Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 9

Izureen
Butang “end” pada I-phone aku tekan sebaik sahaja mengucapkan salam kepada mama.
Akhirnya, kami berbicara, setelah seminggu aku berada di sini. Dalam takut-takut aku
menelefon mama. Sangkaanku jauh meleset. Mama langsung tidak memarahi aku,
sebaliknya bercakap denganku dengan nada lembut. Mama risaukan aku, namun aku
yakinkan dia bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan. Sebelum menghabiskan perbualan, aku
minta Mama pertimbangkan untuk mengambil Kak Rina bekerja. Mama tidak berjanji apaapa,
namun tidak pula melenting seperti selalu bila isu Kak Rina aku timbulkan.
Matahari sudah membiaskan bahangnya walaupun baru sekitar jam sepuluh. Sungguh
selesa berbaring di dalam hammock yang diikat di antara dua batang pokok. Dedaun pokok
yang merimbun memberi teduhan dari limpahan cahaya matahari. Suasana di tepi sungai sepi
dan mendamaikan, tidak seperti semalam ramai orang bermandi manda dan berkelah. Dua
hari lepas, kesemua chalet Naim yang telah siap sepenuhnya disewa orang. Ada juga yang
berminat untuk menyewa rumah inap tetapi Fina terpaksa menolak kerana aku masih di sini.
Deruman motorsikal berkuasa tinggi kedengaran sayup-sayup di telingaku. Mungkin
dia sudah pulang. Sejak hari Rabu, selepas dia membawa aku mendaki bukit kecil di hujung
chalet, aku tidak melihat kelibatnya. Kata Fina dia ke Terengganu. Semasa ketiadaannya
Fina yang menguruskan hal-hal penyewaan chalet dan memandangkan aku punyai masa
terluang, aku hulurkan bantuan kepada Fina.
Kedengaran riuh rendah suara anak-anak dari arah rumah Mak Jah. Pasti Lokman dan
Hafiz yang telah berada di sini sejak semalam gembira dengan kepulangan Pak Long mereka.
Aku suka mereka berdua. Nakal, tetapi sangat comel. Seronok melayan kerenah mereka.
Sanggup mereka berendam dalam air sungai, berjam-jam lamanya. Sampai kecut jari-jari
kaki dan tangan. Ibu mereka, Elida juga ramah orangnya. Betullah kata orang, orang Perak
memang sangat peramah dan mudah mesra. Kemesraan yang mereka pamerkan membuatkan
aku seronok berada di sini. Lupa seketika lara yang bersarang di hati tatkala bersama
mereka.
Deruman motorsikal kedengaran lagi, kali ini bunyinya semakin kuat dan semakin
dekat. Sedetik kemudian motorsikal diparkir berhampiran rumah inap. Lokman dan Hafiz
yang membonceng di belakang mengekek-ngekek ketawa, mungkin seronok dapat menaiki
motorsikal. Kedua anak comel itu diturunkan dari motorsikal. Terus mereka belari-lari ke
arah air. Hafiz sempat melambai ke arahku sambil tersengeh, menampakkan giginya yang
rongak.
Naim membuka helmet dan memandang ke arahku sambil bersandar di
motorsikalnya. Dia kelihatan macho dalam jaket kulit yang masih membaluti tubuhnya yang
tegap. Mataku turun ke dadanya dan baru aku teringat, dada itulah yang aku langgar semasa
di KLIA. Ya, dialah orangnya. Kenapa aku tak ingat langsung kejadian di KLIA sebelum
ini? Kebetulan apakah ini? Mengapa dia yang aku langgar sedangkan ramai orang lain di
KLIA waktu itu?
Jaket ditanggalkan dan Naim berjalan ke arahku. Matanya tidak berkelip
memandangku dan senyuman terbit di pinggir bibirnya. Kacak, detik hatiku. Ah, Muaz lagi
kacak. Begitulah, setiap kali melihat lelaki kacak pasti aku bandingkan dengan Muaz. Dan
selalunya kau membuat kesimpulan Muaz lebih kacak daripada lelaki-lelaki kacak yang lain.
“Hai.” Dia menegurku dahulu. Aku sekadar membalas dengan senyuman.
“Saya harap hati awak dah tenang sekarang”.
Ya, memang hatiku sudah tenang. Tidak lagi menangisi nasib malangku. Tapi
sekarang, tiba-tiba jantungku berdegup laju. Oh jantung, kenapalah laju sangat degupanmu.
Aku larikan mataku dari wajahnya, melihat ke arah Lokman dan Hafiz. “Oh kids, please look
at me, save me from this intense moment”, aku berbisik di dalam hati. Namun mereka berdua
leka bermain, langsung tidak melihat ke arah kami. Aku bangun, duduk di hammock.
“Berapa lami lagi awak di sini?” pelik dengan soalan itu, aku berdiri dan memandang
semula ke arahnya.
“Kenapa, tak suka saya duduk sini ke?” oh mulut, kenapa itu pula yang keluar. Dan
mata, kenapa lekat di wajahnya, pandanglah ke arah lain.
“Suka. Lagi lama lagi bagus. Saya harap semakin lama awak di sini, semakin awak
mempercayai saya. You don’t trust me enough to tell me about your problem, remember?”
dia mengingatkan aku kata-kata yang aku ucapkan. Senyuman terukir di pinggir bibirnya.
Apakah yang harus aku ucapkan untuk membalas kata-katanya. Kami sama-sama
diam dan sama-sama memandang ke arah sungai. Teringat kata-kata nasihatnya, aku berkata
“terima kasih nasihatkan saya”.
“Sama-sama”. Naim menjawab. Aku memandang I-phone di tangan. “Terima kasih
juga kerana pinjamkan charger. Sorry, tak sempat pulangkan, awak dah pergi.”
“Sama-sama. Ambillah charger tu. Saya tak perlukan charger tu lagi”.
Jeda. Aku tak tau apa nak dibualkan. Dia juga senyap. Tapi tak lama.
“Izureen, boleh tak kalau saya nak jadi kawan awak?” soalnya. Aku naikkan muka
untuk melihat wajahnya. Mencari riak keikhlasan dalam sinar matanya. Satu-satunya lelaki
yang berkawan rapat denganku selama ini ialah Muaz. Dalam diam aku mencintainya. Bila
cinta itu hilang, aku juga bagaikan kehilangan seorang kawan.
Apakah hati ini sudah bersedia untuk berkawan dengan lelaki? Bila seseorang lelaki
hendak berkawan, apakah betul-betul sekadar berkawan atau ada niat lain di sebaliknya?
Berbagai soalan menerjah mindaku, membuatkan aku diam tanpa sebarang jawapan.
“Pak Long! Hafiz jatuh” laungan Lokman menyapa telingaku. Kami sama-sama
meluru ke arah sungai. Hafiz menangis memegang lututnya yang tercalar.
“Alah, sikit aje ni. Hafiz kan hero, dah jangan nangis” katanya memujuk lantas
meniup lutut Hafiz. Didokongnya Hafiz sambil berkata “jom, Pak Long hantar balik”
“Tak nak, Hafiz tak nak balik. Nak main lagi”.
“OK, Hafiz rehat dulu ya. Nanti dah hilang sakit main lagi” dia membawa Hafiz ke
hammock dan dibaringkannya.
“Kita nak naik jugak” kata Lokman lalu dia mendokong Lokman dan membaringkan
Lokman di sebelah adiknya.
“Ok, dua-dua rehat dulu”. Budak dua beradik itu akur dengan perintahnya.
“I am waiting for your answer” katanya sebaik mendekati aku yang masih kaku di
gigi air.
“OK, kita boleh berkawan, but nothing more than friend.”
Dia senyum. Kenapalah dia suka buat senyuman senget begitu?
“Alooongggg” Fina datang berlari ke arah kami. Nampak dia gembira sangat.
Senyumannya lebar hingga ke telinga.
“Apa hal ni?” Naim bertanya kehairanan. Aku pun hairan dengan gelagat Fina,
terlompat-lompat sambil memegang sehelai kertas.
“Ni, baca, baca” dia suakan kertas tersebut ke muka Naim. Naim turut tersenyum
selepas habis membaca emel yang disuakan oleh Fina.
“Good. Tapi jangan gembira sangat, ni baru panggil interview. Belum tentu dapat
kerja tu”.
“Along doakan orang ya. Bukan senang tau nak dapat interview, ramai yang
memohon. Tadi staff HR yang call tu bagi tau lima orang sahaja yang dipanggil, termasuk
Fina”. Oh, rupa-rupanya Fina telah dipanggil untuk menghadiri temuduga.
Petang itu aku mengikut mereka ke bandar. Fina hendak membeli pakaian, katanya pakaian
yang ada tidak berapa sesuai untuk temuduga. Pak Akob dan Mak Jah pun pergi bersama.
Kami pergi menaiki van Pak Akob. Naim tidak memiliki kereta, hanya motorsikal Kawasaki
1400 GTR sahaja kenderaan yang dimilikinya.
Sampai di bandar, kami menuju ke sebuah pusat membeli belah. Di sana Fina
mencari pakaian yang dikehendaki ditemani ibunya. Naim dan Pak Akob entah ke mana.
Aku pula mencari salon, dengan niat hendak memotong rambutku. Mahu ku betulkan
rambutku yang senget benget ini. Naim meminta semua berjumpa semula di depan eskalator
dalam masa 1 jam.
Seorang gadis Cina tersenyum mesra kepadaku sebaik sahaja aku masuk ke dalam
salon itu. Aku maklumkan hasratku untuk memotong rambut. Setelah aku duduk,
dibeleknya rambutku.
“Mana awak potong rambut ini?”
“Apasal?” soalku, rasanya aku tahu apa yang bermain di fikirannya.
“Banyak teruklah! Kalau orang bikin rambut saya ini macam, saya sue itu orang!”
Aku diam. Hati di kala lara, fikiran pun tidak betul. Akibatnya rambut menjadi
mangsa. Bertahun-tahun aku membela rambut panjang yang cantik hitam berkilat.
Kemudian aku warnakan sedikit keperangan kerana kata Muaz wajahku yang cerah boleh
disesuaikan dengan rambut yang sedikit keperangan. Ah, Muaz lagi. Segala-galanya dalam
hidupku banyak berkisar kepada Muaz.
“Sekarang ha, mau potong pendek habis oh. Nanti kasi panjang balik, baru rambut
cantik balik. Ini atas pun rambut hitam sudah keluar. Kasi pendek semua, sudah hitam
semua baru cantik”. Saranan gadis Cina pembantu salon membawa aku ke alam nyata
semula. Aku bersetuju dengan saranannya. Mulai hari ini Izureen akan kembali berambut
pendek, berwarna hitam pekat.
Setelah selesai urusan di salon, aku terus menuju ke eskalator. Aku yang terawal tiba
di sini. Memandangkan mereka belum tiba, aku meninjau kedai-kedai yang terletak di
tingkat paling bawah itu. Sebuah kedai menjual peranti menarik minatku lantas aku
memasuki kedai tersebut. Sekadar melihat-lihat berbagai jenis telefon bimbit, telefon pintar,
tablet dan peranti lain yang dipamerkan, tiba-tiba aku teringat yang aku memerlukan
pengecas I-phone. Walaupun Naim sudah menawarkan pengecasnya, aku rasa segan hendak
menerima.
“Ada jual charger I-phone tak?” aku tanyakan kepada budak lelaki di kaunter.
“Ada, sana” dia menunjukkan ke arah kananku. Aku berpaling ke kanan dan ketika itu
seorang lelaki tiba, tidak sempat mengelak aku terus bertembung dengannya. Aduh, aku
menjerit kecil. Sakit dahiku. Dia juga mengaduh, sambil memegang dagu sebelah kiri.
Dahinya berkerut.
“Naim!” oh, rupa-rupanya aku telah terlanggar dia. Dia memandangku. Hilang
kerutan di dahi, keningnya pula terangkat. Lama dia memandang aku, bulat matanya dan
kemudian, perlahan-lahan, senyuman terukir di pinggir bibir kirinya.

No comments:

Post a Comment