Wednesday, 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 17

BAB 17


JAM baru saja menunjukkan ke angka 9.00 malam. Iman sudah pun berkurung di dalam bilik. Tengku Faridah juga awal-awal lagi sudah berpesan kepada Iman supaya tidak ada sesiapa yang mengganggunya di bilik. Malam itu, mood Tengku Faridah juga kurang baik gara-gara Tengku Anis mengamuk sakan pada petang tadi.
Bergema banglo mewah milik Tengku Faridah petang tadi dengan suara amukan Tengku Anis tatkala Tengku Faridah memberitahunya bahawa Ajad akan dikahwinkan dengan Iman dalam masa terdekat ini.
Macam diserang histeria Tengku Anis di buatnya. Apa lagi, macam-macam kata hinaan Tengku Anis lemparkan kepada Iman, sehinggakan tidak tertelan oleh Iman. Petanda apakah ini. Baik ataupun buruk? Perlukah Iman teruskan pernikahan ini, ataupun batalkan saja? Sungguh Iman buntu.
Iman raup muka berkali-kali. Namun, rasa gundah tetap tidak hilang. Telinganya masih lagi terdengar-dengar kata cacian Tengku Anis petang tadi. Dia tidak kisah sebanyak mana pun kata nista yang Tengku Anis mahu lemparkan kepadanya, asalkan jangan sesekalinya diungkit tentang asal-usulnya. Jangan dipersoalkan siapa ibu dan ayahnya, kerana sampai saat ini pun, dia masih belum bertemu dengan jawapan.
Krreeekkk...
Terdengar bunyi pintu biliknya dikuak dari luar. Laju Iman menoleh. Matanya terus saja menangkap pandang pada sebatang tubuh milik Mak Su Normah yang sudah pun berdiri tegak di ambang pintu. Matanya menghala tepat kepada Iman yang sedang duduk menongkat dagu di atas katil. Wajah Iman yang tampak mendung itu disorot dalam-dalam.
“Boleh mak su masuk?” pinta Mak Su Normah. Segaris senyuman terukir di bibirnya.
Iman tersenyum kelat.
“Masuklah mak su! Macamlah tak biasa,” balas Iman perlahan. Malam itu dia memang tidak ada nafsu mahu bertekak dengan mak sunya seperti lazimnya. Dari tadi dia cuba pujuk hati batunya supaya tidak sentap dengan kata-kata hinaan Tengku Anis pada siang tadi. Tetapi, sampai sekarang pun, suara cacian Tengku Anis masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. Mengganggu ketenangannya.
“Kenapa dengan buah hati mak su ni? Muka cemberut aje?” Mak Su Normah menapak perlahan menghampiri Iman. Tanpa dipelawa, punggungnya terus dilabuhkan disebelah Iman. Wajah sugul anak saudaranya itu direnung dalam. Bukan senang mahu membaca isi hati Iman.
Lama Iman terdiam. Hanya matanya saja yang bertemu tepat dengan mata mak sunya. Dia menghela nafas panjang.
“Mak su... Siapa ibu Iman? Siapa ayah Iman?” Perlahan dan bergetar suara Iman. Entah yang keberapa kalinya dia bertanyakan soalan yang sama kepada Mak Su Normah, tetapi jawapannya tetap juga sama. Hanya kebisuan Mak Su Normah yang dia dapat. Penat!
Tersentak Mak  Su Normah. Muka yang nampak tenang tadi, terus bertukar menjadi mendung. Sama mendung dengan wajah Iman. Mata mereka bertemu lagi. mMerenung lama di antara satu sama lain. Tapi, mulut Mak Su Normah masih juga terkatup rapat. Apa yang harus dia jawap?
“Mak su... Tolonglah jangan diam lagi! Iman dah penat. Penat yang amat mak su. Sampai bila Iman harus tertanya-tanya? Sampai bila Iman harus pekakkan telinga setiap kali orang ungkit pasal keturunan dan asal-usul Iman?” Tangan Maksu Normah, Iman raih. Merayu agar Mak Su Normah bercerita.
Mata Mak Su Normah mula berkaca. Perasaannya mula terusik ganas. Sesak rasa dadanya menanggung semua rasa itu. Macam mana dia mahu luahkan? Macam mana dia mahu bercerita, jika dia tahu hakikat yang sebenarnya nanti amat menyakitkan Iman. Dia tidak sanggup melihat Iman sedih. Tapi, kalau dia terus berdiam... sampai bila-bila pun Iman tidak akan tahu kebenarannya.
“Iman, nanti bila sampai masanya... mak su cerita ya?” pujuk Mak Su Normah dengan suara bergetar. Wajahnya tunduk menekur tilam. Tidak sanngup rasanya dia mahu bertentang mata dengan Iman.
“Mak su... Tolonglah! Jangan buat Iman tertanya-tanya lagi. Berapa banyak masa lagi yang mak su nak kumpul? Iman dah tak kuat nak tanggung semua ni. Mak su tak faham! Mak su tak rasa apa yang Iman rasa. Mak su ada mak! Mak su boleh jumpa mak, mak su. Mak su boleh peluk dia, boleh cium dia. Tapi, Iman! Dua puluh tiga tahun mak su, Iman menanti. Dua puluh tiga tahun Iman pendam rasa. Usahkan ingin melihat wajah ibu, nama ibu Iman pun Iman tak tahu. Kenapa mak su?”
“Kalau betul ibu dan ayah Iman memang dah tak ada... tunjukkan Iman mana kuburnya! Iman dah tak kuat nak dengar caci maki orang.”
Saat ini, hati batu Iman memang sudah lebur. Air mata berderai-derai jatuh menimpa pipi. Sakit sangat rasanya hidup dalam penantian. Sakit sangat rasanya hidup dalam kesamaran. Kenapa mesti berahsia? Itu yang Iman tidak faham.
Dada Mak Su Normah makin sesak. Nafas yang tadinya sekata, mula rasa tersekat-sekat. “Iman, tolonglah jangan menangis macam ni sayang. Mak su tak sanggup tengok Iman menangis.”
“Apa lagi yang Iman boleh buat mak su, selain menangis? Iman dah penat nak pendam semua rasa ni. Berpuluh tahun lamanya. Iman dah tak kuat!” tersesak-esak Iman di situ.
“Iman... Mak su minta maaf. Buat masa sekarang mak su memang tak boleh cerita apa-apa lagi pada Iman. Bila sampai masanya nanti, mak su akan ceritakan semuanya. Sabar, ya sayang.” Pujuk  Mak Su Normah lagi. Tangan Iman diraih, digenggam erat seakan tidak mahu dilepaskan.
Iman senyap. Hanya air mata saja yang semakin melebat di pipi. Apa lagi yang boleh dia katakan. Mak Su Normah tetap dengan pendiriannya. ‘Kenapa mak  su? Kenapa? Kenapa perlu tunggu lagi?’ Hanya itu yang bergema di hatinya saat ini.
“Mak su nak Iman jaga baik-baik rantai ni.” Mata Mak Su Normah kini tertancap tepat pada rantai emas yang tersarung di lehar Iman. Rantai yang diberikan olehnya kepada Iman tempoh hari. Rantai itu memang tersangatlah penting. Mungkin dengan rantai itu nanti akan terbongkarnya rahsia Iman.
“Iman akan jaga baik-baik mak su! Ini saja kenangan tentang ibu yang Iman ada,” jawap Iman lirih.
“Syyhh... Sudahlah sayang. Yakin dengan mak su, ya! Mak su minta Iman sabar sikit aje lagi. Mak su tahu Iman kuat.” Mak Su Normah terus memujuk. Kepala Iman disentuh, dibawa bersandar ke bahunya.
Iman masih juga senyap. Dia sudah kehabisan kata-kata. Apa lagi yang boleh dia katakan, kalau Mak Su Normah masih juga berdegil. Masih juga tidak mahu berterus-terang. Iman faham benar dengan perangai mak sunya itu. Degil! Sama macam dia juga.
“Iman, mak su nak Iman kahwin dengan Ajad!”
Okey! Kali ini tubuh Iman terus tegak. Air mata yang mengalir laju di pipinya tadi automatik berhenti. Serta-merta juga keningnya naik bertangkup. Apa kena dengan Mak Su Normah ni? Selalunya, dia yang paling kuat menentang. Tapi, kenapa tiba-tiba saja?
“Kenapa mak su? Bukan ke mak su tak suka Iman berkahwin dengan Ajad?” Iman pelik. Mata Mak Su Normah disorot lagi. Cuba untuk mencari jawapan di dalam sepasang mata bening itu. Tapi Mak Su Normah tetap nampak tenang.Yang tidak menentunya sekarang, adalah dia.
 Apa kena dengan semua orang ni?
Tengku Faridah beria-ia mahu dia terima Ajad kerana mahu Ajad selamatkan sayarikatnya. Habis tu, Mak Su Normah? Apa pula alasannya?
“Sebab Iman memang layak berkahwin dengan dia!” Tegas Mak Su Normah.
Iman makin keliru. Dulu Mak Su Normah cakap mereka tidak setaraf dan Iman tak layak berdiri di samping Ajad. Sekarang, kenapa lain pula jadinya?
“Mak su, Iman tak faham?”
“Suatu saat nanti Iman akan faham.” Yakin Maksu Normah menutur kata. Kepala Iman diusap seketika sebelum dia berlalu keluar dari situ.
Iman terjeda di katil. Fikirannya semakin kusut. Kenapa sejak akhir-akhir ini semua orang berperangai pelik? Penat rasa otak Iman mahu memikirkan semuanya. Bolehkah dia hidup bahagia di samping Ajad, sedangkan di hatinya masih belum berputik rasa cinta buat lelaki itu?
Dalam hati Iman saat ini cuma ada Asyraf. Walaupun sakit sangat kenyataannya, dia masih belum mampu untuk melupakan lelaki itu. Memang Iman tidak pandai bercinta. Iman tidak pandai menunjukkan kemesraan dan cintanya. Tapi, Iman memang adalah seorang kekasih yang jujur dan setia. Itulah hakikatnya!
Pandangan Iman lemparkan pada jendela bilik yang terkuak luas. Angin malam yang menyerbu masuk melalui jendela itu terasa dingin menyentuh tubuh. Langit kelihatan kelam malam itu. Sebutir bintang pun tidak mahu menampakkan diri. Apakah ia juga sedang bersedih sekarang? Sama seperti Iman.
Lambat-lambat Iman bangkit dari katil. Kaki diatur ke arah jendela yang terkuak. Mata terus ralit merenung langit yang kelam. Ingatan menerawang jauh. Tiba-tiba saja bayangan Ajad menjamah ruang ingatannya.
“Agaknya, apa yang sedang dia buat dekat sana? Kenapa dia sungguh-sungguh mahu beristerikan aku?” Iman bercakap sendiri. Makin dicari jawapanya, makin kusut Iman rasa.
‘Ya Allah, berikanlah aku ketenangan.’ Iman raup muka dengan kedua belah tangannya. Sesaat kemudian, jendela biliknya ditarik lalu dirapatkan. Langkah diatur lagi. Kali ini terus menuju ke bilik air. Dia mahu berwuduk dan mengaji.
Setiap kali hatinya resah itulah yang dia selalu lakukan untuk mencari ketenangan. Kata Wan Bedah, kalau kita mengaji... hati kita akan tenang. Itulah kelebihannya jika kita membaca kalam Allah. Pesan Wan Bedah itu memang dipegang teguh oleh Iman. Dan memang benar! Setiap kali dia usai mengaji, fikirannya akan terasa lapang kembali.

No comments:

Post a Comment