Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - PROLOG




“MANA perempuan tu? Mana perempuan tak sedar diri tu? Biar aku ajar dia cukup-cukup!”
            Suara lantang itu mengejutkan Zenia yang sedang duduk bersendirian di dalam bilik. Kedua-dua tangannya bertaut dan jemari saling menggenggam. Jantung berdegup laju mengepam darah ke seluruh tubuh. Liur ditelan berkali-kali. Sepasang mata dipejamkan dengan lafaz doa yang meniti perlahan dari dua ulas bibirnya. Kain langsir bilik yang diselak kasar dari luar menyentakkan Zenia. Wajah bengis Mak Long Mardiah membuatkan perutnya terasa semakin kecut. Di belakangnya pula, berdiri Maryam dengan air mata yang sudah basah di pipi. Perlahan-lahan Zenia bangun.
      Mardiah merenung Zenia dengan mata mencerlung. Anak saudaranya itu dihampiri dengan rasa sakit hati yang semakin kuat menendang dadanya. “Anak tak sedar diuntung!” Pipi Zenia menjadi mangsa tamparannya.
            Zenia jatuh terduduk semula di birai katil. Esakan kecil yang ditahan akhirnya terluah juga.
            Maryam mara ke depan. “Kak long, sudahlah tu. Nia tak bersalah dalam hal ni. Yam dengan Abang Mokhtar yang bersalah. Jangan buat Nia macam ni, kak long...” Rayuannya berlagu-lagu bersama tangisan yang bagai tiada penghujung.
            “Dia tak bersalah?” Semakin tinggi nada suara Mardiah. “Tu... anak dalam perut dia tu, salah siapa kalau bukan salah dia sendiri? Hah!”
            “Mak long, Nia mintak maaf... Nia tahu Nia salah. Nia tak...”
            “Kau diam! Aku tak nak dengar apa-apa dari mulut kau! Sebelum kau buat, kau tak fikir akibat. Tak fikir ibu dengan abah kau kat kampung ni, tak fikir maruah keluarga! Kau tahu tak sekarang ni orang kampung sibuk duk bercakap pasal kau? Kononnya kau melacur diri kat bandar tu sampaikan boleh mengandung! Kau sedar tak semua tu?”
            Terasa bergegar seluruh isi rumah kayu itu dengan jeritan Mardiah. Tak cukup dengan itu, tangannya pula naik memukul badan Zenia. Bukan tidak Zenia merayu, bukan tidak Maryam menghalang, tetapi Mardiah seperti sudah dirasuk hantu. Sementara Mokhtar yang berdiri di tepi pintu rumah, hanya mampu berdiam diri menahan sebak atas apa yang telah berlaku.
            “Mak long... Nia mintak maaf, Nia mintak ampun. Nia merayu, mak long...” Zenia terus merayu. Biarpun sakit dipukul, perit lagi pedih di hati.
            “Kak long, jangan buat anak Yam macam ni. Jangan pukul Nia, kak long. Maafkanlah dia...” Maryam memeluk Zenia, menghalang kakaknya daripada terus memukul tubuh tidak bermaya anaknya itu.
            “Hah! Baguslah tu! Tatanglah anak kau tu sampai langsung tak nampak apa salah dia. Dia dah conteng arang ke muka kita semua pun kau masih nak menangkan dia lagi? Memang patutlah anak kau jadi sundal macam ni!”
            Kata-kata penghinaan itu terasa berdesing di telinga Zenia. Air mata semakin lebat mengalir ke pipi. Pelukan ibunya tidak mampu untuk mengubati hati yang telah tercalar pedih.
            Mardiah tidak sanggup lagi menunggu di situ. Kalau dia berlama-lama lagi, silap-silap boleh mati Zenia dikerjakan. Dengan hati yang panas membara, dia berlalu keluar dari bilik itu.
            “Jagalah anak dengan bini kau tu elok-elok!”
            Sempat telinga Zenia menangkap pesanan berbaur sindiran itu kepada ayahnya di luar bilik. Sampai hati mak long...
            “Sudahlah tu, Nia. Mak long tengah marah tu. Jangan ambik hati dengan apa yang dia cakap ya?” Maryam memujuk lembut. Walau apa pun tohmahan orang sekeliling, Zenia tetap anak yang dia sayangi sepenuh hatinya.
            Zenia menggeleng-geleng dalam tangisnya. “Memang betul apa yang mak long cakap tu, ibu. Nia memang anak tak sedar diri, Nia dah malukan ibu dengan ayah... Nia...”
            Maryam terus memeluk Zenia dengan erat. Biarlah kepedihan yang Zenia rasai dapat dikongsi bersama.


ZIP pada beg itu ditarik. Sekali lagi Zenia mengesat pipi yang basah dengan hujung lengan baju kurungnya. Kemudian beg itu diangkat menuju ke luar bilik. Ibu dan ayah sedang berdiri di tepi pintu. Wajah masing-masing suram, sesuram hatinya yang terasa terlalu berat untuk pergi.
            “Nia pergi dulu, ibu, ayah...” Biarpun berat, baris ayat itu tetap dilepaskan dari mulutnya. Zenia mencapai tangan ibu lalu menciumnya dengan penuh rasa hina.
            Maryam mengusap kepala Zenia. Esakannya masih berpanjangan. “Nia betul ke nak tinggalkan ibu? Tinggalkan ayah?”
            “Nia terpaksa, bu... Nia tak nak sebab Nia, ibu dengan ayah kena hina dengan orang kampung. Nia sanggup pergi kalau itu yang boleh buat orang kampung tutup mulut...”
            “Tapi Nia nak ke mana, sayang?”
            “Itu ibu jarang risau. Pandailah Nia nak hidup sendiri lepas ni. Cuma Nia mintak ibu doakan Nia supaya Nia terus kuat. Boleh kan, ibu?” Zenia meminta dalam tangis.
            Maryam terus memeluk Zenia dengan erat. Hati seorang ibu terasa amat pedih apabila satu-satunya anak yang dia ada akan pergi meninggalkannya. Pergi ke suatu tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana. Dahi Zenia dikucup lama, menzahirkan rasa kasih dan sayang yang tidak mungkin akan pudar walau apa saja yang terjadi.
            “Nia sayang ibu...” bisik Zenia perlahan.
            “Ibu pun sayang Nia...” balas Maryam.
            Zenia melepaskan pelukan ibu lalu memusingkan tubuhnya memandang ayah. Tangan yang sudah berkedut itu dicapai lalu dikucup.
Air hangat yang mengalir menyentuh tangannya membuatkan Mokhtar sebak. Terus tubuh Zenia ditarik ke dalam pelukannya. Walau apa pun yang terjadi, Zenia tetap anaknya. Biarlah orang terus menghina dan mencaci, tidak sedikit pun rasa kasih dan sayang untuk Zenia pudar.
“Nia mintak maaf, ayah...”
“Nia tak salah. Semua ni salah ayah. Ayah yang tak pandai didik Nia, ayah tak bertegas dengan Nia selama ni. Maafkan ayah, sayang...” Puas ditahan, air matanya menitis juga ke pipi. Beberapa keping not RM 50 diselitkan dalam genggaman Zenia. Walaupun sinar dalam sepasang mata Zenia jelas cuba menolak, Mohktar tetap mahu Zenia mengambil wang itu.
“Jaga diri baik-baik, Nia. Selalu telefon ibu dengan ayah. Jaga kesihatan, jaga anak dalam kandungan,” pesan Maryam untuk kali terakhir.
Suasana ketika itu dibungkus kesedihan. Zenia mencapai begnya dengan kedua-dua tangan yang terasa gigil. Perlahan-lahan langkah kaki dibawa turun dari rumah itu. Semakin jauh kaki melangkah, semakin lebat air mata yang menitis ke pipi. Tangan kirinya mengusap perut yang kini menyimpan satu nyawa. Ya Allah, andai ini jalan yang Engkau bentangkan untukku, kuatkan aku untuk melaluinya sehingga ke penghujung.

No comments:

Post a Comment