Tuesday, 1 March 2016

MY SOULMATE - BAB 13



   “Aku inginkan dirimu
     Datang dan temui aku
        Kan ku katakan padamu
                        Aku sangat mencintai dirimu……..”

            Taufik menyanyi-nyanyi kecil mengikut irama lagu “Saat Aku Mencintaimu” dendangan kumpulan Dadali.  Sungguh mendayu-dayu lagu itu menyapa telinganya.  Taufik benar-benar tenggelam dengan lirik dan irama lagu itu.  Sejak kebelakangan ini, dia tiba-tiba saja jadi seorang yang cukup sensitif dan lebih suka melayan lagu-lagu berirama balada sebegini kerana dia merasakan lagu-lagu yang digemarinya ini menyentuh kisah hatinya tika dan saat ini.  Ayuni telah benar-benar membuatkan Taufik merasakan hidupnya berubah 360 darjah.
            “Hoi! Kau berangan ke?  Hai, sejak bila pulak kawan aku sorang ni dah jadi mat jiwang ni?” Sergah Hisyam yang tiba-tiba sudah berada di tempat duduk penumpang di sebelah Taufik. 
Taufik yang kehilangan konsentrasinya hanya mampu menjeling.  Kehadiran Hisyam benar-benar telah mengganggu lamunannya.
            “Kau ni kenapa Fik?  Aku tengok kau sekarang ni dah macam tak berapa nak betul.  Taufik yang aku kenal dulu bukan macam ni.  Come on bro, don’t tell me yang budak perempuan tu yang buat kau jadi tak betul macam ni” 
“Ayuni ok…budak perempuan yang kau maksudkan tu ada nama. Don’t simply call her like that” Balas Taufik yang agak kurang senang apabila Hisyam menggelar gadis kesayangannya itu sesuka hati. 
“Ok…ok…sorry.  You know Taufik…actually, i’m speechless.  Aku macam tak percaya yang si….I mean Ayuni boleh buat kau jadi separuh gila macam ni.  Apa semua ni?  Siap layan lagu-lagu jiwang segala.  Hei, jangan-jangan kau ni dah kena ‘manderem’ tak?” Luah Hisyam sambil menggeleng-gelengkan kepalanya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihat di depan matanya.
            Sekali lagi Taufik menjeling ke arah Hisyam tanda dia tidak senang apabila Ayuni dituduh ‘mengguna-guna’kannya.  Melihat Taufik yang hanya diam seribu bahasa, Hisyam menyambung lagi. 
“Apa kata kita lepak tempat biasa.  Buang masa aje layan benda-benda mengarut macam ni.  Dah, jom kita pergi”.
 Sorrylah syam, aku memang tak ada mood nak pergi malam ni.  Kalau kau nak pergi, kau pergilah sorang.  Aku rasa aku nak rest aje kat rumah” Balas Taufik dengan acuh tak acuh. 
“Dah tu, yang kau panggil aku datang sini ni nak buat apa?  Just nak tunjuk muka kau yang macam orang mati bini ni?” Hisyam mula jengkel. 
            “Aku panggil kau ni syam sebab aku nak luahkan apa yang bersarang kat hati aku ni.  Aku tak tahu nak luah pada siapa.  Duduk rumah sorang-sorang, buat aku makin jadi gila” Luah Taufik dengan nada sayu.
 “Kau dah parah ni, bro.  Well, what can I do for you?” Balas Hisyam apabila dilihatnya Taufik memang benar-benar sedang parah.  Taufik menarik nafas panjang sebelum meluahkan apa yang terbuku di hatinya. 
“Syam…kau dah kenal aku lama kan?  Kau pun tahu aku ni jenis yang macam mana.  Kau mungkin rasa aku main-main.  Aku nak beritahu kau, yang aku memang dah betul-betul fall in love with Ayuni.  Kau boleh gelakkan aku syam, tapi di sini memang aku rasa cukup sakit” Luah Taufik sambil menepuk-nepuk dadanya. 
“Mungkin, ini balasan Allah pada aku syam.  Selama ni, aku banyak mempermainkan hati-hati perempuan yang mendampingi aku.  Aku betul-betul nak jadi gila bila mengingatkan dia dan satu perkara yang aku pasti, perasaan cinta aku pada Ayuni ni tak sama dengan perasaan aku semasa bercinta dengan Farah.  Gila ke aku ni syam?” Luah Taufik. 
Tanpa disedari setitis air mata jatuh membasahi pipinya.  Selama ini, air matanya cukup mahal, tetapi sejak mengenali Ayuni, segalanya jadi terbalik.
            Hisyam agak terkaku bila melihat air mata rakan baiknya itu.  Baru kini Hisyam benar-benar menyedari yang Taufik memang cukup serius dengan apa yang dikatakannya.
  “Habis tu, kau nak aku buat apa?” Balas Hisyam mula menukar nada suaranta setelah melihat keadaan rakan baiknya itu. 
Taufik hanya menggeleng-gelengkan kepalanya tanda dia sendiri pun tidak tahu apa yang boleh dilakukan oleh Hisyam.  Semenjak bercerai dengan Farah, inilah kali pertama dia melihat Taufik begitu sedih.  Peristiwa perpisahan dan kehancuran rumah tangganya dengan Farah pun, Taufik dilihatnya tidak sesedih ini.  Hisyam mula memikirkan cara untuk membantu Taufik, namun dia sendiri bingung.  Untuk dia sendiri berjumpa dengan Ayuni dan memujuk gadis itu, dirasakannya adalah amat mustahil.  Dia sendiri masih geram dengan perbuatan gadis itu dahulu.  Rasa geram dan menyampahnya masih berbaki hingga kini.  Namun, bila melihat keadaan Taufik, dia cuba memadamkan perasaan bencinya itu dan berkira-kira untuk membantu Taufik mencapai hasrat hatinya itu.
Jika diambil kira statusnya sebagai CEO syarikat, adalah agak mustahil untuk dia merendahkan ego dan martabatnya hanya semata-mata untuk memujuk rayu gadis yang telah membuat rakan baiknya itu separuh gila.  Apatah lagi, hingga kini dia masih tidak berpuas hati dengan gadis itu dan masih mencari-cari masa yang sesuai untuk mengenakannya, tetapi dengan keadaan Taufik begitu, dia jadi serba salah.
Adakah memang benar rakan baiknya itu sudah jatuh cinta tahap dewa dengan gadis yang entah dari mana asal usulnya itu?  Melihat karakter dan personaliti Taufik, sememangnya tidak padan langsung untuk rakan baiknya itu jatuh cinta dengan gadis itu tetapi apakan daya.  Sesungguhnya cinta itu sememangnya buta.
Apakah Taufik sudah buta akibat penangan cinta?  Atau mungkin gadis itu sudah melakukan sesuatu sehingga membuat rakan baiknya itu angau tahap dewa.  Bukan boleh percaya sangat gadis zaman sekarang ini yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan kehendak hati mereka tercapai kerana secara logiknya, mana mungkin Taufik yang cukup macho dan stylo itu jatuh cinta dengan gadis kampung yang bertudung dan berperwatakan yang cukup menjengkelkan itu!
Entah kenapa, secara tidak sengaja, Hisyam mula membandingkan wanita-wanita cantik yang pernah mendampingi dan didampingi Taufik.  Kebanyakan mereka mempunya personaliti seperti tunangnya sendiri.  Anggun, vogue, sophisticated dan yang penting mestilah seksi!
Sememangnya seratus peratus berbeza jika hendak dibandingkan dengan personaliti gadis kampung itu.  Jauh di sudut hati, Hisyam berazam untuk mencari punca sebenar kenapa rakan baiknya itu boleh jatuh cinta dengan gadis seperti Ayuni dan jika boleh, dia akan cuba meyakinkan Taufik supaya melupakan cinta gilanya yang baru sahaja ingin berputik itu. 
Padanya, Ayuni bukanlah gadis yang layak untuk berdamping dengan Taufik dan jika perlu dia akan mencarikan seorang wanita yang jauh lebih baik dari gadis kampung itu kerana Hisyam yakin, perasaan cinta Taufik yang baru berputik itu hanyalah atas dasar teman baiknya itu kesepian setelah bercerai dengan bekas isterinya.
           

No comments:

Post a Comment