Wednesday, 16 March 2016

ITALIAN BOY - BAB 7

“Hesy. Cerita orang putih mesti nak kena
tayang punggung perempuan yang montok-montok macam
ni dalam setiap movie diaorang. Kenapa entah?” komenku
tidak lama selepas cerita itu bermula.
Sakit mata hati ni nak tengok. Yalah, aku perempuan.
Nak berkenan apa dekat punggung perempuan? Kalau tunjuk
lelaki berbadan six pack ke apa, seronok juga aku. Ini, benda
yang aku dah ada. Lainlah kalau budak dua orang kat kiri dan
kanan aku ni. Tak berkelip mata memandangnya.
“Pelaris.” Balas Benji sepatah.
Seronok dapat cuci mata, langsung dia tak alih mata
memandang aku. Kemudian, Ikram pula tepuk bahu aku.
“Do squats, Oddie. Pergh… tengoklah.” Ujarnya
sambil gigit penumbuk.
Aku sedekahkan penumbuk dekat bahunya. Ciskek!
Gatal. Benji lagi gatal. Tak berkelip langsung dia.
“Nak kibar bendera pun terlenggok-lenggok gitu.
Gelinya.” Kutuk aku lagi. Mana taknya? Tukang kibar bendera
waktu kami drag dulu, lelaki. Kadang-kadang Ikram jadi
tukang kibarnya. Tak ada maknanya perempuan berani ke
tengah dalam saat-saat orang nak buat drift begitu.
“Syhhh. Distracting.” Faham-faham sajalah ayat tu
muncul dari mulut siapa.
Aku menjelingnya yang berada di kananku. Dahlah
kotak popcorn aku dia ambil. Tangannya menyeluk kotak
popcorn lalu menyumbat ke dalam mulut tanpa riak bersalah.
Mesti tengah bayang mengunyah apa yang ditayangkan di
dalam filem ini. Huh! Memikirkan saja aku jadi loya. Aku
memandang Ikram di sisi dengan wajah meminta simpati.
Dia mengerling aku sekilas.
“Nak?” soal Ikram.
Aku angguk. Ikram menghulurkan popcorn namun
kotak popcorn dia berlaga dengan kotak popcorn yang Benji
pegang.
“I dah tak nak. Manis sangat. You ambillah.” Kata
Benji.
Aku tersenyum dan menilik isi popcorn dengan
cahaya yang samar-samar dalam bilik panggung. Mati
senyumanku.
“Dah sikit! Konon ‘I tak makan popcorn sangat’.
Sama aje macam Ikram! Tak makan sangat, tapi bila dah
makan, tinggal separuh. Cerita baru start.” Aku mengajuk
cara dia bercakap tadi.
Ikram terkekeh-kekeh gelak. Seketika kemudian, dia
mencurahkan popcorn di dalam kotaknya ke dalam kotakku
sehingga tinggal sedikit dalam kotaknya.
“Oh, this is why I love you.” Aku berkata terharu.
Ikram mengenyitkan mata sebelum kembali fokus
menonton filem. Aku pandang Benji sekilas. Dia menjeling
aku.
“Flirt.” Dia menjeling terbalik.
Hek eleh. Aku dengan Ikram memang begitu. ‘Love’
kami merupakan kasih sayang antara rakan. Hubungan kami
dah macam adik-beradik. Macam aku dengan Sofian.
“Shut up. You’re distracting.” Aku memulangkan
paku buah keras. Aku lihat dia tersenyum apabila disindir
begitu.
“MARI MAKAN…” Aku menepuk-nepuk kedua belah tangan
apabila makanan yang dipesan terhidang di depan mata.
Begitulah reaksi aku setiap kali makanan sampai ketika perut
sedang kelaparan. Gembira tak terkata.
Duduk dalam aircond panggung wayang tu gila
sejuk! Bila sejuk, perut cepat lapar. Sekotak popcorn pun
tak dapat membantu. Makanan yang dipesan memang sama
dengan makanan Ikram. Kami inikan sahabat sejati sentiasa
di hati? Mana boleh berbeza sedikit pun.
“Ehem.” Benji berdeham bersama mata yang
mengecil memandang aku.
Serentak itu, aku bagaikan robot, menadah tangan.
Huh, cukuplah sekali aku termalu sendiri dengan dia sewaktu
kami pulang dari airport dulu. Aku tak nak peristiwa sama
menghantui aku. Ikram nampak terkejut dengan tindakan
spontan aku.
“Doa.” Aku berkata sepatah.
Pecah tawa Ikram.
“Tak sangka kau akan ingatkan aku.” Yalah, biasanya
bila dah tinggal sebutir nasi dalam pinggan baru kami nak
teringat baca doa makan. Orang lain dah baca doa selepas
makan, kami baru baca doa nak makan.
“Dan tak sangka yang Benji akan ingatkan aku. Tak
sangka, orang duduk luar negara lagi beradab daripada kita
yang dah berzaman duduk dekat sini.” Aku menjeling Benji
di sebelah.
Benji tersenyum bangga apabila aku puji dia.
Terdiam Ikram. Mesti dia malu, dia itu Melayu sejati pun tak
ingat nak berdoa sebelum makan. Macam aku rasa dulu.
“Pergh, melalui ehem aje…” Ikram komen tidak
lama kemudian.
Selesai berdoa, kami mula melantak, memenuhi
perut yang kosong. Sewaktu makan, aku dan Ikram
banyak menggunakan isyarat mata dan ilmu telepati. Dia
tersengih-sengih. Kemudian, tidak lama kemudian dia
memotong cendawan dalam mangkuknya dengan sudu dan
garpu lalu diletakkan ke pinggan aku. Tanpa sebarang bicara.
“Hmm, I tak tahu pula both of you so talented dalam
ilmu telepati.” Tegur Benji dengan nada mendatar tanpa
memandang wajah kami. Dia menekuni makanannya.
“It’s a gift.” Kata aku dan Ikram serentak, kemudian
ketawa bersama.
Itulah perkara yang sering menjadi teguran orang
ramai mengenai aku dan Ikram. Dan itu juga merupakan
jawapan kami kepada mereka yang menegur. Kami memang
rapat sehinggakan tak perlu berkata apa-apa. Hantar saja
isyarat mata, semua akan selesai.
Ramai kata kami ditakdirkan untuk bersama. Entah
apa-apalah teori mereka. Asal ada connection menggunakan
minda sikit, mesti kata sesuailah, berjodohlah. Huh.
“YOU TAK payahlah rapat-rapat macam tu dengan Ikram.
I tengok dia macam suka Saleha. Nanti you patah hati.”
Terkejut aku mendengar kata-katanya.
Kami dalam kereta, menghala pulang ke rumah
selesai menonton wayang. Patutlah senyap semacam saja
dari tadi. Logik ke aku suka Ikram? Aku dah lama berkawan
dengan dia. Dah nama pun kawan, memang aku anggap kawan
sungguhlah. Tentu dia fikir aku sukakan Ikram. Tidaklah!
“Rapatlah, dah saya kawan baik dia dari zaman kami
belajar sama-sama dulu. Dia yang ajar saya erti bebas. Dia yang
ajar saya macam-macam. Drift, drag… segala yang mencabar
semua.” Aku cuba untuk tidak cepat melenting. Mungkin dia
tidak bermaksud pun nak menyinggung perasaan aku.
“I tak suka tengok you rapat sampai macam tu.
Tepuk tampar. Dia lelaki, you perempuan. Tak manis.” Dia
bergumam tapi aku dengar. Oh, sekarang dia dah pandai nak
ceramahkan aku? Tak manis?
“Kalau awak bermodeling sambil peluk entah
perempuan mana-mana tu dikira manis ke?”
“I tak cakap pasal I. I lakukannya sebab kerja. I
disuruh. Lainlah macam you. Tak ada sesiapa suruh you
bergurau tepuk tampar dengan dia.” Bebelnya.
Bukannya aku peluk Ikram pun! Dah memang itu
tabiat aku kalau ketawa, mesti rasa nak tampar bahu Ikram.
Dari zaman kolej lagi. Bukannya ada niat apa pun.
“Tapi kenapa?” Kali ini aku sudah berkecil hati.
Aku dengan Ikram dah lama berbaik. Memang dah macam
adik-beradik. Kalau orang kata kami bercinta pun aku dah
rasa sumbang sangat sebab aku anggap dia tu abang aku.
“Sebab you nampak macam perempuan
terhegeh-hegeh. Macam tak tahu malu. You tahu? Dia tu
cuma layan you macam adik aje. You yang perasan lebih.”
Kata-katanya kali ini memang tidak dapat dimaafkan!
“Saya anggap dia dah macam abang kandung saya
sendiri dan tolonglah jangan bercakap seolah-olah saya ni ada
hati dekat dia. Saya rasa sumbang tahu tak! Berhenti dekat
sini! Saya balik naik teksi.” Aku mengamuk. Air mata mula
bercucuran. Kecil hati sungguh aku. Aku ingatkan hubungan
kami dah baiklah. Rupa-rupanya dia masih sama! Sombong
dan langsung tak pandai menjaga hati.
“Oddie, I…” Benji mula tergagap-gagap. Terkejut
barangkali melihat aku menangis.
Memang aku sentap gila! Apa masalah dia pun aku
tak tahulah. Asyik nak cari kesalahan aku saja.
“Berhenti sekarang!” Aku mengamuk.
Dia terpaksa menurut. Aku keluar dari keretanya dan
terus pergi tanpa berpaling lagi. Aku tahu dia tak blah lagi.
Masih menunggu di sana tapi aku tak ada hati nak masuk
semula ke dalam kereta tu.
Aku tahan sebuah teksi dan terus balik.
AWAL AKU bangun hari ni. Seawal empat pagi. Pukul empat
setengah, aku dah bersiap sedia untuk ke Bukit Broga. Aku
terlalu stres sampai tak dapat nak fikir apa lagi dah. Sembap
mataku akibat menangis malam tadi. Mama pun pelik sebab
aku terus naik ke bilik tanpa menegurnya dahulu. Aku tak ada
mood sangat-sangat semalam.
Aku dan Benji bukannya bercinta pun. Nak kata
putus cinta lagilah tidak. Tapi kesannya sama macam orang
putus cinta. Mungkin sebab perasaan aku rasa terhina sangat
agaknya. Entahlah?
Bagpack kecil yang aku khaskan untuk aktiviti
mendaki, aku galas di belakang. Di dalamnya terdapat
air mineral botol kecil, handphone dan lampu suluh. Air
100PLUS, aku akan beli dalam perjalanan nak ke sana
nantilah. Dekat 7E pun ada.
Dah selesai semua, stoking aku pakai. Muncul mama
tidak lama kemudian.
“Awalnya mama bangun. Pagi mama.” Tegurku cuba
menceriakan suara.
“Mama nak minum air. Haus. Nampak Oddie.
Bukit Broga lagi?” Eleh mama, macam tak tahu kalau aku
berpakaian begini?
“Takkan ke butik pulak, ma…” tegurku sambil
menyarungkan kasut sukan.
“Elok-eloklah tu karang.” Pesan mama.
Angguk lagi. Aku salam tangan mama dan segera
berpaling. Aku tahu mama dah sedar dengan mata sembap
aku.
“Oddie.” Panggil mama.
Langkah aku terhenti.
“Nanti mama cuba cakap dengan Aunty Marlynn
ya?” Lembut suara mama memujuk.
Aku pejam mata. Dengar nama mama Benji pun aku
jadi sentap.
“Mama, Oddie tak nak…” Aku merengek. Aku
memang tak nak! Tak nak ada kaitan langsung dah dengan
dia sebab hati aku cukup sakit.
“Ya mama tahu, sayang. Mama nak cakap tentang
itulah. Mama dengar cakap Oddie.”
Aku berpaling semula dan memeluk mama. Pipi
mama aku kucup. Kemudian mama kucup dahi aku. Sejuk
sedikit hati yang membara sejak malam tadi.
“Terima kasih, mama.”
Aku harap, di atas puncak nanti aku akan bertemu
jodoh. Aku tak nak ingat Benji lagi. Tak nak!
AKU MULAKAN langkah dengan bacaan bismillah.
Perjalananku mendaki bermula pada pukul 5.45 pagi. Itu
pun dah terlalu ramai orang di sini. Maklumlah, cuti hujung
minggu. Sebab itulah aku tak rasa takut untuk mendaki
sendirian. Dulu aku mendaki dengan Ikram.
Sejujurnya, Ikram banyak mengajar aku untuk
menjadi lasak. Katanya, kalau dia boleh sampai ke puncak,
aku pun mesti boleh! Yes, aku dapat semangat dari situ. Ikram
memang suka aktiviti lasak. Berbasikal di lereng bukitlah,
apalah. Katakan apa saja jenis aktiviti lasak, semua dia dah
pernah cuba.
Ikram pernah heret aku naik ATV di Kemensah.
Balik tu, habis kotor baju seluar aku. Mama membebel, kata
aku macam budak kecil yang tidak pernah jumpa lumpur.
Aku sengih aje. Dia pernah heret aku pergi memanah. Balik
daripada memanah, aku rasa macam Merida dalam cerita
Brave tu. Dia bawa aku pergi menembak, aku rasa macam
ejen rahsia. Siap usyar harga dan jenis pistol lagi. Tapi tak
boleh nak beli sebab lesen dan sebagainya tak ada. Dia ajak
aku naik kuda, aku rasa aku berada di zaman koboi lama. Siap
aku beli topi koboi lagi dan sangkut di dinding bilik.
Drifting… sampai sekarang. Sebut sajalah aktiviti
lasak yang ada dekat Malaysia ni. Oh ya, flying fox. Terbaik!
Silap bungee jump tak ada. Kalau ada, sah kami akan cuba
juga. Semenjak dia naik pangkat ni, memang payah untuk
aku menghabiskan masa dengan dia. Tapi tak apa, dia dah
ajar aku jadi berani. Aku tak mungkin akan ada kawan selasak
dia lagi. Dia sukakan nature, aku pun sama. Benji? Entahlah.
Suka juga agaknya sebab kami pernah pergi jungle trekking.
Walaupun ramai orang di Bukit Broga ni, tapi
masing-masing memang wajib bawa lampu suluh. Sebab
gelap! Sewaktu mendaki, kami dah macam budak-budak
sekolah yang beratur di kantin. Memang ramai sampai tahap
beratur nak mendaki.
Mendaki tak sampai sekerat jalan, ramai yang dah
berhenti. Bunyi nafas orang pada waktu ini memang jelas
kedengaran. Semuanya tercungap-cungap. Kali pertama
aku naik dulu begini juga. Penat sungguh sebab aku terlalu
fikirkan betapa terujanya nak naik puncak tu.
Lepas tu, bila aku dapat tahu ada tiga puncak aku
kena harungi, terus aku rasa lemah semangat. Waktu itu,
Ikram memberi semangat kepadaku. Aku meneruskan juga
sampai puncak kedua dan ketiga.
Begitu juga pada hari ini, walaupun aku banyak
berhenti cuba bernafas elok, tapi aku tak perlu tergesa-gesa
untuk naik ke atas. Aku masih ada masa. Ramai orang
merungut, ada yang patah balik. Begitulah perasaan aku pada
awal dulu. Sekarang tak lagi. Aku seorang yang cekal. Sangat
cekal! Aku percaya pada diri sendiri.
Lagi pula, aku nak tengok pemandangan matahari
terbit nanti. Cantik sangat!
LEGA BILA akhirnya aku berjaya sampai ke puncak. Seperti
biasa, bila sudah sampai ke puncak ini, tugas aku mengambil
gambar pemandangan. Walaupun dah berkali-kali naik ke
sini tapi aku tak pernah rasa puas untuk menangkap gambar
pemandangan yang cantik ini. Aku sempat menikmati
matahari terbit. Segala penat lelahku sangat-sangat berbaloi.
“Cantik, kan?” tegur seorang lelaki.
Aku berpaling melihat wajahnya. Silau sebab mentari
pagi dah menyinar. Aku kecilkan mata. Dia tersenyum dan
menghampiriku. Orangnya segak sekali. Segak gaya Melayu.
Tengok badan pun dah tahu dia rajin bersenam.
Memang tidak pelik kalau dekat sini, terjumpa
abang-abang sado yang kulit gelap. Sado semula jadi. Payah
juga nak jumpa abang-abang sado kulit cerah di puncak ni.
Biasanya yang jenis itu banyak duduk di gim dan kurang
melakukan aktiviti lasak. Yang di depanku ini, kulitnya
tidak cerah sangat dan tidak gelap sangat. Aku tak tahu nak
masukkan dia dalam kategori gim atau lasak. Mungkin lasak,
sebab dia dah berjaya sampai ke atas sini.
“Amzar.” Dia memperkenalkan diri. Tangan
dihulurkan.
Aku menyambut.
“Oddie.” Aku memperkenalkan diri sambil
tersenyum.
“Oddie untuk?” Keningnya terangkat.
Aku tersenyum.
“Saodah.” Balasku selamba.
Dia tersenyum lebar dan mengangguk sedikit. Mesti
dia kata nama tu klasik dan patutlah aku menggelar diri aku
‘Oddie’.
“Kenapa bukan Odah? I Aliff Amzar.” Dia
memperkenalkan nama penuhnya.
Aku menayang sengih. Tak hairan pun dengan nama
Saodah.
“Sofia Irdina.” Aku memberitahu jujur. Dia
angguk dan tersenyum. Dia sudah di sisi aku, menghadap
pemandangan yang indah ini bersama. Tangannya di dalam
kedua belah kocek seluar trek.
Walaupun tadi berduyun-duyun orang naik ke Bukit
Broga ini, namun apabila di puncaknya, tidak adalah ramai
sangat. Mungkin ada yang masih bersantai di puncak yang
kedua. Atau mungkin mereka mengalah.
“Too much heaven.” Ujarku tiba-tiba melihatkan
kecantikan alam yang terbentang di depan mata. Mata
terpejam, hidung menarik nafas panjang. Segarnya.
“Huh?”
“Cantik.” Ujarku.
Dia senyum lagi.
“Yes. Awak mengingatkan saya lagu Too Much
Heaven.”
Keningku terangkat. Terkejut mendengarnya. Dia
tahu lagu tu?
“Bee Gees!” Kami berkata serentak, kemudian
ketawa.
“Nobody gets too much heaven no more. It’s much
harder to come by, I’m waiting in line.” Kami menyanyi
serentak. Kemudian, ketawa lagi.
Okey, dia lucu. Dan dia berkemungkinan ada ilmu
telepati macam aku dengan Ikram. Ouch! Sebut Ikram,
teringat peristiwa semalam. Cepat-cepat aku kambus rasa
sakit hatiku.
“Saya tak sangka awak tahu lagu tu.” Aku berkata
sambil tergelak lucu. Dia melirik senyuman manis.
“Are you kidding? That’s my favorite song!” ujarnya
pula. “Awak suka Bee Gees?”
Angguk.
“Like, who doesn’t? Bee Gees, kan?”
“Kan? Saya suka lagu How Deep Is Your Love dengan
Stay Alive.” Dia mula rancak berbual.
“Well you can tell by the way I use my walk…” Aku
menyanyi sepotong lagu Stay Alive tanpa rasa malu. Aku pun
suka lagu tu, okey? Dia tergelak senang hati.
“Yeap! Awak memang peminat Bee Gees.” Katanya
sambil bertepuk tangan dan ketawa kecil. Kagum.
Kami berpandangan dan tersenyum. Tak tahu apa
yang lucu sangat tapi kami masih tersenyum. Tak sangka
barangkali yang kami akan berbual rancak begini sedangkan
baru saja berkenalan.
Kacak sungguh dia. Dengan jambang yang nipis,
mata redup, hidung mancung, bibir terbentuk cantik. Ya
Allah, boleh cair aku kalau tatap lama-lama. Aku perasan
matanya merenung aku. Mungkin dia juga meneliti wajahku.
Aku berkerut. Tidak ke pelik tu?
Kemudian kami tersedar setelah lama bertatapan
sesama sendiri. Aku berdeham. Masing-masing mengalih
pandangan. Tiba-tiba dia tergelak kecil. Mungkin masih
teringat perbualan kami tiba-tiba rancak hanya disebabkan
lagu Bee Gees.
“Selalu naik ke sini? Atau ni kali pertama?” soalnya
memecah kesunyian.
“Selalu jugalah. Hampir setiap minggu. Awak?” Aku
menyoalnya kembali.
“Saya jarang ke sini. Dalam sebulan, sekali aje. Tapi
baru kali ni nampak awak.” Ujarnya.
Aku angguk. Aku pun baru inilah pertama kali
ternampak dia. Takkan Allah makbulkan doa aku agar
menemukan jodoh buatku di atas puncak ni? Biar betul?
“Tak ada jodoh kut sebelum ni?” guraunya.
Aku tersengih saja.
Kami berbual macam biasa selepas itu. Amzar
seorang arkitek. Umurnya sudah tiga puluh. Mati-mati
aku ingat dia baru dua puluh something sebab dia nampak
muda dan segak. Kalau dia pakai tuksedo ni, mahu berhenti
mengepam jantung aku. Sedangkan dia pakai pakaian sukan
pun aku sudah telan liur berkali-kali.
Kami sempat merakam gambar bersama. Sesudah
itu, dia menghulurkan bantuan untuk aku turun. Memang
licin jalan turun ke bawah. Ada yang menggelongsor, ada
yang turun pakai tali. Ikut pada yang mana satu ‘traffic’ tidak
sesaklah.
Dia tanya aku, nak tak daki Gunung Tok Wan? Aku
jawab tak nak. Sebab jauh dan lebih mencabar dengarnya.
Ramai yang berpesan supaya pergi dalam kumpulan. Tak
ramai sangat pun orang memanjat Gunung Tok Wan.
Mungkin masing-masing takut dengan risikonya. Macam
aku. Lagi satu, ramai dah habis tenaga dekat Bukit Broga.
Tak susah pun nak berbual dengan dia sebab dia
sangat ramah. Kedua-dua belah pihak berbual sama rancak.
Tidaklah macam aku dengan Benji. Asyik aku saja yang
banyak mulut. Hesy, Benji lagi!
“Payah nak jumpa perempuan memanjat sendirian.
Maksud saya, tak dengan kawan-kawan perempuannya yang
lain.”
Lamunanku terhenti mendengar suaranya. Hehehe,
pelik sangat ke?
“Lecehlah nak kena buat deal apa semua. Kalau
macam ni kan, senang nak bergerak? Lagi satu, orang pun
ramai. Tak perlu nak risau apa-apa.” Memang pun. Dulu aku
fikir, aku bakal keseorangan. Tapi tengoklah, setiap hari ada
saja orang yang pergi mendaki. Ramai pula tu.
“Rasa puas hati bila berjaya sampai ke puncak, kan?”
Ujarnya.
Aku angguk. Puas hati sangat-sangat! Walaupun dah
beberapa kali aku mendaki bukit yang sama, namun rasa puas
hati tu tetap akan ada. Nak-nak apabila dapat tengok sunrise
atau sunset. Berbaloi sangat! Sunrise atau sunset merupakan
penyebab utama kenapa aku suka sangat-sangat mendaki di
Bukit Broga ini.

No comments:

Post a Comment