“Kalau Ina tak mau dengar cakap papa, papa nak Ina keluar
dari rumah ni!! Tapi ingat, sekali Ina keluar dari rumah ni, Ina bukan anak
papa lagi!!”
Ugutan dan dengusan keras Tan Sri Ali Saifuddin bin Ali
Sarafuddin membuat Qistina tersentak. Air mata yang sedari tadi mengalir, kini
tersembur semakin deras, tidak dapat dibendung lagi. Sampai hati papanya
membuat ugutan sebegitu terhadapnya. Sampai hati papa!
Puan Sri Ani Suraya binti Muda turut menangis. Tidak
sangka suaminya tergamak mengeluarkan kata-kata menidakkan hak Qistina untuk
mengaku Tan Sri Ali Saifuddin sebagai bapa kandungnya. Walaupun hatinya marah
terhadap kedegilan anak bongsunya itu, tidaklah sampai hendak dihalaunya anak
itu. Qistina masih darah dagingnya. Masih anaknya. Dia pasti dengan pujukan
demi pujukan, hati Qistina akan lembut jua.
“Apa papanya cakap ni?” Puan Sri Ani Suraya mahukan
kepastian.
Tangisan Qistina semakin kuat. Bahunya terhenjut-henjut
dek tangisannya itu. Sayu hati si ibu melihat anaknya menangis begitu.
“Saya dah hilang sabar dah dengan anak awak ni! Biar dia
keluar dari rumah ni, degil sangat tak nak dengar cakap orang! Kalau ingat dah
bijak sangat, pergi hidup sendiri! Papa tak nak tengok muka Ina lagi!!” Bersama
kata-kata itu, Tan Sri Ali Saifuddin berlalu meninggalkan ruang tamu rumah
banglo mewah tiga tingkat itu.
Qistina berhenti menangis ketika melihat papanya berlalu.
Hatinya sakit mendengar kata-kata papanya tadi. Namun Qistina pasti dengan
keputusannya. Di dalam hati, dia berdoa agar keputusannya tidak akan membuatkan
dirinya tergolong dalam kalangan anak yang derhaka. Mana mungkin dia boleh
digelar sebegitu sedangkan apa yang dipilih papa untuk dirinya tidak menepati
suruhan agama?
Qistina memalingkan mukanya dan menatap wajah bondanya.
Dia menghampiri ibunya yang masih kelihatan terkejut dengan kata dua papanya
tadi. Dipeluknya ibunya itu semahu hatinya. “Mama, relakan Ina pergi. Maafkan
Ina sebab tak sanggup tunaikan permintaan mama dan papa.” Serak suara Qistina
memohon keampunan daripada ibunya.
Puan Sri Ani Suraya membalas pelukan anaknya itu. Sesuatu
yang jarang-jarang dilakukannya. Apatah lagi anaknya kini sudah mengenjak dewasa.
“Ina, jangan pergi, sayang. Ikut je lah apa yang papa suruh tu. Mama tak
sanggup kehilangan Ina.” Rayuan Puan Sri Ani Suraya sungguh merenggut hati
halus Qistina. Direnungnya wajah ibunya dalam-dalam seolah-olah itulah kali
terakhir dia akan menatap wajah ibunya itu.
“Ina tak boleh mama. Please
understand. Ina doa suatu hari nanti mama dan papa akan dapat terima Ina
kembali. Ina terpaksa pergi, mama. Ampunkan semua dosa Ina, mama. Halalkan
makan minum Ina selama ni. Ina akan selalu doakan mama dan papa.”
Qistina melepaskan pelukan ibunya dan menyeka air mata
ibunya itu. Dikucupnya kedua-dua pipi Puan Sri Ani Suraya. Tangan kanan si ibu
digenggam dan dikucup. Dengan perlahan, Qistina melepaskan genggaman.
Dicapainya beg galas Nike di atas sofa dan tanpa berpaling lagi, Qistina keluar
meninggalkan rumah. Dia langsung tidak berniat mengemaskan barangnya atau
mengambil apa-apa dari kamar tidurnya. Apa yang dia perlukan semuanya ada di
dalam beg galas itu. Sudah memadai baginya.
Panggilan dan tangisan si ibu tidak dipedulikan lagi.
Kakinya terus melangkah. Syukur malam masih muda. Hati tidak terlalu risau
mengenangkan dirinya yang berjalan keseorangan. Kenderaan masih banyak yang lalu-lalang
di jalan raya. Hilang sedikit kegusaran di hatinya ditemani hiruk-pikuk deruan
enjin di jalan raya.
Qistina tahu ke mana harus dituju. Dia hanya perlu
meredah jalan sejauh satu kilometer sebelum bertembung dengan jalan utama. Di
jalan utama nanti, lagi mudah untuk mendapatkan teksi bagi menyambung
perjalanannya.
Tercungap-cungap Qistina berjalan. Dia mahu lekas sampai
ke jalan utama. Takut terlalu lewat sampai ke rumah sahabat sejatinya. ‘Ya
Allah. Biarlah Timah ada di rumah. Aku tak tau lagi ke mana hendak ku tuju
kalau Timah tak de nanti.’ Qistina tidak mahu menelefon Timah mengkhabarkan
kedatangannya. Dia tidak mahu Timah menghubungi sesiapa sehinggalah dia selamat
sampai ke rumah Timah. Biarlah kedatangannya ini dirahsiakan. Qistina pasti
Timah akan menyimpan rahsianya apabila dia mendengar segala cerita daripada A-Z
sebentar nanti.
************
Panggilan salam Qistina bersambut. Qistina melepaskan
nafas panjang. Lega dia mendengar Timah menjawab salamnya. Pintu flat dibuka. Timah
terkejut melihat Qistina berdiri di muka pintu dengan mata yang sembap dan
bengkak.
“Ina, kenapa ni? Kau okey ke?” Timah pantas mendapatkan
Qistina. Dipeluknya Qistina sekejap sebelum menarik Qistina masuk ke dalam
rumah. Pintu flat dikunci.
Qistina melabuhkan punggungnya di atas kusyen kerusi
rotan di ruang tamu kecil, flat tumpangan Timah. Beg galas Nike yang sedari
tadi tersangkut di bahu, diletakkan perlahan di atas lantai. Timah duduk
bersebelahan kawannya itu dengan wajah penuh kehairanan.
“Kau lari dari rumah ke, Ina?” Timah cuba meneka. ‘Tapi
takkan lari dari rumah dengan beg galas je,’ fikir Timah sendirian.
“Aku tak lari, Tim. Aku kena halau…” perlahan suara
Qistina menjawab pertanyaan Timah.
Timah menarik nafas. Terkejut betul dia mendengar balasan
Qistina. Matanya membulat dan mulutnya ternganga.
“Tim, tutup mulut tu. Nanti masuk lalat.” Sempat Qistina
berjenaka. Mungkin dengan berjenaka, dia dapat menutup kesedihan yang dirasakan
ketika ini.
Timah geram lalu dicubitnya lengan Qistina. Boleh pula dia
bergurau pada waktu-waktu begini.
“Kau nak cerita pada aku ke atau kau nak tunggu aku
tanya?” sinis Timah bertanya.
Qistina memandang sayu kawannya. Inilah kawannya sejak Qistina
berumur empat tahun dan Timah berumur lima tahun. Bermain pasir bersama,
bermain masak-masak bersama dan menangis bersama. Inilah juga teman gaduhnya.
Terkadang bergaduh sehingga menangis. Ibu Timahlah yang akan memujuk mereka
agar berbaik kembali.
“Hei, Timah. Kenapa nama kau Timah dan bukan Fatimah
macam orang lain?” Soalan itu mungkin yang ke-seribu kali ditanya oleh Qistina
untuk menaikkan amarah temannya itu. Bukan Qistina tidak tahu mengapa nama
Timah diberikan sedemikian. Sudah seribu kali juga Timah memberi jawapan.
Sengaja dia mahu mengambil sedikit masa sebelum memulakan langkah penceritaannya.
Timah mendengus. Dia sudah tidak sabar-sabar mendengar
penjelasan daripada Qistina tetapi Qistina sengaja melengah-lengahkan menjawab
soalannya tadi.
“Kau ni memang nak kena dengan aku, kan?” Timah sudah
mula menyinsing lengan bajunya.
Qistina mengeluh kecil. “Kalau ya pun, ambiklah segelas air
untuk aku minum dulu. Kau tak nampak ke aku penat gila ni? Kering tekak aku ni tau
tak? Apa punya tuan rumah pun tak taulah…” Qistina menggumam sambil
menggelengkan kepalanya.
“Yelah, yelah! Mengada-ngada!” Timah bangun lalu
menapak menuju ke dapur. Qistina tersenyum memikirkan hubungan antara dirinya dengan
Timah. Dia lebih rapat dengan Timah berbanding dengan abang dan kakak kandungnya
sendiri.
Qistina bersandar di kerusi rotan menantikan hidangan air
daripada Timah. Dia memejamkan matanya sebentar. Tiba-tiba terasa teramat rindu
kepada Mak Esah dan Pak Atan, ibu dan bapa Timah, yang kini menetap di Tapah,
Perak. Mak Esah merupakan orang gaji kepada kedua orang tua Qistina selama
lebih dua puluh tahun manakala Pak Atan pula merupakan bekas pemandu papanya.
Semasa Qistina dilahirkan, Mak Esahlah yang telah menjaga dan mengasuhnya,
sehinggalah Mak Esah berhenti kerja ketika Qistina berumur sembilan belas
tahun.
Mak Esahlah menjadi peneman dan pendengar setia kepada
keluh kesah Qistina, yang sentiasa sunyi bertapa seorang diri di dalam banglo
mewah yang baru ditinggalkan sebentar tadi. Rindu dengan air tangan Mak Esah,
rindu kepada pujukan dan belaian Mak Esah. Rindu serindu-rindunya kepada seorang
yang dianggapnya sebagai ibu angkatnya itu.
Qistina membuka mata setelah derapan tapak kaki Timah
kedengaran. Dia membawa dulang berisi dua gelas air oren. Timah kembali duduk
di sebelah Qistina.
“Hah, minum! Air kosong je…” pelawa Timah kasar.
“Air kosong je? Kesian kat aku. Dahlah kena halau dari
rumah. Kena halau pulak sebelum sempat makan malam…” Qistina mengeluh lalu
dicapainya segelas air oren di atas dulang. Dengan lafaz Bismillah, diteguknya
air itu perlahan-lahan. Setelah habis air diminum, gelas kosong diletakkan
kembali ke atas dulang.
Timah terkedu. Dia tidak tahu samada Qistina serius atau
sekadar bergurau. Dengan Qistina, susah untuk meneka. Walaupun mereka telah
berkawan berkurun lamanya, kadang-kadang masih sukar untuk Timah meneka hati
dan perasaan kawannya itu.
“Kau nak apa? Aku tak masak nasilah hari ni. Aku diet. Aku makan roti je.”
Qistina mengerling ke arah Timah. ‘Diet?’ Memanglah tubuh
Timah sedikit berisi, namun bagi Qistina, Timah tidak perlu berdiet. Baginya,
Timah masih belum mencapai tahap perlu berdiet.
“Taklah…Aku gurau je. Aku mana lalu nak makan…tak de
selera…”
“Kau kenapa ni? Ceritalah kat aku cepat!” Timah sudah
tidak sabar-sabar lagi. Rasa macam nak korek sahaja mulut Qistina agar cepat
menceritakan apa yang telah berlaku tadi. “Pasal Remy lagi ke?” Timah cuba
meneka.
Qistina mengangguk perlahan. “Pasal aku berkeras tak mau
kahwin dengan si Remy tu, papa sanggup halau aku keluar dari rumah…”
“Astaghfirullahalazim…” Itu saja yang mampu disebutkan
Timah. Kepalanya digeleng-gelengkan.
“Selama ni abang dengan kakak aku tak pernah berani lawan
cakap papa. Dengan siapa papa suruh kahwin, diaorang menurut je. Kau bukan tak
tau dah berapa banyak ‘joint ventures’
yang berjaya diusahakan papa. Semua atas nama business dan mengumpul harta kekayaan.”
Qistina diam sejenak. Abang sulong Qistina, Ali Sufian
dikahwinkan dengan anak Tan Sri Basir, Maya Liza. Tan Sri Basir merupakan rakan
perniagaan papa Qistina sejak bertahun-tahun yang lalu. Begitu juga dengan kakak
Qistina, yang dikahwinkan dengan anak sulong Dato’ Malek bin Mohammad, Farid. Qistina
terkenangkan bagaimana kakaknya, Sarah Qireena pada mulanya tidak mahu
mengahwini Farid. Namun terpaksa akur dengan arahan papa mereka. Dengan
perkahwinan abang dan kakaknya itu, rangkaian perniagaan papanya dapat
dikembangkan dan diperhebat.
Kini tiba gilirannya pula. Qistina tidak sanggup
berkahwin dengan Remy, anak tunggal Dato’ Idris Mansor.
“Takkan papa kau tak tau perangai Remy macam mana? Macam
manalah papa kau boleh paksa kau kahwin dengan jantan tak guna tu?” Timah
mendengus. Meluap-luap api kemarahannya terhadap papa Qistina.
“Aku tak taulah papa tu tau ke tak dengan perangai Remy.
Yang aku tau, papa memang ada business
dealings dengan bapak si Remy tu. Kalau aku kahwin dengan Remy, then it would be another joint venture in
the making!” Mendatar sahaja suara Qistina. Kesal dia dengan perangai
papanya yang tidak pernah mahu berubah. Lebih mementingkan rangkaian
perniagaannya daripada hati dan perasaan darah dagingnya sendiri.
Timah menggelengkan kepalanya.
“Entahlah Tim. Aku dah bosan tinggal kat rumah tu. Dahlah
nak solat pun kena sorok-sorok. Entah-entah solat aku pun tak diterima Tuhan.
Macam mana Tuhan nak terima solat aku kalau botol arak penuh kat dalam rumah
tu? Yang pasti, malaikat memang langsung tak masuk rumah tu, Tim. Aku dah tak
sanggup dah…” ujar Qistina dengan suara yang melirih.
Memang sejak lahir, ibu dan bapa Qistina langsung tidak
pernah mendidik anak-anak mereka untuk membesar dengan mengikut jalan yang
diredhai Allah. Pelajaran agama tidak dititikberatkan. Mereka bertiga dihantar
ke sekolah antarabangsa beraliran British. Tiada pendidikan agama Islam diajar
di sekolah itu.
Namun Allah terlalu menyayangi Qistina. Dibiarkan
kehidupan ibu dan ayah Qistina sibuk dengan hal-hal business dan persatuan agar tidak lekat di rumah. Qistina bebas
belajar mengaji dan bersolat bersama Mak Esah dan Pak Atan, walaupun secara
bersembunyi. Tak tahulah apa yang bakal dilakukan kedua orang tua Qistina
sekiranya mendapat tahu Qistina mendapat bimbingan agama daripada orang gajian
papa dan mamanya sendiri.
Anak bongsu Mak Esah pula, Timah, dibiarkan tinggal
bersama-sama Mak Esah dan Pak Atan di banglo itu. Cuma anak sulong Mak Esah sahaja
yang tinggal bersama ibu dan ayah Mak Esah di kampung.
Qistina tumpang belajar agama dengan meminjam buku-buku pelajaran
agama yang digunakan di sekolah kebangsaan Timah. Barulah dia tahu tentang
hukum-hakam agama yang telah ditinggalkan ahli keluarganya yang lain. Puasa,
zakat, haji dan sebagainya, dipelajari dengan pertolongan Timah. Satu pun tidak
pernah ditunaikan papa dan mamanya. Naik bulu roma Qistina mengenangkan dosa
yang ditanggung ahli keluarganya kerana ingkar dengan suruhan Allah. Takut
jikalau dirinya turut dianggap bersubahat dengan kelalaian dan kealpaan mereka.
“Habis tu kau nak buat apa sekarang?” Timah bersuara
lagi.
“Aku ingat aku nak balik kampung kau kejap, boleh tak?
Aku rindu sangat dengan mak bapak kau. Sejak aku balik UK, aku tak jumpa dia orang
lagi. Berkurun rasanya aku tak jumpa dia orang. Belum sampai dua minggu balik
dah kena paksa kahwin!”
Qistina baru sahaja menamatkan pelajarannya di dalam
bidang Perakaunan di London School of Economics. Pulang dengan segulung ijazah
dan segunung harapan untuk berbakti kepada ibu dan bapanya, walaupun kehidupan
mereka begitu mewah sekali. Namun di hati kecilnya, dia mahu mencurahkan khidmat
dan tenaganya di dalam syarikat milik papanya. Dia mahu bekerja keras untuk
meluaskan empayar papanya, tanpa perlu menggadaikan maruah serta prinsipnya. Tidak
perlulah mengikut jejak langkah abang dan kakaknya untuk mencapai kemahuan
papanya itu.
“Aku memang nak balik kampung pagi esok, Ina. Mak dan
abah ada nak buat kenduri kesyukuran untuk aku lepas Maghrib. Sempena aku grad baru-baru ni.”
“Aku ikut kau boleh tak?” soal Qistina sedikit teruja.
Timah mengangguk. Bukan dia tak tahu bagaimana Mak Esah
dan Pak Atan juga terlampau merindui Qistina. Walaupun Qistina belajar di luar
negara dan Timah di universiti tempatan, persahabatan mereka tidak pernah
terputus. Lima tahun Qistina berada di perantauan sejak tamat peperiksaan SPM,
Qistina pasti akan pulang ke Malaysia setiap tahun sempena cuti musim panas.
Setiap kali berpisah dan bertemu kembali, mereka boleh terus sahaja menyambung
cerita yang terputus, seolah-olah baru semalam mereka berpisah.
“Eh Ina, kau ada satu beg ni je ke?” Timah menunjukkan ke
arah beg galas kepunyaan Qistina.
Qistina turut memandang beg galasnya lalu mengangguk.
“Dari semalam aku dah rasa tak sedap hati. Jadi aku pack apa yang penting je. Passport, sijil aku, telekung, dan
beberapa helai baju je. Kau taulah baju-baju yang mama paksa aku pakai selama
ni kan? Tu semua aku tak perlu. Buat apa aku nak ambik?” Qistina memandang ke
wajah Timah seolah baru memikirkan sesuatu. “Tim, baju-baju kurung aku kau
masih simpan, kan?”
“Mestilah ada,” balas Timah. “Masih ada dalam almari
bilik aku tu. Blaus dengan seluar panjang pun ada.” Tiba-tiba Timah terbayang
Qistina yang sering dipaksa memakai gaun singkat atau skirt berparas lutut oleh
mamanya, setiap kali ingin keluar rumah. Langsung tidak berpeluang memakai
pakaian yang sopan serta menutup aurat. Sehinggakan Qistina lebih gemar memerap
di rumah, daripada keluar dengan mama atau ahli keluarganya yang lain, terutama
ke pesta-pesta keramaian yang tidak digemarinya.
Lega Qistina mendengar balasan Timah. Sekurangnya, dia
masih mempunyai baju kurung yang dibeli dan dikumpul sejak sekian lama,
bersama-sama dengan blaus berlengan panjang yang menutup aurat. Jangan harap
dia boleh berpakaian begitu sekiranya masih tinggal di rumah orang tuanya,
melainkan suasana majlis memerlukan dirinya memakai pakaian yang sopan seperti
baju kurung, yakni ke kenduri kahwin dan sebagainya.
“Since papa dah
tak anggap aku anak dia, jadi apa yang aku buat sekarang bukan lagi menjadi hal
dia, betul tak?” Qistina memandang Timah inginkan kepastian. Timah sedikit
teragak-agak namun masih mengangguk menunjukkan sokongan kepada temannya itu.
“Tapi, selagi kau belum kahwin, kau masih bawah
tanggungan papa kau, Ina.”
“Aku tahu. Tapi apa yang aku nak buat ni bukannya
menambahkan dosa dia, menambahkan pahala ada lah lagi.”
Timah terpinga-pinga tidak mengerti. “Kau nak buat apa?”
Qistina tersenyum kecil. Bahagianya rasa di hati dapat
melakukan suatu perkara yang telah lama diidamkannya.
“Apa yang dah lama aku nak buat, Tim. Mulai esok, aku
akan pakai tudung, macam kau!”
Timah membalas senyuman Qistina. Ya, memang Qistina telah
lama berhajat untuk memakai tudung, namun dia tidak tahu bagaimana untuk
menyuarakan hasratnya itu kepada papa dan mamanya. Segala ibadah yang dilakukan
Qistina terpaksa dilakukan dalam diam. Penuh rahsia.
“Sementara aku nak beli tudung, aku cilok tudung kau dulu ya, Tim?”
“Ambiklah, Ina. Aku tak kisah. Dari dulu lagi kita saling
kongsi barang. Sekarang pun masih sama.”
Qistina terharu mendapat sokongan Timah. Air mata yang
telah kering tadi, terbit semula. Sudah lama jiwanya meronta…sudah lama hatinya
terluka dengan kehidupan keluarganya yang terlampau kebaratan. Selama ini
Qistina tidak putus-putus mendoakan agar Allah membuka hati keluarganya untuk
insaf dan kembali ke jalan Allah. Namun, doanya itu masih belum dimakbulkan.
Timah menggenggam tangan Qistina. Kini matanya pula
berair. Bukan dia tidak tahu segala rahsia kehidupan Qistina dan betapa terseksanya
hidup Qistina selama ini. Qistina hanya benar-benar rasa bahagia sekiranya
berjauhan daripada keluarganya. Di London, Qistina bebas mengerjakan ibadahnya
dan bebas menghadiri kuliah-kuliah agama yang dianjurkan persatuan pelajar-pelajar
Islam di London. Bukan seperti kehidupannya di banglo mewah itu. Sungguh
terseksa!
“Sabarlah, Ina. Allah terlampau sayangkan kau. Ada hikmah
di sebalik semua ni. Kau pun sendiri cakap pada aku yang kau nak hidup sendiri
lepas balik UK kan? Kau yang tak nak duduk dengan parents kau, kan?”
Ina mengangguk. “Aku kena cari kerjalah, Tim. Walaupun savings aku banyak, tapi aku tak boleh
duduk diam je. Aku rasa aku kena cari kerja jauh dari KL ni. Kenalan papa dan
mama aku ramai sangat kat KL ni! Pergi mana-mana mesti terserempak dengan diaorang.
Aku kena lari tempat lain…”
Timah tidak sanggup lagi berpisah dengan kawan rapatnya
ini. Baru saja Qistina pulang dari London. Belum puas rasanya meluangkan masa
bersama Qistina.
“Pasal tu, kita fikir lain kali jelah, Ina. Esok kita
balik kampung. Kau rehat dulu kat rumah parents
aku tu seminggu dua. Nanti kita bincang semula. Aku dah dapat kerja kat KL ni. Lagi
dua minggu aku mula. So aku pun nak
rehat sepenuhnya kat kampung sebelum aku mula kerja nanti.”
Qistina mengangguk tanda setuju. Tak sabar rasanya nak
berjumpa dengan Mak Esah dan Pak Atan. “Hei kau jangan bagi tau Mak Esah aku
balik dengan kau esok tau. Aku nak surprise
kan dia.”
“Iyalah. Aku tahu. Dah pergilah tidur, Ina. Esok kita
kena bangun pagi.”
Qistina menurut. Dibawanya beg galas ke dalam bilik
tetamu flat Timah. Mujurlah Timah hidup bersendirian di dalam flat ini. Katanya
senang sekiranya Mak Esah atau Pak Atan ingin melawatnya di Kuala Lumpur.
Lagipun Timah dah malas nak berkongsi flat dengan orang lain. Bukannya tidak
pernah. Tetapi ada sahaja masalah dengan teman serumah. Lebih baik hidup
sendirian, katanya.
Qistina pantas membersihkan diri dan menunaikan solat
Isyak. Dia baring di atas katil sambil merenung kipas yang sedang berputar
ligat di siling. Kata-kata papanya tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. ‘Ina bukan lagi anak papa!’ Pedih!
‘Mengapa Remy, papa? Mengapa Remy?’ rintih hatinya.
Qistina memejamkan matanya. Lekas-lekas bayangan wajah Remy mahu dihapuskan
dari ingatannya. Tidak mahu mengenangkan siapa sebenarnya Remy dan apa yang
Remy pernah lakukan kepadanya.
Dalam cuba menyahkan kenangan-kenangan lalu itu, Qistina
terlena.
No comments:
Post a Comment