Wednesday, 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 15

LATIHAN Praktikal telah selesaikan dijalankan.
Bermacam pengalaman telah dapat ditimbanya. Koleksi
rakan juga semakin bertambah. Cuma koleksi pakwe aje
yang tetap tiada. Kini Acam bergelut pula dengan tugasan
menyiapkan laporan yang perlu diserahkan kepada ketua
kursus masing-masing. Kalau setakat satu dua helai muka
surat, tiadalah merunsingkan sangat.
Namun apabila syarat yang tertera bersama
arahan laporan tersebut menghendaki setiap pelajar yang
telah tamat menjalani latihan praktikal menyiapkan satu
laporan bertaip dalam jumlah perkataan sebanyak 2000 ke
2500 yang bersamaan dengan 15 ke 16 muka surat, Acam
sudah naik pening.
Bukan tidak pernah menyiapkan assignment tapi
berat sungguh hendak memperincikan setiap latihan
yang diterima. Bukan juga tidak ada kerja khusus yang
dilakukan di syarikat itu, tetapi selalunya Qaidlah yang
menjadi penyelamat. Bila teringatkan Qaid, hati Acam
disapa rindu. Ewah, rindulah pula. Bukan rindu
serindu-rindunya macam lagu Acik Spoon tu, tapi rindu
mengenangkan sikap ambil berat Qaid terhadapnya. Kadangkadang
Acam merasa dirinya sangat bodoh kerana
menolak mentah-mentah hasrat hati Qaid. Apa salahnya jika
dia memberi peluang hatinya menimbang tara diri Qaid.
Namun, dia yakin dalam hatinya itu sudah terisi dengan
nama seseorang yang dia sendiri kurang pasti.
Beberapa hari lagi Acam akan kembali semula ke
PUO. Menjalani kembali kehidupan sebagai seorang pelajar.
Bertemu lagi dengan ungka-ungka yang mungkin dah
naik taraf jadi orang utan setelah satu semester dia tiada di
sana. Atau mungkin masing-masing sudah dapat hidayah,
bertukar menjadi manusia semula. Entahlah, yang pasti
Acam akan merindui mereka yang rapat dengannya semasa
latihan praktikal itu. Acam melepaskan satu keluhan yang
berat.
Satu per satu butang huruf di mesin taip lamanya
ditekan. Eh, mana ada lagi orang guna mesin taip sekarang
ini. Hendak tergelak pun ada dibuatnya mengenangkan
kata-kata Juliana ketika dia sibuk mencari karbon untuk
mesin taip kesayangannya itu.
Bukan sebarang mesin taip tahu, itu mesin
taip pemberian ayahnya ketika dia mendapat keputusan
yang cemerlang dalam PMR dahulu. Kalau hendak
menyediakan laporan, bolehlah menggunakan komputer
riba, tapi kalau hendak mengisi borang, kenalah gunakan
mesin taip. Lebih mudah dan lebih kemas.
Sesekali Acam mengeluh. Ketukan jari di
papan kekunci mesin taip juga sudah beberapa kali terhenti.
Kalau berterus-terusan begini, harus tidak siaplah segala
tugasannya yang perlu dihantar pada hari pendaftaran
semester akhir nanti. Namun apakan daya, hatinya terasa
sepi. Sunyi hidupnya kini. Adik-adik telah pun ke sekolah
semuanya. Ibu pula sibuk di luar, mungkin sedang
bermesyuarat tingkap dengan para ibu. Biasalah, mengisi
masa lapang sementara menanti lori tauke ikan sampai.
Tentu banyak gosip hangat yang dibawa pulang hari ini.
Semenjak menjadi penghuni tetap di rumah ini, itu
sahajalah kerjanya. Melayan ibu dengan gosip-gosip
terhangat di pasaran.
Telefon berdering-dering menjerit minta diangkat.
Malas-malas, Acam bangkit daripada kerusi dan berlari
turun ke ruang tamu. Hendak harapkan ibu yang
mengangkat telefon, memang tidak adalah. Kalau sudah
bermesyuarat di luar, tidak adanya hendak mendengar bunyi
deringan telefon itu. Silap haribulan, kalau dengar pun buat
tidak tahu sahaja.
“Helo...”
“Apa helo, helo... Assalamualaikumlah perempuan,”
sergah suara di hujung talian. Hampeh, ada pula nak sergahsergah
orang, gerutu Acam.
“Yalah, Assalamualaikum di sana. Saya di sini, nak
bercakap dengan siapa?” balas Acam menyindir.
“Nak cakap dengan kau la, rindu gila kau tak ada
Acam oii.” Qaid. Itu suara Qaid. Acam memang kenal sangat
suara mamat berhantu tu.
“Wei, kau mengulor ya call aku time macam ni,”
balas Acam.
Terdengar tawa Qaid yang sudah pasti memenuhi
ruang bilik pejabatnya itu. Qaid kalau ketawa, minta ampun.
Pecah gegendang telinga. Serta-merta perasaan sepi dan
sunyi Acam tadi hilang. Sebaliknya, hati Acam berbunga
riang. Rindu sungguh mendengar suara-suara yang akan
ditinggalkannya itu.
“Hahaha... mana ada aku mengulor. Ini dipanggil
sela masa. Kau buat apa tu Acam, buat taik mata eh?”
“Banyaklah kau punya taik mata. Aku tengah
bersilat nak siapkan laporan praktikal ni.”
“Alah, dua minit aje laporan tu. Jom lunch dengan
aku,” ajak Qaid selamba sahaja.
“Huih, aku banyak kerjalah. Kejap lagi nak tolong
ibu aku masak.”
“Waa, macam tak percaya aje aku kau nak masak.”
“Kan aku dah cakap, T-O-L-O-N-G... I-B-U...
A-K-U... M-A-S-A-K... Telinga kau dah berapa lama tak
masuk bengkel?” Sengaja dieja perkataan itu biar lebih jelas.
“Jomlah, keluar dengan aku kejap. Aku half day
hari ni, teman aku cari barang.” Qaid masih belum beralah
memujuk Acam menemaninya.
Rindu benar pada wajah gadis itu. Seminggu tidak
merenung wajah Acam, terasa tawar sahaja. Setiap kali
memandang ke arah meja yang pernah dihuni oleh Acam,
seakan-akan ternampak gadis itu. Tersenyum, tertawa dan
muncung 14 incinya. Adoi, dah angau ke Qaid oii... Seketika
kepalanya digeleng-gelengkan.
“Jomlah..” pujuk Qaid lagi.
“Okeylah, pukul berapa kau nak datang? Lunch kat
sini eh? Aku bagi tahu kat ibu kau lunch kat sini ya, lepas tu
kau mintalah izin dengan ibu aku,” balas Acam.
Selamba badak saja budak Acam ini mengajak Qaid
makan tengah hari di rumahnya. Nanar juga Qaid seketika.
Apa tidaknya, dia bukannya biasa sangat datang ke rumah
Acam, tiba-tiba diajak makan tengah hari bersama pula.
Setakat sekali dua menghantar Acam balik dan bersalam
dengan ibu Acam tu adalah. Tak pasal-pasal nak kena bersoal
jawab dengan ibu dan ayah Acam pula nanti. Hish, susahsusah
aku risik aje budak Acam ni, getus Qaid sambil
tersengih sendirian.
“Wei, kau dengar tak,” jerit Acam mematikan
lamunan Qaid. Sempat lagi hendak mengelamun.
“Okeylah, kau punya pasal. Tapi aku seganlah Acam.
Ayah kau ada ke?”
“Ayah aku memang selalu balik makan kat rumah.
Alah, kau nak segan apa? Bukan kau tak ada hidung, ke
mulut kau kat belakang?” seloroh Acam. Kasar saja
bunyinya tapi Qaid sudah biasa sangat dengan lawak Acam.
Sudah tidak berbekas di hati dengan mulut laser Acam tu.
“Hmm... yalah. Pukul 1.30 boleh aku sampai?”
“Alright, set. Aku nak pergi kat luar, tengok ibu aku
beli lauk kejap. Jumpa kau nanti,” balas Acam.
“Masak sedap-sedap ya,” oder Qaid.
“Amboi...” kata-kata Acam disahut dengan tawa
Qaid yang nyaring. Hendak pecah gegendang telinga kalau
dengar mamat ini ketawa.
Setelah salam bertukar sahut, talian dimatikan.
Cepat-cepat Acam melangkah mendapatkan Puan Radziah
yang masih lagi sibuk bermesyuarat. Hebat ajuganya topik
yang digosipkan hari ini hinggakan kehadiran Acam pun
tidak disedari oleh kaum-kaum ibu itu. Malah, Pak Rahmat
pemilik lori yang menjual ikan itu pun sama naik melangut
mendengar perbualan mereka.
Acam segera membelek ikan-ikan dan sayursayuran
lain yang dibawa oleh Pak Rahmat. Ligat otaknya
berfikir akan menu yang hendak dimasak hari itu.
Menyedari kehadiran Acam yang tertilik-tilik barangan di
dalam lori putih Pak Rahmat, ibunya mula membuat muka
tidak percaya. Maklumlah, anak dara seorang ini bukan suka
pun bab-bab ke dapur, apatah lagi membeli barangan dapur.
Memang jauh panggang dari api.
“Mimpi apa anak dara ibu ni, tiba-tiba berminat
dengan Pak Rahmat ni?” sergah Puan Radziah.
“Mana ada orang mimpi-mimpinya. Ni orang nak
tengok lauk apa nak beli, tadi Qaid ajak orang keluar petang
ni. Temankan dia cari barang, orang pulak ajaklah dia makan
kat rumah,” balas Acam panjang lebar.
Tersengih lebar Puan Radziah mendengar jawapan
dari mulut anak daranya itu. Wah, sudah ada kemajuan.
Sudah mula hendak memperkenalkan kawan lelaki dengan
keluarga. Hati sang ibu yang selama ini risau dengan sikap
anak perempuannya bertukar senang. Senang apabila
memikirkan yang anaknya itu sudah mula lembut hati.
Sebelum ini, bukan tidak ada rakan lelaki yang ingin
mendekati Acam, tapi semuanya tak menjadi. Apa
tidaknya, disergah oleh Acam sahaja, kecut perut semuanya.
Waima, hendak melintas depan rumah pun tidak berani.
Brutal sungguh anak daranya yang seorang ini.
Kalau ibu bapa lain mungkin akan rasa menyirap
apabila anak gadis menjemput teman lelaki ke rumah tanpa
pengetahuan mereka. Yalah bimbang jika menjadi buah
mulut jiran tetangga. Namun bagi Puan Radziah,
kebimbingan itu tidak pernah timbul apabila berkisar
tentang Acam. Jiran tetangga lebih maklum akan fiil kasar
dan ganas anak gadisnya nan seorang itu. Kalau ada teman
lelaki yang datang ke rumah, memang peliklah maknanya.
“Yang ibu tersengih-sengih ni kenapa? Orang ajak
makan aje pun,” bebel Acam.
“Yalah. Dah, biar ibu yang cari lauk kat luar ni,
kamu pergilah siapkan apa-apa yang patut kat dapur tu.
Tanak nasi ke, potong-potong bawang ke,” arah Puan
Radziah.
Terkulat-kulat Acam melangkah ke dalam rumah.
Sebal juga hati tidak pasal-pasal sudah kena ke dapur. Itulah
mulut gatal sangat mahu mengajak si Qaid makan di rumah,
kalau tidak sah-sah sudah tiga empat muka surat laporannya
boleh disiapkan. Padanlah muka sendiri.
Seperti yang telah dijanji, jam 1.35 Qaid sampai di
rumah Acam. Wajah lelaki itu agak pucat sedikit. Mungkin
tidak berapa sihat, atau mungkin juga berdebar-debar
kerana inilah pertama kali akan bertemu dengan keluarga
Acam keseluruhannya. En. Daud, ayah Acam sudah menanti
di hadapan pintu apabila terdengar bunyi enjin kereta
dihentikan di hadapan rumah.
Acam yang baru sahaja melangkah menuruni anak
tangga terdengar riuh suara lelaki berbual-bual di luar
rumah. Sempat dia mengintai sebentar di sebalik langsir
tingkap. Mulutnya menguntum senyuman apabila melihat
Qaid yang ramah berbual dengan ayah. Mesra sahaja, tidak
kekok sedikit pun.
Suara ayah Acam dan Qaid semakin hampir ke
ruang makan. Acam yang sudah pun selesai menghidangkan
makanan tersenyum menyambut Qaid yang kelihatan agak
mesra dengan ibu dan ayahnya. Mudah benar lelaki itu
menyesuaikan diri.
Waktu makan lebih meriah daripada biasa dengan
suara ibu yang sibuk mengunjukkan lauk-pauk kepada
Qaid sehingga berkerut dahi Qaid untuk memilih. Ayah
pula sesekali bertanya itu ini kepada Qaid. Adik-adik Acam
pula lebih banyak mengerling ke arah Acam yang sentiasa
berlagak selamba dengan senyuman sumbing mereka. Ceh,
nak mengenakan akulah tu, bisik Acam.
“Pak cik, saya minta izin nak bawa Acam keluar
sekejap. Petang nanti saya hantar semula,” ucap Qaid
meminta izin daripada Encik Daud.
“Hmm... nak ke mana ni?” Sengaja hendak diduga
keikhlasan lelaki itu.
“Saya nak ke bandar aje, cari barang sikit.”
“Yalah, pak cik serahkan Acam ni kepada kamu,
jagalah anak pak cik ni baik-baik. Jangan balik lambat
sangat,” pesan Encik Daud bersungguh-sungguh. Puan
Radziah sudah pun terkekeh-kekeh tertawa.
“Yang awak ketawa tu kenapa?” soal En. Daud
kepada isterinya. Serta-merta tawa Puan Radziah terhenti.
“Yang abang asyik pesan bagai kat Qaid tu buat
apa. Abang tengok ajelah anak perempuan abang yang
tak berapa nak perempuan ni, tak adanya orang berani
nak dekat,” balas Puan Radziah. Acam hanya menjeling
sekilas ibunya. Amboi, sedap mengata aku ya!
Sedang elok Acam membuka pintu kereta, Normi
terjerit-jerit memanggilnya.
“Kak, ada telefon. Cepatlah,” jerit Normi.
Terpinga-pinga Acam sekejap. Namun dia sempat
mengangkat tangan menyuruh Qaid menunggunya
sebentar. Laju sahaja dia menapak menuju ke dalam rumah.
Hati Acam tertanya-tanya, siapa pulalah yang tidak ada kerja
menelefonnya.
“Helo...”
“Helo, helo... assalamualaikumlah awak,” sergah
suara di hujung talian. Acam tersentak. Alamak, Dzillah
pula. Apalah mamat ni mahu, menelefon aku siang-siang
buta ni. Selalunya dia ini burung pungguk. Siang tidur
malam berjaga. Atau ada teropong boleh nampak aku nak
keluar. Acam berperang dengan persoalan demi persoalan
dalam hatinya. Hish, seorang menunggu di luar, yang
seorang lagi menunggu di hujung talian. Adoi!!!
“Yalah, waalaikumussalam..” Mamat ni kalau tidak
mengenakan orang tidak sah.
“Tengah buat apa tu?” Alahai, nak tanya itu aje ke
telefon aku, bentak Acam.
“Awak, saya tak dapat nak cakap dengan awaklah.
Saya nak keluar, awak telefon saya malam nanti boleh?”
“Oh, nak keluar? Pergi mana? Dengan siapa?”
Alahai, macam polis pencen pula. Terseringai senyuman
di wajah Dzil apabila menyedarinya. Pelik juga, Acam ni
bukanlah jenis yang suka-suki nak keluar ke mana-mana.
“Saya nak keluar dengan kawan kejap. Nak
temankan dia cari barang,” balas Acam.
“Kawan lelaki ke perempuan?” Wah! Dzil sendiri
terkejut dengan soalan cepumas yang keluar dari mulutnya.
Tapi, hati sudah mula rasa tidak sedap apabila Acam kata
hendak keluar tadi.
“Dengan Qaidlah, awak. Dia ada kat luar tu, tunggu
saya. Dia minta tolong saya temankan dia cari barang sikit.”
Laju sahaja Acam bercerita. Alamak! Acam menekup mulut.
Macam manalah dia boleh lancar sahaja menyebut nama
Qaid. Sah-sah mamat di sana itu akan berangin.
Walaupun mereka berdua tiada hubungan apaapa,
tapi semenjak dua menjak ni, Dzil seperti
menunjukkan perasaannya secara terang-terangan.
Kadang-kadang jika bercakap dengan Dzil di telefon seperti
orang tengah bercinta pula. Terdengar keluhan keluar dari
mulut Dzil.
“Hmm... tak apalah. Awak nak keluarkan, saya tak
nak kacaulah.” Suara Dzil mendatar.
Hati Dzil terpukul dengan pengakuan Acam
sebentar tadi. Cemburu? Ya, dia memang cemburu.
Cemburu kerana Qaid dengan mudahnya mendapat tempat
di hati Acam. Mungkin bukan sebagai kekasih, tetapi layanan
Acam tetap istimewa. Dzil tidak mahu itu. Dia hanya mahu
ada nama ‘DZIL’ di hati perempuan yang bernama Acam itu.
Dia mahu hanya namanya yang terukir indah di situ. Dia
mahu itu, dia mahu ini. Argh… pedih sungguh hati bila
memikirkannya.
“Eh, awak okey ke? Malam nanti kita borak lagi ya,”
ucap Acam seperti tiada perasaan. Sebenarnya Acam sudah
dapat menangkap nada tidak puas hati Dzil namun sengaja
dia tidak mahu memikirkannya. Kasihan pada Qaid yang
telah lama menanti.
“Okay... enjoy yourself,” ucap Dzil lalu talian
dimatikan. Begitu sahaja. Hati Acam terpukul dengan
perlakuan itu. Marahkah dia? Cemburukah dia? Ah,
lantaklah!
Tergesa-gesa Acam menyambar beg tangan di atas
sofa lalu kembali menuju ke arah Qaid yang masih setia
menanti sambil berbual-bual dengan ayah. Setelah
mengucap salam, kereta meluncur laju membelah
kesibukan jalan menuju ke destinasinya.
MALAM semakin larut. Acam masih tidak dapat melelapkan
matanya. Dia masih lagi berbaring di atas sofa. Masih lagi
menanti telefon yang terletak si sudut itu berdering.
Hampir satu jam matanya dipaksa berjaga semata-mata
menanti panggilan itu. Nampaknya, malam itu dia tidak
akan mendapat panggilan. Marahkah Dzil padanya? Adakah
begini rasanya bila dilamun perasaan? Menanti dan terus
menanti. Jika benar Dzil marah, apa yang harus dia lakukan?
Untuk memujuk lelaki itu, tentu sekali tidak. Egonya terlalu
tinggi untuk tunduk merayu-rayu kepada lelaki itu.
Beg kertas kecil yang diberikan oleh Qaid petang
tadi diambil lalu dikeluarkan isinya. Terbeliak mata Acam
apabila melihat isi kotak yang terkandung di dalam beg
kertas itu. Sebuah telefon bimbit bersama kad SIMnya
sekali. Hish, dahlah telefon mahal, siap kad SIM sekali.
Melampaulah mamat ni, getus Acam.
Terimbau perbualan antara Qaid dengan dirinya di
hadapan pagar tadi.
“Nah, ni untuk kau,” ujar Qaid sambil
mengunjukkan sesuatu kepada Acam.
“Hish, apa ni? Bukan birthday akulah yang kau nak
bagi hadiah bagai,” tolak Acam.
“Ni bukan untuk birthday, ni untuk khidmat
cemerlang kau dengan aku. Kan orang lain ada bagi kau
hadiah, aku aje yang tak bagi. Ni aku bagilah, tapi kau buka
nanti.” Mahu tidak mahu terpaksalah Acam menerimanya.
Dalam sibuk membelek telefon bimbit itu, dia
terpandang secebis kertas kecil terselit di celah kotak.
Perlahan cebisan kertas diambil lalu satu per satu baris ayat
dibacanya.
Senyuman terukir mekar di bibir Acam. Haih, dia
ni buat hati aku cairlah. Kalau tidak kuat iman, dah lama
aku terima mamat ni jadi suami, getus Acam. Kemudian dia
tertawa sendirian mengenangkan apa yang difikirkannya
tadi.
Telefon yang tadinya sunyi sepi kini berderingdering
minta diangkat. Acam mengerling sekilas ke dinding.
Jam menunjukkan angka 1.00 pagi. Wah, boleh tahan mata
aku ni berjaga, bisik Acam.
“Assalamualaikum,” ucap Acam. Tidak mahu lagi
diperli oleh mamat tu.
Cik Puteri Darlina,
Jangan mengada-ngada nak tinggal telefon
ni kat rumah bila balik PUO nanti. Bawa telefon ni
sekali. Jangan risau duit top-up kalau tak ada,
roger-roger aje aku. Kau kan dah janji kita tak
akan pernah putus hubungan, jadi telefon ni aje
yang boleh hubungkan kita. Kalau kau tu rajin
sangat nak berfacebook tak apalah juga, tak pun
YM ke... boleh juga aku lepas rindu tengok muka
kau kat laptop. Okey, aku akan rindu kat kau.
Belajar rajin-rajin!
Qaid Firdaus
“Waalaikumussalam,” balas Dzil. Kemudian
masing-masing terdiam... talian hanya dibiarkan sepi.
“Hmm... awak marah saya ya,” soal Acam memecah
kesunyian di antara mereka. Kalau nak dibiarkan talian
tanpa penghuni, baiklah dia tidur sahaja.
“Awak nak saya cakap yang betul ke, tipu?” soal Dzil
semula.
“Eh, tentulah yang betul, nak tipu-tipu buat apa.”
“Memang tadi saya marah. Lebih kepada cemburu,
boleh tak saya cakap macam tu? Saya rasa jauh hati tahu bila
awak kata awak nak keluar dengan mamat tu. Tapi sekarang
perasaan saya yang tadi tu dah kalah, rindu saya lagi banyaklah
kat awak,” ucap Dzil tanpa selindung.
Penat hendak main selindung-selindung. Asyik
berselimut, sudah berpeluh-peluh kepanasan dek panahan
rasa hati. Biarlah diungkapkan sedikit demi sedikit agar hati
perempuan di hujung sana itu terkesan.
Acam yang mendengarnya terkesima seketika.
Terpukul dengan kata-kata Dzil.
“Sorrylah, awak. Tak maksud nak sakitkan hati
awak. Lagipun saya bukan ada apa-apa pun dengan Qaid tu.
We were just friends.”
“Hmm, tak apalah. Yang penting saya dah dapat
Acam saya semula malam ni. Awak tunggu saya ya, sekejap
aje telefon berdering dah diangkat,” usik Dzil. Walaupun
dia tidak nampak wajah Acam, namun dia tahu pasti wajah
itu sudah disimbah kemerahan bagai udang dibakar. Acam
memanglah macam tu.
“Tak adalah. Kebetulan aje,” nafi Acam. Masih nak
cover line. Malu kalau Dzil tahu dia sedang menantikan
panggilan mamat tu.
“Okeylah, dah dapat dengar suara awak pun dah
cukup. Boleh tidur lenalah saya malam ni. Goodnight my
girl, sweet dream. Bawa saya dalam mimpi awak ya.”
Itulah pesan lelaki itu setiap kali menghubunginya.
Macamlah boleh diseru-seru siapa yang hendak dimimpikan.
Apa pun Acam terpana dengan rasa indah yang tiba-tiba
menjalar ke tangkai hatinya.
“Awak pun, sweet dream. Assalamualaikum,” balas
Acam. Kedengaran salam berjawab dan talian telefon
dimatikan. Hati Acam berdegup kencang. Acam berperang
dengan perasaan sendiri.
Kenapa hati ini bagai dipalu-palu, bagai berada di
awangan ketika mendengar suaranya. Sudah jatuh hatikah
aku? Tak mungkin! Acam lemas dalam mengatur satu per
satu persoalan yang mula membukit di dadanya.

No comments:

Post a Comment