ROSNI yang paling gembira menyambut kepulangan Liyana bersama Syarizad.
Terus dipeluk tubuh Liyana sesudah anaknya itu tunduk menyalami tangannya.
“Yana
sihat?”
“Sihat,
mak. Mak sihat?”
“Sihat
sangat. Lagi sihat bila ingatkan kamu dengan Ijad nak balik,” balas Rosni dalam
keharuan.
Syarizad
pula yang diam di tepi kereta. Tiga bulan lebih meninggalkan kampung, kenapa
tiada rasa rindu di hatinya terhadap tempat dia dilahirkan dan dibesarkan itu?
Kalau ada rindu pun, hanya untuk mak ngahnya dan juga... Idlan.
Syarizad
mencapai tangan Mak Ngah Rosni lalu dikucup hormat. Rosni terus menarik tubuh
Syarizad ke dalam pelukannya. Didakap seolah-olah tidak mahu dilepaskan lagi.
“Ijad...
rindunya mak ngah dengan Ijad...” kata Rosni. Mata yang basah dikesat dengan
hujung lengan bajunya.
Syarizad
tersenyum pahit. Rasa berdosa kerana membiarkan mak ngahnya menangis merindukan
dirinya, sedangkan dia bergembira di Kuala Lumpur. Ya Allah... perlahan nama
yang Maha Agung itu meniti dalam hatinya.
Syarizad
meleraikan pelukan.
“Sekarang
kan Ijad dah balik. Mak ngah tak payah rindu-rindu lagi,” katanya lalu ketawa
kecil.
Rosni
tersenyum. Kedua-dua belah pipi Syarizad dipegang lembut.
“Lain
mak ngah tengok Ijad sekarang...”
Syarizad
mengalih tangan mak ngahnya. Kata-kata itu menghantar rasa tidak senang ke
hatinya.
“Err...
apa yang lain?”
“Rambut
Ijad.” Rosni menyentuh rambut Syarizad yang ditocang satu.
Syarizad
mengawal riak wajah agar tidak kelihatan di mata mak ngahnya.
“Hmm...
saja Ijad buat rambut macam ni, mak ngah. Ijad kan kerja dengan orang kaya,
jadi Ijad kenalah nampak cantik.” Dia ketawa namun jelas kedengaran
canggungnya.
Rosni
masih mahu bersuara tetapi suara Liyana memanggil membantutkan niatnya.
“Tolong
aku angkat barang ni, Jad.” Liyana bersuara dari arah but keretanya.
Syarizad
menghela nafas panjang. Lega. Kemudian dia terus menghampiri Liyana.
Barang-barang yang dibawa pulang diangkut satu per satu ke dalam rumah. Barang
apa lagi kalau bukan barang hantaran pertunangan Liyana dengan Herdy. Mengenangkan
Herdy, bibir Syarizad terukir senyuman sinis.
Ketika
mengangkat barang yang terakhir, Syarizad tiba-tiba teringatkan Idlan. Keluhan
panjang terlepas lagi. Patut ke dia pergi jumpa Idlan? Kalau jumpa, nak cakap
apa ya? Puas berfikir-fikir, akhirnya Syarizad putuskan untuk ke bengkel Abang
Bob saja.
BASIKALNYA
ditongkat di tepi bengkel. Kemudian dia berjalan lambat-lambat masuk ke
dalam. Matanya dililaukan ke sekitar bengkel itu. Di belakang kereta Proton
Perdana yang masih dalam pembaikan, dia nampak Idlan dan Abang Bob sedang
berbual-bual. Perasan dengan kehadirannya, terus kedua-duanya berpaling.
“Hai!”
Syarizad melambai kecil. Kemudian kedua-dua belah tangannya diletakkan di
pinggul. Jadi segan tiba-tiba. Macamlah tak biasa datang ke situ sebelum ini.
Lebih daripada biasa sebenarnya.
“Ijad!
Ya Allah... Aku ingatkan siapalah tadi.” Bob teruja dengan kedatangan Syarizad.
Gadis itu dihampiri. “Bila balik?” tanya Bob mesra.
“Baru
aje sampai kejap tadi, Abang Bob,” jawab Syarizad. Senyuman dihulurkan kepada
Abang Bob sementara mata mengerling ke arah Idlan yang hanya diam, tercegat di
tempatnya berdiri sejak tadi.
“Makin
cantik aku tengok kau sekarang sejak duduk KL ni,” puji Bob sambil ketawa.
Syarizad
tersenyum.
“Mana
ada, Abang Bob,” balasnya segan. Langsung tak macam Syarizad yang sebelum ini.
“Elok
sangatlah kau datang sini, Jad. Tu, Lan tu nak buat kerja pun tak boleh, asyik
teringatkan kau aje,” usik Bob lagi. Masih tidak henti-henti ketawa.
Idlan
buat tidak dengar. Badannya dibongkokkan, menjenguk ke dalam bonet Proton
Perdana tadi.
“Kau
orang berdua boraklah. Aku nak keluar kejap.” Bob berlalu keluar dari bengkel
itu, sengaja memberi ruang kepada kedua-duanya untuk meleraikan apa yang kusut.
Macam mana dia tahu ada yang kusut? Tengok dari raut wajah Idlan pun dia sudah
tahu. Orang buta saja yang tidak boleh nampak semua itu.
Syarizad
menggaru-garu kepalanya. Tak pernah-pernah dia rasa kekok macam ni tiap kali
jumpa Idlan. Entah kenapa kali ini lain macam saja jadinya. Syarizad berdeham
beberapa kali.
“Kau
nak aku tolong apa-apa tak?” tanya Syarizad. Dia berdiri tegak di tepi Idlan
yang jelas-jelas malas melayannya.
Idlan
masih diam. Terus memeriksa bonet kereta itu tanpa sedikit pun menoleh ke arah
Syarizad.
“Aku
balik sini tak lama pun. Itu pun sebab Yana yang beria-ia ajak aku balik.”
Syarizad membuka cerita. Sengaja... dengan harapan cara itu akan dapat menarik
perhatian Idlan untuk berbual dengannya. Tidak betah membiarkan suasana diam
begitu antara mereka.
Sejak
bersahabat, tidak pernah Idlan merajuk begitu dengannya. Kalau pun pernah, cuma
sekejap. Itu pun sebab sengaja nak kenakan Syarizad. Dan Idlan sendiri tahu
istilah merajuk antara mereka tidak pernah wujud.
“Dia
siap belikan aku baju baru lagi. Nak masuk dengan tema pertunangan dia katanya,”
cerita Syarizad lagi. “Tak kisahlah. Lagipun sekarang aku dah okey pakai baju
kurung. Dah tak geli lagi dah,” tambahnya lalu ketawa kecil sendiri.
Idlan
mengerling dengan ekor matanya. Nampak saja tenang, tapi jantung
berguling-guling nak balas balik apa yang diceritakan Syarizad. Tetapi entah
kenapa, ego terasa berat menutup semuanya. Aduhai, kenapa ni? Tak pernah-pernah
pun dia macam ni kalau dengan Ijad.
“Kau
sibuk ke ni? Kalau macam tu tak apalah. Aku balik dulu. Esok kau datang rumah
aku, kan? Jadi kita jumpa esok ajelah.” Syarizad berura-ura untuk pulang.
Melihat Idlan tetap bisu, dia membuka langkah.
Kalau
Idlan sudah tidak sudi berkawan dengannya lagi, apa lagi yang boleh dia buat,
kan? Terima sajalah. Lagipun dia sendiri juga yang putuskan untuk tidak
berhubungan dengan sesiapa lagi yang ada kaitan dengan kisah silamnya. Dan itu
sudah semestinya termasuk Idlan sekali.
Idlan
berdecit. Dia cuba untuk tidak hiraukan Syarizad tapi dia tahu dia tidak akan
mampu.
“Ijad!”
Syarizad
yang sudah sampai di muka pintu bengkel berhenti melangkah. Bibirnya memekar
dengan senyuman. Kepalanya kembali dipusingkan ke arah Idlan.
“Kau
panggil aku?”
Idlan
menghela nafas panjang. Dia berjalan ke arah bangsal kecil di luar bengkel.
Syarizad mengikut di belakang.
“Aku
gembira kau balik,” akui Idlan.
Syarizad
tersenyum sambil duduk di sebelah lelaki itu.
“Aku
ingat kau marah aku lagi sampai nak pandang aku pun dah tak sudi,” balasnya.
“Memanglah
aku marah kau, tapi... tak adalah sampai nak putus kawan.” Idlan memandang
Syarizad dengan sepasang mata yang redup.
Syarizad
tersenyum lagi. Gembira kerana Idlan masih sudi berkawan dengannya. Terpaksa
diakui walaupun dia cuba membuang Idlan daripada hidupnya, dia tetap tidak
mampu. Sejak kecil, Idlan yang benar-benar memahami dirinya sampailah sekarang.
Idlan yang tetap setia di sisinya walau apa pun yang berlaku.
“Bila
kau balik KL?” tanya Idlan.
“Lusa.
Aku balik dengan bas sebab Yana nak stay sini lama lagi,” jelas
Syarizad.
“Kalau
macam tu, tak sempatlah aku nak bawak kau jalan-jalan dulu?” tanya
Idlan.
Syarizad
ketawa.
“Sempat!
Sebab lusa aku naik bas malam,” balasnya.
Idlan
mengangguk.
“Okey.”
“Aku
tahu, walau apa pun kau tetap sayang aku, kan?” Syarizad buat muka mengada-ada.
Sengaja mengusik. Dah lama tak borak sambil gelak sakan dengan Idlan.
“Sebab
aku sayang kaulah, aku tak nak kau silap langkah.”
Syarizad
terdiam. Deep. Sampaikan jantungnya sendiri terasa bagai disentap kasar.
“Dahlah,
jom tolong aku repair kereta.”
“Aku
mana reti.”
“Aku
ajarkanlah.”
“Baiklah,
Encik Amar Idlan!” Wajah Syarizad kembali ceria.
SYARIZAD tidak sempat melarikan diri masuk ke dalam bilik apabila mak ngah sudah
memberi arahan supaya dia menolong Mak Cik Samira memasang pelamin. Syarizad
berdecit dalam diam. Walaupun cuma pelamin ringkas hasil rekaan Mak Cik Samira,
dia tetap berat hati. Inikan pertunangan Liyana dengan Herdy, tak ada maknanya
dia nak buat dengan rela hati.
Telefon
pintar Liyana berdering tiba-tiba. Melihat senyuman di bibir gadis itu,
Syarizad yakin Herdy yang telefon. Syarizad membantu Mak Cik Samira memasang
pelamin sambil ekor mata mengerling ke arah Liyana.
“Hai,
sayang.” Liyana menyapa mesra.
Syarizad
mencemik. Nak muntah!
“Tengah
tengok-tengok hantaran. Final touch,” ujar Liyana lagi.
Syarizad
masih memasang telinga. Walaupun tidak dapat dengar apa yang dikatakan Herdy,
cukuplah dapat dengar daripada pihak Liyana saja.
“Tak
sabar nak jumpa awak esok.” Suara Liyana sedikit berbisik. Bibirnya mekar
dengan senyuman.
“Ambik
bunga tu, Ijad,” arah Samira.
Syarizad
segera menghulurkan bunga yang dipinta.
“Eii...
mengada-adalah awak ni. Malas layanlah.” Liyana ketawa manja.
Sakit
telinga! Entah apalah yang diguraukan Herdy ketika itu. Makin lama dia di situ,
makin dia rasa nak muntah. Jadi sebelum dia betul-betul muntah, baiklah dia
masuk bilik sekarang juga. Lagipun pelamin itu sudah siap dipasang, cuma
tinggal untuk mengemaskannya saja. Itu tugas Mak Cik Samira. Syarizad terus
masuk ke bilik.
Eii... sakit hati!
Bukannya dia cemburu sebab Herdy telefon Liyana, cuma dia tak boleh tengok
Liyana gembira. Seolah-olah melihat senyuman di bibir Liyana merupakan satu
perkara ‘haram’ dalam hidupnya. Dia duduk di birai katil sambil cuba meredakan
amarah yang kian memuncak.
“Tak
apa, tak apa. Kita tengok aje apa akan jadi esok.” Syarizad memasang azam.
Telefon
pintar berdering. Syarizad pantas menyambar gadget itu. Nama Ben muncul
di skrin. Membaca sebaris nama itu, serta-merta hati yang panas terasa sejuk.
Punat hijau ditekan.
“Helo,”
sapa Syarizad.
“Helo.
Awak... dah tidur ke?” tanya Ben.
“Belumlah,
baru lepas pasang pelamin,” balas Syarizad. Kepala diletakkan di atas bantal.
Tidak pernah-pernah Ben menelefon lewat malam begitu. Takkan rindu kut?
“Oh,
baguslah...” suara Ben jelas lega.
“Apa
yang bagus?”
“Eh,
tak ada apalah.”
“Encik
Ben suka macam tu. Bila saya tanya balik, tentu Encik Ben jawab 'eh, tak ada
apalah'.” Syarizad mengajuk suara Ben.
Ben
ketawa kecil.
“Memandai
ajelah awak ni.”
“Encik
Ben call saya malam-malam ni, rindu eh?” usik Syarizad. Sekali pandang,
langsung tak macam hubungan antara bos dan pekerja. Mentang-mentang Ben baik
dengannya, suka-suka hati dia saja nak mengusik macam tu.
“Just
checking up on you.” Ben pantas menafikan. “Manalah tahu kalau-kalau awak
ada masalah ke...”
“Encik
Ben... saya ni balik kampung, bukannya pergi bercuti kat mana-mana tempat.”
“Tak,
maksud saya...” Ben hilang suara tiba-tiba.
Syarizad
tahan senyum.
“Alah
Encik Ben ni... dah rindu tu mengaku ajelah...” usiknya lagi.
Ben
tersenyum dengan kepala tergeleng-geleng. Nak nafikan pun dah tak mampu. Macam
manalah Syari ni boleh tahu ya? Takkan ketara sangat kut?
“Saya
balik tak lama pun. Nanti bila saya dah balik KL, kita pergi jalan-jalan nak?”
Sesuka hati Syarizad mengatur rancangan.
“Syari,
awak sedar tak awak tengah cakap dengan siapa sekarang ni?” tanya Ben. Tiada
nada marah, cuma sengaja hendak mengusik. Kalau Syarizad pandai mengusik, dia
pun boleh.
“Sedar.
Encik Ben kan bos saya.”
“Tapi
cara awak bercakap tu, macam saya ni bukan bos awak. Sampaikan saya sendiri pun
tak sedar yang saya ni bos awak. Tahu?”
Syarizad
tergelak. Ben tersenyum mendengar gelak itu. Terasa indah di telinganya
sendiri.
“Kan
saya dah janji nak bawak Encik Ben jalan-jalan dengan kereta saya. Janji
kenalah tunaikan. Betul tak, Encik Ben?” balas Syarizad sambil tersenyum-senyum.
Daripada menelentang, dia kini mengiring menghadap dinding.
“Okey
kalau macam tu. Awak yang drive,” balas Ben.
“Tak
ada hal. Jadi, Encik Ben setujulah ni?” Syarizad sudah semakin teruja.
Ben
ketawa.
“Orang
tanya, dia gelak pulak.” Syarizad tidak puas hati. Suaranya jadi manja
semacam. Bukan dibuat-buat, tapi terjadi dengan sendirinya.
“Get
some sleep. Esok tentu awak penat.” Itu pula yang dibalas Ben. Habis modal
untuk melawan lagi.
Syarizad
mencemik. Tahu Ben sengaja mengelak.
“Baiklah,
Encik Ben Ikhzal Bin Datuk Jaini.”
“Selamat
malam, Cik Syarizad Binti Sabri.”
Syarizad
tertawa kecil. Talian dimatikan. Dia sendiri tidak sedar dia akhirnya tertidur
dengan senyuman.
TALIAN sudah diputuskan sepuluh minit yang lalu, tapi Ben masih berdiri di tepi
tingkap biliknya dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya. Tidak sabar
menunggu lusa untuk bertemu Syarizad. Betullah kata Shazwan, dia sudah semakin
angau dengan Syarizad.
Ben
keluar dari bilik lalu turun ke tingkat bawah untuk ke dapur meneguk air.
Ketika melintasi pintu gelangsar yang menghadap taman, dia terdengar suara
esakan kecil. Langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah pintu yang terbuka
separuh. Allison tercegat di situ dengan bahu yang terhinggut-hinggut.
Ben
mendekati dengan dahi yang berkerut.
“Ally?”
Allison
tersentak. Sepantas kilat dia mengesat muka yang basah dengan air mata.
Kemudian barulah dia berpaling.
“Abang...”
Ben
berdiri betul-betul di sebelah adiknya itu.
“Kenapa
ni? Hmm? Kenapa nangis?”
Allison
tidak menjawab sebaliknya terus memeluk Ben. Air matanya tumpah lagi.
Ben
terkejut. Namun pelukan Allison tetap dibalas. Rambut strawberry blond
Allison diusap lembut.
“Kenapa
ni, dik? Cuba cerita dengan abang,” pintanya.
Allison
melepaskan pelukan. Kepalanya menunduk dengan pipi yang masih basah.
“Ally...”
lembut Ben memanggil.
Allison
mengesat matanya.
“He
broke up with me.”
“Who?”
Ben kerut kening. Dia tak pernah tahu pun Allison ada kekasih.
“Zarith.”
Perlahan Allison menyebut nama itu. “He broke up with me and...” tangisannya
pecah lagi.
Ben
memeluk Allison semula. Walaupun dia tidak pernah bercinta, tapi dia faham
bagaimana rasanya dikecewakan.
“Apa
yang dah jadi sebenarnya?” tanya Ben.
“Dia
kata Ally dah tak sayang dia lagi sedangkan dia yang sebenarnya dah jauh
berubah,” esak Allison. Walaupun hubungannya dengan Ben sangat rapat, kisah
tentang Zarith tidak pernah sampai ke telinga Ben. Tetapi malam itu semuanya
terluah juga.
“Dahlah
tu, stop crying. You know what? He’s a fool. Sebab dia sanggup lepaskan
adik abang yang cantik ni,” pujuk Ben lembut.
Allison
tersenyum kecil. Kata-kata Ben membuatkannya rasa tenang semula.
“Betul
ke macam tu?” Kepala diangkat memandang Ben.
Ben
mengangguk.
“Yup.
Orang yang bodoh aje sanggup tinggalkan adik abang yang vogue ni.”
Hujung rambut Allison ditarik sedikit.
Allison
tertawa halus.
“Lagipun...
Shazwan kan ada?” usik Ben.
Sekarang
dia tahu kenapa Allison terus-terusan menolak Shazwan walaupun mereka pernah
ada sejarah bersama. Rupa-rupanya, sepanjang tempoh Shazwan tiada, hati adiknya
itu sudah diisi dengan nama lelaki lain.
Allison
mencebik. Terbayang-bayang di matanya peristiwa dia dengan beraninya meluahkan
perasaan kepada Shazwan tetapi dengan kejamnya ditolak.
“I
hate him.”
“Kenapa?”
“Because
he dumped me!”
“Tak,
itu kan hal lama. Dia serius dengan Ally sekarang tau.”
“Betul
ke?” Renungan Allison penuh mengharap.
Benci
konon, walhal hati berharap semua itu benar. Mungkin perasaan terhadap Shazwan
tidak pernah padam sepenuhnya. Mungkin juga usahanya untuk melarikan diri
daripada Shazwan hanya kerana dia cuba menafikan perasaan sendiri tetapi
ternyata dia gagal.
Ben
mengangguk.
“Trust
me.”
Allison
diam dengan kepala menunduk.
“Lagipun...”
Ben menambah sambil tangannya bermain-main dengan rambut Allison.
Allison
sabar menunggu kata-kata Ben yang seterusnya.
“Kalau
dia buat hal lagi, I can beat him anytime you want,” kata Ben membuatkan
Allison ketawa.
Bab 17
MAJLIS pertunangan Liyana dan Herdy berlangsung juga akhirnya. Tidak
mengikut adat Melayu, Herdy juga turut hadir pada majlis itu. Cuma bukan dia
yang menyarungkan cincin, sebaliknya mamanya sendiri. Dia hanya duduk di tepi
menyaksikan upacara itu berlangsung indah.
Syarizad
yang duduk di hujung kiri pelamin menjadi penonton dengan wajah yang bosan.
Kerap kali matanya singgah di wajah Herdy, seolah-olah memanggil lelaki itu
supaya berpaling ke arahnya. Mungkin perasan dirinya sedang diperhati, Herdy
akhirnya menoleh.
Syarizad
mengukir senyuman. Herdy pula membalas dengan senyuman nipis sebelum kembali
memakukan pandangan ke wajah Liyana. Syarizad merengus dalam diam. Takkanlah
tengok Liyana pakai cantik-cantik macam tu Herdy terus lupa tentangnya?
Selesai
majlis berlangsung, Syarizad terus menghilang ke dalam bilik. Lagipun tetamu
yang hadir dijemput menjamu hidangan ringkas di luar rumah, jadi tak perlulah
dia menempel lagi. Satu pesanan ringkas dihantar ke nombor telefon Herdy.
Agak
lama menunggu, pintu biliknya tiba-tiba ditolak dari luar. Herdy masuk dengan
senyuman nipis.
“Tutup
pintu,” arah Syarizad dengan suara yang sedikit berbisik.
Herdy
menurut. Kemudian Syarizad yang berdiri di tepi katil dihampiri. Sekejap saja
tangannya sudah memaut pinggang gadis itu rapat dengannya.
“Ada
orang nampak tak?” tanya Syarizad perlahan. Tangannya dilingkarkan pada leher
Herdy.
Herdy
menggeleng.
“You
yakin?”
“Yup.”
Herdy senyum. “I miss you...”
Syarizad
mencebik.
“Ingatkan
lepas dah tunang dengan Liyana you yang tersayang tu, dah lupa terus kat I
ni...”
“Hesy,
mana boleh lupa. Kalau bukan sebab you, I takkan datang hari ni tau,” balas
Herdy. Hidung Syarizad dicuit lembut.
Syarizad
tersenyum panjang. Hati menggeletek suka mengenangkan Liyana yang bodoh itu.
Kalau Liyana nampak apa yang berlaku sekarang, agak-agak apa reaksi dia? Oh,
belum masanya lagi untuk Liyana tahu. Tunggu dan lihat saja.
Herdy
mendekatkan wajahnya ke wajah Syarizad. Syarizad yang mengerti tidak langsung
menghalang. Hanya membiarkan Herdy melaksanakan apa yang dimahukan,
melampiaskan nafsu masing-masing.
“Hmm...”
Herdy bersuara tiba-tiba di tengah-tengah keasyikan itu. “I kena pergi
sekarang. Tak nak nanti Yana perasan I hilang lama.” Dia melepaskan pelukan di
tubuh Syarizad.
Syarizad
berdecit. “See? Kan I dah cakap yang you memang lebihkan dia daripada
I...”
“Hei...”
Herdy mencuit pipi Syarizad. “You dah lupa ke? You jugak yang suruh I
tunang dengan dia.”
Syarizad
tersenyum.
“Mestilah
I tak lupa.” Satu lagi ciuman diberikan di pipi Herdy sebelum lelaki itu keluar
dari biliknya. Syarizad berdiri di depan cermin, membetulkan ikatan rambut dan
juga baju kurung yang dipakai. Sepuluh minit berlalu, barulah dia keluar dari
bilik. Dia menuju ke dapur untuk membasahkan tekak.
“Kau
buat apa dengan tunang Yana tadi?”
Soalan
tiba-tiba itu mengejutkan Syarizad. Nasib baik tidak terlepas gelas dari
tangannya. Dikesat air yang meleleh keluar dari bibir dengan hujung lengan baju
kurungnya. Tubuh dipusingkan ke arah Idlan yang sedang tercegat di depan pintu
dapur yang terbuka luas.
“Lan...
apa kau cakap?” sengaja Syarizad bertanya semula. Cover line. Takkan
Idlan nampak kut? Mampus!
Idlan
menggeleng-geleng. Riak wajahnya penuh kekesalan.
“Aku
nampak Herdy masuk bilik kau tadi. Kau buat apa dengan dia?”
Syarizad
diam tidak menjawab. Gelas tadi dicuci lalu diletakkan semula di tempatnya.
Kemudian dia berjalan ke arah pintu. Selipar disarung dan dengan selamba
melangkah keluar.
“Ijad!”
Idlan menguatkan suaranya. Dia tahu Syarizad sengaja mengelak dan dia tidak
akan berhenti mendesak sehingga Syarizad mengaku. Dia bukannya bodoh sampai tak
boleh nampak apa yang sedang cuba disembunyikan Syarizad. Orang lain Syarizad
boleh tipu, tapi bukan dia.
Syarizad
berhenti melangkah. Matanya dipejamkan sesaat dua. Mengawal debaran jantung
yang kian tidak menentu. Sungguh dia tidak sangka Idlan akan nampak apa yang
baru berlaku. Mujur Idlan, kalau orang lain macam mana?
“Kau
buat benda tak elok dalam rumah Yana sendiri, masa majlis pertunangan dia,
dengan tunang dia? Apa semua ni, Jad? Kau dah hilang akal ke?” Idlan mengetap
giginya. Marah, tapi tidak tahu macam mana nak lepaskan. Kalau perlu diukur
kekesalannya sekarang, dia sendiri tidak pasti sudah sampai ke tahap berapa.
Syarizad
berpaling. Renungannya tajam menikam.
“Aku
benci Yana.” Selamba dan langsung tanpa rasa bersalah dua patah perkataan itu
dituturkan. Mujur tiada orang di kawasan belakang rumah waktu itu. Hanya ada
dia dan Idlan.
Idlan
tergeleng-geleng. Sangkanya, benci Syarizad hanya di mulut selama ini. Tak sangka benci itu benci yang betul-betul
benci.
“Sampai
macam ni kau sanggup buat dia?”
“Kenapa
tak?” Riak wajah Syarizad masih selamba.
“Ijad!
Kau sedar tak apa yang kau dah buat ni? Otak kau letak kat mana? Dah tak ada
akal sampai dah tak boleh fikir? Dah tak ingat dosa pahala?” Kasar bunyi suara
Idlan. Dia sudah tidak peduli lagi. Syarizad perlu disedarkan sebelum
betul-betul terlambat.
Syarizad
ketawa kecil. Sinis bunyinya.
“Kau
tak payahlah nak berceramah pulak dengan aku. Kalau kau tak suka, kau
boleh berambus daripada hidup aku. Aku pun tak hadaplah nak berkawan dengan kau
lagi!”
“Oh...”
Idlan kehilangan suara. Hatinya tercalar dengan kata-kata pedih yang
dilontarkan Syarizad itu. Sampai hati Syarizad. Sanggup putus kawan hanya sebab
dendam yang selama ini dipertahankan.
“Jadi
kau tetap nak sanjung dendam kau tu? Okey.” Idlan mengangguk-angguk.
Syarizad
mengetap bibir. Terasa dadanya turun naik menahan sebak yang semakin kuat
menghentak jantungnya. Ya Allah... apa aku cakap tadi? Dia mahu menarik semula
kata-katanya tadi tapi dia tahu sudah terlambat.
“Aku
memang dah tak kenal siapa kau sekarang, Jad...” Idlan kecewa. Benar-benar
kecewa. Kemudian dia berpaling dan beredar pergi.
Perlahan-lahan
setitis air mata jatuh ke pipi Syarizad. Adakah itu bermakna persahabatannya
dengan Idlan sudah sampai ke titik noktah? Dia sendiri yang
menoktahkannya.Sanggup menggadaikan harga persahabatan yang tidak ternilai
hanya kerana dendam yang disanjung.
Syarizad
terduduk di tepi rumah. Puas ditahan, esakan sepinya terluah juga.
BEG yang digalas sejak tadi diletakkan di atas riba lalu dipeluk rapat.
Kepala disandarkan pada kusyen sambil membuang pandang ke luar cermin tingkap
bas itu. Tiga hari menghabiskan masa di kampung yang langsung tiada harganya,
sudah tiba masanya untuk dia pulang ke Kuala Lumpur, meneruskan apa yang telah
dimulakan.
Dua
hari lepas, Idlan berjanji untuk membawanya berjalan-jalan pagi tadi. Tapi
selepas apa yang berlaku semalam, Idlan terus menyepi daripadanya. Dia cuba
untuk menelefon, tapi sudahnya tak jadi apabila teringatkan hubungan
persahabatannya dengan Idlan sudah retak.
Tangannya
pantas mengesat air mata yang jatuh ke pipi. Come on, Ijad... Kau tak
boleh nangis. Kau kena kuat. Kau tak boleh lemah. Kau yang mulakan semua ni,
jadi kau kena teruskan segalanya sampai ke titik noktahnya.
When a person who means the world to you turns his back on you, it
hurts like hell, bisik hati Syarizad
sendiri. Mata dipejamkan rapat-rapat, mengharap lena yang datang bakal membawa
mimpi yang indah.
BEN yang datang menjemput Syarizad di hentian bas. Mengenangkan rasa rindu
terhadap gadis itu, dia sanggup tinggalkan katil awal-awal pagi untuk pergi
berjumpa Syarizad.
“Sihat?”
tanya Ben.
Syarizad
mengangguk. Nada suara Ben yang penuh prihatin menghantar satu rasa ke dalam
dirinya. Hati yang lara sejak semalam terubat sudah.
“Macam
mana majlis tu?” tanya Ben lagi. Kalau boleh semua yang berlaku dalam hidup
Syarizad sepanjang gadis itu berada di kampung dia mahu tahu. Pintu kereta
dibuka untuk Syarizad masuk sebelum dia sendiri masuk ke tempat pemandu.
“Okey
aje...” perlahan suara Syarizad menjawab. Keluhan dilepaskan. Hatinya jadi
tidak senang tiba-tiba. Terbayang-bayang wajah kecewa Idlan di ruangan matanya.
“Nampak
macam tak happy aje,” rumus Ben. Betullah, tengok dari riak wajah saja
pun dia sudah tahu.
Syarizad
tersenyum hambar. Keprihatinan Ben semakin menambah sayu di hati.
“Encik
Ben, saya tak nak balik rumah lagi boleh tak?”
“Habis
awak nak ke mana?” Ben kerut kening. Pelik.
“Mana-mana
ajelah. Saya tak nak balik rumah lagi. Nanti kalau saya balik, saya rasa sunyi.
Lepas tu mesti overthinking.” Syarizad mengeluh lagi. Jemarinya bertaut
sesama sendiri.
Ben
tersenyum kecil. Comel sungguh riak wajah Syarizad itu di matanya.
“As
you wish.”
Syarizad
hanya diam apabila Ben melencong ke laluan yang lain daripada jalan ke
rumahnya. Dalam banyak-banyak tempat, Taman Tasik Titiwangsa itu juga yang dipilih.
“Tak
rasa macam awal sangat ke nak lepak kat taman ni?” tanya Syarizad sambil
menoleh ke sebelah.
Ben
ketawa halus.
“Jom
turun.”
Syarizad
hanya menurut. Ben duduk atas bangku, dia juga ikut duduk. Suasana sekeliling
masih gelap. Maklumlah, subuh pun belum.
“Kenapa
awak nampak macam tak happy? Mind sharing?” Ben bertanya lagi.
Syarizad
menggeleng-geleng.
“Tak
adalah, penat aje.” Dia malas cerita lebih. Lagipun Ben tidak perlu tahu apa
yang telah terjadi kepadanya sepanjang dia ada di kampung.
Ben
mengangguk akur.
“Saya
cuma nak awak tahu... kalau awak perlukan kawan untuk luahkan apa aje yang ada
kat dalam hati awak tu, saya ada.”
Barulah
terukir senyuman di bibir Syarizad.
“Encik
Ben ni baik sangatlah, sampaikan kadang-kadang saya lupa yang Encik Ben ni bos
saya.”
“Pernah
ke awak anggap saya ni bos awak?” usik Ben membuatkan Syarizad menyenggol
lengannya. Dia ketawa. “Gurau ajelah.”
“Tak
apa, saya faham. Saya memang selalu buat benda tak fikir dulu, kan? Tapi Encik
Ben tetap baik, tetap layan saya baik-baik.” Puji Syarizad. Dia bukan hendak
membodek, tapi memang betul pun Ben tu baik.
Ben
ketawa kecil. Segan dipuji begitu.
“Tak
adalah. Dah memang saya macam ni sejak azali lagi. Dah tak boleh nak ubah dah.”
Syarizad
tersenyum. Duduk berdua di situ sambil bercerita tentang macam-macam perkara
membuatkan dia lupa masalah yang baru melanda. Dia lupa apa yang baru terjadi
antara dia dan Idlan. Dia lupa yang dia merupakan orang ketiga antara Herdy dan
Liyana. Dia lupa tentang perjanjian yang dibuatnya dengan Datin Hazleena. Yang
dia tahu, berbual dengan Ben mampu buat dia tersenyum dan ketawa.
“Dah
subuh. Saya hantar awak balik.” Ben bangkit berdiri.
Syarizad
ikut bangun. Riak mukanya seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu tetapi tiada
apa pun yang keluar dari mulutnya.
“Fine.
Awak boleh cuti hari ni.” Ben yang faham segera bersuara.
Syarizad
tersenyum lebar.
“Terima
kasih, Encik Ben. Sebab tu saya saaaaayang Encik Ben!”
Ben
membalas dengan tawa kecil.
“Dapat
cuti terus sayang, kan?”
Syarizad
tersengih.
“Tak
adalah. Saya memang sayang Encik Ben pun.”
“Dahlah,
tak habis-habis mengarutlah awak ni,” balas Ben pura-pura tidak dengar sambil
melangkah menghampiri kereta.
“Encik
Ben ingat saya mengarut?” tanya Syarizad.
Ben
tidak menjawab. Hanya senyumannya masih belum surut dari bibir. Sebenarnya
pengakuan Syarizad tadi sangat mengusik hati cuma dia yang malas fikir
jauh-jauh. Takut apa yang dia harapkan tidak sama dengan kenyataan sebenar.
“Tak
apa, nanti Encik Ben akan tahu jugak sama ada saya mengarut atau tak,”
ujar Syarizad masih setia dengan topik yang sama.
“Masuk,”
arah Ben lalu dia sendiri masuk ke dalam kereta.
No comments:
Post a Comment