Tuesday, 8 March 2016

GEMALAI KASIH - BAB 4



Intan Marliana

Kira-kira dua minggu selepas kedatangan Auntie Hamidah dan Uncle Razali ke rumahku, pertemuan antara aku dengan Effendi diatur oleh ibuku bersama Auntie Hamidah. Beberapa kali aku cuba memberanikan diri untuk membatalkan sahaja rancangan mereka tetapi aku tidak berdaya. Lidahku tidak dapat menidakkan kemahuan ibu. Kudratku tidak sampai hati menolak harapan setinggi gunung yang dilemparkan ke bahuku.

Namun, aku risau mengenangkan janji temu dengan Effendi secara berdua. Dahlah aku langsung tidak pernah berjumpa dengannya sebelum ini. Seumur hidupku, aku hanya pernah berdating dengan seorang lelaki sahaja. Itu pun hanya selepas enam bulan berkenalan dengannya, barulah aku memberanikan diri keluar berdua dengannya. Sebelum itu, aku sentiasa ditemani kawan baikku di kampus, Nisha.

Malam sebelum tarikh pertemuan tersebut, aku melepaskan keluh resahku kepada Nisha. Nisha yang kukenali ketika mula menjalani kehidupan berhostel di Universiti Malaya mengenaliku lebih daripada ibuku sendiri. Nisha amat memahami peribadiku serta banyak memberi kekuatan kepadaku dalam meranjau kehidupanku. Setelah tamat pengajian, Nisha kembali ke tempat asalnya di Pulau Pinang, dan bercadang mencari pekerjaan di sana. Aku amat merinduinya, lebih-lebih lagi ketika perjalanan hidupku dicemari kembali dengan dugaan yang kurasa amat berat untuk kulalui bersendirian.

“Aku takut, Nisha. Aku tak sanggup,” tangisku ke dalam telefon. Nisha sahajalah yang pernah melihatku menangis. Aku tidak perlu menyembunyikan perasaanku daripada Nisha, kerana aku tahu Nisha tidak akan pernah prejudis terhadapku. “This is too much, Nisha. Segala apa yang diaorang mintak, aku dah turutkan. Tapi sekarang, ni pulak. Too much! Aku tak sanggup, Nisha. Aku tak sanggup!!” tangisku berulang kali.

Nisha membiarkan sahaja aku melepaskan segala apa yang aku rasa kepadanya. “Kau sanggup kahwin dengan orang yang kau tak kenal?” sambungku lagi. “Kenapa mak dan abah tak habis-habis mengganggu hidup aku? Sampai bila aku perlu menanggung dosa Abang Mail dan Abang Syam? Sampai bila? Rasa macam tak akan ada kesudahannya, Nisha…”

“Lia,” Nisha mula bersuara lembut, seolah-olah memujukku. “Kau masih mengharapkan Azim?”

Aku tersentak. Sudah lama nama itu tidak kudengari. Menunggu Azim? “Tak, Nisha. Langsung tak. Buat apa aku nak tunggu dia lagi?” bidasku tegas.

‘Azim? Kenapalah Nisha tiba-tiba menyebut nama lelaki yang tidak ingin aku kenang lagi?’ fikirku di dalam hati. ‘Jantan tak guna. Memang buang masa je nak fikir pasal dia ni.’

Nisha mengeluh. Alangkah bagusnya jikalau aku dapat melihat ekspresi wajah Nisha ketika itu. Pasti kutahu apa yang sedang berlegar di fikirannya.

“Lia, aku rasa tak salah kalau kau pergi jumpa dengan Effendi tu. Makcik kata jumpa je, kan? Aku tak rasa yang makcik akan paksa kau kahwin dengan Effendi tu kalau kau tak nak.” Kata Nisha, cuba memujukku. “Lagipun,” tambah Nisha lagi, “kau pun single lagi. Elok jugak ambik peluang jumpa orang lain. Sampai bila kau nak berseorangan, Lia?”

Aku tidak percaya mendengarkan Nisha seolah-olah menyokong tindakan ibuku. Seandainya dia berada di hadapanku, sudah pasti aku menghadiahkan jelingan tajam dan cubitan kecil tanda aku tidak berpuas hati dengannya. Itulah yang lazim aku lakukan ketika di hostel dahulu.

“Kita baru je habis belajar, Nisha. Tak pernah merasa duit sendiri pun lagi. Aku belum bersedia lagilah. Aku nak kerja dulu. Kenapa mak macam terburu-buru sangat pun aku tak tahu. Dia beria sangat nak aku jumpa dengan Effendi ni. Tapi aku tau niat mak sebenarnya. Dia bukan sekadar nak aku jumpa je, tapi aku tau dia nak aku kahwin dengan si Effendi tu,” gerutuku tidak puas hati.

“Kau tak cuba bercakap dengan pakcik? Manalah tau kot pakcik nak dengar cakap kau,” soal Nisha.

Aku mengeluh kesal. “Aku tak beranilah, Nisha. Abah sekarang ni ikut je cakap mak. Sejak mak asyik tak sihat ni, aku tengok abah jarang nak bantah cakap mak. Lagipun, aku kan tak rapat sangat dengan abah…”

“Tak mintak tolong dengan abang-abang kau?” cuba Nisha lagi.

“Entahlah, Nisha. Rasa macam tak kena pulak nak mintak tolong diaorang. Abang-abang aku tu dahlah tak rapat dengan mak sejak diaorang tinggalkan rumah. Rasa kekok pulak kalau nak mintak tolong diaorang…” Aku seperti sudah berputus asa. Segala cadangan yang diutarakan Nisha, tidak dapat aku lakukan…

“Lia, manalah tau kot-kot si Effendi tu pun tak nak kahwin jugak? Entah-entah dia pun kena paksa jumpa dengan kau, Lia. Elok kau pergi je jumpa dia. Mungkin kau boleh bagi tau dia yang kau belum bersedia untuk kahwin dengan dia,” cadang Nisha kepadaku dengan nada ceria.

Aku terdiam. Memandangkan aku tidak mampu merubah keputusan ibuku, mungkin apa yang diperkatakan Nisha tadi boleh menjadi kenyataan. Ya, mungkin Effendi tidak akan bersetuju untuk berkahwin denganku dan akan melepaskanku daripada belenggu ini.

“Aku cuba, Nisha. Aku akan cuba berbincang dengan Effendi. Aku harap, dia pun macam aku jugaklah. Mana ada lelaki nak kahwin dengan orang yang dia tak kenal kan? Come on lahthis is the twenty first century…Mana orang kena kahwin paksa sekarang ni, betul tak?” Aku cuba meyakinkan diriku sendiri. Harap-harap apa yang aku perkatakan tadi, betul semuanya…

“Lia, boleh aku tanya kau satu soalan?” soal Nisha selepas beberapa ketika. “Kau tak nak jumpa dia sebab dia duda dan dah ada anak ke?” teka Nisha.

Aku mengeluh lagi. Memanglah aku tidak berapa setuju dengan pilihan ibu. Dahlah usianya pula jauh berbeza denganku. Nisha pandai meneka hatiku. Memang terbit rasa seribu keraguan dengan pilihan ibuku ini. Memilih duda beranak satu untuk anak gadisnya. Bingung aku memikirkan mengapa ibu merasakan Effendi merupakan calon terbaik bagiku. “Entahlah, Nisha. Aku pun tak tau nak cakap macam mana. Rasa hairan mak boleh pilihkan lelaki macam tu untuk aku. Dahlah aku rasa macam dia tu tua sangat daripada aku, lepas tu ada anak lagi…Kalau kaulah, kau pergi tak jumpa dia?”

“Pergi kot…” Nisha ketawa kecil. “Sorrylah aku jauh ni. Kalau tak boleh jugak aku temankan kau macam zaman dolu-dolu…aku kan chaperone kau yang paling setia!” usik Nisha. “Alaah Lia…aku rasa tak de apa yang nak dirisaukan. Kau pergi je, pas tu jumpa. Kalau kau tak suka, mak kau takkan nak paksa, kan? Macam kau kata tadilah, mana ada orang kena paksa kahwin zaman sekarang ni lagi, hmmm? Lagipun, tiga puluh tiga tahun tu taklah tua sangat…Errr…kau pernah tengok gambar dia ke?” 

“Tak pernah…Auntie Hamidah tak bawak gambar dia hari tu…”

“Mana tau rupa dia macam Prince Charming? Atau macam pelakon kesukaan kau si Aaron Aziz tu?” Tawa Nisha terletus lagi.

 “Banyaklah kau! Prince Charminglah, Aaron Azizlah…Sudahlah!” bentakku tidak puas hati.

Nisha masih dengan sisa tawanya.

Perbualanku dengan Nisha malam tadi sedikit sebanyak melegakanku. Aku cuba meyakinkan diri ini bahawa aku pasti akan keluar daripada masalah ini tanpa perlu melukakan hati ibuku. Aku tahu…rasa amarahku pada ibu tidak dapat mengaburi walau sedikit pun perasaanku yang tidak ingin melukakan hati ibu. Walaupun aku tidak sanggup lagi melakukan pengorbanan demi pengorbanan demi menebus kesalahan abang-abangku, namun aku tidak sanggup jua mendengar tangisan ibu serta melihat garis-garis kehampaan di wajahnya.

Tanpa kusedari, teksi yang kunaiki sudah pun berhenti di hadapan Hotel Istana, Kuala Lumpur. Jam di tangan menunjukkan pukul 3.05 petang, yakni lewat lima minit darip waktu yang dijanjikan. Aku mengatur langkah yang longlai menuju ke coffee house. Ibu mengatakan bahawa aku hanya perlu tunggu di pintu masuk dan Effendi akan menyapaku. Effendi akan mengenaliku daripada tudung ungu yang telah disyaratkan ibu untukku.

‘Okey ke penampilan aku ni?’ bisik hatiku. Sedari pagi lagi ibu teramat sibuk mencarikan baju yang sesuai untukku. Habis diselongkarnya seluruh almari bajuku. “Pakailah cantik sikit, Lia. Takkan kau nak pakai macam yang selalu kau pakai?” gerutu ibuku.

“Okey, apa? Apa salahnya pakai blaus dengan seluar slek je mak? Ringkas je. Lia pun taklah rasa rimas sangat! Lagipun, panaslah kat luar tu!” Aku membantah.

“Hesy, kau ni!” Ibu masih tidak berpuas hati, tetapi aku tahu ibu tidak akan berkeras denganku. Takut-takut aku langsung tidak mahu bertemu dengan Effendi. Dia juga yang akan menyesal nanti.

Sudahnya, aku memilih untuk berpakaian ringkas dan santai. Dapat juga aku memakai blaus dan seluar slek hitam, pilihan asalku. ‘Nanti terover sangat pulak.’ Lebih-lebih lagi aku tidak mahu langsung mencuba untuk menarik perhatiannya. Biarlah dia lihat aku seadanya. Tidak perlu untuk berpura-pura atau berlebih-lebih memandangkan aku tidak mahu dia menganggap aku seperti perigi mencari timba.

Lagi beberapa langkah menuju ke muka pintu coffee house hotel tersebut, aku disapa dengan sebuah salam dari arah belakangku. Aku menoleh lalu menjawab “Waalaikumussalam.” Aku berdiri tercegat sambil memandang ke arah seorang lelaki yang kuyakini ialah Effendi. Aku terpaksa mendongak sedikit untuk melihatnya. Lelaki yang berada di hadapanku juga berdiri dan memandangku. Mukanya serius ketika bertanyakan sama ada aku Intan Marliana. Aku hanya mampu mengangguk. Entah mengapa nafasku tersekat dan dada terasa berat.

“Saya Asrul Effendi. Panggil je Fendi. Jom kita ke coffee house,” ajak Effendi dengan gaya selamba.

Aku mengangguk dan mengekorinya ke pintu masuk coffee house. ‘Kenapa dengan aku ni?’ bisikku seorang diri. ‘Ini bukan masanya untuk kutelan suaraku sendiri,’ marahku kepada diri sendiri. Apakah lidahku kelu kerana terpegun dengan ketampanannya? Aaahhhh…Aku pernah jumpa lelaki yang jauh lebih tampan daripada Effendi tanpa langsung berkelakuan begini. Aku langsung tidak menduga bahawa Effendi mempunyai wajah yang cukup tampan, segak dan menawan. Alunan rambutnya yang lebat serta sedikit panjang mencecah pangkal leher, disisir rapi. Dagunya bersegi, menampilkan kekuatan serta keyakinan diri yang cukup tinggi. Ada lekuk kecil di tengah-tengah dagunya itu persis seorang model. Kemeja yang dipakainya, langsung tidak dapat melindungi fizikal badannya yang tegap lagi sasa. Sungguh sempurna ku rasakan makhluk ciptaan Allah di hadapanku ini.  Kata-kata Nisha mengusikku. ‘Prince Charming? Aaron Aziz? Atau mungkin keduanya sekali? Aduh…parah kalau macam ni…’

Dia menyusun langkah terus menuju ke coffee house tanpa menoleh kepadaku lagi. Penyambut tetamu di coffee house dengan mesra menunjukkan ke meja kecil kami dan kami akhirnya duduk secara bertentangan. Aku menelan air liurku dan memberanikan diri bersuara “Maaf, ya. Lia lambat sikit tadi.”

Effendi mengangguk. Mukanya tetap serius tanpa mengukirkan sedikit pun senyuman kepadaku. Dia merenungku dengan tajam. Aku rasa sungguh tidak selesa dan dengan serta-merta, rasa gemuruhku menjalar ke seluruh tubuhku, semakin menyesakkan nafasku.

Kami memesan minuman kepada pelayan yang datang bersama menu dan membiarkan pelayan itu berlalu. Aku masih tunduk dan sesekali, aku memandang liar ke arah persekitaran coffee house kerana aku masih tidak berani bertentangan mata dengannya. Tidak ramai pengunjung di coffee house ketika itu memandangkan waktu makan tengah hari sudah lama berlalu.

Effendi berdeham kecil sebelum memulakan perbualan. “So! Our parents think we should marry!” Suaranya yang dalam serta maskulin terus sahaja membicarakan isu sebenar pertemuan kami. Langsung tiada ‘small talk’. “So what do you think?” soalnya kepadaku.

Aku menggenggam erat kedua tanganku di atas pahaku, dan memberanikan diri untuk menjawab pertanyaannya. “Lia sebenarnya tak selesa dengan permintaan mak dan abah. Lia langsung tak kenal Fendi ni, so how can we marry?”

Effendi menjongketkan keningnya, seakan terkejut dengan kata-kataku namun dia pantas menyembunyikan ekspresinya. Dia tersenyum. Untuk yang pertama kalinya. Aku terus perasan akan garisan di pipi kanannya yang terukir bersama senyumannya itu, bagai menambahkan lagi ketampanannya. Aku menelan air liur. ‘Mak datok! Handsomenya mamat ni!’ Jantung mula berdegup kencang. Tetapi senyumannya nampak tawar. “Mesti Fendi rasa macam Lia, kan?” tanyaku lagi kepadanya.

Effendi merapatkan badannya ke meja sambil melipatkan kedua tangannya di atas meja lalu merenungku tajam. Tiada lagi senyuman di bibirnya. “Fendi sedikit pun tak rasa nak bantah permintaan kedua orang tua kita.”

Aku tergamam! Melihatkan raut wajah Effendi serta bahasa badannya sebentar tadi, aku langsung tidak menyangka yang dia mahu berkahwin denganku.

“Maksud Fendi?” tanyaku penuh keliru.

Simple je. Kalau mak dan ayah kita rasa kita patut kahwin, then buat apa kita nak bantah?”

Aku memandangnya sambil menggelengkan kepala. Tidak percaya! Harapanku seolah-olah berkecai dengan sekelip mata. “Fendi sanggup kahwin dengan orang yang Fendi tak kenal? Yang tak cinta?” tanyaku lagi.

Fendi tersenyum lagi sambil menjongketkan keningnya. “Cinta?” tanya Fendi dengan nada sinis. “Fendi pernah kahwin atas dasar cinta. Tak berkekalan pun! So why not with someone I don’t know? Lagipun, my mother thinks you are perfect for me…”

Aku terdiam. Aku cuba mengagak perasan Fendi ketika itu. Adakah dia serius ingin mengahwiniku? Kata-katanya jelas menunjukkan kehampaannya mengenali cinta. Apakah dia tidak lagi percaya pada cinta? Aku masih tertanya-tanya sendiri ketika pelayan tadi menghampiri meja kami dan menghidangkan minuman yang dipesan sebentar tadi.

“Lia ingatkan yang kita berdua boleh berpakat untuk tidak meneruskan hasrat parents kita,” kataku perlahan setelah pelayan tadi berlalu pergi. “Lia betul-betul yakin yang Fendi tak akan mahu kahwin dengan Lia,” ujarku lagi berterus terang. Ada nada hampa yang terselit di sebalik kata-kataku.

“Lia ada orang lain ke?” soal Fendi masih merenungku.

Renungannya menusuk sampai ke kalbu! ‘Aduh, kenapa dengan aku ni? Mengapa aku rasa amat gementar setiap kali bertentangan mata dengannya?’ Aku dapat rasakan wajahku bertukar warna.

“Tak! Bukan sebab tu,” jawabku pantas. “Cuma Lia baru je habis belajar. Kerja pun belum lagi. Lagipun, Lia masih belum bersedia nak kahwin sekarang ni.” Tergagap-gagap aku cuba menjawab pertanyaannya.

Effendi tersenyum kecil. Mungkin dia rasa lucu melihat kekalutanku. “Kalau Lia takut Fendi tak akan bagi Lia kerja lepas kahwin, Lia tak perlu risau. Fendi tak kisah kalau Lia nak kerja lepas kahwin.”

Bagaimana harus aku meyakinkannya bahawa aku tidak mahu berkahwin dengannya? Kalau aku seorang sahaja yang tidak ingin berkahwin, pasti aku akan tewas dengan ibu dan bapaku. Segalanya akan jadi lebih mudah sekiranya Effendi juga tidak bersetuju untuk berkahwin denganku. Aku semakin buntu. Ya Allah! Bantulah aku melepaskan diri daripada belenggu ini.

Aku mencuba sekali lagi. “Apa kata kalau kita cuba kenali diri masing-masing dulu? Ya, get to know each other better. Then we’ll see how it goes?”

Why waste time?” balas Effendi. Dia mengeluh kecil lalu berkata, “Look, mungkin Lia susah nak terima sekarang kenapa Fendi dah buat keputusan macam ni. Fendi ada sebab-sebab sendiri, tak perlulah Lia tau sekarang. Tapi Fendi yakin dengan keputusan Fendi ni.”

Aku menghirup perlahan minuman di hadapanku, untuk membasahi tekakku yang ku rasa begitu kering ketika itu. Namun, titisan-titisan air yang kutelan, langsung tidak membantu. Makin kutelan minuman tersebut, makin pahit kurasakan.

“Kalau Lia tak setuju?” tanyaku buat kali terakhir. Mataku membalas renungannya, seakan mencabarnya.

“Kalau Lia tak setuju, sudah tentu Fendi tak boleh paksa, kan? Cuma Lia bagilah tau ayah dan mak Lia pasal keputusan Lia tu, dan Fendi akan bagi tau mak dan ayah Fendi tentang keputusan Fendi. Then we’ll see what happens…” Senyumannya tambah meleret. Dia seolah-olah tahu sahaja yang kemenangan akan berpihak ke tangannya.

Aku sudah pun tahu apa bakal terjadi. Aku juga yang akan tewas nanti…tewas dengan perang psikologi ibuku. Melainkan aku pasrah melawan kehendak kedua orang tua ku. Mampukah aku melakukannya? Sama seperti yang pernah abang-abangku lakukan dulu? Sanggupkah aku menerima layanan dingin yang sama daripada ibu, seperti yang dirasakan abang-abangku untuk sekian lamanya?

Effendi masih memerhatikanku. Pasti dia sedang melihatku berperang dengan perasaanku sendiri.

“Lia, Lia rasa Fendi ni tak layak ke nak jadi suami Lia?” Aku mendongak dan memandang wajahnya. Terkejut aku dengan pertanyaannya. Aku langsung tidak memikirkan begitu.

“Eh, bukan macam tu. Lia tak fikir pun macam tu. Mungkin Lia yang tak layak untuk Fendi, bukan sebaliknya…” bantahku perlahan.

Effendi tersenyum lagi. Kali ini senyumannya nampak ikhlas. Garisan di pipinya muncul lagi. ‘Ya Allah! Sempurnanya makhluk di hadapanku ni! Kenapa orang macam ni tak kahwin-kahwin lagi?’ Aku rasa amat kerdil duduk berdua-duaan dengannya. Macam beauty and the beast, tapi yang nyata, aku bukanlah si beauty itu!

“Hmmm…” Itu sahaja yang diucapkannya. Apa maksudnya itu?

“Fendi rasa, Lialah orang yang paling layak untuk jadi isteri Fendi. Most perfect!” ujarnya serius. Renungannya bertambah dalam.

Aku tersentak. Sungguh bersahaja dia berkata-kata. ‘Boleh percaya ke ni?’

“Macam mana Fendi boleh cakap macam tu? You don’t even know me!” Tiba-tiba diriku menjadi berani untuk melawan kata-katanya. Aku tidak boleh dia terus beranggapan begitu. Dia tidak kenal aku lagi.

I believe in my instinctsand my instincts tell me you are perfect for me…”

Aku menggelengkan kepalaku menandakan aku tidak percaya dengan kata-katanya.  “Fendi salah…Fendi tak kenal Lia ni siapa…” Itu sahaja yang mampu aku ucapkan. Aku buntu. Aku tidak tahu apa lagi yang bisa aku lakukan untuk mengubah keputusannya.

My instincts are never wrong. Never!” Tegas. Muktamad!

Aku sungguh kecewa. Nampaknya aku tidak boleh mengharapkan Effendi untuk bersama-sama menolak jodoh yang ditentukan kedua orang tua kami ini. Aku bersendirian dalam hal ini. Sedihnya…

“Fendi serius nak kahwin dengan Lia?” soalku lemah.

Effendi mengangguk.

Aku menelan air liur yang terasa amat pahit. Aku kecewa. Amat kecewa. “Kalau macam tu, Lia mintak diri dulu. Rasanya dah tak ada lagi yang perlu dibincangkan. Assalamualaikum,” ucapku sambil bangun. Effendi berdiri tanda hormat dan menjawab salamku. Dia membiarkan sahaja aku meninggalkan coffee house tersebut. Aku dapat rasakan sepasang matanya mengekori setiap ayunan langkahku hingga ke muka pintu. Dengan penuh rasa kecewa, aku meninggalkan Hotel Istana dan terus berjalan tanpa mengendahkan keadaan di sekelilingku. Tanpa menuju ke sebarang destinasi, aku berjalan dan terus berjalan. Niatku hanya satu – aku ingin pergi ke mana sahaja asalkan aku dapat melengahkan waktu pulangku. Pasti ibu akan menghujaniku dengan seribu macam pertanyaan. Pertanyaan yang masih belum kutemu jawapannya.



No comments:

Post a Comment