ANAK
mata Zenia meliar di sekitar rak itu, mencari buku yang diperlukan sebagai
rujukan untuk menyiapkan assignment
yang baru diterima oleh pensyarah pagi tadi. Nampak sahaja buku yang diperlukan
itu depan mata, laju tangannya mengeluarkannya dari barisan buku yang tersusun
cantik di atas rak itu. Namun dia terkejut melihat ada seseorang sedang
tersenyum ke arahnya dari depan rak, jelas melalui celah-celah lubang antara
buku-buku di situ. Siap bertongkat dagu lagi tu. Zenia kerut kening. Bila dah
dapat cam empunya senyuman manis itu, serta-merta hati rasa berbunga.
“Err... Hayyan...”
Hayyan keluar dari ruang tempat dia
berdiri tadi terus menghampiri Zenia. Dengan kedua-dua belah tangan dimasukkan
ke dalam poket seluar, dia berdiri tegak merenung Zenia dengan senyuman manis
masih tak lekang dari bibir.
“Nur Iris Zenia...” Perlahan nama
itu meniti keluar dari bibir Hayyan.
Zenia angkat kening. Eh, dia tahu
nama aku? Waaa... ni rasa nak menjerit bagitahu satu dunia ni!
“I
gave you my phone number, didn’t I?” tanya Hayyan dengan riak tenang.
“Hmm...” Lambat-lambat Zenia
mengangguk.
“Then,
kenapa senyap aje?” tanya Hayyan lagi. Masih dengan riak yang sama.
“Maksudnya?” Zenia kerut dahi. Eleh,
kura-kura dalam perahu betul aku ni!
Hayyan senyum. “Kalau pun tak sudi
nak call, SMS pun boleh, kan?”
“Oo... errmm...” Zenia menggaru-garu
dahi, kononnya berfikir jawapan yang ‘bernas’ untuk menjawab soalan Hayyan itu.
Tak sangka sebenarnya Hayyan akan tanya soalan macam tu. Dia tunggu aku contact dia ke? Ohmaiii...
Hayyan diam menanti jawapan Zenia.
Apabila melihat Zenia terus membisu dengan senyuman malu-malu kucing, dia
mengangguk tanda faham. Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar. “Tak apa
kalau awak tak nak contact saya. Saya
faham. So... boleh bagi nombor
telefon awak?” Selamba saja dia meminta.
Zenia tidak dapat menahan senyuman
di bibir. Macam mana ni? Nak jual mahal ke, nak bagi aje terus? Tapi kalau jual
mahal, aku jugak yang melepas. Kalau jual murah, tak nampak macam gatal sangat
ke?
Hesh... apa ni main jual-jual. Macam
nak jual body pulak. Erk.
Zenia garu-garu kepala. “Hmm...”
“Please...”
Hayyan rendahkan suara. Dah macam orang berbisik pulak. Almaklumlah, dalam library mana boleh bising-bising. Karang
ada jugak yang kena halau keluar.
Zenia berfikir-fikir. Tengok raut
muka Hayyan yang berharap sangat, dia jadi tak sampai hati nak kata ‘tak.’
“Okey. 017-XXXXXXX...” Sepantas
cahaya kilat Zenia menyebut satu-persatu nombor telefon bimbitnya.
Mujurlah jari Hayyan cepat
menangkap. Sekali sebut aje, dah selamat tersimpan nombor telefon Zenia dalam
rekod telefonnya. Senyuman manis sekali lagi terukir di bibir. “Thanks.”
“Sama-sama,” jawab Zenia malu-malu.
“Bila awak free?” Hayyan masih tak puas berbual dengan Zenia. Walau hakikatnya
nampak macam dia tengah cakap dengan tiang bendera. Zenia bukan jawab sangat
pun, setakat senyum malu-malu kucing aje dari tadi.
“Sekarang tak...”
“Jadi bila?” Cepat-cepat Hayyan
memotong kata-kata Zenia. Katalah dia nampak macam terdesak pun, dia tak kisah.
Lepas jumpa Zenia minggu lepas, otaknya sudah tidak boleh berhenti fikir
tentang gadis itu. Setiap masa, setiap saat, bayang muka Zenia aje yang dia
nampak kat mana-mana. Sebelum jadi makin parah, baiklah dia bertindak sekarang
juga.
“Esok free kut... lepas pukul 12.00.” Zenia menjawab juga akhirnya. Tu
pun siap tambah ‘kut’ kat belakang. Biasalah... cover line.
“Okey. Esok lepas pukul 12.00, saya
tunggu depan fakulti. Kita keluar sama. Okey?” Hayyan angkat sebelah kening.
Zenia diam tak menjawab. Hanya
senyum nipis menghiasi bibir. Hayyan ajak dating?
Oh... sikit lagi nak pitam!
“I’ll
take that as a ‘yes’.” Selamba Hayyan merumus. “So... jumpa esok?”
Zenia sekadar mengangguk.
“Okey. Bye...” Hayyan melambai kecil. Sempat tersenyum manis sebelum terus
berlalu meninggalkan Zenia di situ dengan hati yang berbunga-bunga indah.
JAM
di tangan menunjukkan pukul 12.12 tengah hari. Zenia mengintai dari sebalik
bangunan fakulti. Dari situ, dia boleh nampak dengan jelas Hayyan yang sedang
menunggu sambil menyandar di pintu keretanya. Tunggu siapa lagi kalau bukan
tunggu dia. Kan semalam dah janji nak keluar sama, kan?
Eh, tak tak... Zenia tak berjanji
pun. Hayyan yang pandai-pandai buat kesimpulan sendiri.
‘I’ll
take that as a ‘yes’.
Itu Hayyan yang cakap sedangkan
Zenia tak ada bagi jawapan apa-apa pun. Diperhati lagi lelaki itu. Sesekali
memandang jam tangannya, sesekali membelek-belek telefon bimbit, sesekali
merenung ke arah tangga fakulti, sesekali melilaukan mata ke sekeliling.
Apabila terasa pandangan lelaki itu bagaikan terhala ke arahnya, secepat kilat
Zenia menyembunyikan diri di sebalik bangunan.
“Dia nampak ke? Tak, kan?” Zenia bercakap-cakap
dengan diri sendiri. Nafas panjang dihela keluar dari mulut. “Nak pergi ke tak
nak ni? Kang kalau tak pergi, dia cakap apa pulak? Tapi kalau pergi...” Bibir
bawahnya digigit-gigit. “Hmm... tak payahlah!”
Kepala dihulurkan sedikit untuk
mengintai. Hayyan masih setia menunggu di sisi keretanya. Zenia takut kalau dia
pergi, entah apa pula pandangan pelajar-pelajar yang lain. Dia tidak mahu
menjadi perhatian hanya kerana keluar berdua dengan Hayyan. Lagipun dia dan
Hayyan baru lagi kenal, belum tahu hati budi lelaki itu macam mana. Memanglah
dia sukakan Hayyan, tetapi perasaan suka itu tidak menjamin keselamatan. Hayyan
tu lelaki, kan?
Lama berfikir-fikir, Zenia akhirnya
memutuskan untuk pulang ke kolej sahaja. Tak apalah... Kalau Hayyan ikhlas nak
berkawan dengan dia, mesti takkan semudah tu dia putus asa, kan? Lalu langkah
diayun perlahan untuk pulang ke kolej. Bukan tak ada perasaan bersalah, tetapi
Zenia cuba menepisnya daripada merajai hati.
Sampai
di bilik, Zenia menghidupkan telefon bimbitnya. Serentak itu bertalu-talu SMS
masuk. Semuanya kiriman Hayyan. Tak kurang banyaknya juga dengan jumlah
panggilan yang tak dijawab. Zenia menggaru kepala membuka SMS itu satu-persatu.
Saya
tunggu awak depan fakulti. Jangan lupa okey? J
Nia,
awak kat mana? Dah habis kelas ke belum?
Dah
lama saya tunggu ni. Awak kat mana? Ada kelas lagi ke?
Nia,
awak tipu saya eh? Kenapa tak jawab call?
Untuk SMS yang seterusnya, Zenia
sudah tidak sanggup lagi membacanya. Baru sahaja melabuhkan duduk di atas
katil, telefon itu berdering pula. Tak perlu tengok skrin, Zenia tahu Hayyan
yang telefon.
Apa nak buat ni? Nak jawab ke tak?
Jawab ke tak?
“Kalau jawab, nanti dia tanya nak
cakap apa? ‘Sorry Hayyan, tapi saya
betul-betul takut nak keluar dengan awak.’ Macam tu ke? Ish... takkanlah!”
Zenia mengeluh. Kepalanya digaru-garu lagi.
Telefon bimbit diangkat di depan
matanya. Bukan sekali, malah berkali-kali lelaki itu menelefonnya. Tiba-tiba
Zenia rasa kelakar pula. Tawanya meletus sendiri.
Muka disembamkan ke atas bantal.
Biarlah dulu... Macam yang dikatakan tadi, kalau betul Hayyan ikhlas, tentu
lelaki itu tidak akan berputus asa begitu sahaja.
No comments:
Post a Comment