Tuesday, 15 March 2016

ITALIAN BOY - BAB 2

AKU ingin melabuhkan punggung di sebelahnya.
Tidak sanggup juga kalau terus bertatapan muka dengan
dia. Baik aku duduk di sebelah dia saja. Tapi malang, dia
meletakkan kakinya di situ. Tak senonoh langsung!
“Saya nak duduk.” Aku hampir mendengus. Geram
pula dengan sikapnya yang pentingkan diri.
“Banyak lagi kerusi lain.” Jawabnya selamba sambil
mengerling ke arah kerusi di hadapannya.
Aku ambil keputusan untuk duduk di kerusi sebelah
yang bertentangan dengan dia. Tak perlulah aku bertentang
mata.
“Kenapa tak duduk depan I?” Nadanya masih sama.
Mendatar.
“Ammm… duduk sini senang nak keluar.” Huh...
alasan aku memang bagus betul. Tempat duduk aku ni
memudahkan aku untuk keluar terus.
Dia angguk. Tidak lama kemudian dia menggamit
seorang pelayan untuk datang ke meja kami. Sesudah
makanan dipesan, pelayan itu pergi.
Aku jugalah yang masih kaku macam nak arwah
dekat sini. Menyesal aku tak bawa telefon bimbit tadi.
Ingatkan tidak adalah kegunaannya. Aku gigit kuku ibu jari.
Mata sesekali curi-curi pandang dia. Dia tekun membelek
surat khabar di atas meja. Mujur juga dia tahu nak baca surat
khabar.
Lama dia biarkan aku sepi sendiri kat sini. Entah apa
yang dibacanya, aku pun tak tahulah. Even aku sendiri pun
payah nak selak akhbar.
“So…” Aku bersuara.
Dia panggung kepala. Keningnya diangkat sebelah.
“Lupa.” Aku berkata tidak lama kemudian. Dah
memang lupa nak cakap apa. Sekali kena tenung aje, sewel
terus aku. Dia kembali tunduk dan membaca surat khabar.
Okay, keep reading. Aku tahulah akhbar tu lagi cantik
daripada aku.
Blurghhh…
Dia pandang aku yang buat bubbling ini. Automatik
perlakuan aku terhenti.
“Distracting.” Komennya sepatah. Perghhh! Padu
beb. Tepat ke jantung.
“Sorry.” Aku garu pipi. Memang dia ni sombong
betullah! Menyesal aku suka dia. Tak ada yang elok pun selain
rupanya. Perangai zero!
Makanan sampai juga akhirnya. Aku rasa nak
sembah pelayan ni, tau. Terima kasih banyak-banyaklah sudi
selamatkan awkward moment tadi. Tanpa menunggu lama,
terus aku menyuap makananku. Bukannya aku kebulur
sangat, tapi sebab aku sudah tidak tahu macam mana caranya
nak berbual dengan orang sombong macam dia ini.
Dia berdeham sambil angkat keningnya sebelah. Aku
berhenti mengunyah dengan nasi penuh dalam mulut. Macam
ada benda yang tidak kena saja. Aku pandang mukanya. Dia
tadah kedua belah tangannya.
Alamak!
“Doa!” Aku bercakap sambil tersedak-sedak. Nyaris
tak tersembur keluar nasi aku kunyah tadi. Lupa nak baca
doa. Dia hulurkan ais kosongnya pada aku. Tak boleh nak
menolak, aku kena minum juga. Memalukan betullah!
“Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma baarik
lanaa fiimaa rozaqtanaa wa qi’na azaabannar.” Dia mula
membaca doa makan dengan suara yang semakin perlahan.
Terkejut juga sebab dia itu kan duduk di negeri
orang putih? Aku ingatkan dia dah lupa diri. Rupa-rupanya
aku yang lupa diri. Aku biasa baca bismillah semata-mata
sebelum makan. Memalukan! Ya Allah, kenapalah aku perlu
lalui hari yang memalukan begini? Lepas ni memang aku
tidak boleh pandang remeh soal ini.
“LET ME drive.” Dia menadah tangan minta kunci.
Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Mana boleh
Bumblebee aku nak beri dia bawak. Calar nanti! Lagi satu,
kereta aku manual. Maaf ya, walaupun dia lelaki, tetapi aku
tidak yakin mana dengan kemampuan dia untuk membawa
kereta manual.
“You bawak slow.” Kutuknya.
Oh, aku bawak slow sebab tak nak dia cakap aku
pemandu yang tak berhemah di jalan raya. Kalau aku bawa
sendirian, memang taklah nak slow!
“Okey biar saya bawa. Saya janji, kali ni saya tak bawa
slow macam tadi.”
Dia angguk.
‘Okey, sir... kau nak tengok sangat aku memecut,
kan? Kau memang silap besarlah mencabar seorang bekas
drifter macam aku ni.’
Aku melangkah masuk dengan bacaan bismillah.
Begitulah setiap kali nak bawa kereta. Dia sudah ambil tempat
duduk.
“Buckle up, sir.” Arahku sambil menahan senyum.
Dia buat tidak dengar saja. Oh, Italian boy ni kerek ya?
Dia akan menyesal! Aku sendiri yang tolong pasangkan tali
pinggang keledarnya.
Aku mula memandu kereta manualku. Mula-mula
aje aku acah-acah bawak perlahan. Bagi dia menguap dua tiga
kali. Seperti jangkaanku, dia menguap. Aku menyangkutkan
kaca mata hitamku ke hidung. Lagu, aku pasang kuat. Dear
Future Husband daripada Meghan Trainor. Sambil menyanyi,
aku mula nak beraksi.
“Dear future husband here’s a few things, you need
to know if, you wanna be… my one and only all my life…”
Sesampai di jalan lurus yang kurang kereta, aku mula
tersenyum. Throttle aku tekan sampai habis menyebabkan
tubuh kami ke belakang. Aku menekan clutch dan menarik
handbrake sehingga kereta berpusing ke kanan. Kemudian
aku lepaskan handbrake dan clutch serentak.
Dengan tenang, aku kawal stereng sehinggalah kereta
kembali berpusing mengikut arah lawan dan kereta kembali
tegak. Drift terbaik u-turn aku setakat ini. Ngam-ngam soi aje
lajaknya. Bagus betul.
Aku kerling Benji di sisi. Biar dia berdebar tahap nak
arwah. Siapa suruh mencabar aku? Tangan kirinya sudah
berada di tempat pemegang di atas pintu kereta dan tangan
kanan mencengkam kemas kusyen kereta. Walaupun riaknya
tenang saja, tapi aku tahu dia dah mula takut. Aku menekan
pedal. Badan Benji sekali lagi bagai ditolak ke belakang.
Aku menjeling kakinya. Dia dah tekan brek
imaginasi. Bagus!
“Stop this car, let me drive!” Satu per satu perkataan
keluar dari mulutnya.
Hahahaha! Rasa macam nak berjoget kegembiraan
apabila tengok dia begitu. Aku menghentikan kereta ini di
tepi jalan selepas memasang signal ke kiri. Dia keluar dengan
muka bengisnya lantas menuju ke arah pemandu. Aku pula
terus melangkah ke tempat penumpang tanpa perlu keluar
dari kereta. Biasalah badan kecil, menyusup ajelah.
“You nak bunuh diri, jangan libatkan I!” Dia
memarahiku.
“Awak juga yang cakap saya bawa slow.” Aku
julingkan mata ke atas.
“Tapi I tak suruh you buat show drift kat sini!”
marahnya lagi.
“Oh ya? Sebab cara awak bercakap tadi macam nak
saya tunjukkan kehebatan saya memandu.” Selamba aku
mengangkat bakul. Buat-buat belek kuku, gaya perempuan
gedik.
“I don’t trust a girl who uses three pedals.” Oh, sebab
itu rupanya dia nak drive. Cakaplah awal-awal. Jangan bagi
alasan aku bawa slow, okey...
“A kickass girl use three pedals.” Jawabku bersahaja.
Lantaklah kalau dia nak terasa. Pergi mandilah!
“Dumbass!” kutuknya. Dia menyangkutkan kaca
matanya ke hidung. Sempat lagi dia menjeling aku sebelum
dia masukkan gear dan bergerak. Okey, dia pandai memandu
kereta manual la...
“WHY DIDN’T you pick me up?” bentaknya sebaik saja dia
keluar dari kereta.
Wajah ceria Aunty Marlynn berubah mendengar
soalan itu. Ada ke patut soal macam tu untuk orang yang
dah sambut kepulangan dia dengan senyuman seindah suria?
Macam budak-budak!
Pernah tak korang tiba-tiba jadi tidak suka pada
seseorang yang korang pernah suka disebabkan attitude dia
zero? Aku pernah. Sekarang inilah! Aku boleh terima layanan
dia yang dingin kepada aku. Tapi aku tidak suka dia melayan
mama dia begitu. Keluar dari kereta, macam tak boleh nak
peluk cium dulu?
Kalau akulah pulang dari overseas setelah sekian
lama tak jumpa mama aku, gerenti aku pergi terpa mama
aku dulu dan cium mama aku. Ini tidak, sibuk nak merajuk
macam budak kecil. Budak kecil pun fikir lima enam kali nak
buat perangai macam tu.
“Mama busy tadi.”
“I don’t buy it. Macam tak boleh suruh Bella atau
Bienda ambil? Atau papa?”
Hesy... kurang ajarnya budak Itali ni! Kalau Aunty
Marlynn benarkan, aku nak tolong sekeh-sekeh kepala dia ni.
“Papa sibuk. You know that. Bella dengan Bienda
tidur lagi. Macamlah Benji tak kenal adik-adik Benji tu, selagi
matahari tak terbenam, selagi itulah diaorang tak bangun.”
Aunty Marlynn bersuara, lebih kepada merungut dengan
perangai anak-anak daranya.
“Dah tu, tak boleh nak kejut diaorang?” Soalannya
semakin sinis.
“Son…”
“Tak pun, at least… beritahulah siap-siap yang tak
ada orang boleh ambil. Benji boleh balik naik teksi.” Dia
membebel lagi.
“Awak cakap elok-elok sikit eh dengan mama awak?
Apa hak awak nak bercakap macam tu?” Aku yang tidak dapat
mengawal rasa sabar termarah Benji. Mukanya berubah
sebaik sahaja aku memarahinya.
“Suruh dia balik!” Begitu saja arahannya.
Aku cukup faham. Akulah ‘dia’ tu. Ingat aku hadap
sangat ke dengan muka dia tu? Blahlah!
“Benji!” Aunty Marlynn sudah hilang sabar agaknya.
Aku? Lagilah hilang sabar. Aku bergerak ke tempat
pemandu dan segera menutup pintu kereta yang dia buka
tanpa menutup balik. Memang tidak ada adab budak Itali ni!
Dia ingat, ada orang yang nak tolong buka dan tutup pintu
untuk dia agaknya.
Malas hendak duduk di situ lama-lama, aku reverse
keretaku sambil memandang ke cermin pandang belakang.
Dia tercegat di belakang kereta aku, bercekak pinggang. Laju
kaki aku menekan brek. Jantung macam dah nak tercabut.
Kalaulah aku tak brek tadi, dah jadi kes jenayah pula tak
pasal-pasal.
“Hei! Awak nak kena langgar ke?” marahku sebaik
saja menurunkan cermin kereta. Mujur aku sempat tekan
brek. Kalau tidak, gerenti dia dah masuk hospital.
“My bag.”
“Tahu pun!”
“I said my bag. My bagpack. Not my bad!” Dia
bercakap sepatah-sepatah.
Okey, aku pekak. Rasa nak angkat cermin dan buat
tinted gelap. Malunya! Depan Aunty Marlynn pulak tu. Aku
menjeling. Sombong betul dia ni.
“Ambillah.” Jawabku.
Dia membuka pintu belakang lantas menyauk beg
kulitnya. Bagus. Nak bawa ke mana perangai kerek dia tu? Ucap
terima kasih pun tidak. Setahu aku, mamat Perancis aje yang
kerek. Tak sangka mamat Itali pun sama. Mentang-mentang
dah jadi model. Hei, kau famous kat negara orang, bukan
Malaysia!
Selepas pintu kereta aku dihempas, aku terus pecut
keluar dari laman rumah. Dekat selekoh berdekatan, aku
drift. Saja nak bagi dia bau tayar kereta aku. Yang letihnya,
aku nak kena baiki apa yang barai pada kereta ni nanti. Huh!
Haraplah Aunty Marlynn tidak mengadu dekat mama, pasal
aku drift dekat depan rumah dia ni.
“SO, MACAM mana dengan Benji?” soal mama sambil
tersenyum lebar.
Manisnya muka mama… yang tak manisnya, muka
aku. Boleh mama kenangkan semula Benji? Nak muntah
rasanya apabila bayangkan muka sombong dia tu.
“Rude.” Komenku sepatah lantas melabuhkan
punggung ke sebelah mama. Kepala aku jatuhkan ke bahu
mama, tempat paling selesa untuk aku letakkan kepala yang
berserabut ni.
“Kenapa?”
“Entahlah. Makin bongkak, mama. Rugi tau. Oddie
terpaksa habiskan masa dan minyak kereta Oddie untuk
orang yang tak pandai berterima kasih macam dia.” Aku
merungut. Terbayang-bayang muka kerek Benji. Geram rasa
hendak tampar.
Mama tersenyum.
“Jangan-jangan dia malu, tak?” teka mama. Mama
ni memang positif aje yang dia fikir. Memanglah bagus, tapi
dalam keadaan sekarang, sangat tidak bagus. Kalaulah mama
ada sekali tadi, tentu mama pun jadi tidak suka dekat dia.
“Tak adalah mama. Mama tahu tak, dari awal Oddie
pick-up dia kat airport sampailah kami pergi makan lepas tu
balik, muka satu pesen dia itulah yang dia tayang, mama. Tak
ada nak senyum. Tak ada nak berbual.” Aku mula membebel.
“La... takkan dia tak buka mulut langsung?” Mama
nampak terkejut sebaik saja mendengar aduanku. Aku
mencemik. Teringat patah-patah perkataan yang menyayat
hati yang keluar dari mulut Benji.
“Ada. Contohnya, ‘I nak makan’, ‘distracting’, ‘let me
drive’, ‘awak bawak slow’ dan seangkatan dengannya.” Aku
mengajuk cara Benji bersuara, cara sombong bongkak dia tu.
Mama sudah tergelak mendengarnya. Siap tepuk
tangan lagi. Lucu sangat ke?
“Mama, tak kelakar okey! Dia sangat menjengkelkan,
tau tak? Menyesal sangat Oddie pergi ambik dia tadi. Oddie
patut duduk di butik aje. Pandai-pandailah dia nak balik
sendiri.” Aku mula membebel.
Mama seolah-olah tidak hairan dengan layanan
buruk Benji terhadapku.
“Eleh, sejam kat butik pun dah membebel. Sanggup
ke duk sana lama-lama?” mama menyindir.
Okey... walaupun aku ada butik, tapi aku sangat
jarang duduk di butik. Aku suka melencong ke tempat lain.
Buat aktiviti outdoor mahupun indoor. Tidak bertemankan
Ikram, aku pergi seorang diri. Tiada masalah. Bila sampai
stok saja, aku akan duduk di butik. Apa nak dihairankan? Aku
ada pekerja yang sangat bagus di butik itu.
“Huh, at least lebih baik daripada menghadap muka
dia. Dia ingat, dia balik Malaysia ni... dia famous macam dekat
sana agaknya. Sombong gila! Dengan mama dia pun dia nak
marah-marah. Menyampah sungguh Oddie tengok muka
masam dia tu, ma.” Aku merungut lagi.

No comments:

Post a Comment