Mak Melor mengeluarkan kunci dari dalam beg kertasnya. Kunci pendua yang diberikan oleh Faiz Iqbal itu diacukan ke dalam lubang tombol pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Mak Melor melangkah masuk. Biasanya awal pagi seperti ini pasti Faiz Iqbal sudah ke pejabat. Jadi, dia boleh meneruskan tugasan mengemas dengan mudah.
Mak Melor segera menuju ke dapur. Langkah kakinya tiba-tiba terhenti. Mak Melor beristighfar panjang. Terkejut melihat sekujur tubuh kaku terbaring bersama serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai.
“Encik Iqbal dah kenapa ni?” Tubuh Faiz Iqbal digoncangnya kuat.
Mata Faiz Iqbal terbuka sedikit. Wajahnya pucat. Macam orang tidak cukup zat.
“Mmmm... Mak Melor. Mak Melor pergi mana? Penat Iqbal tunggu dari semalam,” soal Faiz Iqbal acuh tidak acuh. Kepalanya pening. Otaknya membeku. Gian alkoholnya masih belum reda.
“Encik Iqbal buat apa sampai jadi macam ni?” soal Mak Melor agak bimbang. Dia cuba membantu Faiz Iqbal bangun, namun kakinya tidak terdaya. Berdiri dan terus jatuh terduduk semula.
“Mana Mak Melor letak air saya, hah?” Faiz Iqbal menyoal lemah.
“Air?” soal Mak Melor.
Faiz Iqbal ketawa dengan soalan Mak Melor.
“Mak Melor, Mak Melor... janganlah main-main. Saya tak suka. Mana air saya?” tanya Faiz Iqbal lebih kuat.
“Mak Melor dah buang.”
“Kenapa buang? Mak Melor kan tahu, saya tak boleh hidup tanpa benda tu. Dah banyak kali saya cakap. Kenapa Mak Melor tak faham-faham lagi? Mak Melor memang nak tengok saya mati kering, kan?” herdik Faiz Iqbal kasar.
Tangan Mak Melor terketar-ketar. Pandangan mata Faiz Iqbal tepat memandang wajahnya. Macam mahu menelannya hidup-hidup.
“Itu benda haram Encik Iqbal. Mak Melor takkan benarkan Encik Iqbal sentuh lagi air tu.”
“Bukan sekali... dah banyak kali Mak Melor buat macam ni. Mak Melor tak kasihan kat saya ke? Saya terseksa, tahu tak? Hati saya tak tenang...” nada suara Faiz Iqbal mula mengendur. Air matanya mengalir perlahan. Kepala ditundukkannya ke bawah.
“Mak Melor sayangkan Encik Iqbal sama macam anak sendiri. Encik Iqbal tak boleh terusan hidup macam ni. Mak Melor tahu hati Encik Iqbal tak tenang. Tapi, ini bukan caranya. Banyak lagi cara lain yang Encik Iqbal boleh buat.”
“Cara apa lagi Mak Melor? Saya dah penat tau. Penat!” agak keras suara Faiz Iqbal.
“Solat. Berdoa pada Dia. Itu lebih baik. Hati Encik Iqbal akan lebih tenang.” Nasihat Mak Melor.
“Tenang?” Faiz Iqbal ketawa lagi. Bosan dia dengan perkataan itu. Tidak pernah wujud istilah tenang dalam kamus hidupnya. Itu semua mengarut! Penipu! Mak Melor penipu!
“Mak Melor susah hati tengok Encik Iqbal macam ni. Berubahlah Encik Iqbal...” rayu Mak Melor lagi.
“Mak Melor pergi baliklah. Hari ni saya bagi cuti. Besok, lusa, jangan datang lagi. Berhenti terus!” Faiz Iqbal merentap rambutnya sendiri. Terasa sakit kepalanya.
“Mak Melor tak...”
“Sebelum saya naik meroyan kat sini, lebih baik Mak Melor blah cepat! Saya tak nak jadi anak kurang ajar,” kata Faiz Iqbal. Pandangannya dihalakan ke arah lain. Jari telunjuknya kini mengarah ke pintu keluar.
Air mata Mak Melor serta-merta menitis. Hati kecilnya remuk. Namun dia tahu, Faiz Iqbal masih menghormatinya sebagai seorang ibu dan teman yang setia. Akhirnya Mak Melor akur. Pergi berlalu meninggalkan Faiz Iqbal bersendirian. Mungkin dengan cara ini Faiz Iqbal mampu mencari ruang buat dirinya sendiri.
AINA CEMPAKA mengerling jam di atas meja pejabat. Sudah hampir tengah hari tetapi bayangan Faiz Iqbal masih juga tidak muncul-muncul. Hampir kematu jari-jemarinya mendail nombor telefon lelaki itu menggunakan telefon pejabat. Hanya suara wanita sahaja yang kedengaran. Memberitahu bahawa si pemanggil tidak dapat dihubungi. Sakit betul hatinya.
“Kenapa ni Aina? Encik Iqbal tak angkat call lagi ke?” Kak Salmah menghampiri. Kak Tasnim juga turut menyibuk, meninggalkan tugasnya yang terbengkalai di atas meja dan pantas menuju ke meja kerja Aina Cempaka.
“Dah banyak kali saya call. Tapi tak angkat-angkat. Susah betullah macam ni. Hari ni terpaksa pulak kena hold banyak appointment,” rungut Aina Cempaka.
“Biasalah tu. Dia bos... kita ni siapa?” Kak Tasnim mula menyampuk.
“Bos apanya? Nanti kalau dia dengar macam mana?” Kak Salmah mula membantah.
“Aku tersilaplah. Janganlah marah pulak.”
“Tak marah pun. Cuma tak nak bagi kau terlajak cakap aje.” Kak Tasnim hanya tersengih-sengih dengan jawapan Kak Salmah itu.
“Aina dah lunch ke belum?” soal Kak Salmah.
“Belum.”
“Jom kita pergi lunch sama. Ada restoran baru buka tau. Kat hujung bangunan sana.” Telunjuk jari Kak Salmah.
“Tak kut.” Aina Cempaka menolak sopan.
“Jomlah Aina. Kau ni selalu tolak bila kita orang ajak tau. Tak bestlah macam ni. Aina, kau nak tahu tak... dahlah makanan dia sedap, waitress dia pun handsome gila!” Kak Tasnim cuba membakar.
“Bukannya apa kak... Aina dah beli makanan la.” Aina Cempaka mengangkat beg plastik berisi polistirena putih.
“Bosanlah macam ni. Bukannya ofis kita ni jauh dari tempat makan pun. Kenapalah Aina suka sangat beli makanan dari luar? Buat penat aje tau. Tak menyumbang ekonomi negara betul!” Kak Salmah menambah. Kak Tasnim juga mengangguk tanda setuju.
“Nasi goreng mak cik ni sedap tau kak? Aina beli kat tepi jalan sebelum pergi ofis pagi tadi. Fresh lagi tu.” Aina Cempaka membela diri.
“Apa-apa ajelah Aina. Kita orang dah lapar sangat ni. Pergi dululah. Babai,” kata Kak Salmah.
“Hei, aku tak sabarlah nak usyar Abang Pakistan hidung mancung tu!” bisik Kak Tasnim di telinga Kak Salmah sebelum berlalu meninggalkan Aina Cempaka. Mereka berdua terkinja-kinja berjalan laju keluar dari pejabat.
Aina Cempaka hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa dengan dua ekor mak beruang tu? Gedik semacam aje I tengok.” Burn pula datang bertandang.
“Tak baiklah cakap macam tu Burn.” Aina Cempaka tergelak kecil.
“Eh! Betullah apa yang I cakap. Sakit pulak mata tengok budak berdua tu. Tak padan-padan. Dah ada suami kat rumah, nak lagi try Mat Bangla kat kedai mamak seberang sana tu. Apa kelas!” Burn meletakkan jarinya ke bahu. Meluat sungguh hatinya.
“Biarlah Burn. Asalkan diaorang rasa bahagia.” Aina Cempaka ketawa lagi.
“Itulah pasal. I pun dah malas nak ambil kisah. You makan kat ofis lagi ke hari ni?”
Aina Cempaka hanya mengangguk dengan soalan Burn.
“Kalau macam tu, I nak keluar makan dululah. Lapar sangat dah ni.”
“Okey.” Aina Cempaka tersenyum.
“I rasa mungkin kejap lagi Encik Iqbal sampai kut. Dia memang selalu ambil cuti half day,” bicara Burn sebelum keluar meninggalkan Aina Cempaka.
Semua pekerja dalam pejabat sudah keluar rehat. Hanya tinggal Aina Cempaka seorang.
“Masa untuk makan,” kata Aina Cempaka agak kuat. Bungkusan polistirena di atas meja dibuka. Doa dibaca dan nasi goreng kampung disudu dengan penuh nikmat. Lega rasa perutnya yang berkeroncong dari tadi.
Tiba-tiba satu kelibat susuk manusia berada di hadapannya sambil bercekak pinggang. Dengan satu dehaman, barulah Aina Cempaka perasan Faiz Iqbal sudah ada di hadapannya.
“Sekarang ni kau tak dibayar untuk makan!” tegas nada suara Faiz Iqbal.
“Maaf, Encik Iqbal. Sekarang ni waktu rehat.”
“Kalau waktu rehat, kau tak boleh makan kat luar ke? Semak betullah!” tengking Faiz Iqbal. Dia terus melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya. Pintu dihempasnya sekuat hati.
“Apa kena dengan mamat ni? Semalam okey aje. Hari ni naik hantu pulak. Isy, tak faham betullah!” rungut Aina Cempaka dan terus menyambung makan. Malas dipedulikan amarah Faiz Iqbal. Janji perutnya terisi.
Dari dalam bilik, Faiz Iqbal merenung tingkah laku Aina Cempaka.
“Makan lagi? Teruk betul minah ni.” Faiz Iqbal pula merungut sendiri. Hari ini perasaannya benar-benar terganggu. Panas hati dengan kejadian pagi tadi masih belum reda, tapi melihat perempuan ini pula hatinya sedikit terubat. Mengapa?
Mata Faiz Iqbal tidak sedikit pun beralih, melihat Aina Cempaka meneguk air mineral di dalam botol plastik setelah habis mengunyah. Gadis itu kemudiannya menadah tangan.
“Baca doa lagi?” Faiz Iqbal tertanya sendiri.
Kemudian, Aina Cempaka mengeluarkan sesuatu dari dalam laci mejanya. Sebuah bungkusan kain di tangan. Hati Faiz Iqbal semakin tertarik. Kain telekung? Itu dalam mindanya.
Aina Cempaka bangun. Matanya bertemu dengan mata Faiz Iqbal. Pantas Faiz Iqbal mengelak. Berpura-pura menyemak fail di atas meja. Beberapa seketika, pandangan Faiz Iqbal dialihkan semula ke meja kerja Aina Cempaka.
“Ke mana dia? Dah hilang! Surau!” terdetik kata-kata itu di bibir Faiz Iqbal. Tidak pernah pula dia menjejakkan kaki ke tempat itu. Pernah lalu sekejap, tapi tidak pernah menjenguk.
Faiz Iqbal mula rasa keliru. Hendak ikut atau tidak? Kalau tidak ikut, nanti dia tertanya-tanya pula. Itukah ketenangan yang diceritakan oleh Mak Melor pagi tadi? Hampir pecah kepala Faiz Iqbal berfikir.
‘Ah! Tak kira. Aku mesti tahu jugak.’ Punggungnya diangkat. Berjalan keluar dari biliknya menuju ke kawasan surau.
Sampai sahaja di surau, baru Faiz Iqbal tahu, rupa-rupanya ada dua bilik solat. Satu untuk lelaki dan satu lagi untuk wanita. Selama ini kenapalah dia tidak perasan? Dia menghampiri bilik solat wanita. Kasut tumit tinggi milik Aina Cempaka nampak tersidai di situ.
Pintu bilik solat dikuak perlahan. Susuk tubuh Aina Cempaka yang lengkap bertelekung putih kelihatan dari belakang. Gadis itu masih bersolat. Duduk sambil jari telunjuknya dihalakan ke hadapan. Inikah solat? Faiz Iqbal semakin ingin tahu. Sememangnya dia tidak pernah solat. Melihat Aina Cempaka dalam posisi itu hatinya sedikit tenang. Pintu dirapatkannya sedikit. Takut-takut kalau Aina Cempaka terperasan pulak. Mata Faiz Iqbal terus memerhati.
Selesai memberi salam, Aina Cempaka menadah tangan. Beberapa minit kemudian, wajahnya diraup. Ikatan telekung dibukanya perlahan. Kepala pantas menoleh ke belakang. Aneh! Mengapa pintu surau terbuka sedikit? Seingatnya, tadi sudah ditutup rapat. Malas mahu berfikir lagi, pantas Aina Cempaka menutupnya semula.
Faiz Iqbal yang memasang mata di luar terkejut.
‘Huh! Nasib baik minah ni tak menjengah ke luar. Kalau tak, tak tahu aku nak buat macam mana.’ Faiz Iqbal segera melangkah ke dalam bilik pejabatnya semula. Dalam otaknya ligat berfikir. Bermacam-macam persoalan yang terbuku.
“Tenang?” Itu soalan pertama yang terpacul di bibirnya. Langkahnya tidak tentu. Ke hulur dan ke hilir berjalan di kawasan yang sama. Kelibat Aina Cempaka muncul kembali. Langkahnya terhenti. Matanya merenung Aina Cempaka yang sedang duduk menyambung kerja.
Interkom di atas meja di angkat Faiz Iqbal. Memanggil Aina Cempaka masuk.
“Ya Encik Iqbal, ada apa?” soal Aina Cempaka sebaik sahaja mengetuk pintu bilik. Kini, dia berdiri di hadapan Faiz Iqbal.
“Appointment dengan kontraktor pagi tadi macam mana?”
“Saya terpaksa cancel sebab Encik Hasyim tak boleh tunda lagi. Dia ada hal petang ni. Tapi Encik Iqbal jangan risau, sebab saya dah aturkan appointment tu pagi esok,” balas Aina Cempaka. Segala urusan yang melibatkan kontraktor amat penting. Merekalah yang menentukan berjaya atau tidak sesuatu projek itu dijalankan. Semakin berkualiti kontraktor yang diupah, semakin baiklah prestasi kerja yang mereka tunjukkan.
“Okey,” balas Faiz Iqbal ringkas.
“Mmmm... boleh saya tahu, kenapa Encik Iqbal masuk ofis lewat hari ni?”
“Aku bangun lambat. Apasal kau sibuk?” Faiz Iqbal mengambil tempat duduk di atas kerusinya.
“Bukan apa, tadi saya dah call Encik Iqbal banyak kali. Tunggu Encik Iqbal jawab, tapi tak jawab pun. Sebab itulah saya tanya.” Aina Cempaka cuba menegakkan pendiriannya.
“Handphone aku silent. Tak dengar. Lain kali kalau aku datang lambat, tak payah tunggu. Cancelkan terus semua appointment. Aku laparlah. Kau teman aku makan.” Selamba Faiz Iqbal memberi arahan.
“Tapi, saya dah makan tadi.”
“Kat sini aku aje yang boleh bagi arahan. Kau lupa ek?”
“Saya tak rasa boleh makan lagi, Encik Iqbal.”
“Ah! Aku tak kira. Aku dah naik kebulur ni. Sebelum aku telan kau hidup-hidup, baik kau gerak cepat. Move on!” Faiz Iqbal segera keluar dari pejabat. Aina Cempaka tiada pilihan lain dan terpaksa mengekori lelaki itu. Beg tangannya dicapai dan cepat-cepat mengejar Faiz Iqbal dari belakang.
Mereka berdua berjalan kaki menuju ke restoran yang terletak berhampiran dengan bangunan pejabat. Aina Cempaka berjalan selang tiga langkah di belakang Faiz Iqbal. Faiz Iqbal tersenyum suka. Berjaya juga taktik kotornya.
Sampai di restoran itu, Faiz Iqbal mengambil tempat duduk di bahagian luar restoran. Aina Cempaka hanya menurut. Tangan Faiz Iqbal melambai ke arah seorang pelayan.
“Mau makan apa?” soal pelayan berbangsa Pakistan yang berdiri tercegat sambil memegang pen dan sekeping buku nota.
“Kasi mi goreng sama teh ais.” Faiz Iqbal membuat pesanan.
“You?” soal pelayan itu kepada Aina Cempaka.
“Ais kosong satu.”
“Ais kosong aje? Jimat ke apa kau ni?” kata Faiz Iqbal sebaik sahaja pelayan itu berlalu pergi.
“Kan saya dah cakap tadi, saya dah kenyang. Encik Iqbal tak faham ya?”
“Suka hati kaulah.” Faiz Iqbal menarik muka.
Aina Cempaka melihat jam di tangannya.
“Awal lagilah!” kata Faiz Iqbal.
“Saya tahu.”
“Yang kau usyar jam tu kenapa?”
“Tengok jam pun salah ke?”
“Tak salah. Cuma, sakit mata…” nada suara Faiz Iqbal perlahan.
Mereka diam sekejap. Pesanan yang diminta diletakkan di atas meja. Faiz Iqbal pantas menyudu mi goreng ke dalam mulut. Kemudian dia menghirup laju minuman pula. Aina Cempaka hanya memerhati. Sedar diri diperhatikan, Faiz Iqbal berhenti menyedut minumannya.
“Tengok apa?” soal Faiz Iqbal. Aneh.
“Errr... tak ada apa-apa.” Aina Cempaka kalut. Terleka sekejap otaknya melihat lelaki itu. Makan tidak baca bismillah? Kalaulah Mak Safiah nampak dia buat begitu, pasti sudah kena ketuk mulutnya dengan penyangkut baju.
“Kalau kau nak tengok muka aku, jangan curi-curi. Tengoklah! Tak kena bayar pun.”
Aina Cempaka hanya tersenyum dengan kata-kata Faiz Iqbal. Perasan!
“Mmmm... Encik Iqbal nak dengar satu cerita tak?” pancing Aina Cempaka.
“Ceritalah cepat. Aku dengar ni.” Faiz Iqbal menunjukkan minat.
“Dulu... masa saya kecik-kecik, mak saya selalu pesan. Sebelum dan selepas makan kita kena baca doa. Kalau tak, nanti setan duduk bertenggek makan sekali dengan kita.”
“Bertenggek?”
“Haah. Sebab tu kita kena baca doa sebelum makan.”
“Oh... ya ke?” Tangan Faiz Iqbal meletakkan semula sudunya ke dalam pinggan. Terbantut pula seleranya. Tidak sanggup duduk semeja dengan syaitan, makan dengan mereka walaupun hakikatnya, itu semua tidak boleh dibayangkan dengan mata akalnya sendiri. Ee… ngeri!
“Tapi, kalau terlupa tak apa. Encik Iqbal boleh baca doa lain.”
“Doa apa?” Faiz Iqbal ingin tahu.
“Doa terlupa baca bismillah.”
“Macam mana nak baca?”
“Mmmm... cuba Encik Iqbal ikut saya baca. Bismillaahi awwaalahu wa aakhirahu.” Aina Cempaka menadah tangan.
“Bismillaahi awwaalahu wa aakhirahu...” perlahan Faiz Iqbal menyebut sambil menadah tangan.
“Kan senang. Lain kali, kalau terlupa boleh baca doa tu,” balas Aina Cempaka.
Buat pertama kalinya Faiz Iqbal tersenyum. Kembali menyelesaikan makanannya. Habis licin satu pinggan.
“Encik Iqbal dah habis makan ke?” soal Aina Cempaka, melihat Faiz Iqbal masih menyedut sisa minumannya.
“Dah.”
“Kalau macam tu, kita baliklah. Dah lewat ni, takut lambat pulak masuk ofis nanti.”
Faiz Iqbal mengangguk dengan kata-kata Aina Cempaka. Mereka berjalan seiring pulang ke pejabat. Tidak ada sepatah perkataan pun. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
Sebaik sahaja masuk ke pejabat, Aina Cempaka menyambung tugasnya semula. Tiba-tiba telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Nama Mohsin tertera di skrin telefon. Aina Cempaka tersenyum sendiri.
“Assalamualaikum.” Aina Cempaka memberi salam.
“Waalaikumussalam. Pukul berapa balik?” suara Mohsin jelas kedengaran.
“Bukan ke kau kat Penang sekarang ni?”
“Aku dah balik la. Kerja settle! Lagipun, aku rindulah dekat kau,” nada suara Mohsin bertukar manja.
“Ek eleh! Blah la…” Aina Cempaka tergelak. ‘Gurauan apalah petang-petang ni. Orang sibuk buat kerja, boleh pulak mamat ni main-main.’
“Pukul berapa balik?”
“Sikit lagi habislah. Kenapa?”
“Kejap lagi aku datang ambil.”
“Tak apalah nanti aku naik bas. Buat susahkan kau aje.”
“Tak apa. Lagipun aku memang dah on the way ni.”
“Tak apa ke?”
“Ya... tak apa. Tak menyusahkan pun. Okeylah, aku tengan drive ni. Jumpa nanti.”
“Oh, okey, okey... nanti kita jumpa kat bawah.” Aina Cempaka meletakkan telefon. Tersenyum lega dapat mendengar suara Mohsin.
Kak Tasnim dan Kak Salmah datang menghampiri.
“Amboi, amboi! Bila kita orang ajak, bukan main tak mah. Bila Encik Iqbal tu... boleh pulak!” usik Kak Tasnim, mengingatkan kejadian tengah hari tadi.
“Betul tu. Korang ni mesti ada apa-apa, kan?” Kak Salmah menambah.
“Apa ni kak? Tak adalah. Encik Iqbal cuma ajak temankan dia makan aje,” bidas Aina Cempaka.
“Ala... mata kita orang ni belum buta lagilah Cik Aina Cempaka oi! Mesra bukan main. Tersengih-sengih...” Kak Salmah mengusik lagi.
“Ya Allah! Betul... tak ada apa-apa.” Aina Cempaka meyakinkan.
“Yalah tu. Akak tak percaya!” kata Kak Tasnim pula. Mereka berdua ketawa terkekeh-kekeh.
“Apa hal mak-mak beruang ni suka sangat? I tak faham betullah. Asyik mengumpat aje kerjanya korang ni. Macam dah tak ada kerja!” terjah Burn.
“Mak-mak beruang pun, kita orang tetap hot tau!” bantah Kak Tasnim.
“Yalah tu. Ni apa kes? Cer cerita sikit,” korek Burn.
“Si Aina ni. Tadi kita orang nampak dia keluar makan dengan Encik Iqbal, tahu tak?” Kak Tasnim memanjangkan muncungnya ke arah bilik Faiz Iqbal.
“So?” soal Burn.
“So, ini satu keajaiban! Tak pernah you, Encik Iqbal ajak secretary dia keluar makan. Terbaru dalam sejarah!” Kak Salmah menjerit kecil.
“Ala... apa yang peliknya. I tengok Aina ni dengan Encik Iqbal sepadan aje. Macam pinang dibelah dua, tak gitu Aina?” Burn menepuk perlahan bahu Aina Cempaka.
“Ini lagi sorang. Berapa kali Aina nak cakap, tak ada apa-apalah. Okeylah, kerja Aina pun dah siap. Aina nak pergi solat dulu, lepas tu nak balik. Korang tak nak balik ke?” Aina Cempaka mengemas mejanya.
“Mestilah. Kita orang ni pun dah tak lalu nak duduk menghadap kat ofis ni lama-lama. Jom Tasnim, kita balik.” Kak Salmah menarik lengan Kak Tasnim.
“Tengok tu! Memang mak beruang betullah. Macam lalang,” rungut Burn.
Aina Cempaka hanya tersengih.
“Encik Iqbal tak balik lagi ke?” soal Burn sambil melihat susuk tubuh Faiz Iqbal yang tekun bekerja di dalam pejabatnya.
“Sikit lagi dia baliklah tu. Malas saya nak kacau. Nanti tak pasal-pasal kena marah pulak. Okeylah Burn, saya nak solat dulu. Jumpa esok.”
“Yalah. See you tomorrow darling!” Burn mengenyitkan matanya.
Aina Cempaka segera menuju ke surau untuk menunaikan solat asar. Selepas ini dia perlu menunggu Mohsin. Tidak mahu buat Mohsin tertunggu-tunggu.
LALUAN masuk Utama Ibunda Corporation terasa lengang. Maklumlah, semua kakitangan sudah pun selamat pulang. Hanya tinggal Aina Cempaka yang berdiri terpacak menanti di ruang legar. Matanya mencari-cari kereta milik Mohsin. Mana Mohsin ni? Sudah lenguh kakinya menunggu. Namun, bayang lelaki itu tetap tiada.
“Tunggu siapa?” sapa Faiz Iqbal dari belakang.
“Oh, Encik Iqbal! Terkejut saya. Saya tengah tunggu kawan. Lambat pulak dia hari ni.”
“Ya ke kawan?”
“Yalah.”
“Semalam kau balik dengan dia jugak ke?”
“Taklah. Semalam saya naik bas,” jawab Aina Cempaka. Aneh. Sejak bila pula lelaki bernama Faiz Iqbal ini bertukar menjadi penyibuk? Selalunya dia tidak suka jaga tepi kain orang.
“Kenapa tak cakap awal-awal. Aku boleh tumpangkan kau.” Faiz Iqbal menatap wajah Aina Cempaka. Tidak berkelip mata dengan wajah yang serius.
Aina Cempaka terdiam. Terkejut. Pelik.
“Kenapa diam?” soal Faiz Iqbal.
Mata mereka bertaut seketika.
“Err... tak ada apa-apa.”
“Bila skuter buruk kau boleh siap?” soal Faiz Iqbal lagi.
“Pagi esok. Bengkel motor yang Encik Iqbal rekomen semalam dah call saya pagi tadi. Mmmm… terlupa pulak saya nak ucap terima kasih.” Aina Cempaka tersenyum memandang wajah Faiz Iqbal.
Faiz Iqbal buat lagak biasa. Pura-pura tenang. Padahal jantungnya sudah berdenyut-denyut laju mengepam darah ke muka.
“Pukul berapa kawan kau tu sampai?”
“Alhamdulillah! Panjang umur dia… dah sampai pun. Saya pergi dulu ya, Encik Iqbal,” ucap Aina Cempaka sebaik sahaja melihat kereta milik Mohsin menyusur masuk. Segera dia meluru masuk ke dalam kereta Mohsin.
Faiz Iqbal hanya memandang dari jauh. Tidak sempat menjawab apa-apa.
“Siapa tu?” soal Mohsin sebaik sahaja Aina Cempaka duduk di sebelahnya.
“Bos akulah,” jawab Aina Cempaka. Memasang tali pinggang keledar.
“Faiz Iqbal?” soal Mohsin selamba. Segera dia meluncur laju meninggalkan Ibunda Corporation.
“Mana kau kenal?”
Mohsin hanya tersenyum dengan soalan Aina Cempaka.
“Aku tanya betul-betul ni. Dia boleh tersengih pulak!” rungut Aina Cempaka.
“Dia rakan kongsi syarikat aku. Buat projek pembinaan pusat membeli-belah kat Ampang. Hari tu pernah terserempak sekali,” kata Mohsin.
“Oh! Dah tu apa yang berlaku?”
“Tak ada apa-apa.” Mohsin mengangkat bahu.
“Aku tak pernah pun sembang dengan dia. Tapi, setakat yang aku tahu la kan... dia tu bukannya baik sangat,” tambah Mohsin lagi.
“Pandai-pandai aje kau ni. Mana kau tahu yang dia tu jahat?” Aina Cempaka cuba membela. Tiba-tiba rasa tidak senang duduk apabila Mohsin cakap begitu.
“Bukan aku yang cakaplah, itu orang lain yang cakap. Aku cuma sampaikan kat kau aje. Lebih baik kau berhati-hati,” ucap Mohsin.
Aina Cempaka hanya mengangguk tanda faham.
“Bukan semua orang suka kat dia. Dahlah berlagak, banyak bunyi pulak tu. Kau tahu tak? Hampir kecoh syarikat aku bila dia datang mengamuk sebab tender tak jadi.” Mohsin teringat peristiwa beberapa minggu yang lepas. Habis kalut satu pejabat Datuk Mazlan gara-gara amukkan Faiz Iqbal.
Kalau diikutkan hati, Mohsin juga mahu berhenti kerja dari situ. Yalah! Datuk Mazlan memang banyak buat aktiviti haram dalam perniagaannya. Rasuah? Penyelewengan? Semuanya ada. Tapi, apa boleh buat. Mohsin hanya makan gaji di syarikat itu. Terpaksa bekerja sebagai salah seorang arkitek mengikut perjanjian kontrak yang pernah ditandatanganinya dengan Datuk Mazlan. Nasib baik tempohnya cuma ada lebih kurang dua bulan lagi.
“Tender dengan Datuk Mazlan tu ke?” soal Aina Cempaka.
“Mana kau tahu ni?” Mohsin menatap wajah Aina Cempaka sekejap. Kemudian anak matanya dialihkan pula ke jalan raya.
“Orang tua miang tu aku kenallah. Tapi, aku tak pernah pun tengok muka dia. On call aje. Hari tu Encik Iqbal ada suruh aku jumpa dia. Tapi sekarang, senyap aje. Aku rasa tak jadi kut.”
“Aina. Aku rasa macam ada yang tak kenalah. Kenapa dia nak suruh kau jumpa Datuk Mazlan pulak. Entah-entah...”
“Entah-entah apa?”
“Entahlah aku pun tak tahu. Rasa macam tak sedap hati pulak. Lebih baik kau jangan jumpa dia. Kalau kau nak jumpa juga dengan orang tua miang tu, kau ajak aku sekali tau!” jelas Mohsin dengan wajah serius.
Semestinya Mohsin masak sangat dengan perangai orang tua itu. Bukanlah Datuk Mazlan namanya kalau tidak ada agenda tersembunyi. Tambah-tambah lagi dengan mereka yang bergelar kaum hawa.
“Yang kau emosi sangat ni apa hal?” Aina Cempaka mencuit pipi Mohsin.
“Bukan emosi. Aku ni kan dah macam abang kau. Kau yang cakap macam tu, kan?” kata Mohsin. Dalam maksudnya. Ada perli. Ada tidak puas hati. Marah? Mungkin.
“Okey, fine. Terima kasih abang,” usik Aina Cempaka.
“Abang?”
“Yalah! Habis tu apa?” Aina Cempaka menatap wajah Mohsin.
“Abang pun abanglah...” Mohsin ketawa suka. Mereka berdua tergelak bersama.
Sebaik sahaja sampai di hadapan rumah sewanya, Aina Cempaka ingin membuka pintu kereta. Pantas lengannya dipaut oleh Mohsin.
“Nanti. Bagi aku tengok muka kau kejap.”
“Kau ni dah kenapa?” Aina Cempaka membuat muka aneh.
“Kalau aku tak tengok muka kau, nanti aku tak lalu nak makan,” ucap Mohsin lembut.
“Apa? Ingat boleh kenyang ke tengok muka aku ni? Aku tak...” Belum sempat Aina Cempaka menghabiskan kata-katanya, jari Mohsin berada di bibir Aina Cempaka.
“Mak nenek! Kau jangan membebel boleh tak. Tolong diam seminit okey...” bisik Mohsin perlahan di telinga Aina Cempaka. Aina Cempaka teragak-agak. Duduk diam kaku di sisi Mohsin.
Beberapa minit kemudian baru Mohsin bersuara.
“Terima kasih,” ucap Mohsin dengan senyuman.
“Untuk apa?”
“Temankan aku naik kereta walaupun sekejap.” Mohsin tergelak sendiri.
Aina Cempaka turut tersenyum. Membuka pintu kereta dan melangkah keluar.
“Terima kasih jugak sebab hantar aku balik,” kata Aina Cempaka. Menutup semula pintu kereta.
“Sama-sama.” Mohsin senyum lagi. Menghidupkan enjin keretanya dan berlalu pergi. Terubat sedikit rindunya nanti.
TERBAIK.
ReplyDelete