Wednesday, 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 7

BAB 7


IMAN bernyanyi riang memasuki ruang dapur mewah milik Tengku Faridah. Begitulah dia setiap hari. Sentiasa ceria dan senang hati. Walaupun jauh di lubuk hatinya ada luka yang terpendam, dia akan tetap tersenyum. Iman percaya, senyuman adalah terapi paling mustajab untuk menenangkan hati yang gundah.
“Amboi, gembira nampak!”
Sapa Kak Mona sebaik sahaja melihat Iman memasuki ruang dapur sambil bernyanyi kecil. Tangannya ligat mengacau koko panas di teko, tapi matanya pula terarah tepat kepada Iman. Comel!
“Biasalah Kak Mona, hidup kita ni kena sentiasa gembira... barulah tak stress.”
Iman tersengih lebar. Tayang gigi putihnya yang tersusun rapi. Tanpa dipelawa, dia duduk di kerusi meja makan yang sudah siap terhidang dengan sarapan pagi. Kecur liur Iman melihat nasi goreng kampung yang masih berasap itu. Baunya saja sudah cukup membuka selera. Kak Mona memang pandai memasak.
Kak Mona tersenyum kecil.
“Iman, pergi panggilkan mak engku. Kak Mona dah siapakan sarapan ni,” suruh Kak Mona.
“Alah, Kak Mona ni! Orang baru nak landing kejap. Dah bagi arahan mengalahkan sarjan pencen.” Iman tarik muka. Saja tunjuk muka protes.
Kak Mona ketawa kecil. Kalau budak Iman ni, memang tak boleh lari daripada menjawab mulut orang.
“Kamu ni Iman, ada-ada saja jawapnya. Mak su kamu mana? Selalunya masa-masa macam ni ada aje dekat dapur ni, bersembang dengan Kak Mona.”
“Entah! Tengah kemas-kemas kut!” Jawap Iman acuh tak acuh. Tangannya mula merayap ingin menyudu nasi goreng kampung di dalam bekas. Sepantas kilat juga Kak Mona pukul tangan Iman.
Aouchh! Sakitlah, Kak Mona.”
“Padan muka! Pergi panggilkan mak engku dulu!” Kak Mona sudah jegilkan matanya kepada Iman.
“Lecehlah!” Iman mendengus kecil.
Morning..”
Sapa satu suara garau. Laju Kak Mona dan Iman menoleh.
Sebaik sahaja terpandangkan tuan empunya suara, Iman rasa perut dia terus senak dan memulas-mulas. ‘Mak, aii! Apa mamat mata sepet ni buat awal pagi macam ni, sudah terpancul dekat sini?’ Iman terus palingkan mukanya ke arah lain. Tiba-tiba saja dadanya rasa berdebar, bila teringat kembali apa yang berlaku di dalam bilik tidurnya malam tadi. Gila! Tak ada angin, tak ada ribut... terus ajak kahwin!
“Eh, Encik Ajad! Awal bangun? Ada perlukan apa-apa ke?” tanya Kak Mona. Mukanya jelas nampak terkejut melihat Ajad sudah berdiri tegap di sebelah Iman. Yalah, tak pernah-pernah Ajad bagun awal sebelum ni. Biasanya, matahari tegak atas kepala baru nampak muka.
Iman pula... Aik, apa pasal tunduk macam nak cium meja tu?
“Hmm... lapar,” jawap Ajad sepatah. Kerusi di sebelah Iman sudah ditarik. Tidak sampai lima saat, punggungnya sudah selamat mendarat di kerusi sebelah Iman.
Jantung Iman rasa macam hendak pecah dah. Tidak berani langsung dia hendak mengangkat muka. Dub... dab... dub... dab... Kuat sungguh jantungnya berdetak. Silap hari bulan, boleh pecah dekat situ juga.
Tidak cukup dengan itu, jantung Iman semakin sakit, tatkala dia terciumkan haruman minyak wangi yang dipakai oleh Ajad. ‘Ya Allah, wangi sangat-sangat! Ish, tak boleh jadi ni! Aura mamat mata sepet ni memang boleh membunuh jantung aku.’ Iman sudah resah sendiri.
Sepantas kilat dia bangun daripada kerusi. Tidak mampu lagi untuk menahan sakit di jantungnya. Namun, sepantas kilat itu juga, lengannya sudah dipegang kemas oleh Ajad.
“Eh, apa ni?” bentak Iman kasar. Lengannya cuba ditarik, tapi pegangan Ajad begitu kejap sehinggakan Iman berasa sakit.
“Kau nak pergi mana?” kasar saja tutur Ajad.
“Aku nak pergi panggil mak engku. Lepaslah! Sakit tau, tak?” Iman geram. Bibirnya diketap kuat tanda sakit hati.
“Kau duduk sini balik!”
“Kalau aku tak nak?” Iman senyum sumbing. Matanya dijulingkan ke atas.
“Kalau kau tak nak, aku cium kau dekat sini!” Ugut Ajad dengan muka serius. Lengan Iman masih digenggam kemas.
“Gila! Lepaslah...”
“Jangan harap.” Ajad sudah tersenyum senget.
Kak Mona yang sedari tadi menjadi penonton kepada drama sebabak yang dilakonankan oleh Iman dan Ajad itu, menggaru kepala. Apa kena dengan budak berdua ni?
“Apa bising-bising ni?” Mata Tengku Faridah menyorot tepat pada Iman dan Ajad. Entah bila masanya dia terpancul di situ, Iman dan Ajad langsung tidak sedar. Mak Su Normah yang berdiri tegap di sebelah Tengku Faridah seakan tergamam melihat wayang kulit yang dilakonkan oleh mereka berdua. Matanya tajam menyorot pada lengan Iman yang digenggam kemas oleh Ajad.
Iman kaget. Sekali lagi dia cuba menarik tangannya. Kali ini Ajad tidak berkeras lagi. Pegangang di lengan Iman dilepaskan.
 Iman menarik nafas lega. Tangan yang terasa sengal digosok perlahan sambil matanya tunduk memandang lantai. Memang dia tidak berani hendak mengangkat muka. Boleh buta biji matanya kalau bertemu dengan biji mata Mak su Normah yang nampak berapi ketika itu.
Ajad pula, buat muka selamba badak sahaja. Nasi goreng yang berada di dalam bekas mangkuk besar, disenduk ke pinggan lalu dibawa ke mulut. ‘Ish, dia boleh buat muka tak bersalah macam tu aje? Selamba saja makan! Ee... memang gilalah mamat mata sepet ni. Benci!’ Iman menjeling Ajad dengan ekor mata.
“Eh, mak engku... Jemputlah duduk,” pelawa Kak Mona sambil tersengih kecil. Gerun sebenarnya bila tengok muka Tengku Faridah yang serius tanpa segaris senyuman tu. Siap dengan pakej jelingan maut kepada Ajad. Huh, menakutkan!
 Nasi goreng kampung disenduk laju ke dalam pinggan di hadapan Tengku Faridah. Air koko panas dituangkan ke dalam cawan lalu diletakkan di hadapan Tengku Faridah.
“Duduklah semua... Kita makan!” Arah Tengku Faridah.
Iman, Mak Su Normah dan Kak Mona masih berdiri tegap. Masing-masing nampak teragak-agak untuk duduk. Ajad pula, terus makan tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Macam tak ada perasaan!
“Lah! Tunggu apa lagi ni?” tanya Tengku Faridah bersama senyuman yang sudah menguntum di bibir. Tidak cemberut macam tadi lagi.
Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri, kemudian barulah masing-masing terus duduk. Baru saja Iman mahu menapak ke kerusi di sebelah Mak Su Normah, hujung baju kurungnya ditarik kasar oleh Ajad. Terus matanya dengan mata Ajad bertembung. Ajad bagi isyarat mata, menyuruh Iman duduk di sebelahnya.
Iman jegilkan matanya kepada Ajad. Tapi, Ajad jegilkan matanya semula. Lebih besar dan bulat dari mata Iman.
Gulp!
 Iman telan liur sekali. Sudahnya, Iman terpaksa juga mengalah. Lambat-lambat Iman duduk di sebelah Ajad. Dalam hati sudah menyumpah-nyumpah. ‘Bencinya mamat gila ni! Kenapalah aku boleh jumpa dengan lelaki macam ni?’ Iman menarik muka, masam. Ajad pula tersenyum lebar tanda menang.
“Bila pula Ajad masuk kerja?” Soal Tengku Faridah memecahkan kebisuan.
Semua mata terarah tepat kepada Ajad saat itu. Nasi goreng yang mahu disua ke mulut, tidak jadi masuk ke dalam mulut. Lama juga dia terdiam, sebelum menjawap,
“Minggu depan nenda.”
“Kalau macam tu, sementara tak ada buat apa-apa ni, bolehlah Ajad jenguk pejabat tu, ya?” Tengku Faridah saja beri cadangan. Padahal memang dia sudah sedia maklum jawapan daripada Ajad.
Memang tidaklah untuk Ajad menapak ke pejabat tu. Mati hidup balik pun belum tentu agaknya. Ini pun, Tengku Faridah macam tidak percaya tengok Ajad sudah berada di meja makan pada awal pagi macam ni. Selalunya, matahari sudah hendak jatuh semula baru nampak batang hidung.
Ajad diam lagi. Nasi goreng dikunyah laju. Seketika, matanya melirik kepada Iman di sebelah. ‘Amboi, makan... macam sepuluh tahun tak jumpa makan! Langsung tak pandang kiri-kanan.’ Getus Ajad.
“Mmm, nenda. Ajad nak kahwin dengan Iman.” Selamba Ajad bersuara. Air koko panas dihirup sedikit.
“Uhukk... Uhukk...” Iman tersedak. Hampir hendak tersembur nasi goreng dalam mulutnya. Cepat-cepat Iman mencapai cawan dan meneguk air koko panas dengan rakus. ‘Makkk.. Panas!’ Berair-air mata Iman menahan rasa panas. Hendak meletup rasa mulutnya.
“Hah?”
Tengku Faridah dan Mak Su Normah menjawap serentak. Jelas nampak riak terkejut pada wajah mereka. Dua pasang mata kini sudah beralih tepat kepada Ajad dan Iman. Kak Mona pula terlopong tanpa suara.
 Iman menggelengkan kepalanya dengan laju. Muka Mak Su Normah yang macam kucing tercekik tulang itu, dipandang tidak berkelip. ‘Matilah aku!’ hanya itu yang terluah di hati Iman saat ini.
“Bila masanya kamu berdua bercinta? Kenal pun baru semalam!” Suara Tengku Faridah tegang. Tapi riak wajahnya nampak sedikit tenang.
Dahi Iman sudah berpeluh-peluh. Gila! Memang gila mamat mata sepet ni. Kalau macam ni, bukan saja boleh kena serangan jantung. Silap-silap hari bulan boleh ‘kojol’ terus Iman dekat situ. Iman menjeling Ajad di sebelah. Rasa nak tumbuk-tumbuk saja muka mamat tu. Boleh dia buat muka lembu kenyang! Macam tak ada apa-apa yang berlaku.
Mak Su Normah pula, diam tidak berkutik. Terkejut! Itulah yang dia rasakan sekarang ini. Riak keruh pada wajahnya itu sudah jelas menggambarkan perasaan kurang senangnya. Peristiwa silam terus datang menerjah ke ruang ingatannya, tanpa diundang. ‘Ya Allah, janganlah kisah silam berulang kembali.’ Desis hati Mak Su Normah tak henti-henti.
“Kami memang tak bercinta nenda. Tapi, Iman cakap Ajad tak boleh nak dekat-dekat dengan dia, tak boleh nak sentuh dia sebab kitaorang ni bukan mahram. Jadi haram! So, Ajad nak jadikan hubungan Ajad dengan Iman ni halal. Supaya Ajad boleh sentuh dia, dekat-dekat dengan dia, yang paling penting boleh buli dia sesuka hati tanpa perlu jaga batas.” Selamba Ajad menjawap. Langsung tidak masuk akal!
 Muka Iman yang jelas nampak terkejut di sebelahnya, dia buat tidak nampak saja. Hanya senyuman senget yang dia hadiahkan kepada Iman. Baru tahu dia tidak main-main, kan? Baru tahu dia betul-betul, gila!
“Hah, Sebab itu saja Ajad nak kahwin dengan Iman? Naik berkerut dahi Tengku Faridah.
“Iman tak nak! Iman tak nak kahwin dengan mamat senget ni.” Laju Iman menjawap. Kini semua mata sudah terarah tepat kepada Iman pula. Mata Ajad juga tidak lepas-lepas dari merenung Iman. ‘Kau panggil aku mamat senget? Ish, aku rasa nak telan aje kau hidup-hidup dekat sini! Sabar Ajad. Sabarrrr...’
“Rasanya memang ada salah faham dekat sini. Saya minta maaf mak engku.” Akhirnya setelah lama berdiam diri, Mak Su Normah bersuara juga. Muka Iman yang nampak cuak itu dijeling sekilas.
 Kak Mona pula, dari tadi memang langsung tidak berani untuk menyampuk. Bukan dia tidak tahu angin Tengku Faridah tu. Silap hari bulan, semua benda yang ada dekat atas meja itu melayang.
“Tak ada salah faham pun mak su! Saya memang nak kahwin dengan Iman. Kalau tak dapat cara baik, saya buat cara jahat.” Ajad sudah kenyitkan matanya kepada Iman. Senyuman lebar sudah tersunggil di bibir merahnya.
“Ish, gila! Bila masa pulak mak su aku jadi ma ksu kau? Ee... benci! Benci... Benciiii!!” Iman menjeling Ajad tajam. Rasa macam hendak ketuk kepala mamat mata sepet tu dengan sudip. Biar betul sikit otak dia yang tengah biol tu.
“Hah?”
Sekali lagi Mak Su Normah dan Tengku Faridah terkejut. Kalaulah macam ni, sah-sahlah dia orang semua kena serangan jantung beramai-ramai nanti.
 Kak Mona hanya tersengih-sengih sambil menggaru kepala.
“Hmm, nantilah kita bincangkan semula.” Akhirnya Tengku Faridah memutus kata. Lemah saja suaranya. Bukan dia tidak tahu perangai cucunya nan sorang itu. Kalau dia kata mahu, maka mahulah.
Ajad tersenyum puas.
“Kau akan jadi milik aku sepenuhnya...” bisik Ajad perlahan di telinga Iman.
 Iman tunduk merenung lantai. ‘Ya Allah, Bencinya dengan mamat niiii!’ Jeritan batin Iman bergema hebat.



No comments:

Post a Comment