Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 5



Jam Gucci merah jambu yang tersarung kemas di pergelangan tangan kiri kutilik lama. Adakah jam aku yang salah atau memang dah hampir dua puluh minit aku tercongok tunggu mamat nerd tu kat tempat parkir ni? Ah! Bencinya. Aku memang pantang bab-bab menunggu orang. Apa dia ingat aku ni penunggu ke?
       “Memang nak kena mamat ni. Dia datang nanti siap dia. Ugh!” Aku pandang lagi jarum jam. Dah masuk jam lima dua puluh dua minit petang. Tadi bukan main lagi Emir berjanji dengan aku untuk bertemu di tempat parkir ini jam lima petang. Katanya kelas dia habis pukul lima. Entah-entah dia tipu aku. Main-mainkan aku ke?
Sedang mulut aku sibuk membebel, tiba-tiba bebola mataku terpandang kelibat Emir yang sedang melangkah ke arahku. Serentak itu idea nakal muncul di benakku. Apa salahnya aku kenakan mamat nerd ni. Ini sebagai denda dia sebab datang lambat. Hek!
       “Suri! Suri okey?” Tak sempat aku rebah ke jalan, Emir meluru mendapatkan aku. Bagaikan terkena electric shock, jantung aku berdegup begitu laju apabila tangannya kemas memegang tanganku. Dari air mukanya, jelas menunjukkan dia sedang cemas dan panik melihat aku yang hampir pengsan tadi.
       “Emir, kepala Suri peninglah.” Sengaja aku bersuara berat. Nak tengok juga kalau-kalau Emir prihatin atau tidak dengan keadaan aku sekarang.
Tanpa berlengah, Emir membawa aku duduk ke kerusi yang berada tidak jauh dari tempat kami berdiri.
       “Kenapa Suri asyik pening kepala aje ni. Suri sakit ke? Kita pergi klinik ya,” ujar Emir seraya menghulurkan air mineral yang diambilnya dari dalam beg galasnya. Aku menyambut huluran Emir sambil geleng kepala. Sambil itu, kupicit kepalaku perlahan-lahan.
       “Alah Suri tak apa-apalah Emir. Suri cuma pening sikit aje. Pening sebab tunggu orang tu lama sangat. Janji pukul lima tapi… hmm…” Emir pandang aku dengan pandangan bingung. Berkerut-kerut dahinya menatap muka aku yang cun ni.
       “Suri kenakan Emir ke? Suri tak pening, kan? Hmm?” tanya Emir.
       “Pening tak pening. Yang penting, Emir dah mungkir janji. Kenapa datang lambat? Lama Suri tunggu tau. Ingatkan orang tu dah tipu kita.” Aku berkata dengan nada rajuk. Entah kenapalah dengan hati aku ni. Gatal sangat nak merajuk dengan Emir. Mungkin nak Emir pujuk kut.
Emir masih menggaru kepalanya. Pasti dia sedang mencari alasan atas kelewatannya. Itulah lelaki. Kalau salah, sah-sah garu kepala. Nampak sangat salah!
Lama aku tunggu Emir pujuk aku dan menjelaskan hal yang sebenar. Namun, dia hanya diam tanpa kata. Sentap dengan keadaan itu, aku pantas mengangkat punggung. Tanpa menunggu dia, langkah kuatur laju menuju ke kereta. Dalam hati, aku kecewa. Kecewa kerana Emir langsung tidak memujuk.
       “Suri…” Panggilan Emir aku buat bodoh. Tak kuasa aku nak layan! Tapi apabila Emir berdiri di hadapanku, tidak pula aku melarikan diri darinya. Ah! Kenapa dengan aku ni?
       “Suri, Emir minta maaf. Emir bukan sengaja datang lambat. Emir… Emir…” Aku sengaja memasamkan muka. Walaupun hati mahu tergelak melihat mimik muka Emir yang serba salah itu, aku tahan juga. Aku nak tengok sejauh mana lelaki nerd pandai memujuk. Yalah, barulah dapat ukur sejauh mana keromantikan seorang lelaki yang berstatus nerd!
Sambil menundukkan kepalanya, Emir berterus terang. Dan aku pula tertawa kecil  mendengar penjelasan dari Emir itu. Tak sangka di sebabkan oleh hal itu dia boleh datang lambat.
       “Tadi Emir sakit perut. Memulas-mulas perut Emir. Emir dah keluar dari kelas pukul lima. Tapi sebab sakit perut sangat Emir pergilah tandas dulu. Kalau Suri marah dengan Emir, Emir minta maaf. Lain kali Emir tak buat lagi. Kalau Emir sakit perut, Emir tahan aje. Emir janji…” Emir angkat tangan aku janji. Tak sampai hati pula untuk aku marahkan dia. Untuk apa aku marahkan dia lebih-lebih. Dah dia sakit perut. Takkan nak tahan pulak.
       “Kalau betul Emir sakit perut takpelah. Suri tak marah. Cuma lain kali jangan buat Suri menunggu. Suri ni bukan penunggu okey! Dahlah, jatuhkan tangan ni. Suri dah maafkan Emir.” Saat itu barulah dia berani memandang mukaku.
Aku tersenyum ke arahnya. Dia juga senyum. “Betul Suri tak marah?” Emir tanya agak takut-takut. Aku angguk kepala penuh yakin.
       “Suri tak suka marah-marah. Suri ni baik, kan? Haha…” Aku ajak Emir masuk ke dalam kereta. Takkan nak berborak kat sini sampai malam. Kalau macam tu, rosaklah plan aku nak mentransformasikan Ku Emir Affan! No,no,no! Aku harus jalankan rancangan aku hari ini juga. Kalau tak, mungkin dah tak berpeluang lagi lepas ni. Aku juga yang melepas…
       “Kita nak pergi mana ni, Suri?” tanya Emir sebaik saja enjin kereta kuhidupkan. Tali pinggang keselamatan kusarung ke tubuh. Emir juga ikut memakai tali pinggang keselamatannya. Dia masih menunggu jawapan dari aku.
       “Temankan Suri shoppinglah. Ke Emir dah lupa.” Stereng kereta kubelok ke kanan, keluar dari perkarangan kolej.
       Shopping kat mana?” tanya Emir lagi. Haisy! Banyak tanya pula mamat ni hari ni.
       Shopping kat tempat favourite Surilah. Kat sana nanti, kita shopping dulu. Lepas tu kita pergi salon. Lepas tu, kita pergi makan. Lepas tu, baru kita balik. Faham?” Satu persatu plan yang aku rancang aku jelaskan pada Emir. Kalau dia tak faham, aku tak tahulah nak cakap apa lagi.
Kali ini Emir tak bertanya lagi. Dia hanya angguk kepala sambil pandangannya terlontar ke luar memandang pemandangan ibu kota yang ditumbuhi oleh pokok-pokok hutan konkrit. Sepanjang perjalanan, kami hanya mendiamkan diri. Yalah, aku ni manalah boleh bercakap banyak time memandu. Kalau aku cakap banyak, sah-sah fokus aku terganggu. Pernah dulu, aku bercakap dan bergelak tawa dengan geng-geng SUSOSUku dalam kereta. Akibatnya, fokus aku hilang dan aku hampir melanggar orang yang sedang melintas jalan. Nasib baik tak jadi langgar. Kalau tak, dah lama muka cun aku masuk surat khabar muka depan. Hehe…

************

Pusat membeli-belah Alamanda menjadi pilihan. Sejak dari kecil, aku suka melepak kat sini. Papa dan mama memang suka bawa aku ke tempat ni. Bila dah remaja, aku datang sini seorang diri. Saat itulah aku bertemu dengan Suzi. Perkenalan kami terjalin sejak dari dulu lagi.
       “Halo tauke! Duduk termenung aje nampak. Macam mana mau untung ma.” Suzi yang duduk melangut depan komputer pantas mendongak muka. Dia tersenyum mencebik ke arahku. Pasti dia meluat dengan lawak jenaka yang tak berapa nak lawak yang aku hadiahkan pada dia tadi.
       Ayo madam. Ini kedai sudah mau tutup ma. Gua ada keleja mau buat ma.Lu olang boleh pegi lain kedai. Pegi-pegi. Jangan datang lagi.” Tergelak besar aku mendengar lawak seposen Suzi. Suzi kalau dah speaking Cina memang kelakar habis. Berair mataku gelakkan Suzi. Tanpa dipelawa, aku melabuhkan duduk di hadapannya.
       “Kau ni memang takde kerja kan. Asyik dengan twitter kau ni. Macamlah seronok sangat. Pergilah cari pelanggan ke apa ke.” Sengaja aku membebel di cuping telinga Suzi. Sudah agak lama kami tidak berjumpa. Erm, hampir seminggu. Haha… Seminggu pun dah lamalah tu. Kalau dulu, hari-hari aku jumpa Suzi. Lepak kat salon dia ni.Walaupun Suzi lebih tua tiga tahun dari aku, tapi perangai gila-gila kami tetap sama. Bila aku masuk kolej, aku berkenalan pula dengan minah mata keranjang, Sofiya. Bila aku, Suzi dan Sofiya bergabung memang meletup habis! Seronok aku dapat berkawan dengan mereka.
       “Kau jangan sibuklah minah. Ini kerja part time aku. Kau apa tahu?” Mata Suzi bergerak menatap jasad Emir yang masih berdiri di sebelah aku. Turun naik matanya memerhatikan Emir yang sedang tertunduk malu.
       “Ehem-ehem. Mamat mana pulak ni? Bf baru kau ke?” Bisikan Suzi menyapa ke telingaku.
Agak terkedu aku dengan telahan Suzi. Macam tahu-tahu aje. Hek! Nampak sangat Suzi terlalu memahami diri aku. Senanglah kalau macam ni. Tak payah aku nak corner-corner lagi.
       “Kenalkan ini Emir. Emir, ni Suzi. Kawan baik Suri. Bff Suri selain Sofiya.” Emir hanya tersenyum memandang Suzi. Senyumannya yang seketika mampu buat Suzi terdiam membisu.
Melihat mulut Suzi yang melopong luas, aku sengaja menyiku lengannya. Amboi,amboi, amboi! Pantang nampak lelaki dahi empat segi wajib terus tengok lama. Hisy!
Tanpa kata Suzi menarik aku mengikutnya. Dibawanya aku jauh dari Emir. Sambil tak lepas memandang Emir, Suzi membisikan sesuatu yang telah diucapkan oleh Sofiya semalam saat pertama kali tengok muka Emir yang sebenarnya.
       “Lelaki mana pulak kau bawa ni, Yana. Comelnya. Bukan-bukan. Handsome kut. Kau jumpa kat mana mamat ni? Kenalkanlah aku dengan dia, beb.” Tersengih-sengih Suzi memandang Emir. Emir pula dengan naifnya membalas sengihan Suzi dengan senyuman mahalnya. Ah! Jealous aku tengok. Erk…
       “Fiya tak cerita apa-apa ke kat kau? Hmm? Mustahil dia tak roger-roger kau.” Melihat Suzi masih bermain mata dengan Emir, aku sengaja berdiri di hadapan Suzi. Sengaja aku menghalang pandangannya dari terus bermain mata dengan bakal teman lelaki aku tu. Tengoklah sendiri. Bukan aku dengan Sofiya aje yang perasan tentang kekacakan dan kecomelan Emir si nerd, tapi Suzi juga perasan perkara yang sama. Itu sudah terang-terang menunjukkan bahawa Emir memang seorang lelaki yang kacak. Walaupun dia berselindung di sebalik rambut Abu Bakar Elahnya dan kaca mata tahap kanta pembesarnya itu, kekacakan seorang lelaki sejati masih lagi terserlah!
       “Maksud kau mamat ni mamat nerd yang Fiya…” Aku pantas angguk kepala. Aku cukup yakin bahawa Sofiya telah berjaya menceritakan apa yang terjadi antara kami kepada Suzi dengan jayanya. Jadi tak perlulah lagi aku kepoh-kepoh cerita pada Suzi.
Suzi geleng kepala berulang kali. Tak faham pula aku dengan maksud gelengan kepala dia tu.
       “Parah macam ni. Kalau mamat nerd boleh sehandsome ni, aku pun naklah weh! Kau hati-hati, Yana. Jangan sampai kau syok betul-betul kat dia.” Pap! Pantas tangan aku melekap pada mulut Suzi. Tajam mataku jegilkan padanya. Gila ke apa cakap pasal plan besar aku tu kat depan Emir. Rosak strategi aku nanti Suzi oi!
       “Hisy, lepaslah… Kau ni dah kenapa, Yana? Main tutup-tutup mulut orang pulak. Habis gincu aku.” Suzi menangkis tangan aku dari terus menekup mulutnya. Sibuk dia melihat ke cermin kalau-kalau gincunya dah comot.
       “Kaulah. Mulut takde insurans ke? Emir ada kat depan tulah. Agak-agaklah. Rosak plan aku nanti.” Aku bercakap sambil tersenyum manis ke arah Emir. Emir yang berdiri di hujung kaunter tersenyum-senyum ke arahku. Nasib baik jauh. Kalau tak, pasti Emir dengar apa yang Suzi cakapkan tadi.
       “Tapi Yana. Aku takut permainan ni memakan diri kau. Macam klise aje kisah kau ni. Mula-mula kau main-main cintakan dia. Lepas tu kau betul-betul jatuh cinta dengan dia. Lepas tu apa? Kau kahwin dengan dia then dapat anak. Klise kut.” Suzi menonong meninggalkan aku di situ. Dia bergerak mendapatkan Emir yang masih setia menunggu di kaunter.
Kata-kata Suzi buat aku terdiam dan berfikir panjang. Sofiya pun cakap perkara yang sama. Macamlah aku tak pernah mainkan perasaan lelaki. Macamlah mereka tak tahu  perangai aku. Suriyana tak mudah jatuh cinta dengan dia. Kalau suka, memanglah pernah. Tapi sejak aku tertipu dengan Haikal, cinta sudah hilang kemanisannya dalam hati aku. Bagi aku cinta yang abadi hanya pada lelaki yang halal untuk aku. Iaitu suami aku. Jadi, tak sepatutnya timbul persoalan ini bila aku nak jadikan Emir sebagai teman lelaki aku yang baru. Entah kenapa Sofiya dan Suzi asyik mengkata aku akan jatuh cinta dengan Emir. Apa entah keistimewaan Emir tu. Setakat kacak takkan menjamin kebahagiaan sesebuah hubungan.
 Baru jumpa dah cakap aku akan jatuh cinta dengan Emir. Aku cintakan Jimmylah. Jimmy! Aku akan goda Jimmy untuk jadi steady boyfriend aku. Kalau ada jodoh dengan dia, kami akan kahwin. Pada saat itu, Emir dah tak boleh halang kami lagi. Bukan. Emir bukan siapa-siapa untuk menghalang hubungan aku dengan Jimmy. Dia bukan siapa-siapa. Jadi takkan timbul isu aku akan jatuh cinta dengan dia. Jimmy matlamat aku. Jimmy!

**********

Beberapa jam kemudian…
Setelah dipujuk dan dirayu, akhirnya Emir setuju untuk mentransformasikan dirinya. Penat aku pujuk dia tau. Susah juga nak meyakinkan lelaki nerd ni. Tapi berkat kata-kata semangat dari aku dan Suzi, terbuka hati Emir untuk memake-over dirinya. Sekarang, aku sedang menunggu dia untuk melihat hasil make-over yang dilakukan oleh Suzi. Panjang berjela tazkirah yang aku bagi pada dia tadi.
       “Emir, inilah peluang untuk buktikan pada semua yang Emir mampu berubah. Emir ada rupa tau. Kacak, comel. Kenapa nak sia-siakan semua tu.” Bukan main lagi aku memujuk. Macam tengah pujuk budak darjah satu. Hek!
Berkelip-kelip mata Emir memandang aku dan Suzi. Dia geleng kepala.
       “Emir selesa jadi diri Emir sendiri. Kalau Suri malu nak kawan dengan Emir sebab Emir tak ada gaya, Emir… Emir takkan munculkan diri depan Suri lagi.” Emir bangun dari kerusi. Serentak itu aku tarik tangannya memaksa dia duduk kembali. Ah! Tak habis-habis emo mamat ni. Hisy!
       “Bukan tu maksud Suri.” Aku jeling Suzi di sebelah. Dapat aku cam kebingungan yang melanda diri perempuan itu. Mungkin dia pelik kenapa aku bahasakan diri aku Suri.
       “Suri?” Bisikan Suzi menyapa ke cuping telingaku. Pantas aku menyiku perutnya. Hisy! Sibuk aje.
       “Emir, dengar sini. Suri ikhlas nak kawan dengan Emir. Kan Suri dah cakap Suri tak kisah kawan dengan siapa-siapa saja. Yang penting kawan Suri tu baik hati dan mampu jaga persahabatan kami dengan baik. Emir kawan Suri. Suri cuma nak tengok ada perubahan dalam diri Emir. Bukan bermakna Suri tak suka apa yang ada pada diri Emir. Ya, memang kita baru kenal. Dan Suri sedar Suri tak layak nak paksa-paksa Emir macam ni. Tapi… pernah tak Emir fikir kalau Emir berubah penampilan pasti Emir akan lebih yakin dan pasti lebih ramai yang suka berkawan dengan Emir. Dan tak mustahil, Emir akan jumpa dengan wanita yang Emir suka. Kan?”
Fuhh! Penat betul aku pujuk dia. Kalau hati dia tak tergerak nak berubah aku tak tahu lagi nak cakap apa dah. Angkat bendera putihlah jawabnya.
Emir masih blur. Kepalanya tertunduk mungkin sedang berfikir. Aku kerling Suzi dan meminta dia agar turut sama memujuk Emir. Pujuklah dia! Bibirku bergerak-gerak tanpa mengeluarkan suara. Faham dengan maksud aku, segera Suzi menjalankan tugasnya.
       “Emir, rugi tau kalau Emir sia-siakan muka kacak Emir ni. Pasti ada sebab kenapa Allah bagi Emir wajah kacak. Jadi, kenapa Emir nak sia-siakan anugerah dari Allah ni. Emir cuba dulu gaya baru ni. Kalau Emir tak selesa Emir boleh kembali ke gaya asal. Belum cuba belum tahu kan?” Kata-kata Suzi aku sambut dengan anggukan.
       “Betul tu Emir. Kalau Emir tak selesa dengan gaya baru, Emir boleh jadi diri Emir yang dulu. Ini bukan soal gaya atau penampilan. Tapi keyakinan Emir yang lebih penting. Bila kita yakin, orangpun akan yakin pada kita. Suri yakin Emir mampu berubah menjadi Emir yang baru. Emir yang lebih yakin dan lebih stylo.” Bahu Emir kutepuk-tepuk. Keyakinan kuberi padanya.
Emir mendongakkan muka memandang aku. Kami saling berbalas pandangan. Dia tersenyum nipis. Adakah itu satu petanda yang baik? Hati aku mula berdebar.
       “Siapa pun Emir Suri akan tetap kawan dengan Emir, kan? Walaupun Emir lelaki nerd yang tak pandai nak bergaya, Suri tetap suka kawan dengan Emir, kan?” Pertanyaan Emir buat aku membisu. Lama aku berjeda. Kenapa dia suka sangat tanya soalan macam tu kat aku. Adakah dia tahu yang aku hanya berpura-pura suka berkawan dengannya? Tak mungkin. Kalau macam ni, aku harus lebih memantapkan lakonan!
       “Suri janji. Siapa pun Emir, Emir tetap akan jadi kawan Suri. Perubahan ni bukan untuk Suri tapi untuk Emir. Kalau Emir tak nak buat, Suri tak kisah. Lakukan semua ni sebab Emir. Bukan sebab Suri suruh.” Aku bangun. Tak sangka susah betul nak yakinkan Emir ni. Hisy! Merajuklah kalau macam ni.
       “Suzi, aku minta diri dulu. Emir jom kita balik.” Kucapai beg tangan di atas meja. Sengaja aku menseriuskan muka. Walhal dalam hati sedang meronta-ronta menunggu Emir menghalang aku dari pergi. Minta-mintalah Emir terbuka hati nak make-over hari ni. Kalau tak…
       “Suri, Emir dah sedia,” ujar Emir sebelum sempat aku melangkah. Aku palingkan muka memandang ke arahnya. Dia menganggukkan kepala penuh yakin. Senyuman manisnya terlakar indah.
       “Suri…” Lamunan panjangku terganggu dek panggilan seram itu. Bukan aku tak sedar suara siapa yang memanggil aku dengan panggilan special itu.
       “Kau jangan nak main-mainlah Suzi. Aku gigitkan baru tahu. Hisy!” Amarahku buat Suzi tergelak.
       “Kau ni aku nak bergurau pun tak boleh. Aku happy sangat sekarang. Sebab aku rasa aku dah temui bidadara yang paling kacak in the universe. Beruntungnya kalau aku dapat dia.” Aku tak faham maksud Suzi yang entah apa-apa merapu tu. Tak sempat aku bertanya lanjut, tirai langsir bilik persalinan diselak perlahan oleh Suzi. Mataku terarah memandang ke arah bilik persalinan itu.
Suasana jadi hening buat seketika. Bagaikan saat itu hanya ada aku dan dia sahaja. Mata aku dan mata Emir saling berlaga. Senyuman menawannya buat aku tertawan. Dan jantung aku. Jantung aku berdegup kencang saat itu. Adakah benar Emir si nerd yang berdiri di hadapan aku sekarang? Atau bak kata Suzi, jelmaan bidadara yang paling  kacak in the universe yang sedang memandang tajam ke arahku?
       “Kenapa Suri tengok Emir macam tu?” Suara garau Emir mengejutkan aku dari khayalan. Pantas aku melarikan pandangan entah kenapa. Aku jadi malu pula untuk membalas renungan matanya.
       “Ehem-ehem! Takkan dah jatuh hati kut,” ucap Suzi sambil melintas di hadapanku. Dia bergerak meninggalkan aku dengan Emir di ruang itu.
Mangkuk hayun punya Suzi! Sengajalah tu cakap macam tu. Tapi… kalau aku betul-betul jatuh hati dengan Emir yang baru ini bagaimana? Emir yang aku kenali beberapa hari yang lalu bagaikan sudah hilang. Kini, berdiri di depanku seorang lelaki yang tidak aku kenali siapakah gerangannya. Kacak dan penuh karisma. Baju kemeja warna ungu lembut yang tersarung kemas pada tubuh Emir kelihatan sedang elok dipakainya. Seluar slack hitam dipadankan dengan tali pinggang warna putih memang menaikkan lagi nilai maskulin Emir. Rambut. Rambut paling aku suka tengok. Tiada lagi rambut Abu Bakar Elah. Gaya potongan rambut maskulin benar-benar sesuai dengan Emir. Cair hati aku melihat keindahan Tuhan ini. Subhanallah! Kacak gila kut!
       “Emir suka dengan gaya baru Emir ni. Emir… Emir lebih yakin sekarang, Suri. Terima kasih. Terima kasih sebab percayakan Emir. Percaya Emir mampu untuk berubah. Terima kasih, Suri…” Kata-kata Emir buat hati aku jadi terharu. Betapa besarnya penghargaan Emir terhadapku. Apalah sangat yang aku dah buat. Transformasi ini tidak lain tidak bukan hanyalah sebahagian dari rancanganku. Untuk berdamping dengan aku, seseorang lelaki itu harus kacak dan bergaya. Sebab itulah aku merayu pada Emir untuk dia melakukan transformasi ini. Dan sekarang dia boleh ucap terima kasih pada aku? Hmm… Tiba-tiba rasa bersalah hadir dalam hati.




No comments:

Post a Comment