Sunday, 13 March 2016

ROMANTIK RAPSODI - BAB 15

NANI merebahkan diri di atas katil. Arghh,
penatnya. Dia baru selesai meninjau susun atur dewan di Corus
Hotel untuk kursus esok. Segalanya sudah sedia. Untuk inhouse
training persiapan lebih mudah. Dia cuma perlu pastikan
perancangan disusun dan diselaraskan dengan pihak yang
menjadi host.
Dia mengerling jam di tangan. Alamak dah nak masuk
pukul empat petang, dia belum solat Zohor lagi. Aih, Nita ni
lama pulak dalam toilet. Dia mencapai remote control menekan
punat TV. Kepala digaru-garu, tidak berminat dengan siaran
yang ke udara. Dia bingkas dari katil menuju ke bilik air. Pintu
bilik air diketuk.
“Nita, lama lagi ke? Aku belum solat ni. Dah dekat
pukul empat.”
“Kejap, kejap.” Sayup kedengaran suara Nita di sebalik
bunyi air. Tidak sampai lima minit, Nita muncul berkemban di
depannya.
“Sorry, sorry... perut aku memulas tadi, entah apa yang
tak kena, tak tau la ni.” Ujar Nita dengan wajah berkerut-kerut.
Nani sekadar mengangguk dan terus menuju ke bilik
air.
Selesai solat Asar, mereka turun ke lobi dan berjalan
menuju ke pantai. Nani memandang ke laut yang terbentang di
hadapannya. Segarnya udara di sini. Dia memejamkan mata dan
menghirup angin yang membelai sedalam-dalamnya.
“Aku tak boleh blah la wei, teringat bila bos offer diri
nak bagi talk gantikan penceramah yang cancel last minute tu,”
Nita memecahkan kebisuan ketika mereka berjalan di gigi air.
“Kenapa pulak?” Nani mengerut dahi. Apa yang tak
boleh blahnya. Setahunya Rayyan memang selalu juga bagi
ceramah berkaitan motivasi.
“Orang yang paling hot temper dalam Mekar Events
nak bagi talk pasal Anger Management, mana tak kelakar,” Nita
ketawa. Nani turut ketawa. A’ah la... baru dia faham.
“Eh, tapi kau perasan tak, lately ni dia dah kurang sikit
marah-marah. Sumpahan singa jadian dah berakhir kut,” Nita
menyambung perbualan mereka setelah penat ketawa.
“Hahaha, kau ni, kan. Kelakar siot. Ya kut, sumpahan
dah berakhir. Bolehlah kita semua buat kerja dengan aman dan
tenteram lepas ni. Paling aku tak boleh lupa bila dia campak
report aku dulu. Bukan tak boleh tegur elok-elok, siap cakap
report aku tu report sampah,” Nani menambah.
“Menggigil jugalah satu badan aku kena tengking
dengan dia pagi-pagi buta.”
“Aku rasa dia tu ada krisis dalam diri la. Takde life.
Kerja, kerja, kerja... sampai bini pun lari,” sedap betul Nita
mengata Rayyan. Cuba kalau Rayyan ada depan-depan, tak
berani nak berkutik.
“Tak baik kau! Dah jodoh tak panjang, nak buat macam
mana. Ada la tu sebab kenapa diaorang berpisah,” kesian
pula dia nak terus mengutuk bosnya itu. Teringat dia pernah
terhutang budi pada Rayyan.
Ian... alahai kalau diceritakan pada Nita apa yang
berlaku antara dia dan Rayyan mahu jatuh rahang minah ni
dengar. Rayyan siap bercerita yang dia sudah bertemu pengganti
isterinya. Paling tak boleh lupa mereka boleh menyanyi samasama
dalam kereta.
Pada pandangannya, Rayyan tidaklah seteruk seperti
apa yang diperkatakan teman-teman sepejabatnya. Tegas,
biasalah semua bos perlu tegas. Cuma kadangkala Rayyan tegas
tidak bertempat, terlalu perfectionist. Kalau nak marah orang
memang sesedap hati je. Aiii, simpang malaikat 44 dapat laki
macam Rayyan tu! Gerutu hati Nani.
“Kunci bilik bos ada dengan kau, kan?” Nita menukar
topik perbualan apabila teringatkan perkara itu.
“Ada ni ha dengan aku. Dia kata dia sampai lepas
maghrib.” Ujar Nani sambil menunjukkan kad kunci di dalam
sling bagnya.
“Kau ajelah turun hantar kunci kat dia eh nanti.”
“Yalah,” Nani mengalah.
“Jom jalan ke depan sana, ada orang jual aiskrim,”
Nani melangkah laju ke arah penjual aiskrim. Nak makan roti
aiskrim. Nyum... nyum... Sedapnya. Tiba-tiba telefon bimbitnya
berbunyi. Dilihatnya skrin telefon.
“Alamak, bos call la wei,” Nani memperlahankan
langkah. Nita sudah laju ke depan.
“Helo, bos.”
“You kat mana? I dah ada kat lobi.”
“Aik, bos cakap nak datang lepas maghrib, saya kat
pantai. Bos tunggu kejap dalam sepuluh minit saya sampai.”
Talian dimatikan. Kempunan nak makan roti aiskrim. Telan air
liur jelah jawabnya.
“Nita, bos dah sampai. Aku gerak dulu,” Nani melaung
ke arah Nita yang sudah pun terpacak di hadapan pak cik penjual
aiskrim. Entah apa mimpi dia ni datang awal-awal. Datang je
la malam nanti, nak datang awal pagi esok pun sempat apa!
Tergendala rancangan aku nak makan roti aiskrim. Bebel Nani
dalam hati.
Nani termengah-mengah ketika sampai di lobi. Dia
segera menghampiri Rayyan yang sedang berdiri dengan keduadua
tangan di dalam kocek seluarnya.
“Bos, ni kuncinya,” ujar Nani sambil menyerahkan
kunci bilik kepada Rayyan.
“Thanks,” Rayyan mencapai kunci dan melangkah
menuju ke lif. Nani mengekori dari belakang.
“Tak perlu hantar saya sampai ke bilik,” Rayyan
bersuara. Butang lif ditekan.
“Eh, taklah bos. Saya nak naik ke bilik saya,” tak kuasa
la nak escort kau sampai bilik bos oi! Tempelak hatinya.
Rayyan hanya mendiamkan diri. Malu! Pintu lif terbuka
dan mereka melangkah masuk. Nani cepat-cepat menekan
butang ke tingkat lapan dan pada masa yang sama Rayyan juga
turut menekan butang sembilan. Tangan mereka bersentuhan
tidak semena-mena. Nani cepat-cepat mengalihkan tangannya.
Rayyan berdehem.
“Sorry,” kaca mata hitamnya menyembunyikan
wajahnya yang gelisah. Dahi yang tidak gatal digaru. Jantungnya
berdegup kencang seperti mahu melompat keluar.
“It’s okay,” Nani tersenyum. Terasa lambat pula lif
bergerak.
“Malam nanti pukul lapan setengah tunggu I di lobi. I’ll
treat you guys a dinner,” ujar Rayyan sebelum Nani melangkah
keluar dari lif.
“Okay, I’ll see you then,” Nani melemparkan senyuman
sebelum berlalu.
Lif kembali tertutup. Fuhhhh, Rayyan melepaskan
kelegaan. Dadanya yang berdebar kencang sebentar tadi kembali
ke rentak asal.
“I’m going crazy,” ujarnya perlahan.
“KAU NI Nita, macam-macamlah. Time-time ni la kau nak sakit
perut. Segan la aku nak makan berdua je dengan bos tu. Aku
call dia cakap dah kenyang jelah,” Nani mencapai telefon bimbit
dengan muka tak senang. Cepat-cepat Nita menahan.
“You better don’t. Aku betul-betul sakit perut ni. Kau
pun tengok kan, dah berapa kali aku ulang-alik masuk toilet.
Ala, pergi jelah… makan cepat-cepat lepas tu balik, apa nak
segannya, kau buat selamba dah la.”
“Isyyyyy, senangnya cakap. Tak suka, tak suka!” Nani
menghentak kaki seperti anak kecil. Banyaklah kau punya
selamba... yang jadi mangsa sekarang ni aku tau! Nanti nak
telan nasi pun rasa macam nak telan pasir je. Bentak hatinya.
“Cepatlah turun, dah nak lapan setengah dah tu. Kang
lama dia tunggu, tak pasal-pasal bertukar jadi singa balik. Dah
elok-elok dia jadi manusia tu. Nanti kau tolong singgah kedai
belikan aku pil chi kit teck aun eh,” Nita menyapu minyak cap
kapak di perutnya. Satu bilik dah bau minyak angin.
“Yalah,” Nani buat muka sedih. Rayyan ni pun satu,
makan jelah sendiri. Tak payah nak belanja orang. Bebel Nani
dalam hati. Tidak henti-henti dia mengeluh.
Nani melangkah malas ke lobi. Rayyan sedang duduk
membaca surat khabar di ruang menunggu. Dia menghampiri
dan menegur Rayyan yang begitu leka membaca.
“Bos.”
Rayyan mengangkat muka. Pandangan mata mereka
bertaut. Rayyan jadi serba tak kena. Bertentang mata dengan
Nani buat degup jantungnya jadi abnormal.
“Erm, mana Nita?”
“Dia tak sihat, cirit birit.” Nani senyum, langsung tidak
ikhlas. Apa hal bos aku macam tak tentu hala ni. Kejap-kejap
pegang hidung, kejap pegang tengkuk. Kalau tak sihat, rehat
jelah kat bilik, tak payah nak dinner bagai!
“Erm, jomlah. I nak cari kedai tomyam.”
Rayyan memperlahankan keretanya ke sebuah restoran
Ala Thai.
“Ramai orang makan kat sini, mesti sedap ni.” Dia
bersuara sebelum keluar dari perut kereta. Hari-hari dapat
makan tomyam pun dia tak kisah. Memang kegemarannya.
Nani memesan jus epal dan Rayyan memesan teh
ais. Sementara menantikan makanan sampai, mereka berbual
kosong. Telefon bimbit Nani berbunyi. Nani tersenyum lebar.
Buah hatinya telefon.
“Excuse me, Ian.” Nani berjalan menuju ke tempat
yang agak tersorok. Rayyan hanya memerhatikan saja langkah
Nani dengan pandangan yang berbaur. Cemburu? Itu sudah
tentu.
“Hi, sayang. Do you miss me?” Kedengaran suara
manja Hakim di talian.
“Mestilah rindu,” Nani tersengih-sengih sambil
menggigit kuku. Rindu gila pada suara itu.
“Dia dah makan?” Soal Hakim lagi.
“Baru nak makan. Dia pulak?”
“Tak lalu nak makan sebab ingatkan dia,” Hakim
menjawab. Suaranya sengaja diperlahankan separuh berbisik.
Nani ketawa.
“Orang tak boleh cakap lama-lama ni, orang dengan
big bos.”
“Big bos yang hantar dia balik rumah hari tu ke,
yang selalu marah dia tu?” Nani dengar perubahan pada suara
Hakim. “Siapa lagi ada kat situ?” Nada suara Hakim kedengaran
berubah.
“Er…” Nani tak terkata. “Berdua je.” Serba salah dia.
“Sayang balik sekarang!” Suara Hakim berbaur arahan
membuatkan Nani terperanjat. Apa yang tak kena?
“You dengar tak, I cakap... you balik sekarang. I tak
suka dia!” Tengkingan Hakim mengasak ke telinga Nani.
“What’s wrong with you? Orang bukan buat apa-apa,
big boss ajak keluar makan takkan nak tolak,” ujar Nani tak
puas hati.
“Balik, I don’t care! Jangan sampai I datang sana heret
you bawak balik!”
Nani benar-benar terperanjat dengan perubahan
Hakim yang mendadak. Kalau nak cemburu pun, biarlah
bertempat. Dia tahu batas-batas dan hadnya, tak perlu nak
diherdik sebegitu.
“You jangan letak phone, I nak tahu you balik ke tak.
You lalu kat mana, dah sampai mana, beritahu I,” marah Hakim
kian menggila.
Nani bengang. Malas dia hendak bertekak. Talian
diputuskan. Dia kembali semula ke meja makan. Rayyan sedang
sabar menantinya. Makanan yang terhidang belum berjamah.
“Anything happen? Kenapa mata you merah, gaduh
dengan boyfriend?” Rayyan bertanya setelah Nani kembali ke
meja.
“Bos, I’m so sorry. Can we go now?” Nani mengesat air
mata yang bergenang.
“Kita belum pun makan lagi. What’s wrong, tell me.”
Lembut saja suara Rayyan. Rayyan begitu prihatin. Tidak
sanggup melihat gadis yang dicintai dalam diam itu bersedih.
“Nothing, just...” Nani mengetap bibir. Air mata diseka
lagi. Dia terasa hati dimarah seperti anak kecil, diherdik tanpa
usul periksa.
Telefon bimbitnya berdering lagi. Dibiarkan saja
tidak berangkat. Selang beberapa saat ia menjerit lagi. Rayyan
memberi isyarat agar Nani menjawab panggilan. Beberapa
pasang mata menjeling ke arah mereka. Mungkin tidak senang
dengan deringan telefon yang tidak bersambut itu.
Sebaik butang hijau ditekan, Nani terus mendengar
jeritan suara Hakim.
“Kenapa tak angkat? You dah sampai mana?”
Nani diam tidak berkutik. Hanya air mata yang
mengalir deras. Talian diputuskan dan telefon bimbit dimatikan.
Bengang, geram, marah... semuanya bercampur baur. Syaitan
apa yang sedang merasuk Hakim ni? Marah-marah macam dia
buat salah besar.
“Ian, boleh kita balik? Saya betul-betul minta maaf.”
“Your boyfriend jealous? Call him and let me explain
to him.” Tenang saja Rayyan menuturkan kata-kata.
Sebenarnya dia geram juga, susah payah dia datang
awal ke Port Dickson dengan harapan yang tinggi nak
menatap wajah Nani lama-lama, sanggup pula gantikan tempat
penceramah untuk bagi talk. Alih-alih terpaksa tengok drama
air mata... Rayyan mengeluh sendiri. Benarlah telahannya, hati
Nani telah dimiliki. Harapannya untuk mendampingi gadis itu
dirasakan semakin menyusut.
“Tak apa. Saya tak nak keruhkan keadaan. Just send me
back to the hotel, nanti saya settle sendiri dengan dia.”
Rayyan lantas ke kaunter membayar harga makanan.
Seleranya juga sudah terbantut walaupun sebentar tadi dia
sememangnya sangat lapar.
Suasana sepi di dalam kereta.
“How long have you been couple? Takkan dia tak tahu
you macam mana, no point bercinta kalau tak trust each other.
Susahlah nak kerja kalau macam ni,” ujar Rayyan. Mendatar
saja bunyinya seperti sedang menahan marah.
“I’m sorry. Saya dah spoilkan keadaan, saya betul-betul
minta maaf,” Nani bersuara lemah.
“It’s okay,” Rayyan tidak jadi hendak marah, dia tidak
sampai hati tengok Nani menangis. Rayyan mengeluarkan sapu
tangan dari kocek seluarnya lalu dihulurkan kepada Nani.
“Nah, lap air mata tu and please stop crying. Sorry
kereta I tak ada tisu.”
“Nanti saya basuh dan pulangkan balik ya, Ian.” Nani
menyeka air matanya.
“It’s okay, I ada banyak lagi sapu tangan. Nani simpan
sajalah yang tu.”
Sejak perkenalannya dengan Hakim, kerap benar
dia menangis disebabkan sikap lelaki itu. Namun, demi cinta
dibiarkan sahaja air mata menjadi teman. Awan ceria baru saja
menjelma, bunga-bunga cinta baru saja hendak menguntum,
takkan awan sudah hendak kembali mendung.
Rayyan menjeling Nani di sebelah. Mahu saja dia
pinjamkan bahunya kepada gadis itu. Biar semua kesedihan
yang bersarang di hati Nani terbeban di bahunya. Biar semua
rasa yang tidak enak pergi jauh-jauh. Sakit hatinya melihat Nani
diperlakukan sebegitu oleh lelaki yang tak tahu menghargai.
Sia-sia! Sedikit sebanyak dia cemburu dengan lelaki itu kerana
berjaya menawan hati gadis seperti Nani. Gadis impiannya.
Sabar Ian, kau perlu bersabar kalau kau betulbetul
mahu dia jadi milik kau! Hati kecilnya berbisik, seakan
menyuntik sedikit harapan untuknya. Masihkah ada peluang
untuk dia merebut hati Nani?
“Nani... Nani... kita dah sampai,” Rayyan mencuit bahu
Nani. Jauh benar Nani melayan perasaan. Sudah sampai ke
mana agaknya. Ke bulan? Ke bintang?
“Oh, erm... thanks Ian. Jumpa esok. Sorry.” Tanpa
menunggu lebih lama Nani bergegas keluar dari perut kereta.
“You’re welcome,” ujar Rayyan perlahan. Entah
didengar atau tidak oleh Nani. Matanya menyoroti langkah
longlai Nani ke lobi.
Rayyan tidak jadi naik ke bilik. Setelah meletakkan
kereta di tempat parking, dia berjalan sendirian ke pantai.
Hatinya terusik melihat air mata Nani. Ingin saja dibawa Nani
ke dalam pelukannya. Biar Nani menangis sepuas-puasnya, biar
jiwa Nani rasa aman tenteram dalam pelukan cintanya.
Rayyan berbaring di atas pasir pantai, memandang
langit malam yang tidak berawan. Memandang kerlipan bintang
yang bertaburan di dada langit. Ruang fikirannya penuh dengan
nama N.A.N.I. Dia mampu beri lebih daripada apa yang lelaki
itu berikan kepada Nani. Dia punya cinta yang luar biasa untuk
gadis itu.
Suatu hari, moga ada peluang untukku bertapak di
hatimu, memiliki jiwamu dan mencurahkan cinta yang suci ini
hanya untukmu... Desis hatinya.
PINTU BILIK diketuk bertalu-talu. Nani berpisat-pisat. Tidurnya
terganggu. Matanya digosok perlahan. Nita di sebelahnya turut
terjaga.
“Siapa yang ketuk pintu macam nak pecah ni? Mabuk
ke apa? Memekak je orang nak tidur,” Nita membebel.
“Sekejap aku pergi tengok,” Nani bangun dari katil
menuju ke muka pintu. Dia mengintai dari lubang pintu.
Hakim!!! Apa dia buat kat sini malam-malam buta ni. Nani
kelam kabut. Tudung dicapai. Dia segera membuka pintu.
Jeritan Hakim memecah kesunyian.
“Kenapa you off phone? You tahu tak I macam orang
gila call you!!!!” Hakim membaling Blackberry Bold ke lantai.
Berkecai! Mukanya jelas terpancar kemarahan. Nafasnya turun
naik. Dia bernafas kasar, kembang kempis hidungnya, merah
menyala telinganya.
Nani terkejut... dia menikus di balik pintu. Dadanya
terasa hendak pecah. Dia takut melihat kemarahan Hakim yang
menggila. Sepatah kata pun tidak terkeluar, hanya dalam hati
sahaja berdoa agar kemarahan Hakim cepat-cepat reda. Nita
bangkit dari katil tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa.
Kasihan dia melihat Nani dilayan kasar oleh Hakim.
“Kenapa diam? Apa alasan you? Cakaplah!!!” Sakit
hatinya dengan kebisuan Nani. Terasa darahnya menggelegak
naik ke kepala.
Air mata Nani mengalir lagi... Cukup Nani, cukup...
Berapa banyak air mata yang kau dah bazirkan untuk dia hari
ini! Hatinya membentak.
“Apa... apa salah saya, Hakim?” Dia sedaya-upaya cuba
mengawal perasaannya. Hakim mencerlung tajam. Marahnya
kian membara.
“Arghhh...” Jerit Hakim sekuat hati. Tanpa jawapan,
Hakim terus berlalu pergi meninggalkan Nani terpinga-pinga.
Dari jauh dia datang hanya untuk baling telefon?
Nani terduduk di pintu bilik. Tiada daya hendak
bertegang urat melawan amarah Hakim. Memang... memang
dia sengaja matikan telefon. Dia tidak tahan diasak dengan
pelbagai pertanyaan. Macamlah dia sudah melakukan kesalahan
yang besar sehingga perlu dihukum sebegini teruk. Kalau
masuk court pun tentu dia yang menang.
Air mata dikesat lagi. Dia mencari kekuatan untuk
berdiri. Payah dirasakan. Dilihatnya Blackberry yang berkecai
di lantai. Dikutip satu per satu... Hatinya juga berkecai sama
seperti Blackberry itu. Kuatnya dugaan cinta Hakim.
Nita yang sejak tadi memerhatikan gelagat temannya
bangun menghampiri.
“Sabar Nani... ini semua salah aku, kalau aku ikut kau
keluar tadi, tentu tak jadi macam ni.” Nita menyesali apa yang
berlaku.
“Takpe...” Nani menjawab sepatah, menahan esak.
Nita memapah Nani bangun.
“Apa salah aku sampai dia buat aku macam ni?” Nani
bersuara dalam nada teresak-esak.
“Dia fikir perasaan dia je, habis perasaan aku macam
mana? Dia tak tahu ke aku separuh mati rindu kat dia, sampai
hati dia buat aku macam ni. Salah ke aku keluar makan dengan
bos? Salah ke? Bukan aku keluar menggatal. Apa yang dia nak
marah sangat? Bukan aku tak cakap dengan dia, bukan aku
keluar senyap-senyap tak beritahu dia...” Nani menghamburkan
semua rasa yang terbuku di hati.
Nita diam menyusun kata.
“Kau tak salah apa pun. Boyfriend kau tu yang cemburu
buta. Biarkanlah dia. Kau tenangkan diri dulu, pergi ambik
wuduk. Kita kena bangun awal esok. Kau kena pastikan semua
berjalan lancar. Ingat, kau kena tunjuk pada bos kemampuan
kau. Itu lagi mustahak.” Nita mengusap-usap belakang Nani,
meredakan tangisannya.
“Aku tahu kau sedih, tapi kita datang sini sebab kerja
kan... kuatkan semangat tu okey.” Nita meniup semangat buat
Nani.
Nani melangkah ke bilik air, berwuduk. Dia mahu
tenangkan fikiran. Dia mahu mengadu pada Dia... betul kata
Nita, dia ke sini atas sebab kerja. Hal peribadi perlu diketepikan
seketika.
HAKIM MEMECUT Audi Q5 laju... Marahnya begitu menggila
pada Nani. Tidak pernah mana-mana perempuan berani buat dia
begini. Belum pernah mana-mana perempuan buat tidak endah
kepadanya. Dia tidak pernah kalah pada perempuan. Perempuan
yang akan datang merayu, melutut padanya... Arghhh!!!! Sakit
hati... tangan dihentak kuat pada stereng.
“Ni Iqbal Hakimlah!” Hakim menjerit sekuat hati.
“Aku takkan tunduk pada perempuan... always and
never will be... You betul-betul nak main dengan api... as you
wish Nani, as you wish... ”
Entah mengapa amarahnya menyala-nyala bila Nani
mengatakan dia bersama bosnya. Dia merasakan seperti bos Nani
itu pesaing terdekatnya walaupun dia tidak pernah mengenali
lelaki itu. Tindakan Nani mematikan telefon membuatkan
kemarahannya makin memuncak. Perbuatan Nani itu seolaholah
mencabar ego lelakinya.

No comments:

Post a Comment