Thursday, 7 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 17

“Chewah! Seiring dan sejalan nampak?” usik Kak Salmah sebaik sahaja Aina Cempaka merebahkan pinggul di kerusinya. Kelibat Faiz Iqbal sudah pun berlalu masuk ke dalam biliknya.
“Apa ni Kak Sal?”
“Apa-apanya? Tasnim, sini kejap. Dia ingat kita tak nampak agaknya.” Kak Salmah memanggil Kak Tasnim pula. Perempuan itu pun dengan tergedik-gedik menghampiri meja kerja Aina Cempaka.
“Seiring dan sejalan. Macam lagu... seiring dan sejalan, seindah bunga di taman...” Kak Tasnim mula menyanyi dan menggoyang-goyangkan pinggulnya yang agak berisi.
“Banyaklah bunga di taman,” omel Aina Cempaka. Dia mengerutkan muka. Perkara yang dia takutkan sudah tiba. Ah! Tidak pasal-pasal jadi bahan gosip wanita berdua ini.
“Kalau betul jadi bunga pun... apa salahnya.” Kak Salmah mengusik lagi.
“Korang pergi mana, hah? Lambat betul masuk ofis. Kedai mamak lagi ke?” soal Kak Tasnim sambil ketawa. Kak Salmah turut serta. Pantang ada geng, lagi agresiflah usikannya.
“Taklah. Tadi kereta Encik Iqbal kena tarik. Terpaksa tunggu teksi. Itu yang lambat masuk ofis. Akak berdua ni tak ada kerja betullah. Suka sangat kenakan saya.” Aina Cempaka mencebik bibir. Membidas gosip murahan.
“Kena tarik? Kenapa? Encik Iqbal tak bayar hutang bank ke? Habislah… terpaksalah kita cari kerja lain lepas ni,” rungut Kak Tasnim.
“Nampaknya syarikat kita betul-betul dah nak bankrap ni. Aku pun rasa kita kena cari kerja lain cepat-cepat,” sokong Kak Salmah.
“Apalah akak berdua ni. Kereta Encik Iqbal bukan kena tarik sebab tak bayar hutang bank Tapi, kena tarik dengan DBKL sebab salah parking kat line kuning. Lain kali biarlah Aina habis cakap dulu.” Aina Cempaka menggelengkan kepalanya. Suka sangat mereka berdua ini membuat spekulasi sendiri.
“Betul tu. Apalah korang ni! Tak supportive langsung!” sergah Burn dari belakang.
“Eh, tiba-tiba menyergah pulak. Dahlah tak bagi salam,” rungut Kak Salmah.
“Assalamualaikum orang di sana.”
“Pandai pun... waalaikumussalam,” balas Kak Salmah. Tersengih.
“Kita kan orang lama kat sini... supportive la sikit. Kerja sampai habis hayat. Sampai Ibunda Corporation hangus. Barulah korang boleh berhenti. Ini tak, dengar cerita palsu sikit, dah buat kecoh.” Tegas Burn. Kepalanya dilentokkan.
“Memanglah kami ni orang lama. Tapi sampai bila? Sampai nanti kita orang ni makan pasir?” tambah Kak Tasnim.
“Betul tu. Aku sokong!” sampuk Kak Salmah.
“Susah betullah cakap dengan orang-orang kurang cerdik ni.” Burn mengejek.
“Ah, sudahlah! Malas kita orang nak layan you ni Burn. Jom Salmah. Tinggalkan aje si sotong tua ni.” Kak Tasnim menarik lengan Kak Salmah. Menyambung kerja.
“Eeee... sotong tua dia panggil I? Apa? You ingat you cantik sangat? Badan pun macam mak gajah!” Burn menggigit bibir. Geram.
Aina Cempaka hanya ketawa berdekah-dekah. Geli hati melayan kerenah mereka ini. Apa-apa pun Aina Cempaka mesti kekal dengan Ibunda Corporation. Itu niatnya. Mengapa? Mungkin dia sudah suka bekerja di sini.



TAMAT sahaja waktu pejabat, Aina Cempaka menuju ke surau. Menunaikan solat asar. Selesai solat, dia menuju ke arah pintu surau dan membukanya.
“Ya Allah!” Hampir saja tercabut jantungnya. Nyaris berlaga batang hidungnya dengan muka Faiz Iqbal.
“Apa Encik Iqbal buat kat depan pintu ni? Ini surau perempuanlah.”
“Aku tunggu kaulah.” Tangan Faiz Iqbal memegang sesuatu. Topi keledar!
“Nak buat apa dengan helmet ni?” soal Aina Cempaka. Bingung.
“Hantar aku balik.”
“Apa? Encik Iqbal kan ada kereta sendiri. Suruhlah siapa-siapa ambilkan. Lagipun, siapa suruh Encik Iqbal bawak kereta syarikat, kan dah kena tarik.”
“Kau ni banyak mulutlah. Tak sempat. Tak ada sesiapa yang nak datang ambil aku. Kau hantarlah...” Mata Faiz Iqbal merenung, memohon simpati.
Aina Cempaka melepaskan keluhan panjang.
“Yalah, yalah!”
Faiz Iqbal tersengih dengan jawapan Aina Cempaka. Mereka menuju ke tempat parkir motosikal.
“Inilah motor buruk saya. Selamat datang,” perli Aina Cempaka. Topi keledarnya disarungkan.
Faiz Iqbal tersenyum simpul. Fahamlah dia.
“Encik Iqbal memang tak reti pakai helmet ke?” soal Aina Cempaka.
“Kenapa pulak?”
Aina Cempaka menyentuh tali topi keledarnya, memberi isyarat agar Faiz Iqbal membetulkan tali topi keledarnya sendiri.
“Oh, lupa. Macam mana nak pasang ni?” Terkial-kial Faiz Iqbal memasang tali topi keledarnya.
“Mari sini.” Aina Cempaka membantu, memasang tali topi keledar dengan betul. Wajahnya hampir dengan wajah Faiz Iqbal. Terasa hembus nafas Faiz Iqbal, pantas Aina Cempaka menjarakkan tubuhnya.
“Kenapa?” soal Faiz Iqbal sambil hatinya tersenyum.
“Errr... tak... mana Encik Iqbal curi helmet ni?”
“Curi? Pleaselah. Aku pinjam, okey. Kat Pak Cik Guard tu,” muncung Faiz Iqbal.
“Encik Iqbal bawaklah. Saya duduk kat belakang.”
“Aku tak tahu bawak motorlah. Kau bawak.”
“Lupa pulak saya, orang kaya tak layan skuter. Mmmm... cepatlah.” Aina Cempaka menaiki skuternya.
Faiz Iqbal tidak menjawab apa-apa. Membonceng Aina Cempaka. Terasa janggal pula dia kali pertama menaiki kenderaan itu. Tapi tidak mengapa. Asalkan dia boleh bersama Aina Cempaka dengan lebih kerap. Itu sudah memadai.
Seperti yang diarahkan oleh Faiz Iqbal, Aina Cempaka memberhentikan skuternya di hadapan pondok pengawal keselamatan. Tersergam tinggi bangunan kondominium yang menjadi kediaman Faiz Iqbal itu.
“Nak turun kat sini ke?” soal Aina Cempaka.
“Kau nak naik atas sekali ke?”
“Taklah sampai macam tu sekali. Saya tanya aje.”
“Kalau kau nak naik pun, apa salahnya. Pintu rumah aku sentiasa terbuka untuk tetamu macam kau. Jomlah.”
“Tak apalah, Encik Iqbal. Saya balik dululah,” alih Aina Cempaka. Makin dilayan, makin menjadi pulak lelaki ini.
Faiz Iqbal tergelak.
“Aku pun tak inginlah nak ajak kau masuk. Okey, terima kasih,” ucap Faiz Iqbal dengan senyuman manis.
“Sama-sama. Assalamualaikum...” Bibir Aina Cempaka pun mengukirkan senyuman. Memecut pantas skuter biru mudanya.
“Waalaikumussalam...” jawab Faiz Iqbal. Berbisik.
Faiz Iqbal melompat suka. Hatinya menyanyi-nyanyi lagu cinta. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini Aina Cempaka mampu membuatkannya tersenyum. Rasa seperti dunianya sudah diserikan dengan warna-warna pelangi cinta.



BELUM tiba waktu subuh lagi sudah kedengaran bunyi bising di dapur. Pinggan pecah mungkin. Aina Cempaka pantas menyelak selimutnya. Bergegas ke dapur.
Susuk tubuh Suzy kelihatan dari belakang memuntahkan sesuatu ke dalam singki. Serpihan kaca bertaburan di atas lantai. Risau. Pantas Aina Cempaka memeluk tubuh longlai itu.
“Kenapa ni?” soal Aina Cempaka. Panik.
“Entahlah. Aku rasa tak sedap badan.”
“Kau demam ke?” Aina Cempaka meletakkan tapak tangan ke dahi Suzy.
“Tak. Aku tak demamlah, cuma rasa tak selesa perut.” Tangan Aina Cempaka ditepis.
“Dah tu, jom pergi klinik. Aku risaulah.”
“Aku tak apa-apalah. Lepas makan ubat sakit perut nanti, okeylah.” Pertahan Suzy.
“Betul ke ni?”
“Betullah. Aku salah makan semalam kut.”
“Kau makan apa aje?”
“Adalah. Errr... kedai kat tepi jalan.”
“Patutlah. Lain kali kena memilih sikit. Ini tak, main sebat aje.” Aina Cempaka pantas ke kabinet dapur. Mencari pil tahan sakit. Air suam dituangkan ke dalam gelas. Dihulurkan kepada Suzy. Suzy menelan pil di tapak tangan Aina Cempaka.
“Terima kasih,” ucap Suzy.
“Sama-sama. Nasib baik aku tersedar. Tak apa, biar aku kemaskan semua ni. Kau naik atas dulu. Pergi berehat,” arah Aina Cempaka.
Suzy patuh. Terhuyung-hayang dia meninggalkan Aina Cempaka di dapur.
Aina Cempaka membersihkan lantai. Satu per satu serpihan kaca dikutipnya. Tersenyum puas setelah semuanya bersih dan siap dikemaskan.
Beberapa minit kemudian, azan subuh berkumandang. Aina Cempaka segera membersihkan diri. Menunaikan kewajipannya sebagai seorang yang beragama Islam. Usai solat, dia merenung telefon bimbit di atas katil. Tanpa membuka telekung, dia segera melompat ke atas katil dan mencapai telefon bimbitnya itu. Mencari nombor telefon Mak Safiah.
“Assalamualaikum, mak.”
“Waalaikumussalam... Cempaka. Awal-awal pagi lagi dah telefon ni, kenapa?” suara Mak Safiah kedengaran ceria.
“Tak ada apa. Rindu...”
“Mak pun rindu. Bila nak balik kampung lagi?”
“Insya-Allah. Nanti Cempaka balik. Mak sihat?”
“Alhamdulillah, mak sihat.”
“Mmmm... dengar cerita Helmi nak buka maahad tahfiz kat kampung kita. Betul ke?”
“Ini mesti Mohsin yang beritahu, kan?”
Aina Cempaka hanya tergelak.
“Sekarang ni dia tengah sibuk. Banyak hal nak kena buat. Tapi, selalu jugak datang jenguk mak. Siap hantar makanan lagi.”
“Betul ke? Malunya Cempaka...” Aina Cempaka memegang dahi.
“Nak malu, kenapa pulak?”
“Yalah. Cempaka bukannya tahu masak pun. Tak pernah pun masak untuk mak. Setakat masak air tu bolehlah.”
“Tak apalah. Itu semua boleh belajar. Kamu tu aje yang malas.”
Aina Cempaka ketawa lagi. Apa boleh buat, Bukannya dia tidak pernah mencuba. Tapi masalahnya, setiap kali memasak pasti ada insiden buruk berlaku. Nasi hangit hitam macam buntut kuali... periuk terbakar di atas dapur...dan macam-macam lagi. Sebab itu dia jadi trauma hendak ke dapur.
“Kelmarin Mohsin ada datang jenguk mak,” kata Mak Safiah.
Aina Cempaka terdiam.
“Dia tak beritahu apa-apa kat Cempaka pun.”
“Dia ada hal nak bincang dengan Helmi kut. Sebab tu tak sempat nak beritahu kamu,” balas Mak Safiah.
“Ya ke. Mmmm... buat apa aje dia jenguk mak?”
Macam biasalah, tanya khabar. Lepas tu bawak mak pergi pasar, belanja barang dapur sikit. Dia tu selalu jugak telefon mak kat kampung. Mak suka dengan Mohsin tu. Orangnya kacak. Baik pulak tu. Lagipun kita kan dah lama kenal dia.”
“Mak suka kat dia ke?”
“Ke situ pulak dia! Mmmm... kalau untuk Cempaka, bolehlah.”
“Tak ada maknanya mak. Ramai lagi orang lain yang boleh dibuat menantu. Kenapa Mohsin jugak?” Aina Cempaka tergelak.
“Sampai bila lagi nak tunggu? Mak tengok dia tu macam berkenan sangat kat kamu. Kamu tu aje yang suka jual mahal.”
“Kalau dah jodoh tak ke mana mak...” jawab Aina Cempaka.
“Jodoh pun kena cari, baru tahu ada ke tak.”
“Aduhai... mak! Dahlah, Cempaka malaslah nak cakap lagi semua benda ni. Pening kepala tau.”
“Susah betul budak ni. Mmmm... sebenarnya, mak tak kisah siapa pilihan kamu. Asalkan orang tu boleh jaga makan minum kamu. Itu dah cukup. Kamu tak kerja ke hari ni?”
“Kerja. Tapi, awal lagi la mak. Kejap lagi Cempaka bersiaplah.”
“Kerja baik-baik. Jangan sampai bos kamu marah pulak,” celoteh Mak Safiah.
“Jangan risau mak. Bos Cempaka tu baik orangnya. Okeylah, mak. Nanti Cempaka telefon lagi. Assalamualaikum...” Aina Cempaka tersenyum. Memutuskan talian. Fikirannya sudah terbayangkan wajah Faiz Iqbal. Lelaki itu agak ego. Mungkin kali pertama berjumpa dia nampak sombong. Lama mengenali Faiz Iqbal, baru Aina Cempaka sedar. Ada satu tarikan yang menarik pada lelaki itu.

No comments:

Post a Comment