Wednesday, 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 10

BAB 10


KERTAS tisu dicarik-carikkan. Sakit hati, geram, menyampah, meluat, benci dan seangkatan dengannya. Semua ada!
“Kamu ni kenapa, Iman?”
Tegur Kak Mona yang baru saja muncul di ruang dapur. Dari jauh lagi dia sudah boleh nampak muncung Iman yang panjang dua depa itu. Kalah muncung itik.
Iman diam, langsung tidak menoleh kepada Kak Mona. Tangannya masih ralit mencarik-carikkan kertas tisu. Hati tengah panas ni, janganlah Kak Mona soal yang bukan-bukan, pula!
 Melihat Iman yang masih membatu dengan muka kelat itu, laju saja Kak Mona geleng kepala. Adalah tu yang tidak kena! Bukan dia tidak tahu perangai Iman tu. Walaupun boleh dikatakan baru sahaja kenal, dia sudahpun masak dengan perangai anak saudara Mak Su Normah itu.
“Gaduh dengan Encik Ajad ke? Dia paksa kahwin?” Kak Mona saja serkap jarang. Punggung dilabuhkan di sebelah Iman.
Seperti yang dia jangkakan. Laju saja Iman memberi respon.
“Kak Mona jangan sebut nama mamat mata sepet tu depan orang, boleh tak? Sakit hati tau!”
Iman mendengus kasar.
“Aik, belum apa-apa dah sakit hati? Kalau dah kahwin nanti macam mana?” Ketawa Kak Mona sudah meletus. Seronok pula dapat menyakat Iman pagi itu.
Mata Iman bulat merenung Kak Mona. Geram!
“Amboi, bukan main lagi gelak Kak Mona, ya. Mengalahkan langsuir terbang! Apa yang kelakar sangat tu?”
“Ish, mulut kau ni! Ada ke patut samakan Kak Mona dengan langsuir.” Marah Kak Mona. Kadang-kadang naik geram juga dia dengan mulut Iman yang langsung tidak berlapik itu. Cakap main lepas saja!
“Bila pula orang samakan Kak Mona dengan langsuir? Orang cakap lagi teruk dari tu!” Iman tergelak kecil.
“Eii, bencilah!” Kak Mona sudah tarik muncung.
“Alaaa, relakslah! Gurau pun tak boleh!” Iman merunggut kecil. Tisu di tangannya, digumpal pula.
“Hmm... yalah. Cuba cerita dengan Kak Mona, apa yang dah jadi ni? Kenapa muka macam buah gelugur putik ni? Gaduh dengan siapa?” Bertalu-talu Kak Mona bertanya.
Iman hela nafas panjang.
“Kak Mona tahu tak! Dekat luar sana tu ada sekor pacat betina. Yang buat Iman sakit hati sangat, dia boleh maki-maki Iman sesuka hati dia aje.” Adu Iman bersungguh. Mukanya semakin cemberut.
“Pacat?”
“Ya, pacat! Kak Mona tak kenal ke? Kalau dekat kampung tu ada banyak pacat. Tapi taklah sebahaya pacat dekat luar tu. Pacat dekat kampung hisap darah kotor aje. Bila dah kenyang, dia jatuh sendiri. Tapi pacat yang dekat luar tu, memang tak reti nak kenyang. Asyik nak melekat aje! Tambah lagi kalau pacat betina bertemu dengan pacat jantan.” Iman ketap bibir.
Entah kenapa rasa meluat bila ingat semula adegan peluk-memeluk di antara Ajad dengan Tengku Anis tadi. Sakit hati!
“Hee... Kak Mona tak fahamlah!” Kak Mona tersengih macam kerang busuk. Tangannya sudah naik mengaru kepala. Memang dia tidak faham. Setahu Kak Mona, dekat  rumah Tengku Faridah ni mana ada pacat.
“Hish, lembablah Kak Mona ni! Tu, pacat-pacat besar yang dekat luar itulah!”
Iman bangun berdiri, berlalu ke belakang Kak Mona. Tangan mula merayap gatal di leher kak Mona. Memeluk leher itu, erat dari belakang.
Baby... I miss you so, much...”
Iman merenggek manja. Sengaja meniru gaya Tengku Anis yang gedik plus mengada-ngada itu. Pipi Kak Mona diusap lembut persis perempuan miang sedang menggoda lelaki.
Bergema terus tawa Kak Mona. Sekarang barulah Kak Mona faham siapa pacat yang dimaksudkan oleh Iman tadi.
“Wow, menggoda!” Suara garau berbisik betul-betul di tepi telinga Iman.
Gulp!
Iman telan liur. Terus tubuhnya menjadi kejang.
“Encik Ajad!” laju Kak Mona bangun dari kerusi. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Matilah! Ini semua Iman punya pasal.
Iman masih kaku di situ. Tidak mampu langsung untuk bergerak. Hatta, hendak menoleh ke belakang pun, dia tidak berani. Tubuh Ajad yang berada betul-betul di belangkangnya itu dirasakan seperti raksaksa ganas yang akan membahamnya pada bila-bila masa sahaja kalau dia bergerak.
“Kak Mona pergi dulu.” Laju saja Kak Mona mahu menyelamatkan diri.
Belum sempat Kak Mona bergerak, Iman terlebih dahulu menarik hujung baju Kak Mona. Mana aci macam ni! Tadi bukan main lagi gelak sama-sama. Bila dah kantoi macam ni, nak lari pula!
“Iman nak ikut!”
Belum sempat Iman bergerak, tangan dia pula yang ditangkap kemas oleh Ajad dari belakang.
Tersentak Iman! Laju saja dia pusingkan tubuhnya mengadap Ajad.
“Lepaslah!”
 Iman tarik tangannya, kuat. Namun, cengkaman Ajad semakin kemas. Mata mereka bertembung lama. Masing-masing menahan rasa di jiwa.
Senyap-senyap, Kak Mona menyusup keluar dari situ. Tidak sanggup untuk menonton drama korea yang akan berlangsung sekejap nanti.
“Kau panggil aku apa tadi?” Tanya Ajad tegas. Matanya masih menikam tepat ke dalam anak mata Iman.
“Mana ada! Tolonglah, Ajad. Lepaskan tangan aku.” Rayu Iman.
“Kau cemburu ke?” Ajad jongket kening. Tangan Iman masih digenggam erat.
“Kau jangan nak perasan boleh, tak? Apa kes pula aku nak cemburu dengan kau! Baby kau tu, memang sesuailah dengan kau. Gedik plus gatal!” Bidas Iman. Bibir dikemam kuat, tanda geram.
“Itu macam ayat orang cemburu aje!”
“Hello! Apa kes aku nak cemburu dengan kau! Buang masa tau tak? Yang aku nak, kau lepaskan tangan aku sekarang.” Iman jegilkan matanya kepada Ajad. Geramnya bertambah-tambah!
“Kau ni makin marah makin sweet erk! Ini yang buat aku geram dengan kau ni!” Ajad lempar senyuman. Sebuah senyuman yang amat menawan, bersama lirikan mata yang penuh menggoda.
Gulp! Iman telan liur yang tiba-tiba saja terasa laju macam air paip. ‘Mamat mata sepet! Kenapa kau senyum macam tu? Kau tahu tak, senyuman kau tu boleh buat hati aku lumpuh! Arrgghhh...’ Hati Iman menjerit kuat. Mata memang tak boleh nak alih langsung daripada merenung senyuman Ajad. Saat itu juga, jantung Iman sudah berdangdut hebat.
“Iman, will you marry me?” Mata Ajad masih merenung lembut ke dalam anak mata Iman. Kali ini kedua belah tangan Iman digenggam erat.
Iman terkedu. Kenapa nada suara Ajad itu macam ikhlas sangat bunyinya? Kenapa hati Iman tiba-tiba saja berdebar-debar? Kenapa Iman rasa macam nak menangis bila dengar Ajad melamar dia macam tu? Iman, kau sukakan mamat mata sepet ini ke?
“Aa... aku...” Iman tergagap-gagap. Matanya mula mencari anak mata Ajad. Mahu mencari keikhlasan daripada sepasang mata sepet milik Ajad.
Iman nampak Ajad tahan senyum. Seketika kemudian tawa Ajad sudah bergema kuat. Bersungguh Ajad ketawa sehinggakan Iman terpinga-pinga.
“Kenapa kau gelak?” Kening Iman mula bertangkup. Pelik melihat Ajad tiba-tiba saja ketawa macam godzilla. Tadi bukan main lagi romantiknya. Tangan yang masih berada di dalam genggaman Ajad ditarik kasar. Terasa diri dipermainankan.
“Kau suka aku, kan?” Sekali lagi Ajad memuntahkan soalan separuh maut kepada Iman. Seyuman sinis terukir di bibir Ajad. Matanya pula tidak lepas-lepas dari merenung wajah comel Iman.
Kali ini Iman tidak mampu lagi untuk mengawal rasa di hati.
“Kau dengar sini! Mulai dari hari ini, tolong jangan ganggu hidup aku lagi. Aku tahu, aku ni cuma orang kampung. Tapi tak bermakna kau boleh permainkan perasaan aku! Perbodoh-bodohkan aku! Untuk pengetahuan kau, aku memang tak pernah berangan nak kahwin dengan kau! So, please stop it! Hentikan gurauan bodoh kau ni, sebelum ada banyak hati yang terluka.”
Tiba-tiba saja Iman diserang perasaan hiba. Mata mula berkaca-kaca. Kata-kata Tengku Faridah tadi kembali terngiang di cuping telinga. Pesanan Mak Su Normah juga, datang bertamu tanpa diundang.
“Iman... aku,”
“Cukup, Ajad! Aku bencikan kau!” Air mata mula jatuh setitis demi setitis di pipi Iman. Sakit hati yang amat dengan sikap dan perangai Ajad. Kenapalah air mata mahal Iman menjadi begitu murah di hadapan Ajad? Kenapa dia mesti bazirkan air matanya untuk lelaki yang tidak berperasaan itu?
Sorry...” Ajad cuba menggapai tangan Iman, tapi cepat saja Iman menepis. Riak bersalah jelas tergambar pada wajah Ajad. Niat Ajad hanyalah untuk bergurau. Tidak sangka pula gurauan dia tadi telah menguris hati batu Iman. Ajad benar-benar diserang perasaan bersalah.
Baby... Tiba-tiba Tengku Anis muncul di antara mereka. Terus memeluk tubuh Ajad dengan erat. Jelingan maut diberikan kepada Iman.
Laju Iman kesat air mata yang masih bersisa di pipinya. Saat dia mahu melangkah pergi, sekali lagi tangannya disambar laju oleh Ajad. Terus langkah Iman mati.
“Lepaskan tangan aku!” Bentak Iman kasar. Mata Ajad direnung tajam. Dada mula berombak kencang. Sakit hati! Bertambah-tambah sakit hatinya melihat pacat betina yang melekat rapat pada tubuh Ajad itu.
Renungan tajam Iman padanya, Ajad balas dengan pandangan redup. Dia tahu hati Iman sakit saat itu. Perasaan bersalah sarat di hatinya kini. Kalaulah dia boleh peluk Iman.. sudah pasti tubuh kecil Iman sudah selamat berada di dalam dakapannya sekarang.
“Lepaskan!” Kali ini suara Iman makin meninggi.
Baby?” Kening Tengku Anis bertangkup. Tidak faham apa yang telah terjadi di antara Ajad dan Iman.
Dalam terpaksa Ajad lepaskan juga tangan Iman. Dan tanpa menoleh lagi kepada Ajad, Iman terus berlalu dari situ. Sakit hati! Itu yang Iman rasa saat ini.

“MAK SU, boleh Iman masuk?” Tubuh disandarkan pada pintu bilik mak sunya yang terkuak luas. Mak Su Normah yang sedang ralit melipat kain di lantai itu, menoleh laju. Kemudian, dia menyambung kerjanya semula.
“Hai, selama ini tak ada pula nak minta izin. Kenapa malam ni jadi baik sangat ni?” Perli Mak Su Normah sambil mata masih tertumpu penuh pada kain yang sedang dilipat.
Diam!
Mak Su Normah panggung kepala. Muka Iman kembali dicari. Ada riak mendung pada wajah comel Iman. Dahinya mula berlipat rapat. Tak pernah pula dia tengok muka Iman mendung macam ni! Ada yang tidak kena ke? Hati Mak Su Normah mula berasa gusar.
“Kamu ni kenapa, Iman? Mari sini! Duduk dekat mak su,” panggil Mak Su Normah lembut. Timbunan kain yang berlonggok di atas lantai bilik itu ditolak ke tepi.
Iman datang mendekat. Duduk bersimpuh di hadapan Maksu Normah. Tangan mula bermain jari sendiri. Wajahnya tunduk menekur lantai. ‘Macam mana aku nak cakap ni?’ Iman cuba untuk bertenang.
“Apa dah jadi ni? Cuba cerita dengan mak su! Jangan buat mak su risau.” Lembut Mak Su Normah bertanya. Terserlah sifat keibuan yang ada di dalam dirinya.
“Mak su... Iman nak balik kampung, boleh? Iman nak berhenti kerja. Nak balik tinggal dengan wan dekat kampung.” Tangan mak Su Normah dicapai, lalu digenggam dengan erat. Berharap sangat Mak Su Normah mengerti perasaannya, sekarang.
Mak Su Normah sedikit terkejut. Lama juga dia terdiam, seakan sedang memikirkan sesuatu. Wajah Iman direnung dalam-dalam. Ada rasa kasihan yang terbit dari lubuk hatinya yang dalam.
“Kenapa Iman nak berhenti kerja? Tak seronok kerja dekat sini? Hmm... Sampai bila nak tolong wan dekat kebun tu?” Lembut, Mak Su Normah bertanya. Senyuman nipis telah terukir di bibirnya untuk melegakan ketegangan yang ada.
“Iman, mmm... Iman, rindukan wan. Iman kesiankan wan duduk sorang-sorang dekat kampung tu.”
Iman serba salah. ‘Logik ke alasan ni? Takkan aku nak cakap dekat mak su aku nak berhenti kerja sebab mamat mata sepet tu! Tapi, betullah sebab dia. Hmm... memang aku tak boleh dekat lagi dengan mamat tu. Hati aku ni, Ishh.. macam tersuka dah dekat dia!’
“Hmm, Iman! Mak su tak setuju Iman berhenti kerja. Tempat Iman memang dekat sini. Iman tak boleh ke mana-mana.” Yakin Mak Su Normah bertutur. Pandangan matanya menikam tepat pada wajah Iman. Walau apa pun yang akan terjadi, dia tidak akan berganjak dari keputusannya.
“Apa maksud mak su?” Iman nampak bingung. Bukan nampak bingung, tapi memang dia betul-betul bingung. Apa maksud Mak Su Normah sebenarnya? Kenapa dia kena terus tinggal di sini? Macam pelik pula melihat reaksi Mak Su Normah terhadapan permintaannya itu.
“Mak su... Mmm... Mak su nak Iman kerja dengan Tengku Faridah. Mak su cuma kesiankan dia.” Macam tak berapa nak logik saja alasan Mak Su Normah itu, dipendengaran Iman. Sereta-merta muka Iman naik berkerut.
Mak Su Normah bangun. Berjalan perlahan menuju ke arah almari kecil. Perlahan tangannya menarik kotak laci, menggagar liar ke dalam laci almari itu. Iman perhatikan segala tingkah Mak Su Normah, dengan penuh minat.
“Nah! Ini hak Iman. Dah lama mak su simpan.” Sebuah kotak kecil berwarna hitam dihulurkan saat dia duduk betul-betul mengadap Iman.
“Apa ni mak su?” Iman teragak-agak mahu mengambil kotak yang dihulurkan oleh Mak Su Normah.
“Ambillah! Buka dan tengok sendiri.” Mak Su Normah meletakkan kotak kecil itu ke telapak tangan Iman. Sebuah senyuman nipis terukir di wajah keruhnya.
Dengan rasa berdebar-debar, Iman membuka kotak itu. Saat kotak kecil itu dibuka, mata Iman terus bulat. Diam tidak terkata! Muka Mak Su Normah dicari laju. Mata merenung dalam pada wajah itu, meminta penjelasan.
“Rantai itu milik ibu kandung Iman. Dah lama sangat mak su simpan. Sekarang, mak su rasa tiba masanya mak su kembalikan kepada Iman.” Terang Mak Su Normah, tenang.
“Ibu?” Bergetar suara Iman. Hatinya tiba-tiba terasa sebak.
Rantai emas yang cantik berkilau itu dikeluarkan dari kotak. Loket berbentuk hati yang terukir nama itu ditilik lama. Jelas terukir huruf ‘TS’ di situ. Mata Iman mula berkaca. Rantai itu digenggam kemas, lambat-lambat dibawa ke dada. Ada rasa yang bermukin di jiwa.
Tumpah jua air mata yang selama ini cuba disorok kemas. Jatuh setitik demi setitik menimpa pipi mulusnya. Dari perlahan menjadi lebat, sehingga Iman tersedu-sedu di situ. Rindunya Ya Allah, hanya DIA yang tahu. Betapa selama ini... Selama hampir dua puluh tiga tahun Iman merindui seseorang yang dia tidak pernah tahu kewujudannya di mana.
Hati Mak Su Normah tersentuh melihat keadaan Iman begitu. Saat ini dia tahu apa yang dirasai oleh Iman. Pasti jiwa anak itu tersiksa teruk. Kasihan Iman!
“Mana ibu kandung Iman mak su?” tanya Iman dengan sendu yang masih hebat.
Mak Su Normah membisu. Apa yang harus dia bagitahu pada Iman saat itu? Mampukah untuk Iman terima semuanya? Sudahnya, Mak Su Normah memilih untuk berdiam diri. Hanya Air mata yang lebat di pipinya, selari dengan air mata yang melaju di pipi Iman.
“Cukuplah Iman tahu, tempat Iman memang dekat sini. Tolonglah percaya cakap mak su. Selebihnya, jangan tanya mak su apa-apa lagi!” ucap Mak Su Normah dalam sendu.
Semakin kuat tangisan Iman.

PINTU bilik dikuak perlahan. Tiba-tiba saja tekak Iman terasa haus. Selagi dia tidak basahkan tekaknya dengan air sejuk, selagi itulah dia susah untuk lena. Saat daun pintu dikuak luas,
“Makkkk!!!”
 Hampir tergolek Iman dek terkejut. Terus dia melekat kejap di pintu bilik. Macam katak pisang melekat di dinding. Mana tak terkejut! Buka saja pintu, mamat mata sepet sudah tersandar elok di dinding biliknya sambil berpeluk tubuh. Sejak bila mamat tu jadi jaga tidak berbayar dekat situ, Iman tidak tahu.
“Ya Allah! Apa kau buat dekat tepi bilik aku ni? Nasib baik jantung aku ni sihat lagi!” Iman urut dada. Bibir diketap kuat. Geram pula dia tengok muka Ajad yang nampak selamba saja. Dia, jangan ceritalah! Rasa macam hendak tegolek-golek dekat situ. Pukul 2.00 pagi kut!
Ajad masih diam. Mukanya juga nampak tenang. Langsung tidak terkesan dengan bentakan Iman tadi. Mata Ajad masih setia menyorot muka Iman. Rasanya sudah dekat setengah jam kut dia bersandar dekat situ. Tak sangka pula Iman boleh terjojol depan pintu.
Ajad tak boleh tidur. Kepala otaknya asyik teringatkan Iman saja. Selagi dia tidak berdepan dengan Iman, hatinya memang tidak tenang. Sejak peristiwa dekat dapur pagi tadi, Iman mengelak dari bertembung dengannya. Dia tahu Iman berkecil hati.
Senyap!
Baik Iman mahupun Ajad, membisu. Mata masing-masing bersatu. Iman rasa jantungnya bergetar hebat. Kenapa redup mata Ajad selalu saja bikin hatinya menjadi nanar? Tak boleh jadi, ni! Kalau lama lagi macam ni, memang jantung dia boleh gugur dengan sendiri.
 Iman ayun langkah melepasi Ajad. Tapi belumpun masuk tiga langkah, kakinya kaku. Tangannya yang sudah digenggam erat oleh Ajad itu, menyebabkan lagkahnya terus mati. Laju saja dia pusingkan tubuh mengadap Ajad.
“Kau nak apa ni? Lepaskan tangan aku!” Bentak Iman kasar. Mata Ajad direnung tajam. Tidak berkelip-kelip. Bibir diketap lagi. Suka-suka hati aje pegang tangan anak dara orang!
Ajad masih sama. Wajahnya tetap tenang tanpa segaris senyuman. Tangannya masih menggenggam erat tangan Iman. Mata pula tidak lepas-lepas daripada merenung wajah Iman. Dia tahu Iman marah. Dia boleh nampak nafas Iman turun naik dengan laju.
“Iman, aku minta maaf fasal siang tadi.” Mata Ajad pandang tepat ke dalam anak mata Iman.
“Okey! Lepaskan tangan aku. Tak ada permit jangan suka-suki aje nak sentuh atau pegang-pegang!” Iman tarik tangannya kuat dari genggaman Ajad. Tapi sayang, Ajad genggam lagi kuat. Sampai Iman rasa sakit.
“Kenapa kau suka sangat tolok aku?” Suara Ajad sudah tegang. Geram pula rasanya dengan Iman. Dia cakap baik-baik kut, tadi!
Iman menghela nafas panjang. Jelas sangat dipendengaran Ajad. Muka Iman juga nampak kelat bukan main lagi. Kalah buah rambutan putik.
“Baiklah... Aku cakap baik-baik. Lupa pula! Kau mana nak faham bahasa, kan? Sekarang boleh tak lepaskan tangan aku dulu. Lepas tu, kita baru kita bincang.” Lembut suara Iman. Senyuman manis terlebih gula Iman pamerkan kepada Ajad.
“Hah, macam itulah! Cakap baik-baik macam ni kan sejuk hati aku.” Ajad lepaskan tangan Iman. Senyuman senget sudah tersunggil di bibirnya. Mata menyorot pada Iman tidak lepas-lepas. Ini yang Ajad suka tentang Iman. Selalu jual mahal. Kata orang, makin mahal... makin bernilai. ‘I like it!’ Desis hati Ajad.
Iman julingkan matanya ke atas. Menyampah! Tuala yang menutupi kepalanya dibetulkan. Dia memang sengaja pakai tuala siap-saip. Takut kalau-kalau nanti terserempak dengan Ajad macam malam sebelumnya. Memang betul pun. Sedar-sedar mamat mata sepet ni, sudah terpacak dekat luar bilik dia, macam tiang lampu.
“Kau nak apa ni? Pukul dua pagi kut?” Iman peluk tubuh. Badan masih berdiri tegap mengadap Ajad. Muka bosan dia pamerkan. Apa sajalah mamat mata sepet ni nak! Orang dahaga tau tak?
“Emm, aku tak boleh nak tidur.”
“So, apa masalahnya sampai jadi jaga dekat depan bilik aku, ni?” Iman kerut dahi.
“Kau marahkan aku pasal siang tadi ke?” duga Ajad. Tubuhnya masih disandar kemas pada dinding luar bilik Iman. Kedua belah tangannya menyeluk poket seluar tidur. Penuh gaya! Semakin lama, Iman rasa gegaran pada jantungnya semakin kuat.
“Ehmm... marah? Marah pasal apa?” Iman buat-buat tanya. Mana boleh dia lupa. Sakit hatinya masih bersisa pada Ajad. Suka hati saja mainkan perasaan orang.   
“Aku dengan Tengku Anis tu tak ada apa-apa. Kita orang memang rapat. Lagipun, aku anggap dia macam adik aje.” Terang Ajad. Harap-harap Iman mahulah percaya.
“Adik? Oo... panggil Baby, berpeluk bagai, tu adik?” Iman cebir bibir. Mata dijulingkan lagi ke atas. Meluat.  Aik! Kenapa bunyi macam orang cemburu saja ni Iman?
Tiba-tiba saja Ajad ketawa. Ketawa yang Iman rasa macam melodi lagu. Indah sangat ditelinga Iman. Bergetar-getar rasa jantungnya. Kenapalah Ajad nampak kacak sangat bila dia ketawa macam tu?
“Kau cemburu?” Ajad bertanya setelah tawanya reda. Bibirnya terkemam-kemam menahan senyum. Rasa seronok pula bila tengok riak cemburu yang terbias di wajah Iman.
“Aku? Cemburu? Tak ada maknanyalah!” Muka Iman terasa panas. ‘Aku cemburu ke? Takkanlah kut! Tapi sakit dekat hati tu memang ada..’ Hati berbisik sendiri.
“Iman, pasal aku melamar kau tu, aku tak main-main. Aku memang nak kahwin dengan kau!” Ajad tenang. Rambut hadapannya yang jatuh sedikit ke dahi dikuak ke belakang.
Iman tergamam. Terkebil-kebil matanya menyorot muka Ajad. Anak mata Ajad dicari juga. Jangan-jangan Ajad mahu mainkan perasaan dia sekali lagi. Tapi, saat matanya bertemu tepat dengan anak mata Ajad, dada terasa macam dipalu. Rasa macam hendak pecah. Sorotan mata Ajad itu, betul-betul menampakkan keikhlasan.
Lama juga Iman terdiam. Kata-kata Ajad itu cuba dihadam sunguh-sungguh. ‘Ish, Iman! Mana boleh. Kau dengan Ajad tu, macam langit dengan bumi. Tak ingat ke apa yang mak engku cakap siang tadi? Jangan cari pasal!’ Hati Iman sudah berdebat sendiri.
“Tak payah nak mengarut! Aku tak naklah kahwin dengan kau. Cermin dekat bilik aku ni dah cukup besar dah! Hari-hari aku tilik diri aku. Kita memang tak sepadan. Lagipun, dah banyak kali aku cakap, aku sudah ada kekasih hati.” Jawap Iman yakin.
 Senyuman senget dia berikan kepada Ajad. Tapi, entah kenapa Iman rasa mulutnya berkata tidak selari dengan kata hatinya. Kenapa hati Iman rasa berbunga-bunga saja bila Ajad cakap dia serius dengan lamaran tadi?
Ajad tersenyum lebar. Kata-kata Iman tadi seolah langsung tidak singgah ditelinganya. Sedikitpun tidak berkesan di hatinya. Kaki menapak perlahan merapati Iman. Berdiri betul-betul dihadapan Iman. Sampaikan dada Iman terasa sesak. Jelas wangian tubuh Ajad menjamah rongga hidung Iman. Bergetar terus jantung Iman. Senyuman manis bermadu yang Ajad hadiahkan buat Iman benar-benar panasaran.
Iman sudah berpeluh-peluh. Liur diteguk tidak kering-kering. Kenapa lain macam sangat mamat mata sepet ni? Jantung Iman rasa macam hendak luruh dah. Matanya terus pandang Ajad. Tidak berkelip. Dia nak buat apa ni?
“Aku tak tanya persetujuan kau. Aku tak kira sama ada kau rasa aku ni sepadan ataupun tidak dengan kau. Apa yang aku tahu, walau apapun yang berlaku. Kau tolak aku sampai tertonggeng pun, aku tetap nak kahwin dengan kau. You are mine! Always be mine, baby...” Ajad bisik lembut di telinga Iman.
Dub!
Iman rasa jantungnya sudah jatuh tergolek. Terus tubuh menjadi kejang. Tidak bergerak-gerak lagi. Sesaat, dua saat... Iman masih kaku. Ajad tepuk pipi Iman sekali, sebelum dia kenyitkan matanya kepada Iman dan terus berlalu dari situ.
Iman tersentak. ‘Adeh! Iman... apa dah jadi dengan kau ni? Takkan tersuka dah kut?’ Dahi Iman berkerut-kerut. Tangan naik pegang dada sendiri. Hilang terus rasa dahaganya tadi.

No comments:

Post a Comment