Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 4

Naim Zakaria

“Balik kampung….oh oh oh balik kampung….. oh oh oh balik kampung…. hati girang”
Aku dan Fina sama-sama melaungkan lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham
Sudirman, sambil lagu tersebut berkumandang dari radio kereta. Kami dalam perjalanan
pulang ke kampung, setelah aku menjemput Fina di KLIA. Akhirnya, Fina pulang setelah
menamatkan pengajiannya dalam bidang perakaunan di Australia.
“Dahlah Along, suara macam katak puru panggil hujan, nanti betul-betul hujan,
lambat kita sampai rumah” kata Fina sambil ketawa mengekek.
“Alah, kamu tu suara macam angsa sakit tekak, ada hati nak kutuk suara Along,” aku
menyakatnya.
“Ada ke suara angsa sakit tekak? Macam mana ya?”
“Aik, baru duduk Melbourne tiga tahun, dah lupa bunyi angsa?”
“Orang tak lupalah Along, tapi suara angsa sakit tekak tu, orang musykillah, macam
mana bunyinya.
“Macam ni”, lalu aku membuat bunyi angsa dengan suaraku yang sengaja diserakkan.
Berderai lagi ketawa si Fina, dan aku turut ketawa bersama. Aku dan Fina memang satu
kepala. Walaupun jarak usia kami lapan tahun, tapi Fina lebih rapat denganku berbanding
Elida yang tiga tahun lebih tua daripadanya.
“So kamu dah decide nak buat apa, nak rehat dulu ke, atau nak terus cari kerja?”
“Orang ingat nak lepak dululah Along. Rindu kat semua orang. Agak-agak dah
boring esok, orang carilah kerja.”
“Ha, eloklah tu. Lepak je kat rumah. Makan, tidur, makan, tidur. Lama-lama gemuk.
Nanti dah sedap duduk rumah, malas nak kerja. Last-last tunggu orang masuk meminang. Si
Pejal tu anytime je nak meminang kamu.”
“Ish Along ni.”
“Adoi, sakitlah!” aku menjerit sebaik sahaja lima jari Fina hinggap di bahuku.
“Padan muka! Cakap lagi macam tu kat orang. Orang tak naklah dengan Pejal tu.
Orang bukan tak nak kerja. Orang nak rehat kejap je, nanti orang carilah kerja” marah Fina
bila aku menggiatnya dengan Pejal, yang sejak di sekolah menengah meminati Fina.
Sekarang Pejal sudah pun bekerja sebagai pengurus di sebuah bank di ibukota.
“OK, sementara kamu melepak, kamu tolong Along uruskan homestay dengan chalet
kita. Banyak benda yang kita kena buat, especially marketing.”
“Alah, apa susahnya, Along kan dah ada pengalaman uruskan chalet kat Dungun.”
“Memang tak susah, tapi Along tak terbuat sorang-sorang. Yang di Dungun tu nak
dijenguk jugak sekali sekala. Yang di sini baru lagi siapnya, orang belum tahu pasal
homestay dan chalet ni, jadi banyak benda nak kena buat.”
“OKlah, orang tolong.”
“Bagus, macam tulah adik Along”, aku senyum. Gembira kerana Fina mahu
menolong. Nak harapkan Elida, dia sibuk menguruskan rumah tangga. Mak dan Abah pula
hanya dapat menolong sekadar yang termampu.
Kami diam, masing-masing melayan fikiran sendiri. Perjalanan ke kampung tinggal
sekitar satu jam setengah sahaja lagi.
“Along,” tiba-tiba Fina memecah kesunyian.
“Apanya? Cer citer”
“Tadi kat airport, sebelum naik flight, orang ada jumpa….” ayat Fina tergantung di
situ. Aku mendiamkan diri, menunggu Fina menghabiskan ayatnya. Namun dia juga diam,
tindakan yang menimbulkan rasa ingin tahu yang mendalam.
“Jumpa siapa?”
Fina berpaling memandangku. Aku memandangnya sekilas dan menumpukan semula
perhatian pada lebuhraya di hadapanku. Rasa ingin tahu semakin membuak-buak.
“Jumpa siapa? Pakwe?” serkapku.
“Ish Along ni, bukanlah. Ermmm… Along ni… sampai bila nak membujang? Kot
iya pun frust dengan Kak Ratna dulu, takkan tak nak kahwin” ujar Fina lantas mengundang
tawa kecil dari bibirku.
“Kamu ni…, tadi kata jumpa seseorang. Tup tup cerita tak habis, tanya kita pasal
kahwin pulak. Apahal ni tetiba tukar topik?”
“Along jawablah dulu, nanti orang ceritalah.”
“Kan Along dah bagitau sebelum ni, bila Along dah jumpa orang yang Along
berkenan, Along kahwinlah.”
“Along” panggil Fina bila lama aku mendiamkan diri. Sebenarnya aku sibuk
memikirkan soalannya. Terfikir juga kenapa tiba-tiba Fina bertanyakan soalan itu.
“Along, sebenarnya tadi kat airport tu, orang jumpa…Kak….Ratna” perlahan-lahan,
lambat-lambat Fina menghabiskan ayat itu.
“Oh,” itu sahaja yang mampu aku tuturkan. Setelah tiga tahun, nama Ratna tidak lagi
menerbitkan apa-apa perasaan di hati ini. Kalau dulu ketika hangat bercinta namanya
sentiasa membangkitkan rasa rindu, ghairah, gembira dan bahagia. Kemudian, bila dia
memutuskan pertunangan, mendengar namanya menimbulkan rasa benci, kecewa, dikhianati
dan sedih. Tetapi kini tidak ada perasaan yang timbul bila mendengar namanya. Apakah
masa telah menyembuhkan luka di hatiku?
“Dia kirim salam kat Along.” Aku membiarkan ayat Fina habis di situ, sekadar
menyambut salam di dalam hati.
“Dia…..” ayat Fina tergantung lagi. Lantas aku berpaling memandangnya sekilas,
cuba mencari apa yang ingin disampaikannya dari riak wajahnya.
“Dia… dah…. bercerai” itu rupanya yang ingin dimaklumkan kepadaku. Aku diam,
tidak tahu apa yang harus diucapkan.
Sesungguhnya aku tidak pasti bagaimana harus aku bereaksi dengan perkhabaran itu.
Haruskah aku gembira? Atau haruskah aku bersedih? Atau wajarkah aku berkata “padan
muka”? Biarlah apa pun terjadi kepadanya, antara kami sudah tiada apa-apa hubungan.
Suatu ketika dahulu, ketika dia kekasihku, wajarlah aku merasa simpati di atas musibah yang
menimpa dirinya.
Diamku menyebabkan suasana di dalam kereta menjadi sepi, hanya lagu yang
bersiaran dari radio menjadi bunyi yang mengiringi perjalanan kami. Akhirnya Fina terlelap
sehinggalah kami tiba di rumah disambut laungan azan Maghrib dari surau berdekatan.
Seluruh keluarga kecilku berada di rumah abah menyambut kepulangan Fina.
Kerinduan kami terhadap Fina kini terubat dengan kepulangannya. Abah membaca doa
kesyukuran. Nampak air matanya bergenang. Katanya, dia bersyukur walaupun dia hanya
orang kampung yang tidak berpendidikan tinggi, ketiga-tiga anaknya berjaya menjejakkan
kaki ke menara gading. Dan makan malam kami sungguh meriah dengan lauk pauk
kegemaran Fina yang emak dan Elida sediakan.
Sebaik balik dari surau dengan abah, Fina sudah menunggu di depan pintu. Bersungguhsungguh
dia mengajak aku ke belakang, mahu melihat rumah inap dan chalet kami. Abah
menyuruhnya bersabar kerana hari masih gelap. Ah si Fina ni, bukan dipedulinya suruhan
Abah, cepat-cepat dia naik membonceng motorsikalku dan menyuruh aku bergerak.
Sinar suria baru mengintai di sebalik pohon-pohon di seberang sungai. Bayu lembut
yang nyaman menyapa wajah kami ketika kami tiba di hadapan rumah inap. Fina melompat
turun dari motorsikal dan berlari-lari anak ke arah sungai. Dia berdiri di tepi sungai dan
menghela nafasnya panjang-panjang.
“Hmm, orang rindu suasana kampung.”
“Home sweet home” kataku sambil menghampirinya. Aku bercekak pinggang
menikmati pemandangan yang berkabus di hadapan kami. Beginilah suasana kampung,
paginya nyaman berkabus. Berbeza dengan suasana bandaraya yang pernah menjadi tempat
tinggalku satu ketika dahulu. Hikmah aku melarikan diri dari kehidupan lampau mula
dirasai. Tiada lagi hiruk pikuk bandaraya yang merimaskan. Tiada lagi kesesakan lalu lintas
yang selalu menyebabkan aku tertinggal solat Maghrib. Tiada lagi kehidupan malam yang
sia-sia, penuh dengan kepura-puraan.
“So, nak tengok yang mana dulu, chalet atau rumah homestay?”
“Chalet” dan Fina terus berjalan mendahuluiku ke arah chalet pertama.
Pintu chalet dibuka dan terpampang di depan mata dua buah katil bujang yang
dipisahkan oleh sebuah meja sisi berlaci. Buat masa ini hanya itu perabot yang telah
dimasukkan. Fina masuk dan berjalan terus ke arah balkoni yang menghadap sungai.
“Along, nanti kita letak kerusi kat balkoni ni ya.”
Aku mengangguk, bersetuju dengan cadangannya.
“Sini kita boleh letak tv” Fina menunding jari ke arah ruang kosong di hadapan katil.
Kemudian dia masuk dan berjalan terus ke arah bilik air.
“OK, simple but nice” katanya.
Setelah keluar dari chalet tersebut, kami berjalan ke arah rumah inap. Dibandingkan
dengan chalet, rumah ini jauh sedikit dari anak sungai. Rumah ini siap terlebih dahulu maka
perabot dan kelengkapan lain semuanya sudah lengkap. Setelah meninjau keadaan rumah
tersebut, kami bergerak pula ke arah bangunan kecil bersaiz 30 x 20 kaki yang menempatkan
kaunter pendaftaran, ruang pejabat dan tandas.
“So, this is your office?”
“Yup.”
“No more luxury office, leather sofa, beautiful secretary and expensive suit hah?”
Aku sengih. Dulu itulah perkara yang aku sebut ketika memberi galakan kepada Fina
agar belajar bersungguh-sungguh. Kataku bila ada kelulusan, boleh bekerja di pejabat
korporat. Gaji besar. Pejabat luas dan berdekorasi mewah. Pakaian berjenama. Tapi kalau
malas belajar, setakat boleh bekerja di kampung atau kilang sajalah.
“Along, kotak apa ni?” soal Fina sambil memegang sebuah kotak bersaiz A4.
“Itu kotak ajaib,” sengaja aku melawak.
“Hah! Apa kotak kertas A4 macam ni kata kotak ajaib,” kata Fina sambil membuka
kotak tersebut. Cekak berwarna ungu dengan corak polka dot putih yang dihiasi batu
berkilauan di sekelilingnya dibawa keluar dari kotak tersebut.
“Wow! Cantik! Diamond ke ni?” tanya Fina sambil membelek cekak tersebut.
“Tak kot. Kalau diamond takkan pemiliknya cuai sangat sampai boleh tertinggal
benda ni” kataku sambil bercekak pinggang di sebelah Fina.
“So, this is kind of “lost and found box” lah ya? Carilah kotak yang senonoh sikit
Along!” lantas Fina meletakkan semula cekak tersebut ke dalam kotak dan menutup kotak
tersebut.
Komen Fina tidak berbalas. Fikiranku sudah menerawang, berhenti pada wajah si
pemilik cekak. Wajah misteri yang menimbulkan tanda tanya. Apakah dia akan datang lagi
ke sini?

No comments:

Post a Comment