Saturday, 9 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 18

ENJIN kereta tidak jadi dihidupkan. Matanya kini terpaku pada sekeping sampul surat yang terselit pada wiper hadapan keretanya. Faiz Iqbal membuka semula pintu kereta. Melangkah perlahan.
“Apa ni?” Faiz Iqbal meregangkan tali lehernya. Haba panas pagi ini mengganggu sedikit emosinya ke pejabat.
Sampul surat dibuka perlahan. Penuh berhati-hati. Sekeping nota yang hanya bertulis alamat dan masa berjumpa tanpa nama pengirim itu dibacanya berulang kali.
“Jumpa petang ni?” Faiz Iqbal ketawa. Kegilaan apakah ini?
“Siapa pulak yang nak main-main dengan aku ni? Datuk Mazlan?” Faiz Iqbal berteka-teki. Mungkin ya. Tapi, kenapa? Hendak balas dendam?
“Ah, lantaklah!” Kertas diremukkan. Dicampaknya jauh. Malas mahu melayan. “Tak guna punya orang tua! Berdepanlah kalau memang betul kau anak jantan!”



“ENCIK IQBAL... Tan Sri dah tunggu kat dalam,” sapa Aina Cempaka setelah tubuh Faiz Iqbal melangkah masuk ke pejabat.
“Tok wan?”
Aina Cempaka hanya mengangguk.
“Buat apa dia datang sini?”
“Saya tak tahu. Mungkin ada hal penting. Muka dia nampak serius,” bisik Aina Cempaka perlahan.
Faiz Iqbal tidak menjawab. Segera dia meluru ke dalam biliknya. Mesti ini perkara mustahak. Faiz Iqbal perlu tenang berhadapan dengan Tan Sri Berahim. Jangan mudah menggelabah.
“Tok wan... ada apa nak jumpa Iqbal ni?” Faiz Iqbal mengambil tempat di hadapan tok wan. Riak wajah orang tua itu nampak ketat.
“Aku bagi kau masa sampai akhir bulan ni. Kalau kau tak boleh uruskan semua masalah dalam Ibunda Corporation, kau boleh berhambus dari sini!”
“Apa yang tok wan cakap ni?”
“Jangan nak berlakon lagilah! Aku tahu, sejak akhir-akhir ni Ibunda Corporation dah semakin merudum. Apa sebenarnya masalah kau ni, hah?”
“Masalah?” Faiz Iqbal ketawa.
“Berani tok wan tanya pasal masalah? Masalah sebenarnya tu datang daripada tok wan. Tok wan yang banyak merunsingkan kepala hotak Iqbal ni, tau! Kalau bukan sebab tok wan, mak ayah Iqbal takkan mati. Iqbal takkan jadi anak yatim piatu!”
Hampir pitam tok wan diherdik oleh Faiz Iqbal. Pantas dia mengurut dada.
“Aku tak kira. Apa pun kau mesti selesaikan masalah ni. Aku tak nak tengok Ibunda Corporation terkubur!” balas tok wan. Tongkat di sisi meja dicapainya. Melangkah perlahan meninggalkan Faiz Iqbal. Pintu bilik itu ditutup dengan kuat. Mukanya berkerut-kerut menahan marah.
Faiz Iqbal menghempaskan tubuhnya ke kerusi. Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Dadanya berpalu kencang. Marah. Sakit hati. Benci. Semuanya ada. Tangan dihentakkan ke atas meja. Api kemarahan yang menjulang itu memang sukar terpadam.
Sepanjang hari itu Faiz Iqbal hanya diam. Bercakap apabila perlu. Aina Cempaka tidak berani menegur. Hanya melakukan apa yang disuruh Faiz Iqbal sahaja. Tidak berani dia membantah.
“Encik Iqbal... waktu pejabat dah habis. Saya balik dulu ya,” ucap Aina Cempaka di muka pintu.
Faiz Iqbal mengangguk. Matanya masih memandang kertas-kertas kerja yang bersepah di atas meja.
“Encik Iqbal okey tak ni?”
Mata Faiz Iqbal memandang Aina Cempaka. Satu senyuman terukir.
“I’m okay. Don’t worry. Awak boleh balik. Saya tak apa-apa. Awak jangan risau.” Terhenti sekejap jantung Aina Cempaka mendengar perkataan terakhir itu.
“Awak? Dah buang tabiat ke apa ni?” bisik Aina Cempaka perlahan setelah menutup pintu bilik. Namun, bibirnya tetap mengukirkan satu senyuman bahagia. Faiz Iqbal bukan lagi lelaki yang dikenalinya dulu. Sifatnya semakin lembut. Semakin menunjukkan reaksi yang positif.



HAMPIR jam 12 malam baru Faiz Iqbal tersedar daripada tidurnya. Tubuhnya masih di bilik pejabat. Lehernya terasa sengal kerana lama duduk bersandar di atas kerusi. Rupanya dia sudah terlajak tidur. Matanya digosokkan beberapa kali. Mengemas apa yang perlu sebelum berjalan laju menuju ke tempat parkir kereta.
Bulu tengkuknya tiba-tiba berdiri tegak. Terasa seperti satu kelibat manusia sedang mengekori dari belakang. Hantukah? Tidak mungkin ada hantu zaman moden begini. Faiz Iqbal cuba memberanikan diri.
“Aku tak takut hantulah!” Faiz Iqbal menjerit kuat. Bibirnya tersenyum. Jangan buat gila malam-malam buta macam ni!
Kawasan parkir kelihatan lengang. Hanya beberapa buah kereta tersadai. Pantas Faiz Iqbal membuka pintu kereta. Matanya kembali terpaku pada cermin hadapan keretanya.
“Surat lagi?” Tangannya membuka isi kandungan sampul tersebut.
“Esok. Tempat dan masa yang sama?” Faiz Iqbal membuat muka pelik. Apa lagi yang orang ini hendak?
“Okey. Fine... kau nak jumpa aku sangat, kan? Kita jumpa esok. Pengecut!” jerit Faiz Iqbal. Cebisan kertas yang dikoyakkannya itu dilemparkan. Enjin kereta dihidupkan dan dia meluncur keluar keretanya meninggalkan bangunan Ibunda Corporation.



SEPASANG kaki Faiz Iqbal kini berada di sebuah pub. Hiruk-pikuk bunyi bising alunan muzik memekakkan telinganya. Sudah lama dia tidak berada di sini. Agak janggal dirasakannya.
Beberapa orang perempuan memaut lengan Faiz Iqbal. Pantas tubuh mereka ditolak kasar. Benci sungguh dia dengan tempat ini. Semua perempuan di sini membuatkan kepalanya sakit. Terasa mahu pecah. Jantungnya berlari laju. Tubuhnya mula menggeletar. Terasa takut untuk berada dekat dengan mereka.
“Faiz Iqbal!” panggil seorang lelaki. Lelaki berbadan besar itu datang menghampirinya dan memaut kuat lengan Faiz Iqbal.
“Siapa kau? Apa kau nak, hah?” Faiz Iqbal merentap lengannya semula.
“Sorry bro. Jom ikut aku.” Lelaki itu terus menuju ke belakang pub. Diikuti Faiz Iqbal. Menyelinap dicelah-celah manusia.
Kini mereka berada di sebuah bilik yang agak tertutup dan penuh privasi. Hanya segelintir individu sahaja yang dibenarkan masuk. Cahaya lampu yang samar menyebabkan Faiz Iqbal tidak dapat mengenal pasti siapa yang berada di situ.
“Selamat datang...” Seorang lelaki berkepala botak yang muncul entah dari mana tiba-tiba bertepuk tangan.
“Black???” Faiz Iqbal tergamam. Tidak percaya. Bibir mereka terus mengukirkan senyuman dan saling menepuk bahu masing-masing.
“Dah jadi bos, kau sekarang ni?”
“Bos... kau tetap bos. Mana boleh aku lawan.” Black ketawa.
“Kenapa tak jumpa terus dengan aku? Pengecut betullah kau ni.”
“Bukan pengecut. Biasalah... aku ada bisnes. Kena jaga kredibiliti.”
“Aku ingat kau dah berhenti buat kerja terkutuk ni. Rupanya, makin besar lagi kepala kau ya?”
“Ala bos... bisnes kecik aje pun.” Black tersenyum.
“Mana Ismad?” Mata Faiz Iqbal mencari-cari bekas budak suruhannya itu.
“Pengkhianat tu? Aku dah sumbat dalam lokap. Tak guna simpan budak tu lama-lama. Buat sakit mata aje.”
“Apa yang dia dah buat?”
“Errr... bos. Kita minum dululah.” Tangan Black mengarahkan orangnya menuangkan arak ke dalam gelas. Teguk demi teguk habis ditelan Faiz Iqbal. Lupa sekejap dengan soalannya tadi.
“Dengar cerita, Ibunda Corporation sekarang ni tengah susah. Betul ke bos?” soal Black.
Faiz Iqbal cuba membuka mata. Kepalanya terasa berpusing-pusing. Mula rasa mabuk.
“Ni semua orang tua tu punya pasallah!”
“Datuk Mazlan?”
“Orang tua kutuk itulah. Siapa lagi? Kenapa tanya? Kau nak tolong aku ke?”
“Kalau bos minta, aku boleh buat apa-apa aje.”
“Apa-apa aje?”
“Ya. Apa saja. Cakaplah,” Black meyakinkan.
Faiz Iqbal tersenyum.
“Pastikan orang tua tu meringkuk dalam lokap. Boleh?” Faiz Iqbal tergelak.
Mudah bagi Black untuk tumbangkan Datuk Mazlan. Sedangkan kawan baiknya sendiri, Ismad boleh ditumpaskan, inikan pula lelaki yang bernama Datuk Mazlan.
“Kalau aku berjaya. Apa ganjarannya?” soal Black.
“Ganjaran?”
“Biasalah bos. Semua benda perlukan ongkos. Aku kena gaji orang aku jugak.”
“Mmmm... baik. Nanti kau cakap aje berapa yang kau nak. Aku boleh bagi.” Faiz Iqbal ketawa lebih kuat. Wajahnya kemerahan. Dia cuba bangun tetapi jatuh semula. Tubuhnya dipapah oleh Black.
“Bos nak balik ke?”
“Baliklah. Kau ingat aku suka duduk kat sini lama-lama ke?”
“Bos dah mabuk ni. Tak apa, nanti aku suruh orang aku hantar balik.”
Faiz Iqbal sudah tidak dengar apa-apa. Mindanya sudah tidak berfungsi lagi kerana diracuni minuman syaitan itu.

No comments:

Post a Comment