Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 - BAB 16




M
UKA depan Majalah Keluarga diperhati. Terpegun Uji melihat pasangan yang menjadi penghias muka depan. Pasangan yang sama cantik dan sepadan. Tidak hairanlah mengapa Fasha begitu cemburu sebaik melihat pasangan itu. Kemesraan yang dipamerkan menyatakan betapa bahagianya mereka berdua.
Pantas Uji menyelak helaian yang memaparkan kisah rumahtangga Tengku Iskandar dan Aisyah. Melonjak-lonjak hatinya mahu tahu kisah pasangan yang kelihatan bahagia itu.
Saat matanya menatap gambar-gambar Aisyah disamping Tengku Iskandar, senyumannya melebar. Biarpun sekadar gambar, namun pipi Aisyah yang memerah menunjukkan rasa malu gadis itu. Sifat semulajadi Aisyah sejak dari dulu.
Kini, Aisyah telah bergelar datin sebaik suaminya mendapat gelaran datuk. Bertuah sungguh Aisyah. Inilah yang dikatakan dengan rezeki Allah. Tuah yang Allah berikan kepada Aisyah.
Uji menghela nafas. Menyesal kerana suatu ketika dulu dia juga selalu menyakiti hati Aisyah. Kerana cemburu melihat Aisyah yang sering menjadi buruan pelajar lelaki di sekolah mereka, tergamak dia menabur fitnah ke atas Aisyah. Sampaikan Aisyah didenda guru disiplin kononnya berdating ketika waktu persekolahan. Sedangkan rancangan jahat itu dia dan Fasha yang jalankan. Mereka sengaja memerangkap Aisyah dan menjadikan Rahim sebagai mangsa. Rahim si budak nerd.
Mengenang dosa-dosanya itu, Uji rasa amat bersalah. Disebabkan perbuatannya, Rahim dipukul teruk oleh ibunya dan dihantar ke sekolah berasrama jauh dari kampung. Kerana peristiwa itu juga, ibu Rahim membenci Aisyah dan memaki hamun Aisyah yang kononnya sengaja menggoda anaknya melakukan perbuatan tak senonoh di sekolah. Arwah Mak Su Ainin jangan cakaplah, teruk Aisyah dikerjakan kerana rasa malu.
Namun ketika itu Uji langsung tidak merasa bersalah. Malah dia bersorak gembira bersama Fasha. Siap buat ‘kenduri’ lagi kerana rancangannya dengan Fasha berjalan lancar. Betapa buruknya perangai Uji ketika itu.
Jika diberi peluang, dia ingin memohon maaf kepada Aisyah. Tapi dia tidak punya keberanian bertentang mata dengan Aisyah atas dosa-dosa masa silamnya. Takut andai Aisyah tidak sudi memaafkan dia.
Fasha yang baru melangkah turun ke bawah mengerling wajah Uji. Sejak kejadian Uji menasihatinya tempoh hari, dia melancarkan perang dingin dengan sepupunya itu. Langsung tidak mahu bertegur sapa. Langkahnya dibawa ke dapur. Mencari sarapan pagi untuk mengalas perut.
Sudah lima tahun Fasha tinggal bersama Uji. Kerjanya hanya makan dan tidur. Lagaknya tidak ubah seperti tuan puteri.
Dulu dia pernah bekerja dengan syarikat suami Uji. Namun tidak bertahan lama. Fasha berhenti kerana kononnya kerja kerani yang diberikan kepadanya itu tidak sesuai dengan kelayakan yang dia miliki. 
Selepas itu, dia bekerja pula di sebuah butik seorang datin. Hanya tahan beberapa bulan saja kemudian dia berhenti lagi. Alasannya datin tempat dia bekerja itu cerewet sangat orangnya. Dia tak suka bekerja dengan orang cerewet seperti itu.
Kini, kerjanya goyang kaki dan mengharapkan ihsan Uji sahaja. Itu pun masih tidak sedar diri lagi. Masih angkuh dan berlagak sombong.
Melangkah semula ke ruang tamu, niat Fasha ingin naik ke atas. Namun langkahnya terhenti. Matanya mengecil. Muka depan Majalah Keluarga itu diperhati. Tiba-tiba jantungnya berdegup pantas. Dua wajah yang menjadi penghias muka depan itu amat dikenali.
Fasha menghampiri Uji. Tanpa kata, majalah ditangan sepupunya itu dirampas. Kasar.
“Hei… apa ni?” Dengus Uji terkejut dengan perbuatan tak bermoral Fasha. Sesuka hati merampas majalah yang tengah dibacanya. Nak pinjam tu, cakaplah elok-elok. Ini tidak, main rampas macam tu aja!
Tidak menghiraukan dengusan Uji, Fasha naik ke atas bersama majalah di tangan. Meluap-luap api kemarahannya melihat gambar Aisyah yang terpampang depan majalah. Bukan main hebat lagi sepupunya itu kini. Sudah bergelar datin!
Arghhh!” Fasha menjerit geram. Tahap cemburunya pada Aisyah meningkat berlipat kali ganda.
“Kau dah senang sekarang ya? Tak guna!” Tempik Fasha lagi. Dah macam orang meroyan dia melihat gambar-gambar bahagia Aisyah disamping Tengku Iskandar.
“Aku takkan biarkan! Aku kena buat sesuatu. Aku tak boleh berlengah lagi. Aisyah! Aku akan pastikan kau hidup menderita. Lebih menderita dari dulu. Aku bersumpah!”



1 comment: