Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 2



Senyuman lebar kuhadiahkan pada dinding bilik tidurku yang sedari tadi aku tenung. Tergambar senyuman kacak milik Emir pada dinding berwarna putih itu. Hmm! Kacak sungguh! Tak kusangka di sebalik stail rambut Abu Bakar Elah dan kaca mata berbingkai tebal itu tersembunyi seorang lelaki yang cukup kacak. Ya Allah, Yana. Apa kena dengan kau ni hah? Kenapa tak habis-habis kau duk puji mamat nerd tu.
Dari berbaring aku bingkas bangun. Aku tak berpuas hati dengan suara hatiku yang berbisik itu.
       “Iya ke aku duk puji dia aje hari ni? Mana ada. Aku cuma tengah fikir plan aku yang seterusnya untuk pikat dia. Hesy! Mana ada aku puji-puja dia.”
Terdetik di hati kecilku untuk menghantar sms kepada Emir. Entah dia balas ke tidak ya. Kalau Sofiya tahu aku dah ada nombor telefon Emir, mesti dia tak percaya. Yalah dalam masa tak sampai satu hari, aku dah berjaya dekatkan diri aku dengan lelaki nerd tu. Siap dapat nombor telefon lagi. Satu permulaan yang cukup baik! Good job Yana!
Memikirkan Emir sekali lagi buat aku tersenyum lebar. Alahai, Emir. Lucu jugak mamat tu. Rupa-rupanya ramah-tamah juga lelaki tu. Aku tanya dia soalan, dia tanya aku balik soalan yang sama. Seakan-akan dia ingin mengenali aku. Kan aku dah kata, Intan Suriyana memang mampu memikat hati mana-mana lelaki. Lelaki nerd macam Emir tu apalah sangat. Next plan, aku harus buat dia jatuh cinta dengan aku. Kalau susah-susah sangat,  biar aku aje yang berterus-terang yang kononnya aku ni dah jatuh cinta dengan dia. Selesai masalah!

       + Hai Ku Emir Affan. Tgh  buat apa tu?
Aku menanti penuh sabar Emir membalas smsku. Ku tilik jam pada skrin telefon pintarku. Baru nak masuk jam 11 malam. Dia belum tidur lagi kut. Beberapa minit menanti, smsku masih belum berbalas. Haiyak! Emir dah tidur ke? Awalnya dia tidur. Bibir kucebik tak puas hati. Belum pernah ada lelaki yang tak balas sms aku. Mungkinkah Emir yang pertama?
Dengan malasnya kucampakkan i-phone ke katil. Entah kenapa ada rasa kecewa pula dalam hati aku. Rasa geram pun ada. Emir jual mahal ke? Layak ke dia jual mahal dengan aku?!
Hoi cik kak! Ada sms masuk ni. Hoi cik kak! Ada sms masuk ni. Aku kalih ke sisi. Pantas kucapai telefon bimbitku yang berbunyi suara kanak-kanak riang itu.
       = Hai Suri. Emir baru lepas mandi.
Itulah jawapan dari Emir atas soalan aku tadi. Mandi? Takkan dia baru mandi kut. Dah lewat ni. Karang terkena selsema kan susah. Aku tersenyum bahagia. Pantas jari jemariku menaip membalas smsnya. Erm… nak cakap apa lagi eh?
       + knp baru mandi? Tadi takde air ke?
       = Emir baru balik dari jogging.
Mulutku ternganga. Jogging? Malam-malam dia jogging? Erk… Ahli sukan ke apa mamat ni.
       + knp jogging mlm2? Jogging dengan sape? Blh Suri ikut Emir jogging?
Alahai… Ayat penggoda aku bagi kat dia. Aku nak tengok apa dia jawab nanti. Lama aku tunggu Emir membalas smsku. Tak senang duduk aku dibuatnya. Beberapa saat berlalu, tiba mesej dari Emir.
       = Sebab pagi2 Emir bz dgn class. Jogging sorang2. Suri tak boleh ikut. Sebab Emir segan jogging dengan perempuan.
Erk… Tersedak aku dengan jawapan dia. Straight to the pointnya. Malu tapi mahulah tu. Hehe… Apa kata kalau aku jogging dengan dia esok. Hmm… Interesting! Daripada aku duk terkinja-kinja menyanyi di pusat karaoke, lebih aku layan mamat ni. Boleh pikat dia.
        +  Alah bolehlah. Kalau x dpt jogging mlm pun, suri nak jogging ptg2 dgn emir. Boleh?
Lama aku menanti jawpaan darinya. Lebih lama dari tadi. Mungkin Emir tengah berfikir. Kalau dia asyik segan macam ni, sampai bilalah agaknya aku berjaya pikat dia. Hesy! Aku harus kikis rasa malu Emir tu. Tidak mengapa. Lagipun perkenalan aku dengan dia baru sehari.  Bila dah seminggu nanti, aku akan ajak dia masuk ke dalam dunia aku. Tinggalkan dunia dia tu!
Hoi cik kak! Ada sms masuk ni. Hoi cik kak! Ada sms  Zapp! Terusku tekan butang open message. Jawapan Emir ku baca dengan penuh debar. Dia setuju ke tak ya?
       = OK. Tapi suri kenalah pakai pakaian sukan. Jgn pakai highheels. Nanti suri jatuh pulak.
Aku tersenyum. Yes! Semuanya berjalan lancar. Tak lama lagi, aku pasti Emir akan jatuh dalam genggaman aku. Ini siapa? Ini Yanalah!

**********

Keesokan harinya, aku mulakan hariku dengan cukup ceria dan bersemangat. Pagi-pagi lagi aku dah bangun. Selesai solat Subuh, aku terus turun ke dapur membantu Mak Limah menyiapkan sarapan pagi. Terkejut baboon orang tua tu dibuatnya. Dia cakap aku ni demam ke sampai turun padang hari ni. Hek! Nampak sangat aku ni tak pernah turun ke dapur. Maklumlah anak bos. Tapi entahlah. Aku takde pulak rasa demam ke apa. Yang aku tahu, aku ikhlas nak tolong Mak Limah.
Tapi yang tak syoknya, mama dan papa tak dapat bersarapan sekali dengan aku. Mereka terpaksa berlepas ke Bandung secepat mungkin. Yalah papa kan ada sebuah anak syarikat di sana. Katanya ada masalah. Memandangkan mama setiausaha papa, terpaksalah mama ikut. Tinggallah aku dan Mak Limah di rumah banglo tiga tingkat ni. Hmm…
Tapi nasib baik juga Sofiya sudi bangun awal dan membenarkan aku mengambilnya di rumah. Gara-gara excited nak tahu perkembangan terbaru aku dan Emir, Sofiya sanggup bangun awal pagi. Keluar awal, temankan aku jogging.
       Huwaa… Ngantuknya aku.” Sofiya menguap lama. Berair matanya menahan rasa mengantuk. Nampak sangat jarang-jarang bangun awal.
       “Kau ni. Berjogging pun boleh menguap. Bersemangatlah sikit, beb. Mulakan hari anda dengan ceria dan penuh keaktifan.” Aku tayang senyuman girang pada Sofiya. Dia yang berlari anak di sebelahku pantas menghentikan langkahnya. Bila Sofiya dah berhenti, akupun ikut samalah berhenti.
       “Apasal kau stop? Baru satu round kut. Takkan kau dah semput.” Dengan paksaan yang cukup maksimum, aku memaksa Sofiya menemani aku berjogging. Yalahkan, petang nantikan aku ada aktiviti berjogging bersama-sama Emir. Jadi, lebih baik aku warm up dari awal pagi ni. Aku pun dah lama tak jogging dengan Sofiya. Sambil jogging, bolehlah aku cerita pada dia tentang perkembangan aku dan Emir.
       “Kau ni demam ke hari ni, beb? Hmm? Meh aku check.” Tangan Sofiya mendarat atas dahiku. Aku pantas menolak tangannya.
       “Apa pulak demam. Kalau demam, tak ada maknanya aku ajak kau jogging. Aku sebenarnya ada sesuatu nak beritahu kau. Kau mesti terkejut habis. Dan tak lama lagi, Jimmy akan jadi milik aku.” Berubah sedikit air muka Sofiya. Mungkin dia tidak menyangka aku seteruja ini apabila berbicara mengenai Jimmy. Ah, biarlah. Yang penting, aku tidak berpura-pura dalam soal ini. Aku cintakan Jimmy. Dan Sofiya juga sudah berjanji untuk menyerahkan Jimmy pada aku.
       “Aku dah tahu nama mamat nerd tu,” ujarku sebaris. Sofiya yang sedang meneguk air hampir terbelahak. Menyorot matanya memandang aku. Mungkin tak percaya dengan cerita aku tadi.
       “Apa nama dia? Kau biar betul, Yana. Kau tak tipu aku kan? Baru sehari kau dah…” Ayat Sofiya terhenti di situ. Mungkin dia benar-benar impressive dengan bakat aku memikat hati lelaki.
Dengan senyuman bangga aku tersenyum padanya.  “Buat apa aku nak tipu. Menipu tu berdosa kau tahu. Akukan Intan Suriyana binti Datuk Razlan. Of course aku mampu tahu nama mamat tu secepat ini. Tak payahlah kau buat muka pelik macam tu.”
       “Okey-okey. Aku terima bakat terhebat kau memikat lelaki ni. Tapi apa nama dia? Samad ke Mamat?” Tertawa besar aku mendengar lawak Sofiya.
       “Lebih sedap dari nama tu. His name is Ku Emir Affan bin Ku Amir. Call him Emir. Nice name, right? Sweet sangat.” Aku mula terbayang muka Emir yang sedang tersenyum malu. Kenapalah aku angau sangat dengan mamat ni. Adakah kerana dia handsome aku jadi angau padanya? Tapi apasal pulak aku yang kena angau dengan dia. Sepatutnya dia yang kena angau dengan aku. Hesy!
       “Fuyoo! Best kut nama dia. Ada darah keturunan diraja kata ko. Mesti dia ni anak orang kaya kan? Apa lagi yang kau tahu pasal dia?” Sofiya bertanya penuh teruja. Aktiviti jogging kami akhirnya terhenti di situ. Aku ajak Sofiya duduk di kerusi yang terletak di sebuah pokok rendang berhampiran tasik. Banyak benda aku nak cerita pada Sofiya ni. Dan aku juga ingin meminta bantuan Sofiya untuk mencorakkan plan aku yang seterusnya.
        “Kaya atau tak aku tak tahu. Belum tahap tu lagi aku nak selidik pasal diri dia. Yang penting sekarang, aku berjaya dekati dia. Dan yang paling penting juga, petang nanti aku akan berjogging dengan dia.” Aku pandang Sofiya. Berubah muka Sofiya mendengar kata-kata yang baru keluar dari bibir aku itu.
        You what?! Jogging? Petang nanti? Kau  biar…”
        “Betul!” Aku tersengih.
       “Baru sehari korang kenal dah ajak berjogging. Berani betul dia tu. Entah-entah dia memang dah lama tunggu peluang nak berkawan dengan kau. Entah-entah… dia tu…” Berdebar juga hati aku menanti ucapan selanjutnya dari Sofiya. Saspen kut!
       “Entah-entah dia tu perogol bersiri…” Pap!Terus kuketuk kepala Sofiya dengan botol air. Choi punya mulut!
       “Mulut tak ada insurans! Tak baik kau tuduh dia macam tu. Apalah kau ni, Fiya.” Walaupun aku cuba menafikan hal itu namun fikiranku mula menerawang memikirkan andaian dari Sofiya itu. Benarkah Emir sudah lama menanti peluang untuk berkawan dengan aku? Dan yang lebih menakutkan, benarkah Emir itu seorang perogol bersiri? Eee… seram!
Sofiya menggosok-gosok kepalanya yang diketuk tadi. Agak merah padam mukanya menahan marah. Yalah Sofiyakan memang pantang kalau ada orang sentuh kepala dan rambut kepok-kepok dia tu.
      “Tuduh tak tuduh, aku cuma buat andaian aje. Manalah tahu kalau-kalau apa yang aku cakap tadi ada kebenarannya. So, kau better hati-hati. Dalam kau nak kenakan dia, jangan kau pulak yang terkena.” Aku telan liur. Benarkah begitu? Arghh! Fiya ni memang sengaja nak  takutkan aku.
      “Alah… Takde apalah kau ni, Fiya. Sengaja nak takutkan aku. Ugh! Dahlah jom kita sambung jogging.” Aku bingkas bangun. Segera aku memulakan larianku meninggalkan Sofiya di belakang. Cuba kuusir rasa seram yang melanda diri. Kalau Emir berani buat macam-macam, aku takkan lepaskan dia! Tapi kalau dia betul-betul ada niat tak baik bagaimana? Arghhhh! Stress!

*********

Tak senang duduk aku dibuatnya. Menanti kehadiran Emir ibarat menanti keputusan SPMku keluar pada suatu ketika dulu. Ah! Sesak nafas aku macam ni. Kalaulah mulut aku tak gatal nak pujuk Emir setuju keluar ‘dating’ dengan aku di taman ni, mesti aku tak payah nak rasa seram sejuk macam ni.
Sejak dari rumah lagi, kepala otak aku bagaikan tak mahu berhenti dari memikirkan kata-kata Sofiya. Tak habis-habis berfikir mengenai kebarangkalian bahawa Emir Affan seorang perogol bersiri. Argh! Takut.
Tok. Tok. Tok. Tok. Jantungku bagai mahu luruh tatkala mendengar ketukan bertalu-talu pada cermin tingkap. Takut-takut aku berpaling memandang ke sebelah.
       “Arghh! Ya Allah, ya Allah, ya Allah… tolong aku ya Allah…” Menggigil tubuhku saat itu. Terpampang jelas wajah buruk seorang manusia. Benarkah dia manusia? Entah-entah hantu. Mataku masih kupejam kemas. Tak sanggup aku nak buka mata. Kalau aku buka mata pasti wajah buruk itu akan kelihatan lagi. Dalam hati, tak habis-habis aku berdoa agar benda tu lari cepat-cepat. Jangan ganggu aku!
Tok. Tok. Tok. Sekali lagi cermin tingkap keretaku diketuk. Aku geleng kepala tak sanggup nak buka. Pasti makhluk aneh tu lagi. Ya Allah, kenapa dia tak lari lagi.Shuhh! Pergi kau jauh-jauh!
        “Suri… Suri buka pintu ni. Suri…” Kedengaran suara seseorang di luar kereta. Walaupun aku tak jelas dia cakap apa, tapi yang aku dengar dia panggil nama aku. Ya Allah, macam mana makhluk tu tahu nama aku? Apa aku ni popular sangat ke di kalangan kaum kerabat dia tu. Arhhh… takuttt…
        “Suri… Suriyana!” Kuat suara itu memanggil aku. Aku masih tetap buat bodoh. Takkanku berganjak dari tempat duduk walau seinci. Pasti mahkluk tu nak tarik aku keluar. Lepas tu dia nak terkam aku. Mama, tolong Yana. Papa, tolong Yana. Yana takutttt… Ya Allah, tolong. Aku masih berdoa. Time susah baru nak ingat Allah. Walhal Allah tak pernah lupa pada aku. Hmm… Tiba-tiba perasaan insaf menyapa diri.
Hoi cik kak! Ada sms masuk ni. Hoi cik kak! Ada sms masuk ni. Time nilah ada sms masuk pulak. Hesy! Teraba-raba aku mencapai telefon bimbit yang berada di atas dashboard. Dengan takut-takut aku baca kandungan sms itu.
      + Suri… Emir kat luar ni. Bukalah pintu kereta ni. Suri ok ke x?
Erk… Pantasku kalih ke sebelah. Kini, baru aku boleh menghela nafas lega apabila aku terpandangkan wajah kacak Emir. Sepantas kilat aku menanggalkan tali pinggang keledar lalu meluru keluar mendapatkannya.
Aku hampir terpeluk tubuh Emir namun pantas lelaki itu mengelak. Aku jadi malu sendiri.
       “Err… Suri okey?” tanya Emir agak tergagap-gagap. Dengan wajah selamba, aku cuba angguk kepala sambil tersenyum kelat. Ya Allah malunya aku!
       “Okey. Tapi tadi ada hantu nak ganggu Suri. Nasib baik Emir ada.” Jawabku dengan suara yang masih ketakutan.
       “Hantu? Hisy, mana ada hantu petang-petang ni. Bukan hantulah Suri. Tapi tadi Emir nampak ada seorang pak cik peminta sedekah. Dia ketuk-ketuk cermin kereta Suri. Mungkin dia nak minta duit kut. Tapi Suri tak bukak pun. Jadi Emir bagilah dia duit. Lepas dapat duit, dia terus pergi.” Melopong mulutku mendengar cerita Emir. Oo… jadi itulah ceritanya. Cis! Aku ingatkan hantu.
Bagai tiada apa-apa yang berlaku, aku hadiahkan Emir sebuah senyuman mesra. Lega sedikit hatiku mendengar kebenaran yang sebenar-benarnya itu. Tapi… kisah ‘hantu’ dah tamat. Yang muncul sekarang adalah kisah Emir si perogol bersiri. Erk… benarkah?
Tak semena-mena aku menjarakkan diri dari Emir. Memandang sekeliling melihat pengunjung yang lain. Memandangkan taman yang kami sepakat nak berjumpa ni merupakan sebuah taman rekreasi yang agak popular, jadi ramai yang datang ke sini petang-petang untuk beriadah bersama ahli keluarga. Hah! Kalau Emir nak buat bukan-bukan pada aku, aku boleh jerit sekuat hati. So, Yana. Kau jangan risau okey. Gunakan peluang ni untuk pikat si budak nerd ni. Fighting! Aku memberi kata-kata semangat kepada diriku sendiri. Mengharapkan aku benar-benar berjaya memikat Emir secepat mungkin.
        “Erm… jomlah kita mula jogging. Cantik tak track suit Suri? Suri baru beli tau. Kasut ni pun sama. Semuanya baru. Cantik kan?” Dengan gaya menggoda, aku berpusing-pusing di hadapan Emir memaparkan pada lelaki itu pakaian sukan yang aku pakai di tubuh. Naklah buat dia tergoda sikit.
Malu-malu Emir tersenyum kepadaku. Dia angguk kepala.  “Cantik. Tapi petang-petang ni banyak nyamuk. Apa kata kalau Suri pakai sweater ni. Cover lengan Suri tu,” ujar Emir seraya menanggalkan sweater Adidas yang tersarung di badannya. Aku pandang Emir tanpa berkelip. Wah! Romantik juga mamat nerd ni. Okey, Yana. Jangan kau jatuh suka pula dengan layanan Emir. He is just nerd man. Not as romantic as Jimmy! Remember that!
Dengan agak malu-malu Emir menghulurkan sweater Adidasnya kepadaku. Aku menyambutnya dengan ucapan terima kasih.
        “Terima kasih, Emir. Hmmm…. Harumnya bau sweater dia.” Puji aku sambil aku menyarung sweater ke tubuhku. Walaupun agak besar, tapi bolehlah daripada tak ada. Lagipun silap aku jugak sebab pilih baju lengan  pendek. Petang-petang memang banyak nyamuk.
        “Aunty Emir yang basuh baju Emir. Sebab tu wangi.” Emir tersenyum. Senyuman Emir yang manis berkilo-kilo gula itu aku sambut dengan senyuman mesra. Alahai Emir. Senyuman kau lain macamlah. Menenangkan hatiku yang memandangmu. Wah!
        “Kena warm-up dulu tak?” tanyaku kepadanya. Emir angguk kepala.
        “Okey. Suri ikut Emir. Kira sampai lapan.” Emir memulakan warm up dari bahagian kaki. Aku hanya mengikut patuh. Orang kata kalau tak warm up betul-betul, boleh crame kita nanti. Tapi aku memang suka ‘ngelat’ kalau bab-bab warm up ni. Manalah aku suka buat ikut kiraan sampai lapan. Hek! Lambat…
Selesai memanaskan badan, Emir mempelawa aku jogging. Cukup sopan butir bicara lelaki itu. Lemah lembut aje dia bercakap. Sampaikan aku sendiri rasa tergoda pulak dengan dia. Erk… bukankah aku yang patut goda dia? Parah-parah…

**********

Setengah jam kemudian….
Terhencut-hencut kakiku melangkah. Emir di sebelah hanya mampu menemaniku berjalan tanpa berani nak pimpin aku. Bagus betul Emir ni. Tak suka sentuh-sentuh.
Inilah akibatnya apabila aku tak warm up betul-betul. Tanpa aku sangka-sangka, sedang aku syok berjogging dan berborak dengan Emir, tiba-tiba saja kaki aku jadi kejang. Sakit woo! Sakit sangat-sangat. Menitis air mataku di hadapan Emir.
       “Emir, sakit! Emir….” Aku tak mampu buat apa-apa lagi. Terduduk aku di atas  tanah. Emir yang terlebih beberapa ela di hadapanku kembali berpaling mendapatkanku. Cemas wajahnya memandangku.
       “Suri okey ke ni?” tanyanya dengan wajah bimbang.
       “Tak okey! Sakit ni! Tolonglah buat sesuatu.” Aku mula merengek. Yang lebih memalukan aku menangis di hadapannya kerana kakiku terlalu sakit menahan kekejangan. Kuat cengkamanku memegang bahunya.
        “Suri tahan sikit ya. Emir nak tekan kaki Suri ni.” Tanpa sempat aku bersedia, Emir terlebih dahulu melunjurkan kakiku lalu dia menekan kedua-dua tapak kakiku. Alah yang macam selalu pemain bola sepak buat kat atas padang tu. Hah, macam tulah Emir buat pada aku.
        “Ouchh! Sakitlah Emir!” Tanpa sedar aku tinggikan suara memarahinya. Yang bengangnya, dia hanya buat bodoh. Semakin kuat dia menekan kakiku. Dan akhirnya, tiba-tiba saja hilang sikit rasa kejang tadi. Fuhh! Lega den
       “Jom kita ke kereta. Suri boleh jalan tak?” soal Emir kepadaku. Aku pantas menggeleng. Kaki sakit macam ni mana boleh jalan.
       “Erm… tapi Emir tak boleh dukung Suri. Apa kata Suri cuba jalan perlahan-lahan. Cuba berdiri.” Melopong mulutku mendengar kata-kata Emir. Jadi Emir ada niat nak dukung aku? Excuse me!
Dengan susah payah aku cuba berdiri. Mujurlah rasa kejangku dah mula berkurang. Kalau tak memang dah sah-sah Emir kena kendung aku.
       “Suri boleh drive tak ni?” Lamunanku terganggu dek kerana pertanyaan dari Emir itu. Aku kembali ke alam nyata. Wajah Emir segera kutatap. Buat muka kesian sikit. Dalam kepala otak aku sekarang, dah terancang satu plan yang ‘baikk punyerr’.
       “Tak boleh kut. Suri rasa kaki Suri ni tak kuat lagi. Erm, boleh Emir tolong hantarkan Suri? Emir boleh drive kan?” Manja sekali suara aku ketika itu. Aku benar-benar berharap dia sudi menghantarku pulang. Dalam kereta nanti, bolehlah aku bertanya soalan yang pelbagai kepadanya. Tadi, ketika berjogging, Emir seakan-akan sengaja melarikan diri dari aku. Cis! Dia lebih dulu berlari di hadapan. Aku jugak yang terkontang kanting di belakang. Tapi bila dah berada dalam kereta, dia takkan mampu lari lagi. Aku nak korek rahsia dari dia. Ini Yanalah. Lelaki tak pernah lari dari aku tau!
Tanpa Emir memberi persetujuan, aku segera menghulurkannya kunci kereta. Dengan menghadiahkan sebuah kenyitan mata yang menggoda, aku berjaya buat dia setuju untuk menghantarku pulang. Hip hip hooreyyy!



No comments:

Post a Comment