IMAN berpeluk
tubuh di bawah pokok rambutan besar, di hadapan rumah Penghulu Zahid. Matanya
tidak sudah-sudah merenung Asyraf yang sedang berdiri di hadapannya. Lelaki itu
hanya membisu semenjak tadi. Nasib baiklah dia sudi berjumpa dengan Iman. Kalau
tidak... Iman memang sudah nekad mahu buat kecoh tadi. Pandangan pelik Penghulu
Zahid tadi pun, Iman langsung tidak peduli. Yang penting, dia dapat bertemu
muka dengan Asyraf. Perhitungan mesti dilakukan!
“Psssttt...
Iman!”
Panggil Akma yang sedang berdiri beberapa
meter dari Iman dan Asyraf, sambil menggaru pipi dan lengan. Mungkin gatal
akibat diselar nyamuk sesat.
“Apa?”
“Cepatlah!
Sampai bila nak diam ni. Nyamuklah! Tadi kata sekejap aje. Nanti mak aku
bising. Pergi kedai apa sampai berjam!” Akma masih tergaru-garu. Kalau tidak
fikirkan Iman itu kawan baik merangkap sepupu kesayangan dia, mati hidup balik
pun dia tidak akan datang.
Iman
hela nafas. Wajah Asyraf yang hanya tunduk menekur tanah semenjak tadi, dia
renung tajam. Sakit hati!
“Abang
Asyraf tak ada nak cakap apa-apa dengan Iman ke? Tak rindukan Iman? Dah tak
sudi nak pandang muka Iman?” tebak Iman bertubi-tubi. Kalau ikutkan hatinya
yang tengah marah, memang dia rasa nak tumbuk saja muka Asyraf tu. Macam tak
ada perasaan langsung!
Asyraf
panggung kepala. Saat ini, muka Iman direnung sejenak.
“Maafkan
abang.” Hanya itu saja perkataan yang keluar dari mulut Asyraf. Kemudian dia
diam lagi.
“Itu
saja?” keras suara Iman.
“Habis
tu, Iman nak macam mana. Abang yakin, Iman datang sini sebab Iman dah tahu apa
yang terjadi. Abang rasa, dah tak ada apa yang abang nak katakan lagi.” Asyraf
tersenyum sinis.
Berdesing
rasanya telinga Iman. Mata yang mula mahu berkaca itu, dia tahan sekuat
mungkin. Tolonglah, hati. Kuatlah demi aku! Tidak sudah Iman memujuk hati
sendiri.
“Senangnya,
abang. Apa pun, tahniah! Iman cuma nak tahu, kenapa? Mana janji kita? Janji
abang?” Iman tersenyum kelat. Dia harus nampak kuat di hadapan Asyraf.
“Janji?”
Asyraf tertawa kecil. Kedua belah tangannya naik menyelak rambut.
Hati
Iman mendidih dengan tiba-tiba. Apa yang lawaknya?
“Iman.
Kisah kita, kisah cinta monyet! Abang memang dah tak ada hati dengan Iman.
Tengoklah diri Iman. Sepadan ke, kita?” Sinis Asyraf sambil menyorot Iman, atas
dan bawah. Dia mencebik kemudiannya, sambil berpeluk tubuh.
“Ooo...
Jadi, abang nak cakap yang sekarang ni, kita dah tak layak nak berdiri sama
tinggi, nak duduk sama rendahlah, ya? Abang rasa abang dah tinggi sangat ke?”
bidas Iman. Sungguh-sungguh dia tidak menyangka, lelaki yang sedang berdiri
dihadapannya kini, sanggup mengeluarkan kata-kata yang sedemikian rupa. Selama
ini, Asyraf lelaki yang baik budi pekertinya. Betullah kata orang. Sedangkan
pantai berubah, inikan pula hati manusia.
“Lebih
kurang macam tulah!” Asyraf palingkan mukanya ke arah lain.
“Okey!
Kalau abang dah cakap macam tu, Iman pun bukanlah nak terhegeh-hegeh sangat!
Tahniah sekali lagi untuk pertunagan abang. Semoga bahagia sampai hujung
nyawa.” Iman tersenyum sinis.
“Terima
kasih.”
“Sama-sama.
Tapi sebelum tu...” kata-kata Iman mati di situ. Liur diteguk berkali-kali.
“Sebelum
tu, apa?” Asyraf kerut dahi.
Pangggg!!
Penampar
Iman sudah hinggap di pipi Asyraf tanpa disangka-sangka. Terpinga-pinga dia
seketika. Akma melopong. Langsung tidak meyangka, Iman akan buat macam tu.
“Kau
gila ke?” tengking Asyraf sambil menjamah pipinya yang terasa perit.
“Kau
memang layak dapat tu!” Iman jegilkan matanya.
“Dah,
Akma. Jom kita balik! Urusan aku dengan lelaki tiga suku ni dah selesai.”
Tangan Akma ditarik laju oleh Iman. Langkahnya dibuka luas-luas. Kalau boleh
dia mahu cepat-cepat pergi dari situ. Bimbang kalau-kalau air matanya jatuh.
MAK SU NORMAH
ralit
mencuci pinggan di sinki. Usai makan malam sebentar tadi, dia menyibukkan diri
di dapur. Sengaja dia biarkan Wan Bedah dengan Ajad berbual-bual di ruang
tengah rumah. Sebetulnya fikiran dia tengah serabut saat ini.
Iman
berdiri betul-betul di sebelah Mak Su Normah. Dari tadi dia perhatikan mak sunya
itu. Boleh pula Mak Su Normah buat tidak nampak saja dia dekat situ. Dari
petang tadi lagi, emak saudaranya itu buat muka dengan dia. Apa yang tidak
kena, Iman sendiri tidak tahu. Rasanya, sebelum dia balik ke kampung dua hari
lepas, elok saja. Tiba-tiba hari ni muncul dengan muka kelat!
“Mak
su, kenapa ajak mamat mata sepet tu datang sini?”
Senyap.
Mak
Su Normah masih ralit menyental buih sabun pada pinggan. Soalan Iman tadi
seolah langsung tidak singgah di telinganya. Malah, kewujudan Iman di situ
langsung tidak dipedulikan.
Iman
ketap bibir. Kepala digaru tak bersebab. Apa kena pulak dengan orang tua ni?
“Mak
su! Dengar tak Iman tanya ni? Apa kena dengan mak su ni. Tak ada angin, tak ada
ribut... tiba-tiba aje taufan membadai?” Iman tarik tangan mak sunya. Terhenti
terus kerja Mak Su Normah.
Lama
mata mereka bertembung. Merenung dalam di antara satu sama lain.. Riak wajah
Mak Su Normah masih keruh tanpa segaris senyuman.
“Kamu
pergi mana tadi?” soalan Iman brsambut dengan soalan juga.
“Kedai!
Temankan Akma beli barang.” Jawap Iman acuh tak acuh.
Mak
Su Normah diam lagi.
“Mak
su tak jawap lagi soalan Iman. Kenapa mak su ajak si Ajad tu datang sini?”
“Mak
su yang patut tanya kamu. Apa yang kamu dah jampi pada Encik Ajad tu? Kenapa
dia bersungguh sangat nak kahwin dengan kamu?” Suara Mak Su Normah, tegang.
“Mana
ada jampi apa-apa! Orang tak buatlah kerja bodoh tu, mak su. Apa mak su ni,
main tuduh-tuduh macam tu. Jahil-jahil orang pun, masih tahu lagi nak beza dosa
dengan pahala. Lagipun dekat hati orang ni, ada Abang Asyraf aje! Tapi, dia pun
dah bertunang dengan orang lain. Sedih tak habis lagi, tiba-tiba mak su dah tuduh
orang macam tu. Kecik hati Iman!”
“Habis
tu, kenapa dia nak sangat kahwin dengan kamu? Ini, balik ke sini pun... sebab
dia yang paksa mak su. Dia nak jumpa sendiri dengan wan. Malam tadi, Encik Ajad
bergaduh besar dengan Mak Engku. Itupun, sebab kamu!” Turun naik nafas Mak Su
Normah.
Kalau
dia tahu nak jadi macam ni, sumpah dia tak bawa Iman ke sana. Lain yang dia
rancang lain pula yang jadi.
Iman
terkedu. Nada suara Mak Su Normah sudah jelas menggambarkan kemarahannya. Tapi,
bukan salah dia! Kenapa Mak Su Normah nak naik angin dengan dia?
“Mak
su, bukan salah Iman! Iman tak pernah goda Ajad. Lagipun Ajad dah ada kekasih, kan?
Pacat betina tu makwe dia, kan? Tak ada sebabnya dia nak kahwin dengan Iman,” kendur
saja nada suara Iman. Tiba-tiba saja dia rasa sebak. Kenapa dia pula yang kena?
Rasanya dia tidak pernah kacau mamat mata sepet tu.
“Hmm,
kalau mak su tahu jadi macam ni... mak su tak ajak kamu ke sana. Sekarang bila
dah jadi macam ni, menyusahkan mak su saja!” Mak Su Normah masih tidak berpuas
hati. Sabun pinggan yang penuh ditangan tadi hampir kering. Mata tidak lepas
daripada merenung Iman. Sesak rasa fikirannya.
Iman
telan liur. Hati terusik hebat dengan kata-kata Mak Su Normah tadi. Okey, dia
memang selalu menyusahkan semua orang.
“Iman
tahu mak su. Dari kecik sampai sekarang, Iman selalu susahkan mak su dengan
wan. Iman memang tak guna! Iman selalu susahkan orang lain...” Bergetar suara
Iman. Menonong saja dia berjalan meninggalkan Mak Su Normah yang nampak terjeda
dengan kata-katanya itu.
“Iman.
Tunggu! Mak su tak bermaksud macam tu.” Laung Mak Su Normah. Tapi sayang! Iman
sudah menonong ke depan. Langsung tidak menoleh lagi. Kecil hati gamaknya
dengan Mak Su Normah.
Mak
Su Normah hela nafas panjang. Dia tidak berniat langsung mahu kecilkan hati
Iman. Dia cuma takut. Takut Iman disakiti nanti.
‘Iman.
Mak su tak ada niat nak cakap macam tu. Mak su cuma takut! Mak su tak nak Iman
disakiti nanti. Tengku Faridah bukan sebarangan orang, Iman. Dia sanggup buat
apa saja, asalkan kemahuanya tertunai. Mak su tak nak sejarah lama berulang!’
Hanya hati Mak Su Normah saja yang berbicara tika itu.
Dia
tahu Iman berkecil hati. Tapi, perasaan takut yang sedang bermukim di hatinya
kini menguasai diri. Dia tidak rela kalau Iman disakiti. Perlukah dia
berterus-terang dengan Iman? Kalau itu yang dia buat, apa yang akan terjadi
nanti agaknya?
Sekali
lagi Mak Su Normah hela nafas. Panjang. Pinggan yang masih penuh di dalam sinki
direnung tanpa perasaan. Apa yang ada dalam kepalanya sekarang cumalah, Iman.
SUARA
cengkerik terasa begitu dekat di cuping telinga. Angin malam bertiup lembut,
dingin menyapa tubuhnya. Tapi, Iman masih tetap setia di situ. Duduk bergayut
kaki di pondok kayu, sambil melayan rasa luka di hati.
Mata
memandang terus pada dada langit yang terang disimbahi cahaya bulan. Bintang
juga nampak bertaburan indah di dada langit. Walaupun suasana begitu damai dan
tenang, tapi langsung tidak dapat menenangkan hatinya kala ini.
Sudahlah
rasa kecewa dengan sikap Asyraf tadi masih belum reda. Sekarang, mak sunya pula
menambah luka. Siapa kata Iman tidak kecewa dengan Asyraf? Tadi tu, dia
buat-buat kuat saja. Hakikatnya, hati dia hancur. Kalau Asyraf ada dekat depan
dia sekarang ni, memang dia nak bagi penumbuk pulak! Mana cukup dengan penampar saja.
Hati
Iman sakit sangat! Tapi, rasa sakit itu cuma terbekam jauh di lubuk hati.
Langsung tidak terzahir dengan air mata. Sakit macam mana pun hatinya, air mata
tetap mahal untuk lelaki bernama Asyraf. Betulkah dia sayangkan Asyraf?
Kenapalah lelaki sebaik Asyraf sanggup buat dia macam ni?
Iman
tak marah kalau Asyraf berterus-terang. Dia boleh anggap jodoh mereka memang
tak ada. Tapi, yang buat Iman rasa marah dan terluka adalah sikap diam Asyraf
selama ini. Okey! Salah dia juga. Sebab dia percaya sangat pada kata hati.
Percaya sangat pada pegangan kolotnya.
Konon-kononnya,
cinta sejati itu tidak perlu saling bertemu dan berbual. Cukuplah saling
percaya-mempercayai. Sekarang, apa dah jadi? Asyraf di sana tengah bahagia.
Sedangkan dia, makan hati!
Iman
pegang dada sendiri. Lama tangan dia melekat dekat situ. Rasa sakitnya hanya Allah
saja yang tahu. Dia mahu menangis. Mahu luahkan segala rasa sakitnya dengan air
mata. Tapi kenapa air matanya tidak mahu keluar? Keras sangat ke hati dia?
Tidak
cukup dengan kisah Asyraf, ditambah pula dengan kisah mamat mata sepet tu. Itu
pun satu hal! Kenapalah si Ajad tu tak habis-habis mahu menyusahkan hidupnya.
Sebab Ajad seorang, semua orang dah buat dia macam musuh. Mula-mula, Tengku
Faridah. Kemudian, Tengku Anis. Sekarang, Mak Su Normah! Susah sangat ke untuk
Ajad faham? Mereka memang tak setaraf! Nama Ajad ada gelaran ‘Tengku’ di
hadapan. Manakala dia pula, tidak ada! Dekat situ pun, sudah cukup jelas
bezanya.
Iman
mengeluh kecil. Tangan mengibas nyamuk yang berbunyi nyaring di cuping telinga.
“Kurang
asam punya nyamuk! Tak tahu ke orang tengah sedih ni? Tengah makan hati! Kau
tahu nak hisap darah saja kan!” bentak Iman, geram. Sekarang dengan nyamuk pun
dia nak ajak bergaduh.
“Oiit!
Buat apa?”
“Makkkk....”
hampir terjatuh Iman dari pondok.
“Ya
Allah, kau ni. Tak reti nak bagi salam ke? Main hoii... hoii... aje! Kalau aku
semput dekat sini tadi, apa kau nak buat?” Marah Iman. Matanya mencerlung tajam
kepada Ajad. Walaupun dalam cahaya bulan yang samar-samar, dia masih boleh
nampak dengan jelas muka Ajad. Kacak!
“Aku
bagi CPR...” Ajad ketawa lepas.
“Apa?
Eee... Kau ni, kan!” Iman genggam penumbuk. Kenapalah mamat mata sepet ni suka
sangat kacau dia.
Tawa Ajad semakin galak. Iman kalau marah, memang comel sungguh!
“Kau
buat apa dekat sini?” bentak Iman.
“Nak
jumpa kaulah! Kau buat apa dalam gelap ni? Fikirkan aku?” Ajad jongket kening.
Dia sudah berdiri di hadapan Iman.
“Eh,
kau nak buat apa datang dekat aku ni?” Iman kalut. Bukan boleh percaya sangat dengan
mamat mata sepet ni. Perangai dia tu, sukar nak dijangka. Buatnya datang
perangai gila dia tu, naya Iman.
“Aku
nak duduk ajelah! Kau nampak muka aku ni ada macam muka perogol bersiri ke?
Kalau aku nak buat tak elok, dah lama aku buat!”
“Eleh!
Kau tu bukan betul sangat!” tebak Iman.
Ajad
tidak membalas apa-apa. Punggungnya dilabuhkan di sebelah Iman. Rapat. Sehingga
bahunya dengan bahu Iman bersentuhan.
Iman
telan liur. Jantungnya tiba-tiba saja bergetar hebat. Sesak rasa nafasnya.
Cepat-cepat Iman mengengsot. Menjarakkan sedikit kedudukannya dengan Ajad. Bau
haruman dari tubuh Ajad yang singgah ke rongga hidungnya itu cukup
mempersonakan. Bimbang pula kalau-kalau nanti dia lupa diri.
“Kenapa,
takut?” Ajad tergelak-gelak.
“Hish,
mahunya tak takut! Kau tu bukan baik sangat!” Bidas Iman. Terus terbayangkan
gambar-gambar perempuan seksi yang penuh bertampal di dinding bilik Ajad.
“Kau
buat apa malam-malam buta duduk termenung dekat sini. Macam orang putus cinta
aje?” tebak Ajad. Muka Iman yang nampak samar-samar tersuluh dengan cahaya
bulan itu, ditilik lama. Liur ditelan laju. Ada getar dalam hatinya setiap kali
terpandangankan gadis comel itu.
“Mana
kau tahu ni?” Muka Ajad ditentang.
“Eh,
betul ke? Aku agak aje tadi! Tapi...” Ajad garu dagu. Seolah-olah sedang
berfikir.
“Tapi,
apa?”
“Kau
tak nampak macam orang tengah kecewa pun.
Biasa saja aku tengok!” Ajad jongket kening.
“Habis
tu, kau nak aku buat apa? Meraung? Menangis guling-guling dekat tanah tu? Apa
aku dapat kalau aku buat macam tu?” Suara Iman tegang. Apa! Ingat semua orang
perempuan ni lemah ke, kalau putus cinta? Tak ada maknanya!
Iman
menjeling Ajad sekilas. Dalam cahaya samar-samar itu, Iman nampak Ajad
tersenyum lebar. Tidak semena-menanya jantung dia bergetar semula. Senyuman
Ajad tu... Fuh, susahlah nak cerita! Cepat-cepat Iman kalihkan pandangannya.
Masing-masing,
membisu.
Suara
burung tukang sudah mula kedengaran, membingitkan halwa telinga. Terus
tenggelam suara nyanyian merdu sang cengkerik sebentar tadi. Iman menarik nafas
dalam-dalam. Dari tadi lagi jantungnya tidak henti bergetar. Kuat betul aura
mamat mata sepet ni.
“Emm,
aku naik dululah.” Iman bangkit dari duduk.
“Tunggu!”
Ajad pegang tangan Iman. Terus langkah Iman mati.
Mata
bertemu mata. Sesaat, dua saat, masih sama. Lama mereka berpandangan begitu.
Debaran di dada masing-masing mula menggila. Kenapa dengan Iman malam ni? Boleh
pula dia kaku di hadapan Ajad.
“Kenapa
nak balik kampung tak cakap? Aku rindu...” bisik Ajad perlahan. Tangan Iman
masih tergenggam erat dalam tangannya.
Iman
nampak terkebil-kebil. Kelu terus lidahnya untuk menjawap. Lain benar nada
suara Ajad pada malam ni. Terasa begitu lembut dan mesra. Laju saja menyapa ke
jiwanya. Iman terpesona dengan sorotan mata Ajad yang lembut, menikam tepat ke
dalam anak matanya. Terasa seperti terus tembus ke hatinya.
“Err...
aa... akuu...” Tergagap-gagap Iman.
“Kau
tengah putus cinta, kan? Kecewa? Iman jom kahwin dengan aku. Aku tahu cara aku
lamar kau tak romantik macam lelaki-lalaki lain bila melamar perempuan. Tapi
niat aku memang ikhlas. Kalau kau kahwin dengan aku, aku janji! Aku akan
bahagiakan kau, sehingga hujung nyawa aku.”
Makin
terkebil-kebil Iman.
‘Mak
aii! Mamat ni main cakap lurus aje, kan? Tak ada konar-konar. Tapi, kenapa hati
aku tetap bergetar ni? Tak romantik. Tapi masuk terus dalam jiwa!’ Iman telan
liur berkali-kali. Renungan mata Ajad itu benar-benar membakar jiwanya.
“Aaa...
akuu...” Iman gagap lagi.
“Syyy...
Jangan cakap apa-apa. Aku memang dah nekad. Aku datang sini sebab nak melamar kau.
Aku dah bincang pun, dengan wan tadi.” Lembut suara Ajad menjamah telinga Iman.
Terkedu
lagi.
“Tapi...
Kenapa tiba-tiba saja?”
“Syyy...
Kan aku dah cakap tadi, jangan cakap atau tanya apa-apa..” halus suara Ajad
menjamah telingan Iman. Gulp! Iman telan liur.
Baru
saja tangan Ajad ingin menarik tubuh Iman rapat kepadanya, tiba-tiba...
“Ajad!
Iman!” Suara Wan Bedah sudah melengking tinggi. Betul-betul di belakang mereka.
Iman rasa macam hendak pitam saat itu juga.
Renungan maut Wan Bedah dan Mak Su Normah, benar-benar membunuh jantungnya.
No comments:
Post a Comment