Tuesday 8 March 2016

AKU SAYANG KAMU - BAB 10



Kak Long memaksa aku duduk diam-diam di depan cermin. Tangannya lincah mengoles eye-shadow di kelopak mataku. Terkejip-kejip biji mataku menahan rasa tak selesa. Rasa mahu buka kelopak mataku secepat yang mungkin.
            Seronok sangat keluar shopping dengan Kak Long semalam, aku terlupa terus tentang jemputan ke rumah keluarga Encik Irfan malam ini. Kalau tidak kerana Abang Is yang bertanya siang tadi, tentu sekali malam ini aku bersantai-santai sahaja di atas katil sambil memeluk bantal busuk kesayanganku.
            “Ok dah siap, cantik dah!” Kak Long puas hati dengan hasil contengannya di mukaku.
            “Tak tebal sangat ke Kak Long?” Aku buat aksi sambil mataku tak lepas memandang ke cermin meneliti warna-warna di wajahku.
            Perfect! Err.. Kak Long nak tanya ni… Siapa Irfan Mukhriz?”  Fuhh! Soalan cepumas keluar dari mulut Kak Long. Nak jawab ke tidak ek? Siang tadi beria-ria aku tahankan gelodak hatiku yang tidak sabar mahu bercerita tentang Irfan Mukhriz Tan Sri Zainudin. Nampak gayanya, Kak Long yang lebih dulu bertanya sebelum sempat aku bercerita apa-apa.
            “Sepupu Cik Natrah. Encik Irfan tu, bekas bos Ayu”
            “Ahaa.. patutlah kelmarin tanya Kak Long pasal kahwin. Rupanya, Ayu pun dah ada calon? Biar Kak Long teka. Irfan Mukhriz tu mesti handsome, tingi, tegap, macho… Lagi satu muka dia iras-iras Aaron Aziz?” Aku ketawa.
            “Alahai… tu Kak Long copy paste statement yang Ayu pernah cakap dulu tu, kan? Mana aci!”
            “Habis tu, tak sama ke? Anak Tan Sri tu hitam legam,  pendek, berut buncit dan kepala botak?” Sekali lagi aku tergelak sakan.
            “Irfan ok… Adalah sikit macam Aaron Aziz tu. Sikit je lah kot….” Jawapan yang keluar dari mulutku buat Kak Long tersenyum gelihati. Macam susah sangat dia mahu percaya dengan kata-kataku.
            “Sikit je? Sikit banyak mana tu?  20%, 10 %  atau  1% je?” Kak Long masih tak berpuas hati.
            “Rahsia. Nanti one fine day, kalau Kak Long jumpa dia, Kak Long nilaikan sendiri, okey?”
            “Bila tu?” Kak Long angkat kening ala-ala Ziana Zain. Lagi mahu mengusikku.
            “Tak lama lagi. Actually Irfan dah belikan cincin untuk Ayu. Cincin tunang”
            What?” Kak Long terkejut. Teruja sungguh dia.
            “Syhhh!!. Jangan bagitau Ummi atau Babah tau? Ini rahsia kita-kita aja. Irfan belum putuskan lagi bila family dia nak masuk meminang” Pintu bilikku diketuk kuat.
            “Ayu…. Tak siap lagi ke? Irfan dah sampai ni..” Suara Abang Is kedengaran.
            “Ok.. ok.. Ayu dah siap. 5 minutes!” Aku melaung dari dalam.
            “Baju Ayu okey tak ni?” Aku tanya Kak Long dan pusingkan badanku ke kiri dan ke kanan di depan cermin. Kebaya pendek bersulam yang Abang Is beli di Jakarta dengan kain batik bersusun kipas di depan, aku bergaya ala-ala ‘Perempuan Melayu Terakhir’. Rambut ikalku yang melepasi bahu, aku lepaskan begitu saja.
            “Dah cantik dah! Cepatlah pergi. Kesian Cik Abang tu tunggu lama-lama”
            “Alah. Biar ajalah. Lelaki kena diajar bersabar dengan kerenah kita. Kalau dia tak sabar… so, bye-bye jelah!”
            “Hah! Bagus sangatlah perangai macam tu. Sekali dia ‘bye-bye’ kat Ayu.. barulah tujuh hari tujuh malam berendam air mata. Dah..... keluar cepat!” Kak Long tolak badanku agar segera keluar.
            Have fun. Kirim salam pada bakal mertua!” Laung Kak Long. Cepat-cepat aku letakkan jari di bibirku agar Kak Long perlahankan suaranya. Nanti gempar satu rumah pula. Naya aja kang!
            Keluar saja dari bilik, aku bertembung dengan Abang Is yang juga mahu turun ke bawah. Tersenyum lebar aku melihat betapa kacaknya Abang Is dalam tuxedo dan bow-tie hitam dilehernya.
            “Abang nak jemput Natrah kat rumah dia. Ayu jaga diri. Abang dah cakap dengan Irfan, malam nanti, Ayu balik dengan Abang”
            “Ok Abang Is…. See you there”
            Encik Irfan menunggu di dalam kereta. Nampak sahaja aku keluar dari pintu pagar, pintu kereta sebelah penumpang terbuka dari dalam dan dia mempersilakan aku masuk.
            Get in.. kita dah lambat”
            Sorry!” Aku minta maaf. Kesian pula pada Encik Irfan yang menunggu lama. Dengan Kak Long, bukan main aku berlagak tadi. Bila bersama Encik Irfan, lain pula jadinya. Serta-merta hatiku cair bak ais yang diletak ke dalam air panas.
            No harm, Sayang. Saya ada surprise untuk awak..”
            “Apa dia?” Dengan tidak sabar, aku terus bertanya.
            “Dah namanya surprise, tunggulah sampai sana nanti.” Aduh!!.. Malu sungguh aku dengan sikap gelojohku. Lebih baik aku berdiam diri saja. Takut mahu bertanya apa-apa lagi.
            “Awak takut tak nak jumpa Mummy dan Daddy saya?”
            “Takut jugak. Seriau ni…” Encik Irfan ketawa kecil.
            “Tengok awak berpakaian macam ‘Perempuan Melayu Terakhir ni’, saya pasti Daddy dan Mummy saya sukakan awak” Aku balas pujian Encik Irfan dengan seyuman hambar dalam debaran hati yang tak tentu rasanya.
            “Eh! Awak nak bawak saya ke mana ni? Rumah keluarga awak kat Jalan U-thant, kan?” Aku tercengang-cengang apabila kereta Encik Irfan melepasi tol Gombak dan menuju ke lebuhraya karak.
            “Ke banglo peranginan kami di Janda Baik. Selalunya kalau ada function kami buat kat situ. Jauh dari jiran tertangga. Kalau buat kat tengah KL,  nanti menggangu pula. Silap-silap haribulan ada yang buat repot polis”. Lega hatiku mendengar penjelasan darinya.
            “Awak fikir saya nak bawak awak lari ke? Kalau awak nak.. sekarang jugak, saya boleh bawa awak ke Siam. Kita terus nikah koboi!”
            “Awak jangan nak mengada. Nak kena pancung dengan Babah saya? Abang Is pun akan cari awak sampai hujung dunia tau!” Meletus tawa Encik Irfan. Kuat sekali mengatasi lagu yang berkumandang dari corong radio keretanya.       
            “Saya serius!” Aku jegilkan mata padanya.
            “Saya tahu, Sayang! Awak ingat saya nak sangat kahwin koboi, lepas tu kena bayar denda beribu-ribu nak daftarkan perkahwinan kat sini. Buang masa dan buang duit. Malu pun dapat!”

            Sedar tak sedar, keretanya mendaki ke kawasan berbukit ke sebuah banglo jauh terpisah dari rumah-rumah di awal jalan masuk tadi. Sampai sahaja di pintu gerbang, aku memandang kagum. Besarnya rumah. Ini banglo atau istana?. Aku rasa lebih pada istana! Lampu di halaman terang berderang. Sudah ramai tetamu yang sudah sampai rupanya. Patutlah Encik Irfan tadi kata kami sudah lewat.
            “Kita dah sampai. Tolong buka laci dashboard. Hadiah untuk Mummy dan Daddy saya ada kat situ” Aku buat apa yang di suruh. Kotak yang sama, sewaktu kami membeli-belah di KLCC hari itu. Teringat aku, selepas kami keluar dari Habib Jewels, Encik Irfan heret aku ke kedai jam tangan berjenama antarabangsa yang tak pernah aku kenali. Untuk Mummynya pula seutas gelang tangan berlian dari butik Chopard. Melihat hanganya saja, mataku berpinar-pinar. Banyaknya duit?
            Ready?” Tanya Encik Irfan menyedarkan aku dari lamunan. Rupanya pintu di sisiku sudahpun terbuka. Encik Irfan hulurkan tangan dan aku letak tanganku di atas tapak tangannya dan dia bantu aku turun dari Audi Q7nya.
            “Saya seram….”
            Be calm… Saya akan sentiasa ada di sisi awak” Aku hembus nafas perlahan-lahan dan berjalan bergandingan dengan Encik Irfan yang masih memegang tanganku erat.
            Meet my dad,  Tan Sri Zainudin and my mum Puan Sri Azilah. Mummy, Daddy …. , this is Idayu Aireen
            “Apa khabar, Tan Sri, Puan Sri…” Aku menyalami mereka.
            “Macam pernah jumpa aja Idayu ni?” Puan Sri Azilah tersenyum padaku.
            “Haah.. ya … saya pernah ke Butik Ixora dengan Abang saya, Iskandar”
            “Betullah tu… baru Untie ingat. Iskandar tak datang?” Tanyanya lagi dengan ramah.
            “Iskandar on the way, Mummy. Dia jemput Natrah”
            I see…. Okey Idayu, jemput makan dulu…”
            “Terima kasih Puan Sri” Aku lega dengan penerimaan Puan Sri Azilah. Dari pertemuan pertama kali kami dulu di Buik Ixora, memang aku akui Puan Sri Azilah bukan seorang yang sombong walaupun dari kalangan yang berpangkat.
            Hampir terlupa dengan kotak hadiah yang aku pegang dan cepat-cepat aku hulurkan pada Encik Irfan. Dia serahkan kotak hadiah pada orang tuanya satu-persatu.
            “Ini untuk Daddy dan ini untuk Mummy. From both of us. Happy Annivesary!”
            Thank you, Darling. Sekejap lagi, Mummy nak bincang sikit dengan Irfan. Penting!” Suara yang lembut dan begitu mesra melayanku sebentar tadi tiba-tiba bertukar menjadi begitu serius.
            “Okey Mummy…. kejap lagi Irfan cari Mummy” Aku dan Encik Irfan bergerak ke bawah khemah yang menyediakan hidangan buffet. Pinggan yang penuh dengan makanan kami bawa ke meja bulat.
            “Hah, tu pun Iskandar dan Natrah sampai” Encik Irfan menunjuk pada Abang Is dan Cik Natrah yang bergaun labuh kembang berwarna firus menambahkan kejelitaan yang sedia ada. Aku terpegun dan kagum dengan Cik Natrah. Bagiku, Cik Natrah begitu perfect, langsung tiada cacat celanya. Berganding pula dengan Abang Is yang tampan, mereka nampak sepadan sungguh.
            Nampak sahaja aku, Cik Natrah terus sahaja menyapa. Kami berlaga pipi, kemudian Cik Natrah bersama Abang Is ke meja buffet dan datang kembali ke meja kami bersama makanan masing-masing.
            “I tinggalkan Idayu dengan korang sekejap. I nak pergi cari Mummy. Tadi katanya ada perkara penting nak bincang dengan I” Encik Irfan minta diri. Mujurlah ada Abang Is dan Cik Natrah. Jika tidak, tentu sahaja aku akan merasa canggung ditingggalkan keseorangan.
            Sesekali saudara-mara dan rakan bisnes Cik Natrah datang bertanya khabar. Aku berbual pula dengan Abang Is apabila ada tetamu yang berbual panjang dengan Cik Natrah. Tidak pula rasa terpinggir setiap kali Cik Natrah harus melayan saudara-mara dan rakan-rakan bisnes bapa saudaranya yang datang menyapa tidak putus-putus.
            Tak lama selepas itu, mataku terarah pada Encik Najmi yang datang mendekati meja kami. Di sebelahnya gadis yang sama aku jumpa di Pizza Hut semasa makan bersama Abang Is. Amylia Nazirah. Aku berbalas senyum dengan Encik Najmi.
            “Haiii… dah lama sampai?” Tanya Encik Najmi sambil menyalami Abang Is
            “You dah kenal dengan Iskandar?” Tanya Cik Natrah pada abangnya.
            “Dah kenal dah. Hari tu terserempak dengan Iskandar dan Idayu kat Pizza Hut” Cik Natrah senyum.  Bila mataku bertembung dengan Amylia, senyuman herot dari bibirnya dihadiahkan padaku. Wajahnya masam mencuka. Eh, kenapa pula dia nak buat macam tu? Cemburu ke dengan sapaan bisuku pada Encik Najmi tadi?
~~Hello… Irfan Mukhrizku jauh lebih handsome dari Encik Najmi kau lah!~~
            Encik Irfan datang kembali tak lama kemudiannya. Dia terus duduk di sebelahku. Apabila matanya menangkap kehadiran Amylia Nazirah di meja kami, terus riak wajahnya berubah serta-merta. Hendak bertanya, aku bimbang disalah anggap pula. Terus sahaja aku batalkan niatku. Aku hulurkan gelas minuman pada Irfan dan dia menyambutnya.
            Ladies & gentleman. The moment we have been waiting for. Let me call upon Tan Sri Zainudin and his beloved wife, the lovely Puan Sri Azilah” Suara emcee berkumandang memecah suasana hingar-bingar di halaman yang terang-berderang ini.     
            Berpegangan tangan dengan erat, papa Encik Irfan membawa isteri tercinta ke depan sebuah meja. Di atasnya ada kek besar dengan berhias bunga fondan berwarna-warni. Acara memotong kek dan saling suap-menyuap sejuring kek yang telah dipotong. Kebahagian terserlah pada pasangan romantik. Aku juga membayangkan detik yang sama akan berlaku dalam hidupku walaupun ketika usia sedang menginjak tua. Alangkah bahagianya kalau dapat menikmati saat-saat manis begini.
            “Dah tua nanti, saya pun nak kita terus bahagia macam Daddy dan Mummy saya” Encik Irfan membisik di telingaku. Tanganku di bawah meja diramas lembut. Walau tidak membalas apa-apa, aku senyum bahagia sampai ke telinga. Oh!… rupanya Encik Irfan dapat membaca fikiran dan angan-anganku tadi. Malunya!…
            Habis sahaja acara memotong kek, live band undangan menhidangkan sebuah lagu berentak sentimental. Tan Sri Zainudin dan Puan Sri Azilah mula menari bersaksikan beratus-ratus pasang mata dari tetamu yang hadir di banglo peranginan ini.
            Lagu berhenti dan semua tetamu bertepuk tangan. Tan Sri Zainudin sekali lagi genggam tangan isterinya dan melangkah ke tempat emcee berdiri. Mikrofon bertukar tangan.
            Good evening ladies and gentleman. My warm welcome to all of you to our anniversary party. Semuga kebahagian kami akan berkekalan hingga ke akhir nafas kami. Dan untuk malam ini juga, saya ada sesuatu untuk dikongsikan bersama para tetamu yang hadir. Saya serahkan pada isteri saya untuk umumkan” Mikrofon diserahkan pula pada Puan Sri Azilah.
            It’s time. Awak jangan terkejut bila Mummy saya announce tentang pertunangan kita” Genggaman tangan Encik Irfan di bawah meja semakin kuat.
            “Hah? Awak…..”
            Belum sempat aku habiskan ayatku, Encik Irfan dipanggil Mummynya. Serta-merta tanganku dilepaskan dan Encik Irfan kenyitkan mata kepadaku. Aku terpana. Ya Allah!.. Secepat inikah? Dan Abang Is?… apa pula pandangan Abang Is jika kami bertunang dengan cara begini? Bukankah sepatutnya keluarga Encik Irfan datang ke rumah, berjumpa Babah dan Ummi dulu dan seterusnya meminangku mengikut adat Melayu?
            “Ayu.. kenapa menggelabah ni?” Tanya Abang Is melihat aku tidak senang duduk.           
            “Er.. tak ada apa-apa. Ayu o.k.” Jawabku cuba berdalih.
            “Para hadirin semua, dengan ini saya umumkan pertunangan satu-satunya anak bujang saya Irfan Mukhriz dengan……” Aku tarik nafas. Gementar seluruh tubuhku. Seperti kilat Abang Is menoleh padaku. Faham sangat, tentu beribu persoalan bermain di fikirannya.
            “Dipersilakan Cik Amylia Nazirah tampil bersama kami. Untuk pengetahuan semua, Cik Amy Nazirah Tan Sri Kamal Afandi, adalah anak kepada sepupu saya. Sejak kecil, kami sudah bercadang untuk satukan mereka berdua bila sampai masanya. Dan malam ini, secara rasminya kami umumkan pertunangan anak lelaki kami, Irfan Mukhriz dengan Amylia Nazirah”
            Aku terpempan, lemah segala sendi tubuhku. Rasa ingin menangis melihat Amylia melangkah dengan bergaya dan bangga mendapatkan Irfan Mukriz dan lengan lelaki yang aku cintakan separuh mati itu dipeluk mesra. Apa dah jadi?
            Aku nampak Tan Sri Zainudin keluarkan kotak baldu biru berbentuk hati dari poket kotnya. Aku menahan pedih di dalam hati. Aku masih ingat lagi tentang kotak baldu yang berisi cincin yang dipilih Encik Irfan di kedai emas Habib Jewels. Ya Allah! Aku ingin menjerit dan melaung kuat dan mengatakan cincin itu Irfan Mukhriz belikan untukku. Bukannya untuk Amylia Nazirah.
            Sekali lagi aku rasa mahu pengsan bila Encik Irfan sendiri menyarungkan cincin itu ke jari manis Amylia. Mataku menatap mata Encik Najmi, tapi dia hanya senyum bersahaja. Lagsung tidak ada reaksi sedih atau cemburu. Sandiwara apakah yang sedang dimainkan oleh mereka? Aku tak faham sama sekali!
            Menahan sebak yang mula bertandang, aku tunduk merenung jari-jemariku sendiri. Menahan pedih di hati yang seolah dicucuk sembilu yang amat tajam. Kenapa nasibku begini? Untuk apa aku hadir ke majlis yang gemilang ini jika hanya untuk dilukai lelaki yang sudah berjaya mengetuk pintu hatiku? Aku baru  ingin belajar mengenal cinta. Sesingkat inikah cintaku hancur berderai? Aku malu, sedih dan rasa ditipu hidup-hidup. Rupanya hari itu, Encik Irfan pilih cincin tunang untuk orang lain.
            “Ayu, sabar Sayang!” Aku angkat muka. Suara Abang Is lembut memujukku. Mataku berkaca. Bila-bila masa sahaja kolam mataku akan pecah berderai.
            “Cincin tu, Abang Is! Cincin yang Encik Irfan cuba di jari Ayu. Ayu nak balik! Abang Is boleh tak, bawak Ayu balik sekarang?”  Akhirnya mutiara jernih luruh juga membasahi pipiku. Laju dan semakin laju.        
            “Saya boleh hantarkan Idayu balik…” Tiba-tiba Encik Najmi sudah berdiri di tepi kerusiku.
            “Terima kasih. Ayu nak balik dengan Abang Is”  Abang Is anggukkan kepala dan berdiri. Clutch di atas meja dihulurkan padaku.
            “Natrah, do you mind? You boleh balik dengan Najmi?”
            “Boleh.. boleh aja. Idayu.. I’m so sorry for what had happened. I pun tak sangka, Irfan dengan Amy…”
            “Tak apalah Natrah…. Dah nasib I… Thank you for letting my brother go. I owed you…” Aku balas kata-kata Cik Natrah dalam sendu. Aku yang ingin melangkah berpaling semula pada Cik Natrah.
            “Lagi satu, tolong bagitau Encik Irfan I balik dulu dan pesan kat dia, jangan cari I lagi. I tak perlukan apa-apa penjelasan pun. It’s over!” Aku menambah lagi. Aku paut lengan Abang Is dan Abang Is bawa aku ke keretanya. Abang Is juga yang bukakan pintu kereta untukku dan tutup kembali.
            Abang Is terus hidupkan kereta dan memandu keluar tanpa bertangguh. Abang Is biarkan aku layan rasa kecewaku sepanjang perjalanan balik. Jalanraya begitu lengang kerana sekarang sudahpun melepasi angka 12.00 malam.
            Sesampai di rumah, selepas letak kereta di garaj, Abang Is buka pintu kereta untukku. Rumah gelap- gelita. Hanya lampu di balkoni terpasang. Baru aku perasan, yang kereta Babah tiada di garaj.
            “Babah dan Ummi tak ada ke?” Tanyaku pada Abang Is. Aku cepat-cepat keluarkan telefon bimbit dan mahu mendail  nombor milik Ummi, tapi Abang Is lebih dulu menahan dan tunjukkan skrin BBnya.
            “Ummi dan Babah balik kampung. Ada kecemasan, Moyang tak berapa sihat” Beritahu Abang Is.
            “Oh….. Kak Kiah dah tidur lah agaknya. Rumah gelap aja”
            “Ayu mengantuk, tak?” Aku geleng. Macamana aku mahu tidur, jika sesuatu yang maha hebat berlaku di Janda Baik tadi?
            “Jom…. Kita duduk kat gazebo?” Aku ikut langkah Abang Is tanpa banyak soal. Gazebo berlantaikan kayu cengal berlapikkan tikar mengkuang dan beberapa kusyen besar. Kami panjat dua anak tangga dan naik ke lantai gazebo. Abang Is duduk bersandar di dinding gazebo berlapikkan kusyen besar di belakang badannya. Aku turut lunjurkan kaki dan bersandar di bahu Abang Is. Abang Is belai rambutku.
            “Ayu sedih lagi?”
            “Siapa yang tak sedih kalau Irfan….” Aku tak mampu untuk meneruskan kata-kataku.
            “Kalau Ayu nak menangis, menangis lah puas-puas sekarang. Esok, bila Babah dan Ummi balik, jangan tunjukkan sangat rasa kecewa Ayu pada Babah dan Ummi. Lagipun Ummi dan Babah belum tahu pasal Irfan, kan?”
            “Belum lagi….. ” Aku menangis.
            “Nasib baik. Abang dah pernah cakap kat Ayu dulu. Irfan Mukhriz tak sesuai untuk gadis sebaik Ayu. Tapi tak mengapalah. At least, Ayu boleh belajar sesuatu dari apa yang dah jadi. Bukan semua apa yang kita angankan bakal jadi kenyataan”
            “Ayu malu dengan Abang Is… Ayu terlalu tunjukkan rasa teruja Ayu pada Irfan. Seolah Irfan tu perfect sangat untuk Ayu”
            “Jangan salahkan diri sendiri, Ayu….  Kalau dah tersurat jodoh Irfan bukan dengan Ayu… Ayu kena terima hakikat”
            “Hakikat yang amat pahit.”
            “Kadang-kadang yang pahit tu, suatu hari nanti akan bertukar menjadi yang semanis-manisnya”
            “Kenapa Ayu tak jumpa lelaki sebaik Babah atau sebaik Abang Is? Sejak Ayu remaja, Ayu selalu berangan dan selalu berharap yang Abang Is bukan abang Ayu. Ayu nak Abang Is jadi orang lain. Ayu nak Abang Is pikat Ayu dan kita jadi pasangan kekasih macam orang lain” Panjang lebar aku luahkan angan-anganku yang tak masuk akal. Abang Is ketawa dengan ayat-ayat yang aku tuturkan.
            “Kan Abang dah cakap tadi, kita tak boleh melawan takdir. Kalau hidup kita dah tersurat untuk jadi abang dan adik. Apa kita boleh buat?” Aku berpeluk tubuh menahan kesejukkan yang kian mencengkam.
            “Sejukkkkk….” Rengekku pada Abang Is.
            “Alihkan badan Ayu” Aku ingatkan Abang Is mahu ajakku masuk ke dalam rumah, tapi lain pula yang dia buat. Kot dileraikan dari badannya dan dia meyelimuti bahuku. Tubuhku ditarik rapat padanya semula. Ubun-ubunku dikucup hangat.
            Aku rebahkan kepala ke paha Abang Is. Terbuai dengan usapan lembut di kepalaku, aku terlena tanpa aku sedari.
            “Ayu….. bangun!. Dah 5.30 pagi. Sekejap lagi masuk waktu Subuh”
            “Ngantuk…....” Aku mengumam perlahan.
            “Bangun… masuk tidur kat dalam!” Abang Is tegakkan badanku. Dengan langkah longlai, aku turun dari gazebo dan angkat kasut tumit tinggiku. Dengan berkaki ayam, aku pijak lantai marmar hiasan taman hingga ke depan pintu. Abang Is buka kunci pintu. Aku campakan saja kasut dengan mata yang separuh terpejam. Abang Is mengeleng dengan tingkah-lakuku.
            Tubuhku rasa melayang disauk Abang Is ke dalam dukungannya. Aku peluk leher Abang Is erat dan sandarkan kepalaku ke dadanya yang bidang. Bersusah-payah dia memulas tombol pintu bilikku. Tanpa membuka lampu, Abang Is turunkan aku ke tilam. Aku buka mata dan terseyum nakal. Tapi, alangkah terkejutnya mendapati sesusuk tubuh di belakang Abang Is sedang menghayun tinggi satu objek yang panjang.
            “Abang Is!!!!” Aku  menjerit dan serentak, Abang Is terjelepuk di atas badanku.  Aku cuba menolak tubuh Abang Is yang berat menindihku. Menggeletar tubuhku bila nampak bayangan lelaki tadi perlahan-lahan mendekatiku. 
            “Tolong!!!” Aku cuba menjerit sekuat hati. Alih-alih sahaja hidungku ditekup dengan sapu tangan. Aku meronta-ronta seketika dan tidak sedar apa-apa lagi selepas itu.

No comments:

Post a Comment