Tuesday, 15 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 10

“ADIK, adik.” Rozairul tepuk lengan Suriya.
“Hah?” Terkapai-kapai Suriya. Bagai orang yang baru
terjaga daripada tidur.
“Duduk dulu,” suruh Rozairul.
Dan Suriya duduk. Mereka masing-masing diam
seketika. Rozairul faham. Adiknya sekarang ini sedang
berperang dengan perasaan sendiri. Perut Suriya yang tadinya
berkeroncong hebat, sekarang sudah tak terasa lagi. Bagai
lenyap dibawa pergi oleh sebaris nama yang Rozairul sampaikan.
Perutnya tiba-tiba kenyang!
Rozairul gigit sedikit burger yang Suriya belikan
untuknya. Dia memandang pinggan Suriya yang berisi set
nasi ayam. Hanya terusik sedikit sahaja. Tadi bukan main lapar
lagi. Sampai cara bercakap macam nak makan orang! Tiba-tiba
Suriya berdiri. Tercengang Rozairul. Apa kes pulak ni?
“Su nak pergi mana?”
“Su nak balik!” Mendatar dan tanpa nada suara itu
bertutur.
Tanpa pamitan, Suriya terus melangkah meninggalkan
Rozairul. Terkejar-kejar Rozairul mengejar langkah Suriya.
Tingkah adiknya ni memang tak boleh dijangka. Berubah
mendadak kerana sebaris nama, MAMA.
“Kenapa ni?” Rozairul bertanya sejurus mereka berada
di dalam kereta.
Enjin dihidupkan tapi kereta tak berganjak dari tempat
parkir. Dia bertanya seperti tak tahu jawapan Suriya. Suriya
kekal membisukan diri.
Along ni, tanya macam tak tahu pulak. Dengus Suriya
di dalam hati.
“Sampai bila Su nak macam ni? Mama tak pernah
salah.”
“Habis, siapa yang salah? Su?” Laju mulut Suriya
membalas. Kalau ikutkan hati, dia nak bertempik ketika itu.
Rozairul hela nafas perlahan.
“Mama berniat baik. Mama nak kita kenal ibu kandung
kita.”
“Lepas apa yang dia dah buat kat kita dulu? No! Su tak
boleh terima dia!” Suriya tekup kedua-dua belah telinga dengan
tangan. Dia tak nak dengar!
Rozairul mengeluh sambil menggelengkan kepala.
Tanpa menunggu lama, Rozairul masukkan gear dan mula
berlalu dari petak parkir itu. Berlama di situ pun bukan dia
dapat apa. Suriya tetap keraskan hati.
PUAN JAMILAH merenung lama telefon yang telah bisu itu. Dia
sudah buntu. Tak tahu cara bagaimana lagi yang boleh diguna
pakai untuk memujuk dua anak angkatnya itu. Si abang tak
ada masalah sangat. Tapi si adik yang tak makan pujuk. Sudah
berkali-kali dia memujuk. Namun, semuanya tak jalan. Kerana
peristiwa lama, Suriya tak bertegur sapa dengannya.
“Amboi, ralitnya tenung telefon tu. Awak baru sudah
bergayut dengan pakwe mana?” Sergahan satu suara dari
belakang mengejutkan Puan Jamilah. Sampai terenjut bahunya.
“Abang ni. Tak boleh ke tegur elok-elok? Terperanjat
saya.”
“Saya tengok awak asyik sangat tenung telefon tu, sebab
tu saya tegur. Awak ingatkan siapa? Awak telefon siapa tadi?”
Encik Razak kembali mengulang soalannya. Dia melabuhkan
punggung di atas sofa berhadapan dengan TV. Melepaskan lelah
seketika di situ. Kipas yang sedang berputar di atas kepala bagai
tak terasa apa.
“Saya telefon Wan tadi. Beritahu dia pasal majlis anak
kak long tu,” Puan Jamilah labuhkan punggung di sebelah
suaminya. Dia mengeluh di akhir ayatnya.
“Dia nak balik?” Puan Jamilah menggelengkan kepala
penuh kehampaan.
“Wan cakap nak tengok jadual dia dulu. Takut masa tu,
dia kena bertugas,” suara Puan Jamilah lemah sekali.
“Tak apalah. Biar marah Su tu reda dulu. Dia masih
marah kat kita tu,” Encik Razak cuba menenteramkan perasaan
isterinya. Dia menggosok perlahan belakang isterinya itu.
“Dari awal lagi abang sudah pesan, awak janganlah
berharap sangat. Kita tahu marah Su belum surut lagi,” ujar
Encik Razak.
“Tapi saya rindukan Su.” Luah Puan Jamilah. Air
matanya hampir-hampir menitis di tubir mata.
“Abang tahu, abang pun rindukan dia. Tapi, apa boleh
buat. Kita kena banyak bersabar, banyak berdoa.” Pujuk Encik
Razak. Melihat muka isterinya yang mendung, pantas dia
bersuara.
“Hei, kenapa menangis pulak ni? Dah-dah, tak payah
nak fikir sangat. Insya-Allah satu hari nanti dia akan terima
semuanya dengan baik.” Encik Razak memeluk bahu isterinya.
Puan Jamilah kesat air mata yang mengalir membasahi
pipi. Tiap kali berasa sedih dengan Suriya, hanya kata-kata itu
yang dapat Encik Razak hidangkan kepada isterinya supaya
tidak terus berasa sedih.
“Ma, kenapa ni?” Rabiatul, anak bongsu Puan Jamilah
yang baru balik daripada kerja tiba-tiba menegur mamanya.
“Tak ada apa-apalah. Mama aje yang tetiba sedih.”
Jawab Encik Razak bagi pihak isterinya.
“Ke... papa ada usik mama ni?” Serkap Rabiatul.
“Eh, apa papa pulak. Adik ni suka-suka aje tuduh papa.
Dahlah, papa nak mandi,” Encik Razak bangun dan berlalu ke
biliknya.
SURIYA KELAM-KABUT sekali. Mana nak siapkan sarapan
untuk abangnya, nak tunggu Pak Mail lagi. Biasanya Rozairul
yang akan hantar dia ke tempat kerja jika abangnya itu tidak
bertugas. Tapi hari ni dia tak nak susahkan abangnya itu.
Biarlah dia berdikari sendiri. Yang paling penting dia terlewat
bangun hari ni! Adoi!
“Along, Su dah siap buatkan air Nescafe untuk along.
Sarapan hari ni, Su sempat buat roti bakar aje. Kalau rajin along
cari makanan kat kedailah ye.” Pesan Suriya sebaik ternampak
kelibat Rozairul menuruni tangga. Rozairul menggelengkan
kepala melihat telatah adiknya yang sangat kelam-kabut pagi
itu.
Suriya mendapatkan beg tangan dan beg kerjanya.
Serentak dengan itu bunyi hon kereta kedengaran dari luar
rumah. Pak Mail dah sampai, ujar hatinya. Segera dia salam
dan cium tangan Rozairul sebelum keluar ke pintu pagar.
Tapi, langkah kakinya semakin perlahan apabila melihat bukan
sebuah teksi milik Pak Mail yang menunggunya pagi itu.
Sebuah kereta Mini Cooper S tersadai elok di depan pintu pagar.
Siapa pulak ni? Suriya sudah berkira-kira mahu
masuk kembali ke dalam rumah. Mahu meminta Rozairul
menghantarnya ke tempat kerja. Namun, langkah kakinya mati
apabila hon kereta itu berbunyi sekali lagi. Cermin di bahagian
penumpang diturunkan sedikit.
“Anggerik.”
Suriya kembali menoleh memandang kereta warna
biru itu. Suara itu! Dia kenal suara itu. Dan panggilan nama
itu. Anggerik! Tiada orang lain lagi.
“Masuk.” Arah lelaki itu.
Suriya teragak-agak. Tak tahu sama ada dia patut
masuk atau tidak. Kepala kembali tertoleh ke arah pintu rumah
yang sudah tertutup rapat. Nak naik dengan bos sendiri atau
minta tolong dengan Rozairul? Kalau Rozairul tahu ni, pasti
kena ceramah panjang!
“Tunggu apa lagi tu? Cepatlah!” Gesaan Iddin
mematikan lamunan Suriya. Dalam kata terpaksa, Suriya ikut
juga arahan bos besarnya itu. Dan kereta buatan Britain itu
terus meluncur laju di atas jalan raya.
Tanpa Suriya sedari, Rozairul asyik sekali memerhatikan
gelagat Suriya dan pemilik kereta biru itu. Hatinya sebagai
abang terbakar. Adik yang selama ini dikawal rapi, dijaga batas
pergaulan sudah berani keluar dengan lelaki hari ni. Sejak
diberi kebebasan bekerja, Suriya semakin panjang kaki.
Adik, along kawal adik bersebab. Along tak nak adik
jadi macam ibu. Adik tak ingat ke peristiwa lama? Hati Rozairul
berkata-kata.
DI DALAM kereta comel itu, mereka mengambil langkah
berdiam diri. Iddin menumpukan pada pemanduannya,
manakala Suriya pula hanya berpeluk tubuh. Dia nak tunjuk
tanda tak puas hati dan mahukan penjelasan. Tapi Iddin sikit
pun tak layan. Bukan mereka tak ada modal untuk berborak,
tapi Suriya sibuk menunjukkan tanda protes. Dalam kepala
Suriya penuh dengan persoalan yang memerlukan jawapan.
“Ehem,” mamat sebelah Suriya tiba-tiba berdehem.
Suriya buat-buat tak dengar.
“Awak ni kenapa?” Iddin jeling Suriya. Dia berdehem,
tak ada yang nak layan!
“Kenapa apa?” Laju mulut kecil itu menjawab.
“Senyap aje.”
Eh, memang selama ni aku tak mesra dengan dia. Dia
yang dingin macam ais tu boleh pulak tanya aku, kenapa senyap?
Dia yang mulakan dulu. Apa kes pulak tanya aku macam tu?
Huh!
“Dia bukan pernah bercakap mesra-mesra dengan aku
pun.” Bisik Suriya perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.
“Apa awak cakap?”
“Saya cakap apa pulak, mana ada saya cakap apa-apa.”
Dalih Suriya. Alamak! Macam mana dia dengar pulak ni? Mati
aku!
“Hurm…” Iddin curious. Aku belum pekak lagi okey,
aku dengar setiap patah kata dia tadi. Hatinya berkata.
“Alamak!” Suara Suriya yang mendadak mengejutkan
Iddin.
“Kenapa?” Iddin toleh pandang Suriya.
“Jalan dah jammed!” Keluh Suriya sambil pandang jam
di tangan. Dah lewat ni!
“Biasalah waktu-waktu macam ni,” selamba Iddin
membalas.
Dia memanglah tak apa, masuk pejabat lewat. Tak
masuk pun tak apa. Tapi aku ni kuli aje. Adoi! Mata Suriya sudah
melilau memandang ke kiri dan kanan jalan raya.
“Awak ni kenapa? Gelisah semacam,” Iddin pandang
Suriya tak ubah seperti kera kena belacan.
“Sampai bila nak terperangkap dalam traffic jammed ni?
Saya dah lewat.” Buat-buat tanya pulak!
“Kalau awak lewat, saya pun lewat jugak. Kita samasama
ada dalam kereta ni. Tak payah risaulah. I’m your boss.
Remember that.” Selamba lagi Iddin menjawab.
Aduh! Macam manalah aku boleh lupa. Kerana kelamkabut,
Suriya terlupa dengan siapa dia berada ketika itu.
Spontan dia tepuk dahi. Macam manalah aku boleh lupa siapa
orang sebelah ni.
Sejam lebih mereka terperangkap di dalam kesesakan
jalan raya. Pemandangan biasa di ibu kota besar. Shah Alam
kan ibu negeri Selangor. Sejurus kereta Iddin berhenti di petak
parkir bawah tanah, Suriya pantas mahu meloloskan diri dari
perut kereta.
“Eh, sabarlah.” Iddin berlari anak mengejar langkah
Suriya.
Dia cuba paut lengan Suriya tapi sempat ditepis wanita
itu. Kali kedua dia buat begitu selepas kes diajak jumpa client
tempoh hari. Mencerlung mata Suriya memandang Iddin. Ah,
tak kiralah kau bos aku ke, rakan sekerja ke, ada aku kisah.
Jangan suka-suka nak ambik kesempatan! Dengus Suriya di
dalam hati.
“Err… Kita jalan sekalilah. Nanti kalau orang tanya,
awak cakaplah awak pergi jumpa client dengan saya,” Iddin
mengajar Suriya menipu.
“Encik ajar saya berbohong?” Langkah kaki Suriya
terhenti mendadak.
“Bukanlah macam tu. Tipu sunat aje. Ataupun awak
nak berterus-terang tentang perkara sebenar apabila orang
tanya? Boleh, dipersilakan. Tapi… Awak kena terima akibatnya
nanti. Dan jangan marahkan saya jika tersebar kencang gosip
kita bercinta.” Iddin selamba memberikan peringatan. Dia
kembali dingin seperti sebelum ni. Menonong dia berjalan
mendahului Suriya.
Dia ni memang suka buat aku sakit hati! Suriya terasa
nak hempuk aje kepala mamat ni. Kalau tak kerana pangkat dia
yang lebih tinggi, memang dah lama beg tangannya itu sampai
ke kepala Iddin! Sedar atau tak, cara Iddin ni memaksa Suriya
ikut cakapnya. Memaksa dalam diam. Huh!
Melangkah masuk ke dalam ruang pejabat, berpasangpasang
mata asyik memandang ke arah mereka. Apa main
pandang-pandang ni? Tak pernah tengok orang ke? Suriya tak
sukakan cara semua rakan sekerja memandangnya. Macamlah
dia ada buat salah besar. Dia kegelisahan.
“Ehem… Dari mana ni Su, Encik Iddin?” Berani
sungguh Kak Ani bertanya. Suriya bulatkan mata ke arah
Noraini. Ni soalan perangkap ni! Pandai betul Noraini buat
muka bodoh. Grr… Geramnya hati!
“Erm… Saya dengan Suriya pergi jumpa client pagi
tadi.” Iddin menjawab sambil memandang wajah Suriya. Suriya
pulak dah tak tahu nak letak kat mana muka tu.
Dia pandang aku buat apa!
“Saya masuk bilik dulu kak,” ujar Iddin dan berlalu
ke biliknya. Manakala Suriya cepat-cepat menapak ke mejanya.
Malas dia nak main mata dengan Noraini. Bukan dia tak tahu.
Ada makna pandangan mata Noraini tu.
Noraini angkat dua batang jari dan tunjuk kepada
Suriya. Penuh makna! Suriya pulak tayang muka pelik. Apa
entah Kak Ani ni!

No comments:

Post a Comment