Monday, 21 December 2015

TANYA DIA TENTANG CINTA - BAB 9

BAB 9

PUTERI melangkah ke dalam pusat membeli-belah One Utama tersebut dengan perasaan berbaur. Apa lagi agaknya yang dimahukan Ziyad. Seawal 9.00 pagi lelaki itu sudah menghantarkan pesanan ringkas untuk bertemunya di situ. Kalau diikutkan hatinya, memang tidak ingin dia hendak bertemu lelaki itu sehingga tarikh mereka diikat nanti. Dia tahu, pasti ada sahaja peluru-peluru berpandu yang akan Ziyad taburkan kepadanya. Sudah semakin tebal telinganya setiap kali mendengar kata-kata sinis lelaki itu. Kadang-kadang hampir hilang sabar dia dibuatnya.
Pesanan Ziyad pagi tadi supaya berjumpa lelaki itu di  Starbuck, One Utama. Jadi, sebaik menghampiri pintu restoran tersebut, Puteri mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor lelaki itu didail sambil matanya melilau memandang sekeliling. Lama menunggu akhirnya panggilannya bersambut dan setelah berbicara seketika, taliannya dimatikan semula. Dia terus melangkah masuk ke dalam. Terpandangkan susuk tubuh lelaki itu, kakinya diayunkan ke situ. Salam dihulurkan acuh tak acuh.
Ziyad berpaling. Salam gadis yang sedang terpacak di hadapannya itu dibalas perlahan. Melihat Puteri ketika itu, Ziyad hela nafas. Cantik dan bergaya. Itulah Puteri Chempaka Emelyn. Dulu dan kini tidak banyak berbeza. Berdepan dengan gadis itu hatinya sentiasa berdetak, malah kenangan manis yang pernah mereka lalui dulu sering terbayang-bayang dalam ingatan.
Walaupun tidak dipelawa, Puteri terus duduk. Ziyad hanya memerhati sahaja dengan riak yang cuba dikawal.
“Okey, kali ni kenapa awak nak jumpa saya? Nak tambah syarat lagi ke?” Puteri terus menyoal dan dengan nada suara yang agak sinis. Buku nota kecil dan pen yang sengaja dibawa, dikeluarkan dari beg tangannya dan diletakkan di atas meja.
“Awak tulislah, nanti saya lupa. Saya ni kalau perkara yang tak penting, saya tak suka nak ingat,” sindir Puteri selamba.
Ziyad terdiam. Rasa terpukul dengan kata-kata bakal tunangnya itu. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Expresso di atas meja dicapai dan dihirup tanpa perasaan.
Then why? Rindu nak tengok muka saya?” soal Puteri selamba dan dengan nada suara yang masih seperti tadi.
Ziyad mendongak dan memandang Puteri tajam. Nampak sangat Puteri tidak sudi untuk bertemunya. Melihat riak pada wajah bakal tunangnya itu saja dia tahu. Kalau Puteri sendiri pun sudah tidak sudi, kenapa dia bersetuju? Sengaja hendak menyakitkan hatinya lagi? Memperbodohkan dia sepertimana yang pernah Puteri lakukan dulu?
“Nak cari cincin tunang. Kalau aku tak ajak kau keluar macam mana aku nak tahu kau pakai saiz apa. Kalau kau nak minum, kau pergi beli. Kalau tak nak, kita pergi sekarang,” mendatar Ziyad membalas.
Puteri mendengus perlahan. Sakit hati mendengar kata-kata lelaki di hadapannya itu. Memang jenis manusia hati batu. Cubalah tunjukkan sikit sikap kesopanan dan ketatasusilaan. Mesti dulu tak belajar Rukun Negara atau tak belajar sivik. Nasib baik aku tak bawak buku nota sekolah rendah yang ada tulis tentang Rukun Negara. Kalau tidak, memang aku dah tunjuk untuk Ziyad baca.
Melihat riak selamba Ziyad, bertambah panas hatinya. Apalah salahnya kalau dia tanya aku nak minum apa dan dia tolong belikan. Memang kayu punya lelaki. Langsung tidak gentleman, kutuknya dalam hati.
Kenapa semakin lama sikap lelaki ini semakin menjengkelkan? Ziyad sengaja? Ya, dia pasti Ziyad memang sengaja. Mesti Ziyad lakukan ini supaya dia berundur dan mengaku kalah. Hurmm... sorry mister, I won’t give up! Kalau aku tak kahwin dengan kau, aku takkan kahwin dengan sesiapa! tekadnya pula.
“Dulu boleh pulak awak beli cincin tanpa tanya saiz saya,” ucap Puteri sengaja mengungkit.
Ziyad yang sedang menghirup expresso tersentak. Puteri direnung semakin tajam. Kenapa perlu kisah empat tahun dulu diungkit-ungkit? Puteri sengaja hendak mencari pasal?
“Kisah tu dah empat tahun berlalu dan dah lama aku lupakan, cuma perempuan yang menghancurkan hidup aku aje yang aku akan ingat sampai mati,” balas Ziyad keras.
Puteri terpempan. Terkedu mendengar kata-kata Ziyad dan dia terus mati kata-kata untuk membidas kembali.
“Kalau kau nak minum, kau pergi beli. Aku malas nak duduk lama-lama dekat sini.” Ziyad bersuara lagi dengan suara yang sudah mula mengendur. Melihat Puteri yang sudah diam tidak berkutik di hadapannya, tiba-tiba rasa simpati pula.
Dengan helaan nafas perlahan, Puteri menggeleng. “It’s okay. Saya tak nak minum,” tolaknya perlahan walau hakikat yang sebenar dia haus macam nak mati ketika itu.
“Kalau macam tu jom kita pergi,” ucap Ziyad lagi dan terus bangun.
Melihat Ziyad yang sudah mula mengayun langkah, Puteri mendengus. Dengan wajah cemberut, dia turut bangun. Lelaki itu dipandang dengan perasaan jengkel dan rasa seperti hendak dicekik-cekik. Langsung tidak prihatin! marahnya. Walaupun dalam keadaan sakit hati, langkah Ziyad tetap diekori.  
Sejak keluar dari Starbuck tadi, begitulah keadaan mereka. Jalan beriringan, tetapi langsung tiada suara yang kedengaran. Ziyad masih beriak seperti tadi, manakala Puteri pula sudah menunjukkan wajah bosan.
“Kita nak cari cincin di mana ni?” soal Puteri memecahkan kesunyian. Ziyad dikerling sekilas. Ziyad mengajaknya keluar untuk mencari cincin atau sengaja nak ukur keluasan pusat membeli-belah One Utama ni? bebelnya.
Ziyad angkat bahu. Malas hendak bercakap.
“Kalau awak tak tahu, dari tadi kita pusing-pusing tu cuma buang masa sajalah?” Puteri sudah mula naik angin. Melihat riak selamba Ziyad lagilah angin dibuatnya. Riak suci bukan main lagi macam orang tak bersalah. Benci betul!
“Aku tengah pilih kedai emaslah ni,” balas Ziyad acuh tak acuh.
“Yang kita lalu tadi tu bukan kedai emas ke? Kenapa tak masuk?” bidas Puteri lagi.
“Entah, tak rasa nak masuk,” balas Ziyad selamba dan terus mengayun langkah.
Mulalah Puteri rasa seperti hendak hentak kaki di situ. Ziyad memang beruk betul. Kalau lama-lama melayan lelaki itu, harus cepat dia kena sakit jantung. Apa tidaknya, berdepan dengan Ziyad, laju betul jantungnya bekerja. Asyik rasa nak marah saja. Sudahlah tu, jalan bukan main laju lagi. Penatlah wei!
“Ziyad, awak tak reti penat ke? Kaki saya dah sakit mengikut awak berjalan dari tadi,” bebel Puteri geram.
Ziyad senyum segaris. “Itulah, lain kali tak payah nak pakai kasut tumit tinggi macam tu. Baru jalan sikit aje pun dah sakit. Kalau memang dah tak berapa nak tinggi tu, terima sajalah hakikat.”
Langkah Puteri terus terhenti. Ini memang sudah lebih! Ziyad turut berhenti. Keningnya diangkat memandang gadis di hadapannya itu.
“Awak kalau tak cari pasal dengan saya tak boleh ke? Suka sangat nak buat saya marah?” bentak Puteri melepaskan geram. Lelaki di hadapannya itu dipandang tajam.
For your information, Doktor Ziyad... ketinggian awak dengan saya tak adalah beza mana pun. Memang saya rendah sikit daripada awak, tapi setakat 5 atau 6 inci aje. So, apa maksud awak dengan kata-kata awak tadi?”
Ziyad mengeluh perlahan. Pandangannya dibuangkan ke sekeliling. Malu dengan pandangan beberapa orang pengunjung pusat membeli-belah tersebut. Lengan Puteri terus ditarik.
What the hell...” Baru saja Puteri memberontak, Ziyad terus memotong kata-katanya.
“Tak malu ke nak gaduh dekat tempat awam macam ni? Kalau awak tak tahu malu, saya masih ada perasaan malu lagi,” bisik Ziyad perlahan, tetapi tegas bunyinya.
“Siapa yang cari pasal? Saya ke awak?” bidas Puteri geram.
Okay, my mistake. Jom kita beli cincin. Cepat beli, cepat balik.” Perlahan Ziyad menjawab. Langkahnya diayunkan semakin laju.
Puteri mendengus. Tahu takut. Aku baru buat drama sikit. Kalau aku meroyan terus tadi, baru padan muka kau.


DOKTOR ZIYAD! Doktor Ziyad!”
Ziyad memandang sekeliling. Liar matanya mencari kelibat suara yang memanggil namanya. Puas dicari, tetapi tidak nampak sesiapa pun di situ. Tersilap dengar agaknya. Langkahnya diayunkan lagi. Puteri yang mengekor sedari tadi turut hairan melihat keadaan Ziyad ketika itu. Namun, dibiarkan saja. Malas hendak bertanya nanti jadi drama lain pula di situ. Lagipun, keadaan mereka bukan baik pun hendak beramah mesra macam dulu. Tak kuasa!
“Doktor Ziyad!”
Terdengar namanya dilaung lagi, Ziyad berpaling. Terpandangkan seseorang, bibirnya terus mengukir senyum.
“Yani. Doktor Zurina pun ada?” sapa Ziyad ramah. Pandangannya ditalakan ke arah Doktor Zurina yang berdiri di sebelah Yani.
Doktor Zurina mengangguk dan tersenyum manis.
“Saya ingat saya salah dengar tadi,” ucap Ziyad lagi dengan senyum yang masih mekar di bibir.
Yani tunjuk sengih. “Sayalah yang panggil, tapi doktor laju aje berjalan.”
Ziyad tersenyum. Doktor Zurina juga turut tersenyum.
Shopping ke doktor?” soal Yani ramah.
Ziyad menggeleng. “Temankan kawan saya ni beli barang.” Lembut Ziyad membalas. Jarinya ditunjukkan ke arah Puteri di sebelah.
Puteri memandang Ziyad sekilas. Amboi, lembut gigi daripada lidah. Dengan aku tak pernah nak cakap baik-baik macam tu. Bukan tak pernah. Pernah, malah lebih lembut daripada itu. Tapi, itu cerita empat tahun dulu.
“Oh, ya, mari saya kenalkan, kawan saya Puteri Chempaka Emelyn.”
Puteri tersenyum tawar. Kawan? Kenapa tak kenalkan sebagai bakal isteri aje? Takut kantoi atau doktor di hadapan ni perempuan idaman hati? Pandang doktor tu pun lain macam aje. Doktor itu pun senyum bukan main manis lagi. Doktor Zurina itu pun boleh tahan orangnya. Bertudung, cantik dan lemah lembut saja gayanya. Hesy! Rasa tercabar tiba-tiba.
“Puteri, kenalkan ini pembantu saya Yani dan yang itu Doktor Zurina.”
Puteri menghulurkan tangan untuk bersalaman. Salamnya dibalas mesra.
Girlfriend doktor ke?” soal Yani sengaja mengusik. Gadis di sebelah doktor pujaannya itu dikerling sekilas.
Ziyad menggeleng dan tersenyum saja.
Uisy! Memang Puteri panas hati. Gelengan tu memang gelengan yang merobek tangkai hati. Tercalar habis!
“Okeylah Ziyad, tak nak ganggu you. Kami pergi dulu ya.” Tiba-tiba Doktor Zurina bersuara. Perasan akan riak tidak senang ‘kawan’ yang dimaksudkan Ziyad tadi dia terus meminta diri.
Ziyad mengangguk sahaja.
Alahai, lembutnya suara. Patutlah Ziyad tergoda, gumam Puteri dalam hati. Ziyad yang sedang tersenyum itu dikerling.
“Kami minta diri dulu.” Doktor Zurina menoleh Puteri pula.
Puteri turut mengangguk. Doktor Zurina dan Yani terus beredar meninggalkan mereka di situ.  
“Awak suka dia ke?” Puteri berpaling, pandang ke arah Ziyad semula. Sengaja nak korek rahsia.
“Suka siapa?” soal Ziyad kembali. Lagi bersahaja riaknya. Langkahnya diayunkan semula.
“Doktor Zurina.”
Ziyad hanya mematikan diri sahaja. Malas hendak melayan pertanyaan gadis di sebelahnya itu.
“Kalau suka, kenapa tak suruh keluarga awak melamar dia? Bukan ke itu boleh dijadikan alasan untuk awak tak berkahwin dengan saya?” Sengaja Puteri membakar walaupun bukan dimaksudkan dengan sepenuh hati. Kalau tiba-tiba Ziyad setuju dengan cadangannya, haru jadinya.
Langkah Ziyad terhenti dan dia terus memalingkan tubuhnya menghadap Puteri. Gadis di hadapannya itu direnung tajam. Entah kenapa tiba-tiba sakit pula hatinya mendengar bebelan Puteri tadi.
“Aku suka dia atau tak, itu urusan aku. Sekarang kita selesaikan urusan kita. Kita masuk kedai emas dekat sana tu, lepas tu kita boleh balik!” balas Ziyad sedikit keras sambil jarinya ditunjukkan ke arah kedai emas Tomei tidak jauh dari situ.
Puteri terdiam. Ziyad dijeling sekilas. Aku cakap punya baik, tapi itu dibalasnya. Menyakitkan hati betul! Tidak menunggu, Puteri terus saja berjalan masuk ke kedai yang dimaksudkan bakal tunangnya itu dengan perasaan membara. Nak cari pasal dengan aku, kan? Okay... fine. Cincin paling mahal yang aku pilih nanti. Kau tengoklah. Biar kau pulak makan hati! bebelnya geram.

No comments:

Post a Comment