“KAHWIN dengan saya.”
Aiskrim di tangan Puteri hampir terlepas daripada genggaman. Lelaki di sebelahnya itu dipandang tidak berkelip. Terkejut dan terkedu. Tapi, betulkah apa yang didengarinya tadi?
Melihat riak Puteri ketika itu, Ziyad tersenyum. Bibir Puteri yang sedikit comot terkena aiskrim coklat, disapu dengan jarinya.
Diperlakukan begitu, Puteri semakin terkedu. Hanya matanya sahaja yang terkebil-kebil, memandang lelaki di sebelahnya itu.
“Marry me,” ucap Ziyad lagi. Lebih bersungguh dari tadi.
Gadis di sebelahnya dipandang dengan penuh mengharap. Poket seluarnya diseluk dan kotak kecil berwarna merah dikeluarkan, kemudian dibuka. Cincin belah rotan yang terletak kemas di dalam kotak tersebut disuakan ke arah gadis di sebelahnya itu.
“For you.” Ziyad masih terus berbicara walaupun Puteri masih diam tidak terkata.
Terkejut mungkin. Sesiapa pun akan terkejut jika dilamar tiba-tiba begitu. Lebih-lebih lagi ketika pengenalan mereka baru sahaja menjangkau usia dua bulan.
Puteri tetap juga begitu. Masih terdiam kaku di tempatnya. Cincin yang disuakan di hadapannya itu dipandang dengan riak serba salah. Kahwin? Memang tidak pernah terlintas langsung di dalam kepalanya untuk berkahwin di dalam usia yang begitu muda. Malah, hubungannya dengan Ziyad juga bukan seperti yang Ziyad sangkakan. Melihatkan riak lelaki itu yang bersungguh-sungguh, Puteri semakin hilang kosa kata. Terkelu dan terkedu dia di situ.
“Emelyn…” panggil Ziyad perlahan. Pandangannya masih tertala tajam ke arah Puteri. Satu-satunya gadis yang telah berjaya mencuri hatinya. Lama dia menanti Puteri memberikan jawapan, tetapi hanya kebisuan Puteri sahaja yang diterimanya sedari tadi.
Puteri menghela nafas perlahan. Serba salah untuk memberi jawapan.
“Ziyad, saya rasa…” Kata-katanya terhenti. Tidak tahu jawapan bagaimana yang harus dia berikan.
Pandangan dibuangkan ke arah aiskrim Cornetto yang sudah mula cair di tangan sebelum dia memandang Ziyad semula.
“Ziyad, saya rasa ia terlalu cepat. Kita baru aje kenal. Lagipun, saya masih studi lagi,” tolak Puteri lembut.
“Sayang, walaupun kita kahwin nanti, saya takkan halang awak teruskan studi. Lagipun saya tak nak hubungan kita terus macam ni tanpa ikatan yang sah. Tak elok sebenarnya,” pujuk Ziyad bersungguh.
“Ziyad…”
“Please, Emelyn… Saya nak hidup dengan awak sebab saya betul-betul cintakan awak. Walaupun kita baru kenal, tapi saya yakin saya buat keputusan yang betul. Lagipun, saya tak sanggup hendak menunggu lebih lama lagi.” Ziyad terus bersuara. Lebih kepada merayu sebenarnya.
Puteri hela nafas. Pandangannya dibuangkan ke hadapan. Sesak. Sungguh dia sesak dengan situasi mereka ketika itu.
Ziyad, kita dan cinta ini, ia bukan seperti yang awak sangkakan!
No comments:
Post a Comment