Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 12



“NIA!”
            Zenia yang sedang meneguk air mineral dari dalam botol hampir tersembur. Dikesat air yang meleleh di bibir dengan hujung lengan baju kemejanya sebelum berpaling ke arah Eton yang sedang tersengih-sengih dengan riak muka gatal. “Apa?” soalnya sambil menutup tudung botol di tangan.
            “Tu... handsome tak?” Eton memuncungkan bibirnya ke arah seorang pelajar lelaki yang sedang menuruni tangga. Rutin biasa mereka berdua hampir dua bulan bergelar pelajar di kampus itu, bertenggek di sebalik tangga sambil perhatikan orang lalu-lalang. Untung-untung, boleh ‘cuci mata’ sekali tengok siswa-siswa yang kacak.
            Mengecil mata Zenia memerhatikan lelaki yang dimaksudkan. Berkulit sawo matang, sederhana tinggi, berbaju T kolar, berseluar jeans, memakai jam di tangan kanan, berkasut kulit, beg digalas secara bersilang, memegang dua buah buku dengan tangan kanan dan...
            “Bercermin mata!” kata Zenia sambil memetik jari.
            So?” Eton buat muka pelik.
            Nerd, okey?” Zenia julingkan mata ke atas.
            “Mana ada! Handsome aje aku tengok.” Eton tak puas hati. Suka-suka aje si Zenia ni buat rumusan sendiri.
            “Sesuailah dengan kau,” balas Zenia sebelum terkekeh-kekeh ketawa.
            Spontan Eton memukul lengan Zenia. Rakannya itu menyambung tawanya lagi.
            “Okey, second one.” Eton membetulkan duduknya. Seorang lagi siswa yang sedang berjalan menuruni tangga yang sama kini menjadi perhatiannya. “Kulit putih, jalan tangan masuk dalam poket, rambut kemas dan hmm... tak pakai cermin mata,” gumamnya perlahan.
            Zenia ikut memerhati. Kepalanya terangguk-angguk tanda bersetuju dengan komen yang dibuat Eton. “Muka dia kurang handsomelah.”
            “Tapi gaya nampak smart, beb. Tak rasa macam tu ke?” pintas Eton laju.
            Zenia mengerutkan dahi. “Ya ke?”
            “Ya!” Eton mengangguk dan terus memerhati. Tiba-tiba...
            “Hai, Fahrin!” Seorang gadis datang menegur. Selamba sahaja dia memeluk lengan lelaki yang dipanggil Fahrin tadi.
            “Eh, hai!” balas Fahrin pula dengan nada mesra.
            “You sorang aje ke?” tanya si gadis itu. Nada suaranya bertukar manja.
            “You ada nampak siapa-siapa sebelah I ke sekarang?” kata Fahrin dengan senyuman mengusik.
            Gadis itu ketawa manja. “So... apa kata kalau you teman I pergi makan? I pun sorang jugak ni,” ajaknya sambil hujung jari telunjuk bermain-main dengan rambut ikalnya yang dilepas bebas.
            Zenia dan Eton sama-sama ternganga, jadi patung untuk seketika.
            Fahrin mengangguk. “Okey.”
            Gadis itu ketawa lagi lebih manja dari tadi. Dan mereka berdua pun berlalu sambil berpegangan tangan.
            Zenia dan Eton saling berpandangan sebelum...
            Reject!” Serentak mereka bersuara sebelum masing-masing ketawa sakan.
            “Pantang nampak perempuan cantik, terus keluar ciri-ciri buaya. Eii...” Eton menggeletikkan tubuhnya. Geli.
            Zenia ketawa lagi. “Kaulah puji tadi. Smart konon...” Suaranya dileretkan, sengaja menyindir.
            Fine!” Eton tarik muka.
            Third one!” Zenia berbisik perlahan ketika ternampak seorang lagi siswa menuruni tangga yang sama.
            “Okey yang ni aku tak nak. Dahlah pendek, tak handsome langsung,” komen Eton dengan kepala tergeleng-geleng laju. Macamlah mamat tu nak kat dia pun.
            “Okey apa, beb? Comel aje aku tengok,” balas Zenia sambil tergelak-gelak.
            Eton buat muka. Pandangannya kini teralih ke arah seorang lagi siswa yang sedang berjalan di belakang siswa yang dikatakan comel oleh Zenia tadi. Tidak semena-mena, bibirnya terukir senyuman. “Hmm... yang ni aku suka.” Dagunya ditongkat dengan tapak tangan sambil mata tidak teralih memerhatikan lelaki itu.
            Zenia mengerutkan dahi melihat reaksi Eton. Dia ikut berpaling ke arah yang sama dan...
            “Eton!” Disenggol kuat lengan Eton dengan riak muka tak puas hati. “Tu aku punyalah!”
            Eton mencebik sebelum ketawa. Tahu sangat memang Zenia akan ‘gila’ setiap kali nampak Hayyan. Sengaja aje nak test minah ni tadi. Tahu takut. Dia ketawa sendiri.
            Zenia menjuihkan bibirnya. Diperhatikan lelaki itu menuruni tangga sehingga hilang dari pandangan. Hayyan Rizqi, sejak hari pertama mengenali lelaki itu sampai sekarang, tak sedikit pun perasannya berubah. Tapi yalah... manalah the most eligible bachelor kat kampus tu nak pandang orang macam dia ni? Enggang takkan nak terbang sama paras dengan pipit, kan?
            “Eh, nak pergi mana?” tanya Eton kalut apabila melihat Zenia bangkit berdiri.
            “Balik.” Zenia menyangkut beg di atas bahu.
            “Alaaa... kejaplah, beb. Aku tak puas lagi ‘cuci mata’ ni,” tahan Eton. Sengaja buat suara merengek.
            “Kat bilik kan ada sabun. Nak aku tolong cuci?” Zenia sengih comel-comel. Menyindir.
            “Tak kelakar.” Eton tarik muka masam.
            Zenia ketawa. “Jomlah balik, assignment tak siap lagi.”
            Don’t remind me!” Eton mengangkat kedua-dua tangannya sebelum ikut bangkit berdiri.
            “Jomlah!” Zenia ketawa lagi lalu menarik tangan Eton untuk pulang ke kolej kediaman mereka.


BUNYI pintu terkuak mengalih tumpuan Zenia yang sedang ralit merenung skrin laptopnya. Dia berpaling ke belakang.
            “Tengok apa aku dapat.” Eton tersengih menayangkan DVD di tangannya.
            “Cerita apa?” Zenia senyum teruja.
            Eton berdeham sekali sebelum menjawab, “A Walk To Remember!”
            “Pelakon?”
            “Shane West!”
            “Okey, tu aku suka!” Terjerit Zenia dibuatnya.
            So apa tunggu lagi? Jom layan!” balas Eton lalu menghampiri mejanya untuk mengambil laptop miliknya.
            “Tapi assignment?” Baru Zenia teringat akan assignmentnya yang masih belum siap lagi.
            “Bila kena hantar?”
            Next week.”
            “Hmm...” Eton pura-pura mengira hari dengan jari-jarinya. “Lima hari lagi. Relakslah, beb!”
            Zenia ketawa. Dah faham sangat dengan perangai kawan baik dia yang sorang ni. Ditarik kerusi yang sedang diduduki dan diletakkan berdepan dengan katil. Eton pula meletakkan laptopnya di atas kerusi itu. Suis lampu dimatikan sebelum mereka sama-sama baring di katil, bersedia menonton filem A Walk To Remember yang entah dari mana di‘culik’ Eton.
            Best ke cerita ni? Mana kau dapat ni?” tanya Zenia. Sebuah bantal diambil dan dipeluk erat.
            “Aku pinjam dengan Nurul. Dia cakap cerita ni best. Paling penting, hero dia handsome,” ujar Eton sebelum tergelak sendiri. Begitulah dia dan Zenia, kalau tengok filem elemen terpenting sudah semestinyalah watak si hero.
            Handsomenya mamat ni...” Meleret suara Eton memuji watak lakonan Shane West dalam filem itu.
            “Landon Carter...”
            “Kalaulah aku jadi Jamie ni, bertuahnya badan...”
            “Tengok Landon ni kan, tiba-tiba aku terbayang Hayyan.” Zenia tersengih.
            Eton spontan menoleh ke arahnya. “Kau tu berani cakap aje. Bukannya nak cuba tegur dia.”
            “Takkanlah aku nak tegur dia? Seganlah weh!” Zenia memuncungkan bibirnya. Ada ke patut Eton suruh dia yang mulakan dulu? “Jatuhlah standard wanita sejati!”
            “Banyaklah kau punya sejati. Nanti kang kalau dia dah ada yang punya, kau jugak yang gigit jari,” perli Eton. Matanya kembali fokus ke arah skrin laptop.
            “Hmm...” Zenia menggumam sendiri. Skrin laptop menayangkan babak romantis antara Landon dan Jamie, tetapi fikiran Zenia melayang jauh mengingati Hayyan Rizqi.
            “Nanti-nantilah... kut ada peluang ke aku nak tegur dia nanti,” jawab Zenia kemudiannya. Bantal dipeluk rapat lagi.
            Tersengih Eton melihat tingkah Zenia. “Orang kalau angau memang susah,” komennya sebelum ketawa terkekeh-kekeh.



No comments:

Post a Comment