MATA Iman
ralit perhatikan gerak-geri Kak Mona. Bukan main ligat lagi Kak Mona bekerja di
dapur. Gayanya sudah ala-ala chef
antarabangsa. Menguntum senyum di bibir Iman melihat itu semua.
“Kak
Mona! Buat-buat tak nampak aje, Iman dekat sini kan? Empat hari Iman tak ada,
Kak Mona tak rindukan Iman ke?” Saja Iman mahu memancing Kak Mona untuk
berbual. Padahal dia tahu sangat perangai Kak Mona. Kalau tengah bekerja,
memang dia tidak suka hendak bersembang.
“Ish,
mana boleh tak rindu. Sehari Iman tak ada, macam setahun Kak Mona rasa.
Lebih-lebih lagi, kapten macho Iman tu. Macam orang sasau! Itu yang sanggup
pergi kampung angkut Iman, bawa balik ke sini.” Kak Mona ketawa mengekek. Sudip
yang tergenggam erat di tangannya laju saja berlari di dalam kuali.
“Kapten,
macho? Siapa kapten macho tu, Kak Mona?” Iman tayang muka blur.
“Allah!
Buat-buat tak faham pulak. Siapa lagi
kalau bukan Encik Ajad kesayangan awak tu.” Perli Kak Mona. Dia sudah mengambil
tempat duduk di sebelah kanan Iman di kerusi meja makan. Muka Iman disorot
lama. Budak ni betul-betul tak tahu ke?
“Kapten?
Kapten apa, Kak Mona?” Usikan Kak Mona tadi bagai angin lalu saja di telinga
Iman. Perasaan ingin tahu lebih merajai hatinya kini.
“Lah!
Dia tak bagitahu ke?”
Iman
geleng kepala.
“Mmm,
dia...”
“Iman!”
Belum
pun sempat Kak Mona menjawap, satu suara garau sudah menegur Iman dari
belakang. Laju saja kepala Iman dan Kak Mona tertoleh ke situ. Ish, pantang
diseru! Asyik muncul aje! Pakai ilmu apalah agaknya Ajad ni?
Saat
mata Iman tertancap pada figura yang sedang berdiri di hadapannya kini, jantung
mula berdegup tidak senada. Nafasnya mula diatur tidak sekata. Mata pula, bulat
macam geliga. Ish, segaknya! Machonya! kacaknya...
Mata
Iman tidak lepas-lepas daripada merenung Ajad yang sedang berdiri tegap di hadapannya.
Lelaki itu nampak begitu segak dengan uniform pilot yang tersarung kemas di
tubuhnya. Jaket hitam hanya disangkut kemas di lengan kanannya. Manakala tangan
kirinya pula menyeluk saku seluar. Bergaya!
“Kenapa?”
Ajad jongket kening. Pelik tengok Iman pandang dia tidak berkelip dari tadi.
Siap dengan pakej mulut ternganga lagi tu. Comel, sangat!
Senyap.
“Iman...”
bisik Kak Mona perlahan di tepi telinga Iman. Melihat Iman masih juga diam,
bahu Iman ditepuk perlahan. Ish, parah budak ni!
“Hah?”
Iman terkebil-kebil. Saat itu juga tawa Ajad sudah meletus. Bergema kuat di
ruangan dapur, banglo mewah milik Tengku
Faridah itu.
“Kau
ni dah kenapa? Tak pernah tengok orang kacak?” Sindir Ajad. Ketawanya masih
lagi bersisa. Ces! Angkat bakul masuk
sendiri.
“Kacak?
Tak ada maknanya! Pak Dollah dekat luar tu lagi kacak daripada kau!” Iman cebir
bibir. Muka mula berona merah. Malu weh
bila kena tangkap kering macam tu. Hmmm... Tapi memang kacak pun!
Ajad
tersengeh lebar. Kata-kata Iman tadi, langsung tidak singgah di hatinya. Faham
sangat dengan ayat cover malu Iman
tu. Tengok pipi yang bertukar warna itu sudah cukup untuk membuatkan Ajad
faham.
Kerusi
di sebelah kiri Iman ditarik, lalu punggungnya dilabuhkan di situ. Jaket yang
tersangkut kemas di lengannya tadi diletakkan di atas meja makan. Mata menghala
terus pada muka Iman. Merenung Iman tidak berkelip.
Iman
mula resah. Duduk berdekatan dengan Ajad sejak akhir-akhir ini selalu saja
mengundang rasa debar yang menggila di hatinya. Jantung mulalah hendak memecut
laju. Gila! Aura apa yang ada pada mamat mata sepet ini pun, Iman tidak tahu.
Senyap.
Hatta
bunyi cicak seekor pun tidak kedengaran di telinga mereka. Baik Ajad mahupun
Iman, masing-masing membisu seribu kata. Kak Mona pula tergaru-garu kepala.
Rasa rimas pula dengan keadaan sekarang.
“Ehemm...
Encik Ajad nak makan?” tanya Kak Mona berbasi-basi, cuba memecahkan kebisuan
yang ada. Kalau sepuluh minit lagi macam ni, memang mati kutulah dia. Bukan
setakat kutu, tenuk pun boleh mati.
“Mmm...
tak, Kak Mona. Saya datang sini sebab nak berjumpa dengan Iman.” Ajad ukir
senyum.
“Oo...
Okey! Kak Mona ke depan dululah.” Belum pun
sempat Iman membuka mulut, Kak Mona sudah pun menonong, berjalan ke depan
meninggalkan mereka berdua di situ. Iman ketap bibir. Geram!
Lima
minit berlalu, keadaan masih lagi sepi. Iman sudah macam cacing kepanasan di
situ. Renungan Ajad yang jatuh tepat pada wajahnya dari tadi memang benar-benar
buat dia nanar. Kalau sepuluh minit lagi dia ada dekat situ, memang hati dia
boleh terlingkup.
“Eh!
Nak ke mana tu?” soal Ajad laju, saat Iman sudah berdiri untuk berlalu.
“Naik
atas, nak kejutkan mak engku. Ada masalah?” Iman jongket kening, tinggi. Anak
matanya berlaga tepat dengan anak mata Ajad. Dush! Terus dada rasa macam kena tumbuk. ‘Adoii.. kenapalah mata
dia ni memukau sangat? Kenapa serba-serbi tentang dia nampak indah saja hari
ni? Arrghhh... Iman! Jangan nak
menggatal.’
“Duduk
dulu. Aku ada benda nak cakap dengan kau ni.” Suruh Ajad. Mukanya nampak tenang
saja. Argh! Ajad memang selalu tenang. Yang gelabahnya, Iman.
“Tak
naklah! Nanti mak engku marahkan aku, sebab tak kejutkan dia.” Iman berdalih.
Padahal dia memang tidak mahu duduk berduaan dengan Ajad dekat situ.
“Dia
dah bangun, dah! Kau nak duduk sendiri atau aku yang akan dudukkan kau?” Ajad main
senjata ugutan. Kenal sangat dengan perangai keras kepala Iman tu. Kalau tidak
diugut, memang tak jalan.
Walaupun baru saja kenal dengan Iman, entah
mengapa dia rasa seolah-olah telah lama mengenali gadis comel itu. Segala
tingkah dan perangai Iman sudah dapat dibaca dengan jelas olehnya.
“Err...
akuu...” Iman masih teragak-agak untuk duduk.
“Okey,
maknanya nak aku suruh aku tolong dudukkan engkaulah, ya?” Ajad senyum gatal.
Keningnya sudah menari-nari.
Gulp!
Iman telan liur.
“Eh,
aku duduk sendiri!” Laju saja Iman melabuhkan punggungnya semula ke atas
kerusi. Bukan boleh percaya, mamat mata sepet sorang ni. Apa yang ada dalam
kepala otak dia tu, memang tidak terjangkau dek fikiran. Buatnya datang
perangai gila dia tu... mati kering Iman dekat situ.
“Good! Tau pun takut.” Ajad tersenyum
senget.
“Menyampah!”
Iman julingkan matanya ke atas. Suka sangat main ugut-ugut macam tu.
“Sekarang
kau menyampahlah. Nanti mesti kau rindukan aku.”
“Hmm...
Perasan! Cepatlah! Kau nak cakap apa ni?” Gesa Iman. Naik rimas pula bila Ajad
asyik renung dia tidak berkelip.
“Mmm...
kau ni! Bagilah aku tengok kau puas-puas dulu. Aku nak pergi lama ni. Dua
minggu aku dekat Amsterdam nanti. Maknanya dua minggu jugalah aku tak dapat
tengok muka kau. Tak dapat nak gaduh-gaduh manja dengan kau.”
“Ooo...
dua minggu.”
Suara
Iman tiba-tiba menjadi kendur. Entah kenapa hati rasa berat pula hendak
berpisah dengan Ajad. ‘Amsterdam? Jauhlah kut!’ Hati Iman terus berbisik.
Yalah! Dia mana tahu Amsterdam tu dekat mana.
Tapi pernah dengarlah dalam TV selalu sebut. Kalau tak silap Iman, kapal
terbang MH17 ditembak semasa nak bertolak balik dari Amsterdam. Betul ke? Ish,
Iman memang kurang tahu. Tapi, yang dia tahu sekarang ni.. hati dia terasa
berat hendak berpisah dengan Ajad. Kenapa, errk?
“Kenapa
termenung pulak ni? Aku tak pergi
lagi dah rindu ke?” Usik Ajad. Senyuman sudah melebar di bibirnya.
“Kau,
kalau tak perasan dalam masa satu saat memang tak boleh, kan?” tebak Iman. Tak
habis-habis dengan perangai angkat bakul masuk sendiri dia tu!
“Kau
tak payah mengakulah! Tak cakap pun, aku tahu. Ada rindu yang tersirat dekat
hati kau tu untuk aku, kan?” Ajad ketawa-ketawa. Suka tengok muka merah Iman.
Malulah tu! Itulah salah satu sebab kenapa Ajad suka dengan Iman. Iman tidak
tergedik-gedik macam perempuan-perempuan yang dia pernah kenal sebelum ini.
“Suka
hati kaulah! Kau nak cakap apa tadi?” Iman malas nak panjangkan cerita.
Bertekak dengan Ajad memang tidak akan menang.
“Hmm...
Aku nak kau buat persiapan untuk perkahwinan kita. Dalam tempoh dua minggu aku
tak ada ni, aku nak kau buat persediaan secukupnya. Nanti nenda akan tolong kau
uruskan semuanya. Aku dah bagitahu nenda.” Ajad nampak serius kali ini.
“Cop!
Bila masanya aku kata aku setuju nak kahwin dengan kau?” Iman kerut dahi.
Rasanya dia tidak pernah cakap pun dia bersetuju untuk berkahwin dengan Ajad.
“Kita
dah bincang perkara ni!” tegas Ajad.
“Bila?”
Iman makin keliru.
“Kita
kahwin lepas aku balik dari Amsterdam. Titik!” Ajad bulatkan matanya pada Iman.
‘Kau ingat kepala kau aje yang keras! Kepala aku lagi keras kalau kau nak
tahu.’ Hati Ajad bercakap sendiri.
“Tapi
ak...”
“Baby! Dekat sini rupanya you. Puas I
cari. You buat apa dekat sini dengan orang gaji ni? You dah lambat, kan?”
Tiba-tiba leher Ajad sudah dirangkul erat dari belakang.
Bulat
terus mata Iman. ‘Hish, dan-dan aje kau muncul erk, pacat!’ Bibir bawah digigit.
Sakit hati pula bila tengok tangan Tengku Anis bukan main syok lagi mendarat di
leher Ajad. Yang Ajad ini pun, tak reti nak tepis ke?
“Baby, bagi I masa lima minit! You tunggu
I dekat dalam kereta erk?” Ajad
leraikan pelukan Tengku Anis di lehernya. Terasa rimas pula dipeluk begitu oleh
Tengku Anis. Lebih-lebih lagi di hadapan Iman.
“Tak
nakkk...” Tengku Anis merenggek manja. Tangannya masih berlingkar kemas di
leher Ajad.
Melihat
aksi gedik terlebih Tengku Anis itu, membuatkan akal nakal Iman berfungsi
dengan jayanya. ‘Amboi, bukan main lagi kau! Asyik nak melekat saja kerja kau, erk! Seronok juga kalau dapat tengok
muka cemberut kau ni...’ Iman senyum senget. Dalam kepala mula terfikirkan
sesuatu.
“Emm,
sayanggg... awak jaga diri baik-baik tau, dekat sana. Jangan nakal-nakal!
Semoga cepatlah masa berlalu. Kalau awak tak ada, saya sunyi... Rasa dah tak
sabar nak tunggu hari bahagia kita. Bila awak tak ada nanti, mesti saya nanar
ridukan awak...” Suara sengaja dilunakkan. Senyuman paling manis Iman lakarkan
pada bibir merahnya. Mata pula melirik manja kepada Ajad. Seolah-olah Tengku
Anis langsung tidak wujud di situ.
“What! Sayang? Hari bahagia? Rindu? Apa
semua ni?” Terjerit kecil Tengku Anis. Rasa macam hendak pitam terus bila
dengar Iman cakap macam tu. Pelukan di leher Ajad terus terlerai. Mata
mencerlung tajam kepada Iman, kemudian beralih pula kepada Ajad. Turun naik
dadanya menahan marah. Memang pantanglah dia kalau ada orang panggil kesayangan
dia, sayang.
Ajad
pula terkebil-kebil memandang Iman. Rasa macam tidak percaya pula Iman boleh
berkata begitu. Angin apa yang menyapa muka Iman ni? Dalam sekelip mata saja
boleh berubah. Memang ajaib!
“Hey,
orang gaji! Baik kau cakap sekarang. Kau merepek apa ni?” Tengku Anis sudah
meroyan. Iman dipandang macam nak telan.
Iman
cebir bibir sambil jongket kedua belah bahunya.
“Entah!
Rasanya baby awak nak jadikan saya
‘mem’ besar dalam rumah ni. Tapi... awak tanyalah baby kesayangan awak tu, sendiri” Iman kenyitkan matanya kepada
Ajad. Sebelum berlalu sempat lagi dia tersenyum senget kepada Tengku Anis.
Suka
yang amat bila tengok muka cemberut tahap cipan, Tengku Anis itu. Kalau boleh
Iman hendak lompat kijang dekat situ juga. ‘Huh! padan muka. Puas hati aku..
Puas! Puas! Ha... ha... ha...’ Iman ketawa besar di dalam hati.
“Babyyyyy!”
Jeritan
Tengku Anis sudah bergema di ruangan dapur mewah itu. Iman terus menapak laju.
Senyuman kepuasan terpancar jelas pada wajahnya. ‘Nasib kaulah Ajad...’ hati
berbisik suka.
No comments:
Post a Comment