana? Sekiranya dia dengar, terus dia reject kau!” Malas Damia melayan perangai Reqza yang mengada-ada itu. “Esok jangan kau tak datang, Req,” tekan Damia. Setelah itu terus dia menamatkan perbualannya sebelum sempat temannya itu menyampuk. Selepas tamat perbualannya dengan Reqza, Damia tersenyum puas.
Selamat bertemu dan selamat datang ke dunia Sayang Damia yang penuh berwarna-warni, wahai calon calon suamiku, gumam Damia. Apa ke hal kau ni, Damia? Mana ada orang perempuan kahwin tiga sekali gus? Gila ke apa kau ni? bebel Damia kepada dirinya sendiri. Dia mengambil kembali telefon bimbitnya.
“Assalamualaikum... Jes. Malam ni Mia nak tumpang tidur kat rumah Jes, boleh?” tanya Damia kepada teman baiknya itu.
Jeslina merupakan rakan karibnya semasa menuntut di MRSM Melaka. Mereka terpaksa berpisah setelah dia menyambung pelajaran ke Nottingham, UK manakala Jeslina menyambung pelajaran di USM, Pulau Pinang. Jeslina baru sahaja tamat belajar dan sedang mencari pekerjaan. Manakala dia bakal tamat pengajiannya tidak lama lagi.
“Waalaikumussalam. Datanglah! Mak tentu gembira dapat berjumpa dengan Mia,” jelas Jeslina gembira.
“Okey! Lepas maghrib Mia pergi ke rumah Jes.”
“Baiklah! Jes tunggu kedatangan Mia. Malam nanti kita makan sama-sama. Jes suruh mak masak special untuk Mia. Ingat... jangan makan malam dulu.” Jeslina memberi amaran kepada teman akrab dan merangkap anak angkat keluarganya.
No comments:
Post a Comment