Wednesday, 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 18

GELI hati juga apabila terkenangkan sikap
terlalu mengambil berat Dzil tu. Melampau betul.
Macamlah ada orang nak culik dia jalan seorang di kawasan
taman tu. Tidak ada maknanya. Melihatkan Dzil yang telah
jauh meninggalkan kawasan rumah Ros, Acam segera
menuju ke pintu utama. Matanya terpandang kelibat rakan
serumah Ros yang sedang mengangkat pakaian di ampaian.
Sebenarnya sudah lama dia terpandangkan Lydia
yang berada di ampaian itu. Jelingan tajam Lydia yang
memerhatikan mereka juga disedarinya. Oleh sebab itulah
Acam menyuruh Dzil segera beredar, takut pula kedatangan
membawa masalah kepada seisi rumah. Ada juga rasa tidak
senang menyelinap di hati Acam. Yalah, terfikir juga dia
kenapa agaknya gadis itu mencerut apabila terpandangkan
mereka.
“Hai Lydia, Ros ada?” tegur Acam berbahasa basi.
“Ada, carilah kat dalam,” jawab Lydia acuh tidak
acuh.
Gadis itu masih lagi di ampaian langsung tidak
berpaling ke arahnya. Masih lagi dengan kain baju di
tangannya. Hendak menjemput masuk ke dalam rumah
jauh sekali. Malah, hanya itu sahajalah yang terkeluar dari
mulut gadis itu.
Bukan Acam tidak terasa hati dengan sikap Lydia
tapi dibiarkan sahaja dibawa angin lalu. Tidak luak pun
dengan tingkah laku Lydia malahan bukan mereka
bersahabat rapat pun. Hanya kenal-kenal begitu sahaja.
Cuma agak tertanya-tanya kenapa dia tidak disukai oleh
gadis itu. Ada hutang yang tidak berbayar ke dengan gadis
itu? Rasanya tak pernah berhutang dengan orang pun.
Lantaklah, tidak luak pun kalau dia tidak suka.
Berlainan pula dengan rakan serumah Ros yang lain.
Kedatangan Acam disambut dengan baik. Acam
menghulurkan tangan bersalaman dengan dua tiga
orang lagi teman serumah Ros yang tersenyum manis
menyambutnya. Kemudian langkah disusun mendaki
tangga menuju ke bilik Ros. Pintu bilik
dikuak lebar setelah dua kali ketukan ditalu. Terkejut Ros
melihat kedatangan Acam namun segera dia memeluk erat
bekas teman sebiliknya itu.
Rindu sungguh kepada temannya itu, lama tidak
bertemu Acam. Lain benar penampilan Acam sekarang.
Dari ekor mata, dia dapat melihat wajah meluat Lydia yang
sengaja mundar mandir di hadapan biliknya itu. Cepatcepat
Ros menarik tangan Acam masuk ke biliknya.
Tidak mahu gadis yang kelat mencuka itu mendengar
perbualan mereka. Bukan dia tidak tahu, Lydia sering
mengutuk Acam di rumah mereka. Mungkin Lydia
tidak tahu yang Ros sebenarnya agak rapat dengan
Acam.
“Hmm... lamanya tak jumpa kau Acam oii, lain
sungguh dah,” tegur Ros. Sekali lagi tubuh Acam
dipeluknya. Tidak mempedulikan sikap kasar Acam duludulu,
mana suka dipeluk-peluk begitu.
“Mana ada lainnya. Sama juga macam dulu,
rindulah kat kau, Ros,” balas Acam malu.
Lama mereka berbual-bual. Daripada cerita mulamula
tinggal bersama, sehinggalah kisah Acam diusik
hantu pada hujung semester pertama itu yang mengundang
tawa mereka. Riuh-rendah bilik Ros bergema dengan gelak
dua gadis itu. Deheman di luar bilik mematikan tawa dari
mulut Acam dan Ros. Nampak benar ada orang yang tidak
senang dengan kehadiran Acam di situ.
“Ops!” Kedua-duanya menekup mulut lantas
kembali tertawa. Lantak kaulah labu.
“Err... tadi masa kau datang, ada kau jumpa Lydia
ke?” tanya Ros tiba-tiba. Acam hanya mengangguk.
“Baik kau hati-hati dengan dia tu. Entahlah, aku
tengok dia tu lain macamlah. Apa kes dia dengan kau?”
tanya Ros.
“Entah. Aku kenal dia gitu-gitu aje. Tapi yang aku
tahu, dia tu selalu lepak dengan budak perempuan baju
kurung biru yang aku cerita kat kau dulu tu,” balas Acam.
“Hmm... selalu gak aku dengar dia mengata kau
kat sini, tapi aku diam aje. Dia tak tau aku kenal baik
dengan kau. Budak satu course aku tu, kenal dengan Dzil,”
kata Ros.
“Tak apalah, biarkan aje dia. Aku malaslah nak
ambil tahu lagi dengan dia orang ni. Apa yang aku tahu,
aku naik gred tahun ni,” ujar Acam tenang. Ros hanya
tersenyum. Berubah sungguh sahabatnya itu. Daripada
seorang yang cepat panas, dia sudah nampak
kematangannya.
Lagu Tercipta Untukku sekali lagi kedengaran.
Laju tangan Acam menyambut panggilan itu.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
“Lagi 15 minit saya sampai ya, awak tunggu aje
kat rumah Ros tu.” Sayup terdengar suara Dzil di hujung
talian.
“Yalah, saya tahu. Saya nak solat maghrib dulu.
Seronok berborak dengan Ros, terlupa dah awak.”
“Hish, itulah orang perempuan kalau dah dapat
bergosip semua terlupa.”
“Eii... mana ada orang gosip-gosip. Orang cerita
yang baik-baik aje tau. Okeylah, nak solat dulu. Nanti
lambat pula.”
“Okey, nanti tunggu ya,” pesan Dzil sekali lagi.
Acam menggelengkan kepala mengenangkan sikap
Dzil. Hish, susah betul orang terlebih ambil berat ni. Talian
dimatikan dan Acam tersedar dirinya diperhatikan oleh Ros
dengan sebuah senyuman melebar di bibir gadis itu.
“Hmm... dah seriuslah tu dengan Dzil eh?” usik
Ros.
“Haish... mana ada. Kawan ajelah. Dia tak propose
pun kat aku nak serius. Dia kirim salam kat kau tadi
Ros, kirim salam rindu,” balas Acam. Besar gelak Ros
mendengarnya.
“Hahaha... takut aku nak jawab. Takut kena sengat
dengan kau aje salam-salam rindu ni,” lawak Ros. Sengaja
memancing senyum di bibir Acam.
“Ros, aku nak tumpang maghrib kat bilik kaulah.
Kejap lagi cik abang tu sampai bising pula kat aku. Dia ajak
aku makan kat gerai hujung simpang tu. Jom join,” pelawa
Acam ikhlas. Sudah lama tidak makan bersama Ros.
“Hish, tak naklah aku kacau daun. Kat depan bilik
aku tu bilik air, nanti aku siapkan sejadah dan telekung.
Pergilah cepat, nanti membebel mulut mamat tu, boleh
tahan juga kalau membebel dia tu.” Terlerai gelak tawa
mereka berdua. Seronok apa dapat mengutuk orang.
Usai solat maghrib, cepat-cepat Acam bersiap
apabila melihat mesej masuk daripada Dzil. Pasti mamat
tu sudah tercegat di bawah. Acam dan Ros berpelukan di
hadapan pintu rumah sebelum Acam meninggalkan rumah
Ros. Sempat dia menangkap jelingan tajam daripada Lydia
di balik pintu. Jika ikutkan hati hendak sahaja dia bertanya
apa yang gadis itu tidak puas hati dengannya. Namun, bila
difikirkan dua kali, buat penat saja. Acam ingat kata-kata
Qaid, dalam melakukan apa pun, letakkan akal mendahului
hati. Qaid, terasa rindu pula pada mamat tu.
Dzil yang menunggu di bawah pokok di luar pintu
pagar tersenyum melihat Acam yang menghampirinya.
Jalan yang disirami lampu neon disusuri mereka menuju
ke arah gerai makan di hujung simpang Taman Cempaka.
Malam itu, pelanggan agak ramai. Tidak dapatlah Dzil
dan Acam mencari meja yang jauh daripada pelanggan
lain. Siapa cepat dia dapatlah. Kira sudah dapat tempat pun
sudah bersyukur sangat.
Tidak banyak yang dibualkan ketika mereka
menikmati hidangan. Alunan lagu Hatimu Milikku
dendangan Nera AF memenuhi ruang. Acam seakan-akan
terpaku dengan lirik lagu itu. Sungguh indah dan seakanakan
terkena dengan hatinya. Matanya menekur ke meja
saat bersabung mata dengan redup mata Dzil yang tidak
henti-henti merenung wajahnya. Aduh! Lemah longlai
segala sendi direnung begitu.
Akhirnya, hampir jam 10.30 malam mereka telah
berada di hadapan rumah Acam. Setelah mengucapkan
selamat malam Dzil berlalu meninggalkan Acam yang telah
pun selamat masuk ke dalam rumahnya. Memang Dzil akan
sentiasa memastikan Acam selamat masuk ke dalam rumah
dahulu sebelum dia beredar. Keselamatan Acam menjadi
keutamaan jejaka itu.
Goodnight my girl, thank you for letting
me to do what I did today. Dream of me..
always yours. ~ Dzil.
Butang send ditekan.
Bip mesej masuk yang kedengaran menampar
deria dengar Acam. Segera telefon bimbit dicapai dan mesej
masuk dijengok. Semenjak dua menjak ni, senyuman
seolah-olah menjadi sahabat paling baik buat Acam.
Mana tidaknya, asyik tersenyum sahaja. Naik penat pun
ada bibir itu.
And thank you for being so nice too, bisik Acam
sendirian. Mulut masih lagi lancar melagukan lagu Hatimu
Milikku yang telah mengusik jiwanya.
Di sisimu aku terdiam seribu bahasa
Di hatiku bergetar sejuta rasa
Namun sukar untuk aku meluahkan
Ku cinta padamu
Nafasku terhenti bila melihat dirimu
Terasa batas degupan jantungku
Mungkinkah hatimu milikku jua
Ku sayang padamu
Benarlah seperti lirik lagu itu, ketika bersama
Dzil, dia sering terdiam seribu bahasa. Tidak pandai untuk
meluahkan rasa yang terbuku. Namun dia mula menyedari
ada perasaan senang mula menjalari tangkai hati setiap kali
bersama jejaka itu.

No comments:

Post a Comment