Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 7



Malam itu, aku menerima panggilan dari ibuku.  Seperti biasa, aku akan terpaksa menadah telinga mendengar bebelannya yang marahkan aku kerana jarang balik ke kampung.  Aku pun bukan sengaja tidak mahu balik ke kampung.  Apatah lagi, kampungku itu tidaklah jauh mana pun.  Setakat di Pontian saja, tetapi disebabkan setiap hujung minggu pasti ada sahaja aktiviti sekolah yang terpaksa aku hadiri.  Aku memang tidak akan balik ke kampungku jika ada aktiviti pada hari sabtu kerana masa rehatku hanya tinggal sehari iaitu hari ahad sahaja dan satu hari itulah aku gunakan sepenuhnya untuk menyiapkan kerja-kerjaku yang tertangguh.  Pendek kata memang aku tidak ada masa untuk berehat.  Jadi bagaimana aku boleh kerap balik ke kampung seperti yang diminta ibuku.
Aku sudah acap kali menjelaskan perkara itu kepada ibuku, tetapi seperti biasa dia memang sukar untuk menerima alasanku.  Satu lagi punca aku malas hendak pulang ke kampung adalah disebabkan sikap ibuku yang terlebih prihatin ingin mencarikan jodoh untukku.  Pantang aku balik, mesti adalah anak bujang sesiapa yang hendak direkomenkan kepadaku.  Anak mak Anjang Gayahlah….cucu Tok Penghululah…..adik Ustaz Bidinlah…dan entah sape-sape lagi yang nak dijodohkannya kepadaku.  Aku rasa lagu ‘Cari Jodoh’ nyanyian kumpulan Wali Band memang sesuai untuk ibuku apabila dia mula bercakap mengenai jodohku.  Kalau dengarkan liriknya, memang aku merasakan diriku ini sungguh  desperate sangat nak kahwin!
Kadang-kadang aku terfikir.  Buruk sangat ke rupa aku ni?  Hinggakan aku terpaksa dijodohkan dengan si polan-si polan.  Umurku baru sahaja menghampiri 27 tahun, padaku suatu angka yang masih relevan untuk bergelar anak dara.  Tetapi berbeza pula bagi ibuku.  Umur seperti itu sudah dianggapnya andartu!  Ibu memang kejam.
“Rilekslah bu….Wani baru je nak masuk 27 tahun….awal lagilah nak kahwin…”, aku membantah bila ibu sudah mula memulakan bicara cari jodohnya.
“Awal kata kamu Wani?  Hei, umur macam kamu ni, sepatutnya sudah bercucu…”, balas ibu jengkel dengan alasan samaku.
Bercucu?  Biar betul ibu ni!  Kalau ya pun nak menipu, agak-agaklah sikit ibu oi!
“Sampai bila kamu nak hidup sorang-sorang macam ni?  Adik kamu tu dah beranak pinak….dah nak masuk dua dah anak dia….yang kamu tu, tak habis-habis lagi mengukur jalan?”, macam machine gun aku dengar leteran ibuku.
Perkara yang sama kerap diungkit-ungkitkannya.  Soal langkah bendul, dan perkara inilah yang menyebabkan suatu ketika dahulu adikku marahkan aku sehingga tidak bercakap denganku selama berbulan-bulan hanya kerana ibuku melarang adikku untuk berkahwin selagi aku, kakaknya tidak berkahwin lagi.  Dia tidak mahu adikku langkah bendul.  Kadang-kadang, aku melihat ibuku seorang yang agak berfikiran kolot sedangkan ia langsung tidak sesuai dengan personalitinya sebagai seorang guru sepertiku.  Akhirnya, ibuku mengalah juga apabila adikku mengugut ingin bernikah di Thailand jika ibu tetap dengan pendiriannya melarang adikku berkahwin sebelum aku walaupun aku tahu adikku tidak akan sanggup melakukannya.  Aku faham, dia tiada jalan lain.  Hanya dengan berkata begitu, ibuku akan mengalah.
Aku bukan sengaja bersikap dingin terhadap lelaki seperti tuduhan ibuku apabila aku kerap menolak cadangannya.  Tiada siapa yang tahu kenapa aku jadi begini kecuali keluargaku.  Aku menyimpan teguh rahsia hatiku ini.  Hanya ibu sahaja yang tahu keperitan dan penderitaan yang kulalui sebelum ini.  Ibu sendiri yang tidak jemu-jemu berusaha memujukku untuk melupakannya hingga ke peringkat terpaksa membawa aku berubat secara alternatif untuk membuatkan aku lupa kepadanya. 
Oleh kerana itu, ibu berusaha mencarikan aku pengganti tetapi malangnya hatiku sukar untuk menerima sesiapa sahaja sebagai penggantinya.  Pernah aku terima cadangan ibu untuk mengenali hati anak lelaki teman baiknya, tapi malangnya aku memang tidak mampu menerimanya walaupun aku sudah sedaya-upaya mencubanya.  Sudahnya, aku hanya mengecewakan hati lelaki itu.  Hubungan baik ibu dengan teman baiknya juga agak terjejas disebabkan sikapku itu dan bermula dari detik itu, aku akan mengabaikan sahaja setiap kali ibu cuba untuk menjodohkan aku dengan mana-mana lelaki.
Seboleh-bolehnya, aku memang tidak mahu mengingati lelaki yang menyebabkan aku jadi begini lagi.  Tidak keterlaluan jika aku katakan, bahawa dialah yang menyebabkan pintu hatiku tertutup untuk lelaki.  Mengenalinya, hanya mengundang episod duka yang berpanjangan dalam hidupku.  Benarlah kata orang, cinta itu buta.  Aku jadi buta kerana terlalu memujanya.  Terlalu bangga bila berjaya bergelar couple  kepadanya.  Sedangkan dalam masa yang sama ramai gadis yang juga menjadi couplenya.  Aku butakan mata, pekakkan telinga apabila ada cerita-cerita kurang enak mengenai dirinya yang cuba disampaikan kepadaku dan aku menganggapnya hanya sebagai fitnah.  Fitnah daripada gadis-gadis yang cemburukan aku.
Aku mengenalinya semasa aku di tahun pertama pengajianku di universiti.  Semenjak minggu orientasi pelajar-pelajar baru lagi aku telah mula admire kepadanya.  Dia adalah pensyarahku sendiri.  Pada awalnya, aku tidak tahu dia seorang pensyarah dan menyangkakan dia adalah pelajar senior disebabkan wajahnya yang agak keanak-anakan.  Kali pertama aku terpandang wajahnya, hatiku sudah mula berdebar-debar.  Aku kerap mencuri-curi pandang kepadanya.  Jika sehari aku tidak nampak wajahnya, aku mula tidak senang duduk.  Kiranya aku adalah secret admirernya.  Meminati secara diam dari jauh.  Hanya itu yang mampu aku lakukan.
Jika ditanya kenapa aku sukakan sangat dirinya, aku sendiri tidak dapat memberikan jawapan yang khusus kerana sebenarnya, aku cukup susah untuk menyukai seorang lelaki dalam erti kata yang sebenarnya.  Biasanya sekadar suka-suka seperti melayan rakan-rakan lelaki tetapi dengan dia aku tidak tahu kenapa aku berperasaan begitu.  Kali pertama aku terpandang dirinya, jantungku sudah mula berdegup kencang.  Aku jadi tidak keruan setiap kali berhadapan dengannya sehinggakan suatu ketika dia pernah terperasan keadaan diriku yang agak gabra ketika berhadapan dengannya.  Memang gila!  Tiada siapa pun yang tahu tentang perasaanku itu kerana aku hanya memendamkan saja perasaan sukaku itu.
Tamat minggu orientasi, aku menyangkakan maka tamatlah juga peluang aku untuk mencuri-curi pandang kepadanya kerana kawasan kampus yang sangat luas di dalam kawasan universitiku, tidak mungkin aku boleh bertemu dengannya lagi, tetapi tiada siapa yang menyangka, dia adalah salah seorang pensyarah yang mengajarku pada tahun pertama pengajianku.
Aku bertambah bersemangat untuk menghadiri kuliah terutama apabila ada subjek yang diajarnya pada hari itu.  Aku akan jadi orang yang pertama sampai ke dewan kuliah dan aku akan mengambil tempat yang strategik untuk terus mencuri pandang kepadanya.  Pada ketika itu, angauku boleh tahan dasyat juga.  Walaupun aku tidak pernah berkomunikasi secara langsung dengannya, tetapi aku rasa sudah memadai dapat mendengar dia bercakap, melihat senyuman manis dari bibirnya yang dihiasi dengan tahi lalat di sudut kanan bahagian bawah bibirnya.  Semua keistimewaan itu telah membuatkan aku bertambah angau dengannya.    
Sesuatu yang langsung aku tidak sangka, rupa-rupanya selama ini dia juga menyedari perlakuanku terhadapnya sehinggalah suatu hari dia memanggilku untuk berjumpanya di dalam bilik di fakultinya.  Aku tidak tahu kenapa dia memanggil aku.  Aku agak berdebar-debar untuk menemuinya.  Bimbang jika aku tidak dapat mengawal perasaanku sehingga ianya nampak ketara di matanya.
Pada mulanya, perjumpaan itu lebih berkisar kepada soal assignmentku tetapi akhirnya aku terperangkap juga apabila secara direct dia bertanya kepadaku kenapa aku kerap mencuri pandang kepadanya.  Aku rasa mukaku sudah tebal seinci ketika itu.  Malunya, hanya Allah yang tahu.  Aku hampir-hampir mahu menangis apabila aku sudah terperangkap di dalam permainan perasaanku sendiri.  Akhirnya aku terpaksa mengaku yang aku memang meminatinya dari hari pertama aku terpandang wajahnya.  Sesuatu yang aku langsung tidak sangka akan berlaku, apabila dia juga mengakui mempunyai perasaan yang sama sepertiku.  Macam tak percaya.  Rupa-rupanya aku tidak bertepuk sebelah tangan dan semenjak dari hari itu kami berkawan rapat sehingga ke peringkat hampir mengenali hati budi masing-masing.  Sepanjang aku bersamanya, hatiku sudahku pacak untuknya seorang sahaja.  Aku jadi seorang pencinta yang setia.  Sangkaku, dia juga begitu tetapi seperti desas-desus yang ku dengar mengenai dirinya dari teman-temanku sebelum ini, memang benar belaka.
Bila aku mula menyedari kecurangannya, aku mula berubah menjadi seorang yang cukup sensitif dan cemburu.  Pertengkaran demi pertengkaran sentiasa berlaku.  Namun, apa yang anehnya, kami terus juga menjalinkan hubungan cinta.  Disebabkan aku sudah tidak mampu untuk menanggung perasaanku yang menggila ini seorang diri, akhirnya aku berkongsi juga kisah percintaanku ini dengan teman rapatku, Zura.  Zura sendiri tidak percaya sewaktu kali pertama aku menceritakan kisah percintaanku itu kepadanya kerana katanya, pensyarahku itu cukup pandai berlakon.  Semasa kuliah, langsung tidak nampak apa-apa tanda yang kami sedang menjalin cinta.  Oleh kerana itu, Zura mengatakan aku syok sendiri tetapi akhirnya dia percaya juga bila aku menunjukkan semua bukti hubungan kami.
Walaupun percintaan kami lebih banyak dihiasi dengan perkara-perkara yang hanya akan mengguris hatiku, tetapi tanpa kusedari, percintaan kami terjalin sehingga aku menamatkan pengajianku.  Dia cuba membuktikan kesungguhan cintanya terhadapku, apabila dia berhasrat mengikat tali pertunangan denganku.  Tiada apa yang lebih menggembirakanku apabila orang yang kucinta dengan sepenuh hati telah melamarku untuk menjadi suri hidupnya.
Setelah aku menamatkan pengajianku, kami terus menjalin hubungan cinta jarak jauh kerana dia bertugas nun jauh di Sabah dan aku pula telah dipostingkan semula ke negeri asalku.  Kata sepakat telah dicapai untuk mengadakan majlis tiga dalam satu iaitu merisik, melamar dan akhirnya bertunang.  Jarak kami yang jauh, telah menyebabkan aku bersetuju sahaja dengan cadangannya itu.
Tiba harinya, segala persiapan telah siap diatur oleh ibu dan ayahku.  Hanya menunggu wakil dari pihak lelaki tetapi hari itu juga telah menjadi detik hitam dalam hidupku apabila wakil dari keluarganya langsung tidak muncul-muncul.  Suara-suara sumbang sudah mulai kedengaran apabila orang yang dinanti tidak kunjung jelma.  Ibu dan ayahku sudah mula marah-marahkan aku.  Katanya aku langsung tidak tahu menjaga maruah dan air muka keluargaku tetapi mereka langsung tidak tahu atau pun tidak sedar, bahawa akulah yang paling merasakan kepedihan akibat insiden itu.
Aku cuba menghubunginya beberapa kali, namun malangnya telefon bimbitnya dimatikan.  Aku sudah mati akal.  Tidak tahu siapa yang patut aku hubungi ketika itu.  Aku cuba untuk menghubungi keluarganya, tetapi malangnya aku memang langsung tidak tahu di mana keluarganya tinggal, apatah lagi untuk menghubungi keluarganya.  Suatu kesilapan besar yang aku lakukan adalah terus sahaja bersetuju dengan cadangannya untuk mengikat tali pertunangan denganku, sedangkan aku langsung tidak pernah diperkenalkan dengan keluarganya.  Memang sesuatu yang agak pelik tetapi atas dasar jarak kami yang jauh, aku tidak berfikir panjang lagi.
Aku betul-betul terhina.  Tidak tahu untuk menggambarkan bagaimana perasaanku apabila dipermainkan begini.  Aku sungguh tidak menyangka dia begitu tega melakukan aku sebegini rupa.  Aku kerap menyoal diriku, apa salahku hingga aku menerima ujian sehebat ini.  Akhirnya majlis yang sepatutnya dibuat untuk meraikan hari pertunanganku, bertukar menjadi majlis tahlil arwah kerana ramai juga saudara-mara dan jiran-jiran yang sudah dijemput oleh ibu dan ayahku.
Selepas dari hari yang cukup malang bagiku itu, aku terus cuba menghubunginya tanpa mengenal erti putus asa, namun aku gagal.  Sejak dari hari itu, dia terus mematikan telefon bimbitnya.  Aku cuba untuk menghubungi rakan-rakan baiknya, tetapi aku langsung tidak mempunyai nombor telefon mereka.  Aku sudah buntu.  Tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan.  Apa yang pasti, aku tidak boleh mendiamkan  diri begitu sahaja.  Aku mesti mencari apa punca dia perlakukan aku begitu.  Aku mahu dia membersihkan namaku dan keluargaku yang sudah terpalit dengan malu akibat perbuatannya itu.
Setelah aku menemui jalan buntu, akhirnya aku nekad mencarinya di tempat belajarku dahulu.  Aku sanggup terbang ke Sabah walaupun cuba dihalang oleh ayah dan ibuku.  Aku mahu membuat perhitungan dengannya.  Aku pasti dia masih di situ.  Ke manalah dia boleh lari.  Takkanlah dia sanggup meninggalkan kerjayanya hanya semata-mata hendak melarikan dirinya dariku.
Memang tindakanku yang ku ambil tepat sekali.  Aku berjaya menemuinya di situ.  Sememangnya dia amat terkejut melihat aku muncul di pejabatnya.  Dari penampilannya, langsung tiada perubahan.  Sama seperti dahulu.  Malah lebih ceria tidak sepertiku yang kelihatan sangat cengkung dan tidak terurus.  Aku membayangkan wajahnya penuh dengan kekusutan kerana dia pasti menghadapi masalah sehingga terpaksa memungkiri janjinya kepadaku.
“Kenapa awak buat saya macam ni?  Kenapa awak mungkir janji?  Apa salah saya pada awak?  Kenapa awak tergamak melakukan saya dan keluarga saya begitu?”, bertubi-tubi soalan yang ku ajukan kepadanya akibat mengikut gelora hatiku.
Aku sangat kecewa dengan jawapan yang diberikannya.  Setelah berkali-kali meminta maaf kepadaku, akhirnya dia mengaku sebenarnya dia langsung tidak memberitahu keluarganya mengenai rancangannya mahu mengikat tali pertunangan denganku.  Dengan kata lain, ahli keluarganya langsung tidak tahu mengenai hal pertunangan yang dirancangkannya itu disebabkan dia merasakan dia belum sedia untuk diikat dengan sesiapa pun.  Hatinya belum diberikan kepada mana-mana perempuan secara pasti termasuk aku disebabkan terlalu ramai pilihan hatinya.  Bodohkan aku?  Aku benar-benar rasa dipermainkan dan diperbodohkannya.  Maruah diriku diletakkan di sudut paling hina malah lebih hina dari anjing kurap!  Aku tinggalkannya dengan sumpah dan dendam yang menggunung tinggi.
Bermula dari detik hitam itu, gaya hidupku sudah berubah.  Aku menjadi seorang pendendam walaupun aku tidak tahu kenapa dan dengan siapa aku harus berdendam.  Hati dan jiwaku cukup terseksa tetapi aku cuba mengawalnya.  Di hadapan keluargaku, aku cuba berlagak aku langsung tidak terkesan dengan tindakan lelaki durjana itu walaupun pada hakikatnya aku cukup menderita.  Sering menangis dalam diam hingga ke satu  peringkat aku merasakan hati dan perasaanku telah menjadi kosong.  Setiap detik yang kulalui cukup menyeksakan jiwa dan ragaku.  Disebabkan perubahan sikapku itu, tiada siapa dalam kalangan ahli keluargaku yang berani menyebut mengenai peristiwa itu lagi.  Memang aku sudah tidak percayakan mana-mana lelaki lagi sejak dari peristiwa yang cukup mencalarkan hati dan perasaanku itu.




No comments:

Post a Comment