“MAMA!
Mama! Nanti Adam nak mandi kolam boleh tak?” Adam melompat-lompat teruja sambil
memandang ke arah kolam renang dari atas apartmen.
“Ya, sayang... Kejap lagi ya. Adam
jangan lompat-lompat kat situ, bahaya,” tegur Zenia. Adam segera berlari masuk
ke ruang tamu.
Zenia
mengangkat sebuah beg yang memuatkan baju mereka berdua terus masuk ke dalam
bilik. Apartmen itu mempunyai tiga buah bilik dan dia akan berkongsi bilik
bersama Adam dan Zatie. Amira menginap sebilik bersama Murni dan satu bilik
lagi dihuni Aisyah dan Zuhaira. Walaupun Zuhaira dah kahwin, tapi dia tetap
datang sendiri. Berlainan dengan Kak Milah yang datang satu keluarga dan
menginap di apartmen lain di Permaisuri Resort itu.
“Kau
cakap Hayyan nak datang. Aku tak nampak pun dia tadi,” kata Zatie sambil
meletakkan beg pakaiannya di tepi katil. Kemudian dia terus baring di situ
melepaskan lelah. Lelah apalah sangatnya, KL dengan Port Dickson bukannya jauh
sangat.
Dengar
saja nama Hayyan, terus jantung Zenia berdegup tak tentu arah. Teringat malam
tempoh hari sewaktu terserempak dengan Hayyan di Tesco. Malam itu juga Zatie
memaksanya untuk bercerita siapa Hayyan. Jadi terpaksalah Zenia mengaku lelaki
itulah Hayyan Rizqi yang pernah menjadi insan istimewa dalam hidupnya suatu
masa dulu.
“Entah.”
Sepatah Zenia menjawab.
“Tak
tanya dia?”
“Buat
apa? Tak ada kepentingan pun.” Acuh tak acuh Zenia menjawab. Pakaian yang perlu
digantung dikeluarkan dari beg lalu digantung dalam almari yang sudah tersedia
dalam bilik itu.
Zatie
tersengih. “He’s a nice guy.”
“Mana
kau tahu? Kau bukan kenal dia pun,” balas Zenia tanpa memandang muka Zatie. Tak
mahu gadis itu tahu apa yang sedang dipendam dalam hatinya ketika itu.
“Kalau
dia jahat, dia takkan datang cari kau balik...” jawab Zatie sepi.
Zenia
terdiam. Pergerakan tangannya sudah semakin perlahan. Ya, Zatie betul. Hayyan
Rizqi memang lelaki yang baik. Sangat baik...
Zatie
bingkas menuju ke bilik mandi. Tak sampai seminit Zatie keluar, telefon bimbit
Zenia berdering. Terus dicapai dari dalam beg tangan. Nombor yang tak dikenali
tertera pada skrin. Zenia menjawab tanpa fikir panjang.
“Hello, love. Dah sampai bilik?”
Suara
riang itu mengundang kerut pada dahi Zenia. Hayyan? Siapa lagi yang berani
panggil dia macam tu kalau bukan Hayyan, kan?
“Hayyan?”
“Ya,
saya...”
“Mana
awak dapat nombor saya?”
“Dunia
sekarang di hujung jari, sayang. Tak perlu tanya pun soalan mudah macam tu.”
Hayyan ketawa kecil.
Zenia
mengetap bibir. Memang Hayyan suka buat hatinya bergolak hebat. “Awak kat mana
ni?” Entah macam mana soalan itu pula boleh keluar. Gelabah punya pasal, main
tanya aje apa yang melintas di kepala.
“Kat
resort yang sama dengan awak. Saya duduk satu apartmen dengan Khairil,” jawab
Hayyan. Khairil datang bawa isteri, dia datang bawa angin aje. Zenia punya
pasal, apa pun sanggup. Lagipun dia tak berniat nak sertai mana-mana aktiviti
yang diadakan, setakat datang sebab nak ada dekat dengan Zenia. Katalah dia
terdesak sekali pun, dia tak kisah.
“Petang
nanti turun?” tanya Hayyan apabila Zenia cuma senyap.
“Tak
tahu lagi...” balas Zenia perlahan. Dia duduk di atas katil sambil menyandar di
kepala katil. Janganlah Zatie masuk bilik waktu itu. Kalau tak, entah apa lagi
nak dikorek gadis itu nanti.
“Turunlah,
saya nak jumpa awak,” pinta Hayyan. Nada suaranya lembut sekali, menghantar
getar dalam hati Zenia.
“Saya
bukannya nak join aktiviti pun. Datang sini sebab nak rasa suasana pantai,”
jelas Zenia.
“Samalah
kita. Kalau macam tu, awak tak payah join
apa-apa aktiviti. Teman saya jalan-jalan tepi pantai kat belakang resort ni
aje. Okey?” Sesuka hati Hayyan memberi cadangan.
Zenia
diam tak menjawab. Jalan-jalan berdua tepi pantai dengan Hayyan? Sebelum Hayyan
‘membelasah’ hatinya lagi dengan kenangan lama mereka berdua, lebih baik dia
undur diri dulu. “Tak naklah.”
“Laa...”
Hayyan jelas tak puas hati. “Please...”
Pintu
bilik terkuak, muncul Zatie bersama Adam yang sedang pot-pet pot-pet entah apa.
“Tengoklah macam mana, bye.”
Buru-buru Zenia mematikan talian.
“Mama!
Cepatlah... Adam nak mandi kolam.” Adam menarik-narik tangan mamanya supaya
turun dari katil.
“Panaslah
waktu-waktu macam ni, Adam. Mana ada orang mandi kolam,” ujar Zenia. Hal Hayyan
belum hilang dari fikiran, Adam pula merengek minta macam-macam. Sakit kepala
dibuatnya.
“Aunty nak turun kejap jalan-jalan. Adam
nak ikut?”
Pucuk
dicita, ulam mendatang. Adam terus bersorak tanda setuju. Gembira sangat AuntyZatienya itu ajak berjalan. Zenia
sekadar buat muka. Nak halang pun tak ada sebab. Biarlah Adam nak berseronok
hari itu.
ENTAH
ke mana Zatie membawa Adam. Hantar SMS tanya pun hanya dibalas ‘kau janganlah
risau, Adam selamat dengan aku’ siap dengan winky
face. Bosan duduk di bilik, Zenia putuskan untuk turun mengambil angin.
Kalau tak silap petang itu ada acara permainan bola tampar di tepi pantai untuk
para bapa yang datang menyertai hari keluarga itu. Zenia tak ada hati nak
menonton jadi dia cuma berjalan-jalan di tepi pantai sambil menghirup udara
petang.
“Tadi orang tu cakap tak nak turun,
nak duduk kat bilik aje rehat. Tup-tup, dia yang sampai dulu kat pantai ni.”
Suara yang disertai dengan gelak
kecil itu mematikan langkah Zenia. Tak payah berpaling, dia dah tahu itu
Hayyan. Macam mana boleh lupa pasal mamat ni seorang? Nak tak nak terpaksalah
dia berdepan dengan Hayyan juga.
“Mana ada saya cakap nak duduk rehat
kat bilik. Saya cuma cakap tak nak turun aje,” dalih Zenia.
“Ayat dia lain, tapi maksud sama,”
balas Hayyan pula.
Zenia malas melayan. Langkahnya
diteruskan.
“Adam mana?” Hayyan berjalan
menyaingi langkah perlahan Zenia. Wajah wanita itu direnung dari sudut tepi.
Zenia nampak tenang dengan rambut yang diikat satu, baju T lengan panjang
dengan skirt labuh yang hujungnya diangkat sedikit dan dipegang dengan tangan
kirinya.
“Keluar dengan Zatie.” Ringkas Zenia
menjawab.
“Baguslah...” gumam Hayyan sambil
tersenyum penuh makna.
“Apa yang bagus?” Zenia kerut kening
memandang Hayyan. Ceria semacam kenapa?
“Bagus sebab dia orang macam bagi
peluang kat saya untuk habiskan masa dengan awak kat pantai ni...”
“Hayyan...” Zenia menghentikan
langkahnya. Lelaki itu kini berdiri menghadapnya. “Cukuplah tu. Saya tak nak
dengar awak cakap apa-apa lagi pasal kita.” Wajah Hayyan direnung tepat namun
hanya sekejap. Jantung terasa berdegup laju lagi. Kenapa setiap kali dia cuba
nafikan rasa di hati, setiap kali itu juga dia gagal?
“Bagi saya sebab kenapa saya tak
boleh cakap pasal kita?”
“Sebab kita dah putus lama dulu.”
Zenia menentang renungan Hayyan lagi. “Saya yang putuskan hubungan kita berdua.
Saya yang tinggalkan awak, saya yang mintak awak lupakan saya, saya yang mintak
awak cari pengganti lain. Awak dah lupa semua tu?” Bergenang sepasang matanya
tika menuturkan kata-kata itu. Angin dingin pantai tidak lagi menyejukkan.
Zenia mengetap bibir menahan sebak.
Hayyan menghampiri gigi pantai.
Selipar yang dipakai ditanggalkan dan melipat hujung seluar hingga ke paras
betis. Sengaja membiarkan air laut mengenai kakinya. “Nia, sejuk air kat sini.
Mehlah try,” ajaknya dengan suara
yang diceriakan.
Zenia memejam matanya seketika.
Kenapa Hayyan sengaja mengelak apabila dia membuka kisah itu?
“Come.”
Hayyan menarik tangan Zenia supaya mendekatinya. “Tanggalkan sandal awak,” suruhnya.
Zenia pun tak tahu apa yang
merasuknya supaya mengikut kehendak Hayyan. Sandal
yang ditanggalkan terus diambil Hayyan tanpa sempat dia menghalang.
“Lain kali kalau awak nak datang
pantai jangan pakai skirt tau. Angin kat pantai ni kuat, nanti habis terbang
skirt awak. Lainlah kalau kita ni dah kahwin, tak apalah saya nak tengok
lebih-lebih,” gurau Hayyan lalu ketawa sendiri. Dia tunduk bermain-main air
dengan tangan kiri sementara tangan kanan memegang seliparnya dan juga sandal Zenia.
Zenia diam saja di situ. Setiap
kata-kata Hayyan, setiap gurauan Hayyan, hanya menambah debar dalam hatinya.
Adakah itu bermakna cinta untuk lelaki itu masih ada? Masih tak pernah padam
biar apa pun berlaku antara mereka berdua?
Zenia terkejut apabila tiba-tiba
Hayyan memercikkan air ke mukanya. “Hisy, Hayyan!”
Hayyan ketawa. Makin Zenia marah,
makin seronok dia memercikkan air ke muka wanita itu. Zenia yang geram
bertindak membalas ‘serangan’ Hayyan. Sudahnya kedua-duanya basah lencun
bermain air di gigi pantai itu. Selipar yang dipegang Hayyan tadi sudah
terlepas entah ke mana. Seronok sangat bermain sampaikan tak peduli lagi dah
keadaan di sekeliling. Wajah Zenia yang tadinya suram, bukan main gembira lagi.
Hampir sejam menghabiskan masa di pantai, barulah kedua-duanya memutuskan untuk
pulang ke resort.
“Hayyan, sandal saya!” Zenia terjerit memanggil Hayyan yang sudah jauh
berjalan di depan. Sesuka hati dia aje tinggalkan aku kat sini, bebel Zenia
dalam hati.
Hayyan masih lagi dalam tawa
rancaknya. Dia berpaling ke belakang. Sandal
Zenia di tangannya ditayangkan tinggi.
Zenia mengetap bibir. Dihampiri
Hayyan dengan kaki yang sudah bersalut pasir pantai. Melekit-lekit jadinya.
Nasiblah, siapa suruh main air tak ingat dunia.
“Nah, tuan puteri.” Hayyan
meletakkan sandal Zenia di atas
pasir.
Zenia terus menyarung sandal itu.
“Ni semua awak punya pasal. Balik nanti tak tahulah nak jawab apa dengan Adam
kalau dia tanya.”
“Pasal Adam tu awak tak payah risau
sebenarnya. Awak cakap apa aje dia mesti percaya. Yang awak kena risaukan,
macam mana nak jawab dengan Zatie.” Hayyan tersengih.
Zenia menjeling. Betul kata Hayyan
tu. “Salah awak semua ni!”
Dan Hayyan terus menyambung tawanya
yang entah bila akan habis.
AYAM,
udang, sotong dan beberapa jenis makanan lagi menjadi hidangan untuk acara BBQ
malam itu.
“Mama, Adam nak ayam!” Adam meminta
lagi sesudah ayam dalam pinggannya habis dimakan.
“Tunggu kejap ya. Ramai orang lagi
kat depan tu,” ujar Zenia. Panjang lehernya mengintai ke arah tempat bakar.
“Nah!”
Seketul ayam tiba-tiba diletakkan di
dalam pinggan Adam. Zenia tercengang-cengang dengan muka terkejut sementara
Adam bukan main gembira lagi. Hayyan ukir senyuman panjang sambil duduk di
sebelah Zenia.
“Habis awak tak makan?” tanya Zenia
hairan.
“Tak apa, kejap lagi boleh tambah. Kesian
Adam nak makan ayam,” jawab Hayyan masih dalam senyumannya.
“Terima kasih, uncle!” ucap Adam ceria.
“Sama-sama,” jawab Hayyan juga dalam
nada yang sama.
Zenia terus tak jadi nak menyambung
suapan. “Kenapa tak pergi join dia
orang semua makan kat sana? Bos pun ada kat sana,” ujarnya sambil memandang
Hayyan.
“Malaslah, saya bukan kenal pun
semua orang kat sana,” jawab Hayyan.
“Hai... sejak bila pulak awak jadi anti-social ni?” Zenia mencemikkan
mukanya. Sengaja nak mengusik.
“Sejak awak tinggalkan saya,” jawab
Hayyan spontan, sekali gus membuatkan Zenia terkunci mulut. Wajah gadis itu
tegang serta-merta. Hayyan simpan senyum. Dia sengaja bergurau, bukannya
benar-benar memaksudkan baris ayat itu. “Bukan anti-social, cuma malas nak beramah mesra. Baik saya duduk kat sini
dengan awak, lagi bagus.”
Zenia terus diam. Tak tahu lagi nak
jawab apa. Tertanya-tanya sama ada Hayyan betul-betul maksudkan kata-katanya
tadi atau sekadar gurauan.
“Mama, Adam nak pergi kat sana boleh
tak?” Adam menyampuk tiba-tiba, meminta izin.
“Pergi mana? Ada apa kat sana?”
tanya Zenia.
“Sana...” Adam memuncungkan bibir ke
arah yang dimaksudkan. “Kawan-kawan Adam kat sana.”
“Kawan-kawan Adam?” Zenia kerut
dahi. Bila masa pulak Adam bawak kawan datang sini?
“Petang tadi masa jalan-jalan dengan
Aunty Zatie, Adam dapat ramai kawan.”
Adam tersengih-sengih bercerita.
“Ramai kawan Adam?” Hayyan pula yang
bertanya. Sengaja tunjuk minat.
Adam mengangguk laju. “Ramai sangat!
Ramai ni...” Sepuluh jari tangannya diangkat tinggi.
Hayyan ketawa. Adam memang sangat adorable, sama macam mamanya dulu-dulu.
Sekarang aje dah jadi makin garang.
“Okey, tapi jangan pergi jauh-jauh
tau?” pesan Zenia. Pinggan di atas riba Adam diambilnya.
Adam terus melompat dari kerusi dan
berlari mendapatkan kawan-kawannya.
“He’s
so adorable... macam awak dulu-dulu.” Entah macam mana apa yang ada di hati
boleh terkeluar di bibir. Tapi Hayyan langsung tak rasa bersalah menuturkan
kata-kata itu.
“Jadi sekarang tak adorablelah?” Zenia pun tak tahu macam
mana bibirnya boleh berani bertanyakan soalan itu. Hanya selepas terpandangkan
senyuman mengusik Hayyan, barulah dia tersedar. Apa aku tanya tadi?
“You
are more mature now,” kata Hayyan.
Zenia diam memandang pinggan di atas
ribanya. “Betul ke apa awak cakap tadi?”
“Yang mana satu? Dah banyak sangat
benda yang saya cakap tadi,” balas Hayyan tenang.
Zenia hembus nafas panjang. “Awak
jadi anti-social lepas kita putus
dulu?” Direnung wajah Hayyan mencari jawapan. Tak tergamak rasanya nak menyebut
‘lepas saya tinggalkan awak dulu?’ walau memang itu pun hakikatnya.
Hayyan senyum hambar. “Awak takkan
percaya...”
“Tapi...”
“What’s
done is done. Okay?” Hayyan membalas renungan Zenia. Sekejap saja, wanita
itu sudah menundukkan kepalanya semula. “Kalau boleh saya nak mulakan semuanya
dari awal balik,” tuturnya perlahan.
“Walaupun awak sendiri tahu tu
mustahil,” kata Zenia pedih.
“Tak mustahil kalau awak pun nak
benda yang sama,” tingkah Hayyan.
Zenia menggeleng-geleng dengan
senyuman pahit. Dia bangkit berdiri. “Don’t
put your hope too high, Hayyan. Kita tak tahu apa yang bakal jadi pada masa
depan.”
Hayyan hanya memandang sepi langkah
Zenia yang kian menjauh. Benar kata Zenia, kita tak tahu apa yang bakal terjadi
pada masa depan. Tapi, tak salah kalau kita mencoret masa depan kita sendiri
dan berdoa agar semua itu menjadi kenyataan, kan?
No comments:
Post a Comment