HAKIM bungkam. Macam mana dia boleh terlupa
janjinya untuk bertemu Nani hari ini. Marah benar nada suara
Nani di corong telefon pagi tadi. Semalam dia ke disko. Seperti
biasa, itulah hiburannya pada malam minggu. Dia minum,
berdansa dan bergembira sehingga tak sedar diri. Alih-alih
pagi tadi, sedar-sedar dia sudah terbaring di katil tanpa seurat
benang bertemankan Aliyah di sebelah, juga tidur tanpa seurat
benang.
Sakit kepala bila cuba diingatkan apa yang terjadi lewat
malam semalam sehingga bagaimana kisah mereka berakhir
di atas ranjang di kondominiumnya. Jarang dia bawa balik
perempuan. Memang dia dan perempuan tidak boleh dipisahkan,
tapi jarang sekali dia membawa perempuan ke ranjang. Bukan
tidak pernah tetapi jarang-jarang. Tengok keadaan.
“Mesti Nani kecil hati ni. I’m so sorry...” Dia bersuara
sendiri setelah lama menyepi. Dia tidak kisah dia kantoi, memang
Nani sudah tahu dia bagaimana. Tapi dia tidak suka Nani marah
sebab dia mungkir janji. Buat masa ini, Nanilah antara kawan
perempuan yang paling memahami dirinya. Selama berkawan,
gadis itu tidak pernah mendatangkan masalah kepada dirinya.
Nani cukup berbeza dengan kawan-kawan
perempuannya yang lain. Sangat berbeza. Perempuan lain
mengejarnya untuk keseronokan dan wang ringgit. Tapi Nani,
apa saja yang dia lakukan, kalau tidak diceritakan sampai sudah
pun takkan ditanya. Nani punya perwatakan yang menarik
pada pandangan matanya. Seorang gadis yang berdikari dan
berkarisma. Kelakar pula apabila mengenangkan wajah Nani
yang serba tak kena bila ditenung lama. Kalut tapi comel.
Apa yang lebih membuatkan dia tertarik pada Nani,
dia seorang yang patuh pada agama. Menutup aurat dan yang
paling penting sentiasa menjaga waktu solatnya. Sehinggakan
kadang-kadang dia merasakan tidak layak berkawan dengan
gadis itu. Dia amat cetek sekali pengetahuan agama. Terasa
malu sendiri apabila diajak Nani ke surau mengerjakan solat
setiap kali mereka keluar bersama. Dia pula tidak habis-habis
beralasan setiap kali diajak solat.
Nur Amani... ringkas saja namanya tapi cukup untuk
membuat hati lelakinya bergetar. Sejak pertama kali berjumpa
dia sudah tertarik pada Nani. Tapi dia tidak mahu terburu-buru.
Dia belum bersedia untuk memberi komitmen pada cinta.
Teringat lagi kejadian dia kehilangan telefon bimbit ketika
keluar dengan Sally. Tensionnya bukan main. Seminggu lebih
dia tak dapat menghubungi Nani. Dia ingat-ingat lupa nombor
telefon Nani. Alih-alih dia ambil keputusan mendail trial and
error nombor gadis itu. Mana tahu kot-kot mengena. Berpuluhpuluh
juga nombor yang didail sehinggalah percubaan yang
entah ke berapa, hatinya berbunga-bunga. Bila terdengar suara
lunak Nani di talian dia berasa lega yang amat.
Dia pun pelik kenapa dia bertindak sejauh itu mencari
semula Nani. Nak kata Nani tu lawa sangat, tak juga. Nak kata
bergaya, tak juga. Kalau nak ikutkan status yang dia ada, dia
boleh dapatkan berpuluh wanita yang jauh lebih lawa dan
bergaya daripada Nani. Tapi pandangan pertama yang jatuh
di matanya ketika mula-mula bersua, memberikan kesan
mendalam sehingga dia sendiri tidak pasti. Atas sebab itulah dia
sanggup jadi bodoh cuba mendail nombor telefon Nani.
Hari ini dia marah sangat pada diri sendiri. Kalau tidak
disebabkan dirinya leka bersosial semalaman sudah tentu hal
ini tak berlaku. Seharian nombor telefon Nani didail tapi tidak
bersambut. Merajukkah Nani? Pantas kunci kereta dicapai.
Rumah Nani dengan Puteri Palma Condominium tidak jauh.
Tidak sampai lima belas minit dia sudah berada di hadapan
rumah gadis itu. Dia perlu meminta maaf dan jelaskan segalanya
kepada Nani. Kebetulan dia ternampak kelibat Nani baru keluar
dari perut Kelisa. Hakim terus melompat keluar dari Audi Q5
menuju ke arah temannya itu.
“Nani,” panggilnya.
“Ha... Hakim, apa awak buat kat sini?” Nani kelihatan
agak terperanjat.
“Why didn’t you pick up my calls? Berpuluh missed
calls, but you didn’t return even once. Why?” Matanya mencari
anak mata Nani.
“Awak datang sini sebab tu je ke? Sebab saya tak angkat
call awak? Kenapa awak nak sibuk?” Keras nada suara Nani.
Wajah Hakim langsung tak dipandang.
“Jangan buat saya macam ni. Saya rasa bersalah dengan
awak. From the bottom of my heart, I’m really sorry. Saya
betul-betul terlupa. Semalam saya balik lambat, tertidur sampai
tengah hari.” Tanpa dipinta, Hakim membuat pengakuan.
“Memanglah sedap tidur kalau ada bantal peluk kat
sebelah,” Nani menempelak.
Memang dia geram. Kalau terlupa saja tak kisahlah, ini
entah perempuan mana yang angkat telefon. Sebagai kawan, dia
patut rasa marah walaupun dia tiada hak ke atas diri Hakim.
Perbuatan Hakim seolah-olah mempersendakan agama. Jahil
sangat sampai tak tahu halal haram.
“Nani, please. Jangan cakap macam tu. Saya memang
tak sedar apa-apa semalam. Saya betul-betul tak ingat what
happened last night. Sedar-sedar Aliy... ahhh!!” Bersungguh
Hakim cuba menegakkan kebenaran bagi dirinya.
“Hakim, pleaselah. Saya paling tak suka orang yang
tak tepati janji. Dah buat salah, bagi macam-macam alasan
pulak tu. Awak yang beria sangat nak keluar, takkan boleh lupa?
Come onlah. Saya bukan budak-budak yang senang awak nak
gula-gulakan. I’m not stupid. Mana nak ingat kawan kalau kat
sebelah ada makwe cun yang boleh beri apa yang awak nak,”
Entah kenapa Nani begitu beremosi.
“I’m so sorry, I know it was all my fault... tapi saya tak
tipu awak. Saya tahu saya dah langgar janji sebab tu saya datang
cari Nani. Bukan saya sengaja. Saya tertidur, tak sedar apa-apa,”
Hakim memukul-mukul kepalanya bertalu-talu.
Nani memandang sepi perbuatan Hakim. Terdetik rasa
bersalah di hatinya kerana berlebih-lebih menghukum Hakim.
Dia perlu rasional bukan bertindak penuh emosi. Orang dah
minta maaf dahlah!
“Hakim, stop it...” Hakim tidak mengendahkan. Dia
terus memukul-mukul kepalanya.
Over pulak dia ni! Sempat juga Nani menggumam
dalam hati. Nani tiada pilihan. Dia cuba menahan kedua-dua
tangan sasa itu daripada terus-terusan menyakitkan diri sendiri.
“Hakim, Hakim... listen to me... I say stop it!” Tangan
sasa itu digenggam kuat.
Matanya tajam mencerlung ke dalam mata Hakim.
Wajah bening Hakim menyentuh jiwanya kala itu. Lama mereka
berpandangan. Sepasang mata Hakim seakan jauh menyelam
ke dasar hatinya. Terasa gelora di dada dek kehangatan tangan
mereka yang saling bersentuhan. Darah panas naik ke muka,
Nani tersentak dan genggaman tangan cepat-cepat dilepaskan.
Fuhh, nasib baik ibu tak ada kat rumah. Kalau tidak
jenuh pula nak jawab soalan bertubi-tubi dari ‘polis pencen’ tu.
Ucap Nani dalam hati.
“Hakim baliklah, saya dah maafkan awak,” Nani
berpaling dan berlalu meninggalkan Hakim.
“Nani, wait...” Sekilas mereka berbalas pandang.
“Thanks.” Hakim mengukir senyum di bibir.
Tiada sebarang reaksi pada raut wajah Nani. Hakim
menghantar Nani ke muka pintu dengan pandangan mata.
Ditenung lama susuk tubuh itu sehingga hilang di balik pintu.
Muka diraup dengan kedua-dua belah tangan lantas dia beredar
pulang.
Di dalam perut kereta, Hakim melayan perasaannya
yang keliru. Kehangatan jemari runcing itu masih terasa.
Berkali-kali dia mencium haruman lembut yang melekat di
tangannya. Alunan lagu yang berkumandang di radio langsung
tidak dihirau. Dia tenggelam dalam khayalan perasaan yang
aneh. Senyum terukir di bibir. Halus perasaan ini. Ya, dia belum
pernah rasa seperti ini. Aneh dan janggal sekali sehingga dia
terkeliru...
NANI MEMBATU di balik pintu. Cuba menghalau debar yang
masih bersarang di dada. Benci dengan apa yang berlaku
sebentar tadi. Baru saja hendak dikeraskan hatinya pada Hakim.
Untuk apa lelaki itu datang padanya. Tolonglah, lemah longlai
jadinya!
Perlahan-lahan Nani membuka pintu, Audi Q5 sudah
hilang dari lamannya. Fikirannya kembali kusut. Dia keliru.
Susahnya untuk berpura-pura tidak suka sedang dalam hati
sudah bertunas rasa sayang... Nani melepaskan keluhan berat.
Kata-kata Taj terngiang-ngiang di cuping telinga.
Macam mana nak jauhkan diri daripada Hakim? Macam mana?
Dia sayang Hakim... kalau bukan sebagai kekasih, sebagai
sahabat pun sudah memadai. Biarlah, dia rela jadi tempat
Hakim bercerita itu dan ini. Dia sanggup asalkan Hakim terus
bersahabat dengannya. Asalkan dia dapat mendengar suara
Hakim saban hari di corong telefon itu sudah cukup baginya.
Peliknya hidup ini...
No comments:
Post a Comment