Wednesday, 16 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 4



RUANG RESTORAN Makmur kelihatan sesak dengan pengunjung yang datang untuk menjamu selera malam itu. Bunyi sudu dan garfu berdentum-dentam sudah menjadi perkara biasa di restoran ini. Dari jauh kelihatan Qaiser dan Firman melangkah masuk ke dalam ruang restoran.
Mereka terpaksa melilau-lilau mencari tempat duduk kerana hampir semua meja di ruang dalam restoran itu sudah dipenuhi oleh pengunjung. Kedengaran keluhan terbit dari bibir Qaiser.
“Kita cari restoran lainlah, Fir. Ramai sangatlah ni…” ujar Qaiser sambil mengajak Firman pulang.
“Eh, tunggulah dulu. Aku memang teringin nak makan nasi kukus ni. Alang-alang kita kat sini, kita makan jelah dulu. Lagipun aku dengar, nasi kukus dekat sini sedap tau. Rugilah kalau kita tak cuba,” ajak Firman.
Qaiser terdiam. Dia hanya membuntuti langkah Firman menuju ke satu meja yang telah dikosongkan. Dia melabuhkan punggung sambil menunggu pelayan datang mengambil pesanan.
“Mana pelayan ni? Lambat betul.” Omel Qaiser sambil matanya melilau-lilau mencari pelayan.
“Sabarlah. Orang ramai ni. Mesti dia orang tak perasan,” ujar Firman.
Qaiser hanya mengeluh. Matanya menangkap seorang pelayan yang sedang membersihkan pinggan dan cawan di meja sebelah.
Waiter!” panggil Qaiser sambil mengangkat tangannya pada pelayan tersebut.
Pelayan tersebut menoleh. Qaiser terkaku seketika. Begitu juga dengan pelayan tersebut. Mata bertentangan mata. Dada Qaiser mula berombak menahan rasa benci yang mula menyerang dadanya.
Firman pelik apabila melihat Qaiser kaku memandang ke satu arah. Pantas, Firman berpaling ke belakang.
“Eh, Zeeza. Tak sangka jumpa awak kat sini,” tegur Firman dengan senyuman manis.
Azeeza hanya membalas dengan senyuman hambar. Dengan rasa malas yang menebal, dia menapak menuju ke arah meja yang menempatkan Qaiser dan Firman. Pen dan kertas yang berada di dalam saku apronnya dikeluarkan.
“Ana tak cakap ke yang saya kerja dekat sini?” soal Azeeza tepat memandang wajah Firman. Kehadiran Qaiser yang berada di hadapan Firman langsung tidak diendahkan.
“Ada tapi saya terlupa pula.” Ujar Firman tersengih.
Azeeza hanya tersenyum nipis. Dia kembali mendongak memandang wajah Firman.
“Awak nak minum apa?” soal Azeeza lembut.
“Bagi saya Nescafe Ais jelah. Qai, kau nak minum apa?” soal Firman bagi pihak Azeeza.
Qaiser yang hanya mendiamkan diri tersentak. Pantas saja pandangannya beralih ke wajah Firman.
“Kau pelayan dekat restoran ni ke?” soal Qaiser bersahaja.
Firman mengerutkan dahi. Kurang mengerti dengan kata-kata Qaiser.
“Aku cuma tanya je. Takkan kau tak nak minum atau makan apa-apa?” giliran Firman pula yang menyoal.
Qaiser tersenyum sinis. Lantas, wajah gadis yang memakai baju t-shirt berlengan panjang dan bertudung hitam itu dipandang dengan tajam. Rasa dendam pada gadis itu masih belum terhakis. Sakit hatinya masih belum terbalas.
“Apa guna ada pelayan depan mata ni kalau kau yang ambil oder aku?” soal Qaiser sambil menjeling pada Azeeza yang masih tercegat berdiri.
Azeeza mengetap bibir. Dia tahu maksud lelaki itu. Satu dengusan terbit dari bibirnya.
“Qai, kita kat luar sekarang bukan kat kolej,” tegur Firman.
“Hah, kau nak minum apa?” soal Azeeza malas. Dia sudah bersedia untuk mencatatkan pesanan di atas kertas.
“Kau siapa nak panggil aku macam tu? Aku tak kenal kau. Sekarang aku customer kau, hormat sikit!” suara Qaiser sudah mula meninggi. Beberapa pasang mata asing memandang ke arah mereka bertiga.
“Qai…” Firman bersuara. Pantas, Qaiser mengangkat tangan meminta supaya Firman menghentikan bicaranya.
“Encik nak minum apa?” Azeeza kembali menyoal sambil menekankan perkataan Encik. Rasa sebal sudah menyelubungi hati Azeeza.
Dia tahu sekarang ini Qaiser adalah pelanggan yang patut dilayani dengan sebaik mungkin walaupun hatinya membentak untuk melarikan diri daripada tempat itu. Mata dan hatinya sakit sebaik saja melihat wajah Qaiser. Walaupun wajah itu tiada cacat celanya.
“Aku nak orange juice.” Balas Qaiser.
“Makan?”
“Bagi dua nasi kukus ya.” Pinta Firman dengan ramah.
Azeeza hanya menganggukkan kepala dan beredar menuju ke dapur untuk menghantar pesanan.
“Qai, kau janganlah buat dia macam tu. Dia tengah cari rezeki. Kalau pengurus dia nampak kau tengking dia, nanti dia pula yang kena marah.” Tegur Firman tidak berpuas hati dengan sikap Qaiser.
Qaiser mencebik. Dia tidak peduli semua itu. Baginya dendam harus dibalas. Siapa yang suruh cari pasal dengan aku kan?
“Yang kau asyik bela dia sangat ni kenapa? Kau dah syok dekat dia ke?” tempelak Qaiser geram.
“Ini bukan masalah syok ke apa, Qai. Aku tahu kau suka buli student kat kolej tu tapi cukup-cukuplah tu. Minggu lepas kau dah kenakan dia cukup-cukup. Takkan dendam kau tak terbalas lagi?” keluh Firman.
“Cuba kau tengok muka aku ni, Fir. Kau ingat aku akan maafkan dia macam tu je ke? Dia tumbuk muka aku depan kau. Depan kawan-kawan kita yang lain. Kau ingat aku tak ada maruah ke? Dia yang cari pasal, biar dia yang selesaikan sendiri.” Balas Qaiser. Hatinya enggan menerima kata-kata nasihat daripada Firman.
“Okey, itu masalah kau dengan dia. Tapi aku mintak sangat kau jangan buat hal dengan Zeeza tu dekat tempat dia cari rezeki. Dia bukan senang macam kau, Qai. Kau tak kenal dia…”
Belum sempat Qaiser membalas, Azeeza datang menatang dulang yang berisi pesanan Qaiser dan Firman. Dengan berhati-hati dia meletakkan gelas di atas meja sambil diperhatikan oleh Firman. Qaiser hanya menjeling
“Awak dah makan, Zeeza?” soal Firman prihatin.
Azeeza memandang sekilas. Pantas, dia menggelengkan kepala.
“Tak sempat. Customer ramai.” Jawabnya.
Firman hanya menganggukkan kepala. Manakala, Qaiser hanya memerhatikan tingkah Azeeza. Wajah gadis itu kelihatan tidak bermaya. Penat sangat ke? Soal hatinya. Namun, Qaiser tidak membiarkan hatinya tercuit melihat wajah Azeeza yang kepenatan. Gadis itu adalah lawannya. Musuh yang perlu ditentang habis-habisan.
Lalu, Qaiser mencapai jus oren yang dipesan. Dia meneguk perlahan sebelum wajahnya berkerut.
Puiii, air apa ni?!” bentak Qaiser sambil meludah ke lantai.
Firman tersentak. Azeeza tercengang. Dia berpandangan dengan Firman yang jelas terkejut dengan reaksi Qaiser yang tiba-tiba membentak.
“Ke..kenapa?” soal Azeeza tergagap-gagap. Dia cuak.
“Kenapa kau tanya? Kau tahu tak yang air ni masam macam tertumpah cuka. Siapa yang buat air ni?” soal Qaiser dengan suara yang masih meninggi.
“Tukang bancuh air yang buat. Takkan boleh masam pula?” soal Azeeza bagaikan tidak percaya.
Dia menelan air liur. Mula kecut perut apabila banyak mata yang memandang ke arah mereka.
“Habis tu kau ingat aku menipulah?” tekan Qaiser. Dia mula berdiri bertentangan dengan Azeeza.
Azeeza menarik nafas panjang. Nampaknya, Qaiser sengaja ingin mencari pasal dengannya.
“Aku tak cakap pun kau menipu tapi selalunya air yang orang lain pesan okey je. Tak adalah pula yang kompelen masam. Dah nama pun orange juice mestilah masam takkan pahit pula,” tempelak Azeeza dengan suara yang perlahan namun sempat didengari oleh Firman dan Qaiser.
Firman menyembunyikan senyumnya sementara wajah Qaiser sudah berubah.
“Kalau kau tak percaya…nah! Kau rasa sendiri!” ujar Qaiser.
Tak semena-mena dia menyimbah jus oren tersebut ke muka Azeeza. Habis wajah itu basah dengan air oren yang melekit.
Azeeza terjerit kecil. Firman turut terkejut. Dia bingkas bangun.
“Qai, apa ni?!” jerit Firman.
“Kau jangan menyibuk. Ini urusan aku!” bentak Qaiser.
Azeeza mula bengang. Dia meletakkan dulang di atas meja. Kesabaran yang ditahan dirasakan semakin menipis. Kenapalah mamat seorang ni suka sangat cari pasal dengan aku? Detik hatinya. Lalu, dia menyapu wajahnya dengan kedua belah tapak tangan. Pandangan daripada pelanggan lain tidak dihiraukan. Apa yang dia tahu, dia harus menyelesaikan masalahnya dengan Qaiser secepat mungkin.
“Siapa bagi kau hak simbah air ke muka aku?” soal Azeeza dengan suara yang ditahan-tahan. Dia memberanikan diri untuk menentang wajah Qaiser.
“Untuk simbah air ke muka perempuan macam kau, aku tak perlukan apa-apa hak! Memang padanlah dengan muka kau!” sinis Qaiser. Terasa kemenangan berada di pihaknya.
“Jadi aku tak perlukan hak juga untuk simbah kau dengan kuah ni…”
Serentak dengan itu, Azeeza mencapai kuah nasi kukus yang masih panas lalu disimbahkan ke baju Qaiser yang tidak bersedia dengan tindakan Azeeza. Qaiser tercengang. Melopong mulutnya melihat baju t-shirtnya dipenuhi dengan kuah kari.
“Kau memang tak guna! Aku nak jumpa dengan pengurus kau, sekarang!!” lantang suara Qaiser kedengaran.
“Zeeza, Qai, sudahlah tu. Malu orang ramai tengok ni,” Firman cuba meleraikan kekusutan yang melanda. Dia tidak senang duduk apabila mereka bertiga menjadi tontonan orang ramai yang sedang menjamu selera.
“Aku dah agak, kau ni memang pengecut..” balas Azeeza masih lagi mampu bersikap selamba. Sedikit pun tiada riak takut terpamer di wajahnya ketika berhadapan dengan Qaiser.
“Apa bising-bising ni?” tegur satu suara dari arah belakang membuatkan Azeeza berpaling. Dia menundukkan wajah. Habislah aku kali ni!
“Zeeza, apa yang berlaku ni? Dari dalam saya dengar bising-bising.” Encik Azman menyoal sambil matanya memandang wajah Azeeza dan Qaiser silih berganti.
Azeeza hanya mendiamkan diri. Tidak berani untuk membuka mulut. Bimbang dia akan hilang pekerjaan.
“Kenapa kau diam? Takut? Encik, cuba encik tengok apa yang pekerja encik dah buat pada saya. Berani dia simbah kuah kari ni kat baju saya? Dia ingat dia siapa?!” Qaiser mula memainkan lakonannya. Dia akan pastikan hidup gadis di hadapannya ini musnah.
Encik Azman tersentak. Pandangannya beralih pada Azeeza yang hanya menundukkan wajah.
“Betul Zeeza apa yang customer ni cakap? Awak simbah kuah kari ke baju dia?” soal Encik Azman inginkan kepastian.
Azeeza masih lagi beku. Menggangguk tidak, menggeleng pun tidak.
“Maknanya betullah, awak simbah kuah kari tu?” soal Encik Azman sambil menekan suaranya lagi.
Kali ini dengan perlahan-lahan, Azeeza menganggukkan kepala.
“Lelaki yang tak guna ni mulakan dulu!” bentak Azeeza cuba membela diri.
Qaiser tersentak. Tajam dia merenung wajah Azeeza. Terasa ingin ditelan gadis itu hidup-hidup. Baru puas hatinya.
“Zeeza, sekali pun encik ni yang mulakan dulu tapi tak bermakna awak kena balas balik kan. Dia customer kita. Customer always right..”
“Biarpun maruah saya dipijak-pijak, harga diri saya diletakkan di bawah tapak kaki dia. Kesabaran saya diuji, encik masih cakap customer always right? Perkataan itu hanya sesuai untuk customer yang tahu menghormati pekerja macam saya bukan customer sampah macam dia!” bentak Azeeza sambil menuding jari pada Qaiser.
“Encik tengok sendiri perangai pekerja encik macam mana. Saya tak teragak-agak nak saman restoran encik atas kebiadapan pekerja encik ni kalau encik tak buang dia sekarang!” Qiaser menyampuk.
Azeeza terkejut. Dia menentang anak mata Qaiser dengan renungan tajam. Berombak dadanya menahan sisa kesabaran. Firman pula mula serba salah.
“Qai, jom kita balik. Kau dah melalut ni…” ajak Firman sambil menarik lengan Qaiser.
Qaiser mendengus. Dengan pantas, dia merentap tangannya semula.
“Aku takkan pergi selagi perempuan ni tak dibuang kerja!” ujar Qaiser.
“Encik, saya nak encik pecat perempuan ni sekarang juga atau saya akan saman restoran ni!” ulang Qaiser lagi apabila melihat Encik Azman diam membeku.
Encik Azman serba salah. Azeeza adalah pekerjanya yang baik. Malah, gadis itu bukan gadis yang senang. Tidak sampai hati untuk dia memecat Azeeza kerana kesalahan pertama gadis itu. Tetapi masa depan restorannya jauh lebih penting.
“Zeeza…” panggil Encik Azman.
Azeeza tahu apa yang ingin dikatakan oleh Encik Azman. Dia hanya mampu menggelengkan kepala. Dia menahan sebak. Jika ini suratan yang telah ditetapkan, dia harus akur. Perlahan-lahan, dia menanggalkan apron yang dipakai lalu digenggam dengan kuat. Seolah-olah dengan cara itu dia menemui kekuatan.
“Tak mengapalah, Encik Azman. Saya faham. Restoran ni lebih penting untuk Encik Azman. Encik Azman tak payah pecat saya sebab saya dengan sendiri akan berhenti agar hati orang yang busuk tu puas. Dia bukan nak lihat Encik Azman bankrap tapi dia nak saya menangis dan melutut untuk minta maaf pada dia. Tapi maaflah, kemaafan saya terlalu berharga untuk manusia yang tak ada hati perut macam dia.” Ujar Azeeza tenang.
Dia melangkah untuk meninggalkan ruang restoran tersebut. Namun, langkahnya terhenti sebelum dia berpaling dan menghampiri Qaiser yang masih tegak berdiri. Kelihatan lelaki itu tersenyum kemenangan.
“Kau mungkin gembira melihat penderitaan aku. Kau mungkin bahagia dengan kesengsaraan aku tapi kau harus ingat, kau buat aku kehilangan pekerjaan aku tapi bukan maruah aku. Kau boleh hancurkan periuk nasi aku tapi kau lupa bukan kau yang memberi rezeki. Kau boleh benci aku semahu hati kau kerana aku takkan pernah memaksa kau untuk berhenti membenci aku. Kau tak kenal aku jadi kau tak tahu apa yang aku tanggung. Semoga kau terus berbahagia dengan penderitaan aku,” ucap Azeeza. Dengan selamba dia mencampakkan apron ke muka Qaiser sebelum berlalu meninggalkan tempat itu.
Setitis demi setitis air matanya tumpah dan jatuh menitik di bumi. Terbayang wajah adik kesayangannya di ruang mata. Maafkan kakak, Ma. Kakak tak dapat nak belikan baju uniform untuk Ma kali ni. Desis hatinya.
Qaiser terkedu seketika dengan kata-kata Azeeza. Dia biarkan saja apron itu melurut jatuh ke lantai.
“Puas hati kau sekarang? Kau dah menang, Qai. Kau dah berjaya hancurkan hidup Zeeza. Itu yang kau nak kan? Berapa kali aku cakap pada kau, dia bukan orang senang macam kau. Kenapa kau tutup periuk nasi dia? Dia anak yatim piatu, Qai. Dia tiada siapa-siapa dalam dunia ni. Aku tak sangka kau sekejam ni!” luah Firman sebelum berlalu meninggalkan Qaiser yang termangu sendirian.
Qaiser kembali melabuhkan punggung di atas kerusi. Kata-kata Firman terngiang di telinganya. Azeeza anak yatim piatu? Mustahil. Habis tu macam mana dia boleh lepas masuk ke kolej itu sedangkan kolej itu adalah kolej persendirian yang memerlukan belanja yang besar? Hatinya tertanya-tanya.

AWAL AKAK balik hari ni?” tegur Fatma lalu mendapatkan Azeeza yang berada di muka pintu.
Azeeza hanya tersenyum hambar. Sedaya upaya dia cuba menayangkan wajah yang ceria di hadapan Fatma. Dia tidak mahu Fatma tahu kegelisahan yang melanda hatinya.
“Ma buat apa tadi? Ulangkaji ke?” soalan dibalas soalan oleh Azeeza.
Fatma hanya menganggukkan kepala. Dia dapat mengesan perubahan di wajah namun bibirnya berat untuk menyoal.
“Kakak dah makan? Lauk yang akak masak tadi ada lagi. Nanti Ma panaskan.” Ujar Fatma dengan senyuman.
Azeeza menggelengkan kepala. Dia menapak menuju ke kerusi rotan. Dia melabuhkan punggung di situ sambil menekup wajahnya.
“Akak ada masalah ke? Ma tengok akak macam tak sihat je,” Fatma memberanikan diri untuk bertanya. Dia duduk di atas lantai sambil mengadap kakaknya.
Lama dia menunggu balasan daripada Azeeza tetapi tiba-tiba dia melihat bahu Azeeza terhinjut-hinjut. Menangiskah kakaknya ini?
“Kak, kenapa ni? Kenapa akak menangis ni?” soal Fatma cemas.
Dia bangun dan duduk di sebelah Azeeza. Bahu Azeeza dipeluk erat.
“Akak dah berhenti kerja, Ma.” Ucap Azeeza.
Fatma terpempan seketika. Lama dia merenung wajah Azeeza sebelum bibirnya mengeluh.
“Tapi kenapa kak?” soal Fatma ingin tahu.
Azeeza terdiam. Tidak mungkin dia menceritakan tentang Qaiser pada Fatma. Adiknya itu masih mentah untuk mengetahui apa yang terjadi. Mungkin ini adalah salahnya juga kerana mencari masalah dengan Qaiser. Lagipun bukan dia tidak kenal dengan Qaiser. Seorang lelaki yang sarat dengan dendam.
“Anggap jelah rezeki akak dah tak ada dekat restoran tu. Cuma akak terkilan sebab tak dapat nak belikan baju uniform untuk Ma. Maafkan akak, Ma. Akak gagal jadi kakak untuk Ma,” ujar Azeeza. Dadanya kembali dihurung sebak. Dia menyapu air mata yang masih bersisa di pipi.
“Tak mengapalah, kak. Kita cuba ikhtiar cara lain. Rezeki di tangan Allah bukan dengan manusia. Satu pintu rezeki kita tertutup, insya-Allah pintu rezeki yang lain masih terbuka. Ma yakin dengan kakak,” balas Fatma memberi kata-kata semangat.
“Tapi dekat mana lagi kita nak cari duit, Ma? Sekarang ni susah nak cari kerja part time.” Ucap Azeeza.
Fatma terdiam sebentar. Dalam kepalanya ligat memikirkan apa yang perlu mereka lakukan.
“Hah, apa kata kalau kita berniaga dekat bawah flat ni?” soal Fatma tiba-tiba.
Azeeza berpaling pada adiknya. Dahinya berkerut.
“Berniaga? Kita nak niaga apa?” soal Azeeza.
“Kita jual nasi lemak ke, kuih ke. Apa-apa jelah. Lagipun dekat bawah ni tak ada lagi yang jual nasi lemak,” ujar Fatma memberi pendapat. Dia tersenyum-senyum.
Giliran Azeeza pula yang terdiam.
“Tapi dik, mana kita nak cari modal. Nak masak nasi lemak perlukan modal juga,” balas Azeeza. Duit. Itulah masalah mereka sekeluarga. Sewa rumah yang mereka duduki sekarang ini pun masih ditanggung oleh Encik Rashid. Entah bila dia akan berhenti menyusahkan bapa saudaranya itu.
“Kita minta tolong dengan pak long nak tak, kak?” Fatma memberi cadangan.
Azeeza tersentak daripada lamunan. Kemudian dia menggelengkan kepala.
“Akak tak mahu menyusahkan pak long lagi. Cukuplah dia tolong bayarkan sewa rumah kita ni. Budi dia pun kita tak balas lagi,” jawab Azeeza.
“Memanglah kita dah banyak menyusahkan pak long tapi Ma rasa pak long tak kisah kalau kita pinjam duit sikit dari pak long. Bila dapat untung nanti kita bayar balik. Bolehlah kak. Ini je satu-satu usaha yang boleh kita buat,” pujuk Fatma.
Azeeza mula serba-salah.
“Bolehlah kak, lagipun pak long sendiri yang cakap kalau perlu apa-apa, mintak aje dengan dia.” Tambah Fatma lagi.
Azeeza mengeluh berat. Dia meraup rambutnya ke belakang.
“Yelah, yelah. Nanti akak try mintak dengan pak long.” Akhirnya Azeeza mengalah.
Fatma hanya tersenyum manis.

QAISER MELANGKAH masuk ke dalam rumahnya dengan langkah yang longlai. Entah kenapa kejadian di restoran tadi benar-benar menganggu fikirannya. Kata-kata Azeeza kerap kali berlegar-legar di mindanya.
“Hai, Qai. Baru balik?” soal Puan Qarina sewaktu terpandang Qaiser yang ingin mendaki tangga.
Langkah Qaiser terhenti. Dia hanya menganggukkan kepala.
“Mama tak tidur lagi ke?” soal Qaiser kembali. Anak matanya masih memandang wajah mamanya yang tekun menghadap komputer.
“Mama ada kerja sikit. Nak check semula senarai nama pelajar-pelajar yang layak dapat biasiswa daripada Yayasan Qarina.” Jawab Puan Qarina. Matanya memandang kertas di tangan dan skrin komputer silih berganti.
Biasiswa? Hati Qaiser bagaikan tergerak ingin tahu tentang biasiswa yang mamanya berikan pada pelajar-pelajar sebelum dipilih untuk masuk ke Kolej Antarabangsa Intergriti Pahang. Lalu, Qaiser menghayunkan kaki ke arah Puan Qarina. Dia duduk bersebelahan dengan mamanya yang kelihatan sibuk.
“Mama, Qai nak tanya sikit boleh?” soal Qaiser perlahan.
Puan Qarina mendongak. Dia tersenyum manis.
“Boleh sayang, apa dia?” soal Puan Qarina.
“Macam mana mama bagi biasiswa ni ya? Maksud Qai, pelajar macam mana yang layak terima biasiswa dari Yayasan Qarina?” soal Qaiser ingin tahu.
Puan Qarina tersenyum. Dia meletakkan kembali kertas A4 yang dipegang di atas meja. Wajah kacak milik Qaiser kini menjadi tumpuan.
“Kenapa baru sekarang Qai nak tahu? Selama ni Qai tak pernah nak tahu pun.”
“Selama ini Qai tak berpeluang nak tanya. Tapi selepas Qai dapat tahu yang mama ada bagi biasiswa dekat student di kolej tu, Qai rasa Qai patut tahu.” Jawab Qaiser berhati-hati.
“Kalau Qai nak tahu biasiswa daripada Yayasan Qarina ini memang untuk pelajar-pelajar yang terpilih saja. Mula-mula mama akan mintak senarai nama daripada semua sekolah harian biasa di seluruh Pahang ni, kemudian yang mana pelajar-pelajar yang pandai tapi tak berkemampuan untuk sambung belajar mama akan bagi biasiswa untuk lanjutkan pelajaran ke Kolej Antarabangsa Intergriti Pahang.” Jelas Puan Qarina.
Qaiser hanya menganggukkan kepala. Terlintas nama Azeeza di benaknya. Gadis itu memang seorang yang pandai malah tiap-tiap semester gadis itu akan mendapat anugerah dekan.
“Tetapi kalau dah terpilih, student tu kena pastikan pointer setiap semester meningkat ataupun tidak kurang daripada 3.50, jika tidak biasiswa itu akan ditarik balik.” Tambah Puan Qarina lagi.
“Berapa je yang Yayasan Qarina bagi untuk setiap pelajar yang terpilih?” soal Qaiser lagi.
Puan Qarina terdiam seketika. Dia cuba mengingati sesuatu.
“Yayasan akan bayarkan yuran pengajian, hostel, jika pelajar duduk di asrama dan lima ratus ringgit akan diberikan sebagai elaun untuk pelajar.” Jelas Puan Qarina.
“Lima ratus ringgit je, mama?” soal Qaiser seakan terkejut.
Patutlah Azeeza bertungkus lumus bekerja sampai ke lewat malam, ternyata wang biasiswa yang diberikan tidak mencukupi untuk perbelanjaannya. Mana nak beli buku rujukan lagi. Nota-nota yang disediakan oleh pensyarah juga perlu dibayar. Makan untuk setiap hari juga perlu dikira. Ya Allah, betullah kata Firman, aku dah taburkan pasir dalam periuk nasi dia. Keluh Qaiser dalam hati. Dia meraup wajahnya.
“Yelah, lima ratus ringgit je. Yuran pengajian, yuran peperiksaan semua yayasan yang tanggung. Selebihnya terpulang pada pelajar tu sendiri.” Jawab Puan Qarina.
“Tapi Qai rasa macam tak cukup je kalau yayasan bagi lima ratus ringgit untuk satu semester. Bayangkanlah macam mana pelajar-pelajar nak makan, nak beli buku dengan duit banyak tu. Kalau Qai kat tempat dia orang, gerenti Qai puasa tiap-tiap hari,” balas Qaiser.
Puan Qarina tersenyum manis. Memang kalau diikutkan duit elaun sebanyak itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan di kolej persendirian yang bertaraf tinggi ini tetapi Puan Qarina yakin pelajar-pelajar yang dipilih ini mampu berdikari. Mampu mencari duit sendiri untuk meneruskan perjuangan dalam kolej ini.
“Qai jangan risau, pelajar yang dipilih untuk menerima biasiswa ini sudah sedia maklum tentang perkara ni. Dia orang setuju lagi pun dia orang boleh berdikari. Hanya perlu sediakan duit belanja dan duit buku je. Yang lain ditanggung. Yayasan kita pun perlukan lebih dana untuk bantu pelajar-pelajar lain,” ujar Puan Qarina.
Qaiser mengeluh. Dia telah melakukan satu kesilapan yang besar hari ini. Memusnahkan periuk nasi orang yang susah. Tiba-tiba dia rasa bersalah.
“Satu lagi kalau Qai nak tahu, biasiswa ini bukan saja untuk pelajar-pelajar yang susah tau tapi untuk pelajar-pelajar yang kehilangan ibu bapa. Mungkin cara ini dapat membantu mereka meningkatkan taraf hidup di masa hadapan.” Tambah Puan Qarina lagi menyebabkan lamunan Qaiser terhenti.
Qaiser hanya mampu memandang wajah Puan Qarina. Tiada kata yang dapat dilafazkan. Betapa dia berasa menyesal dengan apa yang terjadi. Tapi salah Azeeza juga kerana terlalu suka melawan kata-katanya. Qaiser mengeluh. Apa yang harus dilakukan untuk menebus kesilapannya tadi? Soal hati Qaiser.
Hmm…Qai naik dululah, mama.” Ucap Qaiser tiba-tiba.
Puan Qarina tersenyum dan menganggukkan kepala.
“Pergilah tidur. Esok ada kelas pula,” ucap Puan Qarina.
Qaiser tersenyum hambar. Dia bingkas bangun dan mula mengorak langkah.
“Qai…” panggil Puan Qarina menghentikan langkah Qaiser. Dia berpaling.
“Mama dengar kamu suka sangat buli pelajar lain dekat kolej tu. Sudah-sudahlah tu, walaupun mama ada kaitan dengan kolej tu tapi mama tak suka kamu gunakan kelebihan tu untuk menindas orang lain.” Ucap Puan Qarina sambil anak matanya memandang Qaiser yang sedang membelakanginya.
Qaiser menunduk. Mama ni macam tahu-tahu je aku buli orang. Detik hati Qaiser.
“Baiklah, mama. Qai janji, Qai tak buat dah. Tapi kawan-kawan Qai yang lain, Qai tak tahu. Kalau ada budak yang cari pasal dengan Qai, Qai tak ada pilihan lain selain balas balik.” Ucap Qaiser sebelum berlalu meninggalkan Puan Qarina.

No comments:

Post a Comment