Wednesday, 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 13

TINGGAL seminggu sahaja lagi latihan
praktikal akan berakhir. Ini bermakna hanya seminggu
sahajalah lagi waktu untuk Acam dan rakan-rakan baru
yang dikenalinya semenjak menjalankan latihan industri di
syarikat itu dapat bersama. Masing-masing yang rapat
dengannya sudah mula sibuk membelanja Acam makan
tengah hari. Qaid pula jangan dikiralah. Pagi belanja minum,
tengah hari pun sibuk juga. Asyik dia saja yang hendak
belanja sampaikan penat telinga Acam mendengar usikan
daripada Kak Haniza dan Juliana.
“Tahulah kau suka kat Acam ni Qaid oii, tapi bagilah
kita orang peluang belanja dia makan pula. Asyik kau aje nak
sapu seorang tiap-tiap hari,” sinis suara Kak Haniza ketika
mereka berdiri menanti pintu lif terbuka.
“Alah kak, si Acam ni nanti lepas ni sure dah tak
nak keluar makan dengan aku lagi. Jadi, masa nilah aku nak
belanja dia pun,” balas Qaid mendatar. Ada nada sayu terselit
di balik suara itu.
“Siapa kata aku tak nak keluar dengan kau lepas ni?
Eleh, entah-entah kau tu yang tak nampak dah aku nanti.
Maklumlah, aku kan budak sekolah, selekeh lagi. Kat
keliling kau ramailah awek-awek yang cun, masa tu tak
pandang dah aku,” giat Acam cuba menceriakan keadaan.
Dalam hatinya, tercuit dengan kata-kata Qaid.
Mungkin ada benar kata-kata lelaki itu. Dia sendiri pun tidak
dapat meramal hari esok.
“Dahlah, asyik membebel kat sini nanti lunch hour
pun habis. Kak Niza, Ju kalau nak join, jom. Aku belanja.
Cik Acam kita ni nak makan piza hari ni,” ajak Qaid.
Laju sahaja kaki masing-masing melangkah apabila pintu lif
terbuka.
“Alhamdulillah. Kecil tapak tangan, satu restoran
Pizza Hut tu kami tadahkan. Geruh jangan dicari, rezeki
jangan ditolak.” Pantas Kak Haniza menjawab. Peluang
babe, peluang.
“Isy...dia yang nak belanja orang, nama orang pula
yang dia jual,” gerutu Acam. Juliana yang berada di sebelah
Acam tertawa halus.
“Alah, nak cover linelah mamat tu,” bisiknya.
Tersungging senyuman di kedua-dua bibir mereka.
“Hah, mengata akulah tu. Bukan aku tak tahu
kalau dah berdiri rapat-rapat dua orang ni,” perli Qaid
sambil menjeling wajah tersengih Acam. Tidak berdosa saja
wajah minah ini. Geram betul.
Seronok melayan rakan-rakan yang akan
ditinggalkan dalam beberapa hari sahaja lagi. Riuh suara
mereka menghiasi restoran Pizza Hut yang agak lengang
tengah hari itu. Masing-masing sibuk berkata-kata dengan
mulut yang penuh. Apa tidaknya, bermacam-macam
hidangan yang dipesan oleh Qaid. Terlebih baik hati hari
ini. Sudahlah semalam belanja mi jawa mangkuk XXL, hari
ini piza pula. Esok pun sudah ada dalam schedule katanya.
Nampaknya, minggu ini memang Acam menternak badan
sahajalah kerjanya. Mahu ditolak, rugi. Makan percuma!
Sedang enak mereka melayan makanan yang
dihidangkan, tiba-tiba kunyahan Acam terhenti. Matanya
terpaku pada sekujur tubuh yang sedang melangkah
menghampiri mereka.
“Hai,” siapa suara itu.
“Helo,” jawab Acam gugup.
Serentak dengan itu, tiga lagi wajah yang sedang
asyik melayan kunyahan mendongak melihat ke arah orang
yang ditegur. Lama mereka menanti ayat-ayat yang akan
dituturkan seterusnya. Namun kedua-duanya masih terdiam
dan saling berpandangan. Mungkin terkejut terserempak di
situ.
“Isy, seorang hai, seorang helo. Tak nak introduce
kat kita orang ke Cik Acam oii?” sergah Kak Haniza.
Memang mulut laser sungguh Kak Haniza ini. Terkulatkulat
Acam dengan sengihannya.
“Err...err...”
“Saya Irfan Fadzil, panggil Dzil aje, kak. Kawan satu
kampus Acam ni,” ujar Dzil memperkenalkan diri. Kasihan
pula melihat Acam yang terkulat-kulat tu. Hish, kata ganas
tapi boleh pula hari ni kantoi. Agaknya malu depan pakwe
kut.
“Oh, kawan satu kampus ke. Eh, bukan pakwe kau
ke Acam. Handsome juga adik ni, kalau bukan pakwe Acam
ada chancelah akak tackle,” usik Kak Haniza.
“Ehem... amboi Kak Niza, suami kat rumah tu nak
letak mana. Ada hati nak ulam muda nampak,” perli Juliana.
Terkekeh-kekeh tawa terlerai di antara mereka.
“Err, boleh saya nak cakap dengan awak sekejap
tak?”
Mata Dzil memandang terus ke arah Acam yang
masih membisu. Acam menganggukkan kepala lalu bangkit
menuruti langkah Dzil keluar. Qaid hanya menyoroti
langkah mereka berdua dengan hati yang cuak. Siapakah
gerangan lelaki itu? Tidak pernah pula Acam bercerita. Tapi
gadis tu memang susah hendak membuka mulut. Dilihat
kedua-duanya masih berbicara. Tidak terlalu mesra, tidak
pula terlalu kekok. Mengenali Acam, memang macam tu
pun cara dia bergaul dengan lelaki. Mana pernah mesra
melampau. Jadi memang susah hendak diduga hati perawan
bernama Acam tu.
“Hmm... Qaid, kau tak apa-apa ke?” tegur Kak Haniza
yang terperasan dengan kebisuan Qaid yang tiba-tiba.
Tersentak, lalu Qaid menggelengkan kepala. Senyuman
dilemparkan namun jelas wajah itu agak terluka.
“Handsome juga budak Dzil tu. Bukan apa, kalau
kau betul-betul berkenan kat budak Acam tu, kena double
triple action kau tu. Tak bolehlah nak main tarik-tarik tali.
Kena speed litar F1 dah ni,” nasihat Kak Haniza seakan-akan
memahami gelodak rasa Qaid. Pada pandangan matanya
memang serasi sangat si Qaid dan Acam tu. Kepala pun
lebih kurang saja tidak berapa betul. Orang kata kalau selalu
bertengkar-tengkar manja tu satu petanda baik.
“Entahlah kak, aku pun tak faham perempuan tu.
Bila aku serius dia main-main. Ada ke hari tu dia adjust aku
dengan budak-budak praktikal tu. Hish, masak aku layan fiil
dia.”
“Haha, budak Acam tu memanglah. Tapi aku suka
budak ni, esok-esok bila dia dah balik kampus, sunyilah
hidup aku. Tak ada dah orang nak bertekak dengan aku,”
sampuk Juliana yang sedari tadi hanya jadi pemerhati.
“Itulah, budak tu juga yang aku berkenan,” balas
Qaid.
Suasana menjadi hening seketika. Tiga pasang
mata itu tertancap pada kelibat Acam dan Dzil yang sedang
bercakap di luar restoran. Masing-masing sedang berbicara
dan entah apa yang dibicarakan. Mustahil mahu jadi
paparazzi kut. Nanti dikatakan busybody pula. Alah, lagipun
bukan selebriti pun nak dipaparazzikan.
Lain pula cerita di luar restoran, Acam seperti tidak
percaya yang dia akan berdiri di hadapan Dzil. Hatinya
dipalu rasa serba salah. Pertama, sudah tentu tidak tahu
apa yang hendak diperkatakan dengan mamat seorang ini.
Kedua, habislah pecah rahsia dia ada rakan lelaki. Ketiga,
risau jika Qaid berkecil hati dengannya. Hish, galau sungguh
hati gadisnya. Kenapalah saat-saat macam ni nak
terserempak dengan mamat ni.
“Awak nak apa?” soalnya. Berbagai persoalan
menerpa kotak fikirannya menjadikan dia buntu. Tidak tahu
soalan mana yang hendak diaturkan dahulu.
“Hmm... maaf malam tadi tak telefon awak. Awak
okey ke?” jawab Dzil.
Kerana keletihan dengan tugasan praktikalnya, Dzil
tertidur agak awal. Jika tidak sudah tentu dia akan
menelefon Acam. Suka mendengar bebelan gadis itu sebagai
bekalan tidurnya. Tidak dapat ucapan kata-kata romantis,
dapat dengar rajuk dan amarah Acam pun dah cukup bagus.
“Okey aje, bertambah-tambah okey bila orang tu
tak kacau saya malam-malam,” bidas Acam cuba
menyembunyikan rasa jantung yang sudah racing seribu
kilometer sejam tu.
“Buatlah muka macam tu, nanti sampai ke tua tak
ada orang masuk meminang,” usik Dzil. Cebikan bibir Acam
segera dihentikan. Isy... buruk sangat ke muka aku, bisik
Acam.
“Suka hati oranglah,” balas Acam. Mood asyik nak
bertekak sahaja bila bertemu muka dengan mamat ni. Eii..
tak boleh kalau tak sakitkan hati orang.
“Tapi tak apalah, saya lagi suka kalau muka awak
macam tu. Tak adalah orang nak bersaing dengan saya rebut
awak,” giat Dzil. Masih dalam mood menyakat gadis di
hadapannya. Wajah mencuka Acam makin bertambah kelat.
“Eii... ada apa awak nak cakap dengan saya ni. Orang
laparlah, cepatlah cakap.”
“Awak lapar ke? Jomlah saya belanja awak makan.
Err, bukan tadi awak dah makan dua tiga keping ke piza tu.
Kuat eh awak makan.”
Alamak! Mamat ni dah lama ke perhatikan aku
tengah makan tadi, siap boleh kira berapa keping piza dah
masuk mulut aku, getus Acam dalam hati. Malu juga hendak
bertentang mata dengan lelaki di hadapannya itu.
“Kalau tak ada apa nak cakap, saya nak masuk
dalam. Kasihan kawan-kawan saya dah lama tunggu.”
“Awak tahu tak, saya jealous tengok dia orang kat
dalam tu. Lebih-lebih lagi kat ketua awak tu. Kalau dengan
dia orang awak bukan main lagi baiknya, kalau dengan saya
ada aje mulut awak,” kata Dzil agak mendatar. Tiba-tiba
hatinya terasa bagai tersayat melihat sikap Acam yang acuh
tidak acuh dengannya.
Acam yang mendengarnya sedikit terkejut.
Betulkah Dzil yang berkata-kata begitu di hadapannya.
Selalunya lelaki itu tak pernah penat melayan kerenahnya.
Hatinya juga agak terusik dengan luahan Dzil. Sudah
mengalahkan lelaki itu.
“Saya tak bermaksud nak kecilkan hati awaklah. Eii,
relakslah.” Acam sudah mula menggelabah mencari alasan.
Melihatkan wajah Acam yang sudah agak nanar, Dzil kembali
tersenyum. Sengaja hendak menduga hati gadis idamannya
itu. Berani takut, bisiknya sendiri. Masih lagi tersenyum
meleret.
“Err, sebenarnya saya nak tanya awak dah jumpa ke
carbon typewriter yang awak cari tu? Kalau tak jumpa saya
boleh belikan untuk awak,” ujar Dzil. Matanya merenung
wajah Acam yang sedikit berubah apabila mendengar berita
itu.
“Ya ke? Awak ada jumpa? Dah puas saya cari tapi tak
adalah kat sini. Awak jumpa kat mana?”
“Hari tu saya minta tolong sepupu belikan kat
Melaka. Kalau nak, saya boleh suruh dia belikan nanti dia
hantar kat sini.”
“Eh, tak susahkan dia ke nak hantar kat sini?” soal
Acam. Rasa bersalah pula hendak menyusahkan orang lain.
“Taklah, memang dia selalu balik sini bila hari
minggu. Parents dia memang ada kat sini. Nanti dah dapat
saya jumpa awak, kita keluar ya,” janji Dzil. Kembang
hatinya apabila Acam sudi menerima bantuannya.
“Okey, tapi awak kena minta izin daripada ibu saya
dululah.”
“Tak ada hal. Dah selalu pun berborak dengan
future mother in-law saya tu. Awak aje yang sombong, ibu
awak sporting habis. Okey, malam nanti saya call awak,
sementara tu rindu-rindulah kat saya ya.” Seperti berbisik
Dzil berkata namun masih mampu menggetarkan hati
perempuan Acam.
Spontan Acam menjelirkan lidah kepada Dzil lalu
disambut dengan hilai tawa yang nyaring. Lucu. Macam
kanak-kanak Ribena apabila diejek rakan-rakan. Boleh
main jelir-jelir lidah pula. Acam oh Acam. Kadang-kadang
memang keras perut tahan gelak melihat tingkahnya.
Entah kenapa, setiap kali berdepan dengan Dzil,
hatinya mula tidak keruan. Meluat dengan sikap Dzil
yang suka mencari pasal, tapi bila tidak mendengar suara
lelaki itu hatinya menjadi rindu. Apabila dikenang terasa
kelucuannya pula. Waima satu ayat sahaja pun mampu
membuatkan Acam tersengih sendiri. Malah hampir setiap
hari ternanti-nantikan panggilan lelaki itu namun cuba
dilontar jauh perasaannya.
SETELAH mempamitkan diri, Acam kembali menyertai
rakan-rakannya. Dia tahu duduknya itu diiringi dengan
sorotan tiga pasang mata yang tertanya-tertanya. Bising
mulut Kak Haniza mencungkil cerita tetapi lain pula dengan
Qaid. Diam seribu bahasa. Acam mula dapat meneka
perubahan mood Qaid tetapi dia masih boleh berlagak biasa.
Bukan salahnya jika Qaid menyimpan rasa terhadap
dirinya. Sudah berkali-kali dinyatakan, dia tidak dapat
menerima hati Qaid. Tidak untuk masa ini, namun jodoh
bukan ketentuannya. Andai memang jodoh Acam bersama
Qaid, dia akan terima dengan hati yang terbuka.
Malam itu, seperti yang dijanjikan Dzil
menghubungi ibu Acam meminta kebenarannya untuk
keluar bertemu Acam. Wah, bukan main lama lagi berbual.
Acam yang melangut di tangga pula terasa seperti hendak
membentak. Apa tidaknya, melihat ibu yang asyik tertawa
berbual dengan mamat seorang itu. Macam manalah boleh
ibunya suka melayan mamat yang tidak cukup skru itu
berbual, siap boleh ketawa bagai.
Kalau dengan Acam, asyik mahu bertelagah sahaja.
Asal keluar sepatah sahaja dari mulut, mesti akan jadi
seperti anjing dan kucing. Bercekau tidak tentu masa. Isy,
kalau jodoh ni, parah!
Setelah sepuluh minit berlalu, gagang telefon
bertukar tangan. Muncung 14 inci Acam sudah pun
bertukar 20 inci. Tersenyum lebar ibunya melihat wajah
cemberut Acam. Heh, padan muka. Asyik nak bercekau aje
bila berbual, kena tunggu lama sikit mulalah muka macam
belacan, getus Puan Radziah. Bukan dia tidak dengar
perbualan antara Acam dan Dzil, kadang-kadang rajin juga
dia memasang telinga. Tidak salah mengintip perbualan
anak remaja, bukan hendak busybody tapi hendak
memastikan tidak terlencong arah. Memang patut pun ibu
bapa mengambil tahu tentang perbualan anak-anak.
Entahlah, Puan Radziah sendiri tidak faham
mengapa mudah benar hatinya terpaut sayang kepada
teman lelaki Acam tu. Selesa dan senang apabila berbual
dengannya tambahan pula sikap Dzil yang sangat
menghormati orang tua. Rasa seperti berbual dengan anak
sendiri. Itu belum lagi bertemu muka. Setiap kali mereka
berbual di telefon, setiap kali itu jugalah dia akan bercerita
tentang Dzil kepada suaminya. Daripada perbualan mereka,
dapat dia meneka perilaku lelaki itu. Baik budi pekertinya,
bersopan dan tidak rugi dibuat menantu. Itu tanggapan
kasar pada pandangan mata seorang ibu.
Namun apa yang menjadi kebimbangannya ialah
sikap Acam yang agak kasar. Entahlah, apa hendak jadi
dengan anak daranya yang seorang itu. Lain benar daripada
adik-beradiknya yang lain. Kalau bercakap main sedap
mulut sahaja, tapi bukan dengan semua oranglah. Bila
terdengar dia bercakap dengan Qaid atau teman-teman
yang lain, tidaklah pula sekasar dia dengan Dzil. Agaknya
ada konflik jiwa budak-budak ni. Tergelak ibu Acam dengan
pemikirannya sendiri.
Sayup-sayup terdengar suara Acam sekejap timbul
sekejap tenggelam. Yang timbul tu lebih keraplah,
sudah pasti. Ibu Acam hanya mampu menggelengkan
kepala melihat tingkah laku Acam. Dalam hati seorang
ibu, sentiasa mendoakan agar anaknya itu bertemu dengan
orang yang sentiasa akan memahami dirinya. Tidak pernah
ada di dunia, seorang ibu yang tidak mendoakan
kebahagiaan anak-anaknya.

No comments:

Post a Comment