Monday, 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 11



“Aidid!”  Samirah menjerit.  Pintu bilik abangnya diketuk lagi.  Dia tahu Aidid belum tidur.  Sengajalah Aidid ni nak menyakat aku.

“Did bukalah pintu ni.”  Samirah sudah memperlahankan nada suaranya.  Ada nada seperti hendak menangis.  Lenguh tangannya mengetuk, si abang di dalam buat derk saja. 

“Aidid kata dia dah tidur!”  Terdengar laungan dari dalam bilik, diikuti dengan gelak riang si abang yang suka sangat menyakat adik kesayangan.

“Aidiiiiid!  Samirah bengang semula.  Diketuknya pintu bilik sekuat hati, sama kuat dengan jeritannya.  Tombol pintu dipusing-pusingkan, dengan harapan pintu boleh dibuka walaupun dia tahu Aidid sengaja mengunci dari dalam.  Takutlah tu, sebab dah buat salah, desis hati Samirah.

“Kenapa Ira?” Soal papa sambil kepala papa muncul dari balik pintu biliknya. 

“Papa… papa belum tidur?”

“Awal lagi ni, baru pukul 9.30.  Papa tengah buat kerja sikit, terdengar kamu marah-marah panggil Aidid.  Dah lama rumah ni sunyi, bila kamu balik barulah bising sikit.”

Sorry papa… Ira ganggu papa.”

Baharin keluar dari bilik dan datang mendekati Samirah yang masih tercegat di hadapan bilik Aidid.

“Eh taklah, mana ada mengganggu.  Papa rindu suasana bising-bising macam ni.  Aidid tu pun rindu tu nak bergaduh dengan Ira.”

Samirah memandang papanya dengan rasa bersalah.  Gigih juga papa ni, tak cukup bekerja di pejabat, dibawa pula kerja tu balik ke rumah.  Yang Aidid ni memang sengajalah ni nak mendera aku.  Siap kau Did, dengus Samirah dalam hati.  Dapat nanti aku luku-luku kau.

How was dinner with Irsyad?” Membulat mata Samirah sebaik sahaja mendengar soalan papanya.  Ini mesti Aidid yang beritahu papa. 

Errmmm, okey.”

Baharin senyum.  Kalau jawapannya okey maknanya semuanya berjalan dengan lancar.  Elok juga ada jejaka bernama Irsyad itu berkawan dengan Samirah, sekurang-kurangnya dapat mengalih perhatian Samirah daripada asyik teringatkan mamanya. 

“Kata Aidid he seems like a good man.”

Yes he is.  Tapi Ira baru lagi kenal dia.  Ira anggap dia sebagai kawan saja.  Ira tak nak bercinta.”

            “Sebab Ira nak cari mama?”

Merenung mata papa yang bening, ditambah pula dengan soalan papa, Samirah tiba-tiba sebak.  Sudahnya dia hanya menjawap dengan anggukan.

“Mama Ira dah ada kehidupan dia sendiri.  Papa tak larang Ira cari mama, tapi janganlah sampai Ira hilang kehidupan Ira.  Kalau Irsyad tu baik, jangan jadikan pencarian mama penghalang kepada perhubungan yang lebih baik antara kamu dan Irsyad.”

Samirah mengangguk lagi.  Hati terkesan dengan nasihat yang papa berikan.  Kenapalah mama sanggup meninggalkan lelaki sebaik papa?  Matanya direndahkan, tidak sanggup menatap wajah papa.  Walaupun papa kelihatan tenang, Samirah tahu di sudut hati papa masih tersembunyi kedukaan.

“Lelaki yang baik tak ramai zaman sekarang ni.”  Baharin mengusap rambut Samirah. “Kalau Ira suka dia, jagalah persahabatan itu, perhaps it can grow into a more serious relationship.”

“Terima kasih papa nasihatkan Ira.  Ira belum bersedia nak bercinta.”

“Papa percaya Ira dah cukup besar dan matang untuk memikirkannya. No one can force you, if you don’t want to.  So treat him as a friend, tapi jangan bagi dia harapan palsu.  Nanti dia kecewa.  Tak baik kecewakan orang.”

Samirah sebak lagi.  Apakah apa yang papa tuturkan itu gambaran perasaan papa yang dikecewakan?  Lebih teruk lagi dikecewakan setelah lebih dua puluh tahun hidup bersama?  Adui Samirah, sudah-sudahlah melayan duka.  Waktu bukannya boleh diputarkan balik.  Move on with life Ira, hati memberi pesan.

How was your meeting, pa?”  Soalan ditanya agar perhatian sendiri dan papa dapat dialihkan dari berbincang tentang soal perhubungan, perasaan dan yang sewaktu dengannya.

Meeting yang mana?” Dahi Baharin berkerut.  Samirah panggung kepala, pandang wajah papa.

“Yang petang tadi?

“Oh yang itu.  Meeting dengan Mr Lim dari Syarikat Bina Maju.  Papa tak jadi pergi meeting tu, Aidid yang gantikan papa.”

Baharin senyum.  Muka Samirah pula tawar.  “Oh,” kata mulutnya.  Siap kau Aidid, sengaja kau nak aku keluar dengan Irsyad ya.   Apa motif kau?  Eeeee geramnya aku.  Ada ubi ada batas, ada hari aku balas.  Kata hatinya.

Good night Ira.  Papa nak masuk, sambung kerja sikit.”

Samirah hanya mampu mengangguk.  Mata bening papanya ditatap lagi.  Sebuah senyuman dipalsukan, agar papa tidak tahu hatinya meruntun kesedihan apabila mengenangkan nasib papa.

Good night papa.  Assalammualaikum.”  Tangan papa disalami dan diciumi.  Baharin mencium ubun-ubun anak gadisnya.

Samirah bersandar di pintu bilik Aidid sambil matanya memandang ke arah papa yang menghilang di sebalik pintu bilik.  Hatinya sayu memandang papa yang kelihatan sudah dimamah usia.  Bukankah di kala usia semakin lanjut, teman hidup penghilang sepi sangat diperlukan di sisi? 

Leka memikirkan tentang papa, Samirah tidak sedar tombol pintu dipusingkan dan pintu ditarik dari dalam.  Apa lagi, Samirah terjatuh ke belakang.  Mujur sempat ditangkap oleh Aidid yang sedang tersengeh bak kerang busuk.

“Aidiiiid!”  Jeritan nyaring kedengaran lagi, serentak dengan satu cubitan sekuat hati di atas lengan Aidid.  Aidid menyeringai.

“Oiii sakitlah.  Lebam lengan aku nanti”

“Rasakan.  Main-mainkan aku lagi.”

Aidid mengusap bahagian tangan yang baru terkena cubitan Samirah.  Sakitnya dicubit bukan kepalang.  Rasa-rasanya sudah lama jari Samirah tidak mengetip, sekali mengetip ya ampun, teramatlah sakit.  Samirah menolak Aidid ke tepi dan terus berjalan masuk ke bilik Aidid dan duduk di atas kerusi.

Aidid melabuhkan punggungnya di tubir katil.

“Wei tengok, dah lebam.”

Samirah memandang Aidid dengan pandangan separuh marah, separuh geram.  Marah kerana Aidid sengaja menyuruh Irsyad Rifqi menghantarnya pulang dan membenarkan pula Irsyad membawanya makan malam.  Geram kerana sudahlah Aidid mengenakan dia, sampai di rumah sengaja pula Aidid tidak mahu berbual dengannya. 

“Yang kau pandai-pandai suruh dia hantar aku balik buat apa?  Kau tipu ek, kata meeting papa habis lambat… walhal papa tak pergi meeting tu.”

“Aku kesian kat kau.  Daripada kau menapak pergi stesen LRT, lepas tu kena tukar pula naik PUTRA, kan lebih baik kalau ada orang yang menghantar kau balik.  Jimat masa, tak meletihkan.  Dapat naik kereta besar pula tu, and the driver is jejaka idaman Malaya.”

Jatuh dagu Samirah mendengar alasan Aidid.  Mencerun matanya memandang abangnya.  Kalau diikutkan hati rasanya nak saja dicilikan mulut Aidid.

“Amboi sedapnya kau cakap, kesiankan aku konon.  Sebenarnya kau sengaja nak kenakan aku kan?” 

Aidid tersengeh macam kerang busuk.  Memang pun sebenarnya dia sengaja mengenakan Samirah.  Dia tahu Samirah tidak mahu Irsyad Rifqi tahu di mana mereka tinggal.  Peliklah adik aku yang sorang ni, lelaki kacak, muda, kaya, macam tu pun tak mau, desis hati Aidid.

“Memang aku saja nak kenakan engkau dengan dia.  Aku tengok korang sepadan.  Yang kau takut sangat dia tau kat mana kau tinggal tu kenapa?  Takut dia tiba-tiba datang meminang?”

“Did, kau kan tau… I don’t want to be close to him.”

Ayat adiknya diabaikan, sebaliknya ditanya pula “so, dinner kat mana tadi?”

“Kat Gerai Burger Jali.”   Marah Samirah sudah reda.  Selalunya begitulah, kalau dia marah dengan Aidid, tidak pernah lama.  Mana tidaknya, abang kesayanganlah tempat meluahkan rasa, bercerita dan mendapatkan nasihat.  Kalau marah lama-lama, dengan siapa dia hendak bercerita.  Mama sudah menghilang, papa pula… tidak mahulah dia memberatkan kepala papa dengan hal remeh-temeh.

“Boleh tak kau cerita kat aku, dari A sampai Z?” 

Otak Samirah mula menerawang, mengimbas kembali peristiwa yang berlaku petang tadi.




“Irsyad, saya belum solat Zohor.  Nanti awak keluar ke jalan besar, depan sikit ada masjid sebelah kanan.”

Irsyad Rifqi senyum.  Tidak sampai lima minit keretanya sudah meluncur di jalan besar dan masjid yang dikatakan Samirah sudah tarpaper di depan mata.  Sebaik sahaja tiba di masjid Irsyad Rifqi turut keluar.  Dia sendiri pun belum menunaikan solat Zohor.  

“Kita berhenti minum cendol, nak?”  Soal Irsyad sebaik saja mereka meneruskan perjalanan.

“Boleh.”  Sepatah jawapan Samirah.  Irsyad memberi isyarat ke kiri, kemudian memberhentikan kereta mewahnya di tepi jalan. 

“Awak nak cendol biasa atau cendol special?”  Tanya Irsyad sebaik sahaja mereka duduk.

“Yang special tu ada apa?”

            “Yang biasa tu cuma cendol dan kacang, yang special ada jagung, kacang dan pulut” Irsyad menerangkan.

“Hmm, saya nak yang speciallah.”

Irsyad melaung kepada mamak yang berdiri di tepi lorinya, memesan 2 mangkuk cendol special. 

“Apa ni?” Samirah menyoal.  Botol berisi cecair berwarna hitam diangkat dan digoyangkan, sambil matanya mengikut pergerakan cecair dalam botol.

“Air gula, untuk orang yang suka lebih manis, boleh tambah air gula sendiri.”

“Oh.”  Pendek jawapan Samirah.  Sudah lama dia tidak menikmati cendol.  Baru hari ini dia tahu ada air gula tambahan disediakan.

So, is this one the best in town?” Soal Samirah sebaik sahaja mamak meletakkan cendol di hadapan mereka.  Doa makan dibaca dalam hati, kemudian air cendol dikacau sebelum disuap ke dalam mulut.

No.  Kalau awak nak rasa the best cendol, I can take you to Melaka.”

“Sekarang?”  Samirah menduga.

Of course.  Cepat habiskan cendol tu, then we go straight to Melaka.”

Biar betul dia ni.  Kot ya pun nak mengorat aku, agak-agaklah.  Takkan dah petang nak pergi Melaka, pukul berapa nak balik.  Dah tu pergi semata-mata nak makan cendol aje.  Mentang-mentanglah aku baru balik dari oversea, semua makanan nak disuruh aku rasa.  Hati berkata, mata melekat di wajah kacak yang sedang tersenyum.  Aduhai senyuman itu, semanis air gula Melaka.

“Err.. Irsyad, awak ni tak payah kerja ke?  Melaka tu jauh tau… setengah jam tak sampai.”

Mata Irsyad masih tidak mahu meninggalkan wajah manis diselubungi tudung biru muda.  Tangannya menyuap sesudu cendol ke dalam mulut. 

“Demi awak, jangan kata pergi Melaka, Selat Melaka pun saya sanggup redah.” 

Amboi mengayat.  Jangan disangka CEO muda dan bujang itu only thinks about the bottom line.  Pandai mengayat juga rupanya, hati Samirah berkata.

“Kalau redah naik bot, sesiapa pun boleh.”  Jelas kedengaran di telinga Irsyad.  Ada nada mencabar, ada juga nada sinis dalam suara Samirah. 

But my boat is different.  It is an exclusive speed boat.  Saya bawa sendiri dan kita berdua saja di atas boat.”

Samirah memberi renungan tajam kepada Irsyad Rifqi.  Tak mahu mengalah, ok aku kena cari ayat pematah ni.

“Errm, saya tak …”

“Biasa naik bot berdua dengan lelaki.”  Pantas Irsyad memintas.  Dia yakin itu yang bakal dikatakan oleh Samirah, sebab dah banyak kali dia mendengar ayat ‘saya tak biasa dot dot dot’.

Samirah tergelak kecil.  Rasa lucu kerana Irsyad memandai memberi alasan. Nampak dia yakin benar dengan ayatnya. Well, you got it wrong this time.

“Bukan. Saya tak suka naik bot… sebab saya mabuk laut.”

Irsyad tersenyum.  Wajah Samirah direnung lama-lama.  Di saat mata mereka bertaut, dengan yakin Irsyad berkata “saya mabuk cinta…”

Jantung Samirah berdegup pantas.  Entah kenapa ayat tergantung yang diucapkan oleh Irsyad membawa satu debaran dalam dadanya.

“…dengan awak.”  Matanya tajam merenung, bagai tembus hingga ke dasar hati.  Suaranya bagai berbisik.  Jantung Samirah pula bagai berhenti berdegup.


“Wow!  Dia cakap macam tu?  Confirm Ira, dia dah jatuh cinta kat kau.”  Pantas Aidid bersuara sebaik sahaja Samirah habis bercerita.  Samirah memuncungkan bibir.  Bukan kerana dia tak suka, tapi kerana dia risau.

“Itulah yang aku risaukan Aidid.  Aku nak berkawan saja dengan dia.  Sebab tu aku tak nak keluar dengan dia, aku tak nak bagi dia harapan.  Kau pula memandai suruh dia hantar aku balik. Kau tau tak aku bengang dengan kau?”

Aidid tersengeh.  Itu saja yang dia mampu buat.  Kalau dilawan kata Samirah, mengamuk pula adiknya nanti dan tak dapatlah dia mendengar kisah seterusnya.

“Lepas tu, apa terjadi?  Macam mana kau orang boleh sampai ke gerai Jali?”

Samirah mengangkat bahu. Keningnya juga diangkat.  Kemudian dia senyum.  Lain macam senyumannya.  Meleret sambil matanya mencerun memandang ke arah Aidid.

“Lain kali ajelah aku cerita,” Samirah bangun.  Kaki mula menapak ke arah pintu bilik.

Aidid mencebik.  Tak nak cerita sudah.  Aku pun tak kisah.

“Ingat Did, jangan buat macam tadi lagi.”

Aidid diam saja.  Mata terpaku ke arah pintu yang sudah ditutup dari luar.  Hai Ira, kalau perempuan lain ni, dah lama digodanya Irsyad Rifqi yang kacak, muda, kaya dan berjaya tu.  Bisik hati Aidid. 




No comments:

Post a Comment