Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 - BAB 9



U
SAI solat subuh, Aisyah bersiap-siap nak keluar. Sekadar berbaju kurung cotton dan bertudung bawal. Wajahnya juga langsung tidak di tempek sebarang alat solek. Dibiarkan begitu sahaja.
Tengku Iskandar yang baru melangkah masuk ke dalam bilik terketar-ketar menahan sejuk. Boleh beku dia jika hari-hari mandi di sini. Sejuk tahap melampau. Dahlah tu, takde pemanas air pula. Memang tak boleh tahan langsung dibuatnya. Baru pekena segayung dua, giginya dah terketar-ketar.
Aisyah yang sudah bersiap berpaling menghadap sang suami. Mahu tergelak dia melihat bibir suaminya yang terketar-ketar kerana sejuk. Pantas dia menghampiri Tengku Iskandar.
“Sejuk sangat ke bang?” tanya Aisyah menghulurkan baju melayu kepada suami.
Tengku Iskandar mengangguk. Baju melayu dicapai lalu cepat-cepat dia menyarungnya ke tubuh.
“Kan Aisyah dah cakap, air kat sini sejuk sangat. Abang tu yang degil sangat nak mandi awal pagi.” Ujar Aisyah lagi.
“Ini semua sayang punya salah.” Tiba-tiba Tengku Iskandar menyalahkan Aisyah.
“Eh… kenapa pulak nak salah Aisyah?”
Ye la. Abang ajak sayang mandi sama, sayang tak nak. Kalau mandi berdua tadi kan best. Takde la abang kesejukan sangat sampai terketar-ketar macam ni.” selamba saja ayatnya. Bibir sudah mengherot senyuman sang harimau gatal.
Aisyah mencebik. Sehari tak menggatal, tak sah agaknya hidup suaminya ini. Suka sangat nak menyakat.
Hisy… abang ni. Cakap tu main lepas aje. Abang tak malu ke dengan Abang Id dan Kak Lis?” gumam Aisyah menegur sikap suaminya yang suka bergurau tahap 18 tahun ke atas.
“Nak malu apanya? Kita nikan suami isteri. Normal la suami isteri mandi bersama. Abang Id dengan Kak Lis tu pun mandi bersama jugak. Tak jadi hal pun. Tak malu pun.”
“Macam mana abang tahu diaorang mandi bersama? Abang pergi skodeng ke apa?”
Takyah nak skodeng. Abang tahu la… kalau tak mandi bersama, mana nak jadi baby dalam perut Kak Lis tu.”
Merah padam muka Aisyah mendengar kata-kata suaminya. Laju penyepit ketamnya mendarat ke lengan suaminya itu. Membuatkan Tengku Iskandar terjerit kecil.
Auch! Sakit la sayang.” Tengku Iskandar mengadu sakit. Merah kulitnya akibat cubitan sang isteri.
“Tahu pun sakit. Lain kali abang cakap macam tu lagi, Aisyah cubit lagi kuat dari yang ni. Abang ni otak kuning betul la. Tak malu!” rungut Aisyah. Dia pula yang naik malu dibuatnya. Sedangkan lelaki ini, boleh saja dia buat muka selamba beruk jantan.
“Amboi… garangnya isteri abang ni.” Tengku Iskandar buat-buat takut. Padahal ugutan Aisyah langsung tak berbekas di hatinya. Setakat penyepit ketam isterinya itu, dia tak takut mana pun.
Aisyah tahu Tengku Iskandar bergurau. Semakin dia tunjuk garang, semakin nakal pula suaminya itu.
“Dah la. Malas Aisyah nak layan abang. Cepatlah bersiap. Kata nak temankan Aisyah pergi kubur.” Putus Aisyah akhirnya. Dia melangkah keluar meninggalkan Tengku Iskandar bersiap di dalam bilik.




“SAYANG….” Tengku Iskandar menyentuh lembut bahu isterinya.
Aisyah berpaling. Dia cuba tersenyum walaupun senyumannya kelihatan sumbing. Setiap kali menziarahi pusara arwah abah dan mak, hatinya dirundung sayu. Kerinduan yang terpendam lama tak mungkin akan hilang sampai bila-bila.
“Jom kita balik.” Ajak Tengku Iskandar. Tak sanggup dia melihat wajah isterinya setiap kali berada di sini. Sebolehnya dia ingin melihat Aisyah sering tersenyum gembira. Bukannya bermuram durja seperti ini.
Aisyah mengangguk. Jug berisi air mawar disiram ke pusara abah dan mak. Semoga Allah meringankan seksa kubur kedua mereka yang disayanginya ini.
“Abah, mak… Aisyah balik dulu. Ada masa, Aisyah datang lagi ke sini.” Ucapnya sebelum melangkah pergi meninggalkan tanah perkuburan Darul Salam.
Dalam perjalanan, Aisyah sekadar mendiamkan diri. Pandangnya dilontar ke luar. Tiada kata yang hendak dibicarakan. Dia lebih senang melayan perasaan yang tak menentu.
“Sayang, kenapa diam aje ni?” Tengku Iskandar bertanya. Jemari Aisyah diraih lalu digenggam erat. Sementara sebelah lagi tangannya kejap memegang stereng kereta.
Aisyah berpaling. “Takde apa bang.”
“Kalau betul takde apa, kenapa sayang senyap aje? Tak nak borak dengan abang ke?”
“Takde apa yang nak dikata. Tu yang Aisyah diam je.”
“Sayang, abang rasakan, abang tak jadilah nak balik KL petang ni.”
Dahi Aisyah berkerut. “Kenapa pulak bang?”
“Sebab tak seronok la balik rumah kita tu tanpa sayang. Abang rasa nak tambah cuti panjang sikit. Nanti dah habis kenduri tujuh hari boleh kita balik KL sama-sama.”
“Tapi kerja abang kat ofis tu macam mana pulak? Tujuh hari tu lama tau bang.”
“Sebab tahu tujuh hari lama la abang nak ambil cuti. Tak tahan menanggung rindu lama-lama. Soal kerja kat ofis tu sayang janganlah risau. Haziq kan ada. Dia boleh uruskan semua. Takde hal la.”
“Tak menyusahkan Abang Haziq ke bang? Kesian dia… setiap kali abang cuti aje mesti dia cover kerja abang. Dia pun ada kerja jugak. Tak baik abang dera dia lebih-lebih.”
“Alaaa… bukannya selalu pun abang cuti. Sekali-sekala aje. Abang dah call Haziq pun. Dia okey je.”
“Terpulang pada abang la. Aisyah ikut je. Mana yang abang rasa baik, abang buatlah.”
Kereta yang dipandu memasuki laman rumah kampung peninggalan arwah abah Aisyah. Kemudian diparkir elok di bawah pokok mangga. Tengku Iskandar dan Aisyah keluar beriringan.
“Sayang naik la dulu ya. Abang nak ambil angin kat bawah ni kejap.” Ujar Tengku Iskandar. Sesekali berada di kampung, dia ingin mengambil peluang untuk menikmati kedamaian di sini.
“Baik la bang. Aisyah naik dulu ya.”
Ketika melangkah masuk ke dalam rumah, mata Aisyah menangkap figura seseorang yang amat dikenalinya. Fasha. Nampaknya adik sepupunya itu telah pulang. Entah bila sampainya, Aisyah sendiri tak tahu. Semalam sewaktu pengebumian mak su Ainin, kelibat Fasha langsung tak kelihatan. Alih-alih, hari ini bayangan Fasha sudah tercongok di ruang tamu bersama Farid.
“Assalammualaikum.” Aisyah memberi salam.
Serentak itu dua beradik menoleh.
Waalaikumusalam. Aisyah, dah balik ya?” tegur Farid.
Aisyah mengangguk. Matanya memandang paras Fasha yang langsung tak menoleh padanya. Masam saja wajah adik sepupunya itu.
“Is mana?” tanya Farid kala tak terpandangkan wajah Tengku Iskandar. Selalunya lelaki itu tak pernah berenggang dengan Aisyah. Macam belangkas.
“Ada kat bawah, bang. Katanya nak ambil angin.” Beritahu Aisyah.
“Aik? Katanya nak balik KL hari ni. Kenapa tak bersiap lagi?”
“Abang Is kata tak jadi balik KL hari ni. Dia nak tambah cuti. Nak tunggu sampai kenduri tahlil tujuh hari.”
Hmmm… elok sangat la kalau macam tu. Boleh dia ikut berjemaah sekali malam ni.”
Aisyah sekadar tersenyum. Matanya melirik wajah Fasha sekali lagi. Seperti tadi, air muka Fasha tetap masam mencuka. Terbantut niatnya mahu menegur gadis itu.
“Aisyah ke dapur dulu ya, bang.” Pinta Aisyah akhirnya.
Di dapur, kelibat Lilis kelihatan sedang sibuk menyelongkar almari. Kasihan pula Aisyah melihatnya. Sudahlah sarat mengandung, sibuknya pula tak menang tangan nak buat itu dan ini. Pantas sahaja Aisyah mendekati Lilis.
“Kak Lis buat apa tu? Biar Aisyah tolong.” Ujar Aisyah menawarkan diri membantu Lilis yang terkocoh-kocoh mengeluarkan beberapa barang dari almari.
“Aisyah, Kak Lis nak ambil barang-barang untuk kenduri malam nanti. Kejap lagi Kak Shima, Kak Nuha dan Che Ta nak datang sini tolong apa yang patut. Sebelum tu kenalah keluarkan barang-barang ni dulu.”
“La… ye ke? Takpe, biar Aisyah yang keluarkan barang-barang ni. Kak Lis pergi la berehat.”
“Tapi barang-barang ni banyak, Aisyah. Larat ke Aisyah nak keluarkan sorang diri?”
“Alaaa… Kak Lis jangan la risau pasal Aisyah pulak. Aisyah larat lagi nak buat. Yang penting Kak Lis tu, dah la tengah sarat mengandung tapi sibuk mengalahkan orang tak mengandung pulak.”
Aisyah mengambil alih kerja Lilis. Beberapa barang penting dikeluarkan dari almari. Tersenyum senang Lilis melihat tingkah si manis itu.
“Betul cakap Abang Id, Aisyah ni memang baik. Suka tolong orang. Akak gembira dapat kenal Aisyah.”
Aisyah berpaling seketika dan tersenyum. “Aisyah pun gembira dapat kenal Kak Lis.”
Tanpa mereka sedari, di balik pintu yang memisahkan dapur dan ruang tamu, Fasha sedang memasang telinga mencuri dengar perbualan mereka berdua. Sakit hati Fasha pada Aisyah tak pernah padam. Apatah lagi melihat kebahagian yang dikecapi kakak sepupunya itu. Bertambah dendam kesumat di hatinya.
‘Aku takkan biarkan kau hidup bahagia!’









No comments:

Post a Comment