Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - BAB 9



Dua minggu setelah mereka pulang daripada Kuala Lumpur Mak cik Kunah terus menghantar rombongan meminang. Namun kali ini Kudin tidak turut serta ke sana. Hanya emaknya yang pergi berserta dengan ketua kampong sebagai wakil dirinya. Petang itu wanita itu selamat tiba di rumahnya setelah urusan perminangan selesai.
“Berapa hantaranya, mak?” soal Kudin kepada emaknya itu.
“35 ribu serba satu..” jawab Mak cik Kunah biasa.
"Ha? 35 ribu?" Kudin sudah tercengang. Itu hantaran ke atau down payment nak beli kereta? Serasa mahu tercekik dia mendengar amaun itu.
"Ma.. mahalnya, mak?" ucap Kudin sedikit tergagap kepada emaknya.
"Dia yang mintak banyak tu." Mak Kunah menjawab selamba.
Kudin meneguk liur. Duit dalam akaun simpanannya dicongak. Ada sampai 35 ribu ke? Masak aku macam ni.. ucap Kudin dalam hati.
"Tak boleh diskaun ke, mak?" ucap Kudin resah.
"Mak ada duit sikit, Kudin. Jangan bimbang pasal tu. Engku Ehsan mintak kita ikut aja apa dia nak. Kalau dibantah nanti lagi panjang ceritanya," ucap Mak cik Kunah lembut.
"Tapi tak berbaloi sampai 35 ribu, mak." Kudin mengeluh sendiri.
"Kudin.. benda baik. Jangan diungkit-ungkit sangat. Mak tak mahu dengar. Ikhlaskan hati aja," tegah Mak cik Kunah lembut.
Kudin terdiam. Lelaki kampung seperti dia terpaksa membayar 35 ribu untuk mendapatkan seorang isteri yang berdarjat tinggi seperti itu. Berbaloikah nanti?
"Dia ada permintaan dia, mak pun ada kehendak mak sendiri. Mak terima syarat dia dengan syarat dia juga terima syarat mak." Mak cik Kunah bersuara dalam pada Kudin berjeda sendiri.
Kudin kembali memandang emaknya. "Apa dia syarat mak tu?"
Mak cik Kunah tersenyum sendiri. “Lepas kahwin nanti mak nak Kudin pindah duduk rumah arwah nenek kat hulu sana,” jawab mak cik Kunah biasa.
Kudin terus memandang emaknya itu. “Maksud mak?”
“Engku Ehsan kahwinkan Rina dengan Kudin cepat-cepat ada sebabnya. Dia nak Rina belajar hidup seadanya. Mak faham apa maksud dia. Sebab tu mak nak Kudin bawak dia tinggal di rumah nenek sana. Lagipun pasangan baru kahwin ni selalunya nakkan ruang sendiri. Kalau bukan ruang untuk beromantik-romantik.. ruang nak berperang sesama sendiri. Betul tak, Kudin?” ucap Mak cik Kunah selamba.
Kudin menegur liur memandang emaknya itu. Kata-kata emaknya itu macam sedang bertempek di atas mukanya. Tapi bukan bab yang beromantika diamor tu.. tapi bab yang berperang tu. Memang sesuai benar.
“Mak pun tak suka tengok air muka Kudin dijatuhkan depan mak. Jadi eloklah Kudin tinggal di sana nanti. Edrina setuju dengan syarat mak,” jawab Mak cik Kunah lembut.
“Maksud mak, syarat tadi tu.. Kudin kena bawak Edrina tinggal di rumah arwah nenek ke?” soal Kudin sedikit tidak mengerti.
“Iya..” mak cik Kunah menjawab dengan wajah bersahaja.
Kudin mengerutkan kening. Syarat apa macam tu?
“Dia setuju sebab dia belum nampak rumah pusaka tu macamana rupanya. Dia ingat rumah tu macam rumah kita,” ucap Mak cik Kunah lagi.
“Kudin takut Kudin yang siksa duduk dengan dia di rumah tu nanti, mak. Dia tu bukannya boleh susah sikit,” komen Kudin perlahan.
“Didik dia supaya dia terima keadaan tu seadanya. Itu tugas Kudin sebagai suami. Bukan semua suami dalam dunia ni mampu sediakan banglo untuk isteri. Kudin kena buat dia faham apa maknanya ketaatan!” jelas Mak cik Kunah serius.
Kudin diam. Namun dia akur dengan nasihat emaknya. Memang itu semua tanggungjawab dia sebagai suami nanti.
“Mak percaya dia tak seburuk yang disangka, Kudin. Cuma perempuan macam Edrina tu tak boleh diajar dengan kekerasan. Mak nampak walaupun dia tak mahu tapi dia ikut juga apa yang nenda dia suruh. Itu petanda baik. Mula-mula memanglah dia akan memberontak. Tapi pujuklah dia perlahan-lahan. Lama-lama dia mahulah tu,” ucap Mak cik Kunah lagi.
Kudin memandang emaknya itu sambil berfikir sendiri. Dia sendiri masih tidak mampu membayangkan apa yang bakal terjadi kepada rumahtangganya.
“Sebelum mak terlupa Engku Ehsan nak percepatkan tarikh kahwin tu. Bertunang tiga bulan aja. Jadi kamu bersiaplah apa yang perlu.”
“Tiga bulan, mak?” terbeliak mata Kudin menahan rasa terkejut.
“Iya.. kenapa? Lama sangat ke? Nak cepat lagi?”
“Tak.. tak..” Kudin segera menggeleng. Tiga bulan itu terlalu cepat sebenarnya.
“Jadi bila bertunangnya?” soal Kudin kemudian.
“Dah bertunang dah pun. Tadi mak dah sarung cincin. Nak buat apa tangguh-tangguh? Sekalikan aja. Senang tak payah banyak kerja,” jawab Mak cik Kunah selamba.
“Ha? Kudin dah bertunang?” Kudin terus terlopong. Macam mimpi sahaja dia. Dia rupanya dah bertunang dengan Edrina sekejap tadi. Terujakah dia? Sama sekali tidak. Dia masih teringat hal di butik pakaian lelaki dulu. Dia masih tidak merasakan dirinya tidak sepadan mahu digandingkan dengan wanita itu.
“Takde kebahagiaan akan datang semudah itu, Kudin. Semuanya perlu diusahakan. Kamu kena yakin dengan keupayaan diri kamu. perempuan ni.. orang mana atau setinggi mana pun darjatnya, sama aja nalurinya dengan perempuan-perempuan yang lain. Semuanya kalah dengan kasih sayang,” ucap Mak cik Kunah lagi tatkala terpandangkan menungan anaknya itu. Dia dapat membaca apa yang sedang difikirkan anaknya itu.
“Kudin tak pernah bercinta, mak. Kudin tak pandai layan perempuan.” Kudin menjawab rendah.
“Itu bukan pokok pangkalnya. Ilmu menjadi suami ni dah cukup islam ajarkan pada umatnya. Kita cuma kena pergi cari aja. Contoh terbaik seorang suami pun dah ada. Rasulullah SAW adalah contoh seorang suami yang terbaik. Kita cuma perlu berpandukan pada akhlak Rasulullah kita aja. Mak yakin Kudin boleh jadi suami yang baik dan ayah yang sempurna pada anak-anak Kudin. Insya-Allah.. suami yang baik akan diberikan seorang isteri yang baik jugak. Kita kena bersangka baik.. barulah Allah berikan yang elok pada kita. soal duit.. soal persiapan itu semua serahkan pada kami. Tahulah mak apa nak buat.” Mak cik Kunah segera membalas.
Kudin diam sahaja. Bersangka baik? Ya.. maksud emaknya itu segera dimengertikan. Jika emaknya yakin Edrina mampu menjadi wanita yang baik untuk dirinya, mengapa dia tidak boleh berfikiran begitu?
“Insya-Allah, mak..”                                                 

Rumah pusaka itu kembali dijejaki Kudin hari itu. Lama dia memandang rumah usang itu. Di sinilah dia akan memulakan hidupnya nanti bersama dengan isterinya. Rasanya sudah lama rumah ini terbiar kosong tidak berjaga. Dia pun tidak ada banyak masa untuk menjaga rumah ini selalu. Kerana itu rumah ini terbiar usang begitu sahaja. Namun hari ini dia berhasrat untuk melihat keadaan rumah ini, membaiki mana yang perlu.
“Lalu ke minah KL tu nak duduk sini?” soal Kudin sendiri.
Rumah pusaka arwah datuk dan neneknya itu terletak agak terpencil. Hanya ditemani oleh rumah pekerja-pekerja yang dibina di dalam kawasan ladang. Itu pun bukannya dekat benar. Paling menarik.. rumah ini ditemani oleh tanah perkuburan penduduk kampung itu. Itu mesti Edrina suka sangat. Boleh jadi setiap hari dia terpaksa menemankan gadis ke tandas kerana tandas dan bilik air rumah ini juga terletak di luar rumah.
Setengah hari itu Kudin terpaksa menghabiskan masa membaiki atap rumah. Kering kontang dia kehausan akibat panahan cahaya matahari. Kemudian barulah dia mengganti lantai rumah mana yang sudah tidak boleh dipijak. Takut nanti terjerlus pula kaki isteri ‘Tengku’nya itu jika terpijak lantai reput. Lagipun dia kenalah bersiap sedia untuk waktu-waktu kecemasan. Manalah tahu tabiat isterinya nanti suka hentak kaki waktu merajuk? Lantai rumah ini juga yang punah nanti.
Namun sedang dia asyik dengan kerja-kerjanya sebuah kereta yang tidak diketahui pemiliknya masuk ke kawasan itu. Kudin sempat mengintai melalui jendela yang terbuka. Namun melihat batang tubuh yang keluar daripada Proton Preve itu, Kudin mengeluh sendiri.
“Apa pulak mimpinya dia ni datang cari aku?” soal Kudin sendiri. Dia lantas keluar daripada rumah itu untuk mendapatkan tetamu tidak diundang itu.
“Lisa pergi rumah kolam ikan abang tadi. Abang Mokhtar kata abang kat sini,” ujar Lisa sambil tersengih.
“Bila balik?” tanya Kudin sekadar berbasi basa.
“Baru semalam. Lisa cuti sampai esok aja,” jawab Lisa sambil tersenyum.
“Nak apa cari abang ni?” soal Kudin hairan.
“Saja..” jawab Lisa lantas mendekati Kudin di tangga kayu rumah itu. “Lisa dengar abang nak kahwin ya?” tanya Lisa pantas.
Kudin mengangguk sahaja sambil memandang ke arah lain. Selamba benar Lisa ke situ dengan seluar pendek separas lutut dan baju tee ketatnya. Tahulah dah jadi orang KL. Tapi dia yang masih kekampungan ini tidak selesa benar melihat organ-organ yang terbonjol milik Lisa.
“Orang kampung mana bakal isteri abang tu?” tanya Lisa teruja mahu tahu.
“Saudara jauh keluarga abang,” jawab Kudin biasa.
“Oh.. macam tak percaya pulak dengar abang nak kahwin. Kira ni family yang aturkan ke apa ni?” ucap Lisa semakin berminat mahu mengorek cerita tentang perkahwinan yang bakal dilangsungkan Kudin.
“Lisa datang sini sekadar nak tahu pasal itu aja ke?” soal Kudin tanpa menjawab soalan Lisa itu. Bola matanya singgah sekejap di wajah gadis itu. Entah kenapa dia melihat senyuman Lisa seperti sedang mempersendakan dia.
“Iyalah.. Bapak cerita dengan Lisa yang abang nak kahwin bulan depan. Lisa terkejutlah. Takde angin takde ribut tiba-tiba abang nak kahwin pulak. Nak kata abang ni ada girlfreind rasanya takde pulak. Abang dah kenal lama ke dengan bakal isteri abang tu? Cantik tak?” Lisa terus mengomel kepada Kudin.
“Penting ke semua tu?” soal Kudin kembali sambil menatap kosong raut gadis yang berdiri di hadapan tangga itu. Dia macam tidak percaya pula gadis ini sanggup datang ke sini sekadar untuk mengambil tahu halnya. Sudah lama Lisa tidak peduli kepadanya. Mereka dah macam orang asing selama ini.
“Takdelah.. saja je Lisa nak tahu.” Rendah sahaja jawapan Lisa.
Kudin diam sambil menghela nafas bosan. Dia tidak berhasrat mahu bercerita panjang kepada Lisa tentang itu. Cantik ke tidak bukan ukuran. Kenal lama atau tidak juga tidak penting. Kalau sudah sampai serunya dia berkahwin, maka dia reda.
“Bila nak bagi kad jemputan?” tanya Lisa setelah pertanyaan tadi tidak berjawab.
“Nantilah.. dah ada nanti abang bagi,” ucap Kudin macam orang yang tidak berperasaan sahaja. Soal itu semua dia tidak tahu. Itu urusan emaknya.
“So abang nanti duduk sini dengan isteri abang tu ke?” ucap Lisa lagi sambil memandang rumah itu. Dia dapat meneka apa sebabnya Kudin membaiki rumah itu semula. Seingatnya rumah ini sudah terbiar kosong lebih daripada 10 tahun.
“Nampaknya macam tulah..”
“Abang nampak macam tak happy je sebut pasal kahwin ni. Abang kena paksa kahwin ke?” telah Lisa dengan renungan dalam ke wajah Kudin.
Kudin mengerut kening memandang Lisa. Dah ke situ pulak perginya.
“Nak tujukkan happy tu macamana? Nak kena buat lompat bintang ke apa? Abang happy ke tidak, itu abang simpan sendiri. Abang pun tak suka sembang banyak sangat sedangkan bendanya masih jauh lagi,” jawab Kudin biasa.
Lisa terdiam mendengar jawapan Kudin. Macam perli dia aja bunyinya? Kudin dilihatnya macam tidak berminat sahaja mahu melayan dia berbual. Kudin memang sudah banyak berubah sekarang. Sudah tidak mesra seperti dulu. Dulu mereka memang rapat.
Ah! Tapi bukankah dia yang meminta lelaki itu meletakkan jurang? Kenapa pula sekarang dia mahu terasa begini?
“Lisa balik dululah, bang.” Menyedari sudah tiada topik mahu diperkatakan Lisa akhirnya meminta diri.
Kudin mengangguk sahaja. Eloklah pun.. sebab dia ada banyak kerja lagi nak dibuat selain daripada bersembang kosong begini.
“Jangan lupa jemput Lisa nanti,” kata Lisa lagi.
“Insya-Allah..” jawab Kudin pendek sahaja.
Sepeninggalan Lisa bersama dengan kereta yang dibelikan oleh teman lelakinya itu Kudin naik semula ke atas rumah. Kerjanya disambung semula. Seminggu dua ini dia terpaksa menumpukan perhatiannya kepada rumah ini.
Petang itu sebaik sahaja dia sampai ke rumah emaknya sudah mengajak dia minum petang di dapur. Kudin sempat mengeluh melepaskan keletihannya.
“Penat?” tanya Mak cik Kunah sekadar berbasi basa. Keledek goreng yang baru diangkat dari kuali itu disusun di dalam pinggan.
“Penat yang teramat sangat, mak.”
“Makanlah.. mak cik Som bagi keledek tadi,” ucap Mak cik Kunah setelah meletakkan pinggan itu di atas meja. Setelah itu dia kembali semula ke tempat memasak tadi. kawasan itu dikemaskan ala kadar.
Kudin segera mencapai sekeping keledek goreng itu. Dengan lafaz bismillah keledek itu disuap ke mulutnya. Manis rasanya keledek itu.
“Kudin, mak rasa eloklah kamu beli kereta.” Mak cik Kunah berkata lembut sebaik sahaja duduk di hadapan anaknya itu.
“Ha? Nak buat pulak, mak?” soal Kudin sedikit terkejut.
“Takkanlah kamu nak pergi bersanding di KL sana naik lori kamu tu? Lagipun zaman sekarang ni kereta ni dah jadi satu keperluan. Bukan lagi satu pembaziran,” jelas Mak cik Kunah.
“Lori tukan ada, mak? Dia naik ajalah lori tu.” Kudin menjawab mudah. Banyak pulak cekadak nak beli kereta khas untuk angkut dia.
Mak cik Kunah menggeleng sahaja melihat anaknya itu. “Janganlah kedekut sangat. Takkanlah kamu nak angkut isteri kamu tu ke hulu ke hilir naik lori, Kudin? Mak memanglah tak kisah sebab mak dah biasa. Lagipun apa salahnya.. kamu bukannya takde duit benar. Kalau ada kereta senang nak bergerak. Lainlah kalau bini kamu tu pandai naik motor, kamu belilah motor. Murah pun murah,” rengus Mak cik Kunah sebal.
Kudin terdiam pula. Nak beli kereta pulak ke? Ai.. habislah duit aku kalau macam ni, bisik hati Kudin.
“Kudin, mak bukannya nak suruh kamu berubah jadi orang lain semata-mata untuk tambat hati isteri kamu. Tapi bukan semua perempuan boleh hidup dalam keadaan serba tak ada secara mengejut begini. Semua orang berlumba-lumba nak beli kereta sebab itu semua dah jadi satu benda utama bila nak bergerak ke mana-mana. Mak tak mahu nanti benda ni semua jadi gaduh kamu suami isteri. Kita nak orang faham kita. Kita kena faham resam orang lain dulu, Kudin. Mak bukannya nak suruh kamu beli kereta mahal. Cukuplah asalkan kamu ada. Senang kamu nak bergerak selain daripada gunakan lori kamu tu,” nasihat Mak cik Kunah lembut.
“Mahallah kereta sekarang, mak.” Kudin menjawab rendah.
“Belilah yang murah..” sambut Mak cik Kunah pantas.
“Tengoklah nanti..” jawab Kudin malas.
“Lori kamu tu pun dah uzur benar, Kudin. Memang betul pun cakap Rina tu. Dah macam besi buruk.”
“Mak pun sama naik macam dia nak kutuk lori Kudin tu. Lori tu banyak berjasa, mak.” Kudin menggerutu tidak senang mendengar ucapan emaknya itu. Dah sepakat dengan bakal menantu pulak emaknya tentang lorinya itu.
“Mak bukan nak kutuk saja-saja. Tapi kamu kenalah bagi cuti sekali-sekala pada lori kamu tu. Lori tu kamu gunakan tak henti-henti. Pergi sembahyang Jumaat pun kamu pergi naik lori tu. Lori tu dah tunggu masa aja nak roboh, Kudin. Kalau rosak satu hari nanti macamana? Dengan apa lagi kamu nak bergerak?” ucap Mak cik Kunah bersungguh.
Kudin terdiam lagi memikirkan kebenaran kata-kata emaknya itu.
“Dengarlah cakap mak ni, Kudin. Mak bukannya suruh kamu pergi buang duit saja-saja. Kereta ni kamu boleh gunakan dalam jangka masa panjang. Kamukan belajar ekonomi. Takkan kamu tak faham jugak tentang itu?”
“Yalah.. nanti Kudin pergi beli.” Kudin menjawab rendah. Macam tak ikhlas aja bunyinya.
“Hmm.. lepas kamu kahwin nanti bolehlah mak berangan-angan nak ke Mekah.”
“Mak nak naik haji?”
“Dah selesai tanggungjawab mak kahwinkan kamu, barulah mak rasa tenang nak buat ibadah haji.” Mak cik Kunah menjawab dengan sedikit senyuman. Sudah lama dia berangan-angan mahu melaksanakan ibadah itu. Rasanya itulah masa yang sesuai.
“Kudin memang dah lama berniat nak hantar mak ke Mekah.”
“Takpelah, Kudin. Mak ada duit yang mak simpan sendiri. Kamu simpan ajalah duit kamu tu. Manalah tahu berkat doa mak esok balik aja dari Mekah mak dapat timang cucu,” jawab Mak cik Kunah dengan senyum simpulnya.
Seperti mahu tercekik Kudin mendengar itu. Nak timang cucu, mak? Dia nak pandang Kudin pun tak selera. Dia jugak yang cakap geli sebab Kudin ni banyak bulu dada, ucap Kudin sekadar di dalam hati.
“Senangnya hati mak ni, Kudin. Tak lama lagi hasrat mak nak tengok kamu ada isteri dah termakbul. Alhamdulillah..” ucap Mak cik Kunah cukup senang hati.
Kudin hanya mampu tersenyum pahit. Bakal menantu punya pasal.. dia kena kopakkan poketnya membeli kereta. Esok entah apa lagi pulak yang dia kena beli. Kapal terbang pulak kut.. senang Edrina nak melancong ke luar negara nanti. Lepas tu? Agaknya kapal persiaran pulak yang dia kena beli. Semuanya Edrina punya pasal!





No comments:

Post a Comment